31 Januari 2010

,

UPNM tidak lagi ambil pelajar awam

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak akan meneruskan pengambilan pelajar awam mulai sesi pengajiannya pada tahun hadapan.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, langkah itu selaras dengan matlamat institusi berkenaan yang hanya mahu menghasilkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepenuhnya.

Sehubungan itu katanya, setiap pelajar yang memasuki UPNM untuk mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan, akan dilantik terus sebagai pegawai tentera.

"Pengambilan pelajar awam dibuat sejak tahun 2007 iaitu semasa UPNM ditubuhkan, namun demi memastikan institusi ini jelas dengan falsafah asalnya maka keputusan itu telah diambil," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah pegawai kadet UPNM di sini hari ini.

Jelas beliau, ia bertujuan memberi gambaran jelas kepada masyarakat bahawa tujuan UPNM ditubuhkan adalah untuk melahirkan seorang pegawai tentera yang berkaliber dan pemimpin yang memiliki intelektual tinggi pada masa hadapan.

Ketika ini pengambilan pelajar UPNM melibatkan 20 peratus pelajar awam dan mereka tidak terikat dengan perkhidmatan ATM apabila menamatkan pengajian.

Ditanya penglibatan kaum bukan Melayu dalam perkhidmatan tersebut yang dilihat agak kurang, beliau berkata, tiada had ditetapkan untuk pengambilan lain-lain kaum dalam ATM.

"UPNM masih terlalu muda, justeru sokongan serta penglibatan daripada semua pihak adalah dialu-alukan," ujarnya.

Zulkifli turut berharap agar UPNM dapat menarik minat lebih ramai penyertaan orang awam terhadap bidang kerjaya sebagai anggota tentera jika diberi penerangan serta maklumat yang tepat, tidak mustahil UPNM mampu menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pilihan utama di kalangan rakyat negara ini.

Tambahnya, bagi yang berminat boleh melayari laman web UPNM di www.upnm.edu.my atau berhubung terus dengan pihak universiti melalui talian 03-90513400.

UPNM mampu lahir pegawai tentera terbaik

Para siswazah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mampu memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai tentera yang terbaik pada masa hadapan.

Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Sultan Badlishah bertitah, ia berikutan para pegawai kadet UPNM menerima latihan ketenteraan serta ilmu keperwiraan yang mendalam di institusi tersebut.

"Berbekalkan ilmu dan kemahiran untuk bergelar pegawai tentera sudah tentu mahasiswa lepasan UPNM adalah berbeza berbanding institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian pada majlis Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah pegawai kadet UPNM di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali dan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud.

Tuanku Abdul Halim turut menggesa agar para pegawai tentera yang baru ditauliahkan memberikan khidmat bakti kepada negara dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

"Dengan minda terbuka serta ilmu yang penuh di dada, beta percaya segala cabaran dan rintangan dapat dihadapi dengan mudah dan diatasi secara bijaksana," titah baginda.

Istiadat perbarisan tersebut turut mencatat sejarah apabila seramai 61 pegawai wanita daripada 380 pegawai kadet berjaya ditauliahkan.

Kumpulan pegawai wanita tersebut adalah yang paling ramai ditauliahkan jika dibandingkan jumlah pegawai wanita pada tahun-tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 190 pegawai ditauliahkan dalam perkhidmatan Tentera Darat (TD), 151 pegawai dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan selebihnya 40 pegawai dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Anugerah Pegawai kadet Terbaik Keseluruhan diterima oleh Kapten Mohd. Faiz Mohammed yang kini ditauliahkan ke Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Johor Bahru.

Mohd. Faiz ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menerima anugerah tersebut.

"Saya amat meminati bidang ketenteraan dan berkat keazaman, kejituan usaha serta semangat tinggi mendorong saya untuk berusaha menjadi yang terbaik," katanya.

Sementara itu penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TD diterima oleh Kapten Ahmad Muadz Ahmad Shuhaili yang kini ditauliahkan ke Batalion 5 RAMD, Kluang.

Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TLDM pula diterima oleh Leftenan TLDM Muhamad Sarmizi Abdul Halim yang telah ditauliahkan ke Kapal Diraja (KD) Sultan Idris 1 di Lumut.

Anugerah Pegawai Kadet Terbaik TUDM diterima oleh Kapten TUDM, Ashraf Muhammad Radzi dan beliau telah ditauliahkan sebagai pegawai kejuruteraan di Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Kedah.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90