Temuramah dengan Harussani - Marah jangan sampai caci, hina


Datuk Seri Harussani Zakaria, bukanlah suatu nama yang asing bagi umat Islam di Malaysia. Sebagai Mufti Perak, beliau sentiasa ‘panas’ dan diseliputi kontroversi. Semuanya kerana sikap tegas beliau dalam memberikan pandangan berkaitan pelbagai isu agama.

Terbaru, beliau diheret dalam polemik politik di negeri Perak. Semuanya bermula apabila beliau enggan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memohon Tuanku membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia disusuli dengan kenyataan beliau bahawa sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap derhaka.

Harussani, mufti yang paling lama di Malaysia yang berkhidmat sejak 24 tahun lalu juga terkenal sebagai yang paling lantang apabila memberikan pandangan dalam banyak hal.

Antara pandangan beliau yang mencetuskan polemik sebelum ini termasuklah mengisytihar perang terhadap penubuhan Majlis Perundingan Agama (IFC). Justeru, beliau meminta pertubuhan politik Islam yang menurunkan tandatangan menyokong penubuhan IFC bertaubat kerana dibimbangi akidah mereka sudah terbatal.

Harussani juga adalah ulama yang menegur filem Mualaf arahan Yasmin Ahmad kerana memaparkan konflik antara golongan konservatif Islam dan golongan sederhana.

Beliau menegaskan, “Saya hanya menyatakan yang benar kerana saya takut sekali kalau menyatakan yang tidak benar. Jika sesuatu perkara itu salah, saya akan kata ia salah. Tidak kira dengan siapa saya berdepan walaupun terpaksa menerima kecaman kerana itulah tugas dan tanggungjawab saya”.

Harussani tenang menjawab pelbagai persoalan berhubung polemik yang dikaitkan dengan beliau.

MINGGUAN: Banyak artikel di laman blog dan Internet yang mencerca Datuk sejak kebelakangan ini. Adakah semua ini mengganggu fikiran Datuk?

HARUSSANI: Saya terima semua ini sebagai salah satu ujian daripada Allah SWT. Lalu saya hanya bersabar. Saya sentiasa ingatkan firman Allah yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (al-Ankabut: 2-3)

Cacian dan cakap-cakap yang mengeji itu tidak pernah mengganggu fikiran saya. Hidup saya, tidur saya, ibadat dan kerja harian pun tidak terjejas.

Saya juga tidak pernah mengadu pada Allah atau mendoakan keburukan ke atas orang Islam yang melakukannya. Malah, saya mendoakan agar Allah memberi petunjuk kepada kita semua dan umat Islam bersatu. Saya juga tidak pernah berdendam walaupun jika saya kenal orang yang melakukannya. Lebih-lebih pun saya kata, “awat hang kata lagu tu”.

Sepanjang 24 tahun menjadi Mufti, adakah cacian dan kejian kali ini paling teruk ke atas Datuk?

HARUSSANI: Ini adalah antara yang paling teruk. Sebelum ini ada beberapa isu antaranya apabila saya mengharamkan acara Sure Heboh, mengharamkan sambutan kongsi raya dan juga isu murtad. Ketika itu, saya dikecam hebat termasuk oleh golongan atasan dalam kerajaan.

Saya anggap apa yang terjadi itu sebagai takdir. Apa yang saya buat adalah semata-mata untuk tegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Adalah tugas saya sampaikan yang hak walaupun ia pahit. Saya lakukan semua itu bukan untuk kepentingan diri. Dalam kebanyakan kes, saya hanya berseorangan. Tidak ada pun ulama lain bangkit menyokong saya. Adalah sesekali saya dipuji kerana kenyataan atau tindakan saya. Itu sahaja. Tetapi bukan itu yang saya minta.

Sebagai Mufti, adalah tugas dan kewajipan saya menyampaikan. Soal terima atau tidak itu hal lain.

Sepanjang berkhidmat, saya cuma tidak pernah berjumpa dua Perdana Menteri (PM) iaitu almarhum Tunku Abdul Rahman al-haj dan allahyarham Tun Hussein Onn. Yang lainnya, saya ada berjumpa dan memberi nasihat mengikut apa yang termaktub dalam al-Quran dan al-sunnah.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad misalnya, banyak yang saya tegur beliau ikut. Apabila beliau meletak jawatan sebagai PM, beliau menghantar surat ucapan terima kasih kerana banyak membantu sepanjang perkhidmatan sebagai PM. Ada juga yang dakwa saya mencari publisiti. Saya nak maklumkan sejak tahun 1967 iaitu semasa saya bertugas sebagai Kadi Besar di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, suara saya sudah kedengaran melalui media. Begitu juga dalam Forum Perdana Ehwal Islam, saya antara ahli panel yang awal menyertainya pada tahun 1970-an.

Adakah betul tindakan sesetengah orang Islam mendoakan kerosakan dan kemusnahan kepada orang Islam lain terutama seteru politik mereka?

HARUSSANI: Perbuatan sedemikian adalah dilarang oleh Islam. Kita tidak boleh berdoa meminta kerosakan ditimpakan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada orang kafir yang tidak memusuhi Islam. Yang dibenarkan oleh syarak ialah mendoakan Allah musnahkan golongan kafir yang memusuhi Islam. Perbuatan sebegini hanya memecah-belahkan masyarakat dan menggalakkan berlaku permusuhan.

Bukankah kita ini bersaudara sesama Islam. Lihatlah ayat Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikanlah kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat: 10).

Memanglah politik dibenarkan oleh agama. Politik adalah cara kita mentadbir kehidupan dan kerajaan. Kadang-kadang perbezaan pendapat dan percanggahan fahaman itu adalah bagi tujuan perbahasan bagi mencari kebaikan.

Perbezaan itu bukan untuk berpecah-belah. Jika berlaku demikian, ia adalah kesalahan yang cukup besar. Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya, Bandingan kasih sayang antara sesama Mukmin itu adalah ibarat satu bangunan. Maka kita tidak boleh menyakiti antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi jika perbuatan tersebut natijahnya membawa kepada kita bersekongkol dengan golongan kafir dan memburukkan Islam.

Kita wajib berkasih sayang bukan sahaja sesama manusia hatta kepada binatang pun. Tetapi nampaknya, orang kini lebih suka dan mencintai binatang daripada sesama manusia.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.