31 Oktober 2010

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Oktober 2010

by
5 - 12 Oktober 2010 - Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)

3 - 14 Oktober 2010 - Sukan Komanwel 2010 di India

9 Oktober 2010 - Hari Keputeraan Yang di Pertua Negeri Melaka

11 Oktober 2010 - Permohonan KPLI & KPLI J-Qaf Ambilan Januari 2011

15 Oktober 2010 - Pembentangan Bajet 2011 di Parlimen

18 – 27 Oktober 2010 - Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

20 Oktober 2010 - Pengisytiharan Melaka Negeri Maju 2010

23 Oktober 2010 - Hari Keputeraan Yang di Pertua Negeri Sarawak

24 Oktober 2010 - Hari Keputeraan Sultan Pahang

30 Oktober 2010 - Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2010

Sejarah tercipta - Kelantan Juara Piala Malaysia 2010

by


Pemain Kelantan me­­lutut dan berdoa tan­­da syukur sejurus wisel penamat apabila mencipta bangga muncul juara baru Piala Malaysia menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 30 Okt 2010.

Dua gol menerusi tandukan padu Hairuddin Omar pada minit ke-57 dan Mohd Badhri Mohd Radzi, m-65 berjaya mengikis jari­­ngan awal lawan menerusi sepakan penalti oleh Shahurain Abu Samah (m-13) - sekali gus menamatkan badi 40 tahun yang diiri­­ngi dentuman mercun me­­ngiringi kejayaan manis The Red Warriors.
Kejayaan ini memboleh­­kan Kelantan meletakkan diri dalam kumpulan unik yang kini bertambah kepada 14 pasukan yang pernah menjulang piala keagungan bola sepak tanah air itu termasuk sebelum ini yang dikenali Piala HMS Malaya dan Piala Malaya.

Namun, skrip itu tidak kelihatan begitu pada awal saingan babak pertama apabila Shahurain yang dinaikkan kepada posisi serangan berikutan ke­­tandusan penye­­rang akibat kecederaan yang menimpa Zaquan Adha Abd Radzak me­­ngulangi jaringan awal ke atas lawan sama, apabila mudah menyempurnakan penalti mengatasi Khairul Fahmi Che Mat selepas penjaga gol itu menjatuhkan S Kunalan dalam ko­­­­tak penalti.

Shahurain yang mele­­dakkan gol cantik dalam laluan kejayaan 3-1 musim lalu berjaya mengelirukan penjaga gol itu yang semakin meningkat naik dalam skuad kebangsaan pada percubaan kedua selepas pengadil, Sub­­khiddin Mohd Salleh me­­ngarahkannya diambil semula.

Pada masa kecederaan babak pertama, gerakan pantas Mohd Badri Mohd Radzi dengan Indra Putra Mahayuddin hampir menjelmakan gol penyamaan, tetapi tendangan lencong kapten Kelantan itu berjaya ditumbuk penjaga gol, Sani Anuar Kamsani.
Hairuddin menceriakan pasukan apabila berjaya mengelakkan diri daripada kawalan pertahanan untuk menghalakan han­­taran lintang Norshahrul dengan jaringan penya­­maan menerusi tandukan untuk menghidupkan api perjuangan the Red Warriors dan hampir 60,000 penyokong mereka.

Momentum beralih arah kepada Kelantan yang mengambil alih tam­­puk penguasaan de­­ngan Mohd Badri men­­cetuskan dentuman mer­­cun oleh penyokong hasil gol kemenangan buat mencipta sejarah baru mereka.

- BERITA MINGGU

Modul PLKN akan dikaji semula

by

Modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dikaji semula bagi menerapkan nilai ekonomi untuk disesuaikan dengan pasaran tenaga kerja, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata melalui modul baru itu, sektor awam dan swasta akan memberi pengiktirafan kepada pelatih PLKN dengan memberi keutamaan kepada mereka ketika mengambil pekerja.

"Jabatan Latihan Khidmat Negara, badan profesional, bekas pelatih, jurulatih dan masyarakat umum akan membuat kajian menentukan apakah bentuk nilai ekonomi itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Permata Resort, Air Paabas di Alor Gajah malam tadi.

Ahmad Zahid berkata ia juga akan mengkaji kemungkinan melanjutkan lagi tempoh latihan PLKN yang kini selama tiga bulan.

Modul PLKN sedia ada melibatkan khidmat komuniti, latihan fizikal, pembinaan karakter dan kenegaraan.

Kira-kira 500,000 remaja berusia 18 tahun (lepasan Sijil Pelajaran Malaysia) telah mengikuti PLKN sejak ia dilaksanakan pada 2004, dan membabitkan kos sebanyak RM3.8 bilion, katanya.

Beliau berkata hasil kajian sebuah universiti tempatan yang dibentangkannya kepada jemaah menteri baru-baru ini, mendapati pelaksanaan PLKN telah mencapai matlamat penubuhannya, dan kabinet memberi penghargaan terhadap kejayaan itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata seramai 3,168 jurulatih PLKN akan diperkasa melalui seminar Transformasi Kejurulatihan Unggul.

Katanya, mereka akan dilengkapi pelbagai pengetahuan berkaitan tugas masing-masing supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

- BERNAMA

30 Oktober 2010

Hanya 34 peratus pensyarah PhD di IPTA

by

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan 75 peratus pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di di setiap 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sasaran itu meliputi kepakaran dalam semua bidang pengajian di IPTA.

"Kita harap dengan memiliki ramai pensyarah berkelulusan PhD ia dapat melahirkan lebih ramai pelajar berkeupayaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Bahagian Pendidikan Masyarakat Kemas Parlimen Temerloh di Kampung Pangsenam dekat Temerloh, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya difahamkan hanya 34 peratus pensyarah di IPTA mempunyai kelulusan berkenaan dan ia masih tidak mencukupi bagi menghasilkan mahasiswa yang baik dan kompetitif.

"Kita mahu pensyarah yang lebih pandai daripada pelajar dan mempunyai personaliti yang baik bagi menghasilkan IPTA bertaraf dunia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pensyarah kanan kini boleh terus dinaikkan pangkat ke jawatan "Turus" tanpa perlu memegang jawatan di bahagian pengurusan.

Katanya, sebelum ini mereka (pensyarah kanan) perlu memegang jawatan Naib Canselor terlebih dahulu sebelum dilantik ke jawatan Turus.

Beliau juga berberharap pihak pengurusan universiti kelak menggunakan Bajet 2011 sebaik-baiknya bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan dan melahirkan mahasiswa yang kreatif dan kritis.

"Pada pembentangan Bajet 2011, KPT telah menerima penambahan peruntukan sebanyak 14.5 peratus iaitu sebanyak RM10.2 bilion berbanding RM8.9 bilion bajet tahun 2010.

"Penambahan bajet itu menunjukkan kerajaan peka terhadap keperluan universiti bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan profesional," kata Saifuddin.

- BERNAMA

28 Oktober 2010

Semakan Keputusan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih (GST) lulusan Institusi Pengajian Tinggai Awam (IPTA)

by

Semakan Keputusan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih (GST) lulusan Institusi Pengajian Tinggai Awam (IPTA). Semakan ini adalah bagi calon-calon yang telah hadir temu duga GST yang diadakan pada 17 hingga 19 Ogos 2010 yang lalu dan boleh dibuat di: http://apps.emoe.gov.my/egst/keputusan/

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia,
Kementerian Pelajaran Malaysia.
http://www.moe.gov.my/

27 Oktober 2010

N45 Galas: PAS Lawan BN

by
GUA MUSANG: Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan pada 4 November ini seperti dijangka menyaksikan saingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN diwakili Ab Aziz Yusoff, 49, manakala PAS diwakili Zulkefli Mohamed, 44.

Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Galas, Wan Mustapha Abd Hamid membuat pengumuman tersebut di pusat penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang pada Selasa.

Pencalonan Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang dicadang oleh Mohd Azmi Mahmood dan disokong oleh Chong Kam Siong.

Sementara itu pencalonan Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PASGua Musang dicadang oleh Mohamed Noor Awang Hamat dan disokong olehAbdullah Hussein.

"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan PAS pada pilihan raya kecil kali ini. Saya yakin jentera parti akan digerakkan agar kerusi ini kekal menjadi milik PAS," kata Zulkefli kepada pemberita selepas ditemui di pusat penamaan calon di Gua Musang, pada Selasa.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnyaChe Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibatkanser usus pada 27 September lalu.

Bagi Ab Aziz, ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding dikawasan DUN, sekaligus menjadikannya sebagai muka baru yang diberimandat oleh kepimpinan Umno.

Berbeza dengan calon BN, Zulkefli yang juga seorang doktor adalah mukalama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musangsebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namuntewas di tangan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku RazaleighHamzah.

Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinankukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkanKetua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317undi.


Fakta Pilihan Raya Kecil Galas

Kawasan : N45 Galas

Calon BN : Abdul Aziz Yusoff, 49, bekas pengurus pejabat operasiLembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar)

Calon PAS : Dr Zulkefli Mohamad, 44, Pengamal perubatan

Penyandang :Chek Hashim Sulaima, 46, (PAS)(Chek Hashim meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mac 2008 menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi)

Jajahan : Gua Musang

Jumlah pengundi : 11,553 (127 pengundi pos)

Komposisi : Melayu 7,125 orang (61.7 peratus), kaum Cina 2,317 (20.06 peratus), India (185 orang), Orang Asli (1,889 orang) dan Bumiputera Siam 10 orang.

Kegiatan ekonomi : Pertanian dan PerniagaanPegawai Pengurus P/Raya : Wan Mustapha Wan Abdul Hamid

Hari pengundian : 4 November 2010

Bil saluran mengundi : 25

Bil pusat mengundi : 13

Bil daerah mengundimenggunakan khidmat helikopter: 4 daerah Orang Asli (Belatim, Balar, Bihai, Hau)

Pusat penjumlahan undi : Dewan Pusat Sivik Gua Musang, Jalan Pesiaran Raya, Gua Musang.

- BERNAMA

Pertandingan Tiga Penjuru Di Batu Sapi

by
SANDAKAN: Seperti dijangkakan, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berhadapan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah, dan PKR diwakili peguam terkenal Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.

Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 November itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.

Mohamad Hamsan menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon selepas tiada isu dibangkitkan semasa tempoh bantahan selama sejam.

Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Tsen pada pukul 9.06 pagi.

Ribuan penyokong hadir berkumpul seawal pukul 5.45 pagi untuk mengiringi calon masing-masing.Dengan penuh bersemangat, mereka kedengaran melaungkan slogan parti masing-masing namun berdisiplin mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Okt lalu di Kota Kinabalu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong B Nbersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan para penyokong mengiringi calon parti itu, Tsen di pusat penamaan itu.

Antara pemimpin parti komponen BN adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil-wakil parti komponen.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Chong. Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari manakala Yong, yang merupakan calon SAPP, mengetuai sebilangan kecil penyokong ke pusat penamaan calon itu.

- BERNAMA

Malaysia Kekal Di Tangga Ke-56 Dalam Indeks Rasuah

by
Malaysia telah mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010, walaupun memungut 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun lepas.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, Malaysia yang menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) dan Indonesia dengan 2.8 mata (tempat ke-110).

"Denmark, New Zealand dan Singapura terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata.

"Statistik Malaysia tidaklah merosot malah kekal. Negara kini berada di tengah-tengah (antara baik dan tidak baik).

"Ketidakstabilan kerajaan, biasanya berikutan konflik legasi, terus mendominasi kedudukan di tempat tercorot CPI. Afghanistan dan Myanmar berkongsi tempat kedua terakhir dengan pungutan mata 1.4, manakala Somalia di tangga terakhir dengan 1.1 mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah positif telah dilakukan, pungutan mata Malaysia dalam CPI mungkin disebabkann masalah pelaksanaan serta ketiadaan penambahbaikan dalam pembinaan keyakinan, sekaligus menunjukkan terdapat kekurangan dalam kemahuan politik bagi menghapuskan rasuah.

Contohnya, kata beliau, terdapat beberapa perkara yang jelas membimbangkan seperti arahan "Tiada Tindakan Lanjut" oleh Peguam Negara terhadap mereka yang dikatakan terbabit dalam pelantikan hakim seperti yang didedahkan melalui skandal "Video Lingam", walaupun perkara itu merupakan hasil penemuan dan saranan Suruhanjaya Diraja.

Selain itu, Low berkata amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih diteruskan, turut menyumbang kepada CPI Malaysia bagi 2010.

"Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berautonomi, bagi memperkukuhkan undang-undang serta membuat laporan terus kepada jawatankuasa Parlimen, selain ia diberi kuasa melakukan pendakwaan.

"Cadangan lain ialah membentuk semula kewangan politik dan peraturan parti politik serta pilihan raya, pengisytiharan aset ahli politik, mempromosi kebebasan maklumat, penguatkuasaan undang-undang dan polisi sedia ada secara efektif serta bersungguh-sungguh, termasuk penggubahan dan pindahan wang haram oleh suspek dalam kes rasuah berprofil tinggi," katanya.

Low berkata memandangkan aspirasi Malaysia ialah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, komitmen untuk memerangi rasuah perlu jelas dan tegas, kerana keputusan CPI secara konsisten telah menunjukkan terdapat hubungan langsung antara tahap rasuah dengan pembangunan ekonomi di sesebuah negara.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah seperti melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada April lepas, namun hasilnya tidak boleh dilihat serta-merta kerana persepsi mengambil masa untuk berubah.

"Persepsi awam mungkin mengambil masa untuk berubah, dan kadangkala ia tidak berubah langsung. Persepsi awam boleh berubah jika mereka melihat peratusan yang tinggi dalam pendakwaan," katanya.

Low berkata, melalui inisiatif yang diambil oleh kerajaan pada masa ini, kedudukan Malaysia akan meningkat dalam masa dua tahun.

Dua negara yang berkongsi kedudukan dengan Malaysia ialah Turki dan Namibia.

- BERNAMA

Mentera Dibolehkan Asalkan Tidak Bercampur Syirik

by
Hadith :

Dari ‘Auf bin Malik al-Asyja’i r.a katanya:”Kami biasa melakukan mantera pada masa jahiliyah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang mentera ?” Jawab baginda:”Peragakanlah (bacalah) menteramu itu di hadapanku. Mentera tidak ada salahnya selama tidak mengandungi syirik.”

(Muslim)

Huraian:

Definisi perubatan Islam adalah melaksanakan amalan perubatan berdasarkan paradigma, nilai dan tatacara yang tidak bercanggahan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan istilah perubatan sehingga terjebak ke dalam dunia syirik. Islam telah memberikan panduan yang jelas bahawa semua ilmu perubatan yang mengandungi sihir (jampi mentera yang melanggar syariat), bercampur dengan amalan-amalan haram dan amalan-amalan berdamping dengan makhluk halus yang diyakini berkuasa menentukan kesembuhan penyakit adalah syirik serta amat dilarang dalam Islam.

Islam meletakkan bahawa apa-apa perubatan sekalipun sama ada tradisional mahupun perubatan moden semuanya hendaklah bersandarkan kepada hukum bahawa Allah adalah Maha Berkuasa dalam menetapkan penyembuhan sesuatu penyakit.

Segala macam bahan yang digunakan dalam proses perawatan tidak kira sama ada menggunakan teknologi perubatan yang telah dipermodenkan mahupun secara terapi tradisional adalah sekadar alat semata-mata.

Dalam perkataan lain, segala kaedah dan ubatan yang digunakan hanyalah sebagai ´al-asbab´ dan kita wajib percaya bahawa makhluk tidak berkuasa ke atas sesuatu melainkan segalanya terletak pada ketentuan dan keizinan Allah S.W.T jua.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Gunung Merapi Meletus

by
YOGYAKARTA: Setelah meningkatkan aktivitinya sejak dua minggu lepas, Gunung Merapi akhirnya meletus Selasa pada pukul 5.02 petang waktu tempatan dengan menghembus abu vulkanik setinggi 1,500 meter dan menurunkan hujan debu.

Ribuan penduduk di kawasan radius 10 kilometer dari kaki gunung itu telah dipindahkan pihak berkuasa tempatan ke kawasan selamat. Setakat ini belum ada maklumat mengenai korban jiwa akibat bencana ini.

Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana, Badan Geologi, Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral, Surono yang dihubungi Bernama melalui telefon berkata sejak letusan pertama hingga sekarang, letusan masih berlaku namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana keadaan cuaca gelap.

Dalam siaran langsung televisyen kelihatan hujan abu yang pekat menyiram kawasan pusat pemindahan penduduk di Desa Hargobinangun, di daerah Sleman, Yogyakarta, yang berjarak 15 kilometer dari kaki gunung berapi teraktif di dunia itu.

"Saya harapkan pegawai daerah kawasan terbabit untuk mempercepat pemindahan penduduk setelah selesai prosedur yang telah disepakati," katanya.

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia di sebuah pesantren di Secang, Magelang sedang dipindahkan ke kawasan selamat.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar yang dalam perjalanan untuk proses memindahkan pelajar terbabit telah ditimpa hujan abu gunung berapi itu semasa mereka di Magelang.

"Saya bersama Ludinata (Atase Pendidikan) dan Dr Nazaluddin dalam perjalanan untuk menyelamatkan pelajar-pelajar di Magelang.

"Setelah setengah jam perjalanan, tiba-tiba pandangan menjadi kabur dan gelap gelita. Rupa-rupanya hujan debu dan lumpur telah menimpa semua kenderaan dan di daratan.

"Jalan raya penuh dengan lumpur. Dan jarak pandangan menjadi pendek. Sesampai di stesen minyak, kami berhenti untuk meninjau keadaan kereta. Amat terkejut kerana badan kereta dipenuhi lumpur," katanya.

Setelah keluar dari kereta mereka terpaksa memakai topeng muka dan sesak nafas kerana udara bersih telah menipis.

"Tambahan saya ada asma. Hujan debu menimpa badan kami dan serta merta baju menjadi putih akibat lumpur. Kami meneruskan misi ke Magelang untuk bertemu para pelajar Malaysia," katanya.

- BERNAMA

Hanya 56 Peratus Daripada 12,841 Orang Hilang Ditemui Semula

by
Hanya 56 peratus daripada seramai 12,841 orang dilaporkan hilang ditemui semula berdasarkan statistik polis dari tempoh 2005 hingga 2009.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, jumlah mereka adalah 7,184 orang dan daripada jumlah itu seramai 6,962 orang atau 96.9 peratus masih hidup dan 222 orang (3.1 peratus) mati dibunuh dan sebab lain.

“Antara punca kehilangan mereka disebabkan masalah dalaman keluarga, perhubungan tidak direstui, diculik, orang tidak siuman dan mengikut kekasih warga asing yang pulang ke negara asal,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) pada Sidang Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Sehubungan itu Abu Seman berkata, polis mengambil tindakan segera seperti mewujudkan data peribadi setiap orang hilang dalam borang dikenali sebagai ‘Missing Person System 1’.

Katanya, pihak polis akan membuat hebahan melalui media seperti laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kebenaran keluarga mangsa.

“Ini termasuk memberi taklimat kepada anggota peronda, bit dan patrol untk membantu mengesan orang yang dilaporkan hilang. “Menyemak serta mengkaji setiap tiga bulan terhadap kes-kes yang masih belum selesai, menghubungi pengadu dan memberitahu perkembangan siasatan kes serta mendapatkan maklumat lanjut daripada pengadu,” katanya lagi.

Berkaitan dengan tindakan pencegahan bagi menangani kes-kes kehilangan orang pula, beliau berkata, pihak polis akan mengambil beberapa langkah.

Antaranya mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya menghilangkan diri yang berkemungkinan besar menjadi mangsa jenayah serta kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Program Dasar Sosial Negara.

“Langkah lain adalah menempatkan Pegawai Perhubungan Polis hampir di semua daerah seluruh negara bagi memantau kes salah laku dan penjenayah di kalangan murid.

“Operasi bersama pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan dari masa ke semasa bagi membendung kegiatan ponteng sekolah,” katanya.

Beliau menambah, kesedaran ibu bapa juga dipertingkatkan mengenai peranan mereka dalam penjagaan anak-anak yang sempurna bagi melahirkan modal insan cemerlang.

Ini katanya, termasuk kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta dalam membantu usaha mencari orang yang hilang.

Dalam soalan asal, Mohd Nasir meminta menteri bertanggungjawab menyatakan jumlah orang yang dilaporkan hilang sejak lima tahun lalu dan jumlah mereka yang ditemui selamat dan mati.

Soalan itu termasuk punca berlakunya orang hilang serta pelaksanaan langkah-langkah pencegahannya.

- MSTAR

26 Oktober 2010

TV Alhijrah bersiaran secara rasmi mulai 1 Disember 2010

by
Stesen televisyen terbaru, TV Alhijrah yang menyediakan pelbagai program bercirikan Islam akan memulakan siarannya secara rasmi pada 1 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan saluran televisyen percuma itu mulai 1 November ini apabila siaran ujian dilakukan selama sebulan.

''Pada peringkat awal, siaran TV Alhijrah hanya mencakupi 55 peratus daripada penonton televisyen di negara ini iaitu di Lembah Klang, Terengganu, kawasan utara dan timur Johor serta Sabah dan Sarawak.

''Bagaimanapun, pengurusan stesen TV Alhijrah sedang berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan peruntukan spektrum dari semasa ke semasa bagi memastikan siarannya lebih meluas dan meliputi seluruh negara," katanya pada sidang akhbar memperkenalkan TV Alhijrah kepada media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Eksekutif TV Alhijrah, Bukhari Che Muda.

Pada majlis itu, turut diadakan pengenalan program-program utama TV Alhijrah serta penyerahan program televisyen secara simbolik oleh syarikat-syarikat penerbitan tempatan kepada stesen televisyen tersebut.

Dalam pada itu, Jamil Khir menjelaskan, TV Alhijrah yang menelan perbelanjaan sebanyak RM60 juta dikendalikan oleh Al Hijrah Media Corporation, syarikat yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

"Kerja-kerja akhir sedang giat dijalankan bagi menyiapkan pembinaan pusat penyiaran digital TV Alhijrah di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

"Pusat penyiaran ini menempatkan studio berita dan hal ehwal semasa, bilik hubungan penyiaran, bilik kawalan pusat dan pusat operasi serta pejabat kakitangan," katanya.

TV Alhijrah merupakan stesen televisyen pertama di Malaysia yang menawarkan program-program televisyen berdasarkan perspektif Islam yang menyasarkan golongan belia beragama Islam sebagai penonton utamanya.

Saluran televisyen percuma itu juga adalah inisiatif kerajaan untuk mewujudkan sebuah stesen televisyen yang mampu menjadi sumber ilmu bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada orang bukan Islam bagi membantu mereka mengenali dengan lebih dekat agama itu.

Siaran ujian TV Alhijrah akan bermula 1 November ini dengan waktu siaran dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam bagi hari Isnin hingga Khamis manakala pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, siaran akan bermula lebih awal iaitu 12 tengah hari.

Orang ramai boleh mendapatkan siaran TV Alhijrah yang dipancarkan melalui saluran UHF melalui butang kawalan frekuensi pada set televisyen masing-masing. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tvalhijrah.com

- UTUSAN

Balu Edmund Chong calon BN di Batu Sapi

by

BN akan meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Beliau adalah timbalan ketua Wanita PBS Elopura dan isteri kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi BN negeri, Datuk Musa Aman berkata, jawatankuasa BN negeri sebulat suara memilih Linda bertanding di Batu Sapi.

Katanya, BN yakin dengan kemampuan calon BN itu untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian Edmund, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.

Edward memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,708 undi, dengan menewaskan calon Bebas, Chung Ong Wing. Edward memperolehi 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

Kerusi parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 undi pos - dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi bumiputera-Muslim, 689 bukan bumiputera-Muslim (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan 57 lain-lain kaum (0.22 peratus).

- MALAYSIAKINI

KTMB lancar tren kargo terpanjang

by

PADANG BESAR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat sejarah apabila melancarkan Tren Kargo Terpanjang Menggunakan Lokomotif Tunggal yang menarik 50 gerabak di Stesen KTMB Padang Besar di sini semalam.

Pengurus Besar Perkhidmatan Kargo KTMB, Azman Ahmad Sharabi berkata, kargo terpanjang di Asia Tenggara itu membawa 100 TEU (unit bersamaan 20 kaki) sepanjang 900 meter itu berlepas dari Stesen KTMB di sini ke Pulau Pinang.

Katanya, itu mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke Pulau Pinang dan tempoh itu dapat disingkatkan kepada di antara empat dan lima jam apabila landasan berkempar Ipoh-Padang Besar siap sepenuhnya pada 2013.

"Lazimnya sesebuah lokomotif menarik sehingga 20 gerabak dan boleh ditingkatkan kepada 25 gera- bak atas permintaan pada satu-satu masa.

"Namun, dengan pemilikan aset baru dengan loko- motif yang lebih berkuasa tinggi kelas 26 dan 29, ia dapat ditingkatkan dan boleh membawa sehingga 50 gerabak pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kargo Terpanjang Asia Tenggara di sini.

- KOSMO!

Memori Booster - Kad ingatan ulang kaji

by

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menjelang tidak lama lagi. Kepada ibu bapa dan para pelajar, sekarang adalah masa yang paling penting untuk mengulang kaji pelajaran sebaik mungkin.

Namun, pembelajaran perlu dilakukan dengan cara yang paling berkesan, pantas dan cekap.

Sehubungan itu, Oxford Fajar Sdn. Bhd. memperkenalkan Memory Booster iaitu satu kaedah pembelajaran yang terbukti berkesan untuk mempelajari konsep.

Ia direka untuk mempertingkatkan kecekapan mengulang kaji pelajaran, menghafal dan mengingatkan semula fakta-fakta serta segala informasi untuk penyediaan peperiksaan.

Memory Booster merangkumi satu set kad pelajaran yang mencakupi konsep dan tajuk utama sukatan pelajaran tingkatan empat dan lima di bawah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), untuk membantu pelajar dalam persediaan menghadapi SPM.

Ia ditulis dengan cara yang unik manakala informasi dan fakta dipersembahkan dalam susun atur yang pelbagai seperti penggunaan ilustrasi, gambar rajah, carta jadual dan lain-lain.

Kaedah persembahan yang pelbagai itu bukan sekadar menarik perhatian dan minat pelajar, malah ia juga membantu pelajar menyerap fakta-fakta mudah dalam ingatan.

Kelebihan itu dicapai dengan memecahkan fakta kepada butiran-butiran kecil yang mudah dihafal iaitu satu konsep pembelajaran hasil daripada penyelidikan ke atas otak manusia yang mendapati bahawa otak kiri manusia lebih cenderung kepada butiran fakta dalam kuantiti yang kecil.

Kesemua unsur tersebut digabungkan untuk meningkatkan keberkesanan daya ingatan terhadap informasi yang telah dipelajari apabila ia diperlukan dan semasa peperiksaan.

Berdasarkan pengalaman pemegang rekod Kejohanan Asia Memory dan pengasas Malaysia Mental Literacy Games (Mentalite), Lim Teck Hoe, ia merupakan teknik paling ringkas dan terbukti berkesan.

"Otak kita boleh dilatih untuk belajar apa sahaja yang kita mahu. Kunci kejayaan terletak dalam memahami bagaimana otak kita berfungsi dan cara pembelajaran yang cerdik untuk memaksimumkan potensi otak kita," jelas Teck Hoe.

Pembelajaran optimum

Beliau yang berpengalaman lebih sedekad melatih dan berkongsi kaedah pembelajaran yang boleh membantu pelajar memaksimumkan fungsi otak untuk belajar.

Isi kandungan Memori Booster direka untuk pembelajaran optimum dan daya penyerapan fakta yang pantas. Malah, corak dan pembungkusannya juga direka khas untuk menggalakkan pembelajaran yang efektif dan efisien.

Kad pelajaran minimum yang bercetak di kedua-dua belah serta saiznya sebesar tapak tangan membolehkan ia senang dibawa dan dimasukkan ke dalam kocek.

"Saya memang menggalakkan para pelajar membawa kad pelajaran atau nota pendek di mana saja. Ia boleh digunakan pada bila-bila masa seperti waktu menunggu bas, ketika beratur di kantin atau sewaktu menunggu kelas yang seterusnya," tambah beliau.

Sejajar dengan pelancaran Memory Booster, Oxford Fajar juga bekerjasama dengan Teck Hoe untuk berkongsi tip-tip ulang kaji dengan para pelajar.

Tip terpilih itu boleh didapati di laman web penerbit manakala Teck Hoe pula akan memberi ceramah di beberapa buah sekolah sempena satu pertandingan yang dijalankan.

Penuntut tingkatan empat dan lima turut berpeluang memenangi Memory Booster dengan cabutan pemenang setiap dua minggu sekali. Sekolah yang menghantar borang peraduan yang terbanyak pula berpeluang untuk memenangi sesi latihan untuk pelajar bersama Teck Hoe.

Memory Booster boleh didapati di kedai buku terkemuka seluruh negara pada harga jualan yang berpatutan iaitu RM18 setiap satu. Ia menawarkan sesi ulang kaji untuk mata pelajaran Biologi, Sains dan Sejarah.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.oxfordfajar.com.my

- KOSMO!

Bila pesakit tidak dilindungi insurans

by
Polisi insurans kesihatan bukan untuk dibeli oleh individu yang sedang menghidap penyakit kritikal seperti sakit jantung dan strok.

Sebaliknya hanya orang yang sihat boleh mengambilnya dengan andaian mereka mungkin mendapat penyakit itu pada masa akan datang.

“Kos rawatan untuk penyakit kritikal adalah tinggi. Jika tiba-tiba seseorang itu disahkan menghidapnya, polisi insurans kesihatan yang ada boleh membantu mengurangkan beban kewangan pesakit,” kata ejen insurans American International Assurance Berhad (AIA), Anis Nuriman.

Bagaimanapun, perlindungan perubatan tidak diberikan kepada mereka yang disahkan menghidap penyakit kritikal sebelum satu-satu polisi insurans kesihatan itu dibeli.

Hakikat ini diakui kebanyakan syarikat insurans.

“Pelanggan tidak dihalang sepenuhnya daripada membeli polisi insurans perubatan. Namun, polisi yang ditawarkan untuk pesakit kronik itu melibatkan bayaran premium yang tinggi.

“Ia sudah tentu membebankan pelanggan sedangkan polisi itu tetap tidak meliputi perlindungan terhadap penyakit kritikal yang sedia dihidapi.

“Jadi pada kebanyakan masa, pesakit kanser atau kencing manis tidak membeli polisi itu,” dedah Anis.

Ejen insurans Prudential BSN Takaful Berhad, Rosli Ahmad, pula menambah penghidap penyakit kritikal hanya dapat ditawarkan polisi insurans hayat atau kemalangan.

“Jika mereka mahu membeli insurans perubatan juga, polisi yang ditawarkan akan mengecualikan penyakit kritikal sedia ada atau penyakit kritikal lain yang terjadi disebabkan penyakit kritikal tadi.

Kanser

“Memang malang bagi mereka kerana tidak dilindungi insurans untuk penyakit yang dihidapi tetapi itulah konsep insurans kesihatan,” ujarnya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) Malaysia, Ranjit Kaur, merasakan amalan polisi insurans tersebut satu diskriminasi.

“Kami (pesakit kanser) masih hidup dan sepatutnya boleh membelinya. Malah, ramai penghidap kanser lebih sihat berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit kritikal.

“Keadaan ini tidak wajar berlaku. Perlindungan insurans kesihatan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan,” tegas Ranjit.

Merujuk statistik kanser di Malaysia, kata Ranjit, setiap seorang daripada empat orang berkemungkinan diserang kanser setiap tahun.

“Adakah mereka mengatakan tidak kepada 25 peratus rakyat Malaysia hanya kerana kami ada kanser?” tanya Ranjit.

Tambah beliau, faktor itu jugalah yang membuatkan penghidap kanser berasa amat takut sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit itu.

“Sudahlah kami terpaksa berdepan dengan penyakit kritikal, kami juga mesti memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menanggung kos perubatan,” bidas Ranjit yang menyifatkan itulah salah satu punca pesakit kanser payu dara gagal diselamatkan.

Menurut Ranjit, ada juga antara penghidap kanser payu dara yang ditamatkan polisi insuransnya setelah disahkan menghidap penyakit itu.

“Selepas membayar kos perubatan pertama untuk kanser yang dihidapi, syarikat insurans tersebut bertindak menamatkan polisi yang selama ini dibayar wanita tersebut.

“Macam mana boleh jadi begini? Jika benar wanita itu tersalah membeli polisi, sepatutnya dia didedahkan tentang polisi yang tepat untuk keperluannya,” ujar Ranjit.

Keadaan berbeza adalah di Washington, Amerika Syarikat. Sebuah pelan insurans untuk penghidap penyakit kritikal sedia ada sudah diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak Mac 2010.

Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada penghidap penyakit kritikal mendapatkan perlindungan kesihatan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2014 iaitu sebelum sektor kesihatan tempatan diubah sepenuhnya.

Tindakan itu dilihat sebagai satu perubahan yang baik untuk sektor kesihatan dalam usaha mengurangkan bilangan rakyat Amerika yang sakit.

- KOSMO!

Remaja genius matematik pecah rekod kuiz televisyen

by

MANCHESTER - Seorang remaja genius matematik, Jack Hurst memecah rekod tertinggi program kuiz menduga akal, Countdownt yang disiarkan di sebuah televisyen Britain pada Jumaat lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang merupakan pelajar Universiti Cambridge berusia 18 tahun dari Desford, Leicestershire itu memperoleh markah terkumpul 946 mata iaitu yang tertinggi sepanjang 28 tahun program berkenaan disiarkan oleh stesen televisyen Channel 4 selepas seminggu dia menyertainya.

"Dia telah menonton program itu selama tujuh tahun dan berlatih di laman web Countdown. Justeru, kami tahu dia akan berjaya," kata abangnya, Josh, 22.

Kuiz itu memerlukan peserta mencipta perkataan daripada huruf yang dipilih.

Hurst menewaskan saintis penyelidikan Jonathan Welti dengan memberikan jawapan potatoes, petunias and idolise.

Pada bulan depan, Hurst akan memasuki pusingan akhir kuiz itu bersama tujuh peserta lain yang memperoleh markah tertinggi sepanjang tahun ini untuk merebut hadiah utama yang merupakan satu set 29 buah kamus bersalut emas.

Rekod sebelum ini dibuat oleh pelajar ekonomi Universiti Warwick, Andrew Hulme pada Julai, 2009 dengan markah cuma 930 mata.

- Agensi

Kuda paling kecil di dunia

by

DAKOTA UTARA, Amerika Syarikat - Seekor kuda bernama Bella Contessa mungkin merupakan kuda yang paling kecil di dunia kerana ia setinggi 53.3 sentimeter (cm) dan seberat 25.4 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.

Baru berusia enam bulan, tinggi Bella tidak melebihi sebiji labu yang bersaiz normal.

Bella kini tinggal bersama pemiliknya, Alison Smith.

Kuda itu dikatakan sering menghabiskan masa di kandangnya bersama seekor lagi kuda yang diberi nama Lilly dan dua ekor kambing.

Ketika dilahirkan, Bella hanya setinggi 38.1sm dan seberat 4.08 kg, tidak jauh bezanya dengan berat bayi manusia biasa. Pada kebiasaannya, kuda kecil yang lain setinggi 45.7sm hingga 55.9sm bergantung kepada jantinanya dan seberat 9.97 kg.

"Ramai doktor veterinar memberitahu bahawa Bella ialah kuda paling kecil yang sempurna dan tidak mempunyai ciri-ciri seekor kuda kerdil. Ia juga tidak mengalami masalah kesihatan dan sangat comel," kata Alison.

- Agensi

Urus kewangan agensi kerajaan 2009 lebih baik

by
Jabatan Audit Negara berkata tahap pengurusan kewangan bagi agensi kerajaan lebih baik pada 2009 berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Peningkatan itu menunjukkan pelaksanaan sistem penarafan berasaskan indeks akauntabiliti (IA) memberi dorongan kepada ketua jabatan untuk memberi lebih perhatian kepada pengurusan kewangan.

Jabatan itu berkata, daripada 386 agensi dinilai pada 2009, 47 (12.17 peratus) mendapat penarafan sangat baik. Pada 2008, daripada 275 agensi yang dinilai, hanya 20 (7.27 peratus) mendapat sangat baik.

Berdasarkan pengauditan terhadap 382 penyata kewangan kerajaan dan agensi kerajaan 2009, sebanyak 357 (93.5 peratus) penyata kewangan diberi sijil audit tanpa teguran. Baki penyata kewangan 25 agensi atau jabatan (6.5 peratus) diberi sijil audit berteguran kerana beberapa piawaian perakaunan tidak dipatuhi.

Penilaian berkenaan dibuat atas pengurusan kewangan kementerian/jabatan/badan berkanun/pihak berkuasa tempatan/majlis agama Islam sama ada penyata kewangan disediakan secara teratur mengikut piawaian perakaunan yang diterima pakai dan memberi gambaran yang sebenar tentang kedudukan kewangan mereka.

Setiap tahun Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi bagi menilai sejauh mana aktiviti dan projek kerajaan dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap serta sejauh mana objektif asal aktiviti dan projek ini tercapai.

Ia juga bertujuan menilai sejauh mana wang awam dibelanjakan dengan berhemat tanpa pemborosan dan pembaziran.

- BERITA HARIAN

Kolej Komuniti ambil 80,000 pelatih 2011

by

Kolej Komuniti di seluruh negara dijangka mampu mengambil kira-kira 80,000 lepasan sekolah tahun depan untuk menjalani latihan kemahiran susulan langkah institusi berkenaan melancarkan Sijil Modular Kebangsaan Separuh Masa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengenalan program latihan lebih fleksibel bermula tahun depan itu bertujuan membuka peluang luas kepada lepasan sekolah yang sudah bekerja mendapatkan latihan kemahiran jangka pendek.

Katanya, langkah itu selaras hasrat kerajaan meningkatkan pendapatan rakyat berikutan ketika ini 70 peratus daripada mereka yang memasuki pasaran pekerjaan adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, ini menyebabkan golongan terbabit tidak memiliki kemahiran diperlukan sektor industri, sekali gus menyebabkan pendapatan mereka agak rendah.

"Apabila program modular melalui pembelajaran separuh masa diperkenalkan mulai tahun depan, golongan pekerja boleh menyertai latihan di Kolej Komuniti tanpa perlu mengambil cuti atau berhenti kerja.

"Kita mahu melonjakkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23 peratus sekarang kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2015.
"Ia membolehkan pelajar mengikuti pelbagai modul jangka pendek berasaskan keupayaan mereka dalam tempoh antara tiga dan enam bulan saja,” katanya sambil menambah kementerian itu menyasarkan mengambil 80,000 pelatih tahun depan dan 120,000 orang menjelang 2014.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program itu di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, di sini, semalam.

Khaled berkata, daripada sasaran 80,000 pelatih yang akan diambil tahun depan, 50,000 membabitkan pelatih kursus sepenuh masa, manakala bakinya separuh masa.

Tahun ini, Kolej Komuniti seluruh negara hanya mampu mengambil seramai 20,000 pelatih.

Katanya, ketika ini Kolej Komuniti menawarkan 48 kursus peringkat sijil merangkumi sembilan bidang dan menjelang 2015 ia dijangka meningkat kepada 135 kursus.

Fasa satu sijil modular separuh masa itu menawarkan latihan dalam bidang operasi perhotelan, kulinari, pengendalian pelancongan, penyejukan dan penyaman udara, pemasangan elektrik, operasi akuakultur, penyelenggaraan dan membaiki bot, servis kenderaan ringan dan penyelenggaraan bangunan.

Fasa dua pula membabitkan kursus lukisan senibina, bakeri, dandanan rambut, fesyen dan pakaian, agro industri, perkeranian perakaunan, operasi perniagaan, animasi tiga dimensi, fotografi pengiklanan, senireka grafik dan terapi kecantikan/spa.

- BERITA HARIAN

25 Oktober 2010

Dua Calon Dekat Di Hati Rakyat Bertarung Di Galas

by
GUA MUSANG: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menyaksikan pertarungan dua calon yang dekat di hati rakyat serta berpengalaman memberikan khidmat kepada masyarakat di Gua Musang.

Barisan Nasional (BN) memilih Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, perlu melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh di sini, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil 4 November itu.

Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namun tewas di tangan Tengku Razaleigh.

Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinan kukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkan Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu.

- BERNAMA

Setiausaha Umno bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof calon BN Galas

by

Setiausaha Umno bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof menganggap pemilihannya sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

Abdul Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

"Saya redha dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga redha.

"Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua," katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang hari ini.

Abdul Aziz, dari Kampung Bertam Baru, juga berharap tunjuk ajar Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah akan membantunya dalam kempen pilihan raya kecil itu.

Bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata beliau hanya mengetahui namanya dipilih sebagai calon pagi ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

"Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih," katanya.

- Bernama

24 Oktober 2010

Kelantan Isytihar 4 Nov Hari Cuti Peristiwa

by

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan 4 Nov iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran SUK kepada Bernama di sini pada Ahad.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandang wakil rakyat daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 26 Okt ini.

- BERNAMA

Keputusan Perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia - 23/10/2010 (Sabtu)

by

KEPUTUSAN PERLAWANAN SEPARUH AKHIR KEDUA PIALA MALAYSIA 23/10/2010 (SABTU)

Kelantan 1 - 0 Kedah (Aggregat 1 - 0)

Johor FC 0 - 2 Negeri Sembilan (Aggregat 1 - 2)

* Kelantan dan Negeri Sembilan layak ke Perlawanan Akhir di Stadium Bukit Jalil pada 30 Oktober 2010 (Sabtu)

22 Oktober 2010

Pemangku Yang di Pertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad calon PAS DUN Galas

by


Pemangku yang dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad telah diumumkan sebagai calon PAS untuk pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Pemilihan beliau diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat di Dataran Ilmu yang terletak bersebelahan dengan Masjid Faiz di Gua Musang.

Dr Zulkefli adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Beliau adalah lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992.

Dr Zulkefli mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, turut hadir di majlis pengumuman calon tersebut ialah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

DUN galas mempunyai 10,330 pengundi yang terdiri daripada 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina dan 1.8 peratus India

Bakinya 10.5 peratus terdiri daripada pengundi dari kalangan Orang Asli yang seramai kira-kira 2,000 orang.

Galas adalah salah satu daripada tiga DUN dalam parlimen Gua Musang yang diwakili oleh Tengku Razaleigh, yang dianggap sebagai kubu kuat BN.

Kerusi tersebut jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya umum 2008, dilaporkan kerana peralihan undi bukan Melayu.

Sementara itu, BN akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil DUN Galas dan parlimen Batu Sapi Ahad ini.

Tengku Razaleigh bersetuju menjadi pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Galas, tetapi menolak dilantik sebagai calon.

- MALAYSIAKINI

Sekalipun darurat, hak Melayu tetap terpelihara - Najib

by


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib yang juga Presiden Umno berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Katanya, polemik berhubung isu kerakyatan selepas merdeka dan hak istimewa orang Melayu sudah menjadi perdebatan akademik kerana ia sudah terpateri kemas.

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-raja Melayu," katanya.

"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekali pun darurat diisyhtiharkan ia tetap tidak boleh disinggung."

Menyampaikan ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno pagi ini, perdana menteri berkata, sama ada suka ataupun tidak, peruntukan tersebut diletakkan di luar forum perbincangan.

"Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan primordial instinct atau nalusi asal wujud antara etnik," katanya.

Tambahnya, berdasarkan perjalanan sejarah, tidak kira berapa maju pun ekonomi sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia, betapa tinggi tahap toleransi, sekiranya naluri asal itu wujud dan tidak diurus dengan baik, mungkin kezaliman yang sangat dahsyat akan terjelma.

"Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi Holocoust di benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda.

Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini."

Malah, Najib berkata, di zaman ini ia akan lebih pantas mereba, terutama dalam dunia tanpa sempadan ekoran kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang.

"Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus," jelasnya.

Sebelum itu, menyentuh soal tanggungjawab moral dalam hubungan kaum, presiden Umno juga menyatakan kegusarannya terhadap pihak yang mula mempersoalkan kedudukan bangsa Melayu yang menimbulkan rasa tidak puas hati.

"Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu," katanya.

- MALAYSIAKINI

Kualiti udara di Muar bahaya, Melaka tak sihat

by


Indeks pencemaran udara (IPU) bagi Muar, Johor dilaporkan pada keadaan amat berbahaya manakala bagi kebanyakan tempat di Melaka pula ia diletakkan dalam keadaan tidak sihat.

Sehubungan dengan keadaan jerebu yang dikategorikan sebagai amat bahaya ini, jabatan pelajaran Muar mengarahkan semua sekolah di daerah itu supaya membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah.

Pada jam 11 pagi tadi, bacaan di Muar adalah pada 432 sementara bacaan yang diukur di Bukit Rambai, Melaka pada 95 dan bandaraya Melaka pada 111.

Menurut laman sesawang, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar - www.doe.gov.my - bacaan melebih paras 100 dikategorikan sebagai tidak sihat dan bacaan melebihi 300 pula dikatakan amat bahaya.

Kategori sihat adalah ukuran IPU daripada 0 hingga 50 manakala 51 hingga 100 sebagai sederhana.

Kualiti udara yang merosot juga dilaporkan di beberapa tempat seperti di utara Jojor, Negeri Sembilan dan Selangor sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut JAS keadaan berjerebu itu disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Ia berikutan peningkatan bilangan titik panas di Sumatera kepada 244 sejak empat hari lalun, berbanding 80 yang dikesan pada 16 Oktober.

"Imej satelit NOAA-18 pada 17 Oktober 2010 juga menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Wilayah Sumatera Selatan dan Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia," kata jabatan itu.

- MALAYSIAKINI

Harga Naik, Perokok Macam Mana!

by


Baru-baru ini, harga rokok telah meningkat sebanyak 70 sen bagi satu pek 20 batang rokok yang sebelum ini dijual pada harga RM9.30.

Peningkatan harga rokok kepada RM10 itu adalah satu kenaikan harga tertinggi untuk rokok kerana sebelum ini kenaikan harga adalah antara 10 sen hingga 30 sen.

Kenaikan tersebut adalah langsung daripada harga minimum rokok ditetapkan pada harga RM6.40 bagi 20 batang sebelum ini apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Kenaikan itu akan menyebabkan pek rokok bergred tinggi dijangka melonjak kepada RM14 dan menyebabkan jualan rokok akan menurun sebanyak 10 peratus.

Malah ketika Mingguan mStar mendapatkan komen daripada Pengarah Komunikasi Korporat Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James, berhubung perkara itu, beliau berkata, kenaikan itu berkemungkinan menyebabkan pasaran rokok seludup bakal berleluasa di negara ini.

Richard berkata, pada ketika ini, kadar penyeludupan rokok tiruan berada pada tahap 37 peratus dan angka itu telah cukup untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang paling teruk mengalami masalah penyeludupan rokok menurut satu penyelidikan yang dilakukan oleh Goldman Sachs Group Inc.

“Keputusan kerajaan menaikkan cukai akan menyebabkan masalah penyeludupan rokok bertambah teruk,” katanya.

Daripada kenyataan Richard itu jelas menggambarkan perokok di negara ini sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan nafsu mereka yang tidak berkesudahan itu.

Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ yang dilancarkan oleh kerajaan dengan peruntukan promosi membabitkan kos sebanyak RM100 juta masih juga gagal mengurangkan tabiat merokok kerana setahun selepas promosi itu, jumlah perokok wanita meningkat sekali ganda.

Menurut satu sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengatakan pihak mereka tidak mempunyai statistik purata bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan untuk perkhidmatan berhenti merokok memburukkan gambaran mengenai perokok di negara ini.

“Khidmat ini tidak sekata bagi seluruh negara dan bergantung kepada minat dan kemampuan pegawai yang menyampaikan khidmat berhenti merokok di Klinik masing-masing serta kesungguhan pesakit untuk meninggalkan tabiat buruk mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Mingguan mStar terhadap perokok tegar mengenai kenaikan harga rokok menunjukkan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai hasrat untuk berhenti dengan alasan sukar untuk meninggalkan tabiat itu.

Kebanyakan daripada mereka juga bercadang untuk mendapatkan jenama rokok yang lebih murah sebagai ganti untuk memuaskan nafsu mereka dan bersetuju kes penyeludupan rokok akan lebih bertambah teruk di negara ini.

Tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok, dan dengan kenaikan harga rokok angka yang dibelanjakan itu dijangka terus meningkat.

Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Peningkatan jumlah perokok itu menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

Dengan ketagihan terhadap tembakau merupakan penyebab kedua kematian di dunia selepas penyakit tekanan darah tinggi, pandangan serta langkah bersungguh-sungguh perlu diambil terhadap pasaran tembakau di negara ini.

- MSTAR

Teh kunci ketenangan ketenangan

by

Adakah anda sentiasa memikirkan cara yang menyenangkan untuk menjaga kesihatan? Berita baik ini pasti anda nanti-nantikan.

Anda hanya perlukan secawan teh setiap hari untuk menjana kecerdasan mental dan menjamin kesejahteraan fizikal.

Perkara ini telah dibuktikan oleh pakar teh terkenal di dunia yang membentangkan hasil kajian terbaru mereka mengenai hubung kait antara pengambilan teh dan kesihatan.

Kajian itu menumpukan manfaat tianin (theanine: analog asid glutamik atau asid amino dalam teh) dan flavonoid (vitamin P atau sitrin atau kelas metabolit sekunder tumbuhan).

Hasilnya menunjukkan manfaat yang menarik, khususnya kelebihan teh dalam memperbaiki mood, meningkatkan tumpuan dan kecerdasan di samping menurunkan risiko strok iskemia.

Cara hidup

"Teh sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat Malaysia. Kita menikmati minuman ini dalam pelbagai cara, sama ada teh kosong, teh susu atau teh hijau.

"Kami ingin memberi jaminan kepada pengguna kami bahawa mereka sentiasa menghirup secawan minuman yang berkhasiat," kata Quah Seng Khie, Pengurus Jenama Peruncitan Makanan, Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd.

Tambahnya, manfaat kesihatan yang dikaitkan dengan pengambilan teh telah menjadi tumpuan penyelidikan saintifik yang dijalankan secara meluas.

"Simposium ini memberi peluang kepada pakar teh untuk berkongsi kemunculan kaedah sains baru dan menggalakkan perbincangan mengenai kebaikan teh kepada fizikal," ujarnya.

Hasil penyelidikan yang dibentangkan oleh Dr. Georgie Russell daripada R&D Unilever dan Institut Teh Lipton menunjukkan bahawa pengambilan teh mempengaruhi mood secara positif.

"Kajian kami menunjukkan bahawa mood sering dianggap kualiti subjektif dan boleh diukur dengan berkesan.

"Ini adalah satu perkembangan yang menarik, ia membolehkan kita mengukur kesan rangsangan luar ke atas mood kita. Sebagai contoh, kami dapat mengesahkan bahawa teh susu memberi kesan positif ke atas mood.

"Kesan positif ke atas mood bukan sahaja membuatkan kita rasa ceria, tetapi beberapa kajian menyarankan bahawa teh dikaitkan dengan manfaat seperti peningkatan kreativiti dan sokongan kepada sistem imunisasi," kata Russell.

Lebih tumpuan

Selain kesan psikologi, Dr. Eveline De-Bruin membentangkan bukti baru yang menunjukkan bahawa pengambilan teh boleh membantu anda memberi lebih tumpuan dan membaiki kecerdasan subjektif. Mekanisme kajian inilah yang menjadi tumpuan perbincangan semua saintis.

Kajian memperlihatkan mekanisme di sebalik kesan ini yang menunjukkan bahawa selepas mengambil satu dos kuat tianin dan kafein, dua bahan aktif yang terdapat secara semula jadi dalam teh, rangkaian perhatian otak diaktifkan secara lebih cekap.

"Kajian ini menunjukkan tindak balas bahan aktif dalam teh, tianin dan kafein mengoptimumkan pengaktifan bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap tumpuan kita seharian," Eveline De-Bruin.

Kurangkan risiko strok

Dr. Lenore Arab, Profesor di David Geffen School of Medicine di UCLA, mendedahkan hasil penyelidikan telah mengesahkan bahawa pengambilan teh setiap hari berpotensi menurunkan risiko strok iskemia sebanyak 21 peratus.

Strok adalah punca kematian ketiga paling tinggi di Malaysia. Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia menganggarkan terdapat kira-kira 40,000 penghidap strok di Malaysia.

Strok juga merupakan penyebab utama kehilangan upaya fizikal. Strok iskemia, berlaku apabila saluran darah tersekat, meliputi kira-kira 83 peratus daripada semua kes strok yang dilaporkan.

Dr. Sheila Wiseman dari Institut Teh Lipton, menyokong dakwaan ini dengan hasil kajian yang berbeza. Beliau menjelaskan bahawa flavonoid teh membantu menenangkan saluran darah.

"Hanya 100 miligram flavanoid teh sehari iaitu bersamaan dengan kurang daripada satu cawah teh sehari dapat membantu membaiki kapasiti keanjalan saluran darah. Ini bermakna kesan positif pengambilan teh ke atas fungsi vaskular mungkin relevan bagi kebanyakan orang di dunia yang hanya minum satu atau dua cawan teh sehari," ujarnya.

- UTUSAN MALAYSIA

Paypal: RHB cipta sejarah

by

KUALA LUMPUR 20 Okt. - RHB muncul sebagai bank pertama di Asia Pasifik membolehkan pelanggannya membuat pembayaran masa sebenar melalui akaun bank ke PayPal selepas ia menjadi bank tunggal di Malaysia menawarkan pembayaran dalam talian melibatkan entiti yang sama hari ini.

Pengerusi RHB Bank Bhd., Tan Sri Azlan Zainol berkata, dengan memiliki akaun RHB-Paypal, pelanggan RHB boleh membuat pembayaran ke pedagang PayPal di seluruh dunia.

"Perkhidmatan tambah nilai menerusi Paypal telah bermula hari ini (semalam) manakala perkhidmatan penghantaran wang pula akan bermula 26 Oktober ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kerjasama eksklusif antara RHB Bank dan Paypal yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Tajuddin Atan, Naib Presiden dan Pengurus Besar Paypal Asua Pacific, Farhad Irani.

Perkhidmatan yang julung kali diperkenalkan oleh RHB itu membolehkan para pelanggannya membeli belah di seluruh dunia dan mendapat tawaran menarik lebih lapan juta pedagang di 190 pasaran yang menerima pembayaran melalui Paypal.

Sementara itu Farhad Irani berkata, PayPal kini menyediakan perkhidmatan bayaran dalam ringgit yang membolehkan pelanggannya memindahkan wang daripada akaun PayPal terus ke akaun bank Malaysia.

Katanya, perkhidmatan baru itu menyediakan pilihan untuk pembeli dan penjual Malaysia melakukan pembayaran dan menerima pembayaran dalam mata wang tempatan untuk transaksi dalam negeri.

"Para penjual di Malaysia mampu memperoleh akses laju dan mudah untuk dana mereka sekali gus menjadikan e-perdagangan lebih mudah selain selamat.

"Secara purata, jualan e-perdagangan di Malaysia merangkumi kira-kira AS$2.5 bilion (RM8.5 bilion) daripada 35 peratus untuk Asia Pasifik, menjadikan negara ini salah satu pasaran terbesar di rantau ini bersama-sama Thailand dan Singapura," katanya.

PayPal yang berpusat di San Jose, California dengan ibu pejabat antarabangsanya di Singapura menawarkan perkhidmatan yang selamat dan pantas untuk melakukan pembayaran dan menerima pembayaran secara dalam talian.

Perkhidmatan itu membenarkan pelanggannya membayar tanpa mendedahkan maklumat kewangan dengan fleksibiliti membayar menggunakan baki akaun dan kad kredit masing-masing.

Dengan mempunyai lebih 78 juta akaun aktif di 190 pasaran dan 24 mata wang asing di seluruh dunia, PayPal membolehkan e-perdagangan global dilaksanakan.

- UTUSAN MALAYSIA

SPAD dijangka beroperasi penuh Januari 2011

by

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijadualkan beroperasi sepenuhnya sebagai badan yang menyelia perkhidmatan awam darat bermula Januari nanti.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, bacaan kali kedua pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membolehkan SPAD mempunyai kuasa dalam penguatkuasaan dan perlesenan.

"Bagaimanapun sementara menanti pindaan akta itu, pada masa ini, SPAD beroperasi mengikut kapasiti di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

"Pindaan itu penting bagi membolehkan suruhanjaya dapat memainkan peranan sebagai badan yang menyelia pengangkutan awam darat serta menyerap unit-unit sektor kerajaan yang berkaitan ke dalam SPAD," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran perkhidmatan KLIA Ekspres VIP-Executive Home-to-Airport Pick-up di KL Sentral hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Express Rail Link (ERL), Noormah Mohd. Noor; Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Muhd. Nur Ismal Mohamed Kamal dan Ketua Pengarah Jabatan Keretapi, Anuar Kassim.

Dalam pada itu, Syed Hamid mengucapkan tahniah bagi inisiatif dan kreativiti pihak ERL bagi menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam seperti ERL yang mesra alam sekitar di samping memenuhi kehendak mereka.

Normah berkata, perkhidmatan tersebut membolehkan pengguna menikmati layanan istimewa dari rumah hingga KLIA dan dari KLIA hingga ke rumah.

"Kenderaan yang disediakan terdiri daripada Toyota Camry, Ssangyong Stavic bagi kenderaan eksekutif sementara kereta jenis Mercedez-Benz E-Class untuk perkhidmatan premier.

"Pelanggan perlu membayar RM135 bagi zon satu yang dalam lingkungan 15 kilometer dari KL Sentral dan RM185 bagi jarak 40 kilometer seperti Gombak, Subang Jaya dan Kajang. Bagi pakej premier, pelanggan perlu menambah sebanyak RM55," ujarnya.

Sempena pelancaran itu, ERL akan memberi satu keping tiket kereta api KLIA Ekspres bagi setiap tempahan rumah dalam perkhidmatan VIP.

Tempahan mestilah dibuat pada 21 Oktober hingga tiga November dan perjalanan mestilah pada atau sebelum 31 Disember.

Pelanggan boleh menempah di talian 03-22789009 dari pukul 6.00 pagi hingga 11.30 malam atau melalui laman web www.VIPservice.com.my

- UTUSAN MALAYSIA

Khidmat Bank Islam di tapak tangan

by


KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) berhasrat meluaskan sistem perbankan atas tapak tangan (TAP) tanpa akses internet ke luar negara pada suku kedua tahun depan, selepas melancarkannya di Malaysia hari ini.

Sistem terbaharu itu akan membolehkan pelanggan bank menggunakan telefon mudah alih daripada pelbagai jenis dan jenama untuk mengakses akaun simpanan dan menjalankan urus niaga.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, perluasan ke peringkat antarabangsa merupakan fasa kedua pembangunan sistem perbankan itu.

Katanya, fasa pertama adalah pembangunan dan pengoperasian dalam negara dengan modal pelaburan kira-kira RM1 juta.

''Sekarang, kami memberikan tumpuan kepada pasaran tempatan selain memperluaskan rangkaian bayaran bil supaya ia menyeluruh sehingga kepada pembayaran zakat,'' katanya selepas melancarkan TAP di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Pengurus Besar Bank Islam (Perbankan Pengguna), Khairul Kamarudin.

Melalui TAP, para pelanggan boleh membuat urusniaga seperti pindahan akaun ke akaun bank lain, bayaran bil serta hampir semua kemudahan yang terdapat di kaunter bank.

Perbankan telefon selular tidak memerlukan telefon canggih, sebaliknya ia boleh diaplikasikan dengan semua jenis telefon.

Para pelanggan hanya perlu mendaftar kad sim telefon selular masing-masing dengan Bank Islam dan ia akan diformatkan dengan aplikasi perbankan tersebut.

Perkhidmatan melalui telefon selular itu diuji selamat dan menggunakan dua kata laluan.

Bank Islam mengenakan kadar bayaran yang rendah dan terdapat beberapa transaksi tidak dikenakan bayaran seperti pindahan dana ke akaun keluarga serta untuk pertanyaan baki bagi tempoh tiga kali.

Tambah Zukri, Bank Islam menyasarkan untuk meraih 100,000 pelanggan, termasuk pelanggan baru dan sedia ada, menggunakan perkhidmatan TAP dalam tempoh 12 bulan pertama ia diperkenalkan.

Bank yang mempunyai 108 cawangan itu kini mempunyai asas pelanggan seramai 2.4 juta orang.

- UTUSAN MALAYSIA

Agama bukan alasan, halangan Muslim jadi penderma organ

by

Oleh Siti Noorzuraidawati Mihat dan Mohd Rezuan Masran
Eksekutif Penyelidikan Yayasan Ilmuwan

Pendermaan organ adalah isu penting yang menjadi agenda utama negara membantu individu yang memerlukan organ untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai persoalan bermain di fikiran masyarakat berhubung isu ini.

Antara isu yang selalu dibangkitkan ialah soal agama dan kaum yang sememangnya sensitif kepada sesetengah pihak. Kekeliruan yang timbul membawa kepada keengganan pihak tertentu mendermakan organ kepada orang lain atas sebab perbezaan agama dan kaum.

Perlu diperjelaskan tidak timbul isu perbezaan agama dan kaum yang menyekat usaha mendermakan organ bagi tujuan kebajikan kerana Islam menyeru umatnya melakukan kebajikan kepada sesama manusia.

Sememangnya bukan mudah sesetengah pihak mendermakan organ kepada orang lain. Namun, sikap ini harus dikikis dalam kotak pemikiran masyarakat seluruhnya pada masa kini.

Kita seharusnya sedar menjadi tanggungjawab sebagai manusia melakukan pengorbanan kepada orang lain untuk manfaat bersama.

Apabila kita melakukan pengorbanan bagi tujuan kebajikan, sebenarnya kita sudah reda dengan ketentuan diletakkan atas diri kita. Bukan satu perkara mudah untuk kita mendermakan organ kepada individu tidak dikenali terutama yang membabitkan perbezaan agama, bangsa dan warna kulit.

Bukan saja tidak mendapat bayaran, penderma organ juga akan mengalami komplikasi apabila melakukan pendermaan organ ketika masih hidup. Namun, harus disedari bahawa inilah pengorbanan paling besar seharusnya kita lakukan bagi kebaikan bersama.
Tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz menyatakan, pendermaan organ perlu dilihat sebagai amalan baik kerana menyelamatkan nyawa manusia.

Dari sudut sejarah, pemindahan organ di negara ini bukan perkara baru. Sejarah pemindahan organ bermula pada awal 1970-an lagi. Tanggal keramat 15 Disember 1975 menyaksikan sepasukan pakar diketuai Datuk Dr Hussien Awang menjalankan pemindahan organ pertama negara ini.

Pembedahan itu dijalankan kepada Martin Rinyeb, yang menerima buah pinggang daripada adiknya, Augustin. Selepas pembedahan bersejarah itu, banyak lagi pembedahan pemindahan organ dan tisu dijalankan hospital Malaysia.

Sehingga 1 September 2010, 1,377 pemindahan buah pinggang direkodkan. Rekod Pusat Sumber Transplan Nasional menunjukkan tujuh penerima dalam senarai menunggu mendapatkan jantung baru, manakala empat pesakit menunggu pemindahan paru-paru.

Persoalannya, meskipun 40 tahun pemindahan organ dan tisu dijalankan di Malaysia, bilangan penderma serta pengikrar organ di negara ini masih rendah. Ramai keliru dan menyatakan mereka tidak menderma serta menjadi pengikrar organ kerana halangan agama.

Fakta sebenar menunjukkan, kebanyakan agama di dunia termasuk Islam membenarkan proses pendermaan organ. Di Malaysia, Jabatan Mufti negeri mempunyai pandangan positif terhadap isu ini. Fatwa Jabatan Mufti Johor menyatakan pemindahan dan pendermaan organ dan tisu adalah harus dalam keadaan darurat. Pandangan serupa digunakan negeri lain.

Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan sejak 1970 menyatakan dengan jelas keharusan pendermaan organ. Maka, dapat disimpulkan agama bukanlah halangan seseorang menjadi penderma organ.

Antara kekeliruan dalam masyarakat ialah berkaitan ‘mati otak’ iaitu tiada peredaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak yang mengawal proses pernafasan serta denyutan jantung) tidak lagi berfungsi.

Selepas proses ini berlaku, otak mulai mereput. Menurut kajian pakar, kehilangan fungsi otak tidak boleh dipulihkan. Perkara ini berbeza dengan koma, otak masih berfungsi. Maka, seseorang yang disahkan mati otak sama statusnya dengan meninggal dunia.

Mutakhir ini, kebanyakan mufti sepakat menyatakan seseorang yang mati otak diklasifikasikan sebagai mati. Namun, ada segelintir masyarakat masih belum menerima hakikat orang disayangi sudah mati kerana mereka masih bernafas (menggunakan alat bantuan pernafasan).

Proses memastikan seseorang itu mengalami mati otak juga tidak mudah. Undang-undang memperuntukkan pengesahan seseorang itu mengalami mati otak memerlukan pemeriksaan daripada sekurang-kurangnya dua doktor pakar dalam bidang berkenaan, serta pemeriksaan dilakukan secara berasingan. Prosedur sebegini dijalankan supaya tidak berlaku sebarang kesilapan.

- BERITA HARIAN

Darah tinggi penyakit seumur hidup

by

HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.

Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.

“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.

Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

Satu daripada dua

Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.

“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.

Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.

Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.

“Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.

Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.

“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.

- KOSMO!

Komputer riba Apple paling nipis

by


CUPERTINO, California - Syarikat komputer Apple Inc. memperkenalkan dua komputer riba MacBook Air yang nipis kelmarin.

Salah satu komputer riba itu mempunyai skrin seluas 33.8 sentimeter (sm) manakala yang kedua mempunyai skrin 29.4sm.

Komputer MacBook yang lebih besar itu senipis 1.73 sentimeter dan seberat 1.3 kilogram (kg) manakala baterinya tahan selama tujuh jam.

Satu lagi model komputer riba itu seberat 2.2kg dan baterinya tahan selama lima jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs berkata semasa melancarkan: "Kami bertanya kepada diri sendiri, apa akan berlaku jika MacBook dan iPad digabungkan? Maka inilah hasilnya."

iPad ialah komputer tablet keluaran Apple.

Komputer MacBook Air tidak boleh membaca cakera padat (CD) atau cakera padat digital (DVD).

Ia hanya menggunakan memori flash seperti iPhone.

Komputer Macbook Air dijual pada harga bermula AS$999 (RM3,103) dengan storan memori 64 gigabit.

Pada harga AS$1,199 (RM3,725) ia dilengkapi dengan memori 128 gigabit.

Komputer Macbook yang lebih besar ditawarkan pada harga AS$1,299 (RM4,035) dengan kapasiti 128 gigabit atau $1,599 (RM4,968) bersama storan 256 gigabit.

- Agensi

Wawancara dengan Ketua Pengarah Imigresen - Jabatan Imigresen Sememangnya Penuh Dengan Cabaran

by


Imigresen sering dilanda pelbagai kontroversi namun kehangatannya bermula apabila seramai 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Kredibiliti kakitangannya juga terjejas apabila empat pegawai imigresen ditahan reman berhubung dakwaan rasuah membabitkan kemasukan pendatang asing tanpa asing (PATI) ke negara ini melalui Pulau Ketam, Klang, baru-baru ini.

Begitu juga dengan penahanan dua pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan PATI di Jeti Port Dickson.

Terbaru, polis menahan tujuh pegawai imigresen di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing ke negara ini.

Lebih panas apabila kesemua mereka dipercayai bersekongkol dengan ketua sindiket berbahaya yang turut terdedah dengan jenayah serius lain seperti aktiviti pengganas, penyeludupan senjata api, dadah dan pengintipan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi kata dua kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman bahawa tidak mustahil beliau akan ditukar jabatan sekiranya perkara ini berulang .

Teka-teki mengenai kedudukan Abdul Rahman akhirnya terjawab beberapa hari lalu apabila beliau menerima surat rasmi berhubung pertukaran jawatannya pada hari yang sama beliau sepatutnya ditemuramah oleh wartawan Mingguan mStar.

Abdul Rahman ditukarkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memegang portfolio Setiausaha Bahagian Imigresen berkuat kuasa pada Jumaat lalu (15 Oktober).

Jawatan yang disandangnya sejak 21 Julai 2008 itu kini diisi oleh Datuk Alias Ahmad yang sebelum ini merupakan Setiausaha Bahagian Keselamatan di KDN.

Mingguan mStar menjadi media terakhir yang menemuramah Abdul Rahman Othman sebagai Ketua Pengarah Imigresen.

MSTAR: Jabatan Imigresen sering dilanda kontroversi. Apa kata Datuk?

ABDUL RAHMAN: Saya melihat tugas di Jabatan Imigresen merupakan sesuatu yang mencabar bukan sahaja di pintu masuk tetapi di kaunter bagi sistem penyampaian.

Kegagalan kita memeriksa atau memerhati seorang itu di pintu masuk dengan teliti bermakna kita juga gagal di benteng pertahanan terakhir negara.

Dari segi pertahanan, Jabatan Imigresen merupakan agensi terakhir. Sebab itu saya tidak pertahankan isu penahanan pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Isu penahanan melibatkan soal kredibiliti. Komen Datuk?

Imej buruk imigresen berpunca daripada sikap tidak jujur pegawai yang ditahan tidak akan menjejaskan semangat pegawai imigresen lain.

Dalam mana-mana sistem pasti ada yang tidak berperanan dengan baik tetapi 95 atau 99 peratus pegawai imigresen masih bertanggungjawab menjalankan tugas.

Mereka terus berkhidmat di pintu masuk meskipun imej sedikit tercalar. Ini memberikan peringatan bahawa tugas mereka sentiasa dipantau.

Dalam dunia ini tiada yang sempurna 100 peratus dan setiap daripada mereka yang silap perlu belajar serta memperbaikinya.

Begitu juga dengan Jabatan Imigresen yang seharusnya diberikan peluang untuk menunjukkan prestasi baik menerusi tugas, keupayaan dan kredibiliti.

Jangan hanya kerana tujuh pegawai imigresen yang ditahan polis di bawah ISA kita harus melupakan peranan, sumbangan dan tanggungjawab pegawai-pegawai lain.

Jangan persalahkan kami sahaja hanya kerana beberapa kes sedangkan banyak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba membolosi masuk ke negara berjaya ditahan.

Kami juga mendapat pengiktrafan seperti dicapai oleh Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai imigresen lapangan terbang terbaik dunia oleh Anugerah Skytrax.

Pengiktrafan itu berdasarkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan dalam menguruskan kemasukan di pintu masuk utama negara.

Tidak dinafikan penahanan pegawai imigresen sedikit sebanyak mencalarkan imej tersebut namun ia tidak dianggap sebagai hari terakhir bagi Jabatan Imigresen.

Namun kita sepatutnya bangkit semula dengan meneruskan penambahbaikan bagi mengembalikan semula kecemerlangan sebelum ini malah lebih baik.

Tidakkah imej pegawai imigresen lain turut tercalar?

Jumlah pegawai imigresen yang ditahan itu sangat kecil berbanding 14,276 kakitangan keseluruhan atau antara 4,000 dan 5,000 pegawai bertugas di pintu masuk.

Saya tidak membezakan mana-mana pun kerana ia melibatkan kakitangan secara menyeluruh. Namun saya telah menerangkan kepada pegawai penyelia di barisan hadapan mengenai tanggungjawab semua.

Jika tidak dipatuhi, ia akan memberikan imej buruk, kehancuran atau kemudaratan lebih besar kepada Jabatan.

Tidak perlu cakap pasal rasuah, jika terdapat salah laku pegawai seperti tidak datang bertugas pun sudah cukup besar kesalahan itu.

Sistem penyampaian akan gagal kerana kekurangan kakitangan bertugas sedangkan masyarakat mengharapkan perkhidmatan terbaik. Jika pegawai penyelia tidak dapat melaporkan salah laku pegawainya untuk tindakan maka sampai bila-bila pun mereka akan terus bermasalah.

Pun begitu, pegawai imigresen perlu melihat kejadian berlaku sebagai peringatan bahawa pihak lain akan bertindak sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab.

Ini juga peringatan menunjukkan bahawa kita melakukan kesilapan dan perlu memperbaiki perkara itu ke arah lebih baik.

Kita seharusnya melihat ia sebagai satu ujian untuk mengembalikan kekuatan. Paling penting adalah menguruskan rakan sepasukan dengan lebih baik kerana antara mereka mungkin alpa kerana sudah banyak ‘keuntungan’ diberikan sebelum ini.

Apakah ‘keuntungan’ yang dimaksudkan?

Skim perkhidmatan imigresen ditambahbaikkan diperkenalkan mulai 1 Disember 2007 menerusi Skim Perkhidmatan Bersepadu. Mana-mana pegawai imigresen yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja boleh dinaikkan jawatan ke peringkat pengurusan dan profesional.

Mungkin kerana mereka merasakan keuntungan itu sudah begitu besar berikutan peluang kenaikan pangkat begitu besar menyebabkan mereka mudah lupa.

Pada masa ini tidak ada perkhidmatan lain dalam kerajaan yang akan merasai kenaikan pangkat setelah sembilan tahun sahaja bekerja.

Ia turut melibatkan penambahan jawatan apabila depot dipertanggungjawab sepenuhnya di bawah Jabatan Imigresen pada 1 Ogos 2009.

Ketika itu kerajaan meluluskan 938 jawatan baru pelbagai peringkat bagi mengisi kekosongan di bahagian tersebut.

Kerajaan juga baru-baru ini meluluskan peruntukan RM100 juta menerusi bajet luar jangka untuk penambahbaikan dalam Jabatan Imigresen.

Bagaimana percaturannya dalam kedudukan Jabatan Imigresen?

Kerajaan sememangnya prihatin terhadap kedudukan Jabatan Imigresen maka para pegawai-pegawai mestilah melaksanakan tugas lebih baik.

Masalah pembolosan warga asing sebenarnya tertumpu kepada depot yang tidak lengkap dengan sistem kawalan bermutu.

Namun kini segalanya tersedia dengan peruntukan secukupnya sekaligus semua pegawai imigresen perlu menghargai keprihatinan sumbangan kerajaan.

Bila sudah ada peruntukan dan penambahbaikan skim perkhidmatan, mereka sepatutnya menunjukkan prestasi lebih baik dan bukan memberi masalah.

Apakah cadangan untuk penambahbaikan?

Banyak perkara di Jabatan Imigresen boleh diperbaiki dan sudah tiba masanya untuk meneliti cadangan penjenamaan semula.

Jabatan Imigresen hari ini terlalu banyak menumpukan perhatian kepada kemudahan untuk warganegara seperti pasport. Bagaimanapun, menyusuri perkembangan globalisasi, kita semua terbuka kepada ketibaan warga asing dari seluruh dunia ke negara ini.

Kerajaan turut berusaha untuk membawa masuk bakat dari luar negara dengan menyediakan peluang lebih baik untuk golongan itu. Justeru, kita seharusnya menukarkan fokus dengan memberikan peluang lebih baik kepada mereka yang bukan warganegara untuk berada di negara ini.

Ketibaan warga asing adalah 23 juta orang dengan purata 2.7 juta orang setiap hari.

Mereka adalah pekerja asing, pelajar antarabangsa, ekspatriat, pelawat harian dan pelancong asing. Semua warga asing di negara ini diuruskan oleh Jabatan Imigresen dan pilihan yang ada pada pegawai adalah menguruskannya dengan lebih baik.

Kita dahulu terlalu fokus kepada warganegara tetapi sekarang perlu beralih kepada warga asing dengan aliran yang turut ditunjukkan kerajaan.

Antaranya jangkaan terhadap kedatangan pelancong asing serta usaha untuk mewujudkan pusat kecemerlangan dan hab pendidikan.

Bagaimana pula dengan operasi dan perkhidmatan lain?

Antara cadangan penjenamaan semula yang sudah pun diuar-uarkan kepada kerajaan adalah mengkhususkan pejabat imigresen. Sebagai contoh, jika hari ini kita pergi ke pejabat imigresen Kajang namun pejabat itu hanya membuat urusan pasport Malaysia sahaja.

Apabila mewujudkan pejabat imigresen bermakna ia harus melibatkan semua urusan bukan sekadar tertumpu kepada pasport semata-mata.

Kita juga perlu menaiktaraf kemudahan teknologi maklumat bagi melancarkan urusan di pintu masuk sebagaimana pelaksanaan pintu pagar automatik (autogate) untuk pasport Malaysia.

Kemudahan itu wajar diperbanyakkan supaya Jabatan Imigresen dapat menumpukan urusan keluar masuk warga asing. Kita sudah mempunyai pejabat di luar negara yang menguruskan pengeluaran visa maka kemasukan mereka ke negara ini sudah melalui proses saringan.

Bagaimanapun, isu warga asing memasuki negara ini kerana memiliki pasport dan visa palsu tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan tanggungjawab pihak imigresen di sesetengah negara.

Apa yang kita boleh lakukan adalah menyekat kemasukan mereka sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan demikian.

Adakah adil sekiranya Jabatan Imigresen dipersalahkan berhubung kes pendatang asing tanpa izin (PATI)?

Tidak. Jabatan Imigresen tidak patut dipersalahkan 100 peratus dalam kes PATI kerana ia turut melibatkan beberapa peringkat pertahanan.

Jika kemasukan menerusi jalan laut ia akan melalui agensi lain iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Pasukan Gerakan Marin.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen hanya bertanggungjawab di 117 pintu masuk menerusi laluan udara, darat dan air yang diwartakan sahaja.

Seperti laluan tikus di perairan tidak dipantau oleh Jabatan Imigresen kerana ia melibatkan tiga agensi lain tetapi sebagai agensi terakhir tetap dipersalahkan.

Yang terakhir itu melibatkan soal imej dan sekiranya tiga agensi itu berperanan maka maka Jabatan Imigresen hanya melengkapkan sahaja maka hebatlah.

Tetapi jika ketiga-tiganya gagal, sehebat mana Jabatan Imigresen masih tetap gagal sebagai agensi terakhir di benteng pertahanan negara.

Begitu juga dengan pihak lain, mahu menjadikan negara sebagai hab pendidikan tetapi pihak berkenaan tidak mengetahui sejauh mana kualiti pelajar itu.

Jabatan Imigresen diminta memberi sokongan ketibaan pelajar asing dan akhirnya dipersalahkan sekiranya pelajar terbabit terlibat dengan jenayah.

Namun saya tidak menganggap perkara ini sebagai beban tetapi cabaran untuk terus maju ke hadapan.

Bagaimana dengan usaha mempertingkatkan kualiti pegawai imigresen?

Penambahbaikan kualiti perkhidmatan akan diteruskan. Kita sebagai penyedia perkhidmatan maka tiada pilihan melainkan mempertingkatkan kualiti dari masa ke semasa kerana masyarakat mahukan yang terbaik.

Sistem pendidikan akan diteruskan bukan terhad sekadar induksi tetapi sebenarnya meliputi latihan meluas seperti pengkhususan, perkhidmatan dan integriti.

Latihan interaksi tentang bagaimana untuk bertingkah laku sebagai seorang pegawai diperlukan supaya mereka dapat menjalankan pengurusan secara profesional.

Mereka akan menjadi pelaksana dan diajar bagaimana untuk membuat keputusan, tentang bagaimana untuk memberi arahan serta memantau arahan.

Latar belakang dan kemahiran yang perlu ada pada pegawai imigresen dan perlu diberikan penekanan.

Kedudukan Jabatan Imigresen adalah memberi perkhidmatan dan masyarakat perlu membantu memberikan sokongan.

Ini terutama melibatkan isu ‘pemberi’ dalam perantaraan terhadap sesuatu urusan kerana mahu cepat atau demi kepentingan tertentu.

Masyarakat harus ingat bukan semua perkara boleh dibayar dengan duit. Mereka juga harus berperanan membanteras gejala rasuah.

Apakah reaksi apabila ditukarkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN)?

Saya melihat keputusan ini sebagai kesempatan kepada saya untuk menyumbangkan lebih besar lagi kepada imigresen.

Ini menunjukkan kerajaan masih melihat saya untuk terus menyumbang maka saya ditempatkan sebagai Setiausaha Bahagian Imigresen di KDN.

Sumbangan lebih besar merujuk kepada apa yang tidak dapat saya laksanakan semasa jadi Ketua Pengarah Imigresen.

Apabila di tempat baru nanti, saya perlu mempunyai idea lebih baik. Di KDN, kita menetapkan dasar. Oleh itu, dasar-dasar imigresen haruslah lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Cakap-cakap mengatakan penukaran itu disebabkan Datuk tidak menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Imigresen dengan baik. Komen Datuk?

Itu pandangan masing-masing. Yang pasti, saya sudah berusaha menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Jika saya tidak menunjukkan prestasi yang baik atau dianggap pertukaran ini sebagai satu hukuman, sudah tentu saya akan diberikan peranan di bahagian lain yang tiada kaitan dengan imigresen.

Tetapi saya masih lagi diberikan peluang untuk terus berkhidmat untuk imigresen yang lebih baik.

Apa perasaan Datuk apabila meninggalkan kerusi Ketua Pengarah dalam keadaan Jabatan Imigresen penuh kontroversi?

Kedudukan Jabatan Imigresen pada hari ini meskipun dilanda pelbagai kontroversi lebih kepada soal peringatan.

Ia juga sebagai satu peringatan untuk saya. Ini bermakna saya perlu menunjukkan prestasi lebih pada masa akan datang.

Sebab itulah saya masih lagi diberikan peluang menjalankan tugas melibatkan imigresen.

Saya berterima kasih kerana diberikan peluang meneraju di sebuah jabatan yang penuh dengan cabaran. Jabatan Imigresen sememangnya penuh dengan cabaran dan Ketua Pengarah baru akan mendepani cabaran seperti yang saya lalui.

Apa yang saya buat (sebagai Ketua Pengarah) adalah sesuai pada waktu saya. Apa yang saya buat juga berdasarkan cara saya memimpin.

Ketua Pengarah baru mungkin mempunyai cara lain, lebih baik daripada cara saya. Mungkin kesesuaian itu akan membawa kecekapan lebih baik kepada Jabatan Imigresen. Itu yang saya harapkan.

Apakah kunci utama Jabatan Imigresen untuk terus kukuh?

Hakikatnya, Jabatan Imigresen merupakan sebuah organisasi unit beruniform. Semangat perjuangan begitu kuat begitu juga dengan kerjasama sepasukan.

Kita perlu membina kekuatan berdasarkan strategi dan kelebihan yang ada. Perkara itu paling penting dan tidak sukar untuk melakukannya.

Bagaimanapun, masyarakat juga perlu terus memberikan kerjasama untuk merangsang kekuatan itu dan bukanlah sekadar mengharapkan yang terbaik daripada Jabatan Imigresen.

Dengan peluang kedua dan sokongan termasuk penambahbaikan dan pembaharuan, saya percaya Jabatan Imigresen akan terus kukuh.

- MSTAR

Top Ad 728x90