Menginsafi, ambil iktibar kesengsaraan di Somalia


Oleh Melissa Ong
melissa.pollena@gmail.com
Pembaca berita ntv7

TERPAKU seketika melihat sekumpulan kanak-kanak kurus kering menderita kebuluran. Ketika itu juga hati diterjah kesayuan, seakan tidak percaya apabila menyaksikan sendiri kesengsaraan rakyat Somalia, ibarat tanah yang tandus dahagakan setitis air. Namun, itulah realiti nasib rakyat negara itu yang terpaksa tinggal dalam khemah buatan yang hanya beratapkan plastik atau kain buruk.

Ketika mata asyik memandang si kecil bertubuh kerdil, saya dikejutkan dengan keghairahan mangsa kebuluran yang mengerumuni lori dipenuhi makanan, pakaian dan keperluan asas. Ia hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.

Namun, hati saya berbisik. Berapa lamakah bekalan itu dapat bertahan? Apakah kesudahan nasib mereka ini? Ia tentu tidak cukup menampung mangsa kebuluran yang semakin bertambah. Ini kerana setiap hari pasti ada ribuan penduduk dari wilayah-wilayah berdekatan yang berjalan ke Mogadishu, ibu negara Somalia untuk mendapatkan bantuan antarabangsa.

Baru-baru ini, saya dan rakan media menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Somalia, anjuran Kelab Putera 1Malaysia. Namun, kesan kebuluran dan kemarau kritikal di negara itu masih jelas dalam ingatan.

Kesengsaraan yang terdesak dan kedaifan rakyat Somalia nyata tidak dapat saya lupakan. Manakan tidak, ia masih segar dalam kotak fikiran saya. Bayangkan majoriti daripada mereka terpaksa merentasi padang pasir dan kawasan panas kering di bawah terik mentari dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius hanya semata-mata mengharapkan bantuan makanan serta perubatan.

Lebih memilukan, ada yang tewas dalam perjalanan, maut akibat kebuluran, sebelum sempat sampai di kem penempatan sementara. Jika ada yang berjaya sampai sekalipun, mereka tiba di kem penempatan dalam keadaan lesu dan tidak berdaya.
Menyedihkan juga, segelintir golongan ibu terpaksa membuat keputusan ‘kejam’ meninggalkan anak mereka yang lebih lemah di belakang supaya dapat membawa anak yang masih kuat untuk meneruskan hidup.

Di Somalia, bunyi tembakan seperti sudah menjadi lumrah. Namun, menyedari tanggungjawab yang digalas untuk membawa perhatian masyarakat dunia melalui liputan berita di negara bergolak itu membuatkan saya lebih bersemangat dan berani.

Teringat saya saat tawaran ke Somalia diberikan editor ntv7. Tidak berfikir lama, saya terus bersetuju kerana saya kira bertugas di zon konflik tanggungjawab dan cabaran yang perlu digalas sebagai seorang wartawan.

Pengalaman ini bukan saja memberi saya peluang untuk mengutarakan kedaifan penduduk Somalia melalui profesion saya, malah ia pengalaman yang mematangkan dan menginsafkan saya.

Ia juga mengingatkan saya bahawa hidup dan mati urusan Tuhan. Selagi nyawa dikandung badan, kita patut melakukan yang terbaik dalam segala tanggungjawab diamanahkan.

Perasaan hiba menyelubungi saya apabila terkenang tragedi yang meragut nyawa rakan seperjuangan. Kejadian yang mengorbankan jurukamera BERNAMA TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor hari Itu tidak mungkin luput dalam ingatan.

Apatah lagi saya menaiki kenderaan sama ketika arwah dan jurukamera TV3 terkena peluru sesat. Bagaimanapun, abang Faizul tidak mampu diselamatkan. Misi bantuan kemanusiaan membawa 55 wakil media, doktor dan sukarelawan, tinggal 54 saja yang pulang.

Memori terakhir kami ialah ketika arwah memberi galakan dan semangat kepada kami. Saya percaya jika abang Faizul masih hidup, pasti dia mahu kami meneruskan perjuangan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Impian saya, mahu menjejak bumi tandus Somalia sekali lagi untuk menubuhkan kem di bawah nama arwah. Semoga roh arwah disemadikan dengan aman.

Ternyata peristiwa berkenaan mencipta sejarah – pertama kali wakil media Malaysia terkorban di luar negara ketika menjalankan tugas. Diharapkan insiden sebegini tidak berulang.

Ada yang mempersoalkan sama ada jika memakai baju kalis peluru dapat mengelakkan insiden ini? Memakai baju kalis peluru saja tidak semestinya mengubah nasib wartawan atau jurukamera media bertugas.

Langkah keselamatan lain perlu dititikberatkan supaya keselamatan kami, petugas media terjamin, terutama di kawasan berisiko tinggi. Antaranya kursus persediaan awal sebelum berlepas ke negara bergolak; vaksin mencegah penyakit diberikan awal dan bukan pada saat-saat akhir selain peralatan keselamatan seperti topi keselamatan, topeng muka dan baju kalis peluru disediakan. Beringat sebelum kena, mencegah sebelum terlambat.

Krisis makanan yang dialami Somalia juga perlu dijadikan iktibar. Ini kerana krisis kemanusiaan terburuk pada abad ke-21 itu turut berpunca daripada perpecahan rakyat negara berkenaan. Namun, mampukah mereka mengetepikan perbezaan fahaman dan bangkit semula membangunkan negara?

Bagi rakyat Malaysia, kita perlu sedar itulah akibatnya jika tiada perpaduan.

Saya percaya rakyat Somalia sangat bersyukur dengan bantuan dihulurkan Malaysia. Apabila kita memberi, kita turut menerima dalam bentuk lain kerana kita juga belajar untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara. Kita belajar bersyukur dengan kesejahteraan yang dimiliki. Justeru, hargailah keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi 54 tahun sejak Merdeka.

Saya benar-benar terharu dan berterima kasih dengan sokongan yang saya terima melalui SMS dan mesej Facebook bukan saja daripada rakan dan kenalan, malah daripada rakyat Malaysia prihatin yang tidak saya kenali.

Kalau nak dikirakan, penat dan trauma daripada pengalaman ini belum hilang. Namun yang pasti, saya kini mempunyai perspektif hidup dan anjakan paradigma baru. Akhir kata, marilah kita laksanakan apa yang terbaik dan memastikan kemerdekaan dan kemakmuran negara ini tetap terpelihara.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.