Sembilan Exco Kedah dilantik semula

Kerajaan Kedah hari ini melantik semula sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya (Exco) bagi tempoh selama setahun berkuat kuasa 12 Mac ini dengan melakukan sedikit rombakan dan tambahan pada portfolio beberapa penyandangnya.

Satu lagi kerusi Exco yang kosong berikutan peletakan jawatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam akan ditentukan selepas pilihan raya kecil kawasan itu yang dijadualkan pada 7 April ini.

Istiadat melafaz ikrar menyimpan rahsia dan upacara menandatangani surat sumpah Exco terbabit berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Sultan Kedah kemudian berkenan mengurniakan tauliah pelantikan kepada semua anggota terlibat yang akan berkhidmat untuk tempoh setahun dengan didahului Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi; Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Ia diikuti oleh Mohammad Razhi Salleh; Dr. Hamdan Mohamed Khalib; Siti Aishah Ghazali; Abdullah Jusoh; Dr. Ismail Salleh dan Tan Wei Xu.

Turut berangkat pada upacara itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun; Raja Muda, Tuanku Raja Puan Muda serta kerabat diraja yang lain. Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Pelantikan Exco setiap penggal itu dilakukan mengikut Perkara 37(2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam pada itu, Azizan ketika ditemui selepas upacara itu berkata, perubahan portfolio melibatkan beberapa Exco dibuat bagi menambah keberkesanan pemerintahan kerajaan negeri selepas setahun menjalankan tugas masing-masing.

Beliau sendiri, katanya, melepaskan portfolio Agama kepada Mohamed Taulan yang dilihat lebih bersesuaian dan berkesan memegangnya.

“Tempoh setahun mencukupi bagi kita melihat kesesuaian portfolio masing-masing. Saya berharap mereka akan dapat bertindak dengan lebih berkesan selepas ini,” katanya.

Mengenai kekosongan penyandang bagi portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Hal Ehwal Masyarakat Siam; Koperasi; Perpaduan Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India yang dipegang Arumugam sebelum ini, beliau berkata, Mohammad Razhi akan memangku sehingga pelantikan baru dibuat selepas pilihan raya kecil Bukit Selambau.

Ditanya mengenai pelantikan seorang Exco yang dikatakan terlibat dengan surat layang yang mendakwa anggota itu mengeluarkan perkataan biadab ke atas Sultan Kedah dan kini menjadi kes polis, Azizan berkata, beliau tidak melayan perkara tersebut.

Malah katanya, ia tidak menjejaskan kelancaran pelantikan kerana menganggap dakwaan berkenaan dibuat tanpa nilai berita dan nilai undang-undang.

Berikut ialah senarai penuh barisan Exco Kedah:

* Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan.

* Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.

* Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi

* Datuk Ir. Amiruddin Hamzah

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Penerangan

* Mohammad Razhi Salleh

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia

* Dr. Hamdan Mohamed Khalib

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan

* Siti Aishah Ghazali

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat

* Abdullah Jusoh

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pembangunan Usahawan

* Dr. Ismail Salleh

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan

* Tan Wei Xu

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.