FOMCA cadang makan ayam dua kali seminggu

Gabungan Persatuan PenggunaPengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan pengguna supaya mengurangkan pengambilan ayam kepada dua kali seminggu.

Setiausaha Agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu bagi membolehkan harga ayam kembali kepada harga yang munasabah.

"Fomca berpendirian bahawa tindakan pengguna adalah mustahak untuk menetapkan harga yang berpatutan di pasaran runcit.

"Selaras dengan kempen "Perubahan bermula dengan saya", Fomca mengesyorkan pengguna menggunakan kuasanya untuk menetapkan harga pasaran," katanya.

Beliau berkata pengeluaran daging ayam dianggarkan 1.3 juta ekor sehari dengan 70 peratus daripadanya dipasarkan di pasar basah, manakala anggaran kos purata antara RM3.70 sekilogram dan RM4 sekilogram untuk harga ladang.

Menurutnya banyak saranan dibuat bagi membanteras kesan manipulasi pasaran, tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana kenaikan harga adalah bermusim dan tiadanya agensi yang dapat menembusi rangkaian pasaran dan pengedaran hasil pertanian di Malaysia.

"Tindakan pihak berkuasa menetapkan harga siling ataupun harga maksimum juga sentiasa memerlukan tindakan penguatkuasaan untuk pematuhan dan sering tidak dapat menjamin pematuhan di seluruh negara," kata Muhammad Sha'ani.

- BERNAMA

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.