Pendidikan
Nur Madihah sembahyang istikharah tentukan pilihan

“Saya akan sembahyang istikharah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah bagi membuat pilihan terbaik di mana tempat untuk melanjutkan pelajaran.”
Begitulah pendirian pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, ketika ditanya sama ada dia ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di Timur Tengah atau United Kingdom.
Nik Nur Madihah yang bercita-cita menjadi ahli fizik berkata, pilihan awalnya ialah Timur Tengah kerana ia memberi peluang kepadanya untuk mempelajari bahasa Arab dengan lebih mendalam.
Bagaimanapun, katanya, selepas mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa profesor dalam bidang fizik, mereka mencadangkannya menyambung pelajaran ke London.
“Saya juga akan berbincang dengan guru sekolah sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Terdahulu, Nik Nur Madihah menerima borang biasiswa tajaan penuh daripada Mara untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi yang disampaikan oleh Pengarah Mara Kelantan, Abdul Rahim Taha.
Nik Nur Madihah berkata, dia akui belajar di Timur Tengah akan dapat meningkatkan pemahamannya dalam bidang agama dan bahasa Arab manakala United Kingdom pula merupakan tempat belajar terbaik untuk memenuhi cita-citanya menjadi ahli fizik.
- KOSMO!
www.kosmo.com.my
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.