Niaga
Personaliti
Rafidah - Muda, berani dan bervisi

Muda, berkeyakinan dan bervisi. Berjiwa politik dan petah berkata-kata. Orangnya tenang dan teratur pengucapan setiap kali pertanyaan diajukan.
Melihatkan kepetahan beliau, tentu wanita kecil molek ini seorang yang biasa berdebat, bersemuka dan berani dalam pengucapan umum. Itulah persepsi pertama penulis ketika bertemu dengan wanita bertudung ini.
Pengarah Urusan Capital Skills, Rafidah Mohd. Arifin, 31, begitu berani menceburi bidang yang memerlukan komitmen tinggi bagi melahirkan insan yang cekap dan bertanggungjawab di samping membekalkan ilmu pengetahuan, kerohanian serta peningkatan jati diri seseorang.
Lulusan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini tidak mengendahkan kata-kata orang yang menyatakan bidang latihan dan pembangunan ini tidak mempunyai masa depan, susah untuk menjadi kaya dan macam-macam lagi.
Namun, kata-kata itulah yang menaikkan semangat beliau dan dua orang rakan kongsi untuk meneruskan impian mereka. Buktinya, mereka berjaya mengekalkan prestasi syarikat ke tahun kelima.
''Saya masih ingat, seorang sifu saya pernah berkata, sekiranya berjaya ke tahun kelima sesuatu perniagaan itu, maka ada lima tahun lagi kehadapan untuk meneruskannya,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Setapak baru-baru ini.
Cabaran
Wanita yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mengakui cabaran memang memeritkan pada mula menceburi bidang ini terutama melihatkan usianya yang masih muda.
''Memandangkan usia yang muda, pada waktu itu 25 tahun, setiap kali perbentangan cadangan, ramai yang memperlekehkan kebolehan saya dan mereka tidak yakin. Bahkan ada suara-suara sumbang yang menanyakan mengenai siapa di belakang saya dan lebih menyakitkan hati ialah saya isteri kedua datuk mana.
''Jatuh bangun syarikat ini adalah daripada titik peluh saya dan rakan kongsi. Malah semua duit simpanan semasa saya bekerja di syarikat korporat habis dilaburkan demi memastikan syarikat terus bernafas,'' ujarnya dengan nada banggal.
Mempunyai seorang suami, Mohd. Najib Mohd. Nor yang sentiasa memberi sokongan telah membakar semangatnya walaupun dua tiga kali perbentangan cadangan menemui kegagalan, namun kini, beliau boleh berbangga dengan kejayaan dan keyakinan yang diberi oleh agensi kerajaan, swasta, pelajar sehingga mampu mengendalikan lebih 50 kursus.
Ditanya mengenai prinsip hidupnya, Rafidah memberitahu: "Saya tidak suka buat kerja separuh jalan. Jika ada halangan, saya akan atasinya sehingga berjaya.''
Beliau yang suka mengembara secara backpacking berpendapat, bidang yang diceburi ini bukan sahaja untuk tujuan berniaga tetapi dalam masa yang sama menyumbang kepada masyarakat iaitu memperkasakan pengetahuan serta berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar sekolah dan universiti.
''Apabila turun program kursus untuk pelajar, tidak kita sangka akan jumpa masalah sosial remaja yang agak melampau. Pada masa inilah mereka berpeluang untuk meluahkan apa yang terbuku di hati dan menjadi tanggungjawab sosial kita sebagai fasilitator memberi nasihat dan ilmu yang boleh diikuti.
''Pada tahun ini, dari Februari hingga April akan diadakan Gerak HIV untuk belia-belia di kampung dan pelajar sekolah menengah. Mereka akan diberi pendedahan bahaya pil-pil mengkhayalkan seperti seperti ecstacy, eramin 5, pil kuda.
syabu dan sebagainya,'' katanya yang sememangnya aktif dalam debat di peringkat sekolah dan negeri semasa di zaman persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil Banat, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau yang fasih berbahasa Arab dan pernah mengambil jurusan Kesusasteraan Arab sebelum menukar bidang ke Sains Politik ini mengakui darah politik masih semarak dalam jiwanya walaupun telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Puteri UMNO Tanah Merah tahun lalu.
''Saya melepaskan jawatan kerana memikirkan masa depan syarikat. Syarikat di sini, politik di Kelantan. Justeru itu, saya perlukan waktu bertenang dan menstabilkan diri.
''Cuma kini penumpuan saya hanya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Saya memegang jawatan sebagai Ketua Sekretariat Hal Ehwal Wanita,'' katanya.
Masih belum mempunyai zuriat, Rafidah begitu mengimpikan mempunyai pusat latihan yang lengkap dengan peralatan dan kemudahan aktiviti luar yang boleh menampung 200 orang.
''Saya sasarkan dalam masa sembilan hingga 10 tahun dari sekarang kerana saya mahu usia saya 40 tahun, saya telah mampu memilikinya kerana usia inilah yang selalu orang mengukur definisi kejayaan.,'' kata anak bekas polis ini diakhir perbualan.
- UTUSAN
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.