Kembara lebih mudah secara online


Jaminan melalui kaedah pembayaran dengan sokongan sistem perbankan yang diperkemaskan saban hari

menjadikan trend membeli-belah secara online kini semakin popular dan dipercayai.

Kemudahan pembelian juga diakui membantu pengguna khususnya yang tinggal di luar bandar mendapatkan barang keperluan mereka pada harga yang lebih berpatutan.

Ringkas dan menjimatkan, dengan hanya melayari Internet pembeli tidak perlu lagi menghabiskan masa dan membazirkan kos pengangkutan untuk mendapatkan barang yang belum tentu dapat dicari di bandar.

Apatah lagi jika barang yang dicari itu adalah produk import yang memang tidak banyak dijual di negara ini misalnya kelengkapan sukan dan kembara.

Menyedari hakikat dan peluang itu, Outworld Progear yang dimiliki oleh anak muda tempatan merintis langkah berani sebagai syarikat jualan online yang menawarkan jualan secara lengkap dan profesional.

Pengurus Outworld Progear, Haslil Razif A. Hassan berkata, gedung jualan maya di alamat www.outworldprogear. com itu kini menawarkan pelbagai kelengkapan dari hujung rambut ke hujung kaki.

‘‘Sejak dilancarkan kira-kira setahun lalu, Outworld Progear kini menawarkan kira-kira 20 jenama terkemuka seperti Camelback, Aquapac, Suunto, Solomon, Pelican, Teva, Tatonka dan Columbia.

‘‘Rangkaian produk meliputi pelbagai jenis aktiviti seperti perkhemahan, mendaki, berkayak, berbasikal, memanah dan pelbagai lagi rekreasi bertali,” katanya.

Menurut Haslil, produk yang dijual bukan sahaja lebih murah malah mengikut perkembangan trend terkini manakala sebahagian daripada produk yang dibawa masuk itu masih tidak dijual di pasaran tempatan.

Katanya, antara kelengkapan yang disediakan termasuk barang-barang perkhemahan seperti beg tidur, beg kalis air, khemah, dapur gas, tilam angin dan baju hujan.

Manakala untuk pendakian, peralatan seperti karabinar, beg mendaki, beg pinggang, tali statik dan dinamik, belayer, ATC dan beg kapur adalah yang sering mendapat sambutan. Selain itu juga, pakaian seperti jaket, kasut, selipar, topi dan jam tangan juga ditawarkan.

Jelas beliau, trend membeli-belah secara online bukan sahaja digemari kerana lebih mudah tetapi pengguna dapat membuat perbezaan dan penilaian mengenai sesuatu produk selepas membaca komen pengguna.

‘‘Setiap produk disertakan dengan gambar yang berkualiti dan sedikit keterangan penggunaan,” katanya.

Sebelum membuat tempahan, pelanggan diminta membuka akaun dengan menyatakan maklumat peribadi untuk dijadikan rekod dan bukti pembelian.

Beliau berkata, penghantaran barang biasanya memakan masa satu hingga lima hari (dalam negara) selepas menerima tempahan.

‘‘Sejak dua tahun menjalankan perniagaan tiada aduan yang mengatakan barang tidak sampai daripada pembeli.

‘‘Kiriman barang disusuli dengan salinan resit penghantaran daripada syarikat penghantaran,” jelasnya.

Sementara itu, pihak syarikat turut mengadakan tawaran harga terbaik bagi produk-produk tertentu sepanjang bulan dan maklumat mengenai aktiviti rekreasi tempatan.

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.