31 Januari 2010

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Januari 2010

by
* 1 Jan 2010 - Tahun Baru / Gerhana Bulan Separa

* 8 Jan 2010 - Semakan tawaran calon KPLI yang berjaya ke Institusi Pendidikan Guru (IPGM) Jan 2010

* 9 Jan 2010 - Perlawanan Bolasepak Piala Sumbangsih - N.Sembilan lwn Selangor

* 10 Jan 2010 - Anugerah Juara Lagu (AJL) di Stadium Putra, Bukit Jalil

* 14 Jan 2010 - Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

* 15 Jan 2010 - Gerhana Matahari Separa

* 17 Jan 2010 - Hari Keputeraan Sultan Kedah

* 18 Jan 2010 - Pendaftaran calon KPLI di Intitusi Pendidikan Guru (IPGM)

* 30 Jan 2010 - Hari Thaipusam

* 31 Jan 2010 - Pertandingan Akhir My Starz LG di PWTC Kuala Lumpur

Azizulhasni kini sudah sah bergelar suami

by

Jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 22, selamat diijabkabul dengan pasangannya, Athiah Ilyana Abd. Samat, 24, di kediaman pengantin perempuan di Meru Height, Ipoh semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Zaini Bakri dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada kira-kira 11.30 pagi.

Terdahulu, majlis pertunangan dilangsungkan pada pukul 11 pagi tadi.

Azizulhasni sah bergelar suami selepas lafaz akad yang ketiga dengan membawa 11 dulang hantaran termasuk pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China minggu lepas manakala pengantin perempuan membalas dengan 13 dulang hantaran.

Athiah Ilyana turut menerima wang hantaran RM8,000 dan mas kahwin RM2,000 beserta seutas rantai emas.

“Pernikahan ini telah menyemarakkan lagi semangat saya untuk merangkul lebih banyak kejayaan termasuk kejohanan terdekat, Piala Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac depan.

“Saya akan pulang semula ke Melbourne, Australia pada 7 Februari ini bagi menjalani persiapan akhir untuk menyertai kejohanan tersebut,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni berkata, dia mengenali isterinya menerusi laman web rangkaian sosial, Friendster sebelum mereka menjalin hubungan serius selepas Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007.

Dia yang mendapat jolokan The Pocketrocket Man memberitahu semenjak itu, Athiah Ilyana telah menjadi sumber inspirasi baginya untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember depan, iaitu selepas temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India.

Ketika ini, Azizulhasni melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam jurusan Perdagangan di Universiti Deakin, Melbourne manakala Athiah Ilyana pula menyambung pengajian peringkat sarjana jurusan Arkitek di Universiti Deakin, Geelong, Australia.

- KOSMO!

Awas suami curang

by

MASTURA BAKAR, 24, sah bergelar janda pada 28 Januari lalu setelah tuntutan fasakh terhadap suaminya, seorang ahli politik yang juga tokoh perniagaan berusia 54 tahun, diluluskan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Ibu kepada tiga puteri yang berumur antara dua hingga lima tahun itu sekadar tersenyum hambar ketika keputusan itu dibacakan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin. Mastura memfailkan tuntutan fasakh pada April tahun lalu.

Kes Mastura mendapat perhatian ramai kerana bekas madu penyanyi Noraniza Idris itu mendakwa suaminya seorang yang gila seks dan tidak bertanggungjawab.

Mengikut fakta kes, Mastura mendakwa beliau hanya mengetahui dirinya isteri keempat kepada suaminya itu hanya selepas melahirkan anak sulung. Suaminya itu kemudian mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan Noraniza dan dua wanita lain.

Lelaki itu juga didakwa gemar berfoya-foya dan pernah memiliki lebih 10 orang teman wanita yang ditiduri dalam satu-satu masa walaupun telah beristeri empat.

Kahwin muda

Bertubuh kecil dan berkulit putih gebu, Mastura mengakui beliau tidak dapat menjangka bagaimana rasanya hidup sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang patut saya rasa. Saya berasa amat penat. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja,” balasnya yang kini bertugas di bahagian pentadbiran sebuah firma seni bina di Cheras, Kuala Lumpur.

Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu kelihatan lesu ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur Jumaat lalu. Menatap wajahnya, terasa ada kecamuk dalam fikirannya.

“Sekarang fikiran saya ialah tentang meneruskan hidup bersama anak-anak. Tetapi disebabkan pengalaman daripada perkahwinan itu, saya berasa keadaan masih tidak selamat untuk kami.

“Dia pernah melarikan anak kami satu ketika dulu dalam satu pergaduhan besar, melanggar saya dengan kereta dan saya ada menerima pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan susulan daripada tuntutan fasakh ini. Saya masih belum berani hendak membawa anak-anak bermain di taman permainan,” luah Mastura.

Jika ada yang berpendapat Mastura menerima padah atas silapnya sendiri menikahi lelaki berusia yang berpangkat dan berharta, nampaknya pemikiran itu jauh tersasar.

“Kami berkahwin bukan atas dasar cinta. Ia lebih kepada pilihan ibu dan ayah saya. Kami berkenalan tidak lama, iaitu kira-kira enam bulan.

“Itu pun melalui teman-teman. Kali pertama ibu melihatnya bersolat dan mengaji al-Quran di rumah di kampung, ibu menangis kegembiraan.

“Setelah dia berjumpa ibu dan ayah buat kali kedua, dia terus masuk meminang dan lamaran itu diterima. Kami bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak.

“Pada waktu itu saya baru berumur 18 tahun. Ketika kami berkahwin, dia masih belum bergelar Datuk,” kongsinya.

Segalanya, kata Mastura, berlaku terlalu pantas. Perasaan sayang kepada suaminya hanya wujud selepas mereka berkahwin.

“Pada awalnya dia sering mengajak saya solat berjemaah, mengaji al-Quran dan melakukan kerja rumah bersama. Dia juga baik terhadap saya.

“Tetapi semua itu sekejap saja. Lama-kelamaan dia lebih banyak membiarkan saya solat dan melakukan segala-galanya bersendirian,” dedahnya.

Mastura mengakui bekas suaminya itu mempunyai ilmu agama yang baik.

“Pengetahuan agamanya agak tinggi. Mungkin kerana latar belakang dan kerjaya keluarganya yang sememangnya menjurus ke arah keagamaan.

“Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang lelaki yang gemar berfoya-foya,” kata Mastura.

Sebenarnya, ujar Mastura, beliau dan suami tidak banyak masalah. Cuma lelaki itu dikatakan banyak helah.

Kes Aida Melly

“Sebelum ini saya sudah dua kali hendak membuat tuntutan fasakh. Kali pertama saya batalkan kerana sedang hamil anak kedua. Kali kedua, Noraniza sendiri memujuk saya dan meminta saya memikirkan masa depan anak-anak. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, kami tidak ada masalah.

“Tentang dakwaan bahawa dia mahu menyaman saya, saya percaya ia tidak akan berlaku kerana saya percaya dia membuat kenyataan itu kerana tertekan,” ujarnya.

Selepas melalui kehidupan berumah tangga yang banyak onarnya, justeru perceraian menerusi kaedah fasakh itu umpama satu titik perubahan yang besar dalam hidup Mastura.

“Saya mendapat sokongan yang kukuh daripada madu dan bekas madu yang lain selain memiliki bahan-bahan rakaman yang berkaitan dengan kecurangan dan aktiviti berfoya-foyanya.

“Mungkin itu banyak membantu mempercepatkan kes ini. Lagipun bekas suami tidak pernah datang ke mahkamah untuk membuat sebarang bantahan,” jelas Mastura tentang kesnya yang dapat diselesaikan agak cepat.

Kes tuntutan perceraian oleh isteri seperti fasakh yang berlarutan lama pernah menjadi polemik pada awal abad ini. Pasti ramai yang masih ingat kes Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang terpaksa menderita selama tujuh tahun untuk bebas daripada ‘gantungan yang tak bertali’: Sudah berpisah atau masih isteri yang sah?

Meraih liputan meluas media seiring hujanan kritikan, kes itu juga bagai menjadi titik tolak kepada perubahan landskap pentadbiran mahkamah syariah berhubung isu perceraian khasnya.

Jika sebelum itu banyak rungutan oleh para isteri mengenai kes permohonan cerai atau fasakh mereka yang lambat diputuskan, namun tahun demi tahun kemudian, rungutan dan keluhan seumpamanya makin kurang kedengaran.

Kes terbaru Mastura itu, misalnya, dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Dahulu memang ketara kelewatannya. Secara umumnya, boleh dikatakan, kes-kes permohonan cerai oleh isteri seperti fasakh dan rayuan kini telah dapat diselesaikan dengan cepat.

“Berdasarkan pengalaman saya, kes fasakh lazim dapat diselesaikan antara enam bulan hingga setahun. Paling cepat, hanya dalam tempoh sebulan.

“Proses yang mengambil masa dua tahun pun sudah dianggap sebagai tempoh yang lama,” kata peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain ketika ditemu bual Jurnal baru-baru ini.

Katanya, ini banyak disumbangkan oleh beberapa pindaan pada enakmen-enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri bermula pada tahun 2003.

“Antaranya ialah penyeragaman peruntukan mengenai fasakh antara negeri-negeri dan membenarkan memulakan tuntutan fasakh di mahkamah yang lebih tinggi bagi mengurangkan tempoh penangguhan sekiranya pihak menentang, lazimnya suami, mahu melakukan rayuan dan sebagainya,” katanya.

Tertangguh

Tidak dinafikan memang masih kedapatan kes tuntutan fasakh yang berlarutan lama selepas tahun 2002, tetapi ia hanyalah kes terpencil.

Zaidi menerangkan, sesuatu proses permohonan fasakh itu dapat dipercepatkan jika plaintif atau isteri yang mengemukakan tuntutan itu mempunyai persediaan yang lengkap.

“Dalam kes fasakh, beban pembuktian adalah terletak pada pihak plaintif iaitu isteri yang memohon. Kukuhnya bukti yang dikemukakan akan mempercepatkan pihak mahkamah membuat keputusan. Air mata sahaja tidak boleh menjadi bukti,” katanya.

Jika dahulu, kelewatan atau penangguhan banyak disumbangkan kerana suami yang tidak muncul-muncul ke mahkamah, kini, mahkamah syariah mengambil sikap meneruskan prosiding dan boleh mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa kehadiran suami seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Kes Mastura ialah salah satu kes yang menunjukkan prosiding tanpa kehadiran suami atau prosiding sebelah pihak sudah boleh diterima.

“Jika mahkamah berpuas hati bahawa saman telah disampaikan dengan sempurna kepada pihak suami, namun mereka masih tidak muncul, mahkamah boleh meneruskannya dan mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa persetujuan suami.

“Lagipun fasakh itu sendiri ialah tuntutan cerai tanpa lafaz talak diperlukan. Kuasa fasakh ialah kuasa hakim.

“Prosiding sebelah pihak biasanya lebih cepat berbanding suami hadir dan mengemukakan pembelaannya,” katanya sambil menjelaskan perbicaraan akan diteruskan setelah dua kali sebutan kes.

- KOSMO!

Sekolah, guru dilarang tambah cuti Aidilfitri

by
Mungkin disebabkan kesilapan kecil, tetapi ketiadaan cuti peristiwa sekolah sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini menyebabkan pentadbir sekolah dan guru kebingungan untuk mendapatkan cuti berkenaan.

Mengikut pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran pada 21 Disember 2009 dan boleh diakses di laman web www.moe.gov.my, sekolah di seluruh negara dibenar mengambil cuti peristiwa tahun ini untuk perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan (Sabah dan Labuan) dan Hari Gawai (Sarawak).

Bagaimanapun, agak mengejutkan bagi banyak pihak apabila cuti peristiwa tidak dibenarkan untuk Aidilfitri.

Berbanding cuti ganti, cuti peristiwa adalah cuti yang boleh diambil sekolah tetapi tidak perlu diganti seperti pada Sabtu yang biasa dilaksanakan selama ini.

Seorang pengetua yang tidak mahu dikenali berkata, majoriti pentadbir sekolah di negeri ini mendapati pekeliling itu agak pelik berbanding sebelum ini.

Pada mulanya, beliau berkata, semua pentadbir sekolah beranggapan berlaku kesilapan pada pekeliling Kementerian Pelajaran itu dan membuat permohonan untuk mendapatkan cuti peristiwa bagi sekolah masing-masing untuk Aidilfitri tahun ini.

"Bagaimanapun, kami terkejut apabila Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) menolak permohonan cuti peristiwa dengan alasan penolakan itu berlandaskan pekeliling berkenaan.

"Selepas itu, baru kami menyedari pekeliling itu adalah betul dan bukannya kesilapan Kementerian Pelajaran," katanya.

Katanya, cuti peristiwa perlu berikutan Aidilfitri adalah antara perayaan agama yang penting bagi majoriti penduduk di negara ini, terutama di negeri ramai Melayu seperti Kelantan dan Terengganu.

"Dengan majoriti pelajar di Pantai Timur adalah Melayu, ketiadaan cuti peristiwa adalah sesuatu yang pelik tetapi pada masa sama, memberikan cuti itu bagi perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keamatan atau Hari Gawai," katanya.

Seorang lagi pengetua sekolah berkata, keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Sebelum ini, tidak pernah ada masalah untuk kami memohon cuti peristiwa untuk hari raya, tetapi saya yakin ini mungkin kesilapan dan kementerian akan dapat mengatasinya.

"Tidak masuk akal jika kementerian dengan sengaja mengecualikan Aidilfitri daripada mendapat cuti peristiwa itu," katanya.

Aidilfitri tahun ini dijangka pada 10 dan 11 September iaitu Jumaat dan Sabtu, dua hari terakhir cuti pertengahan penggal selama seminggu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berikutan keputusan kementerian untuk tidak membenarkan cuti peristiwa pada perayaan Aidilfitri, orang ramai terutama pelajar dan guru sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu kembali bertugas semula pada Hari Raya ketiga iaitu pada Ahad.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

- BERITA MINGGU

SPR mula persiapan Pilihan Raya Sarawak

by
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mula melaksanakan tugas pada peringkat pentadbiran sebagai persiapan awal menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Sarawak yang dijangka diadakan tahun ini atau 2011.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata mengikut rekod pihaknya, tarikh akhir pilihan raya di negeri berkenaan adalah pada Jun tahun depan.

"Walaupun tempohnya ada lebih setahun sehingga tarikh akhir, SPR sebagai badan pengendali pilihan raya mesti bersedia awal kerana mengikut pengalaman lalu, pilihan raya Sarawak tidak menunggu sehingga tarikh akhir tamat tempoh.

"Berikutan itu, arahan sudah diberi supaya SPR negeri berkenaan membuat persediaan terutama merangka anggaran bajet terutama membabitkan aspek logistik," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, SPR menemui Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk memaklumkan supaya badan itu diberi tempoh notis secukupnya untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.

Pengerusi SPR itu berkata, pilihan raya Sarawak biasanya tidak diadakan dalam tempoh cukup-cukup mandat memerintah lima tahun itu.

Abdul Aziz berkata, persiapan awal seperti kemudahan helikopter, bot, sampan dan kenderaan darat perlu kerana penempatan dan kedudukan geografi negeri berkenaan yang berbeza berbanding di Semenanjung.

"Selain itu, perlu dikenal pasti tempat penamaan calon, lokasi mengundi dan tempat yang sesuai untuk diadakan kursus bagi memilih pegawai sementara SPR sepanjang proses menjelang pilihan raya negeri itu," katanya.

Beliau berkata, sebagai badan yang mahu melaksanakan tugas dengan berkesan, SPR tidak mahu 'terperangkap' kerana tidak bersedia dari sekarang.

Malah, katanya, SPR juga meminta kerjasama kerajaan Sarawak supaya memberi notis yang cukup (sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri).

- BERITA MINGGU

Adukataruna langsungkan majlis kenduri kahwin

by
SEREMBAN: Penulis blog yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas dakwaan menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail, Khairulnizam Abdul Ghani, 29, selamat melangsungkan majlis perkahwinan dengan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Khairuz di kediaman keluarganya di Rumah Rakyat Panchor, dekat sini, semalam.

Majlis yang diadakan secara ringkas tetapi meriah itu dihadiri kira-kira 1,000 jemputan bagi meraikan hari bersejarah buat pasangan berkenaan yang baru berkahwin bulan lalu.

Kedua-dua mempelai yang memakai pakaian serba kuning meraikan tetamu, rakan serta sanak saudara pada majlis makan beradat kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Kelmarin, Khairulnizam yang bekerja sebagai juruteknik komputer dituduh menghina dengan niat menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat dengan memuat naik di dalam laman blognya dengan nama Adukataruna.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di rumahnya di alamat 297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi antara jam 7.25 malam hingga 9.05 malam pada 22 Januari lalu.

Dia diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah sudah menetapkan kes itu disebut semula 31 Mac depan.

- BERITA MINGGU

Menjadi ular lidah bercabang

by
Oleh Zulkifli Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu

"Dan mereka (Kristian dan Yahudi) berkata Tuhan Yang Maha Pemurah Mempunyai anak. Sesungguhnya mereka sudah mendatangkan sesuatu yang sangat mungkar. Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu dan bumi terbelah, dan gunung ganang runtuh kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Allah Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak". (Surah Maryam:88-92)

Begitulah serius amaran Allah SWT kepada manusia yang mendakwa Allah mempunyai anak. Kita tidak lupa peristiwa tsunami yang berlaku pada Krismas 25 Disember 2004, apabila bumi di dasar lautan terbelah dan ombak menggunung sehingga ratusan ribu nyawa terkorban pada hari mereka merayakan perayaan memperingati kelahiran Jesus yang didakwa anak Allah SWT.

Bagi mereka, ini isu istilah tetapi bagi kita ia isu akidah. Bagi mereka ini persoalan bahasa, bagi kita ia isu agama. Bagi mereka perbezaan terminologi, bagi kita ia perkara tauhid. Apakah kita tidak menyedari bahawa apabila pihak Kristian mahu menggunakan nama Allah SWT, mereka menyebutnya dalam bentuk Allah itu triniti: Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Roh Suci! Ini adalah fahaman syirik lagi kufur dari sudut akidah Islam. Semua 25 Rasul dan 124,000 nabi dihantar kepada manusia hanya dengan satu mesej yang jelas - sembahlah Allah SWT yang satu.

Mereka mendakwa kononnya mereka sudah menggunakan nama Allah SWT sebagai ganti nama God sejak ratusan tahun. Maka mereka berhak menggunakannya sekarang. Ketika Nabi Muhammad diutus sebagai Rasul, nama Allah SWT sudah pun digunakan. Nabi bukan pencipta nama Allah SWT, sebaliknya ia sudah wujud sejak azali lagi.

Maka Nabi Muhammad SAW menyeru manusia supaya marilah menyembah Allah SWT. Maka Yahudi menyatakan memang kami bertuhankan Allah tetapi Ia punya anak bernama 'Uzair. Kristian pula berkata, memang kami mempertuhankan Allah, tetapi Allah punya anak 'Isa al Masih (Jesus)'. Musyrikin Makkah juga berkata memang tuhan mereka Allah, tetapi punya sekutu Latta dan Uzza.

Maka mereka bertanya kepada Nabi, siapa Allah yang engkau seru kami menyembahnya. Nabi tidak menjawab berdasarkan akal, tetapi Allah SWT menjawabnya dengan berfirman yang bermaksud: "Katakanlah Allah itu satu." Kita tidak pernah mendengar dalam sirah Nabawi bahawa Nabi membenarkan Allah dipersekutu dan disyirikkan. Seperti ditegaskan Saidina Ja'afar ibni Abi Tolib Attayar ketika berdepan dengan Maharaja Najasyi, Raja Habsyah yang beragama Kristian dalam peristiwa hijrah pertama. Walaupun sahabat Nabi datang untuk meminta perlindungan dan bantuan Maharaja Najasyi, tetapi apabila berdepan dengan persoalan akidah, bila ditanya oleh Maharaja Najasyi: "Apakah kamu tidak mempercayai al-Masih (Jesus) itu anak Allah, Saidina Ja'afar tegas membaca Surah Maryam, dan menyatakan bahawa: "Isa al Masih adalah Nabi utusan Allah SWT, bukan anak-Nya!

Tugas dan tanggungjawab kita umat Islam apabila mendengar bahawa ada segelintir manusia sudah menyalahguna nama Allah SWT dalam bentuk syirik dan kufur bukan dengan mendorong, menyokong atau meredai mereka terus mensyirik dan mengkufurkan Allah SWT, tetapi perbetulkan kembali akidah mereka dengan dakwah, seperti yang dibuat Rasulullah SAW dan kalangan sahabat Baginda. Itulah risalah semua Rasul dan Nabi, iaitu menyeru manusia kepada menyembah Allah SWT Yang Satu!

Ada kalangan mereka mendakwa nama Allah SWT bukan milik eksklusif umat Islam, tetapi milik semua manusia kerana Allah SWT itu robbul 'alamin - Tuhan seluruh alam. Maka semua orang berhak menggunakan nama Allah SWT.

Saya menegaskan bahawa tiada siapa boleh menuntut hak dan pemilikan nama Allah SWT kerana nama itu ada pemiliknya, iaitu Allah SWT sendiri. Seperti yang disebut dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud: "Katakan bahawa Allah SWT itu satu, kepada-Nyalah bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun".

Maknanya Allah sudah pun menjelaskan apa maksud nama itu dan itu hak-Nya sebagai pemilik nama itu. Siapa kita untuk menyatakan tidak, apatah lagi mengubah makna nama itu kepada selain daripada Allah SWT Yang Satu!

Pengakuan oleh kafir bahawa Allah SWT Maha Pencipta, Maha Peruntuh, Maha Penumbuh, Yang Menghidupkan, Yang Membinasakan, Yang mematikan dan lain-lain disebut sebagai pengakuan Allah dalam bentuk rububiyah, iaitu Allah dalam bentuk sifat. Tetapi dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk iktikad, kafir ini masih menyembah berhala, patung dan lain-lain. Itulah maksud ayat berkenaan, bukan bermaksud mereka boleh menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka.

Arab Kristian pun guna Allah

Golongan penyokong Kristian ini mendakwa orang Arab Kristian pun menggunakan nama Allah SWT sebagai nama Tuhan. Saya menegaskan bahawa dalam bahasa Arab, memang mereka hanya tahu perkataan Tuhan itu adalah Allah, tiada ganti lain bagi perkataan God melainkan Allah kerana memang sejak Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad, masyarakat Arab hanya tahu nama Allah sebagai Tuhan.

Malah kaum Yahudi dan Kristian memang asal agama mereka pun mempertuhankan Allah yang Satu. Itu yang mereka faham. Malah ada di kalangan Arab Kristian yang koptik (ortodoks) sehingga kini tidak mengakui 'Isa anak Allah, bagi mereka Isa adalah Nabi. Cuma mereka berbeza dengan Islam kerana menolak kenabian Rasulullah SAW.

Tidak semestinya orang Arab Kristian menggunakannya, Kristian di Malaysia juga boleh menggunakannya. Dari segi prinsip 'uruf al balad, pemahaman perkataan itu adalah berbeza mengikut masyarakat yang menggunakannya. Begitulah nama Allah SWT, bagi masyarakat Arab ia dari segi istilah bahasa membawa makna Tuhan, tetapi bagi kita di Malaysia ia membawa makna Tuhan yang khusus, Tuhan yang Satu yang kita sembah.

Agenda halus

Apakah pernah kita bertanya satu soalan yang sangat asas, tanyalah kepada Kristian di sini yang beriya-iya mahu mengguna nama Allah sebagai nama Tuhan mereka, apakah sebenarnya Tuhan kamu. Bukankah kepercayaan kamu adalah kepada Jesus, Tuhan yang menjelmakan dirinya dalam bentuk anaknya dengan tiupan roh suci. Mengapa nama Tuhan kamu Jesus dalam bahasa Inggeris dan lain-lain, tetapi untuk bahasa Melayu, tulisan versi Melayu, di hadapan orang Melayu, nama Tuhan kamu tiba-tiba bertukar menjadi Allah! Tidakkah ini suatu yang pelik?

Sedangkan Reverend Albert Mohler, seorang paderi kanan Kristian di Amerika menolak cadangan Paderi Tiny Muskin dari Belanda yang mencadangkan supaya nama Allah diguna sebagai ganti nama Tuhan. Cadangan Tiny Muskin menerima bantahan besar-besaran oleh masyarakat Euro-Amerika. Tetapi mengapa di Malaysia, penganut Kristian berkeras mahu menggunakan nama Allah sebagai ganti nama Tuhan? Sudah tentu ada udang di balik batu, ada agenda halus yang sedang disusun. Mereka berjaya melakukannya di Indonesia, mereka sedang cuba melakukannya di Malaysia.

Apakah nanti suatu hari mereka akan menuntut, atas nama hak asasi kemanusiaan, supaya Surah Al Ikhlas tidak lagi dibaca kerana mengguris perasaan kaum Kristian yang mempercayai tuhan ada anak, sedangkan surah itu menegaskan Tuhan itu Satu!

Fitnah yang melanda

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Bersegeralah kamu pada melakukan amalan salih kerana akan satu masa nanti kamu akan didatangi suatu fitnah keimanan, fitnah yang datang seperti kepingan malam, kamu tidak akan nampak kedatangannya".

Apakah fitnah itu ya Rasulullah, tanya sahabat. "Kamu Islam waktu pagi, kamu kafir waktu petang, kamu Islam waktu petang, kamu kafir waktu pagi!"

Inilah fitnah yang sedang melanda umat Islam hari ini. Di dalam masjid, kerana dia berjanggut dan berserban, kerana selalu bertakbir kuat, maka dia menjadi imam. Lalu dibacanya surah Al Ikhlas yang bermaksud: "Katakanlah Allah itu Satu, kepada-Nya bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun".

Namun orang yang sama, sebaik saja keluar dari masjid, berdiri di pentas politik, dia petah berpidato: "Saudara-saudara, adalah hak rakan Kristian kita untuk menggunakan nama Allah, sebagai Tuhan Bapak, Tuhan yang punya Anak, dan Tuhan yang bersekutu dengan Roh Suci. Kita sepatutnya menyokong dan mendukung tuntutan rakan Kristian kita ini, kita wajib memperjuangkan hak perlembagaan mereka! Takbir..takbir..takbir!!"

Di dalam masjid Allah itu Satu, di atas pentas politik Allah itu punya anak punya sekutu. Mengapa ada di kalangan kita sanggup menjadi ular lidah bercabang dua?

Kalangan sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana mungkin boleh jadi fitnah keimanan sebegitu dahsyat kepada umat Islam?". Jawab Rasulullah, 'hubbud dunnya, wakarohyatul maut!". Mereka terlalu sayangkan dunia, mereka takut mati!

Inilah yang terjadi kepada umat Islam hari ini. Mereka terlalu sayangkan jawatan, cintakan kedudukan, gilakan habuan, mereka mengejar ayat-kerusi, bukan Ayatul Kursi (Al Baqarah: 255), tetapi kerusi empuk Yang Berhormat, kerusi empuk Ahli Parlimen, kerusi empuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kerusi empuk kekuasaan, kemakmuran, kekayaan dan kedudukan. Mereka takut sangat kedudukan, jawatan dan habuan itu mati, mereka takut kalah di peti undi. Mereka menjadi penyembah demokrasi, mereka nyahkan keagungan Ilahi.

Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya, dan memelihara keimanan kita, dan memberikan kita kekuatan dan istiqamah untuk berjuang mempertahankan risalah tauhid yang suci ini. Insya-Allah.

- BERITA MINGGU

Idea unik

by

Manusia tidak pernah lekang daripada idea menarik dan juga pelik. Tahun lalu tidak terkecuali dengan kemunculan pelbagai idea pelik yang dihasilkan pencipta seluruh dunia.

Yang pasti, idea ini tidak akan putus dan berterusan pada tahun ini. Gambar-gambar dipamer adalah antara ciptaan yang dihasilkan pada tahun lalu.

Beg tidur beruang

>PEREKA EIko Ishizawa menghasilkan beg tidur yang pelik, serupa dengan seekor beruang. Pengguna bagaimanapun boleh tidur lena kerana mereka sudah berada di dalam perut beruang.

Konkrit lut cahaya

>SAINTIS Hungary menghasilkan konkrit telus pandangan. Konkrit diisi dengan fiber optik ini membenarkan cahaya telus.

Tandas kucing

>Seorang lelaki, Bi berjaya melatih kucingnya untuk menggunakan tandas. Dia menghabiskan tujuh tahun untuk mencipta pelbagai gajet yang membolehkan haiwan peliharaannya itu mengepam bersih tandas selepas digunakan. Kini dia ingin menjual ciptaannya kepada pemilik kucing lain.

Kenang si mati

FIRMA Cremation Solutions dari Britain menghasilkan wajah mereka yang meninggal dunia. Wajah yang dihasilkan semula itu menggunakan perisian 3D.

Ubat mata

>PENGASAS International Chindogu Society, Kenji Kawakami membuat demonstrasi gelas bercorongnya yang diguna untuk memastikan ubat mata mengalir tepat ke mata.

Meja snuker bergerak

>PEREKA kereta, Sudhakar Yadav memandu kereta berbentuk meja snuker di Hyderabad, India. Kereta beroda tiga ini memiliki enjin 150cc dan kelajuan maksimum 45 kmj.

Tandas robotik

>TANDAS robotik ini mengesan pergerakan penggunanya. Tandas AutoClose ini membuka penutupnya mengikut kesesuaian dan akan ditutup sepenuhnya apabila pengguna berada di luar jarak pengesan infra merah.

Jam berpin, topi tisu

>CIPTAAN pelik Kawakami, Topi Hayfever menyimpan kertas tisu dan jam loceng dengan butang berpin untuk memastikan pengguna terjaga apabila menekan punat untuk menghentikan deringan loceng.

Mesin pengering coli

>MESKIPUN coli ini kelihatan seperti koleksi terbaru Madonna, hakikatnya ia adalah mesin pengering coli. Mesin ini boleh diubah saiznya untuk disesuaikan dengan saiz pemiliknya.

Pembakar roti kaca

>ROTI bakar tidak mungkin lagi hangus selepas pengeluar menghasilkan pembakar roti kaca yang membolehkan pengguna melihat perubahan roti yang mereka bakar.

Bas dua alam

>BAS amfibia, Amphicoach yang memiliki 50 tempat duduk mewah digunakan di Malta. Ia mampu bergerak selaju 112.5 km/j di darat dan lapan knot ketika meredah air.

Limozin Formula Satu

>PEREKA Kanada, Michael Pettipas bangga dengan kereta limozin Formula Satunya yang memiliki enam tempat duduk dan mampu mencapai kelajuan 225 km/j ketika melakukan ujian di Bonneville, Utah.

Coli cari suami

>SEORANG model mempamerkan Coli Memburu Suami di Tokyo. Jam khas di bawah coli itu menetapkan tarikh tertentu yang disasarkan oleh pemakai untuk mengesahkan dirinya sudah memiliki pasangan. Sebaik sahaja cincin pertunangan dimasukkan, jam akan terhenti.

Pemacu USB ganti jari

>SEORANG pereka program komputer yang kehilangan jarinya dalam satu kemalangan motosikal menggantikannya menjadi pemacu USB. Jerry Jalava dari Helsinki, Finland, mencipta jari palsu khas yang boleh ditarik kukunya dan disambungkan kepada pemacu USB.

Gabungan basikal troli

>PEREKA Korea Selatan, Jaebeom Jeong menggabungkan troli dan basikal untuk menghasilkan Cartrider.

Telefon dalam air

>ISOPHONE, sistem telefon dalam air yang direka James Auger dan Jimmy Loizeau. Alat ini membenarkan pemakai berkomunikasi dengan pengguna kolam lain di kolam renang.

- METRO AHAD

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu tidak bantu kaum sendiri

by

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

"Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.

"Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta beberapa pemimpin NGO Melayu.

Dr. Mahathir menambah, terdapat beberapa NGO Melayu yang menemuinya dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan dan parti-parti pembangkang.

"Tetapi apa yang mereka boleh buat. Mereka kata, jika terlampau giat suarakan pendirian orang Melayu, mereka akan dituduh rasis dan mungkin juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Akhirnya, mereka datang bertemu bekas Perdana Menteri yang sudah tidak bertaring. Mereka kecewa tetapi tidak dapat suarakan kepada pemimpin Melayu sama ada kerajaan atau parti lawan," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang Melayu agar melakukan protes secara tertib dan tidak melakukan kekacauan sehingga menghancurkan keamanan negara.

"Kalau mereka tidak dengar, kita ada kuasa dalam pilihan raya. Jangan gunakan cara yang boleh merosakkan keamanan.

"Tetapi saya bimbang, sekiranya keadaan ini berterusan, orang Melayu yang sekian lama memendam kekecewaan akan 'meletup'," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

UPNM tidak lagi ambil pelajar awam

by
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak akan meneruskan pengambilan pelajar awam mulai sesi pengajiannya pada tahun hadapan.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, langkah itu selaras dengan matlamat institusi berkenaan yang hanya mahu menghasilkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepenuhnya.

Sehubungan itu katanya, setiap pelajar yang memasuki UPNM untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan, akan dilantik terus sebagai pegawai tentera.

"Pengambilan pelajar awam dibuat sejak tahun 2007 iaitu semasa UPNM ditubuhkan, namun demi memastikan institusi ini jelas dengan falsafah asalnya maka keputusan itu telah diambil," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah pegawai kadet UPNM di sini hari ini.

Jelas beliau, ia bertujuan memberi gambaran jelas kepada masyarakat bahawa tujuan UPNM ditubuhkan adalah untuk melahirkan seorang pegawai tentera yang berkaliber dan pemimpin yang memiliki intelektual tinggi pada masa hadapan.

Ketika ini pengambilan pelajar UPNM melibatkan 20 peratus pelajar awam dan mereka tidak terikat dengan perkhidmatan ATM apabila menamatkan pengajian.

Ditanya penglibatan kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan tersebut yang dilihat agak kurang, beliau berkata, tiada had ditetapkan untuk pengambilan lain-lain kaum dalam ATM.

"UPNM masih terlalu muda, justeru sokongan serta penglibatan daripada semua pihak adalah dialu-alukan," ujarnya.

Zulkifli turut berharap agar UPNM dapat menarik minat lebih ramai penyertaan orang awam terhadap bidang kerjaya sebagai anggota tentera jika diberi penerangan serta maklumat yang tepat, tidak mustahil UPNM mampu menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pilihan utama di kalangan rakyat negara ini.

Tambahnya, bagi yang berminat boleh melayari laman web UPNM di www.upnm.edu.my atau berhubung terus dengan pihak universiti melalui talian 03-90513400.

UPNM mampu lahir pegawai tentera terbaik

Para siswazah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mampu memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai tentera yang terbaik pada masa hadapan.

Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah bertitah, ia berikutan para pegawai kadet UPNM menerima latihan ketenteraan serta ilmu keperwiraan yang mendalam di institusi tersebut.

"Berbekalkan ilmu dan kemahiran untuk bergelar pegawai tentera sudah tentu mahasiswa lepasan UPNM adalah berbeza berbanding institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian pada majlis Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah pegawai kadet UPNM di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud.

Tuanku Abdul Halim turut menggesa agar para pegawai tentera yang baru ditauliahkan memberikan khidmat bakti kepada negara dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

"Dengan minda terbuka serta ilmu yang penuh di dada, beta percaya segala cabaran dan rintangan dapat dihadapi dengan mudah dan diatasi secara bijaksana," titah baginda.

Istiadat perbarisan tersebut turut mencatat sejarah apabila seramai 61 pegawai wanita daripada 380 pegawai kadet berjaya ditauliahkan.

Kumpulan pegawai wanita tersebut adalah yang paling ramai ditauliahkan jika dibandingkan jumlah pegawai wanita pada tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 190 pegawai ditauliahkan dalam perkhidmatan Tentera Darat (TD), 151 pegawai dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan selebihnya 40 pegawai dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Anugerah Pegawai kadet Terbaik Keseluruhan diterima oleh Kapten Mohd. Faiz Mohammed yang kini ditauliahkan ke Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Johor Bahru.

Mohd. Faiz ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menerima anugerah tersebut.

"Saya amat meminati bidang ketenteraan dan berkat keazaman, kejituan usaha serta semangat tinggi mendorong saya untuk berusaha menjadi yang terbaik," katanya.

Sementara itu penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TD diterima oleh Kapten Ahmad Muadz Ahmad Shuhaili yang kini ditauliahkan ke Batalion 5 RAMD, Kluang.

Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TLDM pula diterima oleh Leftenan TLDM Muhamad Sarmizi Abdul Halim yang telah ditauliahkan ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris 1 di Lumut.

Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TUDM diterima oleh Kapten TUDM, Ashraf Muhammad Radzi dan beliau telah ditauliahkan sebagai pegawai kejuruteraan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Kedah.

- MINGGUAN MALAYSIA

Lan A To Z merana Tiga tahun ditinggal isteri

by

Suatu masa dahulu, namanya cukup popular. Digilai ramai anak gadis, Lan A To Z antara artis yang berjaya di era 90-an apabila kumpulan berkenaan meraih sukses dalam penjualan album dan pertunjukan pentas.

Kaya, mewah dan bergaya, Lan mampu menggapai apa saja yang diinginkan termasuklah mengahwini wanita kacukan yang cukup jelita, Marcella Casissi Shariff, bekas pramugari penerbangan Royal Brunei.

Pun begitu, itu cerita 11 tahun lalu. Hari ini, lelaki yang pernah digilai ramai itu semakin ‘layu’ dan dilupakan. Dia tidak lagi meraih populariti sama seperti 11 tahun lalu. Malangnya, Lan bukan sahaja kehilangan peminat dan populariti, sebaliknya turut kehilangan kekasih hatinya, Marcella.

Marcella memilih untuk kembali ke tanah kelahirannya di England dengan membawa bersama permata hati mereka, Puteri Nur Aqmar,10, Puteri Nur Syafiqah,9, dan Puteri Nur Farhana,3.

Pancaindera secara eksklusif menjejaki Lan, lelaki yang kini hanya punya impian. Ia, setelah tiga tahun ditinggalkan, masih ada ruang di hati lelaki berusia 41 tahun, bernama lengkap Norazlan Abdul Aziz ini untuk bermimpi bersatu semula dengan isteri dan anak-anaknya.

Sesaat pun tidak lupa

Dalam pertemuan kami pada petang Isnin lalu, Lan mengakui sesaat pun dia tidak pernah melupakan anak dan isterinya itu.

Tapi apalah daya, segalanya berlaku tanpa dijangkakan apabila isterinya membuat keputusan pulang ke England dan tinggal bersama ibunya di sana.

“Ia terjadi selepas saya mengalami kejatuhan dalam dunia muzik. Kesempitan hidup membuatkan saya hilang segala kemewahan dan sukar untuk menggembirakan hati anak-anak dan isteri.

“Akhirnya saya membenarkan isteri membawa anak-anak untuk tinggal bersama ibunya di Lancashire, England,” cerita Lan, membongkar rahsia saat awal perpisahannya dengan keluarga tersayang.

Tambah Lan detik hitam bermula pada tahun 2007 sewaktu dia menghadapi zaman kejatuhan. Ketika itu album tidak laku. Perniagaan yang dijalankan juga jatuh merudum.

Untuk menampung kehidupan keluarga, Lan terpaksa bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah kolej swasta.

Tetapi sayang, ia tidak bertahan lama kerana sebagai seorang ahli dalam dunia muzik, mana mungkin dapat menjalankan kerja-kerja pejabat.

“Kerana kesusahan hidup itu, rumah tangga saya diuji. Sebelum ini saya tak nafikan kami pernah hidup dalam keadaan yang mewah. Inilah akibatnya apabila kita menjadi artis, kesenangan itu tidak bertahan lama.

“Akhirnya ibu mertua saya datang dan dia macam kurang selesa dengan apa yang terjadi, seolah-olah saya tidak mampu untuk menyara keluarga kerana kesempitan hidup.

“Akhirnya dia mencadangkan untuk membawa Marcella ke England bersama tiga anak saya. Tanpa berfikir panjang, saya merelakan kerana saya tahu tahap kewangan saya pada ketika itu benar-benar menguji.

“Saya benarkan isteri dan anak-anak ke England tetapi saya harap ia tidak lama. Ingatkan dalam setahun sahaja tetapi sekarang sudah sampai tiga tahun.

“Ketika tahun pertama berpisah, jiwa saya macam orang gila. Tengok basikal anak, tengok baju anak dalam almari pun tak boleh.

“Walaupun saya selalu berhubung dengan mereka melalui telefon tapi benda tu semua tak ada erti kalau dia orang tak ada depan mata.

“Akhirnya saya buat keputusan keluar dari rumah saya di Rawang, saya suruh adik saya jaga rumah itu dan bawa diri ke Jakarta. Di sana saya bekerja dengan syarikat jualan langsung berbekalkan wang saku RM800.

“Selama setahun di Jakarta, saya belajar untuk menjadi seorang yang tabah serta mengawal perasaan rindu terhadap anak-anak dan isteri. Dan syukurlah, hati saya dapat diubati berkat kekuatan dan semangat tinggi saya itu.

“Selepas setahun di sana, akhirnya saya pulang dan membuka Simple Rock Studio di Damansara Damai, Selangor. Saya sewakan studio untuk budak-budak di kawasan sini bermain muzik.

“Saya juga ada beberapa artis baru dan sedang giat buat lagu untuk memulihkan kerjaya seni saya.

“Alhamdulillah... Rezeki saya ada di sini,” katanya.

Menurut Lan, seringkali dia terfikir adakah masih ada sayang di hati anak-anak terhadap dirinya sebagai bapa? Juga masihkah ada sayang seorang isteri yang didamba?

“Anak saya yang sulung, Puteri Nur Aqmar nampaknya suka kalau saya telefon. Dia mesra dengan saya. Tapi yang kedua dan ketiga tu, mungkin dia orang masih tak faham. Bila bercakap pun macam hendak tak nak saja.

“Saya tak salahkan mereka sebab mereka jauh. Bila sudah lama tak berjumpa, macam-macam boleh jadi.

“Sekarang pun kalau nak bercakap kena banyak guna bahasa Inggeris kerana mereka agak kurang fasih berbahasa Melayu.

“Cuma saya harap mereka tidak lupa mengucap dua kalimah syahadah dan mempunyai pegangan agama sebagai seorang Islam,” katanya.

Mahu mengubat rindu kepada anak- anaknya, Lan berhasrat untuk menemui mereka di England pada tahun ini.

Tetapi sekiranya kunjungan itu tidak disambut dengan baik oleh anak-anak dan isteri, dia berserah kepada takdir Allah.

Walaupun hatinya masih berteka-teki bagaimanakah perasaan si isteri dan anak-anaknya di masa depan, Lan tidak mahu persoalan itu mengganggu fikirannya.

Kalaulah mereka masih menerimanya dia bersyukur tetapi jika sebaliknya, apakan daya, dia hanya berserah kepada Yang Maha Esa.

“Saya faham, dekat di mata lagikan boleh berubah apatah lagi kalau jauh. Bila jarang bersua, terpisah sekian lama kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku,” ujarnya dalam nada sebak.

Iktibar kes Nurin Jazlin

Ketika hatinya berkecamuk dengan cerita sedih ditinggalkan, masyarakat Malaysia kecoh dengan kes kanak-kanak bernama Nurin Jazlin Jazimin, yang dibunuh kejam kira-kira tiga tahun lalu.

Hati siapa yang tidak sedih dengan peristiwa itu walaupun kisah malang tersebut berlaku pada orang lain.

Kerana amat merindui anaknya itu, Lan mengambil peluang menyertai sembahyang jenazah Allahyarham di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Ketika itu, satu kekuatan hadir dalam dirinya membuatkan perasaan sayu diatasi apabila dia melihat kuatnya semangat ayah kanak-kanak itu.

Ujar Lan, kalau ibu bapa arwah adik Nurin kelihatan tenang dengan dugaan apabila anak tercinta mati dibunuh, ujian dalam dirinya tidaklah sehebat itu.

“Kerana pengalaman itulah hati saya jadi kuat. Semangat saya bangun semula. Sebelum itu, saya tidak boleh melelapkan mata kerana anak-anak. Tapi bila difikir-fikirkan sehebat mana ujian hidup kita itu, ada orang yang lebih teruk dilanda masalah.

“Syukurlah kerana Allah menggerakkan hati dan perasaan untuk saya menziarahi jenazah adik Nurin yang akhirnya membuatkan saya mampu mengawal keadaan, dapat semangat semula,” katanya.

Tidak ceraikan isteri

Mengakui cinta terhadap isterinya tetap tidak berubah kerana dia seorang yang setia pada ikatan perkahwinan, Lan tidak pernah sekalipun terdetik untuk menceraikan Marcella walaupun jiwanya menderita ditinggalkan sekian lama.

Nyata kasih sayangnya masih tebal dan utuh buat wanita yang berjaya mencuri hati remajanya suatu ketika dulu. Rasa kasih itu tidak pernah padam sementelah wanita itu jugalah yang mengandung dan melahirkan ketiga-tiga zuriatnya.

Tetapi dalam masa yang sama, dia akur seandainya sekian lama tidak bertemu, barangkali cinta hati isterinya itu sudah pudar.

Ketika Marcella dan anak-anak tinggal di kota besar dan mewah, kudus cinta Lan barangkali sudah menjadi sejarah.

“Saya tahu saya kurang pada harta tetapi istimewanya saya ini ialah seorang yang setia terhadap isteri. Saya masih mengharap agar semua akan menjadi pulih seperti sediakala” katanya.

Ditakdirkan si isteri tidak mahu menerima Lan sebagai suami lagi, lelaki ini reda dengan ketentuan itu.

Tapi ujar Lan, kasih terhadap Marcella tetap utuh dan seandainya suatu hari nanti ketika usianya sudah lanjut, dia akan tetap menerima Marcella jika terbit cinta baru di hati wanita itu.

“Apa juga yang berlaku kepada kami selepas ini, cuma satu harapan saya. Semoga cinta Marcella dan anak-anak kepada Islam tidak akan pudar,” katanya menokhtahkan bicara.

- MINGGUAN MALAYSIA

Berwuduk hilangkan rasa marah

by
Pernahkah anda marah kerana disakiti atau berasa hati? Namun, bagi mengawal keadaan anda tidak perlu menonjolkan emosi tersebut. Menegur tidak salah tetapi anda perlu belajar mengawal perasaan marah. Sifat marah yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kerosakan.

Marah memang sifat semula jadi manusia, berpunca daripada keadaan tidak adil, disindir, dihina, dituduh bukan-bukan, diperalat, difitnah dan diancam kehilangan sesuatu yang berharga.

Jika kita berhadapan dengan orang sedang marah, cubalah hadapi dengan langkah berikut:

# Beri peluang orang sedang marah itu bercakap atau meluahkan terlebih dahulu punca kemarahannya.

# Ketika berhadapan dengan individu sedang marah, jangan menyampuk dan merendahkannya.

# Kaji punca kemarahannya dan cuba atasi. Sekiranya berpunca daripada kesilapan kita, mintalah maaf daripadanya.

# Cubalah bertanya beberapa soalan bagi membantu menyelesaikan masalahnya. Terima kemarahannya dengan tenang.

Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

# Mengubah Posisi. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)

# Berwuduk. Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).

# Minum air.

# Mendiamkan diri ketika marah.

# Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

# Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

# Berfikiran positif.

# Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; mengelakkan daripada memekik atau bertindak garang.

# Bawa bertenang seperti menarik nafas.

# Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

Mengenali ulser peptik

by

Oleh Dr. Tan Huck Joo

PERUT kita mengeluarkan sejenis asid yang boleh menghakis untuk membantu penghadaman makanan dan mencegah jangkitan. Dengan pH dari dua hingga tiga, pengeluaran asid secara berlebihan boleh merosakkan perut.

Tetapi kita bernasib baik kerana perut kita mempunyai lapisan penghalang yang melindunginya daripada asid. Namun, apabila terdapat luka pada lapisan perut atau duodenum (bahagian permulaan usus kecil) kita, ini bermakna kita mengalami ulser peptik.

Jika anda mengalami ulser peptik, besar kemungkinan anda memperlihatkan sesetengah daripada gejala berikut:

# Sakit di bawah tulang dada (sakit epigastrik)

# Kembung

# Loya atau muntah

# Najis hitam (jika anda mengalami ulser peptik berdarah)

Punca ulser peptik

Kopi, buah-buahan sitrus dan makanan berempah dikatakan punca ulser peptik. Tetapi itu tidak benar. Makanan tersebut hanya memburukkan gejala ulser peptik dan boleh melambatkan proses penyembuhan dalam rawatan ulser. Sebaliknya, alkohol, rokok dan stres atau tekanan boleh meningkatkan pengeluaran asid meskipun ia tidak semestinya mengakibatkan penyakit ulser peptik.

Punca sebenar penyakit ulser peptik termasuk beberapa kelas ubat tertentu, seperti ubat pelega kesakitan, dan paling penting sekali, jangkitan helicobacter pylori. Pengambilan secara berterusan beberapa kelas ubat pelega kesakitan seperti aspirin dan ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen dan diklofenak boleh merosakkan lapisan perut.

Aspirin dan NSAID adalah antara punca yang paling biasa dikaitkan dengan penyakit ulser peptik walaupun ia mudah dibeli dari kaunter. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ubat-ubatan ini adalah antara yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dan sangat berkesan bila digunakan dengan betul. Namun, ia membawa kesan sampingan. Doktor perlu berhati-hati apabila memberi preskripsi dan orang ramai juga perlu berwaspada apabila mengambil ubat ini.

Bagaimanapun, punca utama penyakit ulser peptik ialah jangkitan Helicobacter pylori (H.pylori).

Apakah helicobacter pylori?

H.pylori adalah bakteria berbentuk pilin yang hidup dalam lapisan mukus bersebelahan lapisan gastrik. H.pylori unik dan mempunyai beberapa ciri yang membantunya hidup dalam persekitaran berasid yang sepatutnya memudaratkan. Orang yang dijangkiti H.pylori mungkin tidak memaparkan sebarang tanda sungguhpun kebanyakan mereka akan mengalami gejala gastrik, ulser peptik atau akhirnya kanser gastrik.

H.pylori ditemui pada 1982 oleh Warren dan Marshall di Perth, Australia. Penemuan mereka telah membawa revolusi dalam rawatan penyakit ulser peptik. Kini, kita tahu bahawa H.pylori adalah punca utama ulser peptik dan jika tidak ubati, penyakit ini boleh berulang.

Apa yang menyebabkan H. pylori dan bagaimana ia merebak masih tidak diketahui. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa bakteria ini boleh disebarkan melalui najis dan mulut (makanan atau air yang dicemari najis). Ia juga boleh disebarkan dari seseorang kepada orang lain melalui mulut (kucupan atau pendedahan kepada muntah yang mengandungi H.pylori).

Siapa dijangkiti helicobacter pylori

Di Kuala Lumpur, 22.5 peratus daripada 1003 pesakit yang mengalami dispepsia (sakit abdomen) antara tahun 2002 dan 2003 disahkan dijangkiti H.pylori. Sepuluh tahun dahulu, bilangan keseluruhan jangkitan H.pylori di Malaysia hampir dua kali ganda angka pada 2002/2003. Laporan menunjukkan bahawa daripada 22.5 peratus yang dijangkiti H.pylori, 30 peratus adalah India, 21 peratus Cina dan 12 peratus Melayu. Ini menunjukkan keturunan mungkin menjadi satu faktor dalam penularan H.pylori.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, kira-kira dua pertiga daripada penduduk dunia dijangkiti H.pylori.

Rawatan

Rawatan adalah untuk menyembuh ulser peptik dan mencegah punca penyakit. Gastroskop perlu digunakan untuk menghentikan pendarahan dalam ulser peptik. Puncanya kemudian dikenal pasti dan ditangani.

Sebagai contoh, jika ulser adalah disebabkan pengambilan NSAID, maka tindakan menghentikan pengambilan ubat ini dapat mencegah penyakit berulang. Bagi penyakit ulser peptik yang dikaitkan dengan H.pylori, kombinasi dua antibiotik dan proton pump inhibitor (ubat untuk menyekat pengeluaran asid) biasanya disyorkan untuk tujuh hari. Dua antibiotik yang biasa digunakan adalah amoxycillin dan clarithromycin.

Dengan kaedah rawatan terkini, kita dapat mencapai kira-kira 80 peratus kejayaan dalam usaha menghapuskan jangkitan H.pylori. Selepas rawatan ini, pesakit akan dinasihatkan untuk menjalani ujian nafas urea atau mengulangi prosedur endoskopi (bagi pesakit ulser perut) selepas enam hingga lapan minggu untuk memastikan kejayaan rawatan menghapuskan H.pylori. Pesakit yang gagal menghapuskan jangkitan bakteria ini sudah tentu akan diberi rawatan pusingan kedua menggunakan kombinasi ubat lain, lazimnya kombinasi empat ubat. Penggunaan antibiotik yang sama tidak berkesan.

Komplikasi helicobacter pylori

Selain jangkitan ulser peptik, H.pylori boleh juga menyebabkan komplikasi lain. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan gastritis, iaitu keradangan lapisan perut dan lebih buruk lagi, kanser perut. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan H.pylori sebagai karsinogen Kelas 1 (kuman punca kanser) pada 1994. Kegagalan untuk menghapuskan H.pylori boleh meningkatkan enam kali ganda risiko kanser gastrik.

Semua jangkitan H.pylori mesti dihapuskan untuk mencegah ulser peptik berulang dan lebih penting lagi, untuk mencegah kanser perut. Rawatan untuk ulser peptik bukan sahaja mudah diperolehi tetapi juga tidak terlalu mahal dan sangat berkesan.

Pesakit yang mengambil NSAID atau aspirin secara tetap (selalunya pesakit artritis atau pesakit jantung) patut memeriksa status H.pylori mereka. Usaha menghapuskan H.pylori sebelum memulakan pengambilan NSAID atau aspirin, banyak membantu mengurangkan risiko penyakit ulser peptik.

Pencegahan

Tiada cara yang pasti dan mudah untuk mencegah H.pylori kerana belum ada vaksin untuk melindungi kita daripada bakteria ini. Justeru itu, sentiasa jaga kebersihan peribadi dan sanitasi. Anda juga boleh menjalani pemeriksaan atau ujian H.pylori jika anda berada di kawasan yang banyak berlaku jangkitan H.pylori dan kanser gastrik untuk mencegah kanser.

Jika anda mengalami gejala yang menandakan penyakit ulser peptik, jumpa doktor anda segera. Sekiranya anda mendapat jangkitan H.pylori, anda patut menerima rawatan yang sewajarnya untuk menghapuskan jangkitan ini.

Dr. Tan Huck Joo adalah presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia. Sebagai penulis rencana ini, beliau tidak menyokong dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jenama atau produk.

# Rencana ini adalah sumbangan Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia yang disokong oleh Program Perut Sihat VITAGEN. Untuk mendapatkan buku mengenai kesihatan sistem penghadaman secara percuma, sila hubungi 03-56211408.

Masalah pendidikan di Malaysia

by
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Kita bergaduh dalam semua aspek. Semua yang baik ditolak mentah- mentah kerana hanya datang daripada sekumpulan yang tidak bersefahaman dengan kita. Kadang-kadang saya amat kasihan melihat umat Islam.

Sampai bilakah kita harus begini? Bilakah mereka boleh duduk semeja untuk mencapai persetujuan bersama dalam perkara- perkara bersifat fundamental? Memang saya tidak nafikan kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi takkan dalam semua perkara. Sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju dengan perkara-perkara asas. Sayangnya, dalam perkara asaspun bergaduh juga.

Sebagai umat Islam, kita berasa amat malang, kerana mereka yang tidak ada kena mengena dengan kalimah Allahpun tidak menyokong kita atau setidak-tidaknya bersikap neutral. Saya hanya mendengar kenyataan presiden MCA sahaja yang bersikap neutral, mahukan kita berhenti menuding jari kepada UMNO dalam isu ini. Namun, kenyataan beliau dikecam hebat dalam laman web dan kumpulan ultra kiasu. Beliau dikatakan cuba menagih simpati UMNO dan menutup masalah dalaman MCA.

Kumpulan ultra kiasu juga menentang habis-habisan UMNO dan umat Islam yang mahu mempertahankan kalimah Allah. Jika mereka ikhlas, sudah tentu kalangan mereka yang bukan Kristian yakni beragama Buddha-Taoism- Konfucius akan bertindak neutral, sebab mereka tidak menyembah Allah. Ini tidak, mereka secara terang menyokong penggunaan kalimah Allah kalangan Kristian, wal hal isu ini tiada kaitanpun dengan mereka. Inilah nasib UMNO selalu sendirian dalam mempertahankan Islam di dalam dan di luar Barisan Nasional. Tertanya-tanya saya bilakah masanya orang bukan Islam akan menyokong Melayu Islam. Adakah benar parti ultra kiasu ini menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS? Apakah umat Islam tidak sedar kadang kala mereka diperalatkan?

Saya dapat simpulkan di sini, maknanya, apa yang umat Islam lakukan, tetap akan dianggap salah disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza. Saya amat takut dengan gejala yang berlaku. Orang lain bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat perpecahan dan kelemahan kita dan mungkin menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

- MINGGUAN MALAYSIA

Benci tapi minat Barat terhadap Islam

by
Oleh MAZLAN NORDIN

ISLAM dan segala yang berkaitan dengan perkembangannya kerap menjadi bahan pelbagai buku, majalah, akhbar dan dokumentari televisyen dewasa ini. Ada yang ditulis oleh warga Islam dan juga oleh bukan Islam.

Antaranya ialah siri televisyen BBC London Islam: Empire of Faith (2001) mengenai bilangan umat Islam telah meningkat hingga satu bilion dan ”bakal menjadi agama paling terbesar sekali dalam dunia”.

Lantas dicatat pada bahagian pertama: “Malah di Amerika Syarikat, Islam adalah agama paling cepat berkembang dan pada ketika ini lebih ramai warga Islam Amerika (lebih empat juta) dari penganut Episcopalians”.

Di negara-negara lain pula bilangan warga Islam paling ramai ialah di Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan India. “Bilangan Islam di Indonesia saja (195 juta) adalah lebih ramai dari jumlah besar di Mesir, Syria, Arab Saudi, Iraq dan Iran”. (Bilangan penduduk Indonesia kini tahun 2010 ialah 230 juta).

Lalu disebut mengenai laskar-laskar Mongol pada abad ke-13 menyerang Asia Barat dan akhirnya mereka memeluk agama Islam.

Seterusnya dicatat: “Bagi orang Islam seruan azan untuk menunaikan sembahyang membezakannya dari agama yang menggunakan tiupan shofar bagi orang Yahudi dan bagi orang Kristian pula loceng digunakan. Orang pertama sekali menyampaikan azan ialah Bilal, hamba abdi dari Habshah, antara yang mula-mula sekali masuk Islam. Kedudukan Bilal penting kerana dari mula lagi Islam menerima siapa saja dari segala bangsa”.

Di samping BBC London ialah majalah Asia Views, terbitan bersama beberapa pihak di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand antara lainnya. Dalam terbitan bulan Januari 2010 ialah mengajukan pertanyaan: “Apakah Islam telah berubah di Tenggara Asia?”

Rencana pengarang majalah itu menyiarkan laporan dari Tempo, Jakarta: “Menurut Jabatan Hal-Ehwal Agama, terdapat kini 21,000 pesantren di seluruh Indonesia yang mengajar hampir empat juta pelajar. Bilangan itu bertambah empat kali ganda dalam masa 20 tahun lampau dan dua kali ganda dalam masa enam tahun lalu”.

Pesantren Indonesia bukan saja mengajar segalanya mengenai Islam tetapi juga menjalankan pelbagai perniagaan. Ini berupa “mandat sosial” mereka dewasa ini.

Tema majalah “Asia Views” kali ini ialah Today’s Islam in S.E.Asia, antara kandungan ialah kegiatan golongan Tausugs di wilayah Sulu, Filipina. Hasil pelbagai forum agama Islam disampaikan untuk makluman. Antara terbitan ialah saluran Islamic Events and Activities dari Jolo, Zambuanga.

Turut disiarkan ialah temu ramah dengan Profesor Dr. Kamaruddin Hidayata, rektor Syarif Hidayatullah di Jakarta. Lantas disiarkan kenyataan syarat Pendaftaran Jihad Mujahidin ke Palestin. Antara syarat: Iman dan Taqwa, Siap Mati Syahid, Izin orang Tua, Wali, Sihat Jasmani dan Rohani, siap diberangkatkan kapan saja, tanpa cerita pulang.

Turut memberi penjelasan mengenai agama Islam ialah buku dari Amerika Taking Back Islam: American Muslims Reclaim Their Faith (Rodole 2004). Ia diedit oleh Michael Wolfe, seorang warga Islam Amerika.

Sebelum ini ia telah menulis buku berjudul: The Hadj: An American Pilgrimage to Mecca dan One Thousand Roads to Mecca. Sebagai petugas ABC-TV, beliau warga Amerika yang pertama sekali melapor secara langsung dari Mekah mengenai fardu haji.

Menulis mengenai pengalamannya ketika menunaikan fardu haji bagi kali pertama beliau mulanya menyebut mengenai Mekah mempunyai sejuta penduduk. Beliau lalu menambah: “Setahun sekali, selama beberapa hari Mekah menarik lebih ramai pengunjung dari mana juga tempat di seluruh dunia. ....kaum wanita berpakaian hitam atau putih manakala lelaki dengan ihram. Sukar membezakan seorang penyapu sampah dengan anak raja bila berpakaian begitu. Lelaki dan wanita dari 125 negara dunia mengerumuni segala kaki lima dan jalan raya”.

Pada waktu tengah malam pun masjid dipenuhi manusia. Seratus ribu berada di tingkat bawah, beliau mencatatkan lagi manakala bercerita mengenai sekian ramai menunaikan tawaf dan sebagainya.

Lebih 30 menulis dalam buku berkenaan, termasuk Yusuf Islam, Karen Armstrong dan

Akbar Muhammad, seorang tokoh African-American. Buku tersebut wajar mendapat tempat dalam perpustakaan universiti-universiti antara lainnya.

Wolfe juga menulis mengenai satu majlis di Kota Chicago yang dihadiri oleh puluhan pasangan untuk jamuan makan malam, kesemuanya Islam. Antara mereka ialah professor, doktor, guru, suri rumah dan jurutera komputer. Sesetengahnya lahir di Mesir, Lebanon, Palestin, Pakistan dan India.

Setelah menunaikan fardu Isyak para hadirin kemudian mendengar bacaan Quran oleh seorang pemuda dari Mekah. Dari umur lima tahun lagi ia telah membaca Quran dan kemudian terus belajar di Mekah, Madinah dan Kaherah.

Wolfe menulis: “Saya terus terkenang padanya sejak itu. Bagi seorang warga Amerika seperti diri saya, kehadirannya di Chicago menakjubkan sekali kerana ia meneruskan tradisi sejak Nabi Muhammad SAW”.

- MINGGUAN MALAYSIA

Industri kereta beralih ke timur

by
Oleh Johardy Ibrahim

Selain kisah skandal, politik dan bola sepak, satu lagi topik popular sembang sambil minum teh tarik dengan teman-teman ialah kereta. Topik ini begitu unik kerana semua akan mengaku diri masing-masing pakar terutama bab mengkritik kereta nasional tetapi sanggup berbelanja besar membeli kereta asing walaupun berstatus ‘kereta terpakai’ atau second-hand.

Hari ini kita tidak berbicara mengenai spesifikasi kereta atau pengendaliannya kerana ruangan khusus pemotoran akhbar ini ialah dalam sisipan Wow terbitan setiap Sabtu. Sebaliknya, hari ini kita akan mengembangkan sedikit pengetahuan mengenai industri auto global yang boleh anda bahaskan bersama teman-teman bermula dengan dua soalan dibawah:

1) Apakah jenama kereta yang diketahui berasal dari negara A tetapi kini dikuasai negara B?

2) Negara apakah yang pernah dikenali sebagai satu daripada kuasa dunia automotif tetapi kini bukan lagi?

Jawapannya tidaklah susah sangat kalau rajin mengikuti berita seumpamanya. Namun jika anda rasa boleh menemui jawapannya dengan memandang ke arah kereta-kereta yang lalu-lalang depan anda sekarang, pencarian itu mungkin baru mencapai 10 peratus.

Berikut adalah senarai kasar: jenama Amerika Syarikat iaitu keluaran General Motors, Hummer yang dijual kepada Sichuan Tengzhong Heavy Industrial Machinery Company dari China. GM juga sedang dalam proses menjual Saab Automobiles. Jenama Saab yang berasal dari Sweden itu kini sedang dibina oleh entiti dari Belanda dan China.

General Motors (atau diberi jolokan Government Motors kerana menerima dana bail-out Presiden Barack Obama) menamatkan riwayat kereta Pontiac dan Saturn pada tahun lalu setelah tidak dapat menanggung kerugian besar.

Satu lagi syarikat yang pernah menjadi gergasi automotif Amerika, Ford Motors mengumumkan persetujuan untuk menjual jenama Volvo kepada kumpulan syarikat Geely Automotive dari China. Kedua-dua pihak berharap untuk memuktamadkan urus niaga menjelang akhir Mac ini.

potensi

Jelas di sini, syarikat automotif China telah menampakkan potensinya untuk muncul sebagai kuasa automotif dunia menerusi pengambilalihan jenama-jenama besar tersebut. Ia mula dikesan apabila Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) mengambil alih jenama MG dari United Kingdom setelah ikon kereta sports itu jatuh muflis pada 2005.

SAIC juga kini pemegang saham terbesar iaitu 51 peratus dalam kereta SsangYong Motor Company yang cukup dikenali di Malaysia dengan model kenderaan utiliti sports, Rexton.

Namun, kemunculan China itu tidak bersifat eksklusif. Ini kerana satu lagi negara ekonomi yang pesat tumbuh ialah India. Dengan ketelitian dan ketekunan, Tata Motors Ltd. membeli satu persatu jenama Daimler, Jaguar dan Land Rover, kesemuanya berasal dari UK yang dikuasai oleh Ford Motors.

Trend dalam industri automotif global ini ketara menunjukkan jika sebelum ini, proses pengambil alihan sesuatu jenama berlangsung dari satu syarikat yang terpaksa menjual kepada syarikat sedia ada besar dan terkenal. Alasan yang diberikan ialah dengan menjual kepada entiti besar, maka warisan sejarah, kekuatan jenama dan keyakinan pelanggan akan kekal utuh.

Maka pada 1990-an hingga abad yang baru lalu, dunia menyaksikan penjualan jenama Seat (sebut Sey-yat) yang berasal dari Sepanyol kepada konglomerat automotif Jerman, Kumpulan Volkswagen pada 1990. Jenama MINI dan Rolls-Royce dari UK pula dijual kepada BMW. Daimler dan Chrysler pernah bercantum tetapi bercerai semula setelah jenama Jerman sukar meraih sinergi daripada penggabungan tersebut.

Konglomerat automotif Itali, Fiat memiliki 85 peratus kepentingan dalam Ferrari dan 20 peratus dalam Chrysler yang mungkin ditambah menjadi 35 peratus bergatung kepada rundingan masa depan. Fiat turut menguasai Alfa Romeo dan Maserati.

Ford Motor Company yang banyak menjual jenama kereta di bawah sayapnya, masih mengekalkan pegangan saham sebanyak 13.4 peratus dalam Mazda. Atas faktor ini bila dilihat pada trak pikap Ford dengan Mazda ia begitu mirip antara satu sama lain.

Kumpulan syarikat automotif Korea, Hyundai Kia Automotive menguasai 38.67 peratus ekuiti dalam Kia motors, menyusut dari 51 peratus yang dimilikinya pada 1998.

Porsche Automobil Holding SE pula memegang 50.74 peratus kepentingan dalam Kumpulan Volkswagen. Disebabkan kerumitan kecairan, Volkswagen kini dalam proses mengambil alih sepenuhnya Porsche yang dijangka disempurnakan pada 2011.

model

Renault-Nissan Motors merupakan dua syarikat global yang memiliki model perniagaan yang bukan sahaja unik tetapi terbukti berjaya. Renault mempunyai 44.3 peratus saham Nissan manakala Nissan ada 15 peratus dalam Renault.

Jenama kereta terlaris global pula, Toyota menguasai 51 peratus kepentingan dalam Daihatsu. Di Malaysia, ia ditukar label menjadi Perodua yang baru saja menyaksikan lantikan baru Pengarah Urusannya yang datang dari UMW Toyota Motors.

Dan ini fakta yang pasti merancakkan rangsangan minda anda hari ini: Malaysia turut tercatat dalam senarai kuasa automotif menerusi pemilikan jenama Lotus yang berasal dari UK. Syarikat kereta nasional, Proton mengambil alih Lotus pada 1994 berikutan pemilik asalnya Buggati jatuh bankrap. Kenapa kereta Lotus tidak dijual di Malaysia sebagai Proton? Mungkin tidak sesuai kerana Lotus secara khususnya adalah pengeluar kereta lumba dan sports premium.

Pada 2004, Proton mengumumkan perjanjian dengan Volkswagen AG untuk melaksanakan pakatan strategik. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan industri automotif negara merasai gegak-gempita daripada kedua-

dua pihak. Nampaknya pakatan strategik yang diharapkan gagal dicapai dan diumumkan tamat rundingan pada 2007, terutama apabila membabitkan persoalan melupuskan jenama Proton yang merupakan titik tolak permulaan era perindustrian di Malaysia pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, berdasarkan trend global sekarang seperti yang dibentangkan di atas, satu-satunya cara untuk kekal relevan dan untung ialah menjalin ikatan dengan entiti automotif global. Dalam dunia tanpa sempadan, persoalan asal-asul sesebuah jenama kereta akan hanya dicemuh sebagai agenda emosi semata-mata. Mujurlah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi sentimen ini dan mahu Proton melakukan langkah yang sewajarnya demi memastikan kesinambungan hayat Proton. Sekarang, mulakan hujah anda dan tambah secawan teh tarik lagi!

Keretakan ‘Tugu’ 13 Mei

by
Oleh Zainuddin Maidin

Pucuk pimpinan negara dari UMNO tidak pernah hilang pertimbangan ketika negara menghadapi krisis sekalipun mereka boleh mengambil kesempatan daripadanya untuk menjadi popular atau juara kaum sendiri.

sebaliknya mereka melawan arus dan berusaha untuk merasioanalisasikan sikap rakyat bagi keharmonian dan kestabilan negara.

Mereka tidak pernah berganjak dari dasar dan kepercayaan kepada matlamat pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan demokrasi.

Inilah yang saya temui dari pengalaman saya menemuramah dan berinteraksi dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Menteri Keselamatan Dalam Negeri Tun Dr. Ismail Abdul Rahman ketika negara masih berada dalam ketegangan ekoran meletusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Tidak lama selepas peristiwa itu saya telah menemui Tunku bersama dengan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu Osman Abadi (Allahyarham). Sebaik sahaja kami masuk ke pejabatnya, beliau memberitahu “sebentar tadi seorang pemimpin PAS telah menemui saya dan mencadangkan supaya kerajaan mengambil semua kedai-kedai orang Cina kerana inilah masanya”

Saya bertanya kepada Tunku apa kata Tunku, “Gilakah nak rampas harta benda orang yang telah berkerja keras dan susah payah mengumpulnya, lagi pun mana kita tahu berniaga.”

Pemikiran sebahagian daripada orang Melayu ketika itu ialah mahukan tentera mengambil kesempatan dari peristiwa 13 Mei untuk mengambilalih kuasa dan merampas semua harta orang asing untuk menjamin kuasa Melayu tetapi pemikiran ini bukan sahaja tidak ada di kalangan pucuk pimpinan UMNO malah di kalangan angkatan tentera sendiri.

Ini jelas dari kenyataan yang dibuat oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Jeneral Ibrahim Ismail yang menjadi Ketua Pegawai Operasi Majlis Gerakan Negara (MGN) bila demokrasi digantung buat sementara selepas 13 Mei 1969.

Buku The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Life ( muka 229) mencatitkan Jeneral Ibrahim berkata “Tidak terfikir oleh ketua pemerintah tentera untuk intervensi kerana kami tidak terdidik dengan cara itu dan juga kerana kepercayaan kepada Tun Abdul Razak dan Ismail yang merupakan satu pasukan yang hebat dan cukup kuat”.

Di tengah-tengah ketegangan peristiwa 13 Mei, Tun Ismail yang telah meletakkan jawatan Kabinet pada tahun 1967 kerana masalah kesihatannya yang serius telah kembali ke dalam kerajaan atas jemputan Pengarah Majlis Gerakan Negara, Tun Abdul Razak dan kemunculannya dalam siaran langsung TV (RTM) sekali gus memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara apabila beliau mengisytiharkan:.

“Demokrasi telah mati di negara ini. Ia mati di tangan parti-parti pembangkang yang mencetuskan beberapa kejadian yang membawa kepada kekerasan”.

Tun Dr. Ismail membantu Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Pengarah MGN dan seterusnya pada 12 Jun 1969 beliau di lantik menjadi Menteri Dalam Negeri. Saya mengikuti ucapan Tun Dr. Ismail yang keras dan tegas itu dari rumah sewaan saya di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru Kuala Lumpur. Ketika itu Kampung Baru berada dalam ketegangan ekoran tercetus rusuhan kaum di Jalan Raja Muda berhampiran dengan kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Ditugaskan

Pada petang 13 Mei, saya menyaksikan sendiri peristiwa berdarah yang kejam dan mengerikan kerana saya telah ditugaskan untuk meliputi suatu perhimpunan orang Melayu yang marah kerana dihalau balik kampung oleh penyokong-penyokong DAP yang merayakan kemenangan besar dalam pilihan raya di Selangor.

Sebulan dua selepas kejadian rusuhan itu, traumanya masih menggugat orang ramai di sekitar Kuala Lumpur. Orang keluar membeli belah dalam keadaan cemas. Jika ternampak asap kebakaran semua akan berlari mencari perlindungan malah jika seorang berlari semua akan berlari.

Dalam keadaan yang belum pulih sepenuhnya inilah saya membuat keputusan untuk menemui Tun Dr. Ismail sekalipun saya seperti lain-lain wartawan tidak pernah rapat dengan beliau malah gerun dengan wajahnya yang garang dan tidak pernah tersenyum walaupun orangnya kecil.

Said Zahari wakil Utusan Melayu di Kuala Lumpur yang berasal dari Singapura telah ditanya dalam suatu sidang akhbar oleh Tun Dr. Ismail, “Adakah awak faham Bahasa Inggeris” yang menyebabkan Said melenting dan menjawab “Dr. telah menghina saya,”.

Said menulis dalam Utusan Melayu lima puluh tahun bahawa kerana tindak balasnya itu beliau nyaris disingkirkan dari Malaya. Untuk beberapa waktu selepas kejadian itu Said telah dilarang menghadiri sidang akhbar Tun Dr. Ismail.

Cerita ini semua tidak mematahkan hasrat saya untuk menemu ramah Tun Dr. Ismail tetapi sebaik sahaja Ketua Setiausaha Sulitnya Gopal memberitahu tentang tarikh pertemuan dengannya pada 16 Julai 1969, saya mulai rasa kesal dan takut malah lebih mendebarkan saya apabila Gopal mengingatkan saya agar berhati-hati kerana dua orang wartawan kulit putih dari Hong Kong yang cuba mengajarnya telah dihalau keluar kelmarin. Ketika itu semua media Barat memberikan gambaran yang negatif terhadap kepimpinan Melayu di Malaysia.

Bagaimanapun segala kebimbangan saya lenyap sama sekali apabila sebaik sahaja saya masuk ke biliknya,Tun telah bertanya kepada saya “Kenapa orang Utusan tidak datang jumpa saya,”.

Pertama sekali saya bertanya tentang keadaan kesihatannya. Tun memberitahu beliau kembali ke Kabinet walaupun ini mungkin akan menganggu kesihatannya dan akan terus berkhidmat selagi diizinkan oleh kesihatannya dan selagi keadaan negara memerlukan. Dalam interviu khas itu, dengan soalan pertama dari saya, beliau telah menjawab semua lebih daripada sepuluh soalan yang telah saya sediakan. Beliau telah dapat membaca fikiran saya dan ini menyebabkan saya ketawa kecil ketika membuat catatan. Beliau bertanya kenapa saya ketawa dan saya memberitahunya kerana dengan satu pertanyaan beliau telah menjawab semua soalan yang hendak ditanyakan. Beliau turut ketawa.

Pada masa itu saya merasakan bahawa Tun Dr. Ismail merupakan pemimpin Malaysia yang paling hebat sekali pernah saya interviu. Jawapannya jelas, tegas, tajam, terus terang dan tepat dengan yang dihasratkan oleh rakyat.

Mengingatkan

Antara lain kepada orang Melayu beliau mengingatkan “Kalau kita sendiri orang Melayu tidak patuh kepada undang-undang maka orang lain akan bertindak lebih lagi,”. Beliau merujuk kepada kejadian 13 Mei. Beliau juga menyatakan “Hak istimewa orang Melayu terserah kepada orang Melayu sendiri untuk menentukan, adakah hak itu perlu dikekalkan selama-lamanya atau hendak dilucutkan apabila mereka boleh berdiri tanpa sokongan orang lain,”.

Dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 22 ogos 1969 beliau berkata “Hak istimewa itu adalah ibarat seorang pemain golf yang tidak seharusnya menjadi tujuan untuk kekalkan kelemahan tetapi untuk berusaha bagi memperbaiki permainannya dan mengurangkan handicap dan pada akhirnya menghapuskannya sama sekali,”.

Tun Dr. Ismail secara terus menyatakan bahawa pemetrian dalam perlembagaan larangan perbincangan isu-isu yang bersifat sensitif dengan apa cara sekalipun selepas peristiwa 13 Mei adalah bertujuan untuk melindungi MCA dan MIC yang terikat dengan struktur politik Perikatan. Tun Dr. Ismail berpendapat pada umumnya Parti Perikatan menjadi lemah dalam pilihan raya 1969 adalah kerana di serang oleh pembangkang dalam isu sensitif mengenai soal bahasa Kebangsaan dan Hak Istimewa Melayu sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei.

Dalam menghadapi serangan ini, ramai ahli dalam komponen yang goyang dan merasa tertekan kerana mereka lemah dalam kefahaman terhadap dasar itu. Tun Dr. Ismail mahukan supaya UMNO memperbaiki kurang kefahaman dan komitmen rakan komponen terhadap struktur politik yang membina Perikatan.

Tun Dr. Ismail berharap dengan jaminan yang diberikan oleh perlembagaan itu maka di masa akan datang MCA dan MIC tidak lagi boleh berpaling kepada UMNO dan mendakwa mereka menghadapi masalah kerana isu ini.

Bagaimanapun semua ikatan persefahaman ini telah terurai dalam pilihan raya 2008. Dalam euforia kebebasan baru, akhbar-akhbar Inggeris dan Cina telah secara bebas memberikan tempat kepada pihak yang menyuarakan kembali isu yang telah diharamkan itu dan dengan itu sekali lagi meletakan MCA dan MIC yang terikat dengan kontrak sosial dalam keadaan yang nampak lemah, goyang dan tertekan, sama seperti keadaan mereka dalam pilihan raya 1969.

Parti Gerakan yang cuba kembali kepada imejnya sebagai sedarah dengan DAP untuk menawan hati bukan Melayu menghadapi akibat yang lebih buruk apabila dikaramkan di pangkalannya di Pulau Pinang. Orang-orangnya yang menjadi musuh dalam selimut Barisan Nasional keluar menyertai DAP.

Apabila Akta Hasutan (Pindaan) di luluskan oleh Parlimen pada 3 Mac 1971 untuk mencegah perbahasan terbuka mengenai isu sensitif seperti Hak Kerakyatan, Bahasa Kebangsaan, Hak Bahasa-Bahasa Lain, Hak Istimewa Orang Melayu dan juga Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Tun Dr. Ismail telah pun menyatakan bahawa “ini tidak pasti akan menjamin kedamaian politik di masa depan dan berapa lama demokrasi akan hidup, bergantung kepada sikap parti pembangkang dan juga tindak balas dari rakyat,”.

Keretakan Tugu Peringatan yang dibangunkan dengan darah dan air mata manusia tidak berdosa bersempena dengan peristiwa 13 Mei telah jelas kelihatan sekarang dan hanya menunggu saat akan runtuh bersama-sama dengan visi dan misi Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 ketika meneruskan khidmat baktinya kepada negara.

- MINGGUAN MALAYSIA

Lelaki Melayu Tidak Romantik?

by
Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Lelaki Melayu tidak romantik? Pasti ada yang bersetuju dan sebaliknya. Persoalan ini bukan baru. Ketika pekerja asing terutama dari Bangladesh dan Pakistan berduyun-duyun masuk ke Malaysia, isu ini hangat diperkatakan.

Khabarnya gadis tempatan berpinar mata untuk membuat pilihan.

Selain kelihatan segak, bergaya - lelaki asing dikatakan ada faktor ekstra iaitu romantik. Tidak kurang juga memilih lelaki dari negara sempadan. Sampai sanggup buang emak, buang saudara semata-mata mahu mengikat kasih dengan lelaki bukan Melayu.

Bagaimanapun pula lelaki bukan Melayu tempatan. Lelaki berbangsa Cina, India? Romantikkah mereka berbanding kaum sejenis tetapi berketurunan Melayu?

Bertambahkah angka perkahwinan campur antara gadis Melayu dan lelaki bukan Melayu? Jika meningkat mungkin boleh dijadikan fakta sokongan bahawa lelaki bukan Melayu memang romantik. Sebab itu agaknya mereka berjaya menambat hati gadis Melayu.

Istilah romantik pun bukan lahir dalam masyarakat Melayu. Ia istilah bahasa Inggeris, yang jika dirujuk kepada kamus diterjemahkan menjadi romantis. Tidak ada penjelasan lanjut perihal romantis.

Justeru romantik atau romantis itu sifat sebenarnya sangat subjektif. Boleh jadi ia gabungan sifat penyayang dan mengambil berat. Atau ada elemen membeli jiwa yang keterlaluan - bak kata anak-anak muda sekarang ini tangkap lentok, tangkap leleh.

Ada juga mengaitkan romantik dengan sikap mengambil berat bagi perkara yang dianggap oleh lelaki Melayu remeh-temeh. Misalnya sanggup bangun memberi tempat duduk kepada wanita. Maknanya ada elemen baik hati dalam romantik.

Lelaki Melayu tidak kisah benda remeh-

temeh. Untuk bangun memberi laluan atau tempat duduk sememangnya bukan perkara yang gemar dilakukan oleh lelaki Melayu.

Bukan juga amalan lelaki bukan Melayu tempatan. Justeru jika dikatakan lelaki Melayu tidak romantik mengambil kira keprihatinan perkara remeh-temeh, memang ada benarnya. Tetapi bukan lelaki Melayu saja. Pendek kata semua lelaki tempatan bersifat begitu.

Itu belum lagi disentuh bab mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan, tarikh bertemu yang bagi wanita atau gadis sangat penting. Memang bagi wanita semua tarikh penting, malangnya tidak bagi lelaki

Sebab itu ada lelaki Melayu menghantar sejambak bunga dua hari sebelum ulang tahun kelahiran isteri atau teman wanitanya. Bila ditanya untuk apa bunga itu, dia baru tersedar dan memberi alasan kononnya kejutan pra hari jadi. Itulah lelaki Melayu. Bukan saja tidak romantik, tetapi golongan itu juga selamba dan dikatakan bijak membuat alasan.

Kesemua itu bertujuan menutup kesalahan dan kelemahan yang amat ketara iaitu tidak romantik.

Ada juga berpendapat, lelaki tempatan terutamanya Melayu romantik berkala. Ada masa tertentu alahai romantiknya dia. Apabila taufan melanda, hilang romantik - tanggung sajalah padahnya.

Popular

Bercakap mengenai lelaki warga asing romantik, perlu dilihat juga sejauh mana benarnya rumusan itu. Lelaki asing menumpang di negara ini. Semestinya mereka mahu mengambil hati semua orang. Lebih-lebih lagi hati anak gadis. Kadang-kadang jiwa isteri orang pun cuba dibelinya. Untuk menjadi ‘popular’ di negara orang, maka antara yang perlu ditonjolkan adalah sifat romantik.

Sebab itu apabila hutang karpet tidak dibayar, jawab penjual karpet warga asing dengan nada romantik : ‘‘Tidak apa, lain hari saya datang boleh bayar.’’

Semestinya romantik itu untuk membeli hati atau dengan ayat yang lebih tepat mahu jaga kepentingan diri agar diterima masyarakat setempat. Lebih daripada itu dapat memikat gadis tempatan. Selesai kasih terjalin dan hubungan dipateri dengan ikatan perkahwinan, romantik ke mana ambil berat pun melayang nun di sana.

Lebih malang lagi ramai gadis ditinggalkan begitu saja. Umpama habis madu sepah dibuang. Sifat romantik lelaki dijaja pula ke tempat lain atau kembali ke negara sendiri. Ketika itu menjelmalah sifat sebenar lelaki - tidak kira sama ada warga asing, Melayu atau bukan Melayu.

Apa sifat sebenar itu? Sememangnya lelaki Melayu tidak romantik. Rakan sekerja - lelaki - membuat pengakuan jujur bahawa lelaki memang tidak romantik. Sempat dan selamba dia menambah: ‘‘Bukan saja tidak romantik, lelaki boleh saja dikatakan gatal!’’

Tidak ada rasa bersalah sedikit pun lelaki itu membuat pengakuan. Jika lelaki sendiri mengaku sedemikian, maka apa lagi yang boleh dirumuskan oleh wanita. Tidak kira tempatan atau asing - itulah lelaki. Paling ketara, lelaki tidak suka perkara remeh-temeh. Apa saja berkaitan remeh-temeh diserahkan kepada wanita.

Lelaki tidak betah melakukan perkara kecil-kecil, lantas wanita diberi tugas sedemikian. Sedangkan bagi wanita tiada benda di dunia ini remeh-temeh. Semuanya penting dan mesti diberi keutamaan. Sebab itu wanita mampu mengingati tarikh, sering mengalah dan sarat dengan kemaafan.

Biarpun lelaki mendabik dada bersikap sama rata dan menghormati wanita, namun dalam kebanyakan hal tidak begitu. Lelaki masih berselindung di sebalik ego dan bertindak secara ‘tersurat’ tidak membenarkan wanita menandingi mereka.

romantik

Lelaki juga terlalu mengutamakan ego, jauh menidakkan lagi kenyataan kononnya golongan itu romantik. Lantaran ego juga adakalanya lelaki tidak kisah kehilangan atau melepaskan miliknya. Lantaran ego itu juga adakalanya lelaki ‘menggantung’ pasangan hidupnya.

Tuhan mengatur lelaki dan wanita berpasangan, tetapi Tuhan tidak menetapkan lelaki itu lebih mulia dari wanita semata-mata sehingga melayakkan mereka mengetepikan hak wanita itu sendiri.

Biar tidak romantik, lelaki sepatutnya ada rasa hormat terhadap wanita. Wanita bukan tempat dilontarkan kata-kata yang sarat dengan ‘maksud berlapik’. Lantaran lelaki mesti ingat, dalam hidup mereka ada ibu yang melahirkan mereka ke dunia - ibu itu ialah wanita. Justeru romantik bukan kriteria penting untuk wanita memilih lelaki, ada yang lebih daripada itu - sikap menghormati.

- MINGGUAN MALAYSIA

Persoalan Agama: Mencintai suami, isteri orang haram

by
Apakah boleh seorang perempuan itu mencintai suami orang. Adakah ia dikira berdosa.

Salmah
Teluk Mas, Melaka

Seorang ulama pernah ditanya soalan seperti yang saudari kemukakan iaitu, "Apakah cinta itu halal atau haram? Lalu ulama itu menjawab: "Cinta yang halal itu halal dan cinta yang haram itu haram."

Ia adalah jawapan yang didasari sebuah hadis yang masyhur iaitu, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas meskipun di antara keduanya itu ada perkara-perkara yang samar-samar yang banyak orang yang tidak mengetahuinya." (Riwayat Muslim no.4178)

Di antara perkara yang jelas halalnya iaitu seorang suami menyintai isterinya atau isterinya menyintai suaminya dan lelaki yang menyintai wanita pinangannya juga wanita yang dipinang menyintai lelaki yang meminangnya.

Dan di antara perkara yang jelas haramnya iaitu seorang lelaki menyintai perempuan yang bersuami, lalu lelaki itu hatinya asyik memikirkan wanita berkenaan. Hal itu boleh membawa kerosakan rumah tangganya dan kadang-kadang ia boleh menyebabkan terjadinya pengkhianatan suami isteri.

Perkara itu juga, kadang-kadang boleh menimbulkan kekecohan dalam kehidupan wanita itu, menyebabkan fikirannya berserabut, mengganggu hati perasaannya serta menghilangkan ketenangan hidup berumahtangga. Kelakuan lelaki itu dikira berdosa. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW mengancam orang yang bersikap demikian dengan bersabda, "Bukan dari golongan kami orang yang merosakkan hubungan seorang wanita dengan suaminya." (Riwayat Abu Daud no.2177)

Contoh yang lain iaitu, wanita menaruh cinta kepada lelaki lain yang bukan suaminya. Ia sering terkenang dan sibuk memikirkannya. Sehinggakan sanggup berpaling atau tidak mempedulikan suaminya. Kadang-kadang mendorongnya untuk melakukan hal-hal yang lebih besar yang tidak dihalalkan syarak iaitu berzina dan seumpamanya.

Mungkin juga kalau tak berlaku demikian, ia boleh menggoncangkan hati dan jiwa sehingga mengeruhkan hubungan suami isteri. Sikap-sikap sedemikian sebenarnya tiada nilai sama sekali melainkan ia semata-mata mengikut keinginan hawa nafsu, sedangkan hawa nafsu adalah seburuk-buruk yang disembah di muka bumi.

Kesimpulannya, wanita yang sudah bersuami wajib berasa cukup dengan suaminya dan reda kepadanya serta cinta yang sepenuhnya kepada suaminya. Kerana itu, janganlah ia melayangkan pandangannya kepada lelaki lain dan hendaklah ia menutup pintu rapat-rapat jangan sampai ada lubang tempat bertiupnya angin fitnah pada dirinya. Lebih-lebih lagi dalam hal yang sensitif, hendaklah ia segera memadam bunga api sebelum ia membakar dan menghancurkan.

- BERITA MINGGU

Khasiat susu coklat

by

Bertubuh langsing memang menarik. Bagaimanapun tidak ramai wanita menyedari amalan diet keterlaluan bagi memiliki tubuh idaman sebenarnya mendedahkan mereka kepada risiko osteoporosis atau masalah tulang reput.

Amalan diet sering kali memaksa individu menolak hidangan mengandungi protein, lemak dan karbohidrat serta vitamin dan mineral yang diperlukan bagi menguatkan tulang.

Bahkan, golongan ini cenderung untuk menolak minum susu kerana percaya ia menggemukkan, sedangkan kunci mendapatkan tulang kuat adalah melalui kalsium yang banyak terkandung di dalam susu.

Selain itu, terdapat wanita yang kurang gemar minum susu kerana rasanya yang tawar. Mungkin mereka belum mengetahui khasiat sebenar susu.

Justeru itu, Anlene™, susu tepung yang terkenal untuk kesihatan tulang optimum bagi golongan dewasa, melancarkan Anlene™ Concentrate dalam perisa coklat. Ia mengandungi empat kali lebih kalsium daripada susu segar biasa. Ia sebagai satu pilihan baru untuk wanita yang aktif dan mementingkan kesihatan.

Sebagai pakar nutrisi tulang, Anlene™ memahami kesukaranorang ramai memenuhi keperluan kalsium harian mereka disebabkan cabaran kehidupan harian yang sibuk dan aktif. Bagi mereka, Anlene™ Concentrate adalah cara mudah untuk menjamin keperluan kalsium harian.

Menurut Pengurus besar Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd., John McKay, minum susu biasa mungkin tidak mencukupi.

"Ini kerana hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kebanyakan wanita Malaysia hanya mendapat 50 peratus daripada keperluan kalsium harian mereka. Sebahagian rakyat Malaysia tidak menggemari rasa susu biasa. Oleh itu kami melancarkan Anlene™ Concentrate Coklat," ujarnya.

Selain memenuhi keperluan kalsium harian anda, perisa coklat yang lazat adalah satu kelebihan. Pihaknya, menurut McKay berbangga memperkenalkan produk baru kepada rangkaian produk susu berkalsium tinggi sedia ada.

Jisim tulang memuncak pada umur 30 tahun dan mula merosot. Oleh itu, pengambilan kalsium yang mencukupi daripada makanan harian adalah amat penting. Kekurangan kalsium boleh menyebabkan kehilangan jisim tulang dan jika berterusan boleh menyebabkan osteoporosis terutama di kalangan wanita yang usianya telah meningkat.

kalsium"Anlene™ percaya langkah pertama untuk memiliki tulang yang sihat adalah mudah. Minum susu yang sesuai dengan kandungan kalsium yang mencukupi. Perubahan yang kecil dalam amalan pemakanan harian anda boleh membawa perubahan yang besar kepada kesihatan tulang anda di masa hadapan," ujarnya.

Anlene™ merupakan satu- satunya susu tepung berkalsium tinggi yang telah diuji secara klinikal. Hasil penyelidikan menunjukkan kadar kehilangan jisim tulang di kalangan wanita yang meminum susu Anlene™ adalah lebih rendah berbanding wanita yang tidak meminum susu Anlene™. Hasil kajian itu telah dicetak oleh The Journal of Bone and Mineral Research pada 2001, menyokong status Diuji Secara Klinikal Anlene™ di kalangan kumpulan kesihatan yang berpengaruh.

Anlene™ Concentrate Coklat kini boleh didapati di semua pasa raya kecil dan besar serta di kedai serba guna.

* Untuk maklumat lajut, sila hubungi Talian Bebas Tol Fonterra Brands Malaysia: 1800-88-3122.

Jawatan Kosong Konstabel Lelaki - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Jan 2010

by
JAWATAN :
- KONSTABEL LELAKI
Rujukan: FTMT 1/2010 DLM KPN (PR) 114/4

SYARAT SKIM PERKHIDMATAN :

Kelayakan:
- Warganegara Malaysia
- Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak melebihi 28 tahun pada tarikh tutup iklan
- Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan Kepujian dalam Bahasa Malaysia / Melayu
- Bagi Peperiksaan SPM sistem terbuka mestilah mendapat Kepujian dalam 2 matapelajaran termasuk Bahasa Melayu dan lulus 4 matapelajaran lain dalam satu atau dua peperiksaan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

IKLAN JAWATAN KOSONG & MAKLUMAT LANJUT :
http://www.ziddu.com/download/8379398/tanKonstabelLelakiPolisDiRajaMalaysiaPDRMJan2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/26138547/iklan-jawatan-konstabel-lelaki-polis-diraja-malaysia-pdrm-jan-2010

Permohonan hendaklah dihantar kepada:

KETUA POLIS NEGARA
(UNIT PENGAMBILAN)
IBU PEJABAT POLIS DIRAJA MALAYSIA
50560 BUKIT AMAN
KUALA LUMPUR.
03-22626320 / 22627559

TARIKH TUTUP : 10 FEBRUARI 2010

Jawatan Kosong di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) Jan 2010

by
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sebuah organisasi terjemahan unggul yang menyediakan khidmat terjemahan dan kejurubahasaan dalam pelbagai bahasa mempelawa individu yang dinamik untuk jawatan berikut:

1. Eksekutif Kanan - Penyunting / Penterjemah Bahasa Melayu / Bahasa Inggeris
2. Eksekutif / Penasihat Undang-Undang
3. Eksekutif Reka Bentuk / Grafik
4. Eksekutif Latihan
5. Eksekutif Muda Penerbitan - Pengatur Huruf
6. Eksekutif Muda - Pembaca Pruf
7. Kerani

ILAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8377890/ongdiInstitutTerjemahanNegaraMalaysiaITNMJan2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/26133050/iklan-jawatan-kosong-di-institut-terjemahan-negara-malaysia-itnm-jan-2010

Surat Permohonan beserta resume dan salinan sijil berkaitan hendaklah dihantar ke:

INSTITUT TERJEMAHAN NEGARA MALAYSIA,
Wisma ITNM, No.2,
Seksyen 10, Wangsa Maju,
53300 Kuala Lumpur.
(U.P: Unit Sumber Manusia)
atau
e-mail: kerjaya@itnm.com.my

* Sila nyatakan jawatan yang dipohon di sebelah kiri sampul surat

TARIKH TUTUP : 12 FEBRUARI 2010

Jawatan Kosong di Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Jan 2010

by
Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan untuk mengisi kekosongan jawatan berikut di Agensi Kelayakan Malaysia (MQA):-

JAWATAN :
1. PENOLONG PEGAWAI TADBIR - N27
2. PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT - F29
3. PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI) - N17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.ziddu.com/download/8377811/nJawatanKosongAgensiKelayakan-MalaysiaMQAJan2010.pdf.html
atau
http://www.scribd.com/doc/26132321/iklan-jawatan-kosong-agensi-kelayakan-malaysia-mqa-jan-2010

CARA MEMOHON:

Pemohon hendaklah mengisi Borang Permohonan On-line:
http://www.mqa.gov.my/jawatan2010/page1.cfm

TARIKH TUTUP : 12 FEBRUARI 2010 JAM 5.00 PETANG

Top Ad 728x90