UMNO perlu buka pintu untuk semua lapisan masyarakat - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO tidak sepatutnya menjadi parti eksklusif sebaliknya bersifat inklusif yang membuka seluas-luas pintu untuk segenap lapisan rakyat.

Presiden UMNO berkata, orang Melayu dan bumiputera tanpa mengira kira latar belakang sosioekonomi sama ada bekerja sendiri atau profesional, peringkat umur termasuk tua dan remaja serta pendidikan, harus diterima menyertai parti itu.

Menurut beliau, UMNO juga perlu mewakili segenap lapisan masyarakat kerana hanya dengan cara itu parti berkenaan dapat dipulihkan dan menjadi kuat.

"Saya harap UMNO tidak menjadi parti eksklusif untuk golongan elitis apabila hanya orang tertentu boleh menjadi tunjang kepada parti ini dan kita juga jangan menolak golongan intelek yang boleh menyumbang idea-idea baru.

"Kita juga perlu memastikan budaya meminggirkan pihak tertentu yang dianggap tidak menyokong kita dan mencantas pihak yang dianggap sebagai pencabar, tidak akan berlaku lagi dalam parti," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Hadir sama naib-naib presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) parti dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Menurut Najib, UMNO juga mesti sentiasa berada di barisan hadapan dalam membuat pembaharuan bagi memastikan ia terus mendapat sokongan rakyat.

Dalam pada itu, katanya, konsep inklusif yang beliau maksudkan bukan saja merujuk kepada usaha membela orang Melayu dan bumiputera malah harus melibatkan kaum-kaum lain termasuk Cina dan India.

"Kita bukan sahaja perlu menjadi juara bagi orang Melayu dan bumiputera malah sepatutnya membela seluruh rakyat selaras dengan gagasan Satu Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin dalam ucapan alu-aluannya berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang baru, beliau akan berusaha memulihkan sokongan semua rakyat terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) di wilayah berkenaan.

- UTUSAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.