Dunia
Gempa musnahkan Haiti
Oleh Hafizahril Hamid
Bagi pelancong, Haiti merupakan antara negara di Amerika Latin yang sering menjadi pilihan. Deretan pulau yang indah, kehidupan penduduknya serba sederhana serta pantai yang memukau, mendorong perkembangan pesat Haiti sebagai pusat pelancongan terkemuka dunia.
Namun semua keindahan itu musnah sekelip mata. Tragedi gempa bumi berukuran tujuh pada skala Ricter Selasa lalu melanda tanpa diundang meninggalkan kesan pilu dan trauma penduduk di situ.
Gempa itu berlaku pada pukul 4.53 petang (pukul 5.53 pagi waktu Malaysia), berpusat 15 kilometer dari barat Port-au-Prince pada kedalaman lapan kilometer.
Menurut Perdana Menterinya Jean-Max Bellerive, dikhuatiri lebih 100,000 orang terbunuh akibat kejadian tersebut. Malah Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa melaporkan sejumlah 3 juta orang terjejas teruk akibat bencana ini.
Kebanyakan mercu tanda dan bangunan yang menjadi kebanggaan penduduknya musnah dalam tragedi ini. Antara yang rosak teruk dan dilihat sukar untuk dibaikpulih ialah Istana Presiden, bangunan Parlimen, bangunan mahkamah utama, bangunan Kementerian Kewangan dan pelbagai kementerian-kementerian lain. Turut musnah ialah bangunan penjara utama yang mengakibatkan banduan-banduan yang terselamat mengambil kesempatan melarikan diri. Mengeruhkan lagi keadaan hampir semua bangunan hospital musnah atau rosak teruk.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut melaporkan bangunan ibu pejabat Misi Menstabilkan Haiti (MINUSTAH) di bawah kendalian PBB juga runtuh mengorbankan sejumlah besar pekerja mereka terbunuh. Ketua misi tersebut Hedi Annabi disahkan mati oleh Presiden Rene Preval pada 13 Januari lepas. Kira-kira 9,000 anggota pengaman berada di Haiti sejak berlaku pemberontakan menggulingkan presidennya pada 2004.
Bagi negara yang bersempadan dengan Republik Dominica, tragedi itu amat mengejutkan dan melumpuhkan hampir keseluruhan sistem di negara tersebut.
Umumnya Haiti bukanlah sebuah negara yang selamat untuk diduduki. Ini kerana pergolakan politik sering saja melanda negara itu walaupun ia merupakan antara negara terawal di dunia yang mendapat kemerdekaan dari Perancis iaitu pada 1 Januari 1804.
Menyayat hati
Selain itu negara ini juga sering dilanda pelbagai bencana lain dan hanya pada tahun lepas sahaja negara termiskin di Hemisfera Barat dilanda empat ribut dahsyat berturut-turut.
Namun akibat gempa bumi kali ini pemandangan yang menyayat hati boleh dilihat hampir di seluruh bandar itu.
Mayat kanak-kanak bertimbun di sisi runtuhan bangunan sekolah mereka, penduduk dengan wajah berdebu dan luka masih berdarah merayau-rayau di jalan dan doktor yang cemas membalut kepala mangsa dan menjahit kaki atau lengan yang terputus di tempat letak kereta sebuah hotel.
Wanita-wanita diselaputi debu merangkak keluar dari celah runtuhan sambil menjerit meminta tolong ketika ramai penduduk lain bertempiaran di jalan raya bagi menyelamatkan diri.
Ambulans yang sibuk membawa penduduk yang cedera pula terpaksa mengelak mayat yang bergelimpangan di jalan raya dan kumpulan lelaki berjalan kaki sambil membawa mangsa dengan pengusung.
Mangsa yang masih terkejut merayau-rayau dalam keadaan bingung, sesetengahnya melaungkan nama ahli keluarga, berdoa atau meminta pertolongan.
Mereka yang mengalami kecederaan duduk di tepi jalan, menantikan doktor yang belum pasti akan datang. Di tempat lain penduduk yang diselubungi suasana panik merayu-rayu meminta bantuan.
Helikopter pasukan pencari dan penyelamat berlegar-legar di udara, di atas mayat-mayat mangsa yang terlungkup dalam timbunan runtuhan dan keluli.
Beribu-ribu orang berkumpul di dataran awam pada waktu malam mengadakan upacara berdoa dan ramai mangsa cedera masih berada di jalan-jalan raya merayu mereka diberi rawatan.
Dikatakan kerosakan akibat gempa bumi paling kuat pernah melanda sejak lebih 200 tahun lalu itu sangat mengerikan, walaupun negara ini sering berhadapan dengan tragedi dan bencana dengan berpuluh-puluh gegaran susulan terus berlaku di negara pesisiran Laut Caribbean ini.
Ketiadaan perkhidmatan kecemasan tidak memberi banyak pilihan kepada mangsa yang terselamat. Kebanyakan bangunan di Haiti tidak kukuh dan bahaya diduduki.
“Hospital yang ada tidak dapat menampung jumlah mangsa yang ramai cedera. Haiti perlu berdoa. Kita semua perlu berdoa bersama-sama,” kata seorang doktor dan bekas Senator, Louis-Gerrard Gilles ketika membantu mangsa gempa.
Di sebuah runtuhan bangunan apartmen empat tingkat, seorang remaja berusia 16 tahun berdiri di atas sebuah kereta, cuba mengintai ke dalam runtuhan ketika sekumpulan lelaki menarik kaki yang tersembul untuk mengeluarkannya.
Pengaman PBB, kebanyakannya dari Brazil, cuba menyelamatkan mangsa yang masih hidup di celah runtuhan ibu pejabat setinggi lima tingkat itu, namun ketua pasukan, Alain Le Roy berkata, sehingga kini tiada sesiapa berjaya dikeluarkan.
“Beribu-ribu penduduk membanjiri jalan raya sambil menangis dan membawa mayat yang berlumuran darah, mencari sesiapa yang dapat membantu mereka,” kata pengarah bahagian perkhidmatan bencana Salvation Army di Haiti, Bob Poff.
Beberapa ribu anggota polis Haiti dan askar pasukan pengaman antarabangsa dikerahkan semalam untuk membersihkan sampah-sarap, mengawal lalu lintas dan menjaga keselamatan.
Namun kemampuan mereka terbatas di tengah kemusnahan meluas itu dan pencuri mengambil kesempatan untuk menggeledah kedai sebelum bersembunyi di kalangan mangsa yang hilang tempat tinggal dan membawa barang milik peribadi mereka.
- MINGGUAN MALAYSIA

Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.