31 Julai 2011

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Julai 2011

by
15 Julai 2011 - Semakan Keputusan Ke IPTA bagi Lepasan STPM/ Diploma

16 Julai 2011 - Peperiksaan Khas PTD

20 Julai 2011 - Hari Keputeraan Sultan Terengganu

23 Julai 2011 - Perlawanan Bolasepak Kelayakan Piala Dunia - Pusingan 2 : Singapura lwn Malaysia

28 Julai 2011 - Perlawanan Bolasepak Kelayakan Piala Dunia - Pusingan 2 : Malaysia lwn Singapura

31 Julai 2011 - Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan

Puasa 1 Ramadan 1432 Hijrah telah ditetapkan pada Isnin, 1 Ogos 2011

by

Tarikh 1 Ramadan 1432 Hijrah dan Permulaan Puasa bagi negeri-negeri Seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Isnin, 1 Ogos 2011 - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Y.Bhg. Datuk Syed Danial bin Syed Ahmad

Muat turun Waktu Berbuka Puasa & Waktu Imsak bagi kawasan anda (dalam bentuk pdf dan boleh dicetak) mengikut zon masing-masing di: http://waktuberbuka.blogspot.c​om/

29 Julai 2011

Perjuangan ke Piala Dunia berakhir, Malaysia tewas ke atas Singapura

by
PEJUANGAN Malaysia pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2014 sudah berakhir. Hasrat untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan zon Asia sudah berkecai apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Singapura pada aksi kedua pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Malaysia yang memerlukan kemenangan dua gol pada perlawanan tersebut terpaksa akur dan membiarkan Singapura mara dengan agregat 6-4.

Pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar (Sabtu lepas), Singapura menang 5-3.

Jaringan Safee Sali pada minit ke-57 pada aksi malam tadi berjaya disamakan oleh pemain sayap kanan 'import' dari China, Shi Jiayi pada minit ke-71.

Beraksi di hadapan kira-kira 90,000 penyokong sendiri, Malaysia memperoleh peluang awal tetapi percubaan pemain sayap kiri, S. Kunanlan dari dalam kotak penalti berjaya dihadang penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud.

Singapura kemudian mula mendapat rentak tetapi dua percubaan menerusi penyerang 'import' dari China, Qiu Li pada minit ke-10 dan ke-15 berjaya diselamatkan dengan baik penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-22, pemain pertahanan Malaysia, Aidil Zafuan Radzak terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan oleh Muslim Ahmad untuk bergandingan dengan Fadhli Shas.

Amirulhadi Zainal yang banyak menggerakkan bahagian sayap kanan Malaysia turut memperoleh peluang tetapi rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-26 tepat ke dakapan Izwan.

Khairul Fahmi terus cemerlang dengan melayangkan badan untuk menepis sepakan percuma Shaiful Esah pada minit ke-38 dan menangkis percubaan Mustafic Fahrudin pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-57 apabila Safee merembat kencang dari sudut kanan kotak penalti Singapura setelah menerima lorongan Kunanlan.

Namun kelekaan barisan pertahanan Malaysia sekali lagi dihukum dengan Singapura berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-71 menerusi penyudah kemas Jiayi.

Usaha Malaysia yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Singapura bagi mencari tambahan dua gol terus menemui kebuntuan.

Lebih malang, penyerang gantian, Ahmad Fakri Saarani gagal mengawal tekanan apabila dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Dengan kegagalan itu, Malaysia mengekalkan rekod lampau yang belum pernah berjaya melangkah ke pusingan ketiga sejak percubaan sulung pada Kelayakan Piala Dunia 1974.

- KOSMO!

28 Julai 2011

Tarikh melihat anak bulan Ramadan 1432H pada Ahad, 31 Julai 2011

by
TARIKH melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Ahad ini, 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).

Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning, Kemaman (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Setiu (Terengganu), Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu (Kelantan).

Tanjung Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).

Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen pada malam itu juga.

- BERNAMA

13,000 guru sandaran terlatih diserap

by
PUTRAJAYA: Sebanyak 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang kontrak mereka tidak disambung sebelum ini ditawarkan sebagai guru tetap bagi memberi peluang kepada mereka untuk terus berkhidmat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian mengeluarkan surat tawaran kepada mereka baru-baru ini untuk mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti (KBC) sebelum diserapkan ke jawatan tetap.

“Mereka akan dilantik semula mengikut syarat seperti usia tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010 dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut sebagai GSTT,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan, di Sekolah Menengah Putrajaya Presint 9 (2) di sini, semalam.

Beliau berkata, GSTT lepasan ijazah hanya perlu mengikuti kursus setahun dan bersedia mengajar di tempat lain jika tempat di sekolah lama sudah penuh.

Mohd Puad juga berkata, tahun ini kementerian tidak lagi mengambil GSTT dan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi memberi peluang kepada GSTT sedia ada diserap sebagai guru tetap terlatih.

Isu GSTT timbul apabila kementerian mengambil keputusan tidak menyambung kontrak mereka pada tahun lalu. Ia menyebabkan ramai guru sandaran kecewa dan mendesak kerajaan menimbang semula keputusan itu.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Manjong, Perak dinobatkan juara kategori pertandingan akhir Bot Lumba RA3, manakala kategori sekolah rendah, SekolahKebangsaan Permatang Kandu, Pulau Pinang.

- BERITA HARIAN

27 Julai 2011

Pengambilan Pelajar Ke IPTA Berasaskan 90% Akademik & 10% Kokurikulum - Khaled Nordin

by
PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan calon-calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Peringkat Ijazah Pertama adalah berasaskan prinsip meritokrasi.

Ia dilakukan dengan mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Dasar ini, kata Khaled, bertujuan bagi meningkatkan peluang yang adil dan daya saing yang sihat kepada para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

“Pelaksanaan dasar mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum telah dikuatkuasakan mulai sesi akademik 2006/2007 lagi. Usaha penyebar luasan maklumat mengenai dasar ini melalui taklimat kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah serta pelaksanaan Karnival Pengajian Tinggi Negara(KPTN) di seluruh negara sejak tahun 2005 turut kita lakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas Khaled prihatin terhadap masa depan pelajar bagi memenuhi cita-cita dan impian hidup untuk berjaya.

“Pemilihan program pengajian yang tepat mengikut cita-cita, minat dan hasrat pelajar, ibu bapa dan masyarakat mestilah seiring dengan pencapaian akademik serta kokurikulum. Oleh yang demikian KPT melaksanakan prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.

“Pemohon juga perlu memenuhi Syarat Am, Syarat Khas Program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA adalah berasaskan pilihan pelajar serta bilangan tempat yang disediakan mengikut program pengajian di IPTA,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan calon untuk memperoleh tawaran tempat adalah bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon.

Katanya, jika merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon itu.

“Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA yang popular, mereka mungkin akan menghadapi persaingan yang tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

“Namun begitu, prosedur permohonan membenarkan calon menyatakan persetujuan untuk memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan program pengajian yang dimohon.

"Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan,” jelas beliau.

Justeru itu, tambah Khaled, bagi calon yang memperoleh merit yang tinggi tetapi tidak mendapat tempat, pihak UPU akan menawarkan program pengajian di luar pilihan calon yang mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan tempat.

“Bagaimanapun, jika calon memilih tidak bersetuju, pihak KPT tidak akan mempertimbangkan sekiranya masih ada kekosongan pada program pengajian yang lain.

“Berdasarkan rekod permohonan yang diterima oleh UPU bagi Sesi Akademik 2011/2012, sejumlah 4,436 (8.3%) dari 53,216 pemohon dari Lepasan STPM/Setaraf yang layak telah menyatakan ‘TIDAK SETUJU” menerima tawaran di luar lapan (8) pilihan program pengajian yang telah dimohon.

“Sehubungan itu, semua calon ini tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain walaupun layak kerana menghormati keputusan pemohon,” katanya lagi.

Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu pada awal September 2011.

Semua calon yang mengemukakan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat bagi program pengajian yang ada sahaja.

- BERNAMA

Ambil Mudah Punca Peningkatan Kematian Akibat Kanser Payu Dara

by
Sikap ambil mudah dan tahap pengetahuan yang rendah terhadap kanser payu dara dikenal pasti punca berlaku peningkatan kadar kematian di kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pengidap penyakit berkenaan hanya datang ke hospital apabila kanser berkenaan sudah merebak dan sukar untuk dirawat.

"Kegagalan mendapat rawatan awal bagi mengesan menyakit tersebut dan kecenderungan mereka mendapatkan rawatan alternatif adalah antara penyebab berlakunya peningkatan kematian.

"Mengikut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2007, ramai pesakit datang lambat untuk mendapatkan rawatan dimana 42 peratus sudah berada di peringkat tiga dan empat kanser payu dara semasa didiagnosa," kata dalam ucapan beliau pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payu Dara Peringkat Negeri Pahang di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Abu Bakar Awang Ngah.

Beliau berkata kaum wanita perlu melakukan pemeriksaan sendiri payu dara dan segera mendapatkan rawatan jika mengesan sebarang kelainan.

Menurut beliau, wanita berusia 40 tahun ke atas perlu menjalani pemeriksaan klinikal payu dara di klinik kesihatan sekurang-kurangnnya setahun sekali.

"Wanita yang mempunyai sejarah keluarga terdekat mengidap kanser payu dara perlu hadir ke klinik untuk dirujuk menjalani pemeriksaan mammogram," katanya.

Di Malaysia, kanser payu dara merupakan kanser yang paling utama dilaporkan dengan kadar insiden 29.1 bagi setiap 100,000 populasi dan 32 peratus daripada semua jenis kanser kebanyakannya dikesan dikalangan wanita berusia 45 ke atas, katanya.

Beliau berharap setiap anggota masyarakat dan agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu Kementerian Kesihatan mencegah kanser payu dara dengan menganjur kempen secara berterusan dalam meningkatkan kesedaran terhadap bahaya penyakit tersebut.

- BERNAMA

26 Julai 2011

Bank Negara Malaysia Terbitkan Siri Syiling Baru Mulai Januari 2012

by

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan siri ketiga duit syiling baru tahun depan.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, duit-duit syiling baru yang dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen diinspirasikan daripada ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan kaya negara ini.

"Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semulajadi, flora dan fauna dan seni kraftangan tradisional yang terdapat di Malaysia," kata beliau pada majlis pelancaran 500,000 set duit syiling peringatan bagi menandakan siri-siri duit syiling baru itu.

Beliau berkata, siri duit syiling baru ini lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya.

Ia juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan mengenali dan membezakannya.

Duit syling berwarna kuning dan perak ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan.

Logam baru yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Siri baru ini akan berada dalam edaran bersama-sama dengan siri yang sedia ada. Siri yang sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.

Bank pusat juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan, perniagaan dan vendor yang mengendalikan wang tunai untuk memastikan peralihan yang lancar.

"Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh enam bulan untuk mengubah suai mesin bagi memudahkan penggunaan duit syiling baru ini nanti," kata Zeti lagi.

Pada majlis itu, beliau turut memperkenalkan siri keempat duit kertas baru yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan September nanti.

- BERNAMA

Wanita stres sukar hamil

by
Sebagai seorang arkitek muda, Linda, 28, menghadapi hari-hari penuh mencabar. Rutin kerjanya bukan sahaja memerlukan dia menyediakan pelan bangunan, bahkan dia yang bekerja di sebuah firma swasta itu perlu melakukan kerja-kerja lain yang berkaitan. Biarpun dibayar gaji yang tinggi, Linda tetap tidak berpuas hati dengan hidupnya. Ada sahaja yang tidak kena sehingga membuatkan dia berasa tertekan. Hubungan sesama rakan sekerja, kerenah majikan, bahkan tanggungan hutang yang banyak membuatkan fikirannya kusut. Jadualnya yang sentiasa sibuk memaksa wanita yang sudah berkahwin sejak empat tahun lalu itu sering pulang lewat dari pejabat.

Dikurniakan seorang suami yang memahaminya, Linda gembira berada di sisi orang yang disayanginya itu. Hubungan mereka jarang bermasalah. Namun, walaupun sudah lama mendirikan rumah tangga, Linda belum memperoleh cahaya mata. Linda yang selalu tertekan sebenarnya menjadi penyumbang kepada statistik wanita Malaysia yang berada pada kedudukan ke-16 dalam golongan paling tertekan di dunia. Dalam kajian yang dilakukan oleh syarikat media dan maklumat Nielsen di 20 buah negara membangun baru-baru ini, sebanyak 44 peratus wanita Malaysia didapati mengalami tekanan hidup. Tanpa disedari, tekanan mampu membantutkan keupayaan mereka untuk mendapat cahaya mata. Menjelaskan mengenai perkaitan antara tekanan dan kesihatan reproduktif, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menjelaskan tekanan turut mempengaruhi proses seksual wanita.

Menurutnya, hubungan seks merupakan aktiviti yang berkaitan dengan keinginan. Hubungan yang intim sukar dijayakan apabila seseorang sedang berhadapan dengan tekanan. “Dari segi psikologi, seseorang yang mengalami tekanan pada emosinya tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim bersama pasangan. “Perasaan yang gembira dan selesa ketika bersama menjadi faktor kejayaan sesebuah hubungan intim,” katanya lagi. Ismail turut menjelaskan bahawa tekanan mampu mengakibatkan sistem endokrin menjadi tidak menentu.

Haid

“Kitaran haid dan kandungan hormon boleh terjejas akibat tekanan yang dihadapi. “Secara tidak langsung, ia menjadi faktor yang menghalang wanita daripada hamil,” katanya. Dalam pada itu, ramai pakar psikologi percaya sistem psikologi manusia mempunyai kaitan dengan stres kerana ia boleh merencatkan hormon ganodotropin. Tekanan yang berlebihan dan berpanjangan menyebabkan gangguan kitaran haid termasuk tidak berlakunya ovulasi dan tiada haid (amenorea). Tekanan turut dipercayai meningkatkan bahan kimia yang dinamakan katekolamin. Reseptor ini banyak terdapat pada organ-organ reproduktif.

“Wanita yang menghadapi tekanan memang boleh mengalami keguguran. Justeru, tangani isu ini sebaik mungkin,” katanya. Ismail ternyata khuatir yang tekanan akan menjadi penyumbang kepada masalah kesuburan rakyat negara ini. Katanya, kadar kesuburan dalam kalangan penduduk negara menunjukkan trend menurun. “Seperti yang sedia maklum, kadar kesuburan rakyat Malaysia telah merosot daripada 3.4 peratus kepada 2.6 peratus dalam tempoh sepuluh tahun. “Masalah yang dihadapi wanita di negara ini sentiasa bertambah seiring pembangunan negara. “Tidak hairanlah jika penduduk Malaysia akan berkurangan pada masa hadapan,” ujar Ismail lagi. Sebagai penyelesaiannya, Ismail menasihati wanita agar menangani tekanan sebaik mungkin dengan mencari punca sebenar stres bagi mengelakkan gangguan pada sistem reproduktif mereka.

- KOSMO!

5,000 tiang sokong jambatan terpanjang Teluk Jiaozhou, China

by

SEPANJANG 42 kilometer (km), Jambatan Teluk Jiaozhou yang merupakan jambatan terpanjang di dunia mempunyai empat lorong dan menghubungkan dua daerah dalam Wilayah Shandong iaitu bandar pelabuhan Qingdao dan pulau pesisiran Huangdao.

Perjalanan di antara kedua-dua tempat itu sekarang 30km lebih pendek dan mengurangkan separuh masa perjalanan selama 40 minit sebelum ini. Ia menelan kos AS$2.3 bilion (RM7 bilion) dan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Jambatan itu yang disokong oleh 5,000 batang tiang. Menurut Guinness World Records, rekod jambatan atas air terpanjang sebelum ini dipegang oleh Tasik Pontchartrain Causeway di Louisiana, Amerika Syarikat namun jambatan China ini lebih panjang empat kilometer.

Selain tren laju, China juga terkenal dengan teknologi pembinaan jambatan. Malaysia sendiri menggunakan kepakaran dari negara itu dalam projek Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Jambatan sepanjang 23.5 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan di bahagian tanah besar. Ia dilaksanakan secara usahasama antara China Harbour Engineering Company Ltd. (CHEC) dan UEM Builders Bhd.

Kos pembinaan jambatan tersebut ialah sebanyak RM3 bilion.

Projek yang telah memulakan pembinaan pada tahun 2008 dijangka siap sepenuhnya pada November 2013.

CHEC merupakan syarikat Fortune 500 yang diketahui terlibat dalam beberapa projek pembinaan jambatan terpanjang di dunia.

Syarikat tersebut sebelum ini diberi kepercayaan membina jambatan kabel terpanjang dunia yang menghubungkan Suzhou dan Nanpong di China.

Ia terlibat dalam 21 projek di Malaysia sejak tahun 1990-an termasuk kerja tebus guna dan perlindungan pantai di Sutera Harbour Resort di Kota Kinabalu, Sabah dan kerja tebus guna tanah di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor.

- KOSMO!

Enam bulan untuk patuhi peraturan pasang beg udara

by

Kerajaan bersedia menawarkan tempoh enam bulan untuk pekilang dan pemasang kenderaan di negara ini yang tidak mampu mematuhi peraturan baharu untuk memasang beg udara dalam kenderaan mereka pada 1 Januari tahun depan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kementerian itu bersedia berbincang dengan dua pihak berkenaan dan menawarkan tempoh lanjutan itu secara kes demi kes. "Kita sedia berikan kelonggaran masa, mungkin enam bulan untuk mereka mematuhi peraturan tersebut.

"Kita bukan tidak memikirkan yang wajar, jika anda ada masalah untuk mematuhi, datang untuk bincang dengan kita," katanya selepas melancarkan cawangan baharu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini semalam. Beliau berkata, semua kenderaan kecuali pacuan empat roda akan dikehendaki dipasang dengan beg udara mulai tahun depan sebagai salah satu usaha mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Katanya, kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menunjukkan bahawa beg udara dan tali pinggang keledar boleh membantu untuk menyelamatkan nyawa semasa kemalangan jalan raya. Cho Ha memberitahu, dua syarikat pengeluar kereta nasional iaitu Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) dan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) telah memberikan jaminan untuk memastikan mereka mematuhi peraturan baharu itu.

- KOSMO!

SPR Perkenal Sistem Biometrik Untuk Atasi Isu Pengundi Hantu

by
Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata antaranya pelaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang pilihan raya.

"Dengan adanya sistem biometrik ini, ia akan dapat membantu mengelak seseorang individu ataupun pengundi itu membuat pembuangan undi dua kali," katanya pada sidang media, di Kuching.

Beliau berkata sistem tersebut akan diuji di beberapa kawasan untuk memastikan ketepatan dan keberkesanannya sebelum dilancarkan secara rasmi pada pilihan raya umum akan datang.

Abdul Aziz berkata sistem tersebut telah diguna pakai oleh beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran.

- BERNAMA

25 Julai 2011

Uruguay julang kejuaraan ke-15 Piala Copa America

by

BUENOS AIRES - Diego Forlan meledak dua gol selepas Luis Suarez menjaringkan gol pembukaan sewaktu Uruguay menewaskan Paraguay 3-0 untuk muncul juara Copa America semalam dan dinobatkan juara Amerika Selatan kali ke-15.

Suarez, yang dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan, meletakkan Uruguay mendahului perlawanan pada minit ke-12 dalam perlawanan akhir di Monumental apabila rembatan rendah kaki kirinya menerjah sudut kanan gawang yang melepasi jangkauan penjaga gol Paraguay, Justo Villar.

Forlan, Pemain Terbaik Piala Dunia 2010, menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit sebelum rehat, setelah menerima bola daripada pemain tengah, Egidio Arevalo Rios dan dia melepaskan rembatan kencang kaki kirinya yang sekali lagi menewaskan Villar dari dalam kotak penalti.

Pada minit terakhir permainan, Forlan memastikan kejuaraan milik Uruguay apabila menjaringkan gol keduanya.

"Skuad ini amat bersatu-padu, mereka bermain seperti mana yang dipamerkan ketika beraksi pada Piala Dunia dan kami juga buktikan bahawa kami adalah yang terbaik di Amerika Selatan.

"Saya fikir Uruguay telah melakar banyak kejayaan dan mereka tidak lupa bagaimana untuk mencatat kemenangan," kata Suarez.

Uruguay kini mengatasi tuan rumah, Argentina dengan kelebihan satu kejuaraan, pasukan yang mereka kalahkan pada suku akhir menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu juga diraih genap setahun selepas mereka menduduki tempat keempat Piala Dunia 2010.

Juara dua kali, Paraguay menamatkan saingan pada kejohanan itu tanpa kemenangan dalam laluan ke final setelah mencatat lima seri.

Paraguay sekadar mencatat dua kemenangan menerusi penentuan penalti.

Suarez menjaringkan empat gol pada kejohanan itu, kurang satu gol daripada penjaring terbanyak, Paolo Guerrero yang mencipta hatrik bagi membantu Peru mengalahkan Venezuela 4-1 untuk meraih tempat ketiga di La Plata, kelmarin.

Forlan, yang mencatat 82 cap bersama Uruguay, menamatkan kemarau gol apabila meledak dua jaringan untuk menyamai rekod 31 jaringan yang dipegang oleh Hector Scarone.

Sejak awal permainan lagi, Uruguay mula mengasak gawang Paraguay dan berjaya mendapatkan empat sepakan sudut dalam tempoh lapan minit dengan pertahanan lawan berjaya menyelamatkan satu percubaan terbaik dan diikuti tandukan dari Diego Lugano yang diselamatkan Villar.

Paraguay mencipta peluang gol menerusi pemain tengah, Enrique Vera dan Nelson Haedo Valdez, tetapi percubaan mereka gagal menemui sasaran.

- Reuters

Malaysia gagal atasi Thailand dalam Sepaktakraw Antarabangsa 2011

by

SKUAD sepak takraw lelaki kebangsaan gagal menandingi kehebatan Thailand selepas tumpas 0-3 pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa petang semalam.

Kesilapan yang dilakukan oleh trio negara, Noor Azman Abdul Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam membuka peluang Thailand menang mudah pada set pertama dengan kelebihan 15-4 dalam masa 11 minit.

Kegagalan tekong negara, Noor Azman mengurangkan kesilapan memaksa jurulatih skuad kebangsaan, Jamaluddin Hassan memasukkan Muhamad Syazam Husin sebagai tekong pada set kedua.

Begitupun, Malaysia gagal menyekat kemaraan Thailand yang terkenal dengan gelaran 'Gajah Putih' itu untuk terus memburu kemenangan di set kedua dengan mata 15-6 dalam masa 14 minit.

Pada set ketiga, usaha skuad negara untuk menyekat trio Thailand yang dibarisi oleh Pornchai Kaokaew, Siriwat Sakha dan Pattarapong Yupadee memenangi set itu juga gagal apabila sekadar meraih mata 15-11.

Jamaluddin berkata, skuad kebangsaan gagal mengunakan kelebihan yang ada pada sistem baharu kiraan mata pada kejohanan itu.

"Pemain kita masih baharu lagi dan mereka baharu menjalani latihan selama empat bulan dan banyak perkara yang masih perlu diperbaiki lagi dan saya harap kita mampu mengatasi kekurangan tersebut apabila beraksi di Sukan SEA, Indonesia 2011 pada akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, skuad wanita Thailand turut mengekori kejayaan yang sama setelah berjaya menewaskan Vietnam 3-0 dengan kiraan 15-7, 15-12 dan 15-9 pada perlawanan akhir kategori wanita.

- Bernama

Haram cetak rompak jadi modal perniagaan

by
Oleh Ustaz Zaharuddin A.Rahman

Sehingga hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.

Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.


Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?

Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.

- HARIAN METRO

Cara ganti puasa terbatal

by
SOALAN:

Saya kini berumur awal 20-an. Dulu ketika awal baligh dalam bulan Ramadan, saya pernah terangsang hingga keluar mani akibat melihat sesuatu yang engghairahkan.

Namun saya belum menggantikannya kerana ketika itu saya daif mengenai puasa, tetapi sekarang saya ingin menggantikannya. Bagaimana caranya? Perlukan saya berpuasa tiga bulan penuh atau menggandakannya?

JAWAPAN:

kini berumur awal 20-an. Dulu ketika awal baligh dalam bulan Ramadan, saya pernah terangsang hingga keluar mani akibat melihat sesuatu yang engghairahkan.

Namun saya belum menggantikannya kerana ketika itu saya daif mengenai puasa, tetapi sekarang saya ingin menggantikannya. Bagaimana caranya? Perlukan saya berpuasa tiga bulan penuh atau menggandakannya?

SYAUQI
Terengganu


DENDA berupa fidyah perlu dibayar bagi seseorang yang melengah-lengahkan qada atau ganti puasa wajib tanpa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadan tahun seterusnya.

Di samping itu seseorang juga diwajibkan menggantikan puasa yang ditinggalkan atau yang terbatal. Termasuk batal puasa ialah mengeluarkan mani dengan sengaja ketika berpuasa akibat terangsang atau sebagainya.

Bilangan hari di mana puasa terbatal yang perlu diganti. Umpamanya anda terbatal dua hari puasa ketika awal baligh akibat keluar mani dengan sengaja, ia perlu diganti sebanyak dua hari sebelum masuk bulan Ramadan tahun berikut.

Jika puasa tidak diganti dan sudah masuk Ramadan tahun berikut anda perlu qada dan membayar fidyah iaitu sebanyak satu cupak beras bagi satu hari yang tidak diganti.

Dalam kes anda, anda perlu bayar fidyah dua cupak beras. Berikutan kegagalan anda mengganti puasa dan membayar fidyah itu sehingga sekarang, banyak fidyah digandakan menurut perbezaan tahun dan jumlah hari tidak berpuasa.

Katanya, sudah lima tahun anda tidak qada puasa itu sebanyak dua hari. Dengan itu banyak fidyah ialah 10 cupak beras, dua kali lima tahun.

- HARIAN METRO

Kadar Zakat Fitrah Di Terengganu bagi tahun 2011 Kekal Seperti Tahun Lepas

by
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengekalkan kadar zakat fitrah di Terengganu tahun 2011 sama seperti kadar tahun lepas iaitu RM8, RM7 dan RM5.

Yang diPertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata kadar fitrah itu diperkenan Pemangku Raja Terengganu Tengku Mohammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bayaran fitrah sama ada wang tunai atau dengan beras boleh dibuat mulai 1 Ramadan sehingga pagi hari raya Aidilfitri sama ada melalui amil-amil yang dilantik atau di kaunter-kaunter bayaran zakat Maidam.

Selain itu, fitrah juga boleh dibayar melalui SMS untuk pelanggan Celcom dan Maxis, katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Mazlan berkata Maidam mensasarkan kutipan fitrah sekitar RM5.8 juta tahun ini, berbanding tahun lepas RM5.5 juta.

Katanya keseluruhan kutipan zakat di Terengganu tahun lepas adalah RM76.4 juta.

Mazlan berkata Maidam akan membelanjakan RM15 juta untuk bantuan zakat Aidilfitri kepada 32,000 orang fakir miskin di negeri ini tahun ini.

Sempena sambutan awal Ramadan ini, Maidam turut menerbitkan dua buah buku iaitu "Risalah Ramadan" dan "Azam dan Iqamah: Fadilat dan Pelbagai Hukum".

Orang ramai boleh mendapatkan buku berkenaan di pejabat Maidam, di sini.

- BERNAMA

Berhati-hati melayari Internet - Fikir sebelum klik

by

SERINGKALI kita melihat pautan-pautan di laman web atau video yang menggunakan imej-imej seksi ketika melayari laman sosial kegemaran seperti Facebook.

Ayat-ayat yang digunakan pula berbaur seks dan sangat jelas untuk difahami bagi menambahkan lagi keinginan seseorang untuk melihatnya.

Terdorong oleh nafsu, butang diklik tetapi tiada apa yang berlaku. Sebenarnya tanpa disedari, anda telah diserang dengan aktiviti phishing.

Phishing adalah cubaan untuk mendapatkan maklumat sensitif pengguna yang dimasukkan ke dalam komputer peribadi tanpa disedari.

Aktiviti tersebut semakin kerap dapat dilihat di laman-laman sosial sejajar dengan kenaikan kadar penembusan Internet terutama laman sosial di Malaysia.

Menurut syarikat yang menjalankan kajian pemasaran Internet, comScore, Malaysia adalah negara kedua paling tinggi aktiviti penembusan rangkaian sosial di Asia Tenggara iaitu sebanyak 91 peratus selepas Filipina.

Link jahat

Tambahan pula, menurut Peneraju Perniagaan Norton rantau Asia Selatan, Symantec, Effendy Ibrahim, Laporan Jenayah Siber Norton 2010 menemui 65 peratus pengguna internet di Malaysia tidak meletakkan seting akaun laman sosial mereka kepada tahap paling tinggi.

“Ia menjadikan informasi lebih mudah dilihat pada bila-bila masa. Selain itu, kajian turut menemui kebanyakan penjenayah siber menggunakan laman sosial sebagai tempat menghantar link ringkas ke laman web yang berniat jahat,” ulasnya lagi.

Link-link ringkas itu dianggap berniat jahat kerana ia akan membawa pelayar Internet ke laman web yang berbeza seperti dipaparkan, manakala destinasi sebenar link tersebut disembunyikan daripada pengetahuan pelayar Internet.

Kebanyakan link tersebut menggunakan paparan dan imej yang seksi bagi menarik pelayar Internet supaya mengklik link ringkas tersebut.

Tambah Effendy, dalam tempoh masa tiga bulan pada tahun 2010, dua pertiga link-link jahat itu berada dalam paparan News Feed laman sosial, manakala 73 peratus daripadanya telah diklik sebanyak 11 kali atau lebih.

“Ia membuktikan penggunaan link-link yang dipos itu sangat efektif,” ujarnya ringkas.

Sehingga bulan Mac 2011, kata Effendy, CyberSecurity Malaysia telah mengenalpasti sekurang-kurang 900 laman phishing yang menyasarkan kepada institusi kewangan.

Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat perbankan dan laporan mendapati secara purata sebanyak 260,000 identiti telah didedahkan pada tahun 2010.

Dakwa Effendy lagi, dalam pemerhatian mereka, informasi kad kredit yang berharga itu didagangkan di pasaran gelap online pada harga serendah 30 sen perdata sahaja.

Jenayah siber secara dalam talian akan meningkat setiap tahun dan sukar dihapuskan sama sekali. Symantec telah mengesan sebanyak 286 juta ancaman baru pada tahun 2010.

Ia bersamaan sembilan ancaman baru untuk setiap saat sepanjang tahun.

Jenis link

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Johary Mustapha, 33, berkata, terdapat dua jenis link yang sering dipapar dalam laman sosial atau sesawang seseorang itu.

“Kedua-duanya bersifat mengelirukan dengan paparan wanita seksi atau berbentuk soalan kuiz tetapi berbeza tahap bahaya.

“Salah satunya adalah semata-mata bertujuan untuk pengiklanan sahaja. Ia dapat dikesan apabila arahan akhir yang diberi adalah memasukkan nombor telefon sebagai pengesahan,” ulasnya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Menurut Johary, pautan itu dilakukan oleh syarikat-syarikat yang dianggap sebagai kreatif memanipulasi orang ramai supaya melawat laman web mereka.

Tambahnya, link sebegitu tidak akan merosakkan atau mendatangkan bahaya kepada pengguna jika ditekan berbanding dengan jenis pautan yang lagi satu.

Pautan kedua dianggap merbahaya kerana ia menyebabkan gangguan Adware walaupun masih menggunakan teknik yang sama sebagai tarikan.

Link tersebut boleh dikesan apabila setiap kali pelayar Internet menekan butang pautan untuk menonton video atau sebagainya tetapi, tiada apa yang berlaku.

Malah, dalam sesetengah pautan, ia mengkehendaki pengguna memuat naik perisian atau fail dengan alasan jika menonton video akan menjadi lebih cepat.

“Serangan Adware sangat berbeza dengan virus, ia tidak akan memberi kesan kepada komputer atau telefon bimbit tetapi, berkemampuan mengumpul semua data yang pengguna masukkan,” katanya.

Data-data seperti kata laluan untuk Log In laman sosial, kata kunci, nombor akaun bank yang lebih dikenali sebagai Cookies boleh dikumpul dan dihantar kepada individu yang mencipta link tersebut.

Ujar Johary lagi, pengguna dinasihat supaya berhati-hati dengan arahan memuat naik fail yang mempunyai nama domain .exe dan .bat kerana apabila sesuatu perisian secara tidak sengaja dipasang, pengambilan data menjadi lebih mudah.

“Serangan Adware boleh dikesan apabila setiap kali laman web dibuka, amaran Pop-up akan muncul,” ulasnya lagi.

Bagaimanapun, Johary menambah bagi perbankan internet, tahap keselamatannya tinggi hingga ke tahap dua atau tiga seperti memerlukan pengguna membuat pengesahan melalui telefon bimbit.

- KOSMO!

Isteri Sheikh Muszaphar lahir bayi menerusi kaedah bersalin dalam air

by

Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kini bergelar bapa apabila isterinya selamat melahirkan bayi sulung mereka menerusi kaedah bersalin di dalam air. Dr. Halina Mohd. Yunos yang berkahwin dengan Sheikh Muszaphar pada 10 Oktober 2010 selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 21 Julai lalu.

Bayi seberat 3.6 kilogram itu dinamakan Sophea Isabella. Halina mengambil masa 18 jam untuk melahirkan bayi itu di Hospital Pantai Bangsar di sini. Halina kini adalah doktor bius di Hospital Selayang di sini. Ketika dihubungi Kosmo!, Sheikh Muszaphar berkata, dia sangat teruja dengan kehadiran bayi tersebut yang dianggap sebagai anugerah Ilahi paling istimewa. "Isteri saya dimasukkan ke hospital pada pukul 2 pagi Jumaat dan berjaya melahirkan anak pada pukul 9.08 malam.

"Dia memilih kaedah bersalin di dalam air kerana kurang sakit selain lebih semula jadi,'' katanya. Sheikh Muszaphar merupakan rakyat Malaysia pertama berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007 dan berada di stesen itu selama 10 hari bagi menjalankan pelbagai penyelidikan. Dia kemudian menjadikan tarikh keramat berlepas ke angkasa pada 10 Oktober itu untuk melangsungkan perkahwinan dengan Halina pada tahun lalu.

Sheikh Muszaphar yang kini bertugas sebagai Felo Penyelidik Utama Institut Sains Angkasa berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa. "Kami banyak membaca tentang cara mendidik anak-anak malah mendapat nasihat daripada kedua-dua orang tua kami supaya anak kami kelak berjaya kepada agama, negara dan bangsanya," ujar beliau.

- KOSMO!

Putri Anis sah keturunan Puteri Saadong

by

KUALA LUMPUR 24 Julai - Jabatan Warisan Negara mengesahkan dakwaan seorang gadis dari Kelantan, Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, bahawa beliau adalah waris ketujuh Puteri Saadong, kerabat Raja Jembal, yang memerintah Kelantan suatu waktu dahulu.

Pengesahan ini adalah hasil kaji selidik yang dijalankan oleh jabatan tersebut selama beberapa bulan yang mendapati segala bukti yang dikemukakan oleh gadis tersebut adalah benar dan berasas.

Bagaimanapun, jabatan tersebut setakat ini belum membuat pengesahan rasmi berhubung perkara itu.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara jabatan itu, Siri Neng Buah pada program Bicara Warisan Legenda Puteri Saadong, di sini, baru-baru ini.

Jun tahun lalu, Tengku Putri Anis, 25, menggemparkan negara apabila muncul mendakwa beliau adalah waris keturunan ketujuh Puteri Saadong, kerabat Raja Jembal yang menjadi legenda Kelantan.

Gadis tersebut mendakwa, kehadirannya ke negeri itu dan pengakuan kepada umum adalah sempena mengakhiri apa yang disebut sebagai sumpahan tujuh keturunan Puteri Saadong.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut menimbulkan banyak persoalan dan spekulasi mengenai kesahihannya sehingga Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) tidak mengiktirafnya.

Menyedari pertikaian tersebut dan bagi mencari kesahihannya, Jabatan Warisan Negara segera menjalankan kaji selidik mengenainya dan mendapati dakwaan itu berasas.

Menurut Siri Neng lagi, bukti-bukti yang dikemukakan oleh gadis tersebut amat jelas menunjukkan dakwaannya adalah benar berdasarkan salasilah keluarganya,.

''Setelah mengkaji carta salasilah keluarganya dan bukti yang dipamer berupa pakaian diraja serta perhiasan lain, semuanya adalah benar.

''Walaupun perkara ini belum dimuktamadkan, secara peribadinya saya beranggapan dakwaan Putri Anis adalah benar," katanya seperti yang dipetik daripada akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan keluaran Isnin.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa dakwaan gadis tersebut tidak wajar dijadikan isu kerana ia sudah tidak mempunyai sebarang kepentingan lagi.

Sebaliknya, dakwaan itu adalah sekadar membuktikan dirinya pewaris kerabat Raja Jembal dan sebagai simbolik berakhirnya sumpahan membabitkan tujuh keturunan Puteri Saadong di bumi Kelantan.

- UTUSAN

Tiga langkah elak keracunan makanan

by
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif menganjurkan kempen keselamatan makanan dalam usaha untuk melindungi orang ramai terutamanya murid sekolah rendah daripada bahaya kesihatan berpunca daripada makanan, penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Noraini Mohd. Othman berkata, pihaknya memandang serius isu-isu berkaitan keselamatan makanan yang berlaku di dalam negara.

"Pelbagai langkah telah dan sedang diambil oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dalam menjalankan aktiviti promosi keselamatan makanan bagi memberi maklumat dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat terutamanya murid-murid," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sehubungan itu jelasnya, pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan di sekolah antaranya kempen keselamatan makanan "Lihat, Hidu, Rasa" yang disasarkan kepada murid sekolah rendah berumur tujuh hingga 12 tahun.

"Tema Lihat, Hidu, Rasa telah dilancarkan pada Ogos 2010 dan kempen yang berterusan ini memperkenalkan tiga langkah mudah untuk mengenali makanan rosak atau basi.

"Tingkah laku ini dipilih memandangkan ia amat mudah untuk dilakukan dan tidak melibatkan kos tetapi hanya menggunakan deria yang telah dianugerahkan untuk membuat penilaian sebelum membeli atau mengambil makanan," katanya.

Menurut beliau, pemilihan makanan boleh dibuat dengan langkah mudah seperti melihat makanan dari segi berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya.

"Langkah kedua ialah dengan menghidu makanan tersebut untuk memastikan tiada bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa.

"Langkah ketiga pula ialah dengan merasa makanan itu bagi mengenal pasti sama ada ia sudah basi atau busuk.

"Sekiranya makanan didapati mempunyai ciri-ciri seperti yang tersebut, ini menunjukkan makanan itu telah rosak atau basi dan tidak boleh dimakan," terang beliau.

Tambah Noraini lagi, selain memberi kesedaran dan pengetahuan tentang bahaya-bahaya kesihatan disebabkan makanan yang basi atau rosak, matlamat kempen ini adalah untuk membantu menggalakkan murid memilih makanan yang bersih serta selamat.

"Ia juga melatih murid menggunakan kemahiran deria lihat, hidu dan rasa semasa memilih makanan serta mendorong ibu bapa dan guru mengambil perhatian dalam memastikan anak mereka memilih makanan yang bersih dan selamat," jelasnya.

Katanya lagi, KKM berharap melalui pendekatan "Lihat, Hidu, Rasa" yang diperkenalkan itu dapat membantu murid-murid mengenal pasti dan mengelak daripada mengambil makanan yang rosak atau basi melalui deria mereka.

"Langkah ini seterusnya dapat mengelakkan mereka daripada mengalami keracunan makanan terutamanya ketika di sekolah," ujarnya.

Selain itu, KKM juga telah menubuhkan Skuad Germ Buster yang merupakan sebuah van khas yang dilengkapi dengan bahan-bahan pendidikan untuk mengadakan aktiviti di sekolah-sekolah secara terancang.

- UTUSAN

Aduan telefon bimbit paling tinggi

by
Kes membabitkan pembelian telefon bimbit dan rasa tidak puas hati pembeli selain aduan kurang senang dengan perkhidmatan rawatan disediakan pusat kecantikan paling banyak diadukan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

TTPM menerima 5,392 kes difailkan pengguna di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan hampir 100 peratus berbanding hanya 2,699 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, bagi kategori barangan, tuntutan membabitkan rasa tidak puas hati berhubung pembelian telefon bimbit merekodkan jumlah tertinggi iaitu 335 kes atau 13.3 peratus, diikuti perabot 294 kes (11.7 peratus).

Bagi kategori perkhidmatan pula, rawatan disediakan pusat kecantikan mencatatkan bilangan agak tinggi dilaporkan kepada TTPM dengan 272 kes (9.45 peratus) diikuti pakej umrah dan haji 261 kes (9.07 peratus).

Tahun lalu, tumpuan kes terarah kepada kegiatan cabutan bertuah serta gores dan menang dan telefon bimbit bagi kategori barangan, manakala kategori perkhidmatan membabitkan rawatan pusat kecantikan dan agensi pembantu rumah.

Pengerusi TTPM, Pretam Singh, berkata peningkatan 2,693 kes sepanjang enam bulan pertama tahun ini jelas membuktikan kesedaran rakyat Malaysia kini semakin meningkat dalam menuntut hak mereka sebagai pengguna.
“Pertambahan mendadak ini menunjukkan rakyat Malaysia kini tahu membawa masalah dan tuntutan mereka kepada saluran betul iaitu TTPM, bukan pada pihak yang tiada kaitan.

“Berdasarkan piagam pelanggan ditetapkan, TTPM akan menyelesaikan sesuatu kes yang difailkan pengguna dalam 40 hari tetapi kebiasaannya, banyak kes diselesaikan lebih awal bergantung kepada situasi dan keadaan kes terbabit.

“Kesedaran masyarakat ini juga hasil kerjasama media massa yang banyak membantu TTPM sehingga orang ramai mula sedar peranan dan keberkesanan tribunal ini. Berikutan itu, setiap kali TTPM bersidang, kami mengalu-alukan kehadiran media membuat liputan kerana ia amat berkesan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan pengguna,” katanya.

Katanya, peningkatan kesedaran pengguna itu juga disebabkan pelbagai program dirangka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) termasuk menerusi drama Langsai yang mula disiarkan sejak 12 April lalu menerusi RTM bagi mengupas pelbagai isu kepenggunaan.

Katanya, selain itu, program ceramah di seluruh negara juga antara usaha dijalankan TTPM bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat berhubung hak kepenggunaan.

- BERITA MINGGU

Kurang hormon punca uban?

by
Menurut kajian seorang profesor anti-penuaan, kekurangan melanocyte stimulating hormone (MSH) boleh menyebabkan rambut cepat beruban. Menurutnya MSH merupakan hormon jenis peptide yang dihasilkan di dalam otak kita. Hormon ini dihasilakan dari satu molekul panjang (pro opiomelanocortin) dan akhirnya berpecah kepada beberapa hormon lain. Kekurangan hormon ini boleh jadi disebabkan faktor kurang protein tertentu dalam darah atau berkaitan dengan faktor hormon adrenal yang kurang.

Fakta menarik mengenai hormon MSH

- Penting bagi menstimulasi sel sel melanosit yang mengeluarkan pigmen pada kulit dan rambut kita. Pigmen berwarna ini dinamakan melanin.

Apabila matahari memancar MSH akan bertindak meningkatkan pengeluaran melanin yang turut menjadi sunblock iaitu sel tabir suria yang penting. Secara tidak langsung ia melindungi diri daripada terkena kanser kulit atau sebarang masalah berkaitan matahari.

- MSH juga menghalang rambut daripada menjadi beruban. Kajian saintifik menunjukkan kehadiran MSH memulihkan rambut uban menjadikan ia hitam semula. Lebih-lebih lagi apabila rawatan dibuat dengan menggunakan hormon yang saling bertindak secara synergistic keputusan yang didapati adalah memuaskan.

- MSH mengurangkan selera makan. Seseorang yang kurang MSH didapati mudah menjadi gemuk disebabkan peningkatan ini.

- MSH turut mengurangkan keradangan kulit dan membantu seseorang yang mengalami ekzema

- MSH meningkatkan keupayaan seksual menjadikan seseorang itu lebih berminat terhadap hubungan seks. Bagi wanita ia meningkatkan rangsangan seks terhadap sentuhan dan bagi lelaki pula meningkatkan keupayaan seks menjadikan seseorang lelaki itu mampu berereksi lebih lama.

- MSH mungkin meningkatkan jangka hayat. Seseorang yang berambut hitam dan lebat hidup lebih lama dari seseorang yang tampak tua dan berambut putih.

Satu lagi kaedah menarik bagi meningkatkan pertumbuhan rambut ialah pengunaan PRP (Platlet rich plasma). PRP merupakan ekstrak daripada darah kita sendiri. Darah diambil daripada tubuh sebanyak 10 hingga 12 cc dan kemudian diproses menggunakan mesin khas. Darah yang diproses diambil patinya di mana ia mengandungi bahan-bahan yang kaya dengan stem sel dan juga hormon tertentu. Ia kemudiannya disuntik pada kulit kepala.

Di negara-negara maju seperti Korea, Amerika Syarikat dan negara Arab, mereka menggunakan PRP meskipun setelah rawatan tanam rambut dibuat. Ia kerana PRP menjadikan rawatan tanam rambut lebih berjaya dan peratusan rambut tumbuh adalah lebih banyak. Suntikan PRP juga sering digunakan untuk memudakan kulit muka dan hasilnya amat baik sekali. Suntikan PRP pada muka mengurangkan garis halus membuatkan kulit tampak mulus dan lebih baik.

PRP juga sesuai digunakan bagi menyembuhkan luka kerana ia mempercepatkan pertumbuhan sel baru. Bagi pesakit kencing manis yang mempunyai luka yang sukar untuk sembuh, luka yang sedikit boleh menjadi parah sehingga membawa kepada potong kaki. Maka kaedah sebegini boleh digunakan bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka itu. Biasanya PRP disapukan sahaja pada kawasan luka selepas luka dicuci. Proses ini membuatkan luka cepat sembuh.

Meskipun Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan belum mencapai taraf negara maju, namun kita tidak ketinggalan dalam bidang perubatan anti penuaan. Selain sikap terbuka kerajaan, sokongan perlu diberikan kepada doktor serta saintis dalam bidang ini bagi membolehkan kita mencapai tahap yang lebih tinggi. Kritikan berasakan pengetahuan yang cetek tanpa memberi ruang kepada penigkatan ilmu dalam bidang ini akhirnya akan merugikan negara kita. Pelancongan perubatan bukan sahaja menyaksikan orang luar datang menjalani pembedahan. Mereka turut mahu meningkatkan penampilan dengan mencuba pelbagai jenis perubatan anti penuaan di negara ini kerana kosnya jauh lebih murah berbanding di negara mereka.

- MINGGUAN MALAYSIA

Kepelbagaian etnik menurut Islam

by
Oleh KAMARIAH YUSOFF

PENCIPTAAN manusia oleh Allah SWT adalah sesuatu yang amat menakjubkan. Walaupun hanya diciptakan daripada tanah liat dan seterusnya ditiupkan roh namun manusia adalah makhluk yang terbaik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku-tiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya. (Sad: 71-72)

Selepas kejadian Adam, diciptakan pula ibu bagi sekelian manusia iaitu Hawa sebagai teman hidup kepada Adam. Daripada kedua-duanya dikembangbiakkan keturunan manusia.

Allah menyatakan perkara ini melalui firman-Nya dalam ayat 1 surah al-Nisa'.

Sayyid Muhammad Qutb, seorang pemikir Islam yang terkenal menghubungkan kejadian manusia secara keseluruhannya dengan beberapa gambaran yang boleh menyentuh perasaan.

Antaranya keperluan manusia kembali kepada ajaran Allah, hakikat kejadian manusia yang berasal daripada rahim yang satu, akhirnya berkembang biak menjadi pelbagai golongan.

Mereka sepatutnya kembali bersatu dalam tunduk dan patuh kepada-Nya dalam urusan kehidupan.

Semua manusia diciptakan Allah daripada keturunan yang satu, iaitu Adam. Justeru mereka perlulah berusaha untuk menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.

Manusia diciptaka dalam kepelbagaian sebagai sunnah Allah. Kepelbagaian itu patut diterima sebagai sesuatu yang baik. Walaupun ada golongan yang cenderung mentafsirkannya secara negatif dan menjadikannya alasan untuk terus berselisih.

Sesungguhnya Islam sejak mula diturunkan mengiktiraf secara eksklusif maruah dan martabat manusia. Islam juga menerima hakikat manusia itu hidupnya berlainan agama, sistem kepercayaan dan nilai.

Islam memberi garis panduan tatacara hubungan sesama Muslim dan menjalin hubungan bersama dalam membina kehidupan.

Manusia memiliki akal, personaliti, kesedaran diri, justeru mereka mampu membezakan dirinya berbanding makhluk-makhluk yang lain. Dengan akallah mereka dapat mencapai peradaban yang tinggi.

Kaum dan warna kulit dalam Islam tidak dijadikan dasar untuk diberikan sokongan atau bantuan, tetapi yang menjadi dasar dalam Islam ialah kebenaran dan keadilan.

Jika memperjuangkan kebenaran, maka mereka hendaklah disokong, meskipun daripada kaum dan menggunakan bahasa yang berbeza. Demikianlah sebaliknya.

Di alam ini ada pelbagai etnik atau kaum yang menghuni seluruh pelosok muka bumi dengan pelbagai budaya, bangsa, warna kulit dan agama.

Manusia sebagai makhluk sosial selalunya lebih menekankan hak-hak peribadi dan membangunkan sifat ego, autoriti dan lain-lain yang berpusat kepada kepentingan diri dan mengabaikan kepentingan orang lain. Ini adalah sifat yang tercela dalam pandangan Islam.

Oleh itu sifat terbuka, berlapang dada dan kesudian untuk saling memaafkan adalah sangat dipuji. Justeru gabungan antara hak peribadi dan kepentingan sosial itu menghasilkan jalan tengah seperti wasat, qist dan 'adl yang sering diungkapkan dalam al-Quran.

Islam tidak menafikan semangat kepelbagaian yang melibatkan masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya hidup aman damai dan saling berdampingan.

- UTUSAN

24 Julai 2011

Insurans polisi hidup Laila

by

Hari ini kita sihat walafiat, esok lusa belum pasti. Justeru, membuat tabungan perlindungan diri atau insurans sememangnya dituntut sebelum menempuh detik sukar.

Malang pula kesedaran masyarakat kita, terutama kaum Melayu, terhadap polisi insurans agak tipis sebelum era 1990-an.

Lain ulu lain parang, lain dulu, lain sekarang. Persekitaran hidup yang kian kompleks kini tanpa disedari menyuntik kesedaran tinggi pada masyarakat kita terhadap insurans.

Selaku Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd, Laila Johari sukar menidakkan saban hari kian ramai masyarakat kita menabung dengan mengambil polisi insurans untuk keluarga, anak pula dalam pendidikan atau insurans simpanan masa depan.

“Ingin saya pesan, jangan ketepikan insurans, sebaliknya dengar dulu penerangan apabila dihubungi ejen insurans. Kita kena ubah tanggapan negatif kerana dulu, jika ada ejen insurans menghubungi seseorang, jawapan diterima seperti belum bersedia, tidak berminat dan sebagainya.

“Memandangkan hari ini ada banyak syarikat insurans, suka saya sarankan, pilih yang profesional demi masa depan anda.

“Walaupun urusan begini nampak remeh, sebaik menandatangani atau membuat bayaran untuk skim perlindungan diri atau simpanan pembelajaran, anda harus meminta nombor polisi selepas dua minggu membuat bayaran. Ia penting demi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Berpengalaman 22 tahun dalam bidang insurans, Laila berkata, ejen insurans harus bertanggungjawab sepenuhnya kepada pelanggan bagi menepis tohmahan negatif masyarakat terhadap mereka, misalnya sukar dihubungi, susah berurusan dan mendapatkan semula simpanan serta pelbagai masalah.

“Sebenarnya, kita tidak hanya menjual insurans semata-mata, sebaliknya perkhidmatan yang didasarkan atas rasa tanggungjawab dan kemanusiaan kerana menjaga sesuatu yang diamanahkan.

“Kita harus prihatin jika pelanggan berdepan situasi gawat atau ditimpa musibah dan berusaha sedaya mungkin untuk menghulurkan bantuan.

“Saya pernah mengendalikan pelanggan dengan sejumlah RM500,000 diinsuranskan bagi menyelenggarakan penyakit jantungnya yang kronik. Ternyata, dengan jumlah itu dia dirawat sepenuhnya tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan.

“Bahkan, untuk rawatan susulan dan keperluan lain selepas itu semuanya ditanggung oleh insurans sehingga dia kini pulih sepenuh­nya,” katanya.

Pengalaman tidak mungkin dilupakan Laila sepanjang pembabitannya di bidang insurans, apabila berdepan pemegang polisi insurans yang meninggal dunia. Menurut Laila, hari lelaki itu meninggal dunia sebenarnya adalah hari persaraannya.

Dia meneliti insurans milik lelaki itu dan mendapati insu­ransnya masih aktif lalu berusaha mendapatkan sejumlah wang tabungannya bagi meringankan beban dia sekeluarga.

“Bayangkan jumlah insurans lelaki itu hanya RM10,000 manakala isteri adalah suri rumah sepenuh masa dan mereka mempunyai empat anak yang masih kecil serta hidup susah.

“Dengan rasa terharu, balunya menerima jumlah wang itu dan berkat sikapnya berjimat-cermat membesarkan anak, dia juga berjualan secara kecil-kecilan.

“Berkat kebijaksanaan memanfaatkan jumlah polisi itu walaupun kecil tetapi berhemah, kini semua anaknya berjaya. Yang ingin saya katakan, insurans ini tidak kira kecil atau besar tetapi yang terpenting adalah ‘beringat’ pada waktu senang supaya meraih kesenangan ketika menempuh zaman sukar,” katanya.

Mengenai amalan berjimat-cermat, Laila yang berdarah campuran Melayu-Portugis berkata, Islam menyarankan umatnya sentiasa berhemah dalam berbelanja dan sikap membazir perlu dielak.

Dalam hidup seharian, dia turut menasihati orang ramai supaya bijak mengurus kewangan di samping menghakis sikap boros seperti memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran mewah selain mengawal sikap terlalu obses menggunakan kad kredit.

“Memandangkan harga barang semakin naik, masyarakat harus menabung supaya tidak timbul masalah di kemudian hari demi meningkatkan keharmonian keluarga,” katanya yang juga penceramah motivasi yang mengembangkan pengalaman di Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Jerman dan Dubai.

Menurut Laila, selain kerja kuat dan fokus terhadap kerja, aspek yang tidak kurang pentingnya adalah minat mendalam di bidang diceburi.

Dia akur walaupun latar belakang akademiknya sekadar SPM, sikapnya yang tidak pernah jemu mencedok ilmu dalam pelbagai bidang membuatkan dia berada di puncak dengan menapak dari bawah sebagai ejen biasa sebelum meraih kedudukan sekarang.

“Nama saya mula dikenali ketika bergelar pengacara program masakan iaitu ‘Kuali’ terbitan TV3 sekitar awal 1990-an dan selama lapan tahun mengendalikan program terbitan Sheila Veriah itu, saya akui program masakan itu popular.

“Ia juga sekali gus melonjakkan nama besar dalam bidang masakan seperti Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan), Florence Tan, Agnes Chang, Zaidah Mohd Noor dan ramai lagi.

“Pada masa sama, nama besar seperti Datin Seri Habibah Yusof (Bib), Wan Zaleha Radzi dan Ras Adiba Radzi antara pembaca berita yang hebat dan menjadi sebutan ketika itu.

“Namun sebagai pengacara di bidang masakan, pengalaman itu adalah kenangan terindah dalam perjalanan hidup saya. Walaupun terbabit secara sambilan, ia sungguh menyeronokkan,” katanya.

PROFIL:

NAMA: Laila Johari
LAHIR: 1 Mac 1960
ASAL: Jasin, Melaka
ADIK-BERADIK: Sulung daripada empat beradik
JAWATAN: Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn Bhd
AKADEMIK: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
SUAMI: Mohamad Manmohan Abdullah
ANAK: Sharina Manmohan (26), Shaliza Manmohan (22), Shazwina Manmohan (17)

- HARIAN METRO

Alam pelik penggila buku

by

Oleh Hafizahril Hamid

BUKU walau apa pun isi kandungannya sedikit sebanyak ia umpama pengetahuan yang perlu di baca sehingga habis untuk mendapat manfaatnya.

Walau apa pun genrenya dari novel ke falsafah, agama, ekonomi, sastera dan pelbagai lagi, tidak dinafikan ilmu yang diperolehi begitu besar sehingga ia mampu mengubah dunia. Malah ada yang menggelar buku adalah kuasa.

Sesungguhnya jasa buku terlalu banyak dalam kehidupan manusia sehinggakan tidak keterlaluan untuk menyatakan kehidupan kita sekarang ini yang jauh lebih baik berbanding 5, 50, 500 atau mungkin 5000 tahun dahulu adalah hasil usaha dari buku-buku yang dihasilkan manusia sendiri.

Bersesuaian dengan perubahan zaman, kita sendiri boleh menyaksikan bahawa semakin banyak buku yang dihasilkan maka semakin maju tamadun manusia.

Maka seharusnya semakin maju tamadun itu pastinya semakin bijak atau cerdik manusia itu sendiri. Namun bagaimana manusia itu menggunakan kebijaksanaan itu adalah satu perkara lain kerana kebijaksanaan itu tidak membawa maksud mereka tidak akan lari daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun dari satu sudut, terdapat juga buku yang nilainya hanya layak dicampak ke tong sampah kerana isi kandungannya yang keterlaluan sifatnya seperti pengisahan kisah lucah, pornografi, pembohongan dan pelbagai lagi.

Namun secara umumnya terlalu banyak buku yang mempunyai nilai dan faedah yang tinggi pengetahuannya, yang mampu membuka minda dan kepompong pemikiran kita ke arah yang lebih baik.

Jadi secara umumnya, manusia itu akan berkelakuan lebih baik dan berhemah jika mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi hasil dari pembacaan buku yang pelbagai.

Impak

Namun bagaimana pula maknanya menjadi seorang penggila buku. Sama ada kita sedar atau tidak sejak abad ke 19 dan kini memasuki abad ke 20 terlalu banyak impak yang memberi signifikan nyata melalui ilmu pengetahuan yang diperoleh dari buku-buku yang dihasilkan.

Seharusnya kita perlu berterima kasih kepada para penggila buku iaitu mereka yang begitu ghairah membaca, mengumpul dan kemudian menghasilkan pelbagai buku yang akhirnya bertanggungjawab membina dunia yang wujud sekarang.

Alasannya mudah kerana melalui pembacaan selain pembelajaran, maka seseorang akan cuba mencari kebenaran, maka beliau perlu lebih lagi membaca dan akhirnya akan menulis pula buku mengenai kebenaran yang dijumpainya.

Berkembang

Sebagai contoh bagi mereka yang gemar membaca buku mengenai perundangan atau ekonomi. Sudah terlalu banyak buku mengenai dua bidang ini ditulis dan ia akan berterusan ditulis mungkin sehingga kiamat.

Rata-rata mereka yang menulis mengenai perkara ini pernah membaca karya penulis lain dan ia semakin berkembang melalui pemahaman yang diperolehi.

Namun tidak ada satu pun buku yang boleh kita tafsirkan sebagai paling betul kerana ia akhirnya dinilai berdasarkan kesesuaian dan kehendak. Paling tidak pun ia membantu kita dalam beberapa urusan yang berkaitan namun seperti mana ilmu itu sendiri ia akan senantiasa berkembang tanpa ada batasan.

Dalam memperihalkan mengenai kaki buku, mereka ini boleh kita katakan antara insan terpilih kerana bukan semua di antara kita mampu untuk menjadi seperti mereka.

Bayangkan mereka ini umpama perpustakaan bergerak kerana hampir semua persoalan mampu dijawab secara spontan tanpa perlu dirujuk pada mana-mana buku dan orang tertentu terlebih dahulu.

Bibliomania

Namun menurut definisi Barat, kaki buku atau digelar sebagai bibliophilia yang maksudnya gemar membaca, mengagumi dan mengumpul buku.

Namun jangan tersilap antara bibliophilia dan bibliomania kerana maksud perkataan ini lebih kepada penyakit dihidapi seseorang yang begitu menggilai buku secara keterlaluan sehingga mungkin boleh membahayakan diri dan orang lain.

Walaupun sukar untuk kita menerimanya namun menurut Dr. John Ferriar yang mengkaji bidang ini, secara psikologinya mereka ini tidak merbahaya tetapi mungkin boleh bertindak di luar batasan jika buku yang dimahukan terpaksa direbut dengan orang lain.

Selain bibliomania terdapat beberapa penyakit lain yang berkaitan dengan gila buku antaranya bibliophagy yang dikaitkan dengan seseorang yang sanggup makan buku, bibliokleptomania iaitu seseorang yang mencuri buku secara kerap dan bibliotaphy yang berkaitan dengan kegilaan seseorang yang sanggup menanam buku.

Penyakit

Antara mereka yang pernah dikaitkan dengan penyakit-penyakit di atas adalah Stephen Carrie Blumberg yang pernah ditangkap kerana memiliki buku curi sebanyak 23,600 naskah.

Lebih hebat lagi buku-buku ini dicuri di lebih 268 muzium dan universiti di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada dan hampir kesemuanya adalah koleksi buku yang sangat jarang dilihat dan begitu berharga.

Blumberg yang ditahan pada 1990 telah dijatuhkan hukuman penjara 71 bulan dan denda AS$200,000 (RM600,000). Lebih mengagumkan nilai buku yang dicurinya mencecah AS$5.3 juta (RM15.9 juta) dan dianggap sebagai kecurian buku paling besar dalam sejarah dunia.

Satu lagi contoh bibliomania adalah Sir Thomas Phillipps (1792 - 1872) yang memiliki lebih 160,000 koleksi buku dan manuskrip. Berasal dari keturunan bangsawan namun akhirnya beliau sekeluarga terpaksa hidup berhutang keliling pinggang kerana terlalu gilakan buku-buku lama.

Termuda

Dunia pernah dikejutkan apabila seorang wanita berusia 18 tahun telah mencipta sejarah sebagai profesor termuda dunia pada 2008. Alia Sabur yang berasal dari New York dilantik menjadi profesor matematik di Universiti Konkuk di Seoul, Korea Selatan tetapi hanya kekal di sana selama setahun.

Namun satu perkara menarik tentang beliau adalah kegilaannya membaca sejak dari kecil malah dikatakan mula membaca sejak berusia lapan bulan! Alia mengakui gemar membaca namun lebih meminati bidang matematik sejak kecil. Selain mempunyai wajah yang jelita beliau juga berjaya memperoleh tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri Tae Kwan Do hanya pada usia lapan tahun.

Kegilaan

Antara nama-nama besar lain yang dikenali dengan kegilaan mereka terhadap buku adalah bekas Presiden AS seperti Thomas Jefferson, ahli falsafah terkenal Adam Smith, bekas Perdana Menteri United Kingdom William Ewart Gladstone dan pencipta watak James Bond, Ian Fleming, sekadar menyebut beberapa nama.

Selain itu terdapat juga kelab bagi mereka yang gilakan buku seperti Oxford University Society of Bibliophiles yang ditubuhkan pada 1950, Caxton Club yang diasaskan pada 1895 di Chicago, The Club of Odd Volumes yang diasaskan pada 1887 di Boston dan Grolier Club yang ditubuhkan pada 1884 di New York City.

Namun bersesuaian dengan zaman, mungkin buku akan hanya tinggal naskah lusuh tetapi mempunyai nilai tinggi dan berharga dengan kehadiran gajet buku canggih seperti eBooks, iPad dan kindle.

Namun waima apa pun kegilaan terhadap buku ini tidak akan mati tanpa mengira zaman walaupun ia sekadar peralatan canggih yang berfungsi di hujung jari.

- MINGGUAN MALAYSIA

Qari, qariah Malaysia johan tilawah Al-Quran 2011

by

KUALA LUMPUR: Qari dan qariah Malaysia, Amirrahman Abas dan Suraya Abu Hassan masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam 23 Julai 2011.

Dengan kemenangan itu, mereka yang juga johan kategori masing-masing pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini, membawa pulang hadiah wang tunai RM32,200, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

KUALA LUMPUR: Qari dan qariah Malaysia, Amirrahman Abas dan Suraya Abu Hassan masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.
Dengan kemenangan itu, mereka yang juga johan kategori masing-masing pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini, membawa pulang hadiah wang tunai RM32,200, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Amirrahman memperoleh markah 89.26 peratus manakala Suraya mendapat 88.33 peratus.

Sementara itu, Saudi M Gandisa dari Filipina (88.67 peratus) dan Noor Khalidah Kaspul Anwar (88.3 peratus) dari Indonesia masing-masing muncul naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi qari Mesir, Abdel Basit Mohamed (87.88 peratus) dan qariah Singapura, Nur Azizah Sholichin (86.17 peratus). Mereka membawa pulang wang tunai RM13,600, cenderamata serta sijil penyertaan. Peserta lain menerima hadiah sagu hati iaitu wang tunai RM4,800, cenderamata dan sijil penyertaan.

Majlis tilawah yang bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah itu berlangsung selama lapan malam sejak 16 Julai lalu, disertai 81 peserta dari 50 negara termasuk 50 qari, antaranya dari Sri Lanka, Sudan, Thailand, Senegal, Bosnia-Herzegovina, Croatia, Iraq, Iran, Bangladesh, Mauritius serta Gambia.
Turut berangkat menghadiri majlis ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun; Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

– BERNAMA

Malaysia kalah 3 - 5 di Singapura

by

SINGAPURA – Lapan gol terhasil pada pertembungan dramatik dua musuh tradisi, Malaysia dan Singapura di Stadium Jalan Besar di sini malam tadi. Namun kesudahannya, Malaysia tewas 3-5 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 itu biarpun berjaya bangkit seketika setelah ketinggalan 1-4 pada babak pertama. Pada aksi malam tadi, anak- anak buah Datuk K. Rajagobal ternyata gagal beraksi pada tahap sebenar meskipun diiringi sokongan 1,500 penyokong Malaysia yang menyeberangi Tambak Johor.

Biarpun mendahului seawal 25 saat permainan bermula menerusi penyudah kemas Safee Sali, Singa- pura pantas menyamakan kedudukan menerusi Aleksandar Duric pada minit ketujuh. Singapura terus menghukum kelonggaran benteng pertahanan Malaysia dengan menambah tiga lagi gol hasil sepakan percuma Qiu Li (21), Mustafic Fahrudin (43) dan Shi Jiayi pada minit ke-45. Ketinggalan 1-4, Malaysia memulakan babak kedua dengan langkah kiri apabila kapten, Safiq Rahim dilayangkan kad merah pada minit ke-49.

Mujur pemain bek kanan Singapura, Ismail Yunos turut dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke-53. Kesempatan beraksi 10 lawan 10 kembali digunakan Malaysia untuk memperoleh gol kedua hasil jaringan penyerang gantian, Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-68 dan gol ketiga menerusi Safee seminit kemudian. Namun harapan melihat Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 4-4 tidak kesampaian apabila Duric meledak gol kelima Singapura pada minit ke-80. Malaysia kini perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini seandainya mahu layak ke pusingan ketiga.

- KOSMO!

Persoalan Agama: Ketulusan hati, tenang rahsia khusyuk dalam solat

by
Oleh Ustaz Zahazan

Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 1 dan 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya sudah berjaya orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solat.”

Persoalannya, bagaimanakah untuk kita mencapai tahap solat yang seharusnya dikerjakan oleh seorang yang beriman? Adakah mencukupi sekiranya seseorang itu mengerjakan solat bagai ayam makan padi, belum sempat dahi kepala menyentuh tempat sujud, sudah kembali bangkit dengan tergopoh gapah? Adakah orang begini dikira sebagai khusyuk? Sudah tentu tidak.

Ada ulama yang menjawab persoalan ini dengan mengatakan khusyuk ialah apabila seseorang itu bersolat dalam keadaan tetap, tenang tanpa bergerak, bergoyang atau menoleh ke kiri dan ke kanan. Diceritakan suatu ketika Saidina Umar bin al-Khattab terpandang seorang lelaki yang sedang memegang dan bermain-main janggutnya ketika solat, lalu Saidina Umar berkata: “Seandainya khusyuk hati lelaki ini nescaya khusyuklah segala anggota.”

Ada juga ulama mengatakan bahawa orang yang khusyuk adalah orang yang memberi sepenuh perhatian, pemikiran, ingatan dan lintasan hati kepada solat yang dikerjakan dengan meneliti makna ayat-ayat yang dibaca dan menghayati keseluruhan solat itu sendiri tanpa memasukkan dalam ingatan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat yang mengganggunya untuk khusyuk.

Justeru, apabila seseorang hendak mendirikan solat, namun pada masa yang sama makanan sudah dihidangkan, maka Rasulullah memerintahkan untuk kita makan dulu sekiranya waktu solat masih panjang.

Selain itu kita dilarang untuk menahan kentut atau buang air kecil atau buang air besar sekiranya hendak mendirikan solat.

Imam Ghazali RHM meletakkan beberapa pendekatan untuk kita khusyuk iaitu:

Pertama - hendaklah mengetahui dan memahami benar-benar solat yang dikerjakan.

Kedua - Ketika solat hendaklah berhampiran hadapan dinding.

Ketiga - Hendaklah sentiasa memandang ke tempat sujud.

Keempat - Tempat sujud janganlah ada sebarang gambar atau lukisan.

Jika anda mengerjakan solat dengan khusyuk dan penuh ketenangan, Allah akan menyegerakan pahala dan ganjaran anda. Tetapi jika anda tidak boleh khusyuk, anda tidak boleh meninggalkannya kerana solat itu wajib dan amal yang fardu.

Jika anda mengerjakannya terus menerus tanpa meninggalkannya, anda akan mendapat pahala. Anda juga hendaklah faham bahawa Allah SWT tidak menuntut tanggungjawab terhadap persoalan-persoalan yang kita tidak mampu melaksanakannya. Mungkin kita perlu muhasabah kembali kenapa susah untuk khusyuk. Adakah kita masih tidak meninggalkan maksiat? Begitu juga hendaklah memastikan segala hajat seperti buang air besar atau kecil ditunaikan dulu.

Usahakan untuk memahami bacaan dalam solat. Di samping itu, hendaklah menyedari setiap pertuturan dan pergerakan dalam solat. Seterusnya, hendaklah merasakan diri sangat kerdil dan lemah di hadapan Allah SWT. Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA HARIAN

22 Julai 2011

Permohonan Pelajar Secara Online Ke UMP Meningkat

by
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat peningkatan sebanyak 30 peratus bagi permohonan kemasukan secara online ke universiti itu untuk sesi 2011/2012.

Naib Canselornya Prof Datuk Daing Nasir Ibrahim berkata seramai 1,738 pelajar memohon melanjutkan pengajian di UMP secara online berbanding 1,046 pelajar pada tahun lepas.

"Peningkatan ini hasil daripada penawaran program kejuruteraan yang berdayasaing oleh UMP," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra media jom makandurian di sini.

Beliau berkata bagi sesi pengajian yang akan bermula pada 4 September itu, seramai 2,208 pelajar telah ditawarkan pengajian dalam 23 program kejuruteraan dan teknologi daripada keseluruhan permohonan berjumlah 15,921.

Daing berkata pengambilan sesi baru itu masih didominasi oleh pelajar perempuan dengan seramai 1,163 orang iaitu 53 peratus berbanding 1,045 pelajar lelaki.

– BERNAM

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

by
Hadith:

RASULULLAH s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.

2. Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

21 Julai 2011

Kerajaan Perkenal Semula Syarat Miliki SSPN Bagi Pinjaman PTPTN

by
Para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta jika ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) diwajibkan memiliki akaun Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (SSPN) mulai tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diwajibkan bagi menggalakkan budaya menabung sebagai persediaan membangunkan kelestarian PTPTN seiring dengan pelancaran semula SSPN.

"Pelajar dan orang ramai digalakkan membuka akaun dengan simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa di cawangan bank terpilih bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN," katanya selepas merasmikan Seminar PTPTN bersama IPT, Majlis Pelancaran Semula SSPN dan Penyerahan Endowment Pendidikan di sini, Rabu.

Pada 2009 hingga 2011, syarat membuka akaun SSPN sebanyak RM20 tidak lagi dilaksanakan kepada pemohon PTPTN bagi membolehkan semua pelajar layak memohon pinjaman itu.

Dalam pada itu menurut Mohamed Khaled, proses untuk membuka akaun tersebut pada hari ini jauh lebih mudah berbanding tahun sebelumnya.

"Kalau dulu, nak buka akaun mengambil masa sehingga 14 hari tetapi hari ini, proses akan diselesaikan dalam tempoh sehari," ujarnya.

Bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan pendidikan PTPTN, Khaled Nordin berkata, para pelajar digalakkan membuka akaun menerusi Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, Bank Islam (BIMB), Bank Rakyat dan CIMB Bank.

Katanya, sejak akaun SSPN diperkenalkan pada 2004, sebanyak 990,000 akaun telah dibuka dengan kutipan deposit mencecah RM465 juta sehingga 2009.

Bagaimanapun, pada Januari hingga Jun tahun ini, kutipan deposit sebanyak RM41 juta dicatatkan menerusi pembukaan 21,000 akaun.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Khaled memberitahu PTPTN akan menentukan kriteria pelajar dari golongan miskin yang layak menerima bantuan pembiayaan pendidikan menerusi program sumbangan korporat (endowment).

"Sehingga kini, sumbangan daripada badan-badan korporat mencecah RM2 juta. Jadi segalanya terpulang kepada PTPTN untuk menguruskan dana dan mengenalpasti kriteria pelajar yang layak mendapat bantuan ini," katanya.

Jelas beliau, kaedah itu merupakan satu usaha baik bagi mana-mana badan korporat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka menyalurkan sumbangan kepada sektor pengajian tinggi.

"Jika sebelum ini, sumbangan yang ingin disalurkan tidak sampai kepada sasaran tepat, mereka boleh bekerjasama dengan PTPTN untuk membantu golongan tidak bernasib baik melanjutkan pelajaran," jelasnya.

Khaled Nordin berkata, pemilihan di peringkat awal pelajar yang layak menerima sumbangan di bawah program itu mungkin boleh ditentukan pada September ini.

Terbaru, PTPTN menerima sumbangan bernilai RM250,000 daripada badan korporat seperti Kuwait Finance House dan AmIslamic Bank Berhad untuk program tersebut.

- MSTAR

20 Julai 2011

Wasiat lindungi hak waris, pembahagian harta lancar

by
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

HIBAH dan wasiat adalah salah satu daripada bentuk pengurusan harta dalam Islam. Hibah bermaksud kontrak tabarru’ yang tidak mempunyai syarat balasan dan dilakukan semasa hidup yang membolehkan seseorang itu melupuskan harta kepada ahli waris atau orang lain.

Wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ ialah menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan seseorang ketika hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Menurut Mazhab Syafie, wasiat adalah pemberian hak yang boleh dilaksanakan selepas berlaku kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Wasiat berdasarkan hukum syarak pada asalnya adalah diwajibkan.

Firman Allah bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara baik (menurut peraturan agama), sebagai kewajipan atas orang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)

Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta supaya melakukan wasiat semasa hidupnya berdasarkan sabda Baginda bermaksud: “Seseorang Muslim mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, kewajipan itu terhapus dengan hadis berkaitan pusaka antaranya yang diriwayatkan at-Tirmizi: “Allah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Wasiat pada dasarnya mempunyai dua syarat utama, pertama, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka dan kedua, kadarnya adalah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

Berdasarkan peraturan asas itu, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris seperti anak mahupun ibu bapa pemberi wasiat kerana ahli waris sudah menerima bahagian mereka melalui pusaka.

Walaupun demikian, diharuskan memberi wasiat kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan hukumnya harus mengikut Mazhab Syafie dengan syarat selepas mendapat persetujuan waris lain.

Syarat kedua, seperti disepakati ulama fiqh, kadar wasiat ditetapkan hanya satu pertiga daripada harta bersih peninggalannya, selepas ditolak belanja pengebumian, pembayaran hutang dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Saad Abi Waqas: “Aku benar-benar tenat. Lalu Rasulullah SAW menjengukku. Maka aku bertanya: Ya Rasulullah, aku tidak mempunyai waris kecuali anak perempuanku. Adakah aku boleh sedekahkan kesemua hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku bertanya: Dua pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku berkata: Adakah boleh aku sedekahkan satu pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Sepertiga. Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya kamu meninggalkan warismu kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka miskin sambil menadah tangan mereka kepada orang ramai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Merujuk peruntukan undang-undang di Malaysia berkaitan wasiat seperti Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, memberi tafsiran wasiat dengan memberi maksud iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

Berdasarkan enakmen itu, undang-undang memperuntukkan berkaitan kadar wasiat serta had wasiat dan wasiat kepada waris.

Seksyen 26(1) memperuntukkan: “Jika sesuatu wasiat dibuat kepada bukan waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya, wasiat itu hendaklah berkuatkuasa tanpa perlu mendapat apa-apa persetujuan warisnya.”

Seksyen 26(2) memperuntukkan: “Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas dasar melebihi satu pertiga hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh warisnya selepas kematian pewasiat.”

Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam.

Justeru, penting seseorang Muslim mengambil inisiatif menulis wasiat bagi memudahkan urusan pembahagian pusaka selepas berlaku kematian. Penulisan wasiat ketika hayat memastikan kepentingan waris terjamin dan proses pembahagian harta pusaka berjalan lancar.

- BERITA HARIAN

19 Julai 2011

Universiti Malaya bakal ambil pelajar tanpa Unit Pusat Universiti

by
KUALA LUMPUR 18 Julai – Universiti Malaya (UM) dijangka akan mengikuti langkah Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

UM kini sedang menunggu lampu hijau daripada Kementerian Pengajian Tinggi manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan sistem UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Bagaimanapun beberapa universiti awam lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap sistem UPU masih relevan.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, sistem pengambilan terus akan memberikan hak autonomi kepada UM dalam menentukan pelajar yang layak bagi mengikuti pengajian mereka di universiti tersebut.

“Saya melihat proses pemilihan pelajar tanpa melalui UPU ini akan menjadi lebih fleksibel kerana calon-calon yang layak akan melalui sesi temuduga sebelum terpilih untuk menyambung pengajian di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Unit Kemasukan dan Pengambilan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, USM telah memansuhkan penggunaan sistem UPU kerana mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

“USM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam di negara ini yang telah diiktiraf sebagai Universiti Apex, kelebihan ini memberi ruang buat universiti kami untuk melaksanakan proses kemasukan pelajar tanpa melalui UPU.

“Berdasarkan pemilihan secara terus ini, kami mampu memperoleh pelajar yang bersesuaian dan menepati standard universiti yang telah ditetapkan,” katanya.

Timbalan Rektor Perhubungan Pelajar UIAM, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, sehingga kini hanya pelajar antarabangsa sahaja yang dipilih secara terus oleh pihak universiti.

“Pengambilan pelajar tempatan masih menggunakan sistem UPU kerana kami merasakan ia masih lagi relevan selain sistem itu dapat memudahkan pihak universiti memilih pelajar yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa berkata, pihaknya berpendapat sistem yang diguna pakai kini harus diteruskan kerana ia masih lagi relevan

“Melalui sistem UPU, Kementerian Pengajian Tinggi boleh membuat saringan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya pertindihan nama pelajar,” katanya.

Turut menyokong kenyataan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, yang memberitahu pihaknya masih bergantung kepada sistem UPU.

“Ini kerana sebagai sebuah institusi yang masih baru, kami belum mampu membuat pemilihan pelajar secara terus,” katanya.

- UTUSAN

e-Disiplin ke 10,000 sekolah

by
PUTRAJAYA 18 Julai - Kementerian Pelajaran akan memperluaskan penggunaan Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) ke 10,000 buah sekolah seluruh negara sebagai program pembangunan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, sistem e-Disiplin itu dapat membantu pihak kementerian memantau kes-kes disiplin dan memantapkan pengurusan disiplin sekolah.

Menurutnya, melalui sistem itu, guru disiplin sekolah akan bertanggungjawab merekodkan setiap kesalahan yang berlaku di sekolah.

"Setelah rekod itu dimasukkan, ia akan dapat dilihat oleh pihak kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), pejabat pelajaran daerah (PPD) dan sekolah.

"Seterusnya melalui rekod-rekod tersebut, langkah-langkah intervensi akan dapat dirancang dan dilaksanakan di sekolah yang bermasalah," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan e-Disiplin di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 97 sekolah menengah dalam kawasan Felda mendapat sebuah komputer riba yang dilengkapi sistem tersebut.

Abdul Ghafar berkata, sistem e-Disiplin diaplikasi secara dalam talian di 317 buah sekolah sebagai projek rintis sejak 2009 hingga sekarang.

"Penggunaannya mendapat maklum balas positif daripada guru-guru dengan catatan penurunan masalah disiplin yang begitu signifikan sehingga 22 peratus," katanya.

Menurut beliau, sistem pengurusan secara profesional dan berteknologi itu dapat membantu guru-guru menilai, memantau dan mengurus disiplin pelajar dengan lebih berkesan.

- UTUSAN

Pekerja Bukan Hamba

by
Hadith:

DARI Khaitsamah r.a katanya: "Ketika kami sedang duduk (belajar) dengan Abdullah bin Umar tiba-tiba datang bendaharanya, lalu dia masuk ke dalam majlis.

Kata Abdullah kepadanya:"Sudahkah kamu memberi makan kepada para hamba sahaya? Jawab bendahara:"Belum tuanku!

"Kata Abdullah selanjutnya:"Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:"Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) terhadap orang yang menjadi tanggungjawabnya."

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

1. Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT di mana kedatangan Islam telah berjaya menghapuskan perhambaan dengan cara yang sangat halus.

Islam tidak terus melarang perhambaan, tetapi Islam menghapuskan amalan hamba abdi ini secara beransur-ansur. Banyak hadith Rasulullah SAW yang berkaitan dengan amalan perhambaan; ada amalan-amalan yang dikaitkan pahalanya sama seperti membebaskan hamba abdi dan ada denda-denda terhadap sesuatu perbuatan yang melibatkan pembebasan hamba abdi.

2. Pada zaman ini perhambaan tidak lagi wujud. Ini bermakna bahawa perhambaan sudah dimansuhkan oleh dunia seluruhnya. Tiada manusia yang boleh memperhambakan sesiapa juga dalam kehidupan mereka termasuk pembantu rumah, pekerja serta mereka yang lemah.

3. Memberi peluang pekerjaan kepada manusia lain untuk mencari rezeki tanpa menjatuhkan martabat kemanusiaannya adalah perkara yang dituntut oleh Islam. Malah Islam menetapkan bahawa di antara majikan dan pekerja terdapat batas-batas yang tertentu yang harus dijaga.

Majikan tidak boleh menganiaya para pekerjanya manakala pekerja tidak boleh bersikap buruk terhadap majikan. Masing-masing mestilah mempunyai rasa tanggungjawab, bertolak-ansur, baik sangka dan tolong menolong.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Top Ad 728x90