Rangka lengkap dinosaur Sauropod ditemui


DENVER - Sekumpulan saintis menemui rangka lengkap pertama seekor dinosaur, yang merupakan nenek moyang kepada dinosaur jenis Sauropod, makhluk terbesar yang pernah wujud di muka bumi ini.

Rangka berukuran sembilan meter panjang yang lengkap dengan tengkorak itu mungkin membantu membongkar kisah bagaimana dinosaur jenis sauropod yang mempunyai tengkuk sepanjang 37 meter itu mengalami evolusi dan menjadi pemakan tumbuh-tumbuhan.

Rangka itu ditemui di selatan China, kata ahli paleontologi Texas Tech, Sankar Chatterjee, semalam.

Dia merancang untuk membentangkan penemuan awal Ahad lalu itu pada mensyuarat Persatuan Geologi Amerika di Denver.

"Ia seperti sebuah manuskrip. Banyak halaman yang hilang. Kami masih cuba untuk mencantumkan semuanya semula.

"Ini adalah salah satu bahagian yang hilang. Sekarang kami akan lebih tahu bagaimana dinosaur ini mengalami evolusi," kata Chatterjee.

Rangka yang dianggarkan berusia lebih 200 juta tahun itu ditemui oleh salah seorang daripada rakan Chatterjee pada 2005 di dataran banjir sekitar Lufeng di wilayah Yunnan yang kaya dengan penemuan dinosaur, katanya.

Ia nampaknya adalah seekor spesies baru yang buat sementara waktu dinamakan sebagai Yizhousaurus sunae bagi memberi penghormatan kepada penduduk tempatan dan seorang ahli paleontologi China.

Sekurang-kurangnya enam spesies keluarga sauropod yang lain ditemui di tempat yang sama di mana rangka itu ditemui, kata kurator paleontologi di Muzium Sejarah Semula Jadi Utah yang juga pembantu profesor di Universiti Utah, Randall Irmis.

Katanya, dia belum melihat laporan Chatterjee, namun telah melihat gambar-gambar tengkorak itu.

- AP

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.