
Apabila sesuatu jenayah dilaporkan dan tiada bahan-bahan bukti yang kukuh, satu lakaran fotofit bagi mendiskripsikan wajah penjenayah perlu dilakukan mengikut ingatan mangsa atau pun saksi.
Lakaran fotofit penjenayah telah mula dipraktikkan sejak dahulu lagi namun, sebelum tahun 1985, setiap lakaran adalah adalah secara manual iaitu dengan lukisan tangan pegawai polis.
Selepas tahun 1985, pihak polis telah menggunakan sistem Pentrose iaitu pencantuman secara manual dan apabila teknologi semakin menguasai dunia, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membeli sistem Sirchie daripada Amerika Syarikat (AS) dan menggunakannya pada tahun 1994.
Namun, sistem itu kurang praktikal digunakan di Malaysia kerana perbezaan kaum etnik di negara ini.
Menurut Ketua Unit Fotofit Bukit Aman, Sarjan Mejar Ali Pushpalingam Abdullah, sistem Sirchie yang dibeli dari AS hanya terhad kepada komponen-komponen tertentu.
"Di Malaysia terdapat pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, bagi lakaran fotofit, jurufotofit memerlukan lebih banyak komponen bagi menepati ciri penjenayah.
"Untuk menambah kumpulan etnik di dalam sistem tersebut, pengguna (PDRM) perlu membayar sejumlah bayaran kerana mereka tidak membekalkan kita dengan teknologi itu," katanya ketika ditemui.
Kerana itu pada tahun 1997, Malaysia telah membeli sistem FACE (Facial Automated Composition and Editing) dari Australia pada harga RM60,000. Dengan sistem FACE PDRM boleh menambah kumpulan etnik tanpa perlu bayaran tambahan seperti sistem Sirchie.
FACE menyimpan beratus-ratus malah, beribu-ribu rekod jenis bentuk imej hidung, mata, bibir dan sebagainya yang menjadi wajah selepas dikombinasi dengan tona warna kulit sekata. Kombinasi itu membentuk satu wajah unik milik suspek yang dicari.
"Sistem FACE ini telah digunakan sehingga sekarang dan telah membantu menyelesaikan pelbagai kes antaranya kes samun, rogol dan juga bunuh.
"Setakat ini, terdapat 184 sistem FACE di Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara kecuali lapan IPD iaitu tujuh di Sarawak dan satu di Johor," katanya sambil memberitahu, Malaysia adalah negara yang mempunyai paling banyak pangkalan data komponen dalam sistem kerana terdiri daripada pelbagai etnik termasuk di Sabah dan Sarawak.
Bukan semua anggota polis boleh menjadi jurufotofit kerana untuk melayakkan menjadi jurufotofit, mereka perlu menghadiri kursus selama lima hari di Bukit Aman.
"Jurufotofit bukan sahaja diajar untuk melakar dan menggunakan sistem FACE membuat lakaran bagi menangkap penjenayah bahkan anggota juga diberi latihan dan tunjuk ajar bagaimana untuk mendekat dan memujuk mangsa yang kebiasaannya akan trauma selepas kejadian yang berlaku.
"Kebiasaannya mangsa rogol atau pun saksi yang baru melihat kejadian pembunuhan akan mengalami trauma yang agak teruk sehingga menyukarkan mereka untuk memberi kerjasama," katanya.
Setiap IPD atau IPK mempunyai sekurang-kurangnya dua jurufotofit iaitu seorang anggota lelaki dan seorang wanita.
"Jurufotofit wanita bagi memudahkan tugas sekiranya mangsa adalah wanita.
"Jika tiada jurufotofit wanita, maka ahli keluarga terdekat mangsa akan diminta untuk hadir bersama sepanjang proses melakar fotofit dijalankan," kata Ali lagi.
Tambahnya, proses melakar fotofit bukan sahaja dibuat di balai, proses lakaran juga boleh dibuat di hospital atau pun di rumah mangsa atau pun saksi.
Kebiasaannya jika mangsa dalam keadaan stabil proses lakaran boleh mangambil masa sekitar setengah jam sahaja.
Walaupun lakaran fotofit tidaklah 100 peratus tepat kerana ia hanya berdasarkan ingatan pengadu, tetapi lakaran itu amat membantu dalam mencari suspek yang terlibat.
"Lakaran tidak semestinya tepat untuk membolehkan ia membantu pihak polis mengesan penjenayah.
"Walaupun lakaran hanya 30 peratus menyamai penjenayah sebenar, ia amat membantu terutama apabila pengadu mengingati tanda-tanda tertentu pada wajah penjenayah," katanya.
Menurut Ali, kejayaan seorang jurufotofit diambil kira apabila terdapat tangkapan dan mereka akan dianugerahkan dengan sijil penghargaan.
Dalam pada itu, menurut Ketua Cawangan Fotografi, IPD Sepang, Sarjan Kamaruzaman Arifin, kejayaan sebenar seorang jurufotofit apabila berjaya melakar wajah suspek sehingga tertangkapnya penjenayah tersebut.
"Di Sepang, majoriti lakaran fotofit adalah bagi jenayah samun bersenjata, ragut dan juga mencuri.
"Apabila suspek berjaya ditangkap mengikut lakaran fotofit yang dibuat, ia umpama satu kepuasan kerana usaha, kesabaran dan titik peluh kita mendatangkan hasil," katanya.
Menurut Kamaruzaman, terdapat lima komponen yang paling penting dalam lakaran fotofit iaitu mata, hidung, dahi/rambut/telinga, mulut dan dagu.
"Jika mangsa mengingati hanya mata, hidung atau pun mulut ia sudah mencukupi," katanya.
Mengikut statistik, sepanjang tahun 2008, sebanyak 2,607 fotofit dilaporkan seluruh Malaysia dan kebanyakannya bagi jenayah, samun, jenayah komersial dan bunuh. Dari jumlah tersebut 29 suspek jenayah berjaya ditahan.
- KOSMO
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.