31 Disember 2009

KALENDAR AKTIVITI BULAN DISEMBER 2009

by
* 1 Dis 2009 - Hari Aids Sedunia

* 1 - 5 Dis 2009 - Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima '09)

* 2 - 6 Dis 2009 - Monsoon Cup 2009 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu

* 4 Dis 2009 - Anugerah Skrin 2009 di PWTC

* 4 Dis 2009 - Semakan Panggilan Rayuan Temuduga KPLI Jan 2010

* 5 - 6 Dis 2009 - Karnival JomHeboh TV3 di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur

* 9 - 18 Dis 2009 - Sukan SEA di Vientiane, Laos

* 11 Dis 2009 - Hari Keputeraan Sultan Selangor

* 18 Dis 2009 - Maal Hijrah (Awal Muharam 1431H)

* 24 Dis 2009 - Keputusan Peperiksaan PMR

* 25 Dis 2009 - Hari Krismas (Cristmas Day)

Harga Gula Naik 20sen mulai 1 Januari 2010

by
PUTRAJAYA: Mulai pukul 12 tengah malam ini, harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak, demikian pengumuman Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Beliau berkata kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai esok (1 Jan 2010) dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.

Katanya kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram.

"Subsidi bagi gula masih dikekalkan dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tanggungan subsidi pada 2009 iaitu sebanyak RM720 juta setahun.

"Tetapi memandangkan harga gula mentah dunia telah naik dengan tinggi khususnya mulai bulan Ogos hingga hari ini, sebelum ini 14-16 sen US bagi satu satu paun, telah naik hingga 27 sen US, kerajaan perlu menaikkan harga gula, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.

- MSTAR

Tiga set koc empat gerabak LRT baru mulakan operasi

by

Syarikat Prasarana Negara Bhd. semalam memulakan operasi tiga set tren empat gerabak untuk laluan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya yang meningkatkan kapasiti mengangkut sebanyak sekali ganda.

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Idrose Mohamed berkata, pengenalan set baru koc LRT Kelana Jaya itu meningkat lebih 900 orang pada satu-satu masa berbanding 400 orang sebelum ini.

"Tren dua koc sebelum ini hanya berupaya mengangkut 400 penumpang tetapi tren baru ini mampu membawa sehingga 950 penumpang pada satu-satu masa," kata Mohamed Idrose pada satu sidang akhbar di ibu pejabat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) di sini, semalam.

- KOSMO!

Kenangan pahit 2009

by

Tahun 2009 meninggalkan kita dengan 1001 kisah yang sukar dilupakan. Bagaimanapun isu penularan wabak virus selesema babi (H1N1) menjadi berita paling hangat yang diperkatakan di seluruh negara.

Selain itu, kes melibatkan kekejaman ah long atau ceti haram juga sering dipaparkan di media cetak mahu pun elektronik. Tidak ketinggalan, berita mengenai kezaliman majikan terhadap pembantu rumah turut menjadi perhatian masyarakat di samping kes culik yang semakin berleluasa.

Apa yang pasti, semua kisah ini akan menjadi kenangan pahit bagi individu yang pernah melaluinya dan semoga kehadiran tahun baru akan membawa sinar kebahagiaan dalam kehidupan setiap insan.

Wabak H1NI landa Malaysia

SUKU pertama tahun 2009 mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai akibat penularan mendadak penyakit berkaitan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) di Malaysia. Virus yang dikesan di Mexico pada bulan April lalu, terus merebak ke beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Sepanyol dan negara-negara di Asia.

Malaysia menjadi negara ke-35 yang dikesan mempunyai jangkitan virus tersebut. Sehingga kini terdapat 12,284 kes berkaitan H1N1 dicatatkan dan ia membabitkan kematian seramai 77 orang.

Jangkitan pertama dikesan pada 15 Mei lalu melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 21 tahun yang belajar di Amerika Syarikat dan baru pulang bersama beberapa orang rakan dari negara tersebut.

Sejak itu, kebanyakan hospital sama ada kerajaan mahupun swasta mula sesak berikutan orang ramai yang mahu mendapatkan pemeriksaan kesihatan berdasarkan simptom yang dialami seperti sesak nafas, demam panas, batuk dan sebagainya. Malah, banyak sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa ditutup apabila terdapat pelajar yang disahkan di jangkiti virus berkenaan.

Rentetan daripada itu, kerajaan bertindak pantas dengan memberi rawatan antiviral untuk pesakit yang berisiko. Selain itu, Kementerian Kesihatan mengambil langkah mengurung (kuarantin) individu yang disyaki telah berhubung dengan pesakit H1N1.

Pada tarikh 22 Julai pula, seorang pelajar rakyat Indonesia di Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam di Kuala Lumpur menjadi korban pertama virus tersebut.

Virus itu ternyata tidak mengenal mangsa. Selain rakyat biasa, kerabat diraja Pahang turut melalui pengalaman pahit apabila terpaksa dikuarantin selama 12 hari akibat jangkitan H1N1.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, serta pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, dirawat di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum dibenarkan keluar pada 18 Ogos iaitu empat hari sebelum umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Berikutan wabak itu juga, pihak istana di seluruh negara membuat keputusan untuk tidak mengadakan Istana Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan jangkitan penyakit tersebut.

Kekejaman ah long

Pada 28 Februari, seorang lelaki yang meminjam wang RM150,000 daripada sekumpulan ah long tidak menyangka akan diseksa dan dikurung selama 23 jam dalam sebuah hotel di Pandan Perdana, Ampang. Mangsa amat terkejut apabila kumpulan ah long itu meminta baki hutang termasuk bunga yang perlu dilangsaikan berjumlah RM200,000.

Pada 27 Mei pula, tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam 'lokap' buatan ah long gara-gara gagal melunaskan hutang pinjaman mereka. Wang yang dipinjam pula bukanlah banyak mana, cuma di antara RM1,500 dan RM4,000 sahaja.

Dalam pada itu, pada 12 Julai, pihak polis berjaya menahan empat ketua ah long termasuk seorang yang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes membabitkan kegiatan ceti haram itu yang mempunyai rangkaian di dalam dan luar negara.

Kes culik dan kehilangan

PADA 10 April lalu, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun telah diculik di depan rumah banglo dua tingkat milik keluarganya di Petaling Jaya oleh empat lelaki. Bagaimanapun, kanak-kanak itu telah dihantar pulang ke rumahnya empat hari kemudian tanpa sebarang kecederaan selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM1 juta. Ekoran itu, R. Paremsvaran, 26, beralamat di Taman Hijau, Rawang telah ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada pukul 9.30 malam, 24 April lalu.

Pada 17 November pula, kerana terlalu percayakan pembantu rumah, seorang tukang masak warga Myanmar, Aung Soe atau Abu Hussin, 38, kehilangan satu-satu anak mereka, Siti Nurdiana, 2. Siti Nurdiana dilarikan oleh Suparmi, 50, yang baru dua bulan bekerja dengan Aung Soe di Apartment Brunsfields Riverview, Seksyen 13, Shah Alam.

Dera pembantu rumah

PADA 23 Mei, seorang amah yang dikenali sebagai Kartini, 20, ditemui mati dengan 90 peratus kesan lebam dipercayai didera oleh majikan di Seksyen 17/26, Petaling Jaya.

Sementara itu, pada 9 Jun lalu, seorang amah nekad melarikan diri dari rumah majikannya di Jalan Kiara, Mont Kiara selepas tidak tahan menanggung penderitaan menjadi mangsa dera selama 34 bulan.

Mangsa, Siti Hajar , 33, meninggalkan rumah tersebut pada pukul 1 pagi dalam keadaan sehelai sepinggang sebelum menaiki teksi ke pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Satu lagi peristiwa menyayat hati berlaku kepada Mantik Hani, 36, yang ditemui terkunci di dalam salah sebuah tandas di rumah majikannya di Jalan Datuk Yusuf Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang pada 20 Oktober lalu. Ketika ditemui, Mantik separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka di seluruh badan serta kepalanya dicukur hampir botak.

Mangsa yang disyaki didera majikannya di Taman Sentosa, Klang bagaimanapun meninggal dunia selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

- KOSMO!

Produk IT pilihan 2009

by
Dengan 2009 melabuhkan tirainya, it@Metro berjalan seiring dengan industri yang menyajikan pelbagai produk terbaru untuk pengguna.

Tahun ini dilihat sebagai kemuncak bagi beberapa keluaran utama termasuk komputer netbook, telefon bimbit pintar, kamera digital SLR, skrin berasaskan LED, peranti hiburan digital dan pelbagai aksesori komputer.

Dapat disaksikan juga vendor perisian keselamatan berlumba memperkenalkan produk masing-masing akibat kurangnya pengetahuan dan kesedaran pengguna mengenai isu berkaitan sedangkan pertumbuhan pengguna Internet meningkat dengan pesat sejajar dengan perkembangan capaian jalur lebar sama ada berwayar atau tanpa wayar.

it@Metro mengajak pembaca mengimbas kembali antara produk yang diperkenalkan sepanjang 2009.

> HP Photosmart C4780 (RM499)

> Canon Pixma Pro9000 Mark II (RM2,999)

> Apple iPhone 3Gs (harga mengikut plan Maxis)

> Sony Ericsson Xperia X1 (RM3,299)

> Sony Ericsson Satio (RM2,499)

> Nokia XpressMusic 5800 (RM1,399)

> Nokia N900 (RM2,500)

> LG KF900 Prada II (RM2,999)

> Blackberry Curve 8520 (RM1,199)

> Samsung Omnia 2 (RM2,399)

> HTC Touch Cruise (RM2,199)

> HP Mini 1000 (RM1,499)

> Lenovo IdeaPad S10 2 (RM1,600)

> Asus EeePC Seashell 1008HA (RM1,650)

> Apple MacBook Pro 17' (RM10,099)

> HP Envy 13 (RM5,960)

> Samsung X360 (RM4,599)

> Dell Inspiron 14z (RM2,349)

> Lenovo IdeaCentre C100 (belum dikeluarkan)

> HP TouchSmart 600 (RM4,988)

> Panasonic Lumix DMC-GF1 (RM RM3,299 - RM3,799)

> Olympus Pen E-P1 (RM3,799)

> Nikon D300S (RM6,698)

> Nikon Coolpix S1000pj (RM1,498)

> Canon S90 (RM1,750)

> Fujifilm FinePix F200EXR (RM1,399)

> Sony Bravia V550 52' (RM10,999)

> Panasonic Viera TH-P50X10K (RM4,100)

> Dell UltraSharp U2410 (RM1,799)

> Samsung LED 7 7000 (RM12,999)

> Acer X1160Z (RM1,899)

> Aiptek Pocket Cinema V10 (RM1,799)

> BenQ MP776ST (RM5,999)

> JVC Everio GZ-X900 (RM3,200.00)

> Panasonic HDC-HS300 (RM4,999)

> Sony HDR CX100E (RM2,999)

> iPod Shuffle 3 (RM309)

> Philips GoGear Opus (RM699)

> Microsoft Wireless Keyboard 6000 v3 & tetikus Wireless Laser v2 (RM379)

- HARIAN METRO

Syarat jadi wali

by
Bersama Datuk Dr Mashitah Ibrahim,
Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri

Saya akan mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati saya pada hujung tahun ini.

Apa yang membingungkan saya adalah mengenai wali. Untuk pengetahuan Datuk, ibu dan ayah saya sudah lama bercerai.

Saya sendiri tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah dan saya tidak tahu macam mana perasaannya ada seorang ayah.

Saya ada mendengar ceramah apabila seorang ayah yang tidak pernah memberi nafkah kepada anak, mereka tidak layak untuk mewalikan anak. Adakah ia benar?

Ketika kakak saya hendak bernikah dulu, kami terpaksa merayu ayah untuk datang menikahkan kakak.

Dia bukan saja tidak memberi nafkah, nama kami adik beradik pun dia tidak tahu.

Malah, siapa kakak dan adik pun dia tidak tahu hinggakan ketika hendak menikahkan kakak dulu pun saksi (pak cik sebelah ibu) terpaksa bisikkan nama kakak saya ke telinganya.

Saya hendak tahu betul ke ayah yang tidak pernah memberi nafkah dan tidak pernah menjenguk anaknya tidak layak untuk menjadi wali?

Jika ya, adakah wajar pernikahan dijalankan tanpa memberitahunya?

INSAN BINGUNG

Kedah


Wali adalah satu daripada rukun perkahwinan. Oleh kerana wali adalah satu daripada syarat sah nikah, maka bukan semua orang boleh menjadi wali.

Syarat sah menjadi wali ialah Islam, baligh, berakal (orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali); lelaki (perempuan tidak sah menjadi wali); adil dan merdeka.

Susunan wali mestilah mengikut tertib iaitu bermula daripada bapa kandung (jika tiada dan mati barulah berpindah kepada), datuk sebelah bapa ke atas kemudian saudara lelaki seibu-sebapa kemudian saudara lelaki sebapa dan anak saudara lelaki seibu-sebapa dan anak saudara lelaki sebapa dan bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa dan seterusnya menurut urutan wali itu sendiri.

Tidak disebut jika ayah tidak memberi nafkah, dia gugur hak walinya; ada hadis Rasulullah SAW menyebut ‘Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil.” (Riwayat Ahmad)

Yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajipan agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.

Wali bersifat adil disyaratkan kerana ia dianggap bertanggungjawab dari segi kehendak agama ketika membuat penilaian bakal suami bagi kepentingan dan maslahat perempuan yang hendak berkahwin itu.

Manakala wali fasik pula, ia sendiri sudah tidak bertanggungjawab ke atas dirinya apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada orang lain. Pun begitu masalah ini boleh diselesaikan selepas wali berkenaan beristighfar.

Tidak wajar pernikahan dijalankan tanpa bapa yang masih hidup menjadi wali walaupun saudari bermasalah dengannya.

Carilah dia dulu kerana walau apapun terjadi saudari tetap dibintikan atau dinasab kepada namanya.

- HARIAN METRO

Zaquan tetap kekasihku - Ayu Raudhah

by

“Saya masih kekasih Zaquan dan dia masih seorang ‘lelaki’ terbaik bagi saya,” kata pelakon, Ayu Raudhah, 25, mengulas gosip yang mengatakan hubungan cintanya bersama pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak terlerai gara-gara orang ketiga.

Hubungan pasangan itu yang mula intim tahun ini dikatakan retak menanti belah gara-gara gosip terbaru mendakwa Zaquan dalam diam memiliki seorang lagi ‘awek’ yang menemaninya di kala tertekan dan mempunyai masalah sejak lebih dua tahun lalu.

Berikutan gosip itu Ayu yang juga adik kepada dramatis terkenal, Rozita Che Wan didakwa menyerang ‘kekasih gelap’ Zaquan, baru-baru ini ketika majlis sambutan hari jadi yang dihadiri rakan terdekat.

Ketika dihubungi Harian Metro mengenai gosip itu, Ayu dengan tenang menjawab tidak pernah menyerang mahupun diserang mana-mana ‘awek’ yang mendakwa dirinya kekasih atau bekas kekasih Zaquan malah, hubungannya bersama kembar kepada Aidil Zafuan itu masih lagi baik.

“Manalah timbul cerita begini? Saya bahagia dan tiada orang ketiga seperti didakwa sesetengah pihak, malah tidak timbul juga cerita kata saya pergi menyerang orang semata-mata berebutkan Zaquan...saya takkan buat begitu.

“Lagipun sepanjang bulan ini saya agak sibuk dan berada di luar ibu kota kerana ‘shooting’ drama. Pada 22 Disember lalu saya di Tapah sehinggalah Isnin lalu untuk penggambaran drama bagi tayangan RTM selain temu janji dengan majalah,” katanya menafikan gosip itu semalam.

Wartawan Harian Metro diberitahu seorang sumber yang menghubungi Balai Berita, di sini mengenai Zaquan yang juga penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan mempunyai selera pelik kerana tidak hanya bernafsu ke atas wanita tetapi insan bernama lelaki.

Difahamkan hubungan terlarang itu berlanjutan beberapa tahun sejak masing-masing berkenalan di laman sembang, malah ia masih kekal utuh meskipun Zaquan dan Ayu dilaporkan intim menyulam kasih tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, Zaquan didakwa bijak memainkan peranan sebagai pasangan yang penyayang apabila tidak membezakan kasih sayangnya ketika bersama Ayu dan ‘awek’ lelakinya itu yang difahamkan berasal dari Sarawak.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, perhatian Zaquan lebih terarah kepada lelaki terbabit berikutan keistimewaan dimilikinya disamping bijak meredakan kemarahan selebriti sukan berkenaan kerana kerap berada di sisi ketika diperlukan.

Ditanya mengenai gosip itu, Ayu nyata terkejut mendengar berita disampaikan, namun menegaskan Zaquan lelaki sejati dan bukan seperti didakwa sumber, malah dia juga yakin kekasih hatinya seorang yang ‘lurus’ serta jujur.

“Ini pertama kali saya mendengar gosip mengatakan Zaquan begitu. Sebelum ini banyak cerita yang berkisar perihal Zaquan dengan perempuan itu...perempuan ini...belum ada lagi yang bercakap dia ada hubungan dengan lelaki.

“Saya mahu tegaskan di sini saya yakin Zaquan masih lelaki sejati dan tidak memilih kaum sejenisnya untuk menjadi pasangan. Sepanjang berkawan dengannya saya tidak nampak ciri-ciri dia berminat ke atas kaum Adam,” katanya.

Berikutan itu, dia meminta supaya kisah percintaannya tidak digembar gemburkan mana-mana pihak, sebaliknya berdoa supaya hubungan cinta bersama Zaquan berakhir hingga ke jinjang pelamin.

Sementara itu Mohd Zaquan ketika ditemui Harian Metro malam tadi selepas perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Malaysia dan Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil terkejut dan menafikan sekeras-kerasnya gosip itu.

- HARIAN METRO

Memupuk mentaliti, budaya bayar cukai

by

Oleh Mona Ahmad
mona@bharian.com.my

Kemakmuran dan pembangunan berterusan demi kepentingan rakyat boleh diteruskan jika semua pihak menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai, walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini. Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memudahkan orang ramai menjalankan urusan menghantar borang cukai pendapatan dan membayar cukai.

Jika sebelum ini, misalnya, orang ramai bersesak-sesak di kaunter LHDN seluruh negara setiap kali menjelang bulan membayar cukai, iaitu Mac dan April. Bagaimanapun, sejak sistem taksiran cukai menerusi internet atau e-filing diperkenalkan mulai 2006, orang ramai tidak perlu lagi ke kaunter LHDN bagi menghantar borang cukai pendapatan dan ia boleh dibuat di mana saja menggunakan kemudahan internet.

Malah, LHDN turut memudahkan orang ramai menjelaskan cukai pendapatan individu menerusi pelbagai kaedah bayaran, termasuk Potongan Cukai Berjadual (PCB) dan menerusi perbankan internet seperti CIMB Bank, Bank Islam, Public Bank, Hong Leong Bank dan Maybank2u/Maybank2e.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Ma’amor Osman, berkata rakyat perlu lebih prihatin kerana pembayaran cukai pendapatan adalah tanda tanggungjawab rakyat kepada negara. Katanya, ia adalah fardu kifayah antara manusia dengan manusia dan natijahnya sangat besar jika tidak laksanakan tanggungjawab itu.

“Membayar cukai adalah tanggungjawab wajib dipatuhi, selain zakat bagi umat Islam. Saya menyeru kepada rakyat Malaysia, jangan culas membayar cukai demi kepentingan dan kemakmuran negara. Kita perlu bersyukur kerana di negara maju sendiri cukai pendapatannya lebih tinggi daripada apa yang terpaksa dibayar rakyat di negara ini,” katanya.

“Kerajaan menerusi LHDN menyediakan pelbagai kemudahan bagi membolehkan orang ramai menjalankan tanggungjawab. Pihak korporat juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab ini bagi membolehkan kemakmuran dan pembangunan negara terus dilaksana,” katanya.

Jangan jadikan alasan ekonomi tidak menentu untuk tidak membayar cukai kerana tanpa suntikan daripada kerajaan menerusi cukai dipungut pembangunan tidak dapat diteruskan dan ini merugikan banyak pihak, terutama rakyat.

Perkara ini dipersetujui Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang berpendapat walaupun suasana ekonomi agak lembap, orang ramai perlu mempunyai kesedaran melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.

“Tidak dinafikan banyak syarikat swasta alami kesukaran dalam keadaan ekonomi sekarang yang mungkin menyebabkan mereka sukar menjelaskan cukai korporat. Tahun depan, LHDN mungkin menghadapi masalah mencapai sasaran diharapkan, tetapi tidak bermakna pembangunan harus ditangguhkan ini kerana ia penting untuk merancakkan aktiviti ekonomi negara, sekali gus dapat menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata pelaksanaan cukai terhadap penduduk Islam tidak terkecuali ketika zaman Rasulullah SAW memerintah Madinah.

Katanya, selain zakat dikenakan kepada penduduk Islam, mereka juga dikenakan cukai kharaj, iaitu cukai pertanian kepada penduduk Islam yang layak.

Bagi penduduk bukan Islam pula, mereka dikenakan al-‘usyur, iaitu cukai kepala, manakala jizyah juga dikenakan terhadap mana-mana negeri yang ditawarkan menganut Islam, tetapi penduduknya memilih untuk kekal dalam agama yang asal. Cukai ini dikenakan bagi menjamin keselamatan dan perlindungan harta benda.

“Mengikut konteks zaman ini, langkah kerajaan mengenakan cukai tanah, bangunan dan perniagaan atau korporat tidak lari daripada apa dilaksanakan sebelum ini. Perbezaan cukai dikenakan ketika ini dengan mengikut landasan Islam ia bersifat tetap dan tiada peningkatan, walaupun dari setahun ke setahun,” katanya.

Menyingkap sejarah penubuhan LHDN, ia bermula sejak 1 Januari 1948 dengan pewujudan pentadbiran cukai di Persekutuan Tanah Melayu menerusi Ordinan Cukai Pendapatan 1947. Pejabat Cukai Pendapatan pertama ditubuhkan pada tahun sama bertempat di Bangunan Sulaiman, Jalan Hishamuddin, Kuala Lumpur. Sir RB Heasman dilantik menjadi Pengawal Besar Cukai Pendapatan yang pertama dengan 54 tenaga kerja.

Pada 1957, Pejabat Cukai Pendapatan ditukar kepada Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) dan gelaran Pengawal Besar Cukai Pendapatan ditukar sebagai Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri. Pada 1 Mac 1996, JHDN diperbadankan mengikut Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) dan ditukar menjadi LHDN.

LHDN berfungsi sebagai ejen kerajaan dalam mentadbir dan menguatkuasa cukai seperti Cukai Pendapatan, Cukai Pendapatan Petroleum, Cukai Keuntungan Harta Tanah, Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan, Duti Setem, Duti Harta Pesaka dan cukai lain.

Antara perkhidmatan diperkenalkan, termasuk penggunaan teknologi komputer sejak 1979 menerusi penubuhan unit memproses data elektronik, Sistem Taksir Sendiri (STS) pada 2001 diikuti perkhidmatan e-filing diperkenalkan pada 10 Februari 2006 dan setahun selepas itu kemudahan membayar cukai secara elektronik pula diperkenalkan menerusi e-bayaran.

Kecemerlangan LHDN bukan hanya bertumpu kepada skop perkhidmatan berasaskan percukaian semata-mata, tetapi juga pengiktirafan diterima pada peringkat anugerah perkhidmatan dan aktiviti kemasyarakatan dan sosial.

- BERITA HARIAN

Penempatan lepasan ISMP tertakluk kekosongan jawatan guru

by

PUTRAJAYA 30 Dis. 2009 - Pengambilan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sebagai guru adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, bukan semua lulusan tersebut boleh berkhidmat sebagai guru kerana Institut Pendidikan Guru (IPG) telah memberi latihan kepada bakal-bakal guru mengikut keperluan semasa ''Sebab graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mengambil bidang mereka sendiri bukan berdasarkan keperluan, kita tidak semestinya dapat menerima semua.

''Kita kena tengok pengkhususan dan opsyen graduan, mereka yang tidak dapat bekerja dengan Kementerian Pelajaran mungkin boleh mengajar di sekolah swasta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Kualiti 2009 Kementerian Pelajaran di sini hari ini yang menyaksikan Bahagian Buku Teks muncul pemenang Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran.

Puad bagaimanapun berkata, soal keutamaan kepada IPG berbanding graduan Sarjana Muda Pendidikan tidak timbul kerana Kementerian Pelajaran melakukan proses pengambilan berdasarkan kekosongan dan pengkhususan.

''Sebagai contoh, kalau guru Matematik telah pun penuh, maka kita tidak boleh mengambil cikgu mata pelajaran ini lagi.

''Pada masa ini, kita memerlukan lebih ramai guru Bahasa Inggeris untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah," katanya.

Mengenai aduan penempatan guru yang mengambil masa lama, Puad berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak timbul kerana penempatan untuk semua lepasan IPG telah selesai dijalankan.

''Saya difahamkan penempatan mereka telah selesai sebagai persiapan untuk sesi persekolahan tahun depan.

''Mereka yang menghadapi masalah boleh tampil dan kemukakan aduan dalam facebook saya," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, Kementerian Pelajaran akan menyediakan 1,500 peluang latihan KPLI pada tahun depan.

''Kita telah melatih kira-kira 5,000 pelajar KPLI pada tahun ini tetapi hanya akan mengambil 1,500 pelajar pada tahun depan," katanya.

- UTUSAN

Tune Talk jangka dapat pelanggan ke 500,000

by

Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk) pengendali perkhidmatan mudah-alih, menyasarkan pelanggan ke 500,000 akan dicapai dalam beberapa minggu akan datang, menjadikannya salah sebuah syarikat telekomunikasi yang paling pantas berkembang di negara ini.

Ketua Eksekutifnya, Jason Lo berkata, sasaran utama mereka adalah untuk mendapat sejuta pelanggan dalam tahun pertama operasi.

"Kami akan menutup tirai 2009 dengan kejayaan yang amat membanggakan dan kami percaya tahun 2010 akan membawa kejayaan yang lebih besar.

'' Sambutan baik pelanggan adalah hasil strategi pemasaran dan komunikasi kami bukan konvensional termasuklah pendekatan dalam talian kami yang menarik," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Tambah Lo, Tune Talk merupakan satu-satunya perkhidmatan mudah- alih yang memberikan manfaat dan kelebihan kepada pelanggan sebaik sahaja mereka mengaktifkan nombor, dan bukan hanya sempena hari jadi atau ulang tahun.

''Sebagai contoh, kadar rata terendah kami iaitu 22 sen seminit adalah yang terbaik di pasaran. Ia adalah untuk panggilan domestik ke mana-mana pengendali dalam Malaysia dan bukan hanya kepada keluarga atau rakan terpilih.

''Melalui maklum balas yang kami terima daripada pelanggan baru, mereka benar-benar dapat merasakan penjimatan dari segi bil mudah-alih dengan Tune Talk. Matlamat kami adalah menawarkan perkhidmatan yang lebih murah dan memudahkan masyarakat untuk berbual dan kami gembira berjaya mencapai matlamat itu," jelasnya.

Pengendali perkhidmatan mudah-alih terbaru negara ini dilancarkan pada 19 Ogos 2009 dengan menawarkan kadar rata terendah 22 sen seminit untuk panggilan dan lima sen setiap mesej pesanan ringkat (SMS).

Baru-baru ini, dalam usaha memberi kemudahan serta lebih penjimatan kepada pelanggannya, Tune Talk telah memasarkan telefon mudah alih yang berbaloi dikenali sebagai Telefon Tune Talk dengan harga RM109.

Setiap pakej pembelian Telefon Tune Talk disertai 100 minit kredit masa bercakap percuma daripada Tune Talk dan jaminan 1 tahun untuk set badan telefon. Promosi ini adalah untuk pelanggan baru dan juga pelanggan sedia ada Tune Talk.

"Telefon Tune Talk disasarkan kepada mereka yang berumur 12-30 tahun termasuklah pelancong, pekerja dan pelajar dari golongan pendapatan rendah hingga sederhana.

'' Oleh kerana cirinya yang ringkas dan mesra pengguna, ia juga sesuai untuk digunakan warga emas. Tiada kontrak dikenakan, begitu juga tiada had pembelian," kata Lo.

Telefon Tune Talk kini boleh didapati dari pengedar-pengedar sah Tune Talk di Lembah Klang dan akan diperluaskan ke seluruh negara dalam beberapa minggu akan datang.

Tune Talk semakin mendapat perhatian daripada segmen pasaran belia terutamanya dari kalangan anak muda yang mahir internet lantaran strategi gerbang dalam taliannya yang inovatif.

Para pelanggan Tune Talk mendapati kaedah pendaftaran, pengurusan akaun dan perkhidmatan pelanggan secara dalam talian yang disediakan syarikat itu amat berguna dan praktikal.

''Mereka hanya perlu ke laman web kami www.tunetalk.com untuk mendaftar secara dalam talian. Dari maklum balas yang kami terima, para pelanggan Tune Talk gemarkan kaedah pendaftaran yang menarik dan mesra pengguna ini yang membolehkan mereka memilih atau 'mencipta' nombor sendiri.

''Lebih menarik, pengguna boleh memadam dan memilih semula nombor yang dikehendaki berulang-ulang kali sehinggalah mereka berpuas hati," kata Lo.

Lo berkata produk Tune Talk dibangunkan dengan matlamat memberi kemudahan dan kebebasan membuat pilihan kepada pengguna.

Pek permulaan Tune Talk berharga RM5 dengan masa berbual berjumlah RM5. Ia kini juga boleh diperoleh dalam penerbangan antarangsa AirAsia bagi sektor Kuala Lumpur yang terpilih.

Untuk tambah nilai, pelanggan Tune Talk boleh menggunakan kaedah e-Pay atau baucar tambah nilai di lebih 10,000 pengedar di seluruh negara.

- UTUSAN

Implikasi cukai, subsidi kepada negara

by

Cukai dan subsidi sering menjadi topik utama dalam perbahasan mengenai ekonomi Malaysia. Kedua-duanya memberi kesan kepada sumber kewangan kerajaan dan rakyat secara langsung.

Semasa pembentangan Bajet 2010, kerajaan mengumumkan bahawa semua urus niaga penjualan hartanah dikenakan cukai lima peratus.

Namun, kerajaan sekali lagi mengambil langkah untuk menarik balik cukai tersebut bagi penjualan hartanah yang dimiliki melebihi lima tahun. Selain itu, semua hotel yang menjalankan proses pengubahsuaian akan mendapat potongan cukai sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Kedua-dua pengumuman ini bakal mengurangkan sumber pendapatan kerajaan.

Jadi aspek manakah yang lebih penting? Merancakkan sektor hartanah dan sektor pelancongan atau memperolehi sumber pendapatan yang lebih melalui cukai?

Inilah satu keputusan yang cukup penting bagi mana-mana kerajaan. Keputusannya mestilah tepat dan pada masa yang sama memberi kesejahteraan kepada rakyat. Jika kerajaan tidak mempunyai sumber yang mencukupi, bagaimana pula kerajaan ingin "memulangkan kembali" kepada rakyat?

Maka, sekali lagi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun 2011.

Tahun ini sahaja, dianggarkan kutipan cukai bagi kerajaan berkurangan sebanyak RM2.7 bilion. Apabila GST dilaksanakan nanti, kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih kurang RM1 bilion.

Bagi rakyat, cukai adalah satu perkara yang boleh mengurangkan sumber kewangan mereka. Tetapi rakyat juga perlu ingat, mereka bertanggungjawab untuk membayar cukai, jika tidak sesebuah kerajaan yang gah macam mana sekalipun tidak mampu untuk melaksanakan semua dasar dengan lancar jika "ongkosnya" tidak mencukupi.

Bayangkan juga terdapat individu yang tidak mahu membayar cukai. Mereka inilah golongan yang berasakan hasil yang mereka perolehi tidak perlu disumbangkan kembali kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Jadi, sejauh manakah jumlah cukai yang rakyat sanggup bayar?

Bagi subsidi, perkara sama juga berlaku. Kerajaan sudah memberi beberapa petanda bahawa subsidi minyak akan diberikan kepada golongan sasaran sahaja. Perkara ini amat menarik perhatian rakyat. Pertama, tujuannya agar hanya golongan sasaran sahaja yang memperolehi subsidi minyak.

Kedua, kerajaan tidak lagi menanggung beban kewangan yang besar termasuk untuk memberi subsidi kepada orang kaya dan juga warganegara asing. Namun, seperti biasa dua perkara yang amat dikhuatiri oleh rakyat. Adakah benar golongan sasaran sahaja akan memperolehi manfaatnya kerana dikhuatiri berlakunya ketirisan?

Ketiga, tidakkah harga barang akan meningkat seperti mana yang pernah berlaku pada tahun lepas, apabila kerajaan meningkatkan harga minyak pada tahap tertinggi dalam sejarah. Inilah satu lagi dilema yang mana kerajaan perlu membuat keputusan dengan tepat bagi memastikan segala perancangan dan strategi yang benar-benar berkesan dapat dilaksanakan.

Topik subsidi bukan hanya terletak pada subsidi minyak sahaja, subsidi gula juga diperbincangkan sehingga kerajaan sekali lagi mengumumkan bahawa subsidi gula tidak akan ditarik buat masa ini.

Bermakna, sumber kewangan kerajaan akan digunakan untuk membayar subsidi tersebut. Akibatnya, projek-projek lain untuk rakyat akan terkena tempiasnya.

Bagi penulis, tidak kiralah cukai dikenakan dan subsidi ditarik balik, yang pasti, kerajaan perlu berusaha dengan lebih gigih untuk merealisasikan tiga perkara ini.

Pertama, usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat pada tahap berpendapatan tinggi merupakan satu inisiatif yang mengutamakan rakyat. Jika rakyat mempunyai pendapatan per kapita cukup tinggi, maka rakyat tidak keberatan untuk membayar cukai dan subsidi yang ditarik.

Tetapi pendapatan sahaja tidak mencukupi jika perkara kedua, iaitu harga barangan berada pada tahap yang sentiasa meningkat. Ambil sahaja contoh mudah harga barangan sebelum harga minyak naik pada tahap tertinggi tahun lepas berbanding dengan masa sekarang.

Ini bermaksud, harga minyak amat memainkan peranan penting dalam menentukan harga barangan dan akhirnya boleh memberi kesan kepada sumber kewangan rakyat. Maka, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Anti Mengaut Keuntungan Berlebihan merupakan satu lagi usaha yang bakal mengekang harga barangan daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Akta ini diperkenalkan seiring dengan GST. Namun, apa yang rakyat inginkan sudah tentu dari segi penguatkuasaan akta ini dengan cekap dan berkesan apabila sampai masanya.

Apa-apa pun dasar dan pengumuman mengenai cukai dan subsidi mestilah dilaksanakan secara lembut dan berperingkat-peringkat agar rakyat boleh menerimanya. Jika terlalu mengejut dan rakyat sendiri tidak diberi peluang untuk memberi maklum balas, rakyat pastinya berasakan tindakan itu tidak wajar dilaksanakan.

Satu cara untuk mendapatkan maklum balas rakyat ialah seperti mengadakan Hari terbuka Pelan Transformasi Kerajaan untuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diadakan baru-baru ini. Satu usaha yang mengembalikan "kuasa" rakyat untuk memberi maklum balas terhadap sebarang cadangan dan tindakan kerajaan. Perkara ini perlu diteruskan secara konsisten.

Perkara ketiga berkaitan dengan mata wang Malaysia. Bagi menjadikan Malaysia negara maju, mata wang kita juga sewajarnya kukuh dan bernilai tinggi berbanding mata wang negara lain.

Ketiga-tiga perkara inilah yang sewajarnya diberi perhatian segera untuk memastikan taraf hidup rakyat berada pada tahap negara maju. Ketiga-tiga ini berkait langsung dengan kuasa beli rakyat.

Jika kuasa beli rakyat Malaysia cukup tinggi, cukai dan subsidi tidaklah begitu menggusarkan kerajaan mahupun rakyat sebagaimana yang terjadi pada masa kini.

- UTUSAN

Mengharap 2010 lebih ceria

by

Tahun 2009 berlabuh pergi dengan pelbagai peristiwa kejayaan dan kesedihan yang silih berganti. Sebahagian besarnya diwarnai dengan kisah-kisah kejayaan personaliti, kepimpinan dan pencapaian hebat individu, institusi mahu pun negara.

Sebahagian lagi kisah duka lara sebahagian umat yang terus menderita, merintih sedih, mengharap bantuan orang lain dan berperang atas nama keganasan, persepsi sempit kaum dan agama serta tekanan yang tiada noktah penyelesaian.

Di dalam negara, kita berhadapan dengan kisah-kisah sedih manusia yang meragut, membunuh dan meruntun jiwa kemanusiaan kita dengan kisah-kisah derita anak-anak kecil yang dibuang, didera dan dilakukan keganasan yang mengulangi keluh kesah dan kemarahan yang sama.

Kita dihimpit oleh keresahan oleh mereka yang membuat tafsiran pelbagai perkara mengikut emosi, kisah-kisah personaliti yang mencari publisiti hebat termasuk sesetengah menjadi sebahagian selebriti sensasi, kemalangan ngeri yang meragut nyawa insan tidak berdosa, kejayaan dalam sukan, kisah pencapaian dalam penyelidikan dan pencapaian negara yang boleh kita banggakan.

Semoga 2009 yang pergi menjadi iktibar dan sumber kekuatan untuk meneruskan perjalanan kita selanjutnya. Biarlah sejarah yang berlalu itu mengajar kita erti ketabahan, keberanian dan kekuatan untuk memastikan 2010 yang dilalui lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Paling tidak, pengumuman sekumpulan saintis Asia yang membuktikan secara saintifik melalui jujukan DNA, bahawa kita semua mempunyai pertalian genetik dan menyedarkan kita betapa perpaduan sepatutnya tidak lagi menjadi masalah.

Kajian dilakukan oleh 93 orang penyelidik yang mewakili 40 buah institusi dari 10 buah negara Asia bergabung tenaga menjalankan kajian kepelbagaian pemetaan genetik manusia di rantau ini. Mereka berjaya membuktikan bahawa daripada 73 etnik yang bertaburan, terdapat persamaan yang ketara dari segi genetiknya walau pun terpisah dari segi sempadan geografi, sekali gus menunjukkan bahawa kita datang dari rumpun yang sama.

Seperti mana ditegaskan di dalam al-Quran, Tuhan menjadikan kita berpuak-puak, bersuku-suku dan mempunyai pelbagai bahasa. Oleh itu, kepelbagaian bukanlah sebab untuk kita terus bercakaran dan menimbulkan keresahan yang tiada sudahnya, selagi kita tahu batas sempadan yang ada, hormat menghormati dan tidak mementingkan diri.

Kepelbagaian adalah sesuatu yang wajar dihargai. Perbezaan bahasa, budaya dan anutan agama menjadi rencah yang warna-warni penuh keindahan untuk diraikan, dihormati, dipelajari, difahami dan menjadi kelebihan untuk mengajar kita bahawa manusia juga mempunyai cita rasa yang berbeza-beza, minat yang tidak sama dan pemikiran yang tidak serupa untuk kita lebih bertoleransi dan menghormati satu sama lain secara matang dan bijaksana.

Namun kita bersatu di bawah satu bendera, di dalam satu negara yang berdaulat dan satu kesatuan yang membolehkan kita hidup bersama, rukun damai berteraskan sejarah masa lalu yang tidak boleh diubah dan dipadamkan.

Kerana itu, sepanjang 2010 dan tahun-tahun akan datang, kita harus bersama-sama meningkatkan lagi tahap keceriaan dan kebahagiaan hidup, meningkatkan tahap kasih sayang sesama insan, melakukan transformasi minda yang lebih terbuka dan positif, mempertingkatkan kecemerlangan institusi yang ada dan membasmi segala bentuk keganasan.

Pertubuhan-pertubuhan sukarela yang ada di negara ini harus menggembleng tenaga bersama, termasuk mengadakan perarakan raksasa untuk menunjukkan kebencian dan kemarahan kita terhadap keganasan, isu-isu alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup manusia, keganasan terhadap bayi dan kanak-kanak malah juga menangani kes-kes kemalangan jalan raya secara bersepadu.

Kita tahu dan sedar bahawa statistik juga menunjukkan yang keruntuhan institusi keluarga kita semakin membimbangkan. Bilangan penagih dadah dan mereka yang menghidapi penyakit berbahaya juga bertambah dengan banyaknya. Sebahagian besarnya ialah anak-anak muda kita yang terlibat dalam gejala-gejala songsang, jenayah seksual, pesta arak dan sebagainya yang menunjukkan semakin jauhnya mereka dengan agama.

Puncanya juga kita tahu iaitu masalah rumah tangga, kerenggangan ikatan keluarga, tekanan ekonomi dan banyak lagi. Oleh sebab sibuk dengan kisah-kisah sensasi selebriti dan mungkin seronok dengan kisah-kisah politik sensasi, kita makin lupa masalah ini yang jangka panjang akan meruntuhkan bangsa.

Kerana itu, transformasi minda dan pemikiran jangka panjang amat penting. Rakyat negara ini harus berhenti menuding jari kepada orang lain, sebaliknya bersama-sama menyumbang buah fikiran dan mengambil bahagian dalam usaha menghadapi kemelut sosial yang ada.

Ironisnya, kita mampu membeli kereta mewah dan telefon bimbit mahal, tetapi tidak mampu memiliki alat pendengaran untuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu sehingga mengganggu orang lain. Sesetengah kita berbangga dengan kereta yang dijaga sempurna, tetapi tidak mahu membayar untuk tempat letak kereta lalu meletakkannya di tepi jalan yang menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Masalahnya ialah, selagi kita hanya bergantung kepada orang lain, termasuk agensi-agensi kerajaan, maka sukar untuk menyelesaikan sebahagian besar masalah yang ada. Usaha bersama yang bersungguh-sungguh harus diambil untuk menghadapi apa jua masalah bersama yang ada.

Konsep kejiranan yang kental, penyertaan pemimpin tempatan termasuk pemimpin-pemimpin yang dipilih melalui parti politik dan lain-lain lagi wajar diperkukuhkan untuk menangani masalah bersama yang ada. Konsep turun padang tanpa mengira masa, ikhlas dan bertanggungjawab harus menjadi pegangan semua pihak.

Perkukuhkan semua institusi yang ada, terutamanya institusi agama dan institusi amanah. Para pemimpin yang diamanahkan memimpin institusi agama harus melihat semua masalah ini, tanpa mengira siapa sahaja untuk membuktikan bahawa persepsi salah yang ada pada agama selama ini dapat diperbetulkan.

Perkukuhkan juga institusi amanah yang ada termasuk agensi-agensi kerajaan. Sesetengah orang yang berada dalam institusi amanah ini masih mengamalkan sikap lama yang menjarakkan antara rakyat biasa dengan agensi-agensi yang ada.

Mereka lupa terhadap konsep amanah dan tanggungjawab terhadap amanah yang dipegang dan rakyat seluruhnya. Inilah yang menimbulkan kejengkelan dan sesetengahnya dengan mudah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Institusi pendidikan kita perlu diperkasakan oleh setiap individu di dalamnya. Kita telah mempunyai satu sistem yang hampir sempurna. Yang perlu difikirkan dan diselesaikan ialah manusia di dalamnya yang harus melakukan transformasi minda yang menggerakkannya untuk melakukannya dengan lebih baik, sedia berubah dan mengambil tindakan yang perlu dengan penuh kasih sayang bagi membangunkan generasi akan datang.

Proses pendidikan bukan hanya tiket untuk mendapat sijil, diploma dan ijazah, tetapi berupaya melahirkan insan yang mampu berfikir secara berhemah, bijaksana dan berpegang kepada nilai universal dengan berjiwa kemanusiaannya yang kental. Ia harus bermula dalam kalangan mereka yang berada di dalam institusi-institusi berkenaan.

Tahun 2010 seharusnya membuka lebih laluan untuk kita berfikir dengan penuh inovatif dan kreatif sesuai dengan perisytiharan Perdana Menteri baru-baru ini.

Kita harus bersama-sama mencari jalan terbaik untuk menjadikan 2010 lebih membahagiakan dan meningkatkan tahap keceriaan hidup kita.

Kebahagiaan dan keceriaan tidak hanya diperolehi dengan harta benda, tetapi ketenangan jiwa dan kasih kasih melimpah-ruah yang menghormati orang lain, bertoleransi, tenang dalam tindakan, mempunyai akauntabiliti dan integriti yang tinggi serta tidak mudah menuding jari.

Sebaliknya kita sedar yang setiap rakyat ada peranan yang harus dimainkan, tidak kira siapa dan apa yang kita lakukan.

- UTUSAN

Factory Overrun - Bukan pakaian tiruan atau reject

by

Stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.

Melihat sahaja deretan pakaian berjenama popular yang dipamerkan di galeri butik berkenaan, pasti tiada siapa menyangka ia dijual pada harga yang sangat murah.

Kualitinya tetap sama, tidak mempunyai sebarang cacat cela pada jahitan dalaman mahupun luaran menyebabkan mereka yang sebelum ini tidak berminat pada pakaian berjenama terus terpikat.

Sebutlah jenama-jenama terkenal seperti Ralph Lauren, Tommy Hilfigure, Carters, Calvin Klein, Burberry, Brooks Brothers, Marks n Spencer, Evisu, Nordstrom, Replay, AX dan GAP, semuanya ada di bawah satu bumbung.

Hakikatnya, koleksi jenama pakaian popular dari Eropah dan Amerika Syarikat itu harganya mungkin mencecah diantara RM600 sehingga RM1,000 sehelai atau sepasang, namun di butik Factory Overrun di Greentown Nova, Ipoh, Perak, ia boleh dibawa pulang pada harga serendah RM49, bahkan ada yang lebih murah daripada itu!

Itulah hasil usaha gigih usahawan muda, Azmi Abdul Malik, 35, yang mengusahakan Factory Overrun, syarikat tempatan yang mempelopori penjualan terus dari kilang pakaian-pakaian berjenama sejak lapan tahun lalu.

Azmi memberitahu, obsesinya terhadap pakaian berjenama sejak menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor lebih sedekad lalu telah 'memahirkannya' untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut pada harga murah.

"Sebagai peminat pakaian berjenama, saya sentiasa mencari jalan untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah berbanding dengan harga di pasaran dan pada masa sama, kualiti fabrik serta mutu jahitannya masih tulen.

"Pencarian saya akhirnya membuahkan hasil apabila saya mengetahui terdapat pakaian-pakaian berjenama dikilangkan dan ia dipasarkan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasaran," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Setiap pelanggan yang datang ke butik Factory Overrun akan diberi penerangan mengenai perbezaan antara pakaian cetak rompak, dinyah asing (reject) dan koleksi tulen yang terdapat di premis ini," katanya.

Jelasnya, pakaian 'berjenama' tiruan pada kebiasaannya boleh dinilai berdasarkan fabrik dan kualiti jahitan, begitu juga barangan reject yang dikesan melalui kecacatan pada jahitan dan potongan.

"Pakaian berjenama di butik ini dihasilkan di kilang-kilang berlesen di negara ini dan rantau Asia yang mendapat kebenaran dan tempahan pemilik jenama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengilangkannya.

"Bekalan yang diperoleh Factory Overrun merupakan lebihan tempahan pakaian dan atas sebab itu, logo atau jenama pakaian berkenaan yang terletak pada tengah dalam kolar kemeja dan sebagainya mempunyai kesan guntingan.

"Prosedur ini juga sebagai tanda pakaian berkenaan adalah tulen dan asli. Jika ia tiruan, pasti tanda berkenaan tidak 'dikerat'," katanya.


Selepas lebih setahun membuka premis pertamanya di Greentown Nova, Azmi kini boleh berbangga kerana butiknya yang kedua telah beroperasi di Pusat Bandar Seri Manjung. Butiknya yang terbaru iaitu di bandar Taiping pula akan dibuka tidak lama lagi.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama ini mempunyai peminatnya sendiri kerana mereka lebih mementingkan kualiti kerana keselesaan pemakainya," katanya.

Menurutnya, Factory Overrun kini menawarkan berpuluh-puluh jenis jenama pakaian popular untuk lelaki dan wanita dewasa serta koleksi kanak-kanak seperti GAP, Old Navy dan OshKosh.

Selain itu, Azmi juga bertindak sebagai pemborong dan membekalkan pakaian berjenama terbabit kepada peniaga berminat di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pahang.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi tiga buah butiknya sepanjang tahun 2010. Katanya, sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan terhadap pakaian-pakaian berjenama tetapi pada harga mampu dibeli.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama akan terus mendapat sambutan menggalakkan lebih-lebih lagi masyarakat mengetahui ia adalah original.

"Selain itu, penjenamaan semula Factory Overrun sedikit masa lagi diharap dapat meningkatkan jualan," katanya.

Ketika ini, Factory Overrun menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus untuk beberapa jenis pakaian terpilih dan peluang itu harus direbut oleh mereka yang tidak mampu membeli pakaian berjenama pada harga asal.

"Apa yang pasti, pakaian yang terdapat di butik kami merupakan fesyen terkini seperti yang terdapat di pasaran," katanya.

Orang ramai yang berminat bolehlah berkunjung ke Factory Overrun di No.14, Jalan Greentown 1, Greentown Nova, Ipoh, Perak. Sebarang pertanyaan, boleh dibuat melalui talian 019-5761807 atau menerusi laman web www.factoryoverrun.com

- KOSMO!

Skuad Bolasepak Malaysia benam Syria 4 - 1

by

Di sebalik perlawanan 'gila' yang dilalui barisan bimbingan K Rajagobal, pengendali kebangsaan itu gembira dengan persembahan skuad negara yang berjaya meneruskan rentak kejayaan pingat emas Sukan Sea dengan membenam Syria 4-1 dalam perlawanan pemanas badan kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

"Satu lagi peningkatan berjaya dicipta dan nampaknya mereka kini berada di landasan terbaik sebelum berangkat ke UAE (Emiriyah Arab Bersatu), 4 Januari ini."

"Perlawanan malam ini memang untuk melihat prestasi mereka dan saya memutuskan membuat pertukaran pemain selepas kita mendahului 3-1 sekali gus membuka peluang kepada pemain lain beraksi," katanya mengenai barisan yang bakal berlepas ke Dubai untuk perlawanan kumpulan kelayakan Piala Asia pada 6 Januari ini.

Gol skuad negara adalah jaringan Safiq Rahim, minit ke-31, 62, Zaquan Adha Abd Radzak (m-78) dan K Gurusamy (m-90).

Mengenai mutu pengadilan yang ditunjukkan pengadil Rajagobal berkata: "Saya tak mau komen mengenainya, anda boleh melihatnya sendiri."

Malang menimpa nasib Zaquan Adha apabila diarah keluar padang minit ke-79 seminit selepas menjaringkan gol ketiga Malaysia apabila lambat keluar untuk digantikan dengan Syakir Ali.

Zaquan tidak mampu berkata-kata dan berjalan keluar dengan wajah tergamam selepas menerima kad kuning keduanya. Mendapat iktibar daripada insiden itu, penjaga gol, Mohd Farizal Marlias berjalan keluar di belakang gawang dengan Sharbinee Allawee meluru laju untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkannya.

- BERITA HARIAN

ENGLISH PREMIER LEAGUE (EPL) RESULT - 28, 29, 30/12/2009

by

December 28

Tottenham H.2 - 0West Ham U.


Blackburn R.2 - 2Sunderland

Chelsea2 - 1Fulham

Everton2 - 0Burnley


Stoke C.0 - 1Birmingham C.

Wolverhampton W.0 - 3Manchester C.

December 29

Aston Villa0 - 1Liverpool


Bolton W.2 - 2Hull C.

December 30


Portsmouth1 - 4Arsenal

Manchester U.5 - 0Wigan Athletic

JAWATAN KOSONG DI KERAJAAN NEGERI JOHOR

by
Permohonan adalah dipelawa daripada Rakyat Negeri Johor Darul Takzim atau Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon jawatan seperti berikut:

JAWATAN:
- Pegawai Psikologi
(Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia) - Kontrak

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.johordt.gov.my/bpsm/iklanbpsmjohor.pdf

DOWNLOAD BORANG:
http://www.johordt.gov.my/bpsm/brgiklanbpsm.pdf

Borang permohonan yang lengkap dipenuhi hendaklah dihantar ke alamat:

KETUA PENOLONG SETIAUSAHA,
BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA,
PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR,
TINGKAT 1 & 2, BANGUNAN C3S, KOTA ISKANDAR,
79503 NUSAJAYA, JOHOR.

TARIKH TUTUP : 21 JANUARI 2010


JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA KEMAJUAN TANAH PERSEKUTUAN (FELDA)

by
Permohonan adalah dipelawa daripada WARGANEGARA MALAYSIA yang berkelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan berikut:

JAWATAN:
- Pegawai Perancang Korporat

Taraf : Kontrak

MAKLUMAT LANJUT:
http://www.felda.net.my/feldav2/attachments/294_CP.pdf

BORANG PERMOHONAN:
http://www.felda.net.my/feldav2/attachments/294_BORANG%20FELDA%201.pdf

Semua permohonan hendaklah disertakan bersama salinan Kad Pengenalan, Ijazah/Sijil serta lain-lain dokumen sokongan yang telah disahkan dan sekeping gambar yang terbaru berukuran pasport hendaklah dihantar kepada:

PENGARAH SUMBER MANUSIA
LEMBAGA KEMAJUAN TANAH PERSEKUTUAN (FELDA)
WISMA FELDA
JALAN PERUMAHAN GURNEY
54000 KUALA LUMPUR

http://www.felda.net.my


TARIKH TUTUP : 8 JANUARI 2010


JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA TABUNG HAJI (LTH)

by
JAWATAN:
-Pegawai Khas (Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Kelayakan :
Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.tabunghaji.gov.my/th/TH/source/Jawatan%20Kosong/Lampiran%20A.pdf

CARA MEMOHON:
Calon yang berminat boleh memohon melalui laman web TH iaitu : www.tabunghaji.gov.my

TARIKH TUTUP : 8 JANUARI 2010

30 Disember 2009

Bekas Presiden Indonesia Gus Dur Meninggal Dunia

by

Bekas presiden Indonesia, Abdur Rahman Wahid meninggal dunia di Hospital Cipto Mangunkusumo, Jakarta petang ini di saat menerima kunjungan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Setiausaha peribadi tokoh itu, yang juga dikenali Gus Dur, cucu pengasas gerakan Nahdhatul Ulama (NU) itu mengembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.40 petang waktu Jakarta (7.40 malam Kuala Lumpur).

Gus Dur, presiden pertama selepas era kepemimpinan regim Golkar, meninggal dunia di depan Susilo.

Allahyarham menggantikan BJ Habibie yang menggantikan presiden Soeharto, yang dianggap memerintah dengan gaya autokratik, setelah ditumbangkan gerakan reformasi pada 1998.

Gus Dur, yang turut berpengaruh di kalangan ahli politik dan aktivis Malaysia, memperkenalkan beberapa undang-undang yang memungkinkan permulaan era lebih terbuka dan demokratik di republik itu.

Tokoh agama yang disegani ramai dan pejuang hak asasi itu dirawat di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.

- MALAYSIAKINI

Terbang tinggi di langit

by

Ada yang menyamakan kerjaya seorang juruterbang dengan pemandu bas atau lori. Namun, pemandu tersebut tidak berhadapan dengan pengemudian sebuah pengangkutan bernilai berjuta-juta ringgit dan memerlukan kefahaman teknikal yang tinggi.

Dari kanak-kanak hingga ke alam remaja, kita selalu ditebak dengan soalan 'hendak jadi apa bila dewasa?'. Guru-guru di sekolah pun kerap mengedarkan borang untuk diisi oleh anak-anak murid mengenai tiga cita-cita yang subur dalam diri mereka.

Ramai yang mengidam untuk menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, guru, pensyarah, peguam, wartawan dan sebagainya. Sejujurnya, selain kelayakan akademik, ada sesetengah kerjaya itu memerlukan kewibawaan dan keyakinan yang tinggi. Dalam erti kata sebenar, ia merangkumi jenis pekerjaan yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang di luar jangkauan.

Bergelar juruterbang muda sejak pertengahan tahun lalu, Syamim Shahabuddin, 25, terpaksa mengharung liku-liku hidup yang mencabar semasa dan selepas menjalani sesi pembelajaran dan latihan penerbangan.

Namun, pengorbanannya diraikan dengan balasan yang setimpal apabila Syamim berpeluang menikmati salah satu kelebihan yang jarang dinikmati dalam kerjaya lain. Pada setiap hari, pemandangan di sekeliling 'pejabat bergerak' Syamim sentiasa bertukar wajah mengikut lokasi yang dituju. Sudah tentu, kelebihan itu akan membuatkan seseorang berasa seronok dan tidak lagi muak berada sepanjang hari di pejabat.

"Memang betul pun. Saya seronok setiap kali menerbangkan sebuah pesawat terutama semasa mendarat di lapangan terbang di Bali yang berdekatan dengan pantai Kuta.

"Walaupun sudah lebih 10 kali terbang ke situ, setiap penerbangan ke Bali meninggalkan pengalaman yang menarik, bersulamkan pemandangan bumi yang menghijau dan laut membiru," ujarnya dalam keterujaan.

Apa yang dialaminya tidak mungkin dapat dirasai sekiranya dia duduk di kabin bersama penumpang lain. Memandangkan Syamim suka melancong dan kagum melihat salah seorang anggota keluarganya berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dia secara automatik mahu menjadi seorang juruterbang bertauliah apabila dewasa nanti.

Sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), percubaan kali pertama Syamim memohon mendapatkan lesen penerbangan berakhir dengan kehampaan.

Bagaimanapun, setelah dia mengikuti kursus diploma dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama tiga tahun, tanpa diduga Syamim dihubungi oleh pihak AirAsia.

Dia diminta menghadirkan diri untuk sesi temuduga bagi menentukan kelayakan menerima tawaran biasiswa dalam kursus penerbangan.

"Peringkat temu duga ini merangkumi tiga tahap penting di mana setiap satu menguji aspek konsentrasi dan kemampuan yang berlainan," jelas Syamim yang menduduki ujian penulisan, ujian lisan dan ujian psikomotor.

Dalam ujian penulisan, dia diuji menerusi subjek Matematik, Fizik, Bahasa Inggeris dan IQ. Seterusnya dalam ujian lisan pula, Syamim dikehendaki menjawab beberapa soalan yang menguji tahap keyakinan dalam mengawal tekanan yang dihadapi.

"Ujian psikomotor bertujuan melihat koordinasi antara mata dan pergerakan tangan secara serentak," ujarnya.

Syamim berjaya mempamerkan karakter dan sifat yang baik sekali gus lulus untuk menyertai Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) di Melaka pada hujung tahun 2005. Sekalipun kursus permohonan Lesen Juruterbang Komersial dengan Rating Instrumen (CPL/IR) termaktub untuk tempoh 18 bulan, proses itu rata-ratanya bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Latihannya terbahagi kepada dua kategori iaitu teori (darat) dan praktikal (udara). Seorang juruterbang kadet dikehendaki menamatkan 200 jam penerbangan termasuk 165 jam menaiki pesawat berenjin satu manakala 35 jam diperuntukkan bagi pesawat berenjin dua. Syamim menjalani latihan penerbangan solo dan berpasangan dengan menggunakan pesawat Piper Warrior dan Piper Seneca.

"Mula-mula memang gementar tetapi lama-kelamaan teringin nak terbang seorang," selorohnya yang bersyukur kerana tidak berdepan dengan sebarang masalah teknikal atau kemalangan.

Dalam pada itu, MFA menyediakan 860 jam kuliah atau kelas teori yang berasaskan kepada subjek teknikal DCA dan Badan Berkuasa Penerbangan Awam UK (UKCAA). Pada penghujung setiap bulan, Syamim menduduki peperiksaan di Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Putrajaya dan diwajibkan lulus 75 peratus.

"Peperiksaan ini memang susah tetapi seboleh-bolehnya saya berusaha untuk lulus dengan cemerlang memandangkan kos untuk menduduki setiap subjek tersebut mahal dalam mata wang asing," ujar Syamim yang menerima biasiswa berjumlah hampir RM250,000.

Sejurus selepas menyempurnakan CPL/IR, Syamim kemudian mengikuti sesi latihan simulasi di Akademi AirAsia, Sepang. Kira-kira dua bulan atau selama 40 jam, dia didedahkan dengan latihan-latihan kecemasan di atas pesawat Airbus A320.

Pada Jun 2008, Syamim buat pertama kali dihantar ke terminal penerbangan tambang murah LCCT, Sepang. Begitupun, dia diletakkan di bawah pemantauan seorang jurulatih bagi penerbangan domestik dan antarabangsa. Tempoh masa yang diambil sebelum 'dilepaskan' bergantung kepada budi bicara jurulatih.

Dalam kes Syamim, dia bertuah kerana jurulatihnya meluluskan kedudukannya setelah berasa puas dengan persembahan dan kewibawaan yang ditunjukkan dalam tempoh masa sebulan sahaja.

"Kalau ditanya apakah memori yang paling indah dalam hidup saya sebagai seorang juruterbang, pasti ia saat sebaik 'dilepaskan' secara rasmi.

"Satu lagi memori indah adalah ketika ayah saya menelefon sejurus selepas menyaksikan pendaratan saya di hujung landasan di lapangan terbang Langkawi," ujarnya.


Bagi Norashikin Onn, 40-an, idamannya adalah menerbangkan pesawat. Itupun khususnya bersama syarikat penerbangan AirAsia yang sudi menerimanya tanpa diskriminasi jantina pada tahun 2005.

Sebagai Kapten Wanita Pertama AirAsia mulai tahun 2009, Shikin yang mengikuti kelas penerbangan di Florida, Amerika Syarikat (AS), memandang tinggi pada kemampuan wanita pertama yang pernah menerbangkan pesawat menyeberangi Lautan Atlantik, Amelia Earhart pada tahun 1928.

"Bagi saya, seorang juruterbang memerlukan kefahaman dan kearifan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi. Dalam masa-masa getir, dia perlu bertindak dengan tenang, tidak panik dan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya yang pernah berhadapan dengan cuaca buruk dalam perjalanan pulang dari China ke Malaysia.

Sebelum berkhidmat di AirAsia, Shikin menyertai Pelangi Air pada tahun 1996. Empat tahun kemudian, dia dinaikkan pangkat menjadi kapten. Selepas lapan tahun bersama syarikat tersebut, Shikin mengundurkan diri buat seketika untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan Teknologi Maklumat.

Sebelum itu, dia menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Persembahan dan Pengurusan di AS.

Wanita cekal itu juga menubuhkan 4B Kelab Penerbangan Belia pada tahun 1993 yang masih beroperasi di Melaka. "Saya tidak pernah merancang untuk bersara dari bidang ini kecuali kesihatan saya tidak mengizinkan," katanya.

"Sebelum bersara, saya mahu menerbangkan pesawat ke New York dan berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Lagipun, saya gemar mendarat dan berlepas dari lapangan terbang sibuk seperti di Chicago,"tambah Shikin yang kini dalam peringkat mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang pengurusan Teknologi Maklumat.

Namun, jangan sangka bahawa kehidupannya hanya tertakluk kepada kerjaya tanpa masa untuk berehat. Selepas 28 hari bekerja selama 100 jam, Shikin dan Syamim diberi waktu rehat yang cukup sebelum kembali bekerja. Mereka juga ditawarkan tiket dan baucar penerbangan menarik dalam setahun.

"Saya masih ada banyak masa untuk melakukan aktiviti riadah seperti selam skuba, mendaki gunung dan bermain piano," kata Shikin sambil menutup tirai perbicaraan kami pada petang itu.

- KOSMO!

Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah

by
NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

# rasa bangga diri (sombong)

# takjub kepada peribadi sendiri

# suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas

# suka bercakap perkara sia-sia

# suka membuat fitnah

# suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

# khianat

# tamak kepada harta dan pangkat

# tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur."

Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.

Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

Sumber: Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)

MyID percepat urusan orang ramai

by
Dengan hanya menggunakan nombor MyKad, orang ramai kini boleh mencapai pelbagai kemudahan di agensi kerajaan tanpa perlu mengingati nombor rujukan yang berlainan untuk setiap urusan.

Sistem terbaru dikenali sebagai MyID itu merupakan pertama seumpamanya di dunia dan diyakini dapat melicinkan lagi urusan orang ramai dengan agensi kerajaan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Normah Md. Yusof berkata, perkhidmatan tersebut tidak hanya menjurus kepada perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat tetapi merangkumi perkhidmatan kaunter, telefon atau penggunaan borang.

''Dengan memperkenalkan MyID, pengguna hanya menggunakan nombor MyKad sahaja ketika berurusan dengan agensi berlainan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

''Ia dapat mengelakkan masalah di mana orang ramai terpaksa berpatah balik ke rumah kerana terlupa nombor rujukan untuk sesuatu urusan, mereka tidak perlu lagi mengingati nombor yang banyak," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Normah berkata, soal keselamatan maklumat peribadi pengguna tidak timbul dengan pengenalan MyID.

"Agensi kerajaan berkenaan boleh membuat pengesahan identiti sebagai semakan peringkat kedua sebelum akses kepada maklumat dibenarkan," katanya.

Normah berkata, selari dengan pengenalan MyID, semua agensi kerajaan perlu memastikan semua saluran urusan sedia ada dapat menyokong MyID.

Menurutnya, semua dokumen yang dikeluarkan untuk individu umpamanya perlu mempunyai nombor MyKad sebagai nombor rujukan.

"Agensi kerajaan perlu memastikan semua pegawai yang berurusan dengan orang awam hanya meminta nombor MyKad sebagai nombor rujukan untuk warganegara Malaysia.

"Agensi juga perlu memastikan bahawa borang yang dibekalkan kepada warganegara Malaysia hanya mengkehendaki pengisian nombor MyKad dan bukannya nombor rujukan lain," katanya.

Beliau berkata, MyID akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Kita akan mengedarkan buku risalah mengenai perkhidmatan yang boleh menggunakan MyID pada hari pelancaran.

"Antara perkhidmatan yang telah melaksanakan MyID adalah semakan profil pencari kerja dan permohonan dan semakan daftar rakyat termiskin," katanya.

- UTUSAN

Awas keganasan siber

by
Usaha menghentikan keganasan terhadap wanita (violence against women, VAW) bukan lagi sekadar perjuangan sebelah pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita atau agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Ini kerana kebangkitan dan kesedaran di kalangan masyarakat sudah mula menunjukkan kesannya dengan penggubalan dasar dan undang-undang bagi melindungi hak kaum Hawa di negara ini.

Pun begitu kemunculan era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang pada mulanya dianggap 'penyelamat' kepada wanita yang terpinggir hari ini menjadi 'musuh dalam selimut' apabila bekas-bekas suami atau teman lelaki mudah mengesan mangsa melalui kemudahan tersebut.

Keganasan Siber

Dipanggil keganasan Internet atau siber, ia merupakan satu lagi bentuk keganasan terhadap wanita yang perlu ditangani segera memandangkan lebih ramai menggunakan teknologi untuk berhubung dan mempermudahkan urusan harian.

Baru-baru ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan The Body Shop mengadakan kolaborasi untuk menghentikan keganasan terhadap wanita termasuk melalui Internet.

Beberapa contoh keganasan adalah penderaan wanita mengandung, perkahwinan kanak-kanak, kahwin paksa, keganasan domestik, suami rogol isteri, sumbang mahram, pelacuran kanak-kanak, pornografi, gangguan seksual (sama ada dalam atau luar talian) dan pemburu siber (cyber stalking).

Risalah merah jambu We Can End Violence Against Women (Kita boleh hentikan keganasan terhadap wanita) itu dicetak sempena Hari Antarabangsa Menentang Keganasan Terhadap Wanita dengan signifikan Malaysia menyertai kempen 16 hari Aktivisme ( 16 Days of Activism) melibatkan 130 negara di seluruh dunia.

"Tahun ini, kempen VAW memberi tumpuan terhadap aspek ICT yang semakin meluas di setiap lapisan masyarakat sehingga hampir mustahil untuk mengawalnya.

"Malang sekali, kanak-kanak perempuan, remaja dan wanita merupakan majoriti mangsa pesalah laku ICT atau Internet yang menggunakan kemudahan itu untuk menindas mereka," kata Pengarah Eksekutif WAO, Ivy Josiah.

Majoriti mangsa

Menurutnya, sebanyak 83 peratus mangsa jenayah siber terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang kurang mahir menggunakan Internet.

Ini kerana pemangsa mencari pengguna Internet yang tidak faham bahasa laman sembang dan sering menunjukkan kelemahan emosi menerusi saluran terbuka yang mudah dikesan pemangsa.

"Pesalah laku akan menghantar pesanan peribadi untuk 'menenangkan hati' anda. Ini sebenarnya cara-cara mereka menyerang mangsa pada saat mereka paling lemah," tegas Ivy.

Selain laman sembang yang tentunya menghimpunkan pelbagai jenis manusia yang mustahil diketahui keaslian latar belakang dan identiti mereka, terdapat banyak lagi contoh penyalahgunaan ICT mensasarkan golongan wanita sebagai mangsa.

Berlaku banyak kes dipaparkan di akhbar dan televisyen mengenai wanita-wanita yang terperangkap oleh suami atau teman lelaki akibat diri mereka dirakam dalam pelbagai keadaan memalukan. Antaranya;

lTelefon bimbit dan kamera digital digunakan untuk merakam aksi seks atau berbogel, kadang kala dengan izin atau sebaliknya. Semua imej ini mudah dijadikan alat untuk mengugut, memalukan dan mengawal wanita tersebut.

lGangguan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pula merupakan sesuatu yang lazim dialami dengan pesanan-pesanan atau panggilan lucah daripada lelaki dikenali atau tidak.

lFriend Finder disediakan untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi seseorang individu. Ini boleh disalahguna menjadi alat kawalan jika anda sedang dikesan atau diperhatikan gerak-geri oleh suami atau teman lelaki yang suka mendera.

lPenyeludupan Internet juga berlaku apabila si penyeludup 'merekrut' mangsa melalui Internet dengan iklan-iklan peluang pekerjaan. Wanita hanya sedar menjadi mangsa penipuan apabila dipaksa melakukan kerja lain atau dijual ke negara asing.

Elak jadi mangsa

Untuk mengelak daripada menjadi mangsa gangguan siber, pastikan anda faham apa itu gangguan dalam talian iaitu apabila seseorang sengaja menghantar e-mel berkali-kali, mesej pantas (IM), laman sembang walaupun selepas anda menyuruhnya berhenti.

Pemburu siber pula hampir sama dengan gangguan dalam talian tetapi ia dikategorikan menerusi usaha si pemburu mendapatkan mangsanya dan turut menggunakan serangan di luar talian.

Ini perlu diberi perhatian lebih serius kerana boleh membawa kepada serangan fizikal berbahaya lebih-lebih lagi jika si pemburu mengetahui maklumat lokasi mangsanya itu.

Secara amnya, adalah kurang bijak untuk terus berdepan dengan orang yang mengganggu anda. Bagaimanapun, sebaik yakin anda sedang diganggu anda mesti jelaskan padanya agar berhenti.

Anda tidak perlu menjelaskan kenapa, hanya katakan anda tidak mahu lelaki itu menghubungi anda langsung.

Apa kata anda membuat salinan e-mel gangguan tersebut dan simpan sebagai rekod atau hantar ke abuse@yahoo.com atau abuse@hotmail.com agar e-mel penghantar itu akan ditutup atau disenarai hitamkan.

Untuk pengguna Facebook pula, dicadangkan agar anda menghalang akses individu tidak dikehendaki menggunakan butang pada laman profil peribadi atau rangkaian aduan pada peti mel anda.

Akhir sekali, simpan segala-galanya. Salah satu reaksi mangsa gangguan siber adalah untuk memadamkan segala bukti komunikasi mangsa dengan suspek. Ini adalah tindakan salah.

Sebaliknya, simpan semua maklumat yang ada termasuk e-mel dan log sembang.

Jika suspek mencipta laman web negatif mengenai anda, simpan salinan pada sistem tempatan anda dengan baik agar dapat digunakan dalam perbicaraan mahkamah, jika perlu kelak.

"Malangnya ada wanita membiarkan diri mereka menjadi mangsa dengan membuka ruang kepada lelaki rambang untuk menghubungi mereka secara terbuka.

"Jadilah bijak, gunakan ICT dengan selamat agar wanita tidak terus-menerus menjadi mangsa keganasan," tambah Ivy lagi.

- UTUSAN

Ekspo iProperty.com disasar tarik 50,000 pembeli rumah

by
Kumpulan iProperty.com, pemilik dan penggendali laman web hartanah www.iproperty.com.my menjangkakan ekspo iProperty.com akan dapat menarik minat 50,000 bakal pembeli dan pemilik rumah.

Ekspo dengan kerjasama Malayan Banking Bhd. (Maybank) itu akan diadakan pada 1 hingga 3 Januari depan di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Pengerusi Eksekutifnya, Patrick Grove berkata, memulakan tahun baru dengan ekspo hartanah merupakan langkah terbaik untuk pemaju mempamerkan projek mereka dan pembeli rumah peluang untuk merasai keadaan pasaran pada tahun hadapan.

''Ekspo ini merupakan acara wajib dihadiri kepada mereka yang sedang mencari hartanah bersesuaian.

''Pemaju-pemaju yang bakal menyertai ekspo ini terdiri daripada mereka memenangi anugerah dan terbaik di Malaysia. Antaranya adalah SP Setia, Mah Sing, Sime Darby, IJM dan sebagainya,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Grove, ekspo itu juga akan mempamerkan produk-produk rumah dan dapur berteknologi tinggi. Antara jenama yang terlibat adalah LG, KitchMate, Getha, Nesh dan pelbagai lagi.

''Sementara itu, Maybank akan menawarkan pelbagai produk berkaitan pinjaman perumahan daripada perbankan konvensional dan Islam pada kadar faedah kompetitif semasa ekspo tersebut.

''Pelanggan akan mempunyai pilihan sama ada pinjaman terma, overdraf atau gabungan kedua-duanya sekali serta bakal menikmati hadiah promosi dan insentif,'' jelasnya.

Maybank dan Etiqa akan menawarkan pelabur pelbagai produk pelaburan yang mampu milik.

Selain hartanah dan perkhidmatan rumah, pelawat juga boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai pelaburan hartanah terbaik oleh pakar industri.

Pelbagai hadiah menarik bakal menanti pengunjung termasuk hadiah LG bernilai melebihi RM80,000.

Ekspo iProperty.com terbukti menjadi platform terbaik dengan berjaya menjalankan transaksi hartanah melebihi RM100 juta pada Julai lalu.

Ekspo seterusnya akan diadakan pada 21 hingga 23 Mei 2010, 30 Julai hingga 1 Ogos 2010 di Kuala Lumpur dan 23 hingga 24 Oktober 2010 di Singapura.

- UTUSAN

Takaful dan pelan pendidikan

by
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Setiap ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka, sama ada dari sudut pemakaian, pemakanan, lebih-lebih lagi perkara berkaitan pendidikan mereka. Memiliki pendidikan sempurna adalah antara faktor ke arah membina kehidupan bahagia. Pendidikan merupakan salah satu agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar berilmu.

Jika dilihat kepada situasi semasa, ramai di antara pelajar-pelajar yang boleh dikategorikan sebagai cemerlang tidak dapat menyambung pelajaran mereka disebabkan faktor kewangan yang tidak mencukupi dan tidak mendapat bantuan, sama ada berbentuk pinjaman atau biasiswa dari mana-mana institusi yang menawarkannya seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya. Lebih 30,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang layak meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan dikhuatiri enggan berbuat demikian ekoran pembiayaan pendidikan yang masih kabur (Utusan Malaysia, 2 Februari 2006).

Pelajar-pelajar ini mengharapkan 100 peratus pinjaman atau biasiswa dari institusi-institusi yang terlibat, namun disebabkan kegagalan peminjam-peminjam sebelum ini menjelaskan pinjaman pendidikan mereka, menyebabkan generasi pelajar hari ini gagal mendapatkan pinjaman untuk memulakan pengajian.

Ibu bapa sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sepatutnya. Memandangkan kos pendidikan sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, ibu bapa perlu merancang kewangan khususnya berkaitan pendidikan sejak dari awal kelahiran anak mereka agar anak-anak tersebut berupaya memperoleh pendidikan yang sempurna. Apabila ibu bapa mampu merancang, sudah pasti polemik berkaitan pinjaman pendidikan ini tidak timbul lagi.

Sebenarnya, konsep merancang kewangan dan mengurus risiko yang bakal dihadapi terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: Yusuf berkata: Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang akan kamu simpan. (Yusuf: 47 dan 48).

Manusia diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan bersiap-sedia menabung dalam menghadapi kesusahan yang mendatang khususnya berkaitan pengurusan kewangan. Walaupun sudah 1,400 tahun, konsep demikian masih relevan dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini.

Permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia meningkat dari tahun ke tahun sedangkan kekosongan yang ada tidak mampu menampung jumlah permohonan yang begitu tinggi. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi, sebanyak 139,207 permohonan bagi kemasukan pelajar ke IPTA bagi sesi 2009/2010 telah diterima.

Pertumbuhan Ekonomi Melayu

Daripada jumlah itu, 71,173 permohonan adalah bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya, sedangkan kekosongan hanyalah sekitar 28,000 manakala bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya termasuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), permohonan yang telah diterima adalah sebanyak 68,034 permohonan dan kekosongan yang ada hanyalah sejumlah 40,500 sahaja (Kenyataan Akhbar , 24 Februari 2009).

Berdasarkan Kajian dari Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia mendapati hampir 120,000 pelajar Melayu lepasan SPM dan STPM gagal mendapat tempat di IPTA pada tahun 2005. Hasil kajian berdasarkan penelitian terhadap statistik Unit Pengambilan Universiti (UPU) itu menunjukkan kumpulan tersebut mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi gagal melanjutkan pengajian ekoran bilangan tempat yang sangat terhad. (Utusan Malaysia, 13 Julai 2005).

Biarpun statistik ini dikeluarkan pada tahun 2005, namun ia sinonim dengan situasi semasa hari ini di mana saban tahun jumlah permohonan kemasukan ke IPTA meningkat dan melebihi jumlah kekosongan yang ditawarkan oleh pihak IPTA tersebut. Selain itu, bagi tahun ini, pemilihan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti akan ditentukan melalui sistem meritokrasi. Sebanyak 90 peratus akan dinilai melalui pencapaian akademik dan selebihnya 10 peratus daripada penglibatan ko-kurikulum mereka.

Jika pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada pelajar-pelajar yang kurang aktif, sudah pasti peluang mereka amat sukar. Justeru, bagi memastikan anak-anak masih dapat melanjutkan pengajian mereka, tidak mungkin tidak para ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke IPTS yang ada di dalam dan luar negara. Ini sudah semestinya melibatkan kos yang begitu tinggi.

Perkara lain yang perlu diketahui oleh para ibu dan bapa ialah kos pengajian bagi kursus-kursus yang ditawarkan di IPTA dan IPTS semakin meningkat. Sebagai contoh, bagi kursus undang-undang yang ditawarkan di IPTA, kos pengajian adalah sekitar RM35,000 - RM40,000 dan akan meningkat kepada RM70,000 menjelang tahun 2015. Begitu juga bagi kursus-kursus lain seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya (Berita Harian,2001)

Bagi mengurangkan bebanan ibu bapa yang terpaksa menanggung kos pendidikan yang tinggi, di antara instrumen lain yang boleh dijadikan alternatif kepada pinjaman dan biasiswa pendidikan ialah dengan menyertai pelan takaful. Pengendali-pengendali takaful bukan sahaja menyediakan pelan perlindungan dan pelaburan semata-mata, malah terdapat juga pelan pendidikan supaya ibu bapa dapat menyediakan dana atau tabungan pendidikan untuk anak-anak mereka di masa hadapan nanti. Pelan seperti ini akan dapat membantu pelajar-pelajar meneruskan pendidikan mereka, sama ada menyambung pelajaran di IPTA atau IPTS.

Bagaimanapun katanya, di Malaysia, masyarakat masih kurang faham tentang kepentingan takaful terutama kesedaran mengenai perlindungan masa depan anak-anak seperti pendidikan. Pelbagai pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan keperluan perlindungan pendidikan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan kekeluargaan dan diambil berat oleh ibu bapa.

Dalam merancang kewangan, ibu bapa perlu mengetahui apa sebenarnya keperluan untuk keluarga mereka dan memastikan keutamaan diberikan kepada keperluan yang benar-benar mendesak seperti keperluan pendidikan anak-anak. Sekiranya ibu bapa peka dengan keperluan dan kehendak pendidikan semasa, sudah pasti mereka akan merancang kewangan dan perbelanjaan serta mengambil pelan takaful pendidikan untuk dana pendidikan anak-anak mereka pada masa akan datang.

Contoh produk untuk tabungan pendidikan yang ditawarkan di pasaran ialah Ikhlas Education Takaful Classic (IET) , iaitu merupakan produk milik Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Manfaat-manfaat yang ditawarkan oleh IETC ialah Manfaat Kematian & Kehilangan Upaya Kekal dan Menyeluruh (TPD), kematangan, pengeluaran wang tunai (mengikut syarat yang telah ditetapkan), penambahan kadar sumbangan dan juga Anugerah Pencapaian Cemerlang. Bagi peserta yang anak-anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM. Manfaat anugerah adalah RM100 untuk setiap markah A yang dicapai di dalam semua mata pelajaran UPSR (minimum 5A), PMR (minimum 7A) atau SPM/SPVM (minimum 7A).

Pengendali-pengendali takaful yang lain juga ada menawarkan produk-produk pendidikan seumpama ini. Jadi, tidak ada alasan bagi ibu bapa untuk menyediakan dana pendidikan anak-anak mereka seawal yang mungkin.

Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, "Sesungguhnya anak-anak kita adalah permata." Jadi tugas kita selaku ibu bapa ialah menggilap permata-permata ini agar sentiasa bersinar dengan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada mereka. Jika anak-anak ditinggalkan dengan dana pendidikan yang mencukupi, sudah pasti mereka akan dapat meneruskan pengajian dan meningkatkan lagi tahap pendidikan di Malaysia ini. Selain itu, matlamat melahirkan insan yang berilmu pengetahuan sebagaimana yang dinyatakan did alam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan.

Sebagai akhirnya, renungkanlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari: Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan lebih baik daripada tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta.

- UTUSAN

Keunikan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia

by
Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK

Jabatan Perangkaan merekodkan bilangan rasmi rakyat Malaysia yang berkerja sendiri di negara ini mencecah jumlah 2.5 juta orang. Secara umumnya boleh dikatakan bahawa kelompok ini tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan simpanan persaraan secara formal dan tetap.

Keadaan ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku dan sudah tentu akan merugikan masa hadapan golongan yang bekerja sendiri sekiranya mereka tidak mempunyai perancangan kewangan dan simpanan untuk hari tua.

Sehubungan itu, pengenalan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia pada 3 Januari 2010 nanti dilihat mampu memberikan prospek baru kepada perlindungan kewangan secara profesional di negara kita dan secara langsung membuka peluang kepada individu yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap mencarum dengan KWSP.

Seperti mana pencarum yang makan gaji dengan sektor swasta, mereka juga boleh mengeluarkan simpanan apabila mencapai usia tua kelak. Di samping itu, mereka juga boleh menggunakan simpanan dan tabungan yang ada untuk tujuan pendidikan, perumahan dan sebagainya.

Skim unik dan dinamik ini membuka peluang keemasan kepada mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap seperti penjaja, pelukis, penulis, penyanyi dan pelakon, petani, nelayan, pemandu teksi dan sesiapa sahaja yang berminat menyertai skim caruman di KWSP.

Golongan sasaran ini boleh mencarum dengan jumlah minimum antara RM50 sehingga RM5,000 sebagai modal simpanan hari-hari persaraan mereka.

Walaupun tidak dinafikan bahawa golongan bekerja sendiri ini turut mempunyai pelan simpanan masing-masing dan ada yang melabur di dalam skim-skim pelaburan tertentu, namun realitinya caruman dan pelaburan di KWSP dijamin oleh kerajaan.

Hakikatnya KWSP lebih berpengalaman, kompetitif dan stabil berbanding dengan skim tabungan atau produk pelaburan lain yang ketika ini giat ditawarkan, namun berisiko tinggi, sistem yang longgar dan tidak selamat untuk disertai sama ada jangka panjang atau jangka pendek.

Oleh yang demikian, kewujudan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia kelak akan membuka dimensi baru kepada mereka yang tidak berpeluang mencarum dengan KWSP. Ini adalah salah satu bentuk tanggungjawab sosial dalam erti kata mengambil berat akan soal kebajikan semua golongan yang bekerja sendiri dan juga dalam usaha terancang menangani masalah ketidakcukupan simpanan semasa bersara bagi golongan ini.

Skim ini juga diharapkan dapat mengelak rakyat daripada terus menjadi mangsa pinjaman ah long dan sindiket pelaburan lain yang sangat tidak bertanggungjawab.

Secara dasarnya Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia itu nanti dikatakan memberi sedikit kelonggaran di mana aspek penekanan ke atas unsur fleksibiliti pencarum dalam menentukan berapa jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka.

Apa yang paling penting ialah caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membuat caruman setiap bulan tetapi bergantung kepada tahap kemampuan mereka. Kelonggaran ini akan menarik lebih ramai golongan yang berpendapatan rendah dan tidak tetap untuk menyertai skim ini pada masa hadapan.

- UTUSAN

Rasional ganti MiG-29N

by
Oleh AZMI HASSAN
GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pihak Kementerian Pertahanan sedang meneliti perolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) dari empat negara pengeluar iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sweden sebagai ganti kepada pesawat pejuang sedia ada iaitu MiG-29N.

Pengumuman tersebut yang dibuat pada 28 Oktober lalu telah mengesahkan bahawa perkhidmatan pesawat tempur MiG-29N dari Rusia yang sedang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia akan ditamatkan pada penghujung tahun 2010. Pada ketika ini TUDM mempunyai 16 pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan.

Keputusan menggantikan MiG-29N tersebut menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kos yang tinggi tetapi juga ia bakal merubah senario penguasaan udara rantau Asia Pasifik. Sememangnya tidak dapat dinafikan setiap pembelian aset pesawat tempur sudah pasti akan menelan perbelanjaan yang tinggi dan keputusan yang dibuat itu sudah pun dikaji dengan mendalam.

Perolehan 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM sudah pasti menarik perhatian kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar iaitu sebanyak RM3.42 bilion. Tetapi kos yang tinggi tersebut dengan mudah dapat mengimbangi kepentingan strategik pemilikan SU-30 dalam konteks pertahanan dan kedaulatan negara.

Jika ada pihak yang masih mempertikaikan perolehan SU-30, suara tersebut hanyalah merangkumi golongan minoriti.

Jika ada pihak yang mempertikaikan penggantian MiG-29N, ia banyak berkisar kepada logik bahawa pesawat tersebut masih boleh digunakan kerana usia penggunaannya oleh TUDM baru menjangkau 20 tahun.

Menggunakan dalil tersebut pihak berkenaan juga telah menghujahkan bahawa keputusan penggantian MiG-29N itu bakal menguntungkan pihak tertentu yang sering berurusan dengan Kementerian Pertahanan.

Sememangnya boleh diterima bahawa MiG-29N masih mempunyai peranan dalam TUDM tetapi sepanjang dua dekad operasinya, pesawat tersebut banyak mendatangkan masalah terutama sekali berkaitan dengan kos baik pulih.

Secara puratanya kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM260 juta setahun hanya untuk senggara 16 MiG-29N iaitu satu nisbah kos senggara per pesawat antara paling tinggi di dunia.

Pada pembentangan Bajet 2010 yang lepas, Angkatan Tentera Malaysia menerima peruntukan yang agak terhad untuk urusan operasi dan pembangunan pertahanan negara.

Peruntukan pembangunan pertahanan tahun 2010 sebanyak RM1.9 bilion umpamanya adalah jauh berkurangan jika hendak dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebanyak RM2.3 bilion.

Tambahan pula dengan perolehan dua kapal selam Scorpene, sudah pasti kos operasi aset Angkatan Tentera Malaysia akan naik dengan begitu mendadak.

Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan doktrin pertahanan Singapura umpamanya kerana Angkatan Tentera Singapura (SAF) mampu menyusun strategi pertahanan mereka dengan begitu rapi kerana mempunyai peruntukan tahunan yang agak lumayan sehingga mencapai 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik tersebut.

Perolehan aset pertahanan SAF tidak kira sama ada melibatkan pesawat pejuang, kapal selam atau helikopter tempur, lazimnya tidak mengambil endah kos yang bakal ditanggung kerana peruntukan pertahanan Singapura membenarkannya.

Setiap keputusan perolehan aset hanya mengambil kira satu faktor, iaitu kepentingan strategik yang mampu menjamin kedaulatan negara tersebut.

Sebab itu keputusan menggantikan MiG-29N dianggap sebagai dasar yang strategik bukan sahaja untuk kepentingan menjamin kedaulatan negara tetapi juga untuk memastikan bahawa perbelanjaan sama ada untuk operasi atau pembangunan pertahanan digunakan sebaik-baiknya.

Membelanjakan sebanyak RM16 juta setahun untuk operasi satu pesawat MiG-29N adalah tidak berbaloi kerana keupayaan pesawat tersebut jauh ketinggalan berbanding dengan SU-30.

Jika diteliti dari sudut strategik pula, gandingan pesawat pejuang SU-30 dengan MRCA yang bakal dibuat adalah begitu menakjubkan tidak kira MRCA tersebut dari AS, Perancis, Itali atau Sweden.

Kemampuan SU-30 sahaja dapat menandingi malah melebihi kemampuan yang dimiliki oleh jet pejuang canggih buatan AS seperti F-22 Raptor. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan jet pejuang AS yang lain seperti F5, F15 dan F16 seperti yang dimiliki oleh Tentera Udara Singapura (RSAF) adalah jauh ketinggalan dengan kemampuan SU-30.

Jika perolehan 18 jet pejuang SU-30 sudah menakrifkan TUDM sebagai kuasa udara yang dominan di rantau ini, maka amat pasti sekali gandingan SU-30 dan MRCA yang bakal diperolehi sudah tentu akan menjadikan TUDM sebagai kuasa udara yang perlu dihormati.

Persepsi sedemikian rupa bukan sahaja penting untuk pertahanan negara malah lebih penting untuk menjamin kedaulatan Malaysia.

- UTUSAN

Top Ad 728x90