Berita
Pelancongan
Belon udara panas di Putrajaya

Lebih 100,000 pelancong tempatan dan asing dijangka hadir menyaksikan Pertunjukan Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2009 yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, selama empat hari bermula semalam.
Pertunjukan julung kali yang diadakan di kawasan letak kereta Monumen Alaf Baru, Presint 2 dekat sini itu disertai 18 peserta amatur dan profesional dari 11 negara iaitu Perancis, Jerman, Jepun, Belgium, Thailand, New Zealand, Korea, Filipina, Amerika Syarikat dan Indonesia.
Timbalan Presiden Persatuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Kapten Khairudin Abdul Rani, berkata pihaknya yakin pertunjukan yang menampilkan pelbagai jenis belon udara panas termasuk berbentuk burung merak, badut, kepala gajah dan cawan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
"Oleh kerana setiap belon ini hanya mampu membawa antara satu hingga tiga penumpang pada satu masa, kita memberikan keistimewaan kepada 50 pengunjung pertama untuk menaiki belon setiap hari dengan kadar bayaran RM10 setiap seorang.
"Walaupun, tidak ramai pengunjung yang berpeluang menaiki belon, namun kita berharap mereka berpuas hati dengan pelbagai pertunjukan yang disajikan termasuk demonstrasi kapal terbang kawalan jauh dan paramotor," katanya ketika ditemui pemberita selepas menaiki belon udara panas berkenaan di sini, semalam.
Khairudin berkata, pihaknya juga menjemput lebih 100 wakil media asing dan tempatan merasai sendiri pengalaman menaiki belon udara panas.
Beliau berkata, pertunjukan berkenaan juga mampu menjadi landasan kepada Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak pertunjukan sama seperti di Albuquerque, Amerika Syarikat; Bristol (United Kingdom) dan Saga (Jepun) yang mampu menarik jutaan pengunjung.
Sementara itu, seorang pengunjung, Amiruddin Alias, 44, berkata, dia dan keluarga sanggup datang dari Johor Bahru semata-mata untuk menyaksikan sendiri pertunjukan belon udara panas yang pertama kali diadakan di negara ini.
"Biasanya tengok dalam televisyen hanya belon bentuk bulat saja, tetapi hari ini kami sekeluarga dapat melihat pelbagai bentuk yang menarik dan berwarna-warni seperti kepala gajah, burung merak, kole, buah oren dan badut," katanya.
- BERITA HARIAN
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.