31 Ogos 2010

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Ogos 2010

by
# 10 Ogos 2010 - Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan

# 11 Ogos 2010 - Awal Ramadan

# 27 Ogos 2010 - Nuzul Al-Quran

# 31 Ogos 2010 - Hari Kebangsaan Malaysia

Kita Cuba Gambarkan Seakan Tiada Rahmah Antara Muslim dan Bukan Muslim

by
Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

SAYA amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya.

Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam. Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis.

Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak.

Firman Allah: (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar.

Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!

TAMBAH KELIRU

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media.

‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan.

Tetapi dalam masyarakat kita agak terbalik iaitu ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas. Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan.

Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!

MASUK MASJID

Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat.

Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Athal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w.

Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?” Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”. Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya.

Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”. Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”. Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”. Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi.

"Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Athal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam.

Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut: “Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Athal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

LUASKAN FUNGSI MASJID

Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.

Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan bukan muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam.

Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan.

Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?

Kita boleh hancur jika mainkan isu perkauman - Perdana Menteri

by

Datuk Seri Najib Razak berkata, masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan dirosakkan oleh budaya kejumudan serta sikap melampau menerusi isu perkauman dan agama.

“Segala yang kita capai, segala apa kita bina dan segala apa yang kita hargai boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada,” kata Perdana Menteri dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53 yang disambut hari ini.
Beliau juga berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi, manakala cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mengubah negara supaya menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, bagi memastikan cita-cita itu dicapai, kerajaan sudah memaku asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia itu.

Beliau berkata, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.

“Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah serta pendahulu kita sudah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.
“Hari ini, tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan,” katanya.

Menyingkap perjuangan tokoh ternama negara, Najib berkata, bapa kepemimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.

“Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, setiap anak Malaysia penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran serta kesejahteraan nasional dan sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat tempatan yang ada.

“Alangkah ruginya negara jika bakat yang kita latih dengan susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang. Fenomena globalisasi bukan saja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan, malah membabitkan pengaliran bebas modal insan,” katanya.

Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mesti mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.

“Untuk itu, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti yang terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial nasional,” katanya.

Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalaman dan luaran.

“Ingatlah bahawa Malaysia adalah tanah tumpah darah kita... di sini kita dilahirkan... di sini kita membesar... di sini kita mencari rezeki... di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan... kita akan bersemadi,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini beliau meminta warga Malaysia sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik.

“Demi masa depan anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat,” katanya.

– BERNAMA

Jahil agama punca polemik - Nik Aziz

by

Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ia antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu itu menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya kepada HarakahDaily.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama.

"Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Nik Aziz berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memaklumkan kepada Teo.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah.

- MALAYSIAKINI

Tengku Muhammad dimasyhur Pemangku Raja Terengganu

by

KUALA TERENGGANU 30 Ogos – Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan memasyhurkan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail sebagai Pemangku Raja dalam istiadat yang berlangsung di Dewan Singgahsana, Istana Maziah di sini, hari ini.

Pemasyhuran berkenaan yang berkuat kuasa Khamis lalu dilakukan selepas Tengku Muhammad Ismail, 12, mencapai umur mukalaf iaitu boleh membuat keputusan sendiri.

Majlis pemasyhuran itu diadakan ekoran Tuanku Mizan Zainal Abidin melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat pemasyhuran bermula kira-kira pukul 10 pagi selepas Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berangkat masuk ke Dewan Singgahsana dengan diiringi paluan nobat lagu Iskandar.

Ia diikuti bacaan watikah pemasyhuran Pemangku Raja oleh Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Sebelum ini, Tengku Muhammad Ismail merupakan Pemangku Raja Terengganu dengan pemerintahan kerajaan negeri di bawah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Baderulzaman.

Dengan pemasyhuran Tengku Muhammad Ismail hari ini, secara tidak langsung, Majlis Penasihat Pemangku Raja dibubarkan.

Pada istiadat itu, Tuanku Mizan turut berkenan melantik tiga ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja berikutan Tengku Muhammad Ismail akan melanjutkan pelajaran ke luar negara bermula esok.

Majlis Perwakilan itu dianggotai adinda Tuanku Mizan, Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustaffa Kamel; Tengku Sri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Ia selaras Syarat 1 Fasal 16 AC Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua) yang memperuntukkan jika Pemangku Raja tiada dalam negeri lebih daripada 30 hari atau dengan alasan lain yang diperkenankan Sultan Terengganu, hendaklah melantik Majlis Perwakilan Pemangku Raja bagi menjalankan kewajipan baginda sebagai raja dalam negeri.

Tuanku Mizan ketika bertitah, mengingatkan perlunya pemerintah dan kerajaan bekerjasama dalam memastikan agenda pembangunan negeri diteruskan dengan tersusun.

“Perpaduan antara pemimpin, kakitangan kerajaan dan rakyat penting dalam merealisasikan agenda pembangunan. Tanpa perpaduan, ia tidak mampu dilaksanakan dengan sempurna,’’ titah baginda.

Tuanku Mizan menegaskan baginda akan sentiasa memantau pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Walaupun beta jauh di Kuala Lumpur namun hati dan perasaan beta sentiasa dekat dan amat peka terhadap kemajuan negeri dan rakyat,” titah baginda.

- UTUSAN

KLIA2 siap April 2012

by

SEPANG 30 Ogos – Pembinaan Lapangan Terbang Tambang murah yang baru, KLIA2 yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM2 bilion akan siap sepenuhnya pada April 2012.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad berkata, tempoh pembinaan terpaksa dipanjangkan berikutan permulaan projek yang agak lewat.

Menurutnya, masalah itu wujud kerana proses pemilihan tender dibuat secara terbuka.

‘‘Berdasarkan semua perjanjian yang dibuat, pembinaan KLIA2 akan mengambil masa 20 bulan.

‘‘Kerja-kerja tanah bagi landasan bagaimanapun agak terlewat tetapi kumpulan projek sedang bekerja keras dengan kontraktor untuk meningkatkan kadar kerja supaya landasan itu boleh disiapkan segera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah lapangan terbang itu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setakat ini, sebanyak 40 pakej kerja-kerja pembinaan telah diserahkan kepada kontraktor dan bakinya tertakluk kepada tempoh tertentu.

Bashir berkata, tempoh pembinaan KLIA2 itu turut mengambil kira saiznya yang 60 peratus lebih besar daripada saiz asal iaitu 150,000 meter persegi kepada 242,000 meter persegi.

Saiz Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) sedia ada hanya 60,000 meter persegi bagi menampung keperluan 15 juta penumpang.

Jelasnya, saiz KLIA2 itu dibuat mengambil kira evolusi model perniagaan AirAsia yang berkembang menjadi model pusat.

Perubahan model itu bakal menyaksikan 50 peratus trafik AirAsia menjadi pemindahan trafik, sekali gus memerlukan ruang kawasan bagi kemudahan pengurusan bagasi untuk pemindahan bagasi.

Selain itu, bagi keperluan keselamatan, kerajaan turut memperuntukan keperluan balai berlepas dan ketibaan bagi penumpang antarabangsa dan domestik berasingan.

Tambahnya, KLIA2 memperuntukkan sebanyak 68 pintu bagi pengendalian 30 juta penumpang setahun berbanding standard industri 55 pintu.

Saiz KLIA2 itu juga mengambil kira peranannya sebagai pusat pelbagai pengangkutan bagi menyediakan rangkaian hubungan yang lengkap. Terminal itu turut menyediakan 6,000 kawasan meletak kereta.

Pada sidang akhbar itu, Bashir berkata, KLIA2 bukan eksklusif kepada AirAsia sahaja, sebaliknya ia terbuka kepada mana-mana syarikat tambang murah yang lain.

Bashir yakin lapangan terbang itu dapat menarik kedatangan syarikat-syarikat lain apabila ia siap nanti.

- UTUSAN

BlackBerry menakluki pasaran

by

Mula menjengah pasaran Malaysia sekitar pertengahan tahun 2007, kehadiran model-model telefon bimbit pintar BlackBerry waktu itu kurang mendapat perhatian pengguna produk telekomunikasi negara ini.

Jika ada pun, hanya golongan profesional dan peniaga yang mengaplikasikan operasi peranti selular moden itu.

Mungkin disebabkan ketika itu para pengguna masih belum bersedia untuk menerima perkhidmatan berteknologi tinggi yang ditawarkan BlackBerry selain lebih gemar memilih jenama telefon bimbit terkenal lain seperti Nokia, Sony Ericsson dan Motorola.

Di peringkat antarabangsa pula, pembangunan BlackBerry sebenarnya telah bermula sejak tahun 1999 oleh syarikat Research In Motion (RIM) yang berpangkalan di Kanada.

Tahun demi tahun, semakin banyak model BlackBerry dengan pelbagai pembaharuan aplikasi diperkenalkan.

Tahun 2002 menyaksikan BlackBerry tampil dengan keupayaan fungsi telekomunikasi lebih baik seperti sambungan Wi-Fi, pelayaran laman web, faks, Internet dan emel tolakan.

Sehingga pada awal tahun 2010, pengguna semakin menyedari potensi BlackBerry sebagai pelengkap keperluan telekomunikasi dan hiburan pengguna secara menyeluruh.

Hari ini, pelaksanaan perkhidmatan peranti mudah alih itu bukan sahaja digunakan oleh golongan profesional dan usahawan, malah operasinya turut dilaksanakan secara meluas oleh pengguna biasa terutama golongan belia.

Seakan-akan menjadi kegilaan dan ketagihan, rata-rata pengguna BlackBerry telah menjadikan peranti berkenaan sebagai teman setia dalam menjalankan aktiviti harian mereka.

Di samping itu, kegilaan terhadap peranti tersebut juga disebabkan oleh kemudahan dan aplikasi teknologi canggih yang ditawarkannya.

Secara asasnya, BlackBerry dipacu menggunakan sistem teknikal Pelayan Enterpris BlackBerry (BES) untuk membolehkan integrasi ID peranti dengan perkhidmatan emel pengguna.

Daripada segi sokongan aplikasi pula, peranti canggih berkenaan turut dilengkapi Servis Internet Blackberry (BIS).

Menerusi BIS, ia membenarkan penciptaan sehingga 10 akaun e-mel, menyokong beberapa aplikasi laman sembang seperti Google Talk, ICQ, Windows Live Messenger dan Yahoo Messenger selain Facebook, Twitter dan Myspace menggunakan platform mobiliti khas.

Tidak cukup dengan itu, pengguna BlackBerry di seluruh dunia juga berpeluang bersembang secara maya melalui perisian yang dikenali sebagai BlackBerry Messenger (BBM)

Untuk menggunakan BBM, setiap BlackBerry perlu dihubungkan menerusi platform nombor pengenalan atau PIN unik atau imbasan pada bar kod.

Bukan setakat bersembang menggunakan medium teks, BBM turut membenarkan pengguna menjalankan aplikasi menghantar gambar, fail multimedia, mesej bersuara, sembang berkumpulan, mengemaskini status dan paparan gambar profil.

Apa yang menarik, kesemua khidmat itu percuma tanpa melibatkan bayaran seperti sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sistem khidmat pesanan multimedia (MMS)

Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 20 produk BlackBerry dengan tawaran fungsi moden dan rekaan eksklusif serta menarik.

Bagi anda yang belum memilikinya, kedatangan Syawal tidak lama lagi merupakan peluang terbaik untuk mencuba peranti komunikasi luar biasa ini.

BlackBerry Bold 9700

BERMULA dengan Bold 9000 yang diperkenalkan pada tahun 2008, model tersebut terus mengalami evolusi melalui penampilan terkini Bold 9700 awal tahun ini.

Generasi kedua peranti berjenama Bold ini mengalami perkembangan yang ketara dari segi pembangunan fungsi dan spesifikasi multimedia sesuai untuk aplikasi peribadi mahu pun profesional.

Bold 9700 dibangunkan bersama papan kekunci QWERTY serta trek pad sensitif untuk kawalan operasi yang lebih intuitif dan responsif.

Dari segi simpanan data pula, model berkenaan dilengkapi memori binaan dalam 256 megabit (MB) serta menyokong kad memori microSD atau SDHC sehingga 32 gigabit (GB).

Ia turut dilengkapi dengan kamera 3.2 megapiksel bersama fungsi flash, pemfokusan auto serta rakaman video dan paparan skrin definisi tinggi 2.44 inci.

Fungsi lain yang ditawarkan adalah seperti akses Wi-Fi binaan dalam, pelayaran web, sistem penentu kedudukan global (GPS), pembesar suara berkualiti dan sambungan Bluetooth.

BlackBerry Javalin

TURUT dikenali sebagai Curve 8900, BlackBerry Javalin ini di pacu menggunakan pemproses 512 MHz dengan memori binaan dalam 256 megabit (MB).

Dari sudut multimedia, ia dilengkapi skrin HGVA, kamera 3.2 megapiksel dengan pemfokusan auto, sambungan USB dan Bluetooth serta sokongan kad memori microSD.

Tidak ketinggalan, ia turut disempurnakan bersama fungsi sistem penentu kedudukan global (GPS).

Untuk memudahkan capaian kepada sambungan Internet, peranti selular ini dilengkapi sambungan aplikasi Wi-Fi.

Walau bagaimanapun, BlackBerry Javalin ini tidak dilengkapi dengan capaian rangkaian 3G.

BlackBerry Curve 8520

SEBENARNYA terdapat beberapa model yang dikeluarkan di bawah jenama Curve tetapi Curve 8520 merupakan antara yang popular.

Ia dibangunkan dengan reka bentuk yang sesuai untuk keselesaan genggaman tangan selain mempunyai papan kekunci QWERTY mudah dan skrin paparan bergaya dengan 65,000 warna.

Antara spesifikasi yang ditampilkan pada model ini adalah seperti kamera dua megapiksel, capaian rangkaian EDGE dan memori binaan dalam 256 megabit (MB).

Berbeza daripada model-model BlackBerry yang lain, Curve 8520 mempunyai fungsi unik butang media pada bahagian atas untuk akses mudah permainan muzik dan multimedia.

Lebih menarik, kawalan operasinya boleh dijalankan dengan mudah melalui navigasi menggunakan trek pad.

Menerusinya juga, pengguna boleh memuat naik foto atau video secara terus kepada laman web sosial atau laman sembang serta boleh diintegrasi bersama perisian desktop Apple Mac.

BlackBerry Storm 2

MERUPAKAN generasi kedua bagi BlackBerry Storm, spesifikasi model tersebut telah mengalami banyak peningkatan.

Antaranya, pengenalan skrin sesentuh berteknologi moden untuk kemudahan kawalan operasi hiburan dan telekomunikasi di mana-mana sahaja.

Turut diperkenalkan, teknologi SurePress iaitu sistem skrin sesentuh elektronik yang bakal menjadikan aktiviti menaip menggunakan papan kekunci maya lebih mudah, selesa dan tepat.

Storm 2 yang disempurnakan bersama sistem operasi OS 5.0 dibangunkan dengan reka bentuk premium, lensa berkaca, plat belakang keluli tahan karat dan paparan skrin luas bersaiz 3.25 inci.

Keunikan lainnya ditampilkan pada kamera 3.2 megapiksel, memori 256 megabit (MB) binaan dalam, sokongan kad memori microSD atau SDHC sehingga 32 gigabit (GB) dan sambungan rangkaian UMTS/HSPA/EDGE/GPRS, GSM serta Wi-Fi.

Dari segi perisian pula, telefon bimbit pintar ini dilengkapi dengan integrasi Desktop Manager, Media Sync, BlackBerry Services serta sokongan Pelayan Enterpris BlackBerry (BES).

Untuk operasi multimedia, Storm 2 dilengkapi set kepala 3.5 milimeter (mm), permainan media seperti video dan muzik serta sambungan multimedia.

- UTUSAN

Gadis Melayu 3 tiada penyingkiran

by

Rancangan realiti TV Gadis Melayu yang berteraskan nilai-nilai tradisional sebagai lambang tamadun dan warisan bangsa Melayu kini kembali lagi di TV9 untuk musim ketiga.

Masih berdiri kukuh dengan idea asal program dua musim sebelum ini, Gadis Melayu musim ketiga itu bagaimanapun diberi suntikan elemen tradisional dan kontemporari serta kandungan yang lebih menarik, informatif dan penuh kejutan.

Itu yang akan menjadi landasan buat para peserta musim baru ini berpegang, sekali gus bertarung merebut posisi juara. Lebih menarik, pertarungan musim ini tidak akan menyaksikan penyingkiran kerana pihak produksi berpendapat setiap peserta yang terbabit mempunyai hak untuk diadili sehingga akhir program tersebut.

“Kelainan yang ditampilkan dalam musim ketiga ini ialah tidak akan ada penyingkiran sehingga episod akhir. Ini kerana kami berpendapat, semua peserta yang bertanding mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Jadi jika ada yang tersingkir seawal minggu pertama, ia seperti tidak memberi peluang atau hak untuk mereka menonjolkan apa yang ada dalam diri mereka,” jelas Penerbit Eksekutif Gadis Melayu 3, Wan Sabariah Shikh Ali, sewaktu sidang media memperkenalkan barisan peserta program tersebut.

Telah memulakan episod sulungnya pada Jumaat minggu lalu pukul 9 malam, Gadis Melayu 3 juga hanya akan dibarisi oleh sembilan gadis sahaja, berbanding 12 peserta pada musim terdahulu.

Menjalankan uji bakat terhadap gadis berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun di Kota Bharu (Kelantan), Johor Bahru (Johor), Sungai Petani (Kedah), Shah Alam (Selangor) dan Sri Pentas, kata Wan Sabariah lagi, para peserta perlu bersedia untuk meniti proses pembelajaran dan pendedahan aspek-aspek fizikal dan kerohanian yang membentuk nilai kemelayuan pada diri calon ikon Gadis Melayu.

Munurutnya, sepanjang uji bakat dijalankan pelbagai kerenah dapat dilihat apabila peserta diberi tugasan seperti mengukur kelapa, menyediakan sambal belacan dan menata rias busana Melayu pada patung.

“Apa yang cuba diketengahkan dalam rancangan ini adalah warisan bangsa Melayu tidak harus dibiarkan terhakis begitu sahaja walaupun kita hidup di persekitaran moden dalam gelombang globalisasi.

“Untuk meraih gelaran Ikon Gadis Melayu musim ketiga, peserta bukan sahaja harus menitikberatkan tentang keanggunan dan imej gaya diri, malah pengetahuan dan kemahirannya dalam pelbagai aspek juga harus diasah dan digilap,”ujarnya yang pertama kali menerajui program realiti ini mengganti posisi asal penerbit Shukri Ibrahim.

Sembilan peserta tersebut terdiri daripada, Afiqah Hazwani Md. Nordin, 18 (Johor), Nur Diana Zainuddin, 19, (Pulau Pinang), Nor Shamimi Ernida Mansor, 20, (Kedah), Norhidayah Samsudin, 21, (Johor).

Antara yang lain seperti, Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21, (Selangor), Siti Mastura Mohamad Saleh, 24, (Pahang), Fatheen Nabila Ghazali, 24, (Johor), Norazrina Mohd Salleh, 25, (Selangor) dan Siti Amira Mustakhim, 25, (Kedah).

Gadis Melayu 3 bakal dikendalikan oleh pelakon, Ashraf Muslim, sementara bagi proses pemarkahan pula akan dinilai oleh juri sepenuhnya dan diterajui oleh Ezzah Aziz Fawzy selaku juri tetap.

- KOSMO!

Zam - Menulis itu perjuangan

by

Bermula sebagai seorang pemberita sambilan (stringer) untuk Utusan Melayu di Alor Setar, Kedah pada tahun 1959, seorang lelaki yang penuh naluri ingin tahu kini ‘terperangkap’ dalam minat yang tiada penghujungnya-menulis.

Tan Sri Zainuddin Maidin, 71, mengakui bahawa institusi persuratkhabaran telah mencetuskan banyak peluang hebat dalam hidup beliau.

Beliau malah menyifatkan Utuan Melayu sebagai ‘universiti’nya berikutan banyak selok-belok dunia kewartawanan diperolehinya sepanjang tempoh bertugas.

Sejurus diserap masuk sebagai pemberita tetap Utusan Melayu pada tahun 1961, jerih payah beliau mengejar laporan berita selama 20 tahun melayakkan beliau mendaki tangga-tangga jawatan penting dalam syarikat media itu.

Dalam 10 tahun terakhirnya berkhidmat di Utusan dan sebelum bergiat aktif dalam kancah politik, bekas penuntut Maktab Mahmud, Alor Setar itu matang memainkan peranan sebagai pihak yang meniup azam kecintaan kepada negara melalui penulisan.

Apabila pengalaman itu beransur-ansur menjadi darah daging, ternyata langkah bertatih Zainuddin sudah menjadi larian pantas dalam menyampaikan mesej patriotisme.

Dari jawatan ketua pemberita hinggalah ke kerusi Ketua Pengarang dan akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad, beliau yang mesra dengan panggilan Zam amat bersyukur kerana dapat menjalankan tugas bersama kumpulan wartawan yang begitu komited terhadap fitrah kerjaya tersebut.

“Ketika itu, teman-teman kerja yang berlainan bangsa amat seronok menjadi wartawan. Ia satu tugas yang mulia dan bertanggungjawab. Semua bekerja sepenuh jiwa, tanpa mengira kekurangan kemudahan komunikasi pada waktu itu,” ujar beliau yang pernah menjadi koresponden Utusan di London pada tahun 1972 hingga 1975.

Zainuddin amat berterima kasih pada barisan ketua pemberita yang pernah menjadi mentornya. Antara yang disebutkan ialah Tan Sri Melan Abdullah, Othman Wok (pernah menyandang jawatan menteri kabinet Singapura), Tan Sri Mazlan Nordin dan Rosedin Yaakob.

“Melan orangnya patriotik, Othman gigih bekerja dan sentiasa mengetahui perkembangan semasa manakala Rosedin sangat prihatin. Mazlan pula saya anggap seperti mahaguru saya,” imbas beliau.

Menulis sejarah

“Wartawan adalah saksi bagi setiap peristiwa. Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang besar dan boleh dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan, maka wartawan perlu merekodkannya dengan betul. Kesilapan laporan perlu dielakkan kerana wartawan ialah sumber yang boleh dipercayai.

”Sebab itulah saya berharap agar golongan wartawan pada hari ini tidak mensia-siakan kepentingan buku nota dan amalan mencatatkan tarikh, waktu dan urutan peristiwa dengan tepat,” pesan Zainuddin yang turut menyentuh mengenai pemilihan gambar sesuai bagi menjelaskan duduk perkara atau sesuatu kejadian.

Amalan itulah yang antara lain menjadi pegangan Zainuddin ketika beliau menyempurnakan buku berjudul Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot terbitan Utusan Publications and Distributors. Perjalanan hidup dan kisah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, didokumentasi melalui kesaksian Zainuddin dalam banyak peristiwa mengaitkan figura politik itu.

Anak Kota Kuala Muda, Kedah itu telah bersama-sama Abdul Razak ke segala ceruk bandar dan desa ketika kempen pembangunan luar bandar rancak dijalankan pada tahun 1960-an dan awal 1970-an. Begitu juga ketika negara dilanda bimbang dan cemas gara-gara sentimen Konfrontasi Indonesia, rusuhan kaum di Singapura serta tragedi berdarah 13 Mei 1969.

“Orang tidak boleh mempertikaikan kandungan buku itu kerana saya banyak kali berpeluang berada bersama Tun Razak,” ulas Zainuddin yang menyifatkan naskhah tersebut sebagai buku yang memberi kepuasan buatnya.

Malah, ketika Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada tahun 1976, Zainuddin jugalah yang melaporkan untuk akhbar Utusan Melayu lantaran ketika itu beliau bertugas sebagai wakil di kota popular Eropah itu.

Karya kompilasi

Daripada melapor berita, seseorang wartawan sebenarnya mengumpulkan lembaran sejarah. Begitulah antara maksud kepuasan menulis bagi Zainuddin.

Beliau yang meletakkan namanya dalam kutubkhanah negara melalui penerbitan buku sulung Yang Pertama dan Terakhir, kemudian Yang Terbaik Daripada Awang Selamat: Koleksi Pilihan 1987-1992, Mahathir Di Sebalik Tabir hinggalah kepada Wira Tak Didendang, percaya bahawa sejarah perlu ditulis oleh mereka yang menyaksikan sejarah itu sendiri.

“Bukan saya meragui segolongan sejarawan yang menulis semula sesuatu kejadian. Tetapi saya berpendapat, jika seorang wartawan sendiri yang melalui peristiwa dan menulis buku tentang sejarah, maka perincian maklumat tidak akan tercicir. Mereka ialah sebahagian daripada proses penemuan maklumat tersebut,” jelas Zainuddin.

Beliau memberi contoh buku berjudul Men In White, iaitu kisah jatuh bangun para pemimpin parti pemerintah Singapura. Buku itu mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan oleh tiga wartawan kanan akhbar Straits Times, iaitu Sonny Yap, Leong Weng Kam dan Richard Lim.

Coretan Awang Selamat yang menjadi identiti Zainuddin antara tahun 1987 dan 1992 mungkin tiada kemunculan buat kali kedua di dada akhbar. Namun, mereka yang setia pada coretan Zainuddin, tentu maklum akan kolum Hari Itu Sudah Berlalu yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia setiap Ahad.

“Saya menerima panggilan telefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang meminta agar kolum saya itu dibukukan. Permintaan itu juga datang daripada generasi muda, termasuklah para wartawan,” terang mantan Menteri Penerangan itu.

Jika isu masyarakat dan perkembangan negara menjadi fokus Awang Selamat, kompilasi terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) dengan judul Masa Itu Telah Berlalu pula menumpukan pada penceritaan mengenai susah payah dunia kewartawanan sejak Utusan Melayu bermula di Singapura.

“Ia adalah penceritaan semula kisah penubuhan Utusan Melayu. Pembaca didedahkan pada kisah di sebalik laporan atau berita yang dibaca dalam akhbar,” jelas Zainudin yang memperuntukkan dua jam sehari sejak beberapa bulan lalu untuk menghimpunkan material termasuk gambar-gambar lama.

Beliau berharap agar setiap episod penulisan tersebut dapat dijadikan rujukan oleh para ahli akademik dan seterusnya membantu mereka membuat kajian mendalam terhadap isu-isu berkaitan.

“Semua bentuk penulisan saya adalah perjuangan untuk membentuk pemikiran di sebalik setiap kejadian yang besar,” kata beliau berfalsafah.

Bagi orang yang berjiwa penulis seperti Zainuddin, ternyata itulah satu-satunya kemahiran yang akan diteruskan tanpa dikekang usia, jawatan dan batas kesempatan.

Akhbar tidak relevan?

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa surat khabar tidak lagi relevan pada masa akan datang. Perkara itu, menurut beliau, sama seperti andaian yang mengatakan kereta api hilang fungsi kerana wujudnya pilihan mod pengangkutan yang lebih mudah dan pantas.

“Ataupun, pendapat tersebut sama seperti orang yang pernah menyatakan bahawa panggung wayang akan ‘tutup kedai’ apabila munculnya televisyen. Apa yang dilihat kini, baik perkhidmatan kereta api mahupun panggung wayang, kedua-duanya masih wujud dan terus memberi perkhidmatan kerana transformasi yang dilakukan,” kata Zainuddin.

Zainuddin percaya, akhbar masih dicari oleh pembaca kerana ia mempunyai daya kebolehpercayaan yang tinggi. Jelas beliau, berbanding sumber Internet, kandungan akhbar bukan datang sembarangan daripada suara umum yang tidak bernama.

“Penulis akhbar atau wartawan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan maklumat dari sumber hinggalah kepada ia disiarkan.

“Akhbar akan terus relevan. Kandungannnya perlu sering melalui proses perubahan.

- KOSMO!

Imej terbaru kapal Titanic dirakam

by

ST. JOHN'S, Kanada - Ribuan imej terbaru bangkai kapal pesiaran mewah terkenal Titanic yang karam di Lautan Atlantik dekat sini 98 tahun lalu telah dirakamkan dengan menggunakan robot di dasar Lautan Atlantik.

Satu kumpulan saintis dalam satu kenyataan kelmarin berkata, robot itu merakamkan imej bangkai kapal tersebut kira-kira empat kilometer dari permukaan laut.

Ekspedisi yang bermula awal bulan itu menunjukkan belakang kapal itu termasuk tali sauh selepas ia tenggelam akibat berlanggar dengan bongkah air batu gergasi pada 1912 sehingga mengorbankan lebih 1,500 orang.

Pasukan itu turut merakamkan ribuan artifak dalam bangkai kapal berkenaan.

- AP

Mahu tarik perhatian ramai - Namewee

by
Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee berkata, dia menggunakan kata-kata kesat dan lucah dalam pembikinan klip video kontroversinya untuk menarik perhatian ramai.

Menurut pemuda yang berusia 27 tahun dan berasal dari daerah ini itu, klip video yang berjudul, Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!!, dibuat sedemikian bagi mengajak orang ramai supaya tidak rasis.

Dia yang pernah mencetuskan kontroversi kerana klip videonya berjudul 'Negarakuku' yang menghina pelbagai institusi di negara ini sebelum ini berkata, klip video itu adalah saluran untuknya menyampaikan rasa antiperkauman.

"Lagu ini antirasis, kata-kata itu akan tarik perhatian, ia bukan publisiti, saya orang Malaysia, saya antirasis...1Malaysia!'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Namewee berkata, dia bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak polis ekoran penerbitan klip videonya yang dikatakan boleh menyemarakkan api perkauman.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihak polis akan membuka kertas siasatan terhadap Namewee mengikut Akta Hasutan 1948 dan tidak teragak-agak bertindak ke atas mana-mana individu yang didapati sengaja mencetuskan isu perkauman dan ketenteraman awam.

Isu Namewee mendapat liputan umum selepas Puteri UMNO mendesak kerajaan bertindak tegas terhadapnya kerana mengulangi perbuatan biadab dengan menerbitkan klip video yang menyentuh mengenai seorang pengetua yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman.

Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.

Namewee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Selain itu Namewee yang turut mempersendakan ibadat puasa dalam klip video di laman web Youtube, berulang kali menunjuk isyarat lucah serta mencarut.

Namewee memberitahu, selain menyentuh isu pengetua di Kulaijaya, dia mahu orang ramai membuka mata mengenai realiti kehidupan di negara ini serta pelbagai isu perkauman yang berkait rapat.

"Saya sudah beri penjelasan terhadap semua isu ini dalam laman Facebook saya," katanya yang juga mempunyai laman blog iaitu http://namewee.blogspot.com/.

Dalam entri bertarikh 28 Ogos pada blog itu, Namewee antaranya menyebut video klip tersebut dibuat bagi mempertahankan perlembagaan sebenar dan mengutuk sesiapa yang tidak menghormati usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membina negara 1Malaysia.

Kenyataannya dalam laman blog itu juga menyebut klip video berkenaan sudah ditarik balik kerana dia telah pun mencapai matlamat menyampaikan rasa antiperkauman.

Sementara itu, bapa Namewee, Wee Ann Chee, 50, ketika dihubungi berkata, dia memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu memberi sebarang komen mengenai kontroversi anaknya kali ini.

"Tiada apa hendak komen, dalam konsep 1Malaysia tiada apa yang beza, semua 1Malaysia,'' katanya.

- UTUSAN

Spiderman ditangkap panjat bangunan di Sydney

by

SYDNEY - Pemanjat sensasi, Alain Robert yang terkenal dengan panggilan Spiderman Perancis ditahan polis Australia selepas dia memanjat sebuah bangunan pencakar langit setinggi 57 tingkat, Lumiere di tengah Sydney semalam.

Dia berjaya sampai di puncak bangunan pada ketinggian 151 meter itu di Bathurst Street pada waktu pagi tanpa peralatan keselamatan dan mendapat sorakan kira-kira 100 orang yang melihatnya.

Warga Perancis berusia 48 tahun itu mengambil masa 20 minit untuk menawan bangunan tersebut sebelum ditahan polis dan dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat ini kerana memanjat bangunan dalam keadaan bahaya.

Robert pernah ditahan pihak berkuasa di beberapa buah negara kerana memanjat bangunan pencakar langit termasuk Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter di Kuala Lumpur pada 2 September 2009 dan didenda RM2,000.

Di Australia, dia pernah ditahan pada 2 Jun 2009 lalu setelah memanjat bangunan Royal Bank of Scotland setinggi 41 tingkat di sini dan dikenakan hukuman denda AS$750 (RM2,357).

- Reuters

Usah campur aduk ta'zhim, penyembahan

by
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kita masih meneruskan kembara ilmu menelusuri dan mengutip mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) karya agung tokoh besar ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah zaman ini, al-Allamah al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki.

Mereka yang mengetahui kelebihan karya ini sangat menghargainya kerana sumbangannya dalam memperbetul dan mentajdid semula fahaman-fahaman terhadap isu-isu yang boleh menjerumuskan umat dalam kancah persengketaan sesama sendiri.

Menjauhi permusuhan dan perpecahan sesama Islam adalah ibadah dan kewajipan yang utama. Ia harus direbut oleh setiap umat Islam tanpa mengira bulan, zaman atau tempat.

Dalam siri kali ini, sesudah menyentuh beberapa premis asas yang menjadi sebab salah-faham dalam memahami bahasa wahyu, pengarang terjun langsung menangani salah satu isu utama yang boleh menjadi punca pertikaian iaitu beza antara perbuatan ta'zhim (mengagungkan) dan menyembah.

Ramai salah faham tentang hakikat ta'zhim (mengagungkan atau membesarkan) dan hakikat ibadah (penyembahan). Mereka dengan jelas telah mencampuradukkan antara kedua-duanya dan menganggap apa jua bentuk ta'zhim adalah suatu penyembahan kepada yang diagungkan.

Justeru, perbuatan berdiri bagi menghormati orang yang mulia, mencium tangan, membesarkan baginda SAW dengan menyematkan gelaran Sayyid dan Mawlana, berdiri di hadapan Nabi SAW ketika menziarahinya dengan adab-adab yang baik, penuh hormat dan merendah diri semuanya ini dianggap ghuluw (berlebih-lebihan dan melampau) di sisi mereka, hingga kononnya membawa kepada penyembahan kepada selain Allah SWT.

Hakikatnya, anggapan seperti itu adalah suatu kejahilan dan kesilapan. Bahkan Allah dan Rasul-Nya tidak reda terhadapnya dan ia tidak sejalan dengan roh syariat Islam.

Kita sedia maklum, Nabi Adam a.s adalah insan dan hamba Allah yang soleh yang pertama daripada jenis manusia. Allah SWT memerintahkan para malaikat sujud kepadanya sebagai memulia dan membesarkan ilmunya. Ia sebagai pemberitahuan kepada mereka, bahawa Allah telah memilih Adam a.s menjadi nabi daripada sekelian makhluk-Nya.

Firman Allah SWT: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu semua kepada Adam", maka mereka sujud melainkan iblis. Ia berkata, "Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah yang diadun?" Ia berkata lagi: "Khabarlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan lebih daripadaku?" (al-Israk: 61-62)

Para malaikat patuh sujud mengagungkan insan yang diagungkan oleh Allah SWT, sementara iblis takbur dan enggan sujud kepada makhluk yang diciptakan daripada tanah.

Iblislah makhluk pertama yang mengqiaskan agama dengan pendapatnya, ketika ia berkata: "Aku lebih baik daripadanya".

Alasan iblis, dia diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam dicipta daripada tanah.

Akibatnya, iblis diusir dan dihalau jauh daripada rahmat Allah SWT kerana sikap sombong dan takburnya terhadap hamba yang soleh.

Pada hakikatnya, sikap takbur itu merupakan kesombongan terhadap Allah kerana sujud yang diarahkan itu sebenarnya kepada Allah, sebagai mengikut perintah-Nya.

Contoh lain berkaitan Nabi Yusuf a.s, Allah SWT berfirman: Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu, mereka (saudara-saudara Yusuf) sekeliannya sujud memberi hormat kepada Yusuf. (Yusuf: 100)

Sujud hormat ini adalah suatu penghormatan, penghargaan, kemuliaan dan ta'zhim terhadap Nabi Yusuf a.s. Kemungkinan ia diharuskan dalam syariat mereka. Atau pun, boleh jadi sujud mereka itu seperti sujud para malaikat kepada Nabi Adam a.s sebagai penghormatan dan pengagungan, serta pelaksanaan terhadap perintah Allah SWT.

Sujud lazimnya dikaitkan dengan penyembahan, tetapi seperti yang kita lihat dalam contoh-contoh ini, al-Quran menegaskan perbuatan sujud sekalipun tidak semestinya bererti menyembah dan sebaliknya boleh berbentuk memuliakan dan mengagungkan.

Mesejnya di sini adalah mengagungkan tidak semestinya menyembah, kalaupun sujud sesama makhluk dilarang dalam syariat Nabi Muhammad SAW.

- UTUSAN

Allah rahsiakan Lailatul Qadar

by
Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

RAMADAN yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.

Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr.

Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman.

Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima. (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia.

Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya.

Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah.

Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita

- UTUSAN

Mad Men ungguli Anugerah Emmy ke-62

by
LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Siri televisyen Mad Men memenangi siri drama terbaik pada Anugerah Emmy ke-62 kelmarin manakala Modern Family dipilih menjadi rancangan komedi terbaik.

Siri Mad Men yang menceritakan tentang kisah sebuah agensi pengiklanan pada tahun 1960-an, memenangi anugerah berkenaan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Menyingkap kisah lucu tiga keluarga di AS, Modern Family mengetepikan juara tahun lalu, 30 Rock untuk dinobatkan sebagai siri komedi terbaik.

Filem televisyen, Temple Grandin yang menyorot ketabahan seorang pesakit autism wanita, turut cemerlang apabila membolot tiga anugerah pada malam itu.

Bintang Temple Grandin, Claire Danes dinamakan aktres terbaik untuk siri mini dengan rakannya, Julia Ormond memenangi kategori pelakon pembantu wanita terbaik manakala seorang lagi pelakon filem itu, David Strathairn meraih anugerah pelakon lelaki terbaik.

Bintang-bintang Hollywood membanjiri Teater Kodak di sini kelmarin bagi menjayakan acara gilang gemilang yang memberi pengiktirafan kepada para penggiat dalam industri televisyen di negara itu

Drama komedi muzikal Glee yang julung kalinya dicalonkan untuk Emmy dengan 19 pencalonan hampa apabila cuma memenangi dua anugerah.

Turut menang pada malam itu termasuk filem epik Perang Dunia Kedua, The Pacific sebagai siri mini unggul dengan mengalahkan 101 pencalonan lain pada tahun ini.

Filem tersebut diterbitkan oleh aktor veteran, Tom Hanks dan menampilkan Steven Spielberg sebagai pengarah.

- AFP

Demonstrasi Buruk Boleh Jejas Hubungan Malaysia-Indonesia

by
Demonstrasi buruk baru-baru ini depan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) nampaknya telah merubah senario diplomasi hubungan dua hala Indonesia-Malaysia.

Pelemparan najis manusia di perkarangan kedutaan itu dan pengotoran bendera Malaysia sebagai membantah penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, pada 13 Ogos itu nampaknya telah menjejas hubungan itu.

Kuala Lumpur berpendirian pegawai penguatkuasa berkenaan telah menceroboh perairan Malaysia dan menculik nelayan-nelayan Malaysia pada tarikh berkenaan.

Manakala Jakarta pula mendakwa bahawa nelayan Malaysia menceroboh dan mencuri ikan di perairannya.

Sementara suasana baru mula memanas di Malaysia, situasi di Indonesia sudah meningkat ke tahap mendesak diputuskan hubungan diplomatiknya dengan Malaysia.

Pensyarah Kanan bidang Hubungan Antarabangsa Universiti Indonesia Andi Widjojanto dan peneliti Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) Ikrar Nusa Bhakti misalnya sudah mencadangkan agar Indonesia menurunkan tahap hubungan dengan Malaysia, jika tidak memutuskan terus hubungan itu, sebagai langkah terapi kejutan terhadap Malaysia.

Namun Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), yang sering dipersalahkan masyarakat kerana tidak tegas menangani persoalan ini berkata jalan terbaik menyelesaikannya ialah melalui perundingan namun Indonesia tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan wilayahnya.

SBY telah mengirim surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, menyatakan harapan agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan rundingan mengenai masalah perbatasan diteruskan.

Aktivis masyarakat yang tidak suka melihat hubungan baik Malaysia-Indonesia cepat menggunakan peluang daripada insiden ini untuk mencetuskan semangat nasionalisme dan menyalahkan SBY, yang didakwa terlalu mengalah dalam perundingan dengan Malaysia.

Ahli-ahli politik termasuk menteri kabinet Indonesia cepat menyalahkan Malaysia kerana insiden Riau itu, yang diburukkan lagi dengan laporan media yang menggambarkan Malaysia sebagai angkuh.

Tekanan yang terus meningkat telah memaksa Menteri Luar Dr Marty Natalegawa untuk mengirim nota diplomatik kepada Malaysia bagi membantah tindakan Polis Marin Malaysia itu, dengan menyatakan bahawa insiden itu berlaku di perairan Indonesia.

Indonesia mendasarkan keputusan itu pada peta tahun 2009 berbanding Malaysia yang menggunakan peta 1979. Malaysia menjawab dengan menegaskan kejadian itu berlaku di luar pantai Johor.Kawasan ini berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Dalam pada itu, media Indonesia terus memainkan isu seperti layanan buruk terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia dan isu ratusan warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Malaysia kerana kesalahan dadah dan jenayah berat, untuk menambah rasa benci rakyat Indonesia terhadap Malaysia.

Undian pendapat oleh harian Republika pada 23 Ogos menunjukkan 3,607 responden atau 72.91 peratus daripada responden mengatakan Malaysia negara paling kurang mesra dengan Indonesia, di kalangan tujuh negara lain termasuk Australia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Malaysia sendiri berdepan dengan pelbagai masalah di Indonesia termasuk tanah kediaman Duta Besar Malaysia di Kemang, Jakarta Selatan dirampas oleh pihak tententu.

Ia mengambil masa 12 tahun untuk mahkamah mengembalikan tanah itu sedangkan ini adalah tanggungjawab Jakarta untuk melindungi kepentingan perwakilan asing.

Tanah ladang kelapa sawit milik Sime Darby berjumlah 48,000 hektar, yang sebahagian besarnya di Kalimantan kini terancam akan dilelong manakala Petronas yang diminta melabur di Indonesia dengan janji dapat menjual bahan bakar bersubsidi tidak diberikan hak itu kecuali di Sumatera dengan jumlah yang amat kecil.

Pertemuan Anifah dan Dr Marty yang dijadualkan pada 6 Sept di Kota Kinabalu bagi membincangkan soal sempadan bersama merupakan perkembangan positif.

Oleh kerana pertikaian sempadan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat, insiden seperti ini berkemungkinan berulang.

Kita harap segala mekanisme sudah tersedia dan hubungan bilateral ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya nanti.

- BERNAMA

Bank CIMB di Makassar diserbu penunjuk perasaan

by

MAKASSAR - Sekumpulan anggota kumpulan penunjuk perasaan yang dikenali sebagai Laskar Merah Putih memasuki cawangan bank CIMB Niaga yang sebahagiannya milik syarikat dari Malaysia di bandar Makassar, Sulawesi Selatan semalam dan mengarahkan semua kakitangannya supaya berhenti berkerja, lapor sebuah akhbar semalam

Kumpulan penunjuk perasaan itu tiba dengan menaiki berpuluh-puluh buah motosikal dan sebuah kereta di cawangan bank berkenaan di Jalan Ahmad Yani di sini semalam.

Beberapa anggota polis dan pengawal keselamatan bank berkenaan cuba menghalang penunjuk-penunjuk perasaan itu daripada memasuki premis tersebut tetapi gagal kerana bilangan mereka yang jauh lebih ramai.

Kumpulan Laskar Merah Putih kemudian memaksa kakitangan CIMB niaga supaya berhenti bekerja dan meninggalkan pejabat mereka.

Mereka turut diarahkan supaya mengisytiharkan kecintaan mereka kepada Indonesia.

Pengarah bank berkenaan untuk rantau Indonesia Timur, Rahmat Haris yang mewakili para pekerja, seterusnya menuruti kehendak kumpulan tersebut.

Dia membaca ikrar berkenaan sambil diperhatikan oleh kakitangan bank itu di sebuah tempat letak kereta di sini.

Tiada kecederaan berlaku dalam insiden tersebut tetapi tindakan kumpulan Laskar Merah Putih menjejaskan aktiviti bank itu.

Selepas melakukan tunjuk perasaan di CIMB Niaga, kumpulan penunjuk perasaan itu bergerak ke sebuah cawangan Bank International Indonesia di Jalan Kajaolalido dan mengulangi perbuatan mereka..

Kumpulan penunjuk perasaan itu kemudian meneruskan perhimpunan di depan bangunan Konsulat Malaysia.

Perbuatan biadab kumpulan itu menyusul selepas hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia agak tegang sejak beberapa minggu lalu berikutan laporan berhubung pertikaian sempadan dan demonstrasi oleh media Indonesia.

Sebelum ini Kedutaan Malaysia di Jakarta turut dilontar najis oleh sekumpulan penunjuk perasaan Indonesia.

- Agensi

30 Ogos 2010

Teknik cahaya terap mesej kemerdekaan ke-53

by

Sambutan kemerdekaan kali ini agak unik berbanding sebelumnya kerana pertama kali diadakan di dalam stadium dengan menggunakan teknik pencahayaan dan imbasan lantai bagi menyampaikan mesej 1Malaysia kepada penonton.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pelbagai persembahan akan dipersembahkan kira-kira 9,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, kakitangan swasta dan pasukan beruniform.
Kira-kira 15,000 orang dijangka membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil pada Selasa ini bagi memeriahkan sambutan itu yang berteraskan gagasan 1Malaysia.

“Komponen seperti Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan transformasi kerajaan juga akan diselitkan dalam persembahan kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 di stadium itu, semalam.

Beliau berkata, sambutan dalam stadium lebih mudah dan terkawal berbanding di luar memandangkan ia jatuh pada Ramadan.

“Mesej 1Malaysia melalui seni pencahayaan juga dapat ditonjolkan dengan jelas, malah masa persembahan juga lebih panjang dengan pengisian lebih tepat,” katanya.
Rais berkata, sepanjang pengalamannya lima tahun mempengerusikan jawatankuasa penganjur, persembahan kali ini kreatif kerana banyak menggunakan elemen penataan cahaya, bunyi dan penggunaan laser untuk memperjelaskan semua mesej yang terkandung dalam semua lapan segmen yang ditampilkan.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan kapasiti stadium agak terhad, satu skrin gergasi akan dipasang di luar stadium bagi mereka yang tidak dapat memasuki stadium.

Rais turut menggesa rakyat untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang selepas sambutan kemerdekaan bagi menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini yang akan disambut di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, semua pemimpin parti politik turut dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Hari Kemerdekaan.

Antara yang dijemput ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut dijemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

- BERITA HARIAN

Malaysia Menduduki Ranking Ke-13 Dalam Kajian Gobal

by
Malaysia menduduki ranking ke-13 dalam kajian global bagi mengukur kebebasan pengembaraan yang dinikmati oleh penduduk dari pelbagai negara.

Indeks Global Ranking 2010 Henley Visa Restrictions itu disusun oleh Henley & Partners, sebuah firma yang pakar dalam perancangan kediaman antarabangsa dan kewarganegaraan.

United Kingdom, Denmark dan Sweden mengetuai senarai ranking tersebut dengan masing-masing mengumpul mata 166, 164 dan 163.

Indeks ranking negara berkenaan adalah mengikut akses bebas visa yang dinikmati oleh rakytanya di negara-negara lain, menurut Henly & Partners dalam laman webnya.Malaysia mengumpul 151 mata serta mengatasi negara dan wilayah seperti Liechtenstein, Hong Kong, Brazil, Afrika Selatan, Montenegro, Persekutuan Russia, Emiriyah Arab Bersatu, Thailand, India, Mesir dan

Firma itu berkata mereka telah membuat analisis peraturan visa kesemua negara dan wilayah.

"Ini adalah kali pertama ranking global menunjukkan kebebasan pemgembaraan antarabangsa rakyat pelbagai negara serta hubungan antarabangsa dan status negara individu berbanding negara lain," katanya.

Firma itu juga berkata dalam dunia globalisasi, kekangan visa memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan warga asing merentasi sempadan.

"Hampir kesemua negara kini memerlukan visa dari beberapa warga bukan negara yang ingin memasuki wilayah mereka," katanya.

- BERNAMA

Salahkah Bukan Islam Memasuki Masjid?

by
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD

KECOH apabila dua wakil rakyat bukan Islam selepas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos tahun lepas sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan umat Islam.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP yang dikatakan menyampaikan 'tazkirah' di dalam Surau Al-Huda Kajang Sentral pada Ahad lalu sementara rakannya Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula diberi 'kebebasan' berada di saf paling hadapan di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru.

Mengikut Kamus Dewan, tazkirah bermaksud ceramah ringkas tentang agama Islam sebagai peringatan.

Namun tidak dapat dipastikan kedua-dua Ahli Parlimen itu 'bertazkirah' atau tidak. Ataupun penggunaan perkataan 'tazkirah' sesuai digunakan dalam isu ini.

Kedua-dua mereka berada di rumah ibadah umat Islam atas jemputan jawatankuasa masjid dan surau terbabit dan adanya mereka di situ telah mencetuskan polemik yang dahsyat seolah-olah mereka telah meruntuhkan atau mencemari surau dan masjid sehingga ke tahap yang tidak boleh dimaafkan lagi.

Banyak pihak menghukum kedua-dua wakil rakyat bukan Islam ini seolah-olah mereka sengaja mahu mencemarkan rumah ibadah umat Islam sedangkan jelas mereka adalah seolah-olah mangsa keadaan.

Sebagai reaksi segera atas insiden tersebut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi terus menghukumkan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong dalam berkeadaan hadas besar.

Kenyataan orang nombor satu JAIS itu ternyata bertentangan dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac lalu telah membincangkan `Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid'.

Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Menurut portal rasmi fatwa Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di alamat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-pelancong-bukan-islam-memasuki-masjid-dan-ruang-solat-utama-di-dalam-masjid, bagaimanapun perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. Pelancong dalam fatwa ini menyebut yang bukan Islam dan kedua-dua wakil rakyat itu sememangnya bukan Islam.

Dalam isu melibatkan Teo, jika mahu dipersalahkan sekalipun ialah melibatkan perkara etika berpakaian yang tidak tidak menutup kepala bukannya kerana beliau menyampaikan 'tazkirah' yang jelas bukan ceramah politik sebaliknya menyebut tentang bantuan pelajaran oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Namun, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam soal etika berpakaian para jemputan kalau bukan mereka yang menjemput? Dalam soal ini, pihak yang patut dipersalahkan sepenuhnya ialah Jawatankuasa Surau Al-Huda yang beragama Islam sepatutnya menegur atau menasihati Teo supaya berpakaian lebih sopan dengan menutup kepala.

Sebaliknya, beliau yang bukan Islam itu dibiarkan berada di bahagian depan surau tanpa menutup kepala. Sepatutnya ahli jawatankuasa perlu sensitif dalam soal ini.

Tetapi berlainan halnya dengan rakan Teo di Selayang. William berada di Masjid at-Taqwa, Selayang Baru dikatakan atas jemputan jawatankuasa masjid berkenaan. Beliau berpakaian sempurna, selain mematuhi etika pemakaian di dalam masjid.

Jadi adakah wajar beliau dituduh sebagai mencemarkan masjid? Sama-samalah kita fikirkan. Dalam isu ini, pendapat politik diletakkan di depan berbanding hukum dalam Islam. Wajarkah umat Islam mendahului nafsu politik berbanding hukum agama sendiri? Tepuk dada tanya selera.

Sebaik-baiknya kita rujuk pada hujah Jawatankuasa Fatwa dalam soal ini iaitu dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi (menghambakan diri dengan Allah) amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

Selain itu, umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh (berlapang dada atau terbuka) dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

Fatwa itu diakhiri dengan hujah bahawa keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid

- MSTAR

Bersifat Pemurah Di bulan Ramadan

by
Hadith :

“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

1. Ramadan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.

2. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Bilik hotel dikelilingi ikan

by

MALE - Sebuah hotel di Pulau Rangali, Maldives menyediakan sebuah bilik unik di bawah dasar laut dengan pemandangan dikelilingi ikan, lapor sebuah akhbar semalam.

Bilik itu disediakan khas untuk pasangan yang mahu berbulan madu di pulau tersebut.

Penghuni bilik itu akan dapat melihat ikan pari, belut dan pelbagai jenis ikan lain pada harga £1,156 (RM5,681) untuk menginap selama satu malam.

Tempahan untuk menduduki bilik itu perlu dibuat 14 hari lebih awal daripada tarikh penginapan.

Bilik itu pada asalnya ialah sebuah restoran tetapi ia diubah suai sempena dengan ulang tahun kelima hotel berkenaan.

- Agensi

Telur Masin - Menu ringkas pilihan waktu bersahur

by

Entah apa kuasa rasa yang ada pada telur masin, tatkala menempuhi bulan Ramadan ia menjadi antara sajian sahur wajib bagi kebanyakan orang. Tanyalah kepada sesiapa sahaja, pasti punya pengalaman bersahur dengan berlaukkan telur masin.

Bila ditanya mengapa, ramai yang memberitahu rasa telur itik yang masin itu membuka selera sewaktu menikmati sajian pada awal pagi. Berwarna putih bersih dengan isi di tengah-tengahnya berbentuk bola rona jingga adalah antara bahagian yang paling menjadi kegemaran.

Walaupun tidak diamalkan setiap hari, bagi seorang pelakon muda Iqram Dinzly, 29, menu tersebut mampu membangkitkan selera bersahur beliau walaupun ketika mata masih berat untuk dibuka.

Mengakui ia adalah antara hidangan wajib beliau bila menjelmanya bulan Ramadan, pemilik nama Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin itu tidak malu untuk menikmati hidangan ringkas tersebut biarpun bergelar selebriti popular.

Selesa menjamah telur masin bersama sedikit nasi putih, pemuda yang mesra disapa sebagai Iqram menganggap telur masin mampu membangkitkan selera kerana rasanya itu boleh membuatkan seseorang 'ketagih'.

"Ia memang enak. Kadang-kadang saya ratah begitu sahaja.

"Rasa masin sebenarnya mampu membangkitkan selera. Tambahan pula ia mempunyai rasa yang lemak, memang sedap walaupun hanya dimakan dengan nasi putih kosong sahaja," luah Iqram.

Beliau yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Apokalips menjelang Ramadan lalu memberitahu Kosmo! bahawa baginya hidangan bersahur cukup sekadar dengan hanya menu ringkas kerana ingin bersederhana dan memberi tenaga untuk melakukan kerja.

"Saya bukanlah selalu makan nasi bersama telur masin. Ia tidak baik untuk kesihatan jika diamalkan terlalu kerap. Kalau sesekali itu tidak menjadi masalah," ujarnya yang sering bersahur bersama rakan-rakan jika di ibu kota dan bersama keluarga ketika pulang ke Ipoh.

Mengasinkan telur itik

Mendalami mengenai bisnes telur masin di negara ini, Kosmo! menemu bual pengusaha telur itik segar dan telur masin di Sungai Yu, Tanjung Karang, Selangor, Md. Farizsazali Mohd. Danuri, 33.

Bagi anak jati Tanjung Karang yang memulakan operasi perniagaannya pada 1 Januari lalu itu, telur masin adalah perusahaan sampingan kepadanya kerana telur itik segar lebih mendapat tempat dalam kalangan pengusaha-pengusaha restoran.

"Telur segar dijual terlebih dahulu, manakala lebihan daripadanya akan diawet secara kaedah pengasinan.

"Telur segar lebih mendapat permintaan oleh pengusaha restoran kerana ia sesuai untuk dijadikan pelbagai jenis hidangan lauk berbeza dengan telur masin yang lebih enak dimakan begitu sahaja," jelas beliau yang mengusahakan perniagaan itu secara separuh masa atas nama Bumi Niaga Enterprise.

Beliau yang masih berkhidmat sebagai jurumesin di sebuah syarikat pengeluaran kenderaan nasional mempunyai ladang ternak seluas 0.6 hektar yang diusahakan sendiri dengan dibantu oleh kakak iparnya, Zarinah Latip, 36, dalam kerja-kerja penjagaan dan pengeluaran.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu menambah, telur itik segar hanya boleh kekal sihat dalam tempoh dua minggu sahaja dan akan rosak selepas tempoh itu. Bagaimanapun bagi telur yang mengalami proses penggaraman, ia boleh kekal elok dalam tempoh yang lebih lama.

"Telur masin bersifat stabil, rasanya juga kurang hamis dan tidak berbau busuk berbanding telur segar," katanya.

Sambil menunjukkan cara-cara menghasilkan produk telur masin, beliau yang kini menetap di Rawang, Selangor menjelaskan bahawa terdapat dua jenis telur itik iaitu berwarna putih dan juga kehijauan.

"Bagi telur itik yang berwarna kehijauan kandungan proteinnya lebih tinggi. Waktu untuk diasinkan juga mengambil masa yang lebih lama iaitu sehingga 20 hari kerana kulit cengkerangnya yang lebih keras," jelasnya sambil memberitahu kuantiti telur berwarna tersebut sangat sedikit.

Mempunyai sejumlah 500 ekor itik dari jenis Khaki Campbell, Md. Farizsazali mengakui tidak menang tangan menghasilkan telur masin pada bulan Ramadan. Ini kerana permintaan untuk telur masin meningkat dalam kalangan pelanggan perseorangan berbanding telur segar yang kurang mendapat permintaan kerana kebanyakan restoran tidak beroperasi pada bulan itu.

"Memang diakui pada bulan ini permintaan untuk telur masin sedikit meningkat. Hidangan seperti nasi kerabu, bubur nasi atau dimakan bersama nasi putih antara hidangan popular pada bulan ini.

"Sejumlah hampir 300 biji telur yang dihasilkan oleh itik-itik kami sehari belum mencukupi untuk menampung jumlah permintaannya," jelas beliau lagi.

Naikkan selera bersahur

Menyentuh telur masin dari sudut pemakanan, pensyarah di Jabatan Pemakanan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Zaitun Yassin menjelaskan kebanyakan orang mempunyai selera yang rendah untuk makan pada waktu awal pagi apatah lagi baru tersedar daripada tidur.

"Makan benda-benda yang masin boleh merangsang deria rasa untuk menerima makanan tersebut. Bukan sahaja telur masin bahkan, hidangan lain yang mempunyai rasa sedemikian mampu membangkitkan selera makan.

Zaitun menasihati 'peminat tegar' hidangan itu agar tidak mengamalkannya setiap hari dan mempelbagaikan hidangan terutamanya ketika bersahur kerana badan seseorang memerlukan variasi nutrien dengan jumlah yang berbeza.

Beliau mengesyorkan hidangan bersahur diambil seperti porsi sarapan antaranya roti, buah-buahan dan bijirin. Menjamah tiga biji kurma bersama segelas air suam juga mampu membekalkan tenaga yang mencukupi untuk melakukan kerja pada hari tersebut.

Menurut kenyataan daripada Lembaga Promosi Kesihatan Singapura, setiap 70 gram (g) telur merah daripada telur masin mengandungi sebanyak 359 miligram (mg) kolesterol.

Dalam mengamalkan diet yang sihat seseorang disyorkan mengambil kira-kira 300 mg kolesterol sehari dan ini menunjukkan bahawa kandungannya dalam sebiji telur itik masin melebihi jumlah yang disyorkan.

"Jika seseorang mengambilnya secara berterusan, ia mungkin menaikkan kandungan kolesterol di dalam badan. Ia secara tidak langsung menyumbang risiko untuk mendapat sakit jantung. Cukuplah sekadar mengambil separuh dalam setiap hidangan," jelas Zaitun lagi.

- KOSMO!

Pesara tawar jual surat Pemasyhuran Kemerdekaan 1957

by

NIBONG TEBAL: Satu dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 yang ditandatangani Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertarikh 31 Ogos 1957 ditawarkan kepada sesiapa yang berminat membelinya pada harga RM65,553.

Pesara Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Md Rouse Mohamad, 64, yang memiliki dokumen berkenaan, berhasrat menjualnya kepada Muzium Negara atau mana-mana individu berminat memilikinya sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-53, esok.

Dokumen yang ditulis Jawi, antara lain menyebut negeri Melayu iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak serta Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka, diisytihar menjadi Persekutuan Tanah Melayu.
“Memang berat hati untuk menjualnya, tetapi bagi menyelamatkan warisan sejarah, saya sedia melakukannya bagi kepentingan generasi masa depan memperingati perjuangan Tunku Abdul Rahman bersama pemimpin Parti Perikatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Simpang Ampat di sini.

Md Rouse berkata, dokumen berkenaan diserahkan Tunku Abdul Rahman kepada Allahyarham bapanya, Mohamad Awang dalam satu majlis di pekarangan Kelab Setia Peranakan Bola Sepak Prai, Bagan Dalam, kira-kira jam 3 petang, 31 Ogos 1957.

Selain bapanya, tiga lagi pemimpin masyarakat di Kampung Bagan Dalam diberi dokumen berkenaan, malah Tunku Abdul Rahman juga menyerahkan 33 lagi dokumen sama kepada pemimpin lain di daerah lain di utara Semenanjung.

“Saya yang berusia 11 tahun menyaksikan sendiri Tunku Abdul Rahman menyerahkan dokumen berkenaan kepada bapa,” katanya.

Sebelum meninggal dunia pada 1968, Mohamad menyerahkan dokumen itu kepada Md Rouse dan meminta disimpan dengan baik untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang.

Beliau yang tidak ada anak, manakala isterinya, Besah Selamat, 55, pula menghidap penyakit kencing manis, berhajat menjual dokumen itu.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Md Rouse di talian 017-4580328.

- BERITA HARIAN

Hak agama Islam diperakui Perlembagaan

by
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia

Polemik pelaksanaan undang-undang hudud kembali mendapat tempat di kalangan ahli politik. Seperti biasa, beberapa tokoh DAP menentang pelaksanaan undang-undang berasaskan al-Quran itu dan PAS tanpa berselindung berhasrat melaksanakan hudud jika berada di tampuk pemerintahan. Sementara UMNO pula mengakui undang-undang itu, tetapi ingin melaksanakan secara berperingkat.

Apabila timbul persoalan sebegini, akan timbul pula persoalan sifat Perlembagaan Persekutuan sama ada sekular atau Islamik. Kepemimpinan MCA mempertikaikan kesahihan negara Islam dengan mengutarakan laporan Suruhanjaya Reid dan keputusan Mahkamah Agong mengatakan Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular.

Polemik ini perlu diselesaikan secara ilmiah, profesional dan berhemah berdasarkan fakta sejarah serta hakikat kesinambungan sejarah yang berlaku di negara kita.

Walaupun mengikut sejarah, laporan Suruhanjaya Reid menyatakan kemasukan fasal Islam adalah agama bagi Persekutuan tidak menjejaskan sifat sekular Perlembagaan. Adakah kita terikat kepada hasrat penggubal Perlembagaan itu yang rata-ratanya bukan rakyat Malaysia dan tidak menghayati susun atur budaya tempatan.

Perkara ini dipolemikkan lagi apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj juga berpendirian sedemikian. Malah, penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar Che Soh mentafsirkan Islam dalam Perkara 3 terhad kepada aspek amalan dan rasmi saja.

Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal mengenai agama Islam. Umpamanya Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama Persekutuan.

Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India dengan jelas dalam perlembagaan negara itu adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama. Hal itu tidak berlaku dalam Perlembagaan dengan adanya Perkara 3. Malah perkataan sekular tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika Perlembagaan adalah sekular tentu Perkara 3 itu dihazafkan, malah ada banyak fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia mustahil berlaku dalam sebuah negara yang mendokong sifat sekular.

Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, kerajaan Persekutuan dan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi.

Tindakan kerajaan selaras peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam digunakan bagi pembangunan agama Islam dan sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan.

Perkara 11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.

Adalah mustahil dalam negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah perlembagaan sekular.

Pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada tidak berpuas hati dengan kedudukan ini. Sekali lagi keistimewaan diberikan kepada agama Islam.

Dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf termasuk dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi watallahi.

Ia adalah sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama Allah, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara ini pada setiap masa.

Dengan mengetepikan Islam, sudah tentu akan memecahkan sumpah Yang di-Pertuan Agong mempertahankan Islam. Malah Perdana Menteri dan kerajaannya juga wajib mempertahankan Islam sejajar sumpah itu. Mempertahankan Islam tanggungjawab Kerajaan.

DAP seharusnya menerima hakikat ini dan tidak berdolak dalik berselindung di bawah bayangan lampau. Adalah jelas Perlembagaan dan Malaysia bukan negara sekular kerana negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran.

Negara sekular meminggirkan agama tetapi Islam berulang kali disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dan diberikan tempat yang tinggi. Beberapa kes diputuskan Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan kedudukan istimewa agama Islam.

Kesimpulannya, Malaysia bukan negara sekular tetapi belum mencapai tahap menjadi sebuah negara Islam. Perkara ini tidak harus dibangkitkan lagi.

Apa yang penting ialah pengisian negara itu sama ada sejajar dengan Islam ataupun sebaliknya.

- BERITA HARIAN

Hormon anti penuaan

by
Ramai yang memberi reaksi positif apabila saya memperkatakan tentang anti penuaan. Tidak kurang juga yang mempunyai tanggapan negatif kerana tidak tahu dan kurang memahami pengertian anti aging atau anti penuaan yang sebenar.

Mereka menganggap perubatan anti penuaan sebagai cubaan melawan takdir ketentuan Ilahi dan hanya mampu memberi kulit yang licin tanpa kedut tanpa membantu kesihatan dalaman tubuh. Ini adalah tidak benar kerana perubatan anti penuaan mempunyai matlamat menghindari penyakit dan masalah manusia apabila berhadapan dengan isu-isu penuaan.

Anti penuaan adalah satu cabang kesihatan yang membolehkan kita hidup sihat pada usia tua, mengekalkan kesihatan dan kehidupan ideal manusia. Ia mengekalkan fungsi organ dalaman badan seperti jantung, buah pinggang, kelenjar-kelenjar yang penting serta kesihatan otak manusia. Ia juga menjadikan kelenjar hormon dalam tubuh kita berfungsi semula sebagaimana semasa muda.

Pada zaman ini tempoh hayat seorang manusia dianggarkan selama 90 tahun. Ramai yang masih hidup sihat meskipun sudah melebihi usia tersebut.

Kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka yang kurang pengetahuan mengenai anti penuaan adalah:

- Menjadi tua dan mengalami menopaus adalah proses semula jadi maka tidak ada apa yang mampu mengubahnya.

- Saya sudah menopaus dan mencapai usia 60-an maka tidak mungkin saya boleh kembali muda. Saya tidak percaya wujudnya kaedah yang boleh membuatkan saya lebih muda.

- Usia tua adalah takdir yang tidak boleh ditolak.

- Saya mengamalkan cara hidup sihat, senaman serta mengamalkan pemakanan seimbang. Sudah tentu badan saya sihat. Mengapa saya perlukan perubatan anti penuaan?

Cuba anda fikirkan fakta ini.

- Punca utama kematian adalah usia yang tua. Orang yang mencecah usia 40 ke atas mudah mendapat kanser, kerana itu mereka digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan.

- Orang yang berusia mudah mendapat tulang rapuh. Ramai orang orang tua terlantar di hospital kerana osteoporosis yang teruk membuatkan tulang patah.

- Orang yang tua mudah murung dan sensitif

- Orang tua mudah mendapat darah tinggi, sakit jantung dan sakit kronik lain berbanding orang muda.

- Paras kolestrol, gula dalam darah dan fungsi organ akan menjadi tidak baik apabila usia meningkat.

Mestikah seseorang berasa murung, letih, layu dan kelesuan apabila usia meningkat? Mestikah paras rupa berubah menjadi cengkung dan berlekuk-lekuk, wajah menjadi berpigmen serta berkedut?

Usia tidak dapat ditolak namun jika kita mengamalkan perubatan anti penuaan kita akan dapat menghalang penyakit penyakit dan masalah penuaan.

Masalah penuaan bagi lelaki

- Andropaus. Lelaki menjadi murung kurang bertenaga, mudah marah dan mudah tertekan.

- BPH prostat menjadi bengkak dan mula mengganggu sistem urinasi (kencing). Mereka mula mendapat jangkitan kencing yang kerap.

- ED adalah masalah menegangkan zakar.

Bagi wanita pula;

- Menopaus

- Masalah pada buah dada

- Masalah rahim dan vagina.

Bagi lelaki dan wanita

- Atherosclerosis

- Darah tinggi dan kencing manis

- Dementia (nyanyuk atau pelupa)

- Lain lain yang melibatkan sakit tua seperti tulang rapuh dan sakit badan.

Dari segi kosmetik pula kesan kesan penuaan mengakibatkan paras rupa yang cantik hilang serinya.

Apabila usia bertambah kelenjar hormon pada tubuh bekerja keras bagi memastikan penghasilan yang cukup untuk tubuh badan kita. Hormon merupakan molekul-molekul yang amat penting serta mempunyai tugas khas bagi menseimbangkan dan memastikan fungsi tubuh badan menjadi lancar. Kelenjar ini menjadi mengecut dan kurang aktif apabila usia meningkat. Hal ini dapat dilihat melalui kajian para saintis yang menilai saiz kelenjar melalui kaedah CT scan.

Cuba lihat di sekeliling kita. Seorang wanita atau lelaki yanng periang berubah menjadi murung dan anti sosial apabila usia meningkat. Tidak kurang juga mengalami masalah berat badan yang tidak dapat diturunkan melalui pemakanan semata-mata. Diet tidak akan berkesan tanpa pengurusan hormon yang betul. Dengan terapi hormon yang betul barulah seseorang mampu menurunkan beratnya dengan efektif.

Seseorang yang kurang hormon akan letih, lesu dan kurang gembira. Badannya terasa berat dan sukar untuk bersenam. Apabila hormon rendah tubuh akan berasa malas dan letih selalu. Apabila hormon metabolik tertentu ditambah, ia akan berubah menjadi lebih baik dan cantik. Tubuh mula membakar lemak di dalam badan. Hasil tubuh mendapat tenaga yang baik dan mula menjadi lebih langsing.

Mengapa kadar patah tulang, serta tulang rapuh sering berlaku pada orang tua. Jawapannya adalah kerana hormon tubuh sangat rendah membuatkan kadar penyerapan kalsium menjadi tidak efektif.

Mengapa orang orang tua cepat tersinggung dan mudah bersedih. Ini juga kerana tubuhnya tidak mempunyai hormon yang cukup. Hormon tertentu merangsang perasaan agar positif dan sentiasa gembira.

Apabila kelenjar hormon mengalami keletihan maka penghasilan hormon terjejas. Kelenjar-kelenjar yang keletihan akhirnya gagal berfungsi. Inilah puncanya seseorang menjadi lesu dan lemah. Bagi wanita pula kegagalan fungsi hormon seks mengakibatkan menopaus yang merupakan satu gangguan hebat bagi tubuh. Justeru menjaga kelenjar hormon agar menopaus berlaku dalam suasana yang tidak mengganggu fungsi tubuh adalah disarankan.

- UTUSAN

Tune Money tawar insurans raya RM10

by
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Meningkatnya kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri mendorong Tune Money Sdn. Bhd. (Tune Money) melancarkan produk perlindungan semasa pulang ke kampung halaman dikenali Tune Raya Takaful.

Produk hasil kerjasama dengan Hong Leong Tokio Marine Takaful Bhd. (HLTM) itu yang dilancarkan di sini baru-baru ini menawarkan perlindungan kemalangan dan kediaman kepada pelanggan yang mendaftar pada harga serendah RM10.

Menurut Ketua Insurans Tune Money, Wong Kam Peng, pertambahan dalam bilangan kemalangan jalan raya pada musim perayaan menyebabkan pihaknya untuk mewujudkan insurans khusus bagi melindungi orang ramai sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung.

''Berdasarkan kepada statistik, laporan kemalangan jalan raya tahun lalu sahaja mencatatkan sebanyak 246 kematian dan tidak termasuk kes kemalangan yang menyebabkan kecacatan kekal dan sebagainya.

''Jadi, kami merasakan bertanggungjawab untuk membekalkan pelanggan-pelanggan kami dengan produk insurans yang memberi perlindungan kepada mereka di waktu paling kerap berlakunya kemalangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Kam Peng, selain menyediakan perlindungan diri, produk itu juga turut memberi perlindungan terhadap kediaman pelanggan mereka berhari raya di kampung.

Katanya, tanpa mengira kaum, produk insurans Islam pertama Tune Money itu boleh dilanggan oleh semua kaum sehingga 15 September ini untuk tempoh perlindungan sehingga 31 Oktober depan.

Tune Raya Takaful menawarkan tiga skim perlindungan yang terdiri daripada skim 1 iaitu tempoh perlindungan selama 15 hari bermula dari hari pelanggan pulang ke kampung dengan sumbangan sebanyak RM10, skim 2 pula bagi tempoh perlindungan 30 hari dengan bayaran RM20 dan skim 3 yang memberi perlindungan selama 45 hari dengan kadar bayaran RM30.

Ia menyediakan perlindungan kepada sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan juga tiga orang anak yang mana jika pelanggan mempunyai lebih dari tiga orang anak, bayaran tambahan RM1.50 akan dikenakan.

Menerusi produk itu, jika berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian dan kecacatan kekal sewaktu tempoh perlindungan tersebut, pelanggan atau waris pelanggan layak menerima RM10,000 bagi kategori dewasa dan RM5,000 untuk kanak-kanak.

Jika berlaku kebakaran atau rompakan di rumah pemegang insurans itu sewaktu tempoh perlindungan, pelanggan akan diberi pampasan sebanyak RM2,000 bagi skim 1, RM2,500 bagi skim 2 dan RM4,000 untuk skim 3.

Selain itu, produk itu juga menawarkan perkhidmatan upah haji kepada mereka yang beragama Islam terlibat dalam kemalangan maut sewaktu tempoh perlindungan yang mana RM2,500 daripada RM10,000 yang diterima waris akan digunakan untuk perkhidmatan itu.

Kam Peng berkata, kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan perlindungan insurans keluarga kini masih rendah dan rata-rata mereka masih tidak memahami konsepnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLTM, Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sambutan yang diterima oleh produk tersebut amat menggalakkan.

''Kami memilih untuk bekerjasama dengan Tune Money untuk mengeluarkan produk ini kerana mendapati ia merupakan platform terbaik untuk mendekati generasi muda yang mana rata-rata pelanggan Tune Money berada dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun.

''Selain itu, penyediaan perkhidmatan secara dalam talian juga menjadi faktor kami bekerjasama dengan Tune Money kerana ia memudahkan lagi proses pendaftaran pelanggan,'' katanya.

Menurut Abdul Latiff, sejak dilancarkan Julai lalu hingga hari ini, Tune Raya Takaful telah berjaya menarik 1,041 orang melanggan Tune Raya Takaful.

Katanya, tempoh pendaftaran masih terbuka sehingga 15 September ini dan beliau menyasarkan penambahan sehingga 5,000 orang pelanggan berdaftar menjelang tarikh tersebut.

- UTUSAN

BSN sasar agih RM300 juta

by
Keupayaan penerimanya terus berkembang merupakan antara penekanan diberikan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam meluluskan pembiayaan mikro untuk memastikan pinjaman itu dimanfaat sewajarnya.

Naib Presiden Ketua Jabatan Mikro Kewangannya, Nilammasri Ja'afar berkata, seperti yang diketahui umum, pembiayaan mikro terdiri daripada peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dan dokumen perniagaan yang lengkap dan teratur untuk mendapatkan pinjaman.

''Sehubungan itu, kami telah mengambil inisiatif sendiri dengan memberikan latihan sewajarnya kepada peminjam dalam mendapatkan pinjaman dan menguruskan dana yang diterima.

''Ini adalah salah satu cara kami mendekati pelanggan dan menjaga hubungan baik tersebut, selain sering melawat mereka dan memberikan khidmat nasihat. Modul latihan keusahawanan ini adalah asas perniagaan tetapi ianya penting,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Pinjaman mikro diberikan kepada pengusaha kecil dengan pulangan jualan tidak melebihi RM200,000 setahun dan mempunyai bilangan pekerja tidak melebihi lima orang untuk sektor perkhidmatan.

Manakala bagi sektor pembuatan pula adalah pulangan jualan sebanyak RM250,000 dengan jumlah pekerja sama.

Pinjaman diberikan pada kadar minimum sebanyak RM5,000 hingga RM50,000, dengan kadar faedah efektif antara 14 peratus hingga 17 peratus.

Tambah Nilammasri, hanya peminjam yang layak dipilih untuk menyertai program sehari dengan latihan diberikan oleh konsultan luar yang dilantik.

''Latihan tersebut diadakan di pusat latihan BSN dan pada satu-satu masa seramai 30 peserta akan menyertai program itu.

''Untuk separuh kedua tahun ini kami menyasarkan untuk mengadakan lima atau lapan latihan dan semua perbelanjaan ditanggung oleh BSN,'' jelasnya.

Selain itu, kelebihan pembiayaan mikro BSN adalah pemberian rebat satu hingga tiga peratus kepada peminjam yang membayar balik pinjaman mengikut jadual dan tanpa tunggakan.

''BSN memberikan rebat ini bagi menggalakkan peminjam membayar mengikut waktu ditetapkan. Dua peratus rebat diberikan pada kadar faedah kepada mereka yang membayar tepat pada waktunya.

''Dalam pembiayaan mikro BSN, kami juga mempunyai unsur tabungan sekiranya mereka mempunyai tabungan dan membayar pinjaman tepat pada waktunya, peminjam itu layak menerima rebat sebanyak tiga peratus,'' katanya.

Nilammasri berkata, sejak dilancarkan pada 2007, BSN telah mengagihkan pinjaman lebih daripada RM230 juta kepada 15,000 peminjam.

Permohonan yang diterima oleh BSN sejak penubuhan skim ini bernilai RM1 bilion tetapi bukan semua permohonan dapat diproses dan diluluskan, katanya.

''Kadar penolakannya agak tinggi, permohonan itu tidak dapat diproses sekiranya risiko kredit mereka tinggi dan tidak memenuhi kriteria pinjaman yang ditetapkan.

''Oleh sebab pinjaman yang diberikan datangnya daripada dana kami sendiri, BSN perlu berhati-hati terutama dalam proses menawarkan pinjaman tanpa sebarang cagaran,'' tambahnya.

Pada tahun ini, BSN menyasarkan pengagihan pinjaman hampir RM300 juta ketika berlakunya kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) adalah tinggi.

Sambil menyatakan pihak bank akan lebih telus membuat penilaian pinjaman, Nilammasri menambah, mereka akan terus mengadakan promosi untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan mengetahui mengenai produk tersebut.

Ini termasuk mengadakan promosi bulanan dan ceramah kepada peniaga dan pasaran sasaran, membuka kiosk penerangan di kawasan tumpuan selain di cawangan-cawangan BSN dan pusat-pusat pinjaman mereka, katanya.

''Kami juga akan memantau peminjam dengan turun ke padang bertemu dengan mereka. Dari segi kutipan pinjaman pula, BSN mempunyai sistem kutipan bergerak dengan pegawai kami akan pergi kepada peminjam dan menerima bayaran dengan resit dikeluarkan dengan serta merta,'' jelasnya.

Buat masa ini, BSN tidak mempunyai masalah besar dalam NPL bagi pembiayaan mikro ini kerana terdapat pemantauan pegawai terhadap peminjam, jelasnya.

- UTUSAN

Top Ad 728x90