28 Februari 2009

DIARI - FEBRUARI 2009

by
1 FEB 2009
- HARI WILAYAH PERSEKUTUAN

8 FEB 2009
- HARI THAIPUSAM

9 FEB 2009
- GERHANA BULAN

9 FEB - 9 MAC 2009
- TEMPOH PERMOHONAN DIPLOMA PENDIDIKAN LEPASAN IJAZAH (DPLI) AMBILAN JULAI 2009

16 FEB - 1 MAC 2009
- TEMPOH PERMOHONAN KURSUS PERGURUAN LEPASAN IJAZAH (KPLI) & j-QAF AMBILAN JUN 2009

19 - 21 FEB 2009
- EKSPO PENDIDIKAN, LATIHAN & KERJAYA DI UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT) - EDU-CARE 2009

21 FEB 2009
- PEPERIKSAAN KHAS PEGAWAI TADBIR & DIPLOMATIK (PTD)

22 FEB 2009
- FINAL MY STARZ LG TV3 MUSIM 2 DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC)

24 - 27 FEB 2009
- EKSPO KERJAYA & PERHUBUNGAN INDUSTRI UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) SHAH ALAM - CAIREX 2009

27 - 28 FEB 2009
- PROGRAM APA KHABAR ORANG KAMPUNG TV9 DI PASIR MAS, KELANTAN


27 FEB - 1 MAC 2009
- EKSPO KERJAYA & PENDIDIKAN UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM) 2009

28 FEB 2009
- PROGRAM PENEMPATAN PEKERJAAN / TEMUDUGA (TRAIN & PLACE) JABATAN TENAGA KERJA DI CIAST SHAH ALAM

28 FEB 2009
- MALAM SINAR MAULIDURRASUL 1430H DI STADIUM MALAWATI, SHAH ALAM

28 FEB - 1 MAC 2009
- JOM HEBOH TV3 DI MITC MELAKA

28 FEB - 3 MAC 2009
- KARNIVAL PENGAJIAN TINGGI NEGARA ZON TIMUR DI UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP)

Penyokong tahanan ISA berhimpun di IPD, MP Kapar antara 17 ditahan

by

Polis terpaksa bertindak "tegas" menyuraikan sekumpulan individu, yang berhimpun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini pagi tadi untuk membuat laporan secara beramai-ramai berhubung layanan tidak adil kepada salah seorang tahanan ISA, P. Uthayakumar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Sabtu Osman berkata, 17 orang termasuk Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan kerana mengadakan perhimpunan haram.

Antara ditahan termasuk seorang wanita yang dihantar ke hospital.

Bagaimanapun polis enggan mengulas lanjut mengenainya.

Kesemua mereka dibebaskan kemudian.

Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan yang enggan bersurai walaupun diarahkan agar beredar oleh polis beberapa kali.

Terdahulu kira-kira 200 orang itu terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen.

Pihak polis membenarkan kira-kira 50 orang yang terdiri daripada lima anggota keluarga Uthayakumar dan 45 wakil iaitu lima orang bagi setiap negeri termasuk ahli-ahli Parlimen memasuki IPD untuk membuat laporan masing-masing.

Bagaimanapun mereka yang menunggu di luar IPD pula diminta meninggalkan pekarangan premis tersebut.

Ramai yang mematuhi arahan tersebut tetapi kira-kira 30 orang enggan berbuat demikian.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga mula melepaskan air ke arah kumpulan tersebut.

Pada awalnya mereka meninggalkan kawasan itu tetapi kembali semula, menyebabkan FRU terpaksa meneruskan tindakan mereka.

Kumpulan itu berhimpun semula buat kali ketiga lalu berhadapan dengan tindakan FRU, tetapi akhirnya meninggalkan kawasan IPD.

Menurut Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, polis menahan 17 orang termasuk Manikavasagam.

Sehubungan itu, polis menetapkan ruang lingkup kawasan larangan demi keselamatan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata, rancangan 500 individu untuk membuat laporan secara beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini dianggap sebagai perhimpunan haram dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya.

Kata beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri di dalam perhimpunan tanpa permit yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam, tegas beliau.

Sekumpulan 500 individu yang merupakan penyokong tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) P.Uthayakumar merancang untuk membuat laporan polis beramai-ramai di IPD Brickfields esok kerana mendakwa pihak berkuasa mengabaikan kesihatan Uthayakumar yang berada dalam tahanan.

Beliau berkata tindakan membuat laporan polis beramai-ramai dilihat sebagai satu cara untuk mempersendakan tugas pihak polis kerana menurutnya walaupun hanya satu sahaja laporan dibuat, ia tetap akan disiasat seadil-adilnya.

Katanya, polis tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk membuat laporan polis tetapi bukan secara beramai-ramai.

Polis akan mempertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat laporan polis dengan minimum tiga orang.

KOMEN ANWAR

Dalam pada itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan tindakan polis menahan Ahli Parlimen Kapar.

"Beliau hanya datang untuk membuat laporan kerana merasakan berlaku ketidakadilan kepada rakan di Kamunting dan ditahan kerana menyebabkan kesesakan di kawasan itu (Brickfields).

"Mereka (polis) boleh jaga lalu lintas... pada hal sebelum ini, saya pernah melihat perhimpunan Umno di Pulau Pinang, polis menjaga kesesakan lalu lintas dan tiada yang ditahan," katanya.

- MSTAR

Kegawatan dijangka berlarutan hingga 2010 - Nor Mohamed Yakcop

by
Kesan kegawatan ekonomi yang melanda dunia dijangka dirasai oleh Malaysia sehingga tahun 2010, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang begitu terbuka dalam perdagangan, Malaysia kini berada dalam zon tidak selesa dan kerajaan akan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesan dari kegawatan itu.

"Tiap-tiap hari kita dengar jumlah pemberhentian pekerja semakin meningkat, syarikat yang mengalami aliran tunai dan bankrap juga meningkat seolah-olah kegawatan yang melanda dunia ini tiada penghujungnya.

"Kegawatan dunia sudah semakin mencabar dan kita nampak dari petunjuk-petunjuk itu kemungkinan kegawatan berkenaan tidak akan berakhir tahun ini serta dijangka berlarutan sehingga tahun 2010," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kewangan Mikro Bandar cawangan Georgetown di sini hari ini.

Ekoran kegawatan itu juga, Nor Mohamed berkata, kementeriannya kini sedang mengumpul maklumat dengan berjumpa dan bermesyuarat dengan semua pihak termasuk pihak swasta untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

"Kita perlu mendapat maklum balas secara langsung serta tidak langsung dari semua pihak bagi membolehkan kerajaan mengambil langkah tertentu mengatasinya dan setakat ini kita telah dapat banyak maklumat berhubung kegawatan yang sedang melanda.

"Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak juga kini sedang bekerja keras mengumpul maklumat itu bagi memastikan bajet mini yang akan dibentangkannya pada 10 Mac ini menyeluruh dan menyentuh semua bidang yang penting," katanya.

Selain itu, beliau turut mengesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama dan politik supaya bersatu menghadapi cabaran ini.

"Kita kena terima realiti, negara kini berada dalam zon tidak selesa serta bahaya dan kita (rakyat Malaysia) terdedah kepada krisis itu... jadi kita perlu bersatu menghadapinya kerana cabaran yang sedang melanda ini bukan cabaran biasa," katanya.

- BERNAMA

Arkitek tempatan cipta sejarah di Mekah

by

Kota Mekah. Destinasi yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia, lebih-lebih lagi pada musim Haji dan bulan Ramadan.

Mana tidaknya, di tengah-tengah kota Mekah terletaknya Masjidil Haram atau disebut Masjid al-Haram. Ia merupakan masjid tertua di dunia dan paling suci bagi umat Islam. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan.

Tambahan pula, bangunan terpenting di dalam Masjidil Haram itu adalah Kaabah atau disebut Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno) dan Baitulharam (Rumah Suci). Di dalamnya juga terdapat makam Nabi Ibrahim, Hajar Aswad, Hijir Ismail dan Telaga Zamzam.

Keadaan Masjidil Haram pada zaman Rasulullah SAW dan khalifah seterusnya, tidaklah seluas sekarang. Peralihan pucuk pimpinan turut membawa transformasi fizikal ke atas Masjidil Haram.

Lantaran itu, tidak hairanlah, Mekah menjadi tumpuan umat Islam dari semasa ke semasa. Kehadiran mereka pelbagai tujuan, sama ada untuk perlaksanaan ibadah haji, umrah, solat mahupun menuntut ilmu.

Kini, dianggarkan sejumlah 3.5 juta umat Islam membanjiri Tanah Suci, khususnya pada musim haji. Di bahagian dalam masjid sahaja, menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa. Malah jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta menjelang lima ke 10 tahun akan datang.

Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Tidak mustahil dengan kemajuan teknologi, kemodenan pengangkutan serta orang Muslim semakin berkemampuan, ia turut mempengaruhi bilangan angka di atas.

Melihat sepintas lalu, kita rasa masjid ini sudah cukup luas, tidak ada kekurangan, jauh sekali ada cacat celanya. Tetapi tidak begitu bagi pemerintah Arab Saudi.

Sebab itulah, sehingga kini pun, kerja-kerja merobohkan bangunan kediaman dan hotel-hotel penginapan berhampiran Masjidil Haram masih giat dijalankan.

Bercerita tentang pembesaran Masjidil Haram, ramai di antara kita yang sekadar menerimanya sebagai satu yang lumrah. Anggapan umum, ia demi menjamin keselesaan, sekali gus keselamatan para tetamu Allah.

Pun begitu, di sebalik tabir usaha pembesaran tersebut, seperkara yang perlu dibanggakan khasnya rakyat Malaysia ialah pemilihan rakyat negara ini sebagai salah seorang panel yang bertanggungjawab dalam usaha untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram.

Apatah lagi, beliau adalah antara 1.5 bilion manusia Islam di dunia yang terpilih memikul amanah besar Allah SWT ini. Beliau jugalah satu-satunya panel dari Asia. Pastinya, ini sesuatu yang perlu dibanggakan oleh negara dan umat Islam di Malaysia.

Beliau yang dimaksudkan ialah pensyarah dari Jabatan Seni Bina dan Arkitek Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ismawi Zen atau lebih mesra dengan panggilan Prof. Mawi.

Temuramah pada hari itu adalah rentetan daripada sebuah program bual bicara beliau yang berlangsung pada penghujung Januari lalu di Pusat Pengurusan Kajian, UIAM, Gombak, Selangor.

Menurut Mawi yang berasal dari Kampong Gedong, Samarahan, Sarawak, tawaran yang diterima itu adalah sesuatu yang tidak disangka atau terlintas dalam fikirannya.

Apatah lagi ia adalah satu kerja yang bukan kecil tanggungjawab dan amanahnya. Di tambah pula, ia mengaitkan soal seluruh umat Islam dan amat rapat dengan ritual ummah.

Cita-cita tinggi

Beliau yang berusia 56 tahun mengakui, bergelar seorang profesional Muslim, sesungguhnya tidak dapat tidak ada juga menyimpan cita-cita tinggi dan impian menggunung sebegitu.

Namun panggilan telefon dari kerajaan Arab Saudi pada 23 September lalu, memang di luar jangkauan fikiran serta mengundang pelbagai mainan perasaan.

"Saya diamanahkan untuk menjemput Prof. untuk menjadi salah salah seorang daripada panel antarabangsa untuk pembesaran Masjidil Haram."

Kata-kata yang tidak sampai dua minit inilah yang membuatkan Mawi tidak keruan, terkejut, terkedu seketika malah sehingga tidak lena tidur semalaman itu.

Semuanya bermula semasa beliau di luar negara untuk menghadiri satu majlis penganugerahan ke atas UIAM. Malah Pasar Namdaemon di Seoul, Korea Selatan menjadi saksi penerimaan berita gembira itu.

"Saya tambah terkejut apabila nama tiga lagi panel diberitahu itu adalah mereka yang sememangnya popular dan terkenal di dunia. Spontan saya merasakan diri ini tidak berkelayakan.

Soalan seperti: "Mengapa saya dipilih?" cuba saya ajukan kepada si pemanggil. Namun diberitahu, pemilihan ini telah melalui penapisan yang muktamad daripada Raja Abdullah, ketua kerajaan Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Tanah Suci.

"Sekembalinya ke Malaysia, saya dapati semua urusan tiket malah surat tawaran telah dilampirkan serta dihantar menerusi e-mel.

"Malah saya hanya perlu mengambil visa di kedutaan Arab Saudi untuk pertemuan pertama yang diadakan pada 4 dan 5 Oktober 2008.

"Malah apabila terima pelantikan itu, saya tidak memberitahu sesiapa. Saya hanya beritahu isteri pada malam sehari sebelum tarikh penerbangan.

"Bagi saya benda ini bukan yang perlu dibanggakan sangat kerana tanggungjawab yang terpikul itu adalah berat. Apatah lagi ia adalah amanah daripada Pencipta kita. Allah SWT," jelas beliau merendah diri.

Walaupun beliau adalah arkitek berpengalaman dan menjadi pelopor dan pakar dalam unit perancangan bandar dan seni bina Islam.

Sambung Mawi lagi, mesyuarat pertama yang berlangsung awal Oktober itu dihadiri empat orang panel iaitu dari Arab Saudi, Switzerland dan Turki selain beliau menghadiri bengkel khas tersebut.

Tiga arkitek

Sayangnya, arkitek dari Switzerland terpaksa menarik diri kerana dia bukan Muslim. Kumpulan panel itu kemudiannya disertai tiga arkitek, seorang dari Algeria dan dua dari Lebanon, menjadikan enam orang kesemuanya.

"Pada peringkat awal, jawatankuasa ini ditugaskan untuk menggubal satu wawasan yang merangka garis panduan untuk merencanakan bagaimana seharusnya pembangunan semula Mekah.

"Khususnya pembesaran Masjidil Haram di dalam sebuah dokumen yang dinamakan Vision Brief. Ini adalah pembesaran kali ketiga Masjidil Haram," jelas beliau.

"Sungguhpun apa yang hendak divisikan ini tiada garis panduan atau ia adalah free ticket dan wang bukanlah masalah kerana diumpamakan kami diberi blank cheque, hakikatnya itu adalah jauh lebih mencabar. Ini kerana banyak perkara yang perlu difikirkan.

"Kita tidak mahu usaha ini sehingga melampaui dan dibimbangi ia tersasar daripada konsep pembangunan di dalam Islam itu sendiri. Di mana Islam amat menekankan perihal tauhid, rububiah, khilafah dan tazkiah (niat).

"Di samping itu, aspek kesederhanaan juga menjadi pokok keutamaan agar selaras dengan falsafah Islam, kesederhanaan itu tanda kebenaran (simple is sign of truth)," terang Mawi.

Apa yang boleh digambarkan ialah Masjidil Haram itu akan berubah menjadi lebih luas, sebuah masjid yang mesra alam, selamat dan ia seolah-olah mengembang dan menguncup mengikut musim kemuncak dan sebaliknya.

Mengulas lanjut aspek-aspek dan pokok permasalahan yang perlu difikirkan, kata Mawi, panel yang dilantik ini perlu mengambil kira soal pembesaran. Namun ia tidak meminggirkan konsep masjid yang mesra alam.

Reka bentuk baru itu harus tidak menyumbang kepada pemanasan global, pembaziran, keselamatan di waktu kecemasan dan mempunyai sentuhan kerohanian apabila berada di dalam masjid.

Aspek pengurusan pembuangan sisa pepejal, pengangkutan, pengurusan berkaitan air zamzam dan juga tidak boleh melindungi pandangan jemaah terhadap Kaabah, terutama ketika sedang melakukan ibadat tawaf serta paling penting nilai sejarah kota tersebut harus dipelihara.

"Panel ini ditugaskan untuk memikirkan semua perkara di atas dan kemudiannya menghasilkan dengan beberapa cadangan dan garis panduan bagi membantu perancangan dan reka bentuk pembesaran kelak.

"Kami akan beri penerangan, memantau, menilai dan membuat laporan sebelum menghantar cadangan kepada jawatankuasa untuk dipersembahkan kepada Raja Abdullah," katanya.

Menurut Mawi, di bawah panel ini, terdapat 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, Afrika Selatan serta Malaysia.

Mereka dibahagi kepada dua kumpulan; enam adalah Vision Architect yang menghasilkan idea. Sepuluh lagi adalah Application Architect, yang akan memikirkan tentang perkara-perkara praktikal.

Kekuatan tersendiri

"Mereka ini bukannya bertanding untuk idea tetapi pemilihan arkitek-arkitek ini adalah atas cadangan panel kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri, kepakaran dan kecenderungan dalam mereka bentuk.

"Setiap arkitek ini akan membentangkan kertas kerja masing-masing di mana ia menyentuh aspek-aspek seperti ritual ibadah/ketuhanan, mesra alam, kerohanian, kemasyarakatan, bahan-bahan atau material yang bakal digunakan dan teknologi yang digunapakai," kata Mawi yang turut berkongsi idea-idea radikal yang diterima panel daripada para arkitek sepanjang penglibatan tersebut.

Beliau juga adalah antara orang yang terawal dan diberi tanggungjawab mereka pelan bangunan kampus utama UIAM di Gombak dan di Kuantan serta Dekan pertama KAED.

Malah menerusi pemerhatiannya, pembangunan seluas 650 meter ini bakal siap dalam masa kurang daripada dua tahun kerana kewangan tidak menjadi masalah yang besar kepada kerajaan Arab Saudi.

Ditambah pula, Raja Abdullah menganggap dirinya sebagai 'khadam' atau hamba serta bertanggungjawab untuk memberikan keselesaan kepada semua jemaah yang datang ke Masjidil Haram.

Menurut Mawi, Raja Abdullah mempunyai kata putus untuk mengambil satu pelan dan melaksanakannya, mengambil idea-idea yang bagus daripada kumpulan itu dan kemudian mencantumkannya ataupun mengambil satu-satu perkara daripada keseluruhan pelan tersebut.

Kongsinya lagi, beliau tidak pernah menjangkakan pengiktirafan serta kepercayaan sebegini.

Beliau sebelum ini terlibat dalam kerja-kerja mereka pelan bangunan dan menubuhkan kuliah KAED di UIAM, dilantik sebagai Pengarah Reka Bentuk, Pelan Induk Landskap untuk Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 2007 lalu dan pelbagai lagi.

Apapun, kata Mawi, pemilihan beliau sebagai panel pembesaran Masjidil Haram mungkin berkait rapat dengan doanya di hadapan Kaabah sewaktu menjadi pensyarah jemputan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti King Abdul Aziz, lebih 20 tahun lalu.

- UTUSAN

Rasuah amalan terlarang

by
RASUAH memusnahkan hidup! Dalam sekelip mata seorang yang dihormati boleh menjadi hina, bahkan maruah bangsa dan negara akan tercalar.

Boleh dikatakan setiap hari akhbar melaporkan mengenai perbuatan rasuah yang dilakukan pihak tertentu termasuk pemimpin politik.

Walaupun masyarakat memahami sebagai amalan biasa, sedar atau tidak rasuah adalah satu bentuk jenayah dan mereka yang terbabit berdepan tindakan serta hukuman.

Sudah ramai menerima akibat daripada amalan rasuah, sehingga ada kehilangan jawatan dan harta, malah terpaksa menghabiskan sisa hidup di penjara.

Mereka yang terbabit dengan rasuah juga akan dikenakan hukuman di akhirat kelak, sebagaimana ditegaskan Nabi s.a.w dalam satu hadis diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan di dalam api neraka."

Rasuah selalu disebut dalam masyarakat majmuk di negara ini. Tetapi apakah sebenarnya rasuah dan sejauh mana ia difahami?

Menurut sarjana, ia berasal daripada perkataan Arab (iaitu rishwah, rashwah) bermaksud 'sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan.'

Asal perkataan itu daripada 'rasha' yang bermakna 'tali timba yang dipergunakan

untuk mengambil air di perigi.'

Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai 'pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).'

Berasaskan pengertian itu, rasuah boleh diertikan juga dengan istilah makan suap dan memberi/menerima sogokan. Satu lagi perkataan yang selalu digunakan ialah korup/korupsi daripada perkataan Inggeris 'corrupt/corruption'.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan pengertian suapan dalam konteks yang lebih luas, iaitu:

"Wang, derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;

"Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;

"Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;

apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;

"Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;

"Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketakupayaan yang di kenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

"Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) yang terdahulu."

Menurut suruhanjaya itu, kesalahan rasuah membabitkan perbuatan meminta atau menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan.

Dalam Islam, amalan rasuah dan segala bentuk salah laku yang bersekutu dengannya seperti penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa, penindasan dan pemalsuan dilarang sama sekali.

Ayat 188 daripada surah al-Baqarah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."

Rasulullah s.a.w menegaskan dalam satu hadis bermaksud: "Allah s.w.t melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya." (Riwayat Ahmad)

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2008, membabitkan kajian di 180 negara menunjukkan Denmark, Sweden dan New Zealand berkongsi pada tangga teratas dengan skor 9.3.

Somalia ditangga tercorot (1.0), sementara Malaysia berkongsi dengan Jordan, Hungary, Costa Rica dan Cape Verde di tangga ke-47 dengan skor 5.1. Skor 10 menunjukkan sangat bersih manakala skor kosong amalan rasuah yang teruk.

Walaupun tidak diketahui sejauh mana penilaian yang dilakukan pertubuhan terbabit, ia sedikit sebanyak memberikan suatu tamparan kepada dunia Islam kerana gagal mendapat kedudukan sebagai negara yang paling bersih.

Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bidang dengan tidak mengira tempat dan keadaan. Secara umum ia membabitkan empat disiplin iaitu politik, ekonomi, sosial dan persekitaran.

Bagaimanapun, menurut pertubuhan integriti antarabangsa, Global Integrity, tanpa mengira tahap pendapatan, ancaman korupsi pertama mendepani majoriti negara ialah aliran wang tanpa aturan dalam proses politik.

Keputusan itu adalah hasil daripada kajian pihak terbabit di 57 negara di dunia, yang dikeluarkan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, Nathaniel Heller, berkata ketelusan membabitkan kewangan sangat teruk di kalangan mereka yang terbabit dalam politik.

"Sekiranya kita serius untuk memulihkan kembali penyalahgunaan kuasa dan korupsi di dunia maju dan membangun, kawalan keselamatan lebih berkesan untuk mengawal pengaruh kewangan dalam politik perlu dilakukan bersungguh-sungguh," katanya.

Di Malaysia ketika ini undang-undang baru pencegahan rasuah turut membolehkan saudara-mara terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah akan menerima tindakan dan nasib sama dengan orang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran 'saudara'.

Justeru, dengan adanya peruntukan itu, sudah sewajarnya bagi mereka yang 'bercita-cita' untuk mendapatkan kepentingan peribadi melalui cara tidak sah memikirkan akibatnya berkali-kali, mahu atau tidak.

Siti Nurhaliza derita ingat abah

by

Sudah dua minggu bapanya meninggal dunia, namun penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, masih merinduinya.

Perasaan rindu terhadap insan bernama Tarudin Ismail, 67, jelas memberi kesan kepada Siti apabila berat badannya menurun mendadak.

Wartawan dan orang ramai yang menghadiri majlis pelancaran buku tulisan Aziah Jasmin Azizul, The Pink Book di MPH, Mid Valley, petang semalam, terkejut melihat susuk badan penyanyi kesayangan ramai itu.

Majlis itu yang pertama dihadiri Siti sejak pemergian bapanya ke rahmatullah pada 15 Februari lalu.

“Saya memang terasa kehilangannya hingga hilang selera makan. Pemergian abah bukan dalam keadaan yang saya sudah bersedia...ia berlaku tiba-tiba. Saya perlukan masa untuk memulihkan perasaan sedih ini.


“Abah tidak pernah muncul dalam mimpi sejak dia pergi, tapi setiap kali teringat, saya cepat-cepat sedekahkan al-Fatihah. Walaupun abah sudah tiada, doa dan ingatan saya terhadapnya menjadi pengganti serta hadiah semoga dia tenang di sana.

“Abah tidak pernah saya lupakan dan memori bersamanya juga tidak akan padam,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Sebagai menghormati pemergian bapanya, Siti berkabung selama 40 hari, sekali gus menunda pembabitannya dalam pelbagai program dan persembahan yang sudah dipersetujui.

Sebahagian daripadanya program televisyen iaitu Konsert Jomheboh (TV3), Zoom In Siti (TV2), AC Disini (Astro) dan Kelab Pop (Astro).

Bagaimanapun, untuk Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul 1430 Hijrah di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini, Siti memberikan komitmen, sekali gus berganding bahu bersama kumpulan Rabbani, Amy Search, Mawi, Akhil Hayy dan Datuk Siti Nurbahyah Mahmud.

Kata Siti, konsert itu bersempena Maulidur Rasul, jadi dia tiada masalah mengambil bahagian, apatah lagi konsep persembahan berbentuk keagamaan dan kesedaran.

“Kebetulan, konsert berbentuk amal itu saya melihatnya sebagai program yang murni,” katanya yang kagum melihat ibu tercinta, Salmah Bachik, 57, kerana tenang mengharungi detik memilukan.

Siti ada mengajak ibu tinggal dengannya di sini, tetapi dia memilih berada di kampung bersama adik.

“Siti kagum dengan emak kerana dia tenang, sabar dan langsung tidak menunjukkan kesedihannya di hadapan kami walaupun kami adik-beradik tahu emaklah paling merasai kehilangan abah,” katanya.

Bagi memenuhi hasrat arwah yang tidak kesampaian, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa akan mengusahakan syarikat berasaskan pertanian di Kuala Lipis.

“Saya sudah membeli tanah di Kuala Lipis, malah permohonan arwah untuk membuka syarikat yang diberi nama Saldin Sdn Bhd (singkatan Salmah dan Tarudin) juga sudah diluluskan.

“Namun hajatnya untuk melihat perniagaan itu diusahakan tidak kesampaian dan sebagai anak, saya mahu merealisasikan impiannya itu,” katanya dengan suara sebak.

- HARIAN METRO

Komentar - Sikap agresif YB di Parlimen perlu dikawal

by
Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM,
Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa
Universiti Islam Antarabangsa.

Laporan perselisihan faham di pekarangan lobi Parlimen sebenarnya menggambarkan bagaimana demokrasi Malaysia sudah berevolusi ke satu tahap luar biasa. Namun, evolusi politik itu perlu dikawal agar tidak terbabas jauh daripada nilai Islam dan Timur yang sudah sekian lama menjadi teras budaya masyarakat Malaysia.

Senario bertegang urat kerana mempertahankan pendapat masing-masing dan berselisih pendapat secara agresif perlu dirawat dengan menggunakan panduan al-Quran kerana majoriti wakil rakyat yang galak berhujah dan berdebat di Parlimen adalah beragama Islam.

Peranan mereka bukan setakat membawa suara rakyat, malah membawa mesej Islam sebagai satu agama untuk semua.

Dikhuatiri sikap segelintir mereka yang mengabaikan aspek akhlak ketika berhujah akan menjauhkan lagi golongan bukan Islam daripada Islam.

Pada dasarnya, perselisihan pendapat di antara manusia adalah perkara biasa dan lumrah alam.

Wujudnya perselisihan pendapat kadangkala menjadikan kehidupan manusia lebih menarik dan berwarna-warni. Namun, persoalannya, bagaimanakah cara untuk menangani masalah perselisihan secara bijaksana agar tempias kesan buruk daripada perselisihan terbabit tidak berpanjangan dan terkena orang lain.

Untuk itu, Islam melalui al-Quran sudah sekian lama menggariskan adab yang perlu diikuti setiap umat Islam dalam isu perselisihan pendapat atau berdebat. Firman Allah :

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk - (al-Nahl ayat 16:125).

Namun, kejahilan sesetengah umat Islam mengenai inti pati Islam yang menyeluruh memalitkan umat Islam lain dengan lumpur tohmahan yang pelbagai.

Perkara itu berlaku kerana sesetengah umat Islam beranggapan Islam yang mereka anuti hanya terbatas pada amalan ritual dan tidak merangkumi isu lain seperti akhlak dan cara berpolitik.

Perlu disedari, Islam dianugerahkan kepada manusia ditegakkan di atas tiga asas utama iaitu, akidah, syariah dan akhlak.

Wakil rakyat Melayu yang beragama Islam sepatutnya memberikan contoh akhlak Islam terbaik ketika berhujah di Parlimen.

Akhlak baik paling berkesan untuk melembutkan hati semua pihak termasuk musuh atau lawan.

Ahli politik di negara ini tidak sepatutnya terlalu fanatik berpolitik sehingga mengabaikan aspek akhlak dan dakwah.

Gabungan akhlak mulia dan hujah jitu akan menjadi pendorong untuk bukan Islam menerima Islam dengan hati tenang dan terbuka.

Dengan kata lainnya, berhujah, berdebat dan berpolitik di Parlimen sepatutnya menjadi satu cabang dakwah yang boleh dieksploit dengan bijaksana.

Saranan itu juga selari dengan kempen bulan dakwah yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Hakikatnya, sikap agresif melawan sebarang tindakan agresif orang lain kepada kita hanya akan menghasilkan impak yang lebih negatif.

Sebaliknya, tanganilah tindakan musuh atau lawan dengan akhlak mulia kerana langkah itu bakal membuka hidayah kepada mereka.

Pendekatan akhlak yang mulia ketika berhujah dan berdebat di Parlimen bukan saja mampu mencerminkan keindahan Islam serta penganutnya, bahkan tidak mustahil mampu menarik orang seperti Karpal Singh dan yang lainnya kepada Islam.

Sekiranya mereka masih berkeras menyerang dan bersikap biadab, kita perlu yakin bahawa tidak akan runtuh bukit yang disalak anjing dan peganglah firman Allah:

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya) - (al-A’raf ayat 7:199).

- BERITA HARIAN

Ikhlas sifat penting menuntut ilmu

by
Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan kerana kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa itu diukur berdasarkan ketinggian ilmu pengetahuan mereka. Tanpa ilmu, kehidupan akan berada dalam kegelapan, kejahilan dan kemunduran.

Perlu disedari ilmu yang dianugerahkan Allah kepada kita hanya sedikit. Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat Tuhanku, maka habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)." (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Berdasarkan ayat itu, jelas menunjukkan ilmu perlu diterokai dan dicari. Cara terbaik dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan ialah dengan mengkaji, mencari, mempelajari dan membaca buku bermanfaat serta mengandungi nilai terpuji yang boleh memperkembangkan tahap pemikiran.

Dalam menuntut ilmu hendaklah menanamkan sifat ikhlas, sekali gus menjauhi sifat jemu dan malas. Perkara lebih penting ialah kita hendaklah mengamalkan segala ilmu dipelajari bagi mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah.

Sesungguhnya orang berilmu itu dipandang tinggi masyarakat, berbanding yang tidak berilmu. Oleh itu, setiap Muslim mestilah mementingkan ilmu pengetahuan dan menambahkannya dengan seberapa banyak yang mampu bagi mencapai kemuliaan dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta memimpin ke jalan Allah yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji." (Surah Saba', ayat 6)

Memiliki ilmu pengetahuan menjadikan seseorang itu maju dan membangun, bukan saja untuk dirinya tetapi untuk masyarakat dan negara.

Di samping itu, mereka akan dapat mencapai kedudukan atau darjat yang baik di dunia mahupun di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fisabilillah (di jalan Allah) sehingga ia kembali." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Allah juga memberikan pengiktirafan tertinggi kepada ilmuwan dan merendahkan orang jahil atau yang hanya mengikut tanpa berfikir berlandaskan ilmu pengetahuan.

Menurut Ibn 'Abbas, perbezaan kedudukan antara orang berilmu dengan yang tidak berilmu adalah sebanyak 700 darjat. Jarak di antara setiap darjat pula ialah selama 500 tahun perjalanan.

Sesungguhnya Allah menganugerahkan akal kepada manusia adalah untuk membezakan mereka dengan haiwan. Selain itu, dengan akal manusia boleh berfikir dan membezakan antara perkara yang hak dengan batil.

Akal akan lebih berkembang jika diberi ilmu pengetahuan. Ini kerana berbekalkan ilmu pengetahuan perjalanan hidup dapat diurus dengan betul dan sentiasa berjalan di atas kebenaran mengikut petunjuk Allah.

Semua orang menyedari bahawa sekarang adalah zaman kemajuan sains dan teknologi yang memerlukan kepada ilmu pengetahuan tinggi dan luas. Islam tidak menghalang umatnya menuntut apa juga bidang ilmu pengetahuan, baik perubatan, pertanian, pertukangan dan bidang lain diperlukan, seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ilmu dalam bidang ini sewajarnya dikuasai umat Islam. Hal ini semata-mata untuk memajukan umat Islam, sekali gus membolehkan kita menyekat dakyah palsu yang sering menyerang dan merosakkan pemikiran umat Islam. Penguasaan ilmu ICT juga dapat menyebarluaskan ajaran Islam yang suci ke seluruh dunia.

Perlu diingat, dalam kesibukan menuntut ilmu, janganlah sekali-kali meninggalkan tuntutan ilmu agama merangkumi akidah, ibadat dan akhlak supaya mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

- BERITA HARIAN

Ensiklopedia Kewangan Islam dilancar

by
Pastinya apabila menghadiri majlis di Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bukit Kiara di sini, setiap pengunjungnya akan menghadiri majlis ilmu yang berkaitan dengan pasaran modal.

Namun, majlis pelancaran Ensiklopedia Kewangan Islam hari ini benar-benar berbeza kerana ia memiliki gimiknya sendiri yang diwarnai oleh gesekan biola oleh seorang pemilik sebuah firma arkitek yang mendendangkan sebuah lagu lama yang menarik.

Hiburan itu membuatkan majlis pelancaran yang dihadiri oleh Pengerusi SC, Datuk Zarinah Anwar, penulis bersama ensiklopedia tersebut, Dr. Zaha Rina Zahari, Dr. Bala Shanmugam dan Nafis Alam nampak meriah.

Sebelum itu, majlis tersebut turut diperdengarkan ucapan Zaha Rina mengenai hasil ensiklopedia tersebut yang mana beliau dan rakan sekerjanya telah mengambil masa selama dua tahun untuk membangunkan bahan ilmiah itu dan ia bakal menjadi rujukan kepada mereka yang terlibat dalam industri berkenaan termasuk pelajar.

Malah, jelas beliau, ensiklopedia berbahasa Inggeris yang memuatkan 1,384 entri yang memiliki 439 terminologi, 372 dana ekuiti Islam dan amanah pelaburan hartanah (Reit) Islam serta 284 bank Islam dan syarikat pelaburan itu mampu dijual di pasaran antarabangsa.

''Tempahan awal yang saya terima sejak dua minggu lalu adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Bursa Saham Istanbul, selepas itu kami terus menerima banyak lagi tempahan dari bursa berkenaan,'' katanya.

Zaha Rina yang juga Pengarah MAA Takaful Bhd. (MAA Takaful) berkata, ensiklopedia itu turut memuatkan 89 nama pakar akademik, bank dan ketua daripada pelbagai institusi kewangan Islam, 78 organisasi takaful dan takaful semula, 65 sukuk serta 57 institut kajian Islam.

''Ia memiliki 568 muka surat dan dijual pada harga RM250 sebuah,'' jelas beliau.

- UTUSAN

Karpal terus kritik Pemuda UMNO

by
Bukannya hendak meminta maaf, sebaliknya hari ini Karpal Singh menggelarkan pula Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai - budak kecil dan juvenil.

Dalam maklum balas kepada desakan Khairy supaya beliau mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam berhubung tuduhannya yang pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru kepadanya, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata:

"Khairy sepatutnya belajar daripada bapa mertuanya (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Saya bersama beliau telah memasuki Parlimen sejak 1978.

"Saya sudah berada dalam Parlimen selama tujuh penggal, siapakah Khairy Jamaluddin untuk mencabar saya.

"Saya tiada masa untuk Khairy, jikalau saya ada masa, baik saya gunakan untuk urusan lain."

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar Istana Negara di sini hari ini.

Semalam, Khairy Jamaluddin memberi tempoh 24 jam kepada Karpal untuk mengemukakan bukti bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.

Terdahulu, sekumpulan ahli pergerakan itu dari Selangor berdepan dengan Karpal di pekarangan Parlimen, menuntutnya meminta maaf berhubung panggilan 'Pemuda UMNO celaka' di dalam Dewan Rakyat.

Bagi Karpal, beliau tidak gerun dengan 'ugutan' Khairy.

"Ini merupakan satu ugutan daripada Khairy terhadap saya. Saya tiada masa untuk juvenil politik.

"Saya ingin menjelaskan di sini, saya tidak takut kepada sesiapa. Jangan ugut saya...Jangan ugut saya," tegas beliau berulang kali.

Sementara itu, Pemuda UMNO sedia bertanggungjawab berhubung insiden kekecohan di bangunan Parlimen semalam, sekalipun terpaksa menghadapi tindakan mahkamah.

Malah Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sendiri sanggup tampil bersama-sama untuk memperjelaskan dan berdepan dengan apa jua kemungkinan.

"Kita lihat provokasi dibangkitkan bukan sahaja dalam hal memanggil 'Pemuda UMNO celaka' tetapi sebelum ini pun kita tengok provokasi demi provokasi yang bukan mudah kita bendung kemarahan orang ramai telah dilakukan.

"Dalam hal ini, jika saya sendiri perlu diheret ke mahkamah, saya sanggup lakukannya untuk memperjelaskan apa yang berlaku dan apa peranan saya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Belia Mengenai Keganasan di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas insiden kekecohan di Parlimen semalam, apabila sekumpulan ahli Pemuda UMNO Selangor berdepan dengan Karpal Singh bagi mendesak Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meminta maaf atas ungkapan menghina pergerakan itu.

Mereka tidak berpuas hati dengan ungkapan 'Pemuda UMNO celaka' yang diucapkan Karpal semasa sidang Dewan Rakyat selain kenyataannya menuduh ahli pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru ke kediamannya.

Hishammuddin berkata, Pemuda UMNO akan terus mempertahankan nama baik dan maruah orang Melayu terutama institusi raja-raja Melayu daripada dihina oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, insiden yang berlaku itu menunjukkan emosi ahli pergerakan tersebut sudah tidak dapat dibendung kerana perbuatan provokasi Karpal.

"Kita tahu jika kita paksa dia meminta maaf sekalipun, dia tidak akan melakukannya. Saya sudah kata Pemuda UMNO marah dan semua pihak pun marah. Siapa yang tak marah jika dipanggil dengan pelbagai nama.

"Jadi jangan main dengan api kerana kemarahan itu merupakan satu perkara yang jika tidak dibimbing dan dibendung akhirnya akan meluas pada isu yang lebih besar,'' tegasnya.

Beliau memandang serius keadaan yang berlaku sekarang dan memantau apa yang terjadi kerana ia dikhuatiri akan berleluasa.

- UTUSAN

Bantah guna perkataan ‘Allah’

by
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria terkejut dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Tokoh Maal Hijrah itu menegaskan Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan berbeza dengan agama lain.

“Mengapa hendak bertolak-ansur sangat dalam hal ini? Kalau ikut enakmen jabatan agama islam negeri pun memang tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN.

Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia hari ini mendesak kerajaan membatalkan semula pewartaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah pewartaan tersebut mampu mencetuskan kegelisahan di kalangan orang Islam.

“Keputusan itu juga dilihat melanggar arahan Jemaah Menteri yang dibuat pada 19 Mei 1986,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainul Rijal memberitahu, mahkamah sepatutnya tidak membenarkan penggunaan kalimah tersebut bagi digunakan oleh orang bukan Islam, tambahan lagi 10 buah negeri telah menggubal undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Enakmen tersebut memperuntukkan adalah menjadi kesalahan menggunakan kalimah tersebut untuk kegunaan orang bukan Islam.

Dalam perkembangan sama, Zainul Rijal memberitahu, mahkamah tidak sepatutnya mengatasi keputusan Jemaah Menteri dan undang-undang yang diperkenankan oleh raja Melayu.

‘‘Hal ini seolah-olah ingkar dengan titah perintah raja yang melibatkan hal ehwal agama Islam,” katanya.

Di PULAU PINANG pula, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Shabudin Yahaya terkejut dengan keputusan KDN membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama Kristian.

Beliau, yang bimbang dengan perkembangan itu, menggesa KDN membuat penelitian sedalam-dalamnya berhubung perkara itu kerana ia menyentuh sensitiviti agama suci itu dan umat Islam di negara ini.

“Bagi saya ini amat bahaya kerana ia boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat terutama yang beragama Islam.

“Dalam kes penerbitan Herald – The Catholic Weekly, perkara tersebut masih menjadi perdebatan. Kenapa warta ini boleh dikeluarkan?’’ soalnya.

Lebih menghairankan Shabudin, mengapa isu itu dibangkitkan pada masa sekarang walaupun agama Islam sudah diangkat sebagai agama rasmi.

- UTUSAN

Untung Maybank merosot kepada RM1.3 bilion

by
Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengumumkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 11 peratus bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008 kepada RM1.31 berbanding RM1.47 bilion untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penurunan keuntungan itu disebabkan sumbangan yang rendah daripada perbankan antarabangsa, perbankan pelaburan dan operasi insurans ekoran persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi tempoh enam bulan turut mengalami kejatuhan sebanyak 10 peratus kepada RM1.84 bilion berbanding RM2.04 bilion untuk tempoh sama sebelumnya.

"Namun Maybank mencatatkan peningkatan kadar faedah bersih sebanyak 3.2 peratus kepada RM2.81 bilion dan perolehan bagi semua segmen perniagaan kami meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM8.46 bilion,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan bank itu di sini, hari ini. Hadir sama di majlis itu adalah Ketua Pegawai Kewangan Maybank, Khairulsaleh Ramli.

Sementara itu, kumpulan Maybank turut mengumumkan cadangan terbitan hak sehingga RM6 bilion sebagai komponen utama dalam pelan tranformasi strategik untuk mengukuhkan modal selain dijadikan asas kukuh dalam pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan.

''Ia merupakan usaha kami untuk menjadi antara lima bank terbaik rantau ini menjelang 2015. Pelan transformasi strategik akan memberi fokus untuk mengukuhkan perniagaan asas dan francais untuk mencapai penanda aras global.

''Selain itu, ia adalah untuk menambah asas modal melalui terbitan hak serta meletakkan struktur organisasi bagi menyediakan fleksibiliti untuk pembahagian modal dan sumber pengurusan keseluruhan kumpulan,'' jelasnya.

Daripada aspek sukuan, keuntungan bersih suku keduanya yang berakhir 31 Disember 2008 berjumlah RM960.3 juta, meningkat berbanding RM881.8 juta pada suku pertama yang berakhir pada 30 September 2008, kata Abdul Wahid.

"Keuntungan kasar bagi suku kedua Kumpulan berjumlah RM734.6 juta berbanding RM572.2 juta pada suku sebelumnya.

"Prestasi Kumpulan Maybank menggambarkan pulangan bersih ekuiti tahunan sebanyak 13.2 peratus," katanya.

Maybank menjangkakan pertumbuhan pinjamannya akan meningkat sebanyak enam hingga tujuh peratus pada tahun ini berikutan penurunan kadar faedah yang dilakukan baru-baru ini sejajar dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.00 peratus.

''Namun kami menjangkakan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) kami akan meningkat pada tahun ini dan kami akan memantau perkembangannya dari masa ke masa,'' jelasnya.

Ketika ditanya mengenai semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baru diumumkan, Abdul Wahid berkata, Maybank Investmnent Bank akan membentangkan unjuran baru mereka pada minggu hadapan setelah mengambil kira pelbagai perkembangan terbaru berhubung situasi ekonomi semasa.

Abdul Wahid berkata, Maybank positif dengan perkembangan operasi MCB Bank Ltd., Pakistan dan PT Bank Internasional Indonesia (BII) dan akan terus mengukuhkan operasi antarabangsanya terutama di Indonesia, Singapura dan Filipina.

Maybank juga yakin dan optimistik akan mencapai keuntungan bagi tahun kewangan berakhir Jun 2009 ini dan seterusnya bagi tahun kewangan akan datang.

- UTUSAN

MINI KARNIVAL PEKERJAAN DAERAH SEREMBAN

by
TARIKH : 2 MAC 2009 (ISNIN)

MASA : 9.30 PAGI - 5.00 PETANG

TEMPAT : DEWAN SERBAGUNA WISMA NEGERI, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.

ANJURAN : JABATAN TENAGA KERJA SEREMBAN

* Sila bawa Sijil-sijil berkaitan & Resume

Sivakumar panggil sidang DUN Perak tergempar 3 Mac 2009

by

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar berkata beliau akan memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada 3 Mac ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Usul pertama daripada ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Sivakumar memberitahu pemberita di sini bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Katanya arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua ADUN bagi menghadiri sidang tersebut.

Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco yang telah digantung oleh Sivakumar serta tiga ADUN Bebas yang didakwanya telah meletak jawatan, tidak diberikan notis untuk hadir.

Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan terlebih dahulu akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya tindakan selanjutnya jika kesemua ADUN BN enggan menghadiri sidang tergempar itu ataupun jika kesemua 10 ADUN yang tidak dibenarkan hadir itu tetap menghadirkan diri mereka ke sidang tersebut.

Zambry ketika dihubungi enggan mengulas mengenai tindakan Speaker itu dan sekadar berkata : "Itulah sebenarnya watak mereka."

- BERNAMA

Urutan Peristiwa Krisis Politik di Perak

by
26 FEBRUARI: Speaker DUN Perak V.Sivakumar memanggil sidang tergempar pada 3 Mac 2009.

23 FEBRUARI: Polis mengambil keterangan Speaker DUN Perak V. Sivakumar berhubung laporan polis yang dibuat oleh sepasukan tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Pakatan Rakyat akan membawa usul undi percaya terhadap "kepimpinannya" sebagai ketua kerajaan negeri yang "sah" apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang.

22 FEBRUARI: Nizar mula mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh.

18 FEBRUARI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Zambry serta enam anggota exconya daripada menghadiri sidang dewan antara 12 dan 18 bulan berkuatkuasa serta-merta. Sivakumar mendakwa tindakan Zambry dan enam exco itu mengangkat sumpah jawatan mereka adalah bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri serta menghina DUN.

13 FEBRUARI: Nizar mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perisytiharaan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar, 52, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah deklarasi bahawa Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada 6 Februari lepas, tidak berhak memegang jawatan itu.

7 FEBRUARI: Kira-kira 3,000 penyokong Barisan Nasional (BN) pagi tadi mengadakan demonstrasi secara aman di Ipoh bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

6 FEBRUARI: Nizar dalam sidang medianya berkata, beliau akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengisytiharkan angkat sumpah Menteri Besar baru, Dr Zambry sebagai tidak sah. Beliau enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak atas keyakinan yang beliau masih secara sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

6 FEBRUARI: Upacara mengangkat sumpah Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak berakhir.

6 FEBRUARI: Speaker V. Sivakumar berkata, beliau telah menghantar dua pucuk secara peribadi dan faks kepada Sultan Perak memohon perkenan baginda untuk mengadakan mesyuarat DUN tergempar dan menangguhkan upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru.

6 FEBRUARI: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri menggunakan kenderaan rasmi baru kerajaan negeri, Toyota Camry. Beliau dibenarkan melalui pintu masuk utama di jalan utama yang menghala bangunan tersebut pada pukul 9.50 pagi. Kesemua 10 Exco Pakatan Rakyat yang bersama beliau juga dibenarkan masuk. Kemudian Nizar diiringi keluar daripada pejabat MB. Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias yang turut menghalang Nizar daripada mengadakan sidang media di pejabat tersebut.

5 FEBRUARI: Perdana Menteri mengumumkan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.

5 FEBRUARI: Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan DUN Perak dan meminta Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Jika tidak, jawatan itu dianggap kosong.

5 FEBRUARI: Najib memberitahu wartawan yang beliau telah memberitahu Sultan Azlan Shah bahawa BN mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Perak. Katanya, Sultan akan menitahkan keputusannya tidak lama lagi.

4 FEBRUARI, 9 MALAM: Di IPOH: Menteri Besar Perak menghadiri mesyuarat tergempar PAS.

4 FEBRUARI, 5.45 PETANG: Di IPOH: Menteri Besar Perak mengadap Sultan Perak di Istana Kinta untuk menjelaskan kedudukan senario politik di Perak dan meminta perkenan pembubaran DUN.

4 FEBRUARI, 5 PETANG: Di PUTRAJAYA: Sidang media di pejabat Timbalan Perdana Menteri mengumumkan sokongan empat ADUN Pakatan Rakyat kepada BN. BN mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

4 FEBRUARI, 3.50 PETANG: Di IPOH: Menteri Besar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

4 FEBRUARI, 3 PETANG: Di IPOH: Menteri Besar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta-merta sebelum memohon perkenan Sultan.

4 FEBRUARI, 1 TENGAH HARI: Di IPOH: Menteri Besar Perak menangguhkan sidang media yang dijadual diadakan di pejabatnya.

4 FEBRUARI, 11.50 PAGI: Di KUALA LUMPUR: ADUN Behrang bertegas akan memasuki DUN Perak dan tiada siapa yang berhak menghalangnya.

4 FEBRUARI, 11.30 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak ketika dihubungi mStar Online mengatakan bahawa tidak akan membubarkan DUN Perak.

2 FEBRUARI, PETANG-MALAM: Di IPOH: Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil. Menteri Besar Perak dikatakan mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. DAP dan PAS - dua komponen Pakatan juga mengadakan mesyuarat antara petang dan malam ini.

2 FEBRUARI, 4.00 PETANG: Di SEPANG: Dua ADUN yang disebut-sebut akan hadir membuat sidang media tidak muncul. Exco Kerajaan Perak Jamaluddin Mohd Radzi gagal menghadirkan diri kerana masih sakit, kata pegawai khasnya, Firdaus Shaharudin.

2 FEBRUARI, 12.30 TENGAH HARI: Di PETALING JAYA: Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan sudah dimaklumkan tentang kekosongan dan akan mengadakan mesyuarat esok.

2 FEBRUARI, 10.00 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dilihat masuk mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kinta, Ipoh. Beliau keluar setengah jam kemudian selepas dipercayai memaklumkan mengenai perkembangan semasa politik negeri ini khususnya berkaitan isu percanggahan peletakan jawatan Jamaluddin dan Mohd Osman sebagai ADUN.

2 FEBRUARI, 10.00 PAGI: Di IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap menganggap ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu yang "hilang" sejak Isnin lepas sebagai wakil rakyat parti itu.

Menurut Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar dari parti.

2 FEBRUARI, 8.00 PAGI: Di IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar menyerahkan surat secara rasmi memaklumkan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak mengenai kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang.

Surat rasmi itu telah diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Perak, Ahmad Adli Abdullah pada pukul 8 pagi tadi.

2 FEBRUARI, 1.30 PAGI: Di SHAH ALAM: Laporan polis dibuat oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak, Mohd Osman Jailu melalui wakilnya berhubung isu mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering. Laporan dibuat oleh wakil Mohd Osman, Mohd Farizal Umar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11.

1 FEBRUARI, 9.30 MALAM: Di IPOH: ADUN Behrang menafikan yang beliau ada menghantar surat letak jawatan kepada Speaker DUN dan mahu mencabar kesahihannya.

1 FEBRUARI, 6.40 PETANG: Di PETALING JAYA: Menteri Besar Perak hampir yakin kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering akan keluar Pakatan Rakyat.

1 FEBRUARI, 5.45 PETANG: Di IPOH: Dua ADUN perak daripada PKR yang "hilang" sejak Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatan serta-merta. ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.

1 FEBRUARI, 10 PAGI: Di KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai BN.

1 FEBRUARI, 11.00 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

31 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat malam ini dengan membincangkan secara mendalam isu ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering. Ia juga beranggapan bahawa kedua-dua mereka sudah hampir pasti keluar PKR.

30 JANUARI: Di IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada PKR, akan menyertai BN.

29 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.

25 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Umno dan BN untuk menyertai PKR dan Pakatan Rakyat.

Nizar serah kediaman rasmi, simpan Toyota Camry

by

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini secara rasminya menyerahkan kunci kediaman Menteri Besar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk terus menyimpan kereta rasmi Toyota Camry walaupun kerajaan negeri telah mengambil semula kesemua kereta 10 bekas Exconya.

Pegawai khas beliau, Amran Harun memberitahu media, Nizar akan menyimpan kereta tersebut sebagai tanda beliau tidak pernah mengalah dalam mempertahankan yang beliau masih Menteri Besar yang sah.

"AJS10 akan disimpan sebagai simbol sementara menunggu keputusan mahkamah.

"Jika mahkamah mendapati Nizar sebagai (Menteri Besar) tidak sah, baru kita akan memulangkan kereta itu," katanya di kediaman rasmi Menteri Besar di sini selepas menyerahkan kunci kediaman itu kepada Ketua Penolong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Shamshuzaman Sulaiman.

Katanya, Nizar menggunakan Toyota Camry itu untuk menjelajah ke seluruh negeri sejak tiga minggu lalu bagi menerangkan apa yang sebenarnya berlaku apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa.

"Rakyat tidak mendapat laporan yang betul. Ada yang mengatakan Nizar telah melakukan penderhakaan (terhadap Sultan Perak) tetapi beliau ingin memberitahu bahawa ia bukan sedemikian," katanya.

Ahad lalu, Nizar dan tujuh ahli keluarganya telah mula berpindah daripada kediaman itu ke rumah persendirian yang tidak didedahkan.

Pakatan Rakyat kini sedang menunggu keputusan saman yang difailkan berhubung keputusan Nizar untuk mencabar kesahihan penggantinya, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan meminta mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Menteri Besar yang sah.

Berbanding drama yang berlaku di Perak sejak beberapa minggu lalu, acara penyerahan kunci kediaman pada hari ini berlangsung tanpa sebarang kekecohan kira-kira pukul 11.25 pagi tadi.

Shamshuzaman berkata, kerajaan negeri telah mengambil semula 10 Toyota Camry dan lima lagi kereta di kediaman rasmi.

Katanya, kunci itu akan diserahkan kepada Dr Zambry pada bila-bila masa selepas Jabatan Kerja Raya melakukan pemeriksaan di premis tersebut.

Shamshuzaman juga meminta kerjasama Amran untuk mendapatkan semula Toyota Camry itu sambil menambah, surat berhubung hal itu telah pun dihantar kepada Nizar.

Ketika beliau bertanya Amran,"Bagaimana dengan AJS10?"

“AJS10, MB kata tunggu keputusan mahkamah!" jawab Amran.

Nizar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu bagi mengisytiharkan pelantikan Dr Zambry selaku Menteri Besar Perak 6 Februari lalu sebagai tidak sah.

Kerajaan negeri Perak yang sebelum ini diterajui Pakatan Rakyat jatuh kepada BN selepas tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pakatan keluar daripada parti dan menjadi ADUN bebas tetapi menyokong BN.

- MSTAR

Kabinet tunda kenaikan tol di lima lebuhraya

by

Kabinet hari ini menunda keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya seperti diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed semalam.

Dalam sidang medianya sebentar tadi, Mohd Zin berkata berikutan itu, kenyataannya semalam mengenai kenaikan kadar tol tersebut, dibatalkan.

Katanya, kenaikan kadar tol itu ditangguhkan hingga akhir tahun ini ekoran reaksi negatif orang ramai serta keadaan ekonomi sekarang.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta keputusan menaikkan kadar tol itu dikaji semula kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membuat keputusan.

Semalam kalangan wakil-wakil rakyat kerajaan mempertikaikan tindakan mendadak kementerian tersebut.

Semalam, Mohd Zin Mohamed mengumumkan kenaikan kadar tol - antara 0.68 sen/km hingga 50 sen - bagi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Bagaimanapun, di Putrajaya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar baru tol itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan oleh Mohd Zin.

Mohd Zin pada sidang akhbar di kementeriannya petang ini berkata kerajaan kan menangguhkan kenaikan kadar baru tol di lima lebuhraya berkenaan sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan kenaikan kadar tol itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM500 juta, yang terdiri daripada ang pembayar cukai kepada syarikat konsensi kelima-lima lebuh raya itu.

Najib yang juga menteri kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan emberita mengenai perkara itu dalam sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di Putraya.

Semalam, Mohd Zin mengumumkan kadar kenaikan tol terbabit adalah seperti berikut:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint). Plaza tol Pantai: naik 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 (naik 33) dan Plaza tol Damansara: naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12): Kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2 (naik 33%).

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Dalam kenyataannya, Mohd Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

- BERNAMA

Pemilih di Bukit Gantang, Bukit Selambau boleh semak maklumat pengundian

by
Pengundi di dua kawasan pilihan raya kecil yang bakal diadakan serentak 7 April ini iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah, boleh mula menyemak maklumat pengundian mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata maklumat yang boleh disemak termasuk nama pusat mengundi dan nombor saluran mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui tiga cara, iaitu melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my, melalui SMS dan di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan di Kedah, katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Bagi perkhidmatan SMS, Ngah berkata perkhidmatan itu mula beroperasi mulai Rabu lalu sehingga 7 April nanti, dan caj sebanyak 35 sen dikenakan untuk setiap SMS yang dihantar.

Untuk menghantar SMS, pemilih berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya tersebut hanya perlu menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Bagi semakan dengan Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri, pemilih di Bukit Gantang boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak di talian 05-2547189 manakala pengundi di Bukit Selambau boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah di talian 04-7001313 atau 04-7001303.

Semakan itu boleh dibuat setiap hari dari 1 Mac hingga 7 April ini.

Pada 13 Feb lepas, SPR menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak, iaitu penamaan calon masing-masing pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.

- BERNAMA

SKIM PROGRAM PELATIH PENGURUSAN - TH PLANTATION BERHAD

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

TH Plantation Berhad (Anak Syarikat Tabung Haji)

Pengambilan Pelatih Pengurusan

TH Plantation Berhad mempelawa graduan – graduan lepasan Ijazah/Diploma yang masih belum bekerja dan sedang mencari peluang pekerjaan untuk mengikuti skim ini.

Skim Program Pelatih Pengurusan

Program ini akan dijalankan selama 6 bulan dan akan menyediakan latihan dan pendidikan persekitaran pekerjaan sebenar.Di samping mendapat bimbingan daripada para professional yang mahir dalam bidang masing – masing.Di antara kemudahan yang disediakan :

-Elaun bulanan sebanyak RM 1000.00 dan elaun penginapan RM 200.00
-Perlindungan Insurans Kemalangan Peribadi dan Hospital / PERKESO

Syarat-Syarat Permohonan:

- Warganegara Malaysia dan masih belum mempunyai pekerjaan

- Mempunyai ijazah atau diploma dalam salah satu daripada bidang berikut :

Ekonomi / Ekonomi (Kewangan) / Pentadbiran Perniagaan / Pemasaran (Pertanian)

– Permohonan untuk calon lelaki sahaja.
- Berumur tidak melebihi 30 tahun
- Kemahiran Bahasa Inggeris adalah diutamakan

Sila hantar permohanan anda dengan menyertakan surat permohonan beserta dengan foto saiz passport,resume,sijil –sijil serta satu salinan kad pengenalan ke alamat berikut :

Pengurus Kanan Pentadbiran
TH Plantation Berhad
Tingkat 27,Bangunan TH Selborn
153,Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur

Tarikh Tutup: 5 Mac 2009

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PERBANDARAN JOHOR BAHRU TENGAH (MPJBT)

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.
Keutamaan kepada Rakyat Negeri Johor Darul Takzim.

JAWATAN:
1.PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN U29
2.PEMBANTU TEKNIK J29
3.PEMBANTU TEKNIK LANDSKAP J29
4.PEMBANTU PENGUATKUASA N17
5.JURUAUDIO VISUAL N17
6.JURUTEKNIK J17
7.JURUTEKNIK KOMPUTER FT17
8.JURUTEKNIK PERANCANG BANDAR DAN DESA J17
9.PEMBANTU PENILAIAN W17
10.PEMANDU KENDERAAN R3
11.PEMBANTU PENGUATKUASA (TEMPAT LETAK KERETA) N17

Maklumat Lanjut & Borang Permohonan :
http://www.mpjbt.gov.my

Tarikh Tutup: 11 Mac 2009


JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA JURUTERA MALAYSIA (LJM)

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
-PENOLONG PEGAWAI TADBIR (N27)

Maklumat Lanjut & Borang Permohonan :
http://www.bem.org.my

Tarikh Tutup: 23 Mac 2009


Sejarah pembesaran Masjidil Haram

by

Sewaktu Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Ismail a.s. mendirikan Kaabah atas perintah Allah SWT, ia adalah sebuah bangunan yang didirikan di tengah-tengah kawasan terbuka. Kedudukannya ini mendefinisikan arah kiblat umat Islam.

Pada masa itu solat dan tawaf dilakukan di kawasan yang terbuka. Malah binaan bangunan ini tidak berubah-ubah sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW.

Had ruang terbuka ini ditentukan oleh kawasan kediaman dan bangunan-bangunan komersial yang semakin berkembang dari semasa ke semasa di sekelilingnya.

Malah pelaksanaan ibadat sa'ie telah dilakukan sepanjang lorong sempit yang selari dengan kedai-kedai dan rumah-rumah yang terletak di bahagian antara bukit Safa dan Marwah.

Kini ruang terbuka tersebut telah diubah menjadi laman dalam (courtyard) sebuah masjid agung iaitu Masjidil Haram, Mekah.

Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas seperti sekarang.

Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.

Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

Kaum Quraisy yang merupakan ketua puak Arab direkodkan adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pembesaran pertama sekeliling Kaabah iaitu pada 604. Diikuti sekurang-kurangnya 10 fasa pembesaran Masjidil Haram.

Yang pertama padan zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar ini telah menetapkan sempadan dan yang terakhir dilakukan semasa pemerintahan Al-Malik Fahd, kerajaan monarki Arab Saudi yang kelima.

Walau bagaimanapun, sehingga pembesaran pertama pada 1955 di bawah Raja Abdulaziz Al-Saud, masjid itu hanyalah sekadar ruang terbuka yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan beratap yang bersebelahan, sekali gus menandakan sempadan.

Khalifah ketiga, Othman bin Affan merancang semula terutamanya untuk ruang tawaf dengan merobohkan khemah-khemah yang kurang penting.

Pada 1988, sekali lagi Masjidil Haram melalui pembesaran secara besar-besaran pada masa pemerintahan Al-Malik Fahd. Selepas perluasan itu, keluasan Masjidil Haram menjadi 117,480 meter persegi iaitu 16,745 peratus lebih besar saiznya pada zaman Baginda Rasulullah SAW.

Penambahan kawasan lantai yang lebih teguh serta pertama kalinya diperkenalkan pengunaan penghawa dingin merupakan pembesaran kali kedua Masjidil Haram.

Pembesaran kali kedua ini juga melibatkan kawasan berbumbung yang terbuka untuk tujuan solat dan tawaf serta pelebaran perkarangan di pintu gerbang Bab Al-Malik dan Bab al-Salam.

Hamparan jernih batu marmar yang berkilat di laluan perkarangan pintu masuk turut memberi keselesaan kepada tetamu Allah terutamanya sewaktu mendirikan solat di sebelah malam.

Namun yang paling penting ialah penambahan penyediaan kemudahan tandas dan tempat berwuduk yang dibina di bahagian bawah tanah, telah berjaya menjadikan urusan jemaah haji lebih selesa dan dapat memberi tumpuan kepada penyerahan diri kepada Allah SWT.

- UTUSAN

Yahudi wujud di Pulau Pinang?

by
Komuniti Yahudi di Malaysia? Benarkah wujud komuniti itu di negara ini? Tentu ramai daripada kita yang tidak tahu bahawa komuniti Yahudi pernah hidup dan bertapak di Pulau Pinang suatu ketika dahulu.

Kawasan perkuburan Yahudi di Jalan Sultan Zainal Abidin di Georgetown adalah bukti mereka pernah mendiami bumi Malaysia ini. Terdapat lebih 100 kubur di situ yang dibina dalam pelbagai bentuk.

Pada kubur-kubur itu juga terdapat simbol-simbol keyahudian, antaranya termasuk bintang berbucu enam (Star of David) dan piramid bermata (Eyes of God). Di samping itu, terdapat rumah ibadat Yahudi (Synagogue) di kawasan berhampiran.

Perkuburan ini sentiasa bersih. Kemudian, seorang lelaki Yahudi akan datang ke situ dua kali setahun dan membayar upah kepada penjaganya bagi memastikan perkuburan tersebut sentiasa terpelihara.

Siapakah lelaki Yahudi itu? Dan lebih penting lagi, di manakah warga-warga Yahudi yang lainnya? Apakah mereka tidak gusar menjadi Yahudi di negara ini?

Rejim Zionis Yahudi di Israel sering kali melakukan kekejaman terhadap jiran-jirannya di Asia Barat, terutama sekali Palestin dan Lebanon. Timbul pertanyaan, adakah warga-warga Yahudi di Pulau Pinang ini juga mempunyai pendirian yang sama dengan Zionis di Israel?

Warga Yahudi ini hidup aman damai dan bebas mengamalkan agama mereka. Malah, rabai Yahudi juga pernah 'menikahkan' seorang wanita Melayu dengan seorang lelaki Hindu. Mereka mempunyai tujuh anak dan menjalani kehidupan yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Anda terkejut? Pendedahan menarik ini adalah salah satu daripada artikel yang dipaparkan dalam majalah Al Islam keluaran Mac 2009.

Selain usaha wartawan Al Islam menjejaki komuniti Yahudi di Pulau Pinang, artikel-artikel lain yang turut disiarkan ialah tentang siapa dalang sebenar penubuhan Suruhanjaya Antara Kepercayaan (IFC), rayuan imam Masjid Nabawi kepada umat Islam, taktik baru ah long memerangkap orang Islam, kedudukan Islam selepas setahun tsunami politik serta pandangan ahli agama tentang fenomena cerai-berai dan memburuk-burukkan pasangan yang semakin menjadi-jadi dewasa ini.

Liputan Blog

by
Isu kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyatakan "Singh adalah raja" telah mendapat maklum balas segera dalam kalangan penulis blog.

Namun di sebalik kenyataan itu, Stephen Francis (shanghaistephen.blogspot.com) menulis, dalam keadaan kewangan global sekarang baginya "wang adalah raja."

Katanya, jika tidak masakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Mawar, Keshvinder Singh membuat dakwaan beliau ditawarkan sebanyak RM20 juta supaya menjadi wakil rakyat Bebas.

"Percayakah anda? Kesh (Keshvinder) mendakwa ketika tawaran itu dibuat, dia turut menamakan seorang wartawan akhbar berbahasa Cina. Tetapi siapa wartawan itu dan dari akhbar mana perlu diberi perhatian. Pada masa ini wang masih lagi sebagai raja," tulisnya.

Sementara itu Stephen Doss (stephendoss.blogspot.com) dalam tulisannya di bawah tajuk "UMNO atau bangsa, yang mana dahulu?" menanyakan sama ada keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu mengundur diri sebagai Perdana Menteri memberi kesan kepada UMNO ataupun bangsa.

"Saya harap Tuhan membuat keputusan yang memberi kebaikan kepada bangsa," tulisnya.

Penulis turut mempersoalkan apabila ahli UMNO membuat keputusan berkaitan kerajaan dan apabila mereka memilih pemimpin terbaik, adakah pemilihan itu untuk UMNO atau negara?

"Jadi, apabila UMNO memilih lebih perkauman atau lebih Melayu di kalangan mereka, apakah ini menterjemahkan bahawa ia adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia yang pelbagai kaum?

"Tidakkah lebih baik jika UMNO memilih rakyat Malaysia yang terbaik dan paling moderat sebagai Perdana Menteri dan paling Melayu sebagai Presiden UMNO... Dua orang berbeza untuk dua jawatan berbeza," tulisnya.

A. Kadir Jasin (akadirjasin.com) dalam tulisannya pada 24 Februari pula membidas pembaca-pembaca blognya yang tidak matang dan toleran.

Katanya, apabila beliau menulis dan membuat perbandingan antara dunia pelacur Hong Kong Suzie Wong dan dunia Elizabeth Wong dalam tulisan terdahulu, ia telah menimbulkan kemarahan dan teguran ramai pembaca.

"Ada yang menuduh saya mengamalkan tabloid journalism dan penulisan picisan. Rasa-rasanya tulisan saya itu bukan kewartawanan tabloid mahupun penulisan picisan. Sebaliknya saya rasa ia lebih mirip kepada genre satira. Dalam bahasa Inggeris, satire (sataya).

"Dalam satira, perlakuan jahat, sumbang, kegila-gilaan, kebudak-budakan dan kelemahan manusia didedahkan dan diadili melalui cemuhan, sindiran dan ironi dengan tujuan mencari kebaikan," tulisnya.

Katanya, ramai pembaca begitu emosi dan marah-marah apabila beliau menulis sesuatu yang tidak memihak kepada pembangkang apatah lagi mengkritik pembangkang tetapi apabila kritikal terhadap pemerintah, begitu ramai yang menyokongnya dan berapi-api mengkritik dan mengutuk pemerintah.

"Jadi saya kadang-kadang bertanya kepada diri sendiri, apakah benar seperti yang diuar-uarkan, iaitu pengundi kita semakin matang, bijak, toleran, demokratik, liberal dan menghormati hak asasi manusia?

Kalau benar mereka lebih menghormati hak asasi manusia, mereka tentulah tidak mencemuh apatah lagi memaki hamun orang lain semata-mata kerana fahaman atau afiliasi politik yang berbeza," tulisnya.

Penulis Syed Imran (kudaranggi.blogspot.com) dalam tulisan terbarunya menulis tentang kealpaan UMNO bagi menghadapi tiga pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Katanya, pilihan raya kecil di Perak, Kedah dan Sarawak itu nanti akan memberi isyarat jelas sama ada rakyat menyokong Barisan Nasional (BN) atau pakatan parti pembangkang,

"Apa yang dapat saya katakan mengenai Bukit Gantang hanyalah satu, setakat ini, iaitu UMNO masih belum belajar daripada kesilapan lampau.

"Sebagai contoh, awal-awal lagi dah sebut atau membuat dakwaan kononnya sebilangan 'ahli Pas' keluar parti untuk menyokong UMNO.

"Taktik atau muslihat sedemikian sudah busuk dan tidak mudah dipercayai oleh rakyat. Kenapa pemimpin UMNO masih belum sedar?" tulisnya.

Tulisnya, para pemimpin UMNO harus sedar bahawa berita-berita sedemikian bukan lagi satu kelebihan kepada mereka untuk meraih sokongan rakyat.

"Satu lagi perkara yang perlu dimaklumkan kepada UMNO dan BN semasa berkempen sama ada di Bukit Gantang atau Bukit Selambau - jangan turunkan mantan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan ketua angkatan muda PKR, Ezam Mohamad Nor.

"Dia bukan aset tetapi liabiliti. Dia memang pandai berpidato sama seperti mantan bosnya itu, tetapi isinya kosong dan tidak diterima rakyat. Rakyat sudah muak dengan isu-isu yang dibangkitnya," katanya.

Penulis ini berkata:" Satu lagi topik yang akan dijadikan isu oleh UMNO adalah soal "derhaka" kepada Raja. Tidak tahu pula sama ada pada zaman sarwajagat tanpa sempadan sekarang perkara itu boleh terus dijadikan isu. Jangan samakan dengan zaman Kesultanan Melaka. Apakah UMNO lupa akan tindak-tanduk ahlinya sendiri di Selangor, Perlis dan Terengganu terhadap Istana?"

Penangan pondan

by
Akibat gemar menjalin percintaan songsang, segelintir lelaki tempatan bukan saja mudah cair dengan pujukan pondan, malah sanggup lari meninggalkan isteri dan anak untuk bersama ‘kekasih’ sejenis itu.

Wartawan Harian Metro yang melakukan siasatan mengenai gejala tidak bermoral itu dapat mengesan beberapa kes dengan bantuan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

Seorang isteri yang sengsara selepas suaminya menghilangkan diri sejak empat tahun lalu kerana mengikut kekasih pondan, ditemubual dengan syarat nama sebenarnya tidak disiarkan.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 39, menyedari kegemaran ganjil suaminya yang dikenali sebagai Mi apabila dia kerap memberi alasan mempunyai kerja di luar pejabat.

“Suami berkelakuan pelik dan dingin dengan saya ketika itu. Saya bertanyakan apa kesalahan saya, namun dia hanya mendiamkan diri.


“Allah itu adil. Selepas melakukan solat istikharah dan solat hajat, bukti kecurangan suami timbul depan mata.

“Seorang pondan datang ke rumah lalu bertanyakan suami yang ketika itu sakit perut,” katanya.

Pondan itu yang memperkenalkan diri sebagai Rosman atau Ros, kemudian dibenarkan bermalam di rumah mereka.

Malangnya, Intan terkejut apabila suami menyelinap masuk bilik pondan itu pada tengah malam.

Dia berkata, hancur hatinya apabila melihat suami dan pondan itu dalam keadaan amat mengaibkan.

Selepas berlaku pertengkaran antara Intan dan Rosman, kata Intan, suaminya menghilangkan diri bersama pondan itu dengan meninggalkan dua anak mereka yang kini berusia lima dan lapan tahun.

Dalam satu lagi kes, seorang eksekutif sebuah syarikat minyak berkenalan dengan pondan yang juga seorang kakitangan baru.

Perkenalan itu semakin intim hingga menjadi buah mulut rakan sepejabat.

Perhubungan songsang mereka terbongkar apabila isteri eksekutif itu menyerang pejabatnya kerana suami tidak balik ke rumah selama empat bulan.

Si suami memberi alasan terlalu banyak perkara perlu diselesaikan di tempat kerja atas arahan bos.

Selepas kejadian itu, pasangan luar tabii terbabit berhenti kerja lalu menghilangkan diri, manakala si isteri yang menderita terpaksa melakukan pelbagai cara supaya suami kembali ke pangkuan keluarga.

Namun, yang menyedihkan dia terpaksa menuntut fasakh selepas suaminya didapati positif HIV.

Mengulas penyakit kronik melanda masyarakat itu, Mohamed Hanafiah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada isteri yang suami mereka lari mengikut pondan.

“Saya menasihatkan semua isteri supaya jagalah hati suami sebaiknya. Kerap bermanja dengan mereka kerana ada suami dalam kes itu memberi alasan tersangkut pondan disebabkan dapat servis ekstra dan pondan lebih manja daripada isteri sendiri.

“Sebenarnya ada perkara tidak sedari dalam hal itu iaitu krisis moral yang serius melanda masyarakat selari dengan konflik ekonomi.

“Jika berlaku kes seumpamanya, pasti semua terbabit terganggu mental, sekali gus daya produktiviti mereka untuk bekerja turut terjejas,” katanya.

Berdasarkan aduan terbabit, katanya, purata umur suami antara 30 hingga 40-an dan mempunyai latar belakang pekerjaan pelbagai serta berasal tanpa mengira dari bandar atau luar bandar.

Hanafi juga menceritakan pengalamannya ketika menghadiri majlis ‘perkahwinan’ pondan dan lelaki di sini, tahun lalu.

“Ia umpama di Barat tanpa sebarang akad. Saya bersama rakan yang menyamar sebagai jemputan beristighfar apabila menyaksikan majlis penuh dengan hidangan botol arak. Si pondan dipakaikan gaun pengantin perempuan dan mahkota.

“Kumpulan perosak akhlak itu hanya ‘mengesahkan’ perkahwinan pondan dan lelaki itu apabila pasangan terbabit memotong kek,” katanya.

- HARIAN METRO

27 Februari 2009

Perolehan Telekom Malaysia RM11.3b pada 2008

by
CELCOM (Malaysia) Berhad (Celcom) dan PT Excelcomindo Pratama Tbk (XL) memacu pertumbuhan pendapatan TM International Bhd (TMI) menyaksikan kumpulan itu mencatat pendapatan RM11.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sri Jamaludin Ibrahim, berkata seperti tahun lalu, Celcom mengekalkan prestasi memberangsangkan dan terus mencatat prestasi suku tahun terbaik pada 2008 walaupun berdepan dengan persaingan sengit dalam keadaan makro-ekonomi lemah dan pelancaran Perkhidmatan Portabiliti Nombor Mudah Alih (MNP).

“Penyedia perkhidmatan telefon mudah alih itu mencipta rekod apabila mencatat suku pertumbuhan ke-11 berturut-turut dan meraih hasil kukuh RM5.6 bilion,” katanya ketika mengumumkan pendapatan keputusan kewangan TMI di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif dan Ketua Kewangan Kumpulan TMI, Datuk Yusof Annuar Yaacob.

Jumlah pelanggan pascabayar Celcom bertambah kepada 8.8 juta manakala bagi segmen prabayar, jumlah pelanggannya berambah kepada 1.1 juta.


Celcom juga mencatat peningkatan pelanggan dalam perkhidmatan jalur lebar dengan pertumbuhan ketara 27 peratus.

Penyumbang kedua terbesar TMI, XL, iaitu rangkaian telekomunikasi di Indonesia, mencatat pendapatan 5,132 bilion rupiah yang disokong pertambahan pelanggan sehingga 68 peratus kepada 26 juta.

Bagaimanapun, pendapatan XL sederhana pada suku keempat 2008 berikutan keadaan ekonomi global yang muram.

TMI adalah syarikat telekomunikasi terbesar di Asia dengan anak syarikat sekutu mudah alihnya adalah Celcom (Malaysia), XL (Indonesia), Dialog (Sri Lanka), AKTEL (Bangladesh), HELLO (Kambodia), Spice (India), M1 (Singapura) dan MTCE (Iran).

Dailog berjaya bertahan sebagai syarikat peneraju dalam industri mudah alih di Sri Lanka, mencatat pertumbuhan pelanggan 29 peratus kepada 5.5 juta, membolehkannya meraih pendapatan Rs36.2 bilion pada 2008.

Mengulas mengenai hutang TMI dengan kumpulan TM berjumlah RM4 bilion, Jamaludin berkata, TMI akan melaksanakan terbitan hak boleh lepas dengan tujuan meraih hasil kasar RM5.25 bilion.

Menurutnya, langkah itu bagi mengurangkan tahap hutang keseluruhan dan mencapai struktur modal optimum.

Katanya, cadangan Terbitan Hak itu di sokong sepenuhnya pemegang saham terbesar TMI, Khazanah Nasional Berhad yang memegang ekuiti 44.5 peratus.

- HARIAN METRO

PROGRAM PENEMPATAN PEKERJAAN ‘TRAIN AND PLACE’ DI CIAST SHAH ALAM

by
Terbuka kepada semua pekerja yang diberhentikan & siswazah menganggur

TARIKH : 28 FEBRUARI 2009 (SABTU)

MASA : 9.00 PAGI - 5.00 PETANG

TEMPAT : PUSAT LATIHAN MENGAJAR & LATIHAN LANJUTAN (CIAST) SHAH ALAM

AKTIVITI : TEMUDUGA & KHIDMAT NASIHAT KERJAYA

ANJURAN : KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Kes Peluru & "Celaka" : Karpal dikepung Pemuda UMNO

by

Pengerusi DAP Karpal Singh dikepung sekumpulan anggota Pemuda Umno di bangunan Parlimen petang tadi, menuntutnya meminta maaf kepada pergerakan tersebut kerana mendakwa mereka menghantar peluru kepadannya.

Ini ekoran tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya.

Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan "celaka" itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang tadi ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.

Kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno terbabit dan mereka dipercayai dari Selangor.

Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon ahli parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Berlaku kekecohan

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka.

Tiga ketua Pemuda Umno bahagian yang hadir telah bercakap dengan pemberita. Mereka ialah Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan
Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara).

Mereka juga kemudiannya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.


Sementara itu, ahli Parlimen DAP mengadu bahawa anggota keselamatan Parlimen tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Karpal mereka tiba di situ.

Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng (right) juga mendakwa beliau telah dipukup oleh kumpulan anggot Pemuda Umno itu.

Menurutnya, beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya.

Sidang akhbar Khairy

Bagaimanapun, kumpulan itu bukan kumpulan yang sama yang menghadiri sidang akhbar Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin di bangunan Parlimen pagi tadi.

Dalam sidang akhbar tersebut, pergerakan Pemuda Umno memberi tempoh 24 jam untuk pengerusi DAP itu mengemukakan bukti Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru dari Ipoh baru-baru ini.

Khairy berkata tuduhan yang dilemparkan anggota parlimen satu tuduhan liar, gila serta berniat jahat.

"Karpal sepatutnya tidak bersembunyi dan berselindung di belakang kekebalan seorang ahli parlimen dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran.

"Jika beliau ada bukti bahawa peluru tersebut dihantar oleh Pemuda Umno, kami dengan ini mencabar Karpal untuk menunjukkan bukti dalam 24 jam.

"Sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang penipu yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," Khairy.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia kesal dengan kejadian tersebut, yang menurutnya, pertamakali berlaku di Parlimen.

Katanya, beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata: "Saya mungkin kurang upaya, tetai saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak."

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Bagaimanapun, ini dapat disahkan dengan pihak polis.

Beliau juga turut memohon maaf kepada Karpal atas kejadian tersebut dan berkata akan meminta Speaker menghad jumlah penyokong parti politik yang dibenar masuk ke Parlimen.

- MALAYSIAKINI

UNDIAN BLOG - Adakah Elizabeth Wong perlu meletak jawatan sebagai ADUN Bukit Lanjan?

by
KEPUTUSAN UNDIAN:

Ya, perlu letak jawatan : 81 (40%)

Tidak perlu letak jawatan : 107 (53%)

Tidak pasti / Tidak kisah : 13 (6%)

JUMLAH UNDIAN : 201

Kadar tol lima lebuh raya naik 1 Mac

by
Kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Bagi PLUS, kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup PLUS (Lebuhraya E1 dan E2) akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen sekilometer bagi kenderaan Kelas 1, bagaimanapun kenaikan itu tidak melibatkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar, katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, SPRINT-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen bagi kenderaan kelas satu manakala bagi AKLEH, kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1.

"Kadar tol di Lebuhraya BESRAYA dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1 dan bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines berikutan Plaza Tol Salak Jaya ditutup pada 24 Februari lepas.

Sementara itu bagi Lebuhraya NPE pula, kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kelas kenderaan yang samaMohd Zin berkata kenaikan tol tersebut sangat kecil sambil memberi contoh bahawa pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan menggunakan PLUS dari Jalan Duta ke Bukit Raja dengan jarak 34 kilometer mulai 1 Mac ini, hanya perlu membayar tambahan kadar tol sebanyak 30 sen sahaja daripada RM4.60 kepada RM4.90.

Katanya, dengan pemansuhan Plaza Tol Salak Jaya yang ditutup pada Selasa lepas, pengguna BESRAYA pula dari Jalan Istana ke pekan Sungai Besi tidak perlu lagi membayar tol.

Beliau berkata di samping itu, tol di lebuh raya PLUS, SPRINT dan AKLEH sepatutnya dinaikkan pada 1 Jan 2008 dan telah ditangguhkan sehingga Sabtu ini, iaitu penangguhan selama 14 bulan, di mana kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta.

Sebanyak RM177 juta pampasan dibayar kepada PLUS, RM38 juta kepada SPRINT dan RM30 juta kepada AKLEH, katanya.

Menteri Kerja Raya itu berkata kenaikan kadar tol itu telah diluluskan oleh jemaah menteri setelah menimbangkan permohonan daripada pemilik konsesi lebuh raya.

Memandangkan dokumen perjanjian konsesi lebuh raya antara pihak kerajaan dan pengendali lebuh raya kini sudah menjadi dokumen awam , rakyat boleh menelitinya, katanya.

Malah rakyat boleh dapat melihat mengenai jangkaan kadar tol mengikut tahun serta jumlah pampasan yang terpaksa ditanGgung oleh kerajaan, tambahnya.

Mohd Zin menjelaskan, pengguna lebuh raya bagaimanapun mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan alternatif sedia ada di mana 99 peratus daripada jajaran lebuh raya negara mempunyai laluan alternatif yang baik tanpa tol.

Sebagai contoh, katanya bagi pengguna yang tidak mahu menggunakan Lebuhraya SPRINT, mereka boleh menggunakan laluan hubungan Damansara untuk ke Kuala Lumpur yang merupakan laluan bebas tol.

Bagi pengguna di sekitar Ampang, Taman Datuk Keramat, Taman Keramat, Taman Setiawangsa dan Taman Lembah Keramat pula mereka boleh menggunakan Jalan Jelatek ke Jalan Ampang atau menggunakan Jalan Datuk Keramat sekiranya ingin ke Kuala Lumpur atau sebaliknya, katanya.

"Trafik dari Balakong, pekan Sungai Besi dan Seri Kembangan boleh menggunakan persimpangan lampu isyarat di South City Plaza menghala ke Serdang Perdana dan menggunakan persimpangan lampu isyarat di Mint Hotel menuju ke pusat bandar, Puchong dan Shah Alam," tambahnya.

Beliau berkata sementara pengguna dari Shah Alam, Subang Jaya dan Klang untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur boleh menggunakan laluan Lebuhraya Persekutuan 11 atau sebaliknya.

"Pengguna dari pusat bandar Kuala Lumpur atau selatan Kuala Lumpur pula boleh menggunakan Jalan Kelang Lama atau sebaliknya," katanya.

- BERNAMA

Top Ad 728x90