DiGi lancar khidmat jalur lebar lebih laju


DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) hari ini melancarkan perkhidmatan jalur lebar 3G yang dijamin kelajuan purata pada dua Megabit sesaat (Mbps).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, perkhidmatan jalur lebar itu menjanjikan nilai dan Internet kualiti bagi memenuhi pengalaman serta jangkaan pelanggan.

Katanya, DiGi memperkenalkan perkhidmatan itu lebih lambat berbanding pembekal lain untuk memastikan pengguna tidak berasa kecewa dengan sambungan yang tidak stabil atau kelajuan yang tidak konsisten.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan perkhidmatan jalur lebar 3G DiGi, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Menurut Dennelind, DiGi akan memperkenalkan jalur lebar terhadap perkhidmatan data dan suara 3G untuk telefon mudah alih pada tahun ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut bila ia akan dilancarkan kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan seperti kesilapan yang dilakukan oleh pembekal lain.

Setakat ini, perkhidmatan jalur lebar 3G itu boleh diperoleh di Damansara, Petaling Jaya, Subang Jaya, Sunway dan Bangsar.

''Pelanggan di kawasan utama lain di Lembah Klang boleh mendapat perkhidmatan itu dalam beberapa minggu lagi.

''Kami merancang untuk meliputi lebih 1,000 zon dengan lima pusat pasaran pada hujung tahun ini termasuk Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu," jelasnya.

Tambahnya, DiGi akan melaburkan antara RM300 juta hingga RM400 juta setahun bagi tiga tahun akan datang untuk perkhidmatan jalur lebar mudah 3G.

''Kami yakin menjadi penyumbang utama dalam meningkatkan penembusan jalur lebar di negara ini dengan hasrat menguasai satu pertiga penguasaan pasaran jalur lebar dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin mampu menguasai pasaran itu berikutan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Perkhidmatan jalur lebar 3G yang diperkenalkan hari ini merangkumi tiga pelan iaitu Discover (bayaran bulanan RM58), Explore (RM108) dan Extreme (RM188). Para pengguna tidak perlu mengikat sebarang kontrak untuk menjadi pelanggan.

''Kami akan terus memberikan tumpuan kepada menawarkan cadangan nilai terbaik untuk pelanggan dengan kelajuan purata 700 kilobit sesaat (Kbps) dengan bayaran RM2 sehari," katanya.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.