31 Oktober 2011

Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan Politeknik Sesi Disember 2011

by


Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan Politeknik Sesi Disember 2011 boleh dibuat di: http://www.politeknik.edu.my/keputusanpermohonan/umum/carian.asp

Calon yang berjaya mestilah mencetak Surat Pengesahan Tawaran dan Borang Jawapan Tawaran melalui laman web politeknik. Calon hendaklah menghantar segala dokumen yang diperlukan ke politeknik berkenaan. Setelah politeknik membuat semakan dan mendapati tiada percanggahan maklumat, surat tawaran rasmi beserta dengan dokumen pendaftaran akan diposkan kepada calon.

Sebarang pertanyaan berkenaan pengambilan Politeknik ini boleh dikemukakan kepada Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi di talian telefon: 03-8891 6000 sambungan 6155/ 6156/ 6157/ 6158/ 6159/ 6160 atau faks : 03-8891 6001 atau e-mel : pengambilan@politeknik.edu.my

Sharbinee akui lakukan kesilapan

by

SEPERTI mahu bertanggungjawab di atas kegagalan Terengganu menjuarai Piala Malaysia, penjaga gol, Sharbinee Alawee Ramli secara terbuka mengakui kesilapan pada perlawanan akhir kelmarin.

Sambil menjelaskan kesilapan tersebut tidak disengajakan, penjaga gol kebangsaan itu turut meminta maaf kepada semua rakan serta penyokong di atas apa yang telah berlaku.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Sharbinee yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas hantaran silang pemain Negeri Sembilan, S. Kunanlan pada minit ke-81.

Gol penyamaan itu telah mencetuskan kebangkitan para pemain Negeri Sembilan yang akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-86 untuk muncul juara Piala Malaysia edisi 2011.

“Perlawanan akhir memang sengit dan apa sahaja boleh berlaku. Lagipun, sukar untuk saya katakan apa sebenarnya yang berlaku. Saya hanya boleh katakan yang saya tidak bernasib baik dan ia mungkin bukan hari saya.

“Saya juga tahu ramai orang di luar sana yang membenci saya kerana kesilapan itu. Justeru, saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Terengganu yang mengharapkan kami membawa pulang trofi ini.

“Kami telah melakukan yang terbaik dan tahun ini mungkin bukan rezeki kami,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu semalam.

Mengulas lanjut mengenai kesilapan itu, Sharbinee yang dianggap penjaga gol No. 2 negara selepas Khairul Fahmi Che Mat menjelaskan, faktor padang bukanlah punca utama.

Sebaliknya dia mendedahkan, tempoh perlawanan yang cukup genting memberi sedikit tekanan kepadanya sehingga gagal beraksi dengan baik.

“Saya mungkin telah membuat keputusan yang silap sehingga menyebabkan jaringan itu dan ia sesuatu yang sukar untuk saya terima.

“Namun, saya akan jadikan kesilapan ini sebagai satu lagi pengalaman untuk menjadi lebih matang dan lebih berhati-hati pada perlawanan akan datang.

“Saya cuma berharap agar para penyokong Terengganu terus berada di belakang pasukan ini dalam misi memburu kejuaraan pada musim depan,” katanya lagi.

Untuk rekod, kekalahan 1-2 Terengganu kepada Negeri Sembilan kelmarin meneruskan kemarau kejuaraan buat skuad Penyu itu selepas kali terakhir muncul juara Piala Malaysia sepuluh tahun lalu.

Pada tahun ini kejuaraan yang dimenangi skuad Terengganu kendalian Irfan Bakti itu adalah dengan muncul juara Piala FA 2011 selain menduduki tangga kedua dalam persaingan Liga Super 2011.

- KOSMO!

Orang Hilang : Pelajar 14 tahun hilang pada hari peperiksaan

by

PADANG SERAI 30 Okt. - Sepasang suami isteri bimbang setelah anak bongsu mereka hilang tanpa khabar berita pada hari peperiksaan akhir tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas di sini, Isnin lalu.

Anak keempat pasangan itu, Nur Ainina Adila Muhammad Zuki, 14, dari Kampung Perenggan Lunas di sini, dikesan datang ke sekolah pukul 11.25 pagi pada hari berkenaan.

Ibunya, Siti Hajar Osman, 44, berkata, anaknya itu yang dilihat hadir ke sekolah selepas dihantar oleh ibu saudaranya dengan motosikal bagaimanapun tidak masuk ke kelas.

"Rakan-rakannya beritahu dia tidak masuk kelas pada hari itu untuk peperiksaan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, setelah Nur Ainina Adila tidak pulang ke rumah, dia segera menghubungi pihak sekolah tetapi gagal mengesan anaknya tersebut.

Siti Hajar berkata, anak-anaknya yang lain termasuk dua kakak kepada Nur Ainina Adila iaitu Nurul Izaty, 20, Nurul Fahani, 19, dan abangnya, Mohd. Farhan Izzat, 15, turut risau kehilangan adik mereka.

"Kami sendiri tidak tahu dia pergi ke mana. Kami runsing apatah lagi dia merupakan seorang yang banyak berahsia, bila orang suruh apa, dia terus buat," tambahnya.

Bapa pelajar itu, Muhammad Zuki Jahaya, 47, pula berkata, aduan mengenai kehilangan anaknya yang dipanggil Nina atau Dikna itu telah dibuat di Balai Polis Lunas selepas kehilangannya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau Muhammad Zuki di talian 019-5253307 atau Siti Hajar 019-5033091.

- UTUSAN

Susu UHT 1Malaysia selamat diminum

by

SELEPAS berdepan dengan beberapa dugaan kes keracunan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah yang mengambil susu 1Malaysia, Dutch Lady Malaysia (DLM) memberi jaminan bahawa susu keluaran mereka selamat dinikmati oleh kanak-kanak.

Program susu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak September tahun lalu itu dijalankan di 7,073 sekolah rendah terpilih seluruh Malaysia pada April lalu.

Melibatkan hampir 1.4 juta pelajar, kes keracunan akibat meminum susu tersebut dikatakan berada pada skala yang rendah. Perkara itu terjadi disebabkan pelbagai faktor.

"Kebanyakan pelajar yang diletakkan di bawah program ini merupakan mereka yang tinggal di luar bandar dan berasal dari keluarga susah.

Segelintir daripada mereka telah berhenti minum susu dalam satu tempoh lama dan apabila mereka kembali minum susu, perut mereka akan memberikan satu tindak balas yang berbeza.

"Ia mungkin disebabkan alahan laktosa. Justeru, kami menyarankan agar pelajar ini mengambil separuh susu sahaja pada waktu rehat dan separuh lagi selepas tamat sesi persekolahan pada hari yang sama," ujar Ketua Bahagian Korporat dan Kawal Selia DLM, Rohana Safinah Abdul Hamid.

Sehubungan itu, DLM meminta orang ramai meletakkan keyakinan tinggi terhadap program yang pernah dijalankan suatu ketika dulu sebelum dihentikan pada tahun 2007 bagi melahirkan pelajar-pelajar yang sihat dengan susu.

Dengan pemberian susu dua kali seminggu kepada setiap pelajar, program itu juga diharapkan dapat mengurangkan masalah kekurangan zat makanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar khususnya di luar bandar.

Keberkesanan susu sebagai penyelesai masalah kekurangan zat dibuktikan dengan program susu yang sama. Program tersebut dijalankan di Thailand, Guatemala, Turki dan lain-lain apabila jumlah pelajar yang mengalami masalah kekurangan zat makanan menurun setiap tahun.

Bagi memastikan matlamat program tersebut dicapai, DLM turut melapangkan masa mencipta pelbagai program di sekolah-sekolah terlibat terutama di kawasan pedalaman.

Di bawah program itu juga hanya susu perisa coklat dibekalkan kerana ia merupakan perisa paling digemari kanak-kanak.

- KOSMO!

Kisah graduan, usahawan dan Tabung Usahawan Siswazah (TUS)

by
Zaihal Hazri Abdul Halim ialah graduan yang pernah mengikuti kursus Skim Usahawan Siswazah setelah memohon pembiayaan sebanyak RM50,000 daripada Tabung Usahawan Siswazah (TUS).

Selain ingin memulakan perniagaan sendiri, beliau merasakan syarat-syarat pinjaman TUS tidak membebankan golongan siswazah terutamanya kepada mereka yang baru menamatkan pengajian dan masih dibelenggu masalah hutang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN.

Menurut SME Bank, dana Tabung Usahawan Siswazah (TUS) disediakan bagi pemohon yang telah mengikuti kursus Latihan Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Keusahawanan Siswa yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Selain itu katanya, dana TUS juga layak dimohon oleh peserta Program Inkubator Usahawan Siswazah (PIUS) yang dikendalikan oleh SME Bank.

''Permohonan dana ini terbuka kepada pemohon yang ingin memulakan perniagaan atau yang telah mempunyai perniagaan dan ingin mengembangkan lagi perniagaan mereka,'' katanya dalam kenyataan di sini.

Skim khusus ini menggalakkan graduan-graduan universiti untuk menjadi usahawan di sektor-sektor tertentu, jelasnya.

Selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan, had maksimum jumlah pinjaman yang boleh dipinjam pemohon telah ditingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai siswazah menjadi usahawan.

Sehingga Ogos 2011, TUS telah mengeluarkan lebih RM35.3 Juta daripada dananya untuk kegunaan siswazah yang selesai melalui Latihan Asas Keusahawanan Siswazah anjuran MITI.

Peruntukan tersebut bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai lepasan universiti menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Dana ini merupakan pembiayaan mudah bagi graduan memulakan perniagaan dalam sektor perkhidmatan dan perindustrian dan juga bagi para graduan yang telah mempunyai perniagaan sedia ada.

Antara syarat kelayakan dana ini ialah:

- Lepasan siswazah dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam/ Swasta dalam atau luar negara yang tamat pengajian tidak melebihi sepuluh (10) tahun dan umur tidak melebihi 40 tahun.

- Pemohon hendaklah memiliki kelulusan Ijazah atau Diploma dari IPTA atau IPTS yang diiktiraf oleh Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Malaysian Qualifying Agency (MQA) (dahulu dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

- Terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

- Mestilah pengusaha sepenuh masa atau pemilik majoriti perniagaan.

- Kertas Rancangan Perniagaan (RP) yang lengkap sebanyak lima salinan hendaklah disediakan dan dikemukakan kepada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

- Telah menghadiri salah satu kursus asas keusahawanan iaitu Skim Usahawan Siswazah (SUS), Kursus Asas Keusahawanan Siswa (KAKS), Latihan Keusahawanan Siswa (LKS) atau Program Francais Siswa (PFS) serta telah membuat persembahan rancangan perniagaan dengan Jawatankuasa Penilaian Awal di Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri.

Antara tarikan TUS ialah para peminjam tidak memerlukan penjamin dan had pembiayaan pula sehingga RM500,000. Di samping itu, pembiayaan turut mempunyai opsyen berlandaskan syariah.

SME Bank diwujudkan kerajaan untuk membimbing dan membangunkan golongan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

SME Bank : http://www.smebank.com.my
MITI : http://www.miti.gov.my
INSKEN : http://www.insken.gov.my

- UTUSAN

Fizo Omar pakar di dapur

by

TATKALA pelakon Fizo Omar lalu di depan bangunan Menara Star dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki warna hitam, ramai mata yang memandang pada figura muda ini.

Manakan tidak, lagak Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar yang bergaya lengkap dengan jaket dan sarung muka khas persis seorang pelumba motosikal profesional.

“Ini (motosikal) bukan saya punya. Ia ditaja oleh Kawasaki khas buat sesi fotografi ini. Saya punya warna merah jenis Naked Bike,” ujarnya memulakan bicara.

Bersungguh-sungguh pelakon ini menceritakan perihal motosikal kesayangannya itu sehingga membuatkan penulis juga berasa teruja.

Kata anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan ini, minatnya menunggang motosikal berkuasa tinggi sudah lama dan selepas setahun mengumpul duit hasil titik peluh daripada kerja lakonan, barulah dia dapat membeli motor yang diidamkannya itu.

“Membeli motosikal berkuasa tinggi adalah cara saya untuk menghargai diri sendiri. Sejak membeli motor tersebut, ‘dialah’ yang menjadi kekasih saya,” selorohnya.

Kata Fizo, masa lapangnya akan diisi dengan menunggang motosikalnya itu. Malah Fizo juga sanggup berjalan jauh semata-mata ingin mendapatkan kepuasan ketika menunggang.

“Saya sukakan kelajuan. Jika mahu menunggang laju, saya akan masuk trek. Kadang-kala saya akan ke Genting Highlands semata-mata untuk minum petang.

“Jika secara berkumpulan, kami akan merancang ke luar kawasan Kuala Lumpur untuk menikmati makan tengah hari atau makan malam dan pulang pada hari yang sama,” katanya.

Pakar bisnes dan di dapur

Selain obses pada motosikal berkuasa tinggi, Fizo akui dia juga cukup gemar dan pakar dalam hal masakan.

Malah pelakon yang kini popular menerusi drama bersiri Soffiyya ini bakal muncul dengan buku resipi eksklusif yang akan dipasarkan tidak lama lagi.

“Memang dari kecil lagi saya suka memasak sampaikan ibu sendiri perli saya kerana suka buat kerja perempuan.

Tapi pada masa sama saya juga seorang yang lasak.

“Memandangkan kepakaran saya lebih pada masakan Thai, buku tersebut lebih pada resepi makanan Thailand dan Melayu, tetapi diajar cara yang lebih ringkas.

“Saya turut memasukkan tip-tip tambahan dari segi penjagaan kesihatan dan petua memasak,” katanya.

Di samping itu, buku resipi tersebut turut memaparkan foto-foto eksklusif Fizo dan keluarga buat tatapan peminat.

Tidak mahu mensia-siakan kepakaran yang dimiliki, lelaki berusia 26 tahun ini memasang impian untuk mengusahakan sebuah restoran sendiri.

Dalam pada itu, Fizo sudah pun memiliki perniagaan sendiri di mana dia dan keluarganya menjual makanan tradisional dan serunding selain merancang untuk mengusahakan tanah arwah ayahnya bagi penternakan kambing dan itik.

Katanya, walaupun memperoleh hasil pendapatan yang lumayan dalam kerjaya lakonan, ia sukar untuk bertahan lama dan tidak semua pelakon memiliki tuah untuk bertahan di bidang tersebut hingga ke tua.

Justeru itu, pelaburan awal dalam perniagaan menggunakan pendapatan kerjaya seni amatlah penting agar kedudukan kewangan tidak terjejas pada masa depan.

“Saya dibesarkan dalam suasana keluarga bisnes, dan ia sudah sebati dalam jiwa saya. Arwah ayah pun meniaga macam-macam benda.

“Bagi seseorang artis pula, memulakan perniagaan pada masa kita tengah laku dengan tawaran kerja-kerja seni adalah masa yang sangat sesuai.

Ia seperti membuat pelaburan di mana kita akan meraih keuntungan pada masa depan.“Satu bonus buat para artis kerana mereka dikenali ramai dan ia sekaligus memudahkan perjalanan perniagaan kita dari sudut promosi,” katanya yang juga pernah menjadi pengedar tambah nilai telefon.

Sementara itu, pelakon ini juga bersyukur, hampir empat tahun bergelar pelakon, rezekinya semakin bertambah setiap tahun.Walaupun peningkatan karier sedikit lambat berbanding rakan seperjuangannya, Kamal Adli, Fizo selesa bergerak perlahan.

Malah target muncul di filem juga tercapai di mana filem-filem lakonannya iaitu Halimunnan, Minyak Dagu, 7 Petala Cinta dan Azazil bakal ditayangkan tahun depan.

“Alhamdulillah, buat masa ini, target saya tercapai seperti yang diinginkan. Filem-filem saya juga akan ditayangkan tak lama lagi. Cuma tinggal satu lagi impian yang belum dicapai, iaitu menjadi seorang penyampai radio,” katanya.

- MSTAR

Cegah ponteng melalui SMS

by
Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi banyak kemudahan kepada warga pendidik termasuk yang terkini sistem aplikasi mengesan kehadiran pelajar, m-Attendance yang dibangunkan oleh Mobile Biz Network Sdn. Bhd.

Pengarah Pembangunan Produknya, Hazwan Abu Hassan berkata, m-Attendance merupakan sistem aplikasi kehadiran yang pertama seumpamanya di negara ini untuk membantu mengurangkan kadar ponteng sekolah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

"Penggunaan sistem aplikasi m-Attendance merupakan satu langkah pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta selaras dengan tuntutan transformasi pendidikan mengikut keperluan kehidupan dan persekolahan abad ke-21," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, sistem aplikasi ini berfungsi apabila guru di sekolah mengambil kedatangan setiap pelajar menggunakan komputer tablet iPad dan seterusnya ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel yang memaklumkan status kehadiran anak mereka ke sekolah sejurus kedatangan diambil.

"Selain mengurangkan kadar ponteng sekolah, aplikasi ini juga dilihat mampu memudah serta meringankan beban guru kelas dalam mengurus data kehadiran pelajar.

"Ia juga membantu memudahkan ibu bapa untuk memberi cadangan, pandangan dan aduan kepada sekolah melalui SMS selain membantu menghebahkan segala aktiviti dan program sekolah dengan lebih cepat, mudah dan kos efektif," jelasnya.

Hazwan berkata, antara faedah penggunaan aplikasi berkenaan pula ialah membantu melicinkan lagi sistem penyampaian maklumat sekolah dan meningkatkan prestasi, imej dan kredibiliti sekolah.

"Selain itu, sistem aplikasi m-Attendance turut mempunyai ciri-ciri tambahan seperti Homework Alert, Profil Pelajar, Laporan Akademik, Laporan Disiplin dan Buku Teks Digital.

"Selain sistem SMS Kehadiran m-Attendance, pakej sistem aplikasi kehadiran ini turut dilengkapi dengan Sistem Aduan m-Centre dan Sistem SMS Hebahan OwnSms-Broadcast.

"Dengan sistem SMS Hebahan OwnSms-Broadcast, aktiviti dan program sekolah seperti hari sukan, peringatan tarikh peperiksaan, makluman tunggakan yuran, mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan dimaklumkan terus kepada ibu bapa melalui SMS," terang beliau.

Semasa pelancarannya baru-baru ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal di Kemaman, Terengganu telah dipilih sebagai sekolah pertama di negara ini yang menggunakan aplikasi tersebut.

Sebanyak 41 buah iPad telah disumbangkan oleh syarikat Apple Malaysia untuk kegunaan guru-guru di sekolah tersebut bagi melaksanakan projek induk sistem aplikasi berkenaan.

- UTUSAN

Siapa Mustafa Kamal Ataturk

by

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

KARYA yang ditunggu-tunggu bagi memperbetulkan 'nota-nota' sejarah sebelum ini yang meminta agar kita mengagumi kepimpinan Mustafa Kamal Ataturk yang kononnya memberikan wajah baru dan kemajuan kepada negara Turki.

Sungguhpun tebal, namun buku yang ditulis oleh penulis tersohor tanah air ini membuatkan kita mengenali sosok sebenar di sebalik nama besar Mustafa Kamal Ataturk.

Daripada buku-buku teks sejarah sebelum ini, beliau digambarkan atau sengaja digambarkan sebagai seorang pahlawan, hero dan negarawan yang hebat terunggul kerana berjaya meletakkan Turki sama taraf dan berkedudukan sebagai sebahagian negara Eropah, bukan lagi separuh Eropah atau separuh lagi Asia.

Malah kita perlu menganggap tindakannya menutup sekolah-sekolah agama di Turki dengan menggantikan sekolah-sekolah berasaskan moden dan sekular sebagai langkah yang tepat bagi memberikan wajah baru kepada Turki Baru dan Moden.

Begitu juga atas nama 'pembaharuan', Mustafa Kamal Atatuk melenyapkan pelbagai amalan dan budaya Turki sebelum ini. Antaranya, menukarkan hari cuti daripada hari Jumaat kepada hari Ahad, menggunakan kalendar Masihi menggantikan kalendar Hijrah dan sekurang-kurangnya laungan azan dibenarkan tetapi hendaklah dalam bahasa Turki menggantikan Bahasa Arab.

Namanya berjaya mengatasi nama pemerintah-pemerintah kesultanan dan khalifah Uthmaniah. Namun kelemahan pemerintah terakhir dalam Dinasti Khalifah Uthmaniah seperti Sultan Abdul Majid (1918-1924) yang berjaya menjadi mangsa tipu daya Mustafa Kamal Ataturk.

Sultan Abdul Majid diguling oleh Mustafa Kamal Ataturk dengan memperalatkan nama revolusi atas 'persetujuan' Ketua Majlis Rakyat yang dibentuk oleh Kamal Ataturk. penubuhan Majlis itu sebenar tidak mendapat kebenaran dan restu Sultan sendiri.

Dalam sejarah yang sebenar kelicikan Mustafa Kamal Ataturk memang tiada dua tandingannya. Ini termasuk melancarkan peperangan 'palsu' dengan bersekongkol dengan pihak musuh supaya mereka berundur dan akhirnya beliau kononnya pulang sebagai wira dan layak mendapat gelaran tokoh Al Ghazi dan meminta dibayar ganjaran sebanyak tiga juta lira.

Tetapi dengan Sultan beliau kononnya menolak ganjaran sebanyak itu dengan alasan memahami situasi kewangan negara kesan dari peperangan.

Mustafa Kamal Ataturk sanggup melakukan apa sahaja asalkan beliau beroleh kuasa dan tamakkan kuasa. Beliau mengejar segala pangkat dan kedudukan dalam kerajaan dan tentera dan beliau mahu dilihat sebagai anak muda yang bangun dan bangkit bagi membebaskan Turki dan cengkaman pemerintah Kesultanan Uthmaniah.

Sedangkan Uthmaniah hanya mempertahankan kedudukan umat Islam, terutama sama sekali tidak akan menyerahkan Palestin kepada Yahudi tetapi semua itu pastinya menyebabkan pihak Barat dengan pengaruh-pengaruh Yahudi menjadi cacing kepanasan, tidak senang duduk.

Mereka berjaya memperalatkan Mustafa Kamal Ataturk menjadi boneka bagi memudahkan usaha-usaha mereka menjatuhkan pemerintah Islam dan pengaruh Islam itu sendiri.

Mustafa Kamal Ataturk benar-benar memudahkan lagi usaha-usaha jahat Barat untuk menakluk Turki yang empayarnya ketika itu sehingga mencakupi ke Wilayah Iraq dengan hasrat untuk mendapatkan Mousul yang kaya dengan hasil limpahan minyak itu.

Bagi Mustafa Kamal biarlah Mousul diserahkan kepada pihak British asalkan sahaja British mengundurkan tentera mereka dari Istanbul dan kononnya memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada Turki untuk rakyatnya memerintah sendiri.

Dengan alasan Turki belum ada kemampuan bagi menggali minyak di Mousul, maka biarkan sahaja jika British ingin mengambil Mousul itu.

Sukar digambarkan bagaimana Mustafa Kamal sanggup melakukan ini semua, sanggup menjual kepentingan negara sedangkan Turki selama ini menempuh zaman gemilang tanpa memerlukan campur tangan orang luar apa tah lagi pihak Barat.

Mungkinkah kerana sedikit sebanyak kerana faktor 'jenis' darah bangsa yang mengalir dalam dirinya?

Sebab itu membaca di bahagian awal buku ini sangat mengujakan kerana ia menceritakan susur galur dan peristiwa kelahiran dan bagaimana Mustafa Kamal dibesarkan! Siapa bapanya, siapa ibunya dan beliau sebenarnya berbangsa apa? Walaupun gelaran Ataturk di belakang namanya itu bermakna 'Leluhur Turki'!

Begitu juga apabila memasuki bab-bab akhir dalam buku ini, ia semakin mengujakan tanpa dapat kita berhenti membacanya apabila penulis mendedahkan saat-saat Mustafa Kamal jatuh sakit teruk sehingga membawa kepada detik-detik kematian.

Ia telah banyak diceritakan sebelum ini dan kita mungkin pernah membacanya di mana-mana. Tetapi Abdul Latip Talib menjadikan hari-hari terakhir Mustafa Kamal itu bagaikan episod-episod yang dramatik dalam sebuah drama!

Benarkah bumi langsung tidak dapat menerima Mustafa Kamal sehinggakan mayatnya dimuntahkan keluar apabila hendak dikebumikan? Semua ini diceritakan dalam buku ini dan pastinya membuatkan kita mengambil seribu satu pengajaran kepada manusia yang masih hidup ini.

Buku ini tidak sekadar sebuah catatan sisi sebenar Mustafa Kamal Ataturk dan kemampuan penulis menyelamatkan pembaca dari sejarah yang dikaburkan sebelum ini. Sebaliknya, ia memberi inspirasi supaya kita mengkaji lebih banyak sejarah umat Islam di serata dunia. Ini kerana terbukti kini bahawa Mustafa Kamal Ataturk bukanlah jelmaan panglima Islam Khalid Al Walid tetapi adalah sebaliknya, Bapa Munafik Moden sebagaimana yang menjadi tajuk buku ini, iaitu Penegak Agenda Yahudi!

Segera dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran dan lengkapkan koleksi buku-buku karya Abdul Latip dengan mendapatkan buku Mustafa Kamal Ataturk yang sebelum ini buku-bukunya begitu mendapat sambutan hangat! Satu-satunya penulis yang merakamkan sejarah-sejarah Islam dalam bentuk novel dan novel lazimnya memangnya suka dibaca!

http://www.bookcafe.com.my/en/

Semua Guru Tadika Kemas Miliki Diploma Menjelang 2015

by
Semua guru Tadika Kemas di negara ini dijangka mendapat diploma dan bergred S27 menjelang tahun 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha ke arah itu sedang dilaksanakan termasuk melatih mereka dengan mengikuti kursus dalam cuti di institut perguruan di seluruh negara.

Beliau berkata setakat ini lebih 2,000 orang daripada lebih 9,000 guru tadika Kemas di seluruh negara telah menamatkan pengajian mereka di peringkat diploma.

Katanya bagi Sabah, kumpulan pertama seramai 250 orang daripada 824 orang guru tabika Kemas sudah memperolehi diploma.

"Program ini kita akan teruskan sehingga mereka semua memperolehi diploma seperti yang dirancang selaras dengan wawasan kita untuk memperkasakan lagi pendidikan prasekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Muis, Kota Kinabalu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie mahu semua pihak memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya pendidikan prasekolah, sekaligus memastikan transformasi pendidikan dapat dikecapi segenap rakyat terutama di luar bandar.

Katanya kementeriannya juga amat prihatin akan keperluan prasarana yang lengkap terutama di kawasan pedalaman negeri ini.

Katanya kementerian telah mencatat kejayaan dalam pelaksanaan KPI dan NKRA dengan jumlah pembukaan kelas sebanyak 500 buah pada tahun 2010, menjadikan sebanyak 8,816 tadika dan 313 taska yang beroperasi di seluruh negara yang melibatkan seramai 200,417 kanak-kanak berumur antara dua hingga enam tahun.

"Pada tahun ini pula, sasaran bilangan kelas tabika Kemas sebanyak 9,816 buah telah berjaya dicapai iaitu sehingga Julai 2011 sebanyak 9,816 kelas telah dibuka dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang dan dikendalikan oleh seramai 9,824 guru," katanya.

Sementara itu, Shafie mengingatkan warga Felcra supaya tidak terpengaruh dengan hasutan mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.

"Cerita ini (hasutan) langsung tidak membantu kita, bukan bagi beli kelapa sawit, bukan bagi beli getah, bukan dia buat rumah untuk kita.

"Kadang-kadang dia cerita tentang kerajaan tidak bantu, dividen tidak cukup tetapi kita sedar dan tahu kerajaan bantu kita sedangkan yang tabur fitnah ini tidak membantu, jadi apa hal kita mahu dengar dia," katanya.

Pada Jumaat, Pengerusi Felcra Datuk Tajuddin Abd Rahman dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya mengesan tindakan pihak tertentu yang menjalankan kegiatan menghasut peserta agensi tersebut terutamanya masyarakat Orang Asli supaya membenci kerajaan.

Kegiatan itu dikesan berikutan penemuan risalah memburuk-burukkan kerajaan serta agensi berkenaan di sekitar perkampungan Orang Asli di negeri ini.

Shafie berkata pelbagai bantuan dan program telah dijalankan oleh Felcra secara berterusan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan rakyat seharusnya tahu menilai dan menolak pembohongan yang dibuat pihak-pihak tertentu yang tidak akan memberikan manfaat.

- BERNAMA

Keselamatan negara tugas semua

by
Oleh Datuk Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Berkait rapat dengan soal ekonomi, dasar-dasar afirmatif dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah soal kemajuan pendidikan dan biasiswa bagi anak- anak Melayu dan Bumiputera.

Dalam aspek ini, terlebih dulu Perkasa mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan fokus kepada kebajikan para pelajar tanah air dalam Belanjawan 2012.

Seluruh program kewangan membabitkan pelajar dan pendidikan dalam belanjawan ini membuktikan bahawa pemerintah cukup prihatin terhadap masa depan anak- anak Malaysia semua bangsa.

Dalam pada itu, Perkasa akan terus menyuarakan hasrat dan kehendak orang Melayu dan Bumiputera mengenai biasiswa yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berdasarkan semangat dan roh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut sejarahnya, biasiswa ini dianugerahkan mengikut kuota 90 peratus Melayu serta Bumiputera dan 10 peratus bukan Melayu. Kemudiannya, kuota ini bertukar kepada kadar 80:20.

Pada hari ini, kuotanya adalah 51:49. Penurunan kadar kuota bagi pelajar Melayu dan Bumiputera ini adalah penghakisan kepada hak mereka yang dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, penghakisan kuota biasiswa ini wajar dikaji semula. Hakikatnya demikian "kerana daripada 40 peratus jumlah penduduk miskin" di Malaysia "80 peratus daripadanya adalah kaum Melayu dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan."

Maka, oleh kerana pendidikan adalah satu-satunya mekanisme untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Melayu dan Bumiputera, soal penghakisan kuota biasiswa ini perlulah dipandang serius dan diatasi dengan sewajar-wajarnya.

Tetapi, jika pemerintah berani bertindak radikal, ambillah pandangan saya sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2011. Dalam ucapan tersebut, saya mencadangkan supaya pemerintah memansuhkan pemberian dan tajaan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Sebagai gantinya, mereka yang berhasrat belajar di luar negara hanya perlu diberikan bantuan menerusi dana pinjaman.

Dengan cara ini, dana sejumlah RM1.4 bilion yang dikhaskan untuk pendidikan di negara asing ini boleh digunakan untuk menaja lebih ramai pelajar mengaji di universiti-universiti tempatan.

Ini kerana IPTA dan IPTS di Malaysia yang tumbuh seperti cendawan, kini mempunyai mutu pendidikan serta tahap kecemerlangan akademik yang membanggakan. Saya membuat cadangan ini kerana penajaan pelajar ke seberang laut melibatkan jumlah wang besar.

Contohnya, pemerintah terpaksa membiayai sejumlah RM 1.2 juta bagi seorang pelajar di bidang perubatan di Britain. Jumlah ini boleh menaja tiga orang pelajar jurusan perubatan di dalam negara.

Selain itu, pemerintah juga kerugian jika pelajar ini enggan pulang ke tanah air atas sebab-sebab tertentu. Lantaran itu, pertimbangkanlah cadangan ini secara serius.

Seterusnya, Perkasa juga mencadangkan supaya seluruh lapisan pelajar Malaysia, dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi, diberikan pendedahan mengenai sejarah negara dan Perlembagaan Persekutuan dengan secukup-cukupnya.

Pendedahan ini perlu untuk membolehkan generasi muda Malaysia mengenal, menginsafi serta menghayati sejarah negara kita yang majmuk, dan pada waktu yang sama, mereka menjadi warganegara yang sentiasa memelihara keluhuran Perlembagaan negara.

Selain itu, Perkasa juga mengingatkan pemerintah bahawa tuntutan pihak tertentu agar kelulusan sijil UEC boleh diterima sebagai kelulusan untuk memasuki IPTA di Malaysia hendaklah ditolak dan tidak perlu dilayani. Ini kerana ia bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Sehubungan dengan ini, Perkasa juga mengulangi pendiriannya menyokong pemansuhan PPSMI supaya mata pelajaran Sains dan Matematik terus diajar kepada pelajar hanya dalam Bahasa Melayu.

Namun demikian, oleh kerana Perkasa tidak menafikan pentingnya rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, pemerintah perlulah meningkatkan penguasaan bahasa ini menerusi kaedah lain, termasuk memanjangkan waktu pembelajaran untuk mata pelajaran ini.

Perkasa menggesa pemerintah menambahkan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran dan juga Maktab Rendah Sains Mara. Ini kerana jumlah RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2012 kepada Sekolah Agama Rakyat dan MRSM ini adalah kecil dan tidak mencukupi.

Apa yang saya huraikan ini, segala-galanya adalah menjurus kepada soal keselamatan rakyat, keselamatan pemerintah, keselamatan ekonomi dan akhirnya, keselamatan negara.

Ini kerana konsep keselamatan mutakhir ini sudah banyak berubah. Konsep keselamatan pada hari ini lebih banyak memfokus kepada aspek keselamatan masyarakat, keselamatan insan dan lain-lain cabang keselamatan bukan tradisional. Inilah sebabnya dikatakan bahawa keselamatan adalah mengenai survival atau kelangsungan sesebuah negara dan rakyat jelatanya.

Dalam konteks ini, Perkasa menentang seluruh tindakan yang boleh mengancam ketenteraman awam. Oleh sebab itulah Perkasa di seluruh negara, baru-baru ini menentang perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011.

Perkasa tidak menganjurkan demontrasinya pada hari yang sama, sebab Perkasa tidak mahu membebankan pihak keselamatan dan juga tidak mahu mengeruhkan lagi suasana ketenteraman awam pada hari tersebut, apatah lagi bergaduh sesama Melayu.

Negara Malaysia yang majmuk tidak boleh dihuru-harakan menerusi tindakan jalanan. Dalam konteks ini, Perkasa sebagai pemangkin perpaduan, menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar daripada peristiwa ini.

Oleh itu, hentikanlah apa jua bentuk politik yang membabitkan Islam, menghina Raja-Raja Melayu dan yang mengeksploitasikan kematian mana-mana individu yang terbabit dalam siasah.

Perkasa menyeru pihak-pihak ini, hentikanlah semua ini. Malaysia yang kucar-kacir tidak akan membawa apa-apa faedah kepada kita semua, terutamanya keturunan Cina yang hidup dengan berdagang dan berniaga di seluruh pelosok Malaysia yang aman, damai, makmur dan sejahtera.

Seterusnya, Perkasa juga menyeru seluruh orang Melayu dan umat Islam supaya kembali bersatu. Ini kerana perpaduan Melayu dan Islam adalah teras kepada perpaduan seluruh bangsa di Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana perpecahan Melayu dan Islam tidak dapat menjamin kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia. Lantaran itu, ayuh kita tentang sesiapa sahaja yang menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara untuk mendapatkan sokongan politik dalam keadaan mereka sedang ketandusan isu.

Insaflah, keselamatan negara adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, sesiapa yang cuba untuk menghuru-harakan keselamatan negara mestilah kita tentang habis-habisan menerusi kaedah yang demokratik.

Lantaran itu, seluruh rakyat Malaysia yang majmuk perlu sentiasa berganding bahu, untuk mengelakkan tragedi 13 Mei daripada berulang.

Dalam konteks ini, Perkasa mendesak supaya pemerintah menggunakan undang-undang preventif atau pencegahan ke atas pihak yang bertindak untuk mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Ini termasuklah sesiapa sahaja yang berusaha memperlekehkan Islam, menyemarakkan sentimen perkauman, menghina Raja-Raja Melayu, atau menghasut rakyat membenci pemerintah.

Tetapi, oleh kerana baru-baru ini pemerintah telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, dan berjanji akan menggantikannya dengan undang-undang yang baru, maka Perkasa berharap supaya undang-undang gantian ini akan meneruskan semangat dan roh ISA yang telah dibentuk berdasarkan Perkara 149 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam aspek ini, walaupun Perkasa terkejut dengan tindakan memansuhkan ISA, Perkasa telah menyampaikan satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri mengenai bentuk serta kandungan undang-undang gentian ISA.

Ini kerana undang-undang yang meneruskan semangat dan roh ISA ini masih diperlukan di Malaysia. Oleh itu, pemerintah tidak perlu takut dan gentar terhadap apa jua reaksi alternatif mengenai undang-undang gantian kepada ISA ini.

Perkasa meminta pemerintah menggubal serta melaksanakan undang-undang gantian ISA ini secara bijaksana supaya ia turut mencakupi aspek keselamatan masyarakat, keselamatan insan, keselamatan pemerintah, keselamatan nasional dan juga kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa perjuangan Perkasa adalah untuk memangkin perpaduan. Untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu, mereka mesti terselamat daripada sebarang ancaman dan terbebas daripada ganggu-gugat.

Untuk mereka terselamat daripada ancaman dan gugatan, kita semua perlu memelihara dan melindungi keluhuran undang-undang utama kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Pada waktu yang sama, ingin saya tegaskan bahawa Perkasa bukannya pertubuhan politik. Sebaliknya, Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan. Oleh sebab itu, Perkasa tidak akan menyertai mana-mana pilihan raya. Biar pun begitu, Perkasa dan seluruh ahli-ahlinya boleh turut mencorakkan politik tanah air, jika Perkasa terus dikecam, dihina dan diperlekehkan.

Paling tidak, Perkasa boleh mengenal pasti calon-calon yang perlu kita nyahkan kerana menghina agama dan bangsa kita serta tidak mendaulatkan Perlembagaan negara.

Akhir sekali, keberkesanan serta kejayaan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dalam meneruskan perjuangan membentengi Alif (agama) Ba (bangsa) dan Ta (tanah air), adalah memerlukan jemaah kepimpinan yang komited, berdedikasi, ikhlas dan jujur.

- UTUSAN

Wanita digalak ambil peluang lakukan saringan barah payudara percuma - Kementerian Kesihatan

by
Kaum wanita di Malaysia hendaklah menggunakan sepenuhnya peluang perkhidmatan saringan barah payudara yang dilakukan secara percuma oleh pelbagai pertubuhan termasuk sektor swasta, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pada Sabtu.

Beliau berkata mereka juga harus mempelajari teknik pemeriksaan payudara bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya jika mensyaki mempunyai simptom penyakit yang boleh membawa maut itu.

"Menurut statistik, 32 peratus pesakit di kalangan wanita adalah penghidap barah payudara, diikuti kolorektal (10 peratus), servik (8.4 peratus), ovari (6.5 peratus) dan paru-paru (5.4 peratus)," kata beliau semasa merasmikan kempen Amal Barah Payudara Softlan di sini.

Rosnah berkata kementerian menyarankan tiga langkah mudah bagi wanita untuk memantau kesihatan payudara mereka dengan melihat, merasai dan bertindak.

Katanya langkah melihat dan merasai boleh dilakukan dengan pemeriksaan sendiri iaitu belajar bagaimana mengenal pasti tanda-tanda permulaan kanser payu dara manakala bertindak dengan mengetahui apakah simptom barah itu dan tahu di mana hendak mendapatkan bantuan.

Mengenai kempen berkenaan, Rosnah memuji sumbangan pihak penganjur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan pengesanan awal barah payudara. Kempen itu dianjurkan bersama Colgate-Palmolive Sdn Bhd, Majlis Kanser Negara (MAKNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCM) dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Sementara itu, Rosnah dalam satu acara berasingan meminta masyarakat memandang serius terhadap peratusan kes kematian akibat sakit jantung di negara ini.

"Statistik menunjukkan bahawa kematian akibat sakit jantung merupakan 25.4 peratus daripada jumlah kematian di hospital kerajaan tahun lepas meningkat daripada 16 peratus pada 2009," katanya ketika merasmikan seminar Promosi Jantungku, Kesihatanku anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini.

Beliau berhadap menerusi penganjuran seminar itu pakar kesihatan jantung, pakat dietetik and kesihatan umum akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit jantung termasuk kaedah perubatan dan rawatannya.

- BERNAMA

10 tips mengurangkan kedutan

by
Kehadiran kedutan dimuka adalah amat digeruni oleh kebanyakan wanita kerana ia akan menampakkan diri telah dimamah usia. Walaupun ia sukar untuk dielakkan 100 peratus, usaha untuk mengurangkan kehadirannya perlu dilakukan agar wajah tanpak lebih muda dan jelita. Kehadirannya juga harus diminimakan agar wajah tidak kelihatan lebih tua dari usia.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk meminimakan kedutan dan untuk menganjalkan kulit, iaitu:

1. Mengamalkan pemakanan yang sihat

Diri anda adalah apa yang anda makan. Ambillah makanan yang menyumbang kepada kesihatan kulit iaitu lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Ia mampu membantu memperbaiki struktur kulit. Hendaklah mengurangkan pengambilan makanan segera, makanan berminyak dan makanan berlemak.

2. Lindungi kulit anda dari sinaran matahari

Sinaran ultra ungu yang terdapat pada sinaran cahaya matahari boleh mempercepatkan kedutan pada kulit. Oleh itu elakkanlah kulit anda dari terdedah kepada sinaran terus matahari untuk jangkawaktu yang panjang. Gunakanlah krim pelindung matahari setiap kali anda ingin keluar rumah pada waktu siang iaitu krim yang mengandungi SPF 15 atau 20 yang mampu melindungi kulit dari sinaran UVA dan UVB.

3. Penggunaan krim pelembab

Elakkan kulit anda dari mengalami pengeringan kerana kekeringan kulit adalah penyumbang kepada kehadiran kedutan. Gunakanlah krim pelembab yang sesuai dengan kulit anda. Ia dapat membantu kulit anda mendapat cukup lembapan yang mana dapat membantu kulit untuk menjadi lebih elastik dan mengurankan kedutan.

4. Dapatkan tidur yang cukup

Tidurlah sekurang-kurangnya enam jam sehari. Tidur yang cukup akan menghasilkan tubuh yang sihat dan cergas yang mana dapat mengelakkan kelesuan pada wajah. Ianya sekaligus dapat membantu mengurangkan risiko kehadiran kedutan.

5. Menggunakan pelindung mata

Penjagaan mata adalah amat penting kerana kedutan amat mudah terjadi disekitar mata. Penggunaan krim mata amat membantu mengatasi masalah ini. Penggunaan cermin mata yang mempu mengelakkan mata dari sinaran UVA dan UVB juga patut digunakan ketika anda terdedah kepada pancaran matahari dan juga ketika manggunakan komputer dan menonton televisyen.

6. Mengamalkan pengambilan ikan sebagai diet harian

Ikan sememangnya kaya dengan protein yang dapat membantu membina struktur kulit. Omega-3 yang terdapat pada ikan salmon, mackerel dan tuna misalnya mengandungi ALA (Alpha Linolenic Acis) dan EPA (Eicosapemntanoik Acid) dan DHA (Docosahexanoic Acid) yang amat baik untuk tubuh dan kulit.

7. Senaman secara teratur

Senaman yang teratur mampu menyumbang kepada kesihatan tubuh sekaligus kepada kesihatan kulit. Lakukanlah senaman ringan setiap hari terutamanya ketika setiap kali bangun tidur selain dari senaman yang dilakukan selama sekurang-kurangnya 20 minit setiap sessi, tiga kali seminggu.

8. Minum air dalam jumlah yang mencukupi

Minumlah air sebanyak lapan gelas sehari untuk cuaca dan keadaan yang normal. Minumlah lebih dari lapan gelas sehari ketika cuaca panas dan ketika mangadakan aktiviti yang aktif dan ketika berada di tempat berhawa dingin. Kandungan air yang cukup dalam tubuh mempu mengekalkan keanjalan kulit dan dapat mengelakkannya dari berkedut.

9. Bersihkan sisa solekan

Jangan sesekali tidur tanpa membersihkan sisa solekan pada wajah anda. Sisa solekan ini, walaupun cuma bedak, akan menutup pori-pori kulit. Ia boleh menyebabkan pori-pori tersumbat yang menyumbang kepada kehadiran kedutan.

10. Hindari dari merokok dan duduk berhampiran orang yang merokok

Merokok mampu mengurangkan kelembapan kulit dan menyumbang kepada kehadiran kedutan. Elakkanlah dari tabiat merokok dan berada berhampiran orang yang sedang merokok. Segeralah membersihkan wajah anda jika terpaksa bersama orang yang sedang merokok jika anda sayang kan kulit anda.

http://cempakamelati.blogspot.com

Pakej lengkap Celcom BlackBerry Torch 9860

by

BLACKBERRY terus unggul dalam arena pembangunan produk telefon bimbit pintar apabila baru-baru ini memperkenalkan model terkini, BlackBerry Torch 9860.

Membuka peluang pengguna menikmati teknologi sempurna itu, syarikat penyedia perkhidmatan integrasi komunikasi, Celcom Axiata Berhad menawarkan pakej pemilikan eksklusif gajet berkenaan kepada para penggunanya.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin, sebagai peneraju pasaran telefon pintar BlackBerry di Malaysia, Celcom sentiasa konsisten memperkenalkan model terbaru bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna.

"Secara umumnya, kesemua model BlackBerry yang diperkenalkan ini mampu memenuhi keperluan komunikasi dan gaya hidup pengguna moden.

"Selain menawarkan perkhidmatan serta produk berkualiti, kami turut memberi fokus kepada aktiviti pengurusan pengalaman dan kepuasan pengguna,'' katanya.

Pakej mengagumkan daripada Celcom tersebut menawarkan peranti BlackBerry Torch 9860 bersama pelan data pasca bayar Exec BlackBerry mengikut keperluan pengguna.

"Pelan ini sesuai diaplikasi bersama peranti-peranti BlackBerry terkini kerana menyokong rangkaian telekomunikasi yang luas dan stabil.

"Ia juga sangat fleksibel di mana diintegrasi bersama akses suara, e-mel, mesej pantas, laman web rangkaian sosial pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Kecemerlangan ini digalakkan lagi oleh sistem operasi terbaru BlackBerry 7 yang lebih lancar dan pintar,'' jelasnya.

Zalman memberitahu lagi, bagi tujuan sama, Celcom telah membuat pelaburan besar dalam melengkapkan rangkaian infrastruktur terbaru mereka seperti pelayaran pantas, capaian muat turun, kandungan personal dan video definisi tinggi (HD).

Bagi BlackBerry Torch 9860, ia disempurnakan bersama kelebihan skrin sentuh 3.7 inci, paparan resolusi menarik dan aplikasi terbaik untuk fungsi bekerja serta bermain.

Pengguna boleh mendapatkan gajet tersebut bersama langganan pakej Exec BlackBerry pada harga RM1,088 dengan komitmen bulanan RM168 berbanding harga pasaran RM1,588.

Bagi pengguna yang mahu melanggan komitmen bulanan lain seperti RM138, RM108 atau RM88, mereka boleh membeli peranti tersebut pada harga masing-masing RM1,138, RM1,188 dan RM1,238.

Selain BlackBerry Torch 9860, pengguna juga boleh mendapatkan BlackBerry Bold 9900 dan BlackBerry Playbook dengan tawaran pakej-pakej eksklusif lain.

Kesemua model berkenaan boleh diperolehi menerusi rangkaian kedai Blue Cube di seluruh negara atau lawati laman web www.celcom.com.my

Maharaja Lawak Mega (MLM) - Tiada Penyingkiran Di Minggu Pertama

by

Tiga kumpulan peserta yang mendapat markah terendah iaitu Caer (30 peratus), Lanun (30 peratus) dan Anje (30 peratus) terselamat daripada disingkir pada pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) yang berlangsung di Royal Theater Selangor, di sini, Jumaat.

Pengumuman yang dibuat oleh juri iaitu, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan ternyata melegakan mereka untuk meneruskan pertandingan pada minggu kedua.

Ini membuka peluang kepada ketiga-tiga peserta tersebut untuk bersaing semula dengan tiga peserta yang mendapat markah tertinggi iaitu Boboi (61 peratus), Bawal Power (59 peratus) dan Pimai (59 peratus) termasuklah 11 peserta lain iaitu Syok, Bawel, Rap, Saehu, Comel, Osbon, Adlin, Gebu, 3G, JH dan Hiro.

Bagi minggu pertama itu, kesemua peserta diberi peluang membuat persembahan bebas sebagai tanda perkenalan mereka kepada penonton.

Dua peserta dari Indonesia iaitu Bawel dan Saehu dilihat memberi saingan hebat kepada peserta-peserta lain Malaysia termasuklah dua peserta dari Singapura (Syok dan Gebu) dan rakan senegara mereka, Caer.

Peserta negara, Boboi, Adlin dan JH turut memberi saingan sengit kepada peserta-peserta lain.

Menurut Chef Wan, untuk minggu pertama, masih terlalu awal lagi untuk memberi kritikan kepada peserta tetapi melihat, penyertaan tiga buah negara memberikan saingan hebat buat semua lebih-lebih lagi bagi peserta Malaysia.

"Saya faham, kali pertama pelawak 'otai' menyertai pertandingan, situasinya agak berbeza. Saya dapat lihat ada beberapa peserta tempatan yang menyerlah dan ada yang tidak.

"Bagaimanapun, melihat persembahan Bawel dan Saehu, mereka begitu yakin dan mereka seperti mempunyai latihan yang cukup.

"Kadang-kadang orang kita terlalu mencuba untuk buat lawak sedangkan kata-kata yang bersahaja seperti Boboi dan JH juga boleh membuat penonton ketawa. Ini memberikan saingan hebat buat para peserta.

"Bagi saya, pesembahan yang paling teruk pada minggu ini ialah Comel," katanya selepas tamat pertandingan tersebut.

Selain Chef Wan, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan juga menjadi juri tetap MLM manakala penyanyi Singapura, Imran Ajmain sebagai juri undangan.

Sementara itu, Siti berkata, dia melihat peserta-peserta tempatan dari kalangan pelawak 'otai' sahaja yang berjaya menghiburkan penonton.

"Saya faham, bukan mudah untuk buat lawak. Malah saya juga mempunyai masalah sama bila ingin interaksi menghiburkan penonton.

"Cuma apa yang saya harap, di penghujung pertandingan nanti, kita dapat lihat peserta-peserta terbaik dari tiga negara ini bersaing," ujarnya.

Pertandingan MLM menggabungkan pelawak dan pelakon komedi berportfolio tinggi daripada tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mereka akan berentap untuk merebut gelaran juara MLM dan akan membawa pulang hadiah utama sebanyak RM350,000.

Para peserta akan diadili dengan konsep 70 peratus daripada markah juri manakala 30 peratus undian penonton.

MLM bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 10 malam, menerusi saluran Astro Warna (132).

http://www.facebook.com/maharajalawakmegaa

- MSTAR

Tarian Perang tuntut kreativiti

by

BERWAJAH comot dengan contengan warna alam, mereka beratur kemas di perbarisan manakala dua lelaki bersarung tangan hitam berteriak kuat di tengah padang berbecak.

“Seisi alam di hujung jari! Bersatu kita sampai ke mati! Who we are (Siapa kita)!”

Biarpun hujan mulai rintik, jeritan kuat lelaki selaku ketua itu memecahkan kesunyian petang, malah berjaya menarik kedatangan orang ramai untuk menyaksikan keriuhan drastik walaupun terpaksa berpayung.

Sekumpulan anak muda berwajah garang mula mengukuhkan kekuda sebelum menepuk kuat bahagian paha masing-masing dan menghentak kaki setempat secara serentak.

Gerakan serentak dan bunyian mantap kesan hentakan kasut but kulit milik 52 pelajar bergelar pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menghasilkan alunan muzik yang bersemangat.

Lengkap beruniform seragam celoreng berwarna hijau, kuning pudar dan hijau, setiap perlakuan mereka diiringi lagu perjuangan dicipta kreatif oleh anak muda dari Batalion Jebat itu.

Di pinggang, tersisip pisau (benet) berukuran 20 sentimeter yang kemudian ditarik keluar, serentak diacu dan melangkah ke depan seolah-olah musuh ingin ditewaskan berada di depan mata.

Setangkas dan sehebat nama pahlawan silam itu, setiap gerakan mereka tampak kemas dan seiringan, sekali gus mampu membuatkan mata yang menonton aksi berkenaan merasai aura kekuatan si Jebat.

Bagi yang baru menyaksikan tarian pelik dengan penuh koordinasi tersusun dan gerak langkah seiringan, pasti menyangka persembahan itu sebagai satu senaman dipraktikkan pegawai latihan ketenteraan.

Namun tanggapan berkenaan salah, sebaliknya gerakan penuh semangat itu dipanggil ‘War Dance’ (Tarian Perang) atau popular dengan gelaran Haka.

Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan, UPNM, Lt Kol Chan Weng Poh berkata, War Dance adalah satu tarian semangat untuk menonjolkan ciri-ciri keberanian, keseragaman dan disiplin tinggi bagi satu-satu pasukan.

“Setiap batalion (pasukan) mempunyai identiti war dance sendiri dan tidak menyerupai batalion lain. Jika dulu, ia bertujuan menakutkan pihak lawan ketika bertempur.

“War dance atau haka sebenarnya tarian tradisional warisan temurun orang Maori dari New Zealand. Ia semakin dikenali dunia apabila pasukan ragbi negara itu, All Blacks sentiasa melakukan war dance setiap kali sebelum bermula perlawanan,” katanya.

Menjadi satu-satu universiti tempatan yang memperkenaikan war dance, Chan berkata, sejarah tarian itu bermula pada 2009 oleh bekas Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin, kemudian disokong barisan pentadbiran seterusnya.

Setiap pelajar yang memasuki UPNM dibahagikan kepada empat batalion iaitu Tuah, Jebat, Kasturi serta Lekir tanpa mengira bidang perkhidmatan sama ada darat, udara mahupun laut, dan mereka dikehendaki mencipta bendera, lambang, cogan kata, lagu, dan paling penting war dance.

Menjadi identiti batalion, idea menghasilkan war dance selalunya diperoleh daripada pegawai kadet yang juga pelajar. Hampir setiap idea diberikan mempunyai gerakan dan gaya segar, lembut tetapi agresif untuk mempamerkan kekuatan batalion terbabit.

Menurut Chan, war dance tidak menetapkan tempoh masa persembahan, sebaliknya ia mengikut kesesuaian sesuatu acara atau majlis.

Menafikan tiada pembabitan golongan Hawa, beliau mengakui war dance bukan dikhaskan bagi satu-satu jantina, malah wanita setaraf dengan kehebatan pegawai lelaki.

Terbaru, UPNM berjaya memecah rekod Malaysia Book of Records pada 30 September 2011 apabila persembahan war dance terbesar sempena Festival Konvokesyen UPNM 2011 menampilkan penyertaan 1,121 pegawai kadet.

Sementara itu, pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Farisyamil Jfri, 20, menganggap war dance sebagai satu platform memupuk semangat perjuangan.

Lebih membanggakan, Farisyamil bergelar ketua kerap menyertai persembahan war dance mewakili universiti ketika membabitkan perlawanan sukan antara universiti lain.

“Kali pertama menyaksikan war dance, saya terkejut kerana tidak pernah menyaksikan gerakan seperti itu. Sejak itu, saya mengkaji sejarah haka dan mencipta war dance bagi Jebat,” kata anak muda berasal Muadzam Shah, Pahang itu.

Aktif menyertai war dance, Farisyamil sentiasa menantikan peluang membuat persembahan bagi universiti.

Pelajar Pengurusan dan Strategi Pertahanan, Nursyafikah Asilah Ilias, 18, mengakui mulai jatuh cinta terhadap seni gerakan berkenaan biarpun sebelum ini kekok mengikut langkahnya.

Selepas dua minggu berlatih war dance, Asilah menjadi lebih yakin, apatah lagi dengan bantuan kadet senior serta mengulang kaji menerusi video rakaman.

Memiliki personaliti kelakar, dia terpaksa belajar untuk berubah serius ketika melakukan rutin war dance.

Baginya, war dance meninggalkan kesan terhadap hidupnya apabila dia lebih matang ketika menguruskan perjalanan sebagai pelajar, kadet, anak dan kakak dalam satu masa.

Baginya, war dance sesuai dilakukan sesiapa saja tanpa diskriminasi jantina, seterusnya memupuk semangat kerjasama di kalangan pegawai kadet.

Pelajar perkhidmatan laut dari Pendang, Kedah, Muhamad Syazuan Haridan, 19, mengakui berbangga beruniform ala tentera ketika menunjukkan war dance kepada universiti lain.

Katanya, keunikan UPNM terletak kepada war dance kerana tiada universiti tempatan lain memiliki ciri sama, selain ia mengajar erti keyakinan diri untuk berdepan masalah.

Anak kepada pegawai tentera laut ini berkata, bapanya antara orang bertanggungjawab membuatkan dirinya meminati kerjaya beruniform.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Strategi Pertahanan, Nazirul Shafiq Azahari, 19, kesenian war dance terletak kepada keseragaman seni mempertahankan diri tentera dilakukan secara serentak dan bersemangat.

Katanya, dia kerap menghabiskan masa untuk menyaksikan rakaman video persembahan war dance milik senior semata-mata ingin menambah kemahiran pergerakannya dan idea baru.

Anak sulung daripada empat beradik ini mengakui sebelum ini keluarga bimbang dengan keselamatannya namun selepas menyaksikan kesungguhannya, mereka mula menyokong minat berkenaan.



INFO:

War dance atau haka berasal daripada tarian tradisional kaum Maori di New Zealand

Dipopularkan pasukan ragbi New Zealand, All Blacks kerana sentiasa melakukan war dance setiap kali sebelum bermula perlawanan

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) satu-satunya universiti
tempatan yang mempunyai war dance

Mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records menerusi persembahan war dance terbesar membabitkan 1,121 pegawai kadet pada 30 September 2011

- HARIAN METRO

Kepercayaan karut melemahkan umat

by
Oleh MOHD. SOLAHUDDIN SHAHRUDDIN

CERITA hantu, filem seram dan amalan perbomohan seolah-olah sinonim dengan kehidupan orang Melayu. Setelah ratusan tahun Islam bertapak di rantau ini animisme tetap masih menebal.

Animisme adalah kepercayaan bahawa setiap sesuatu di dunia ini memiliki roh yang mesti disembah supaya semangatnya tidak mengganggu manusia. Amalan animisme berkembang menjadi pemujaan kepada kepercayaan tahyul dan mengagumi unsur-unsur mistik.

Ia bertapak kuat hari ini dalam amalan perbomohan dan diuar-uarkan dengan berkesan pula oleh filem dan drama tempatan.

Amalan animisme khususnya kepercayaan dan pemujaan kepada makhluk halus dan alam mistik yang melibatkan roh merupakan amalan syirik yang sangat ditegah oleh Islam.

Dalam praktis perbomohan oleh bomoh atau dukun kerap terdapat amalan memanggil, memuja dan menggunakan jin serta memohon pertolongan daripada dunia gelap ini.

Pengamalnya tergolong di dalam golongan orang fasiq dan menzalimi diri sendiri.

Ini dijelaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat memberikan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Yunus: 106).

Antara ciri animisme yang sering dapat dilihat dalam amalan perbomohan adalah apabila para dukun, pawang atau bomoh membaca jampi mentera yang sumbernya sangat meragui dan tidak boleh difahami oleh orang lain.

Banyak juga jampi mentera dalam dunia perbomohan Melayu di tokok tambah dengan kalimah-kalimah Arab, nama Tuhan, para nabi dan sahabat Rasulullah.

Sebenarnya banyak amalan perbomohan Melayu bercampur baur dengan kepercayaan karut dan khurafat. Ada yang menggunakan medium makhluk ghaib seperti jin dan mereka mendakwa boleh merawat pesakit tanpa menggunakan bahan rawatan, atau alatan. Malah boleh merawat pesakit dari jarak jauh termasuk melalui telefon dan tele sidang.

Salah satu punca utama masyarakat Islam hari ini mudah terpedaya dengan rawatan tradisional berbentuk mistik ini kerana sentuhan peribadi dan karisma para bomoh.

Sesetengah masyarakat Islam menganggap rawatan mistik menggunakan dukun begitu cepat dan mujarab walaupun tanpa sebarang ubat-ubatan.

Kepercayaan ini bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram". (Sunan Abu Daud).

Seringkali amalan perbomohan Melayu, yang sengaja dilunakkan dengan menggunakan istilah perubatan tradisional, menggalakkan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri, ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu pembenci, ilmu gerak angin dan sebagainya dan kadang-kadang dicampuraduk dengan sihir.

Semuanya adalah meragukan dan sangat menghampiri syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan sepatutnya dijauhi. Kepercayaan terhadap tangkal-tangkal ini boleh membawa kepada keruntuhan akidah dan akhlak masyarakat Islam.

Tidak kurang berlaku perceraian, perkelahian adik beradik dan jiran tetangga kerana terlalu percaya kepada tilikan bomoh sehingga membawa kepada tuduh menuduh. Seriusnya penyelewengan perbomohan dapat dilihat dalam kes yang melibatkan penggunaan sihir di kalangan orang awam seperti di tempat kerja, di gerai makan, rumah kediaman, harta pusaka, hubungan suami isteri, simpanan harta warisan seperti keris, batu dan artifak lama lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan". (riwayat al-Tabrani).

Kehebatan ilmu perbomohan dalam masyarakat Melayu semakin diuar-uarkan apabila unsur ini mula diindahkan untuk tontonan umum melalui filem serta drama tempatan. Untuk mengaut jualan tiket jutaan ringgit para pengeluar filem berlumba-lumba menerbitkan filem hantu ataupun filem seram yang intipatinya tidak lain adalah tahyul.

Kebanjiran filem genre ini menyebabkan ia dianggap normal atau trend yang tidak membawa apa-apa masalah.

Namun jika berulang kali diulang tayang ia akan menjadi sumber rujukan masyarakat, sungguhpun asalnya hanya sebuah khayalan.

Kepercayaan mistik yang berpusat kepada dunia perbomohan juga berjangkit menjadi penipuan perniagaan. Jika dilihat dalam penjualan di internet penggunaan bahan karut dan tahyul ini semakin laris kerana mendapat permintaan yang tinggi termasuk dari kalangan orang terpelajar.

Sesiapa sahaja boleh membeli secara on-line benda-benda yang dianggap mempunyai kuasa mistik seperti keris, batu delima, batu geliga, tangkal, kain kaabah, tongkat, pelepah tamar dan sebagainya.

- UTUSAN

Sindrom carpal tunnel berterusan menyebabkan tangan kebas dan berdenyut-denyut

by
PERNAHKAH anda rasa berdenyut-denyut dan kebas pada bahagian pergelangan tangan? Jika sakit yang dialami berpanjangan, anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil sindrom Carpal Tunnel (CTS).

Perunding Ortopedik, Artoroskopi dan Pembedahan Kecederaan Sukan dari Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Kol (B) Dr. Azmi Abdul Latiff berkata, CTS terjadi apabila saraf median yang terletak pada pergelangan tangan tersepit.

"Ia menyebabkan rasa kebas dan sakit pada ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan setengah bahagian pada jari kecil," katanya.

Terowong yang terletak di bahagian tengah pergelangan tangan katanya memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan. Tekanan yang berlaku menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Menurutnya, simptom CTS bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Sekitar dua hingga 15 peratus daripada populasi dunia dikatakan mengalami keadaan CTS dan ia biasanya lebih meluas di kalangan wanita berbanding lelaki.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas - pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dansebahagian jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil kerana berlainan saraf. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur.

2. Sakit dan berdenyut - yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah - pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.

Risiko

Menurut Dr. Azmi, mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan yang mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulang-ulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat. Selain itu, kerja berulang yang melibatkan menaip, memandu kereta, menjahit dan melukis turut dikaitkan dengan masalah itu.

Mereka yang melibatkan diri dengan sukan yang menggunakan pergelangan tangan seperti pemain bola baling dan badminton turut tidak ketinggalan menghidapi masalah CTS, begitu juga dengan pemain muzik profesional.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

1. Penyakit artritis iaitu penyakit sendi mudah diserang sakit pada sendi pergelangan tangan.

2. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil.

3. Kegemukan. Apabila berat badan bertambah, maka lemak-lemak turut bertambah pada bahagian tertentu seperti tangan menyebabkan saraf median menyempit.

4. Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

5. Wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. CTS yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

6. Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom CTS yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda CTS, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:

1. Electromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom CTS tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.

Masa simptom CTS timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen's sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel's sign) turut akan menyebabkan simptom CTS semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda CTS berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat pek ais untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah.

Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

Anduh: mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam (layari laman web futuro.com.my). Namun alat ini hanya berkesan untuk keadaan CTS pada peringkat awal.

non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian carpal tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.

Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu. Menurut Dr Azmi, walaupun begitu, pembedahan diyakini mampu mengatasi masalah CTS daripada berulang lagi. Lebih 70 peratus pesakit mengakui kesakitan mereka hilang selepas pembedahan.

Perubahan di tempat kerja boleh membantu mengatasi masalah CTS anda. Cuba:

1. Peralatan khas termasuk papan menaip, tetikus yang berlainan jenis dan alas tetikus yang empuk.

2. Pastikan papan menaip idak terlalu rendah untuk memastikan tangan anda tidak membengkok ke atas semasa menaip.

3. Pastikan juga kedudukan siku diampu ketika menaip bagi menggalakkan sokongan pada seluruh tangan. Ergonomik ketika melakukan kerja mampu mengelakkan masalah CTS.

4. Lakukan senaman pada kawasan pergelangan tangan dengan kerap. Ambil masa untuk merehatkan tangan selepas melakukan sesuatu untuk tempoh yang lama dan berterusan.

- MINGGUAN MALAYSIA

30 Oktober 2011

Negeri Sembilan Juara Piala Malaysia 2011 mengalahkan Terengganu 2 - 1

by

SHAH ALAM - Piala Malaysia akhirnya kembali ke Negeri Sembilan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila kebangkitan pada 10 minit terakhir oleh anak-anak buah Mohd. Azraai Khor Abdullah berjaya membenam Terengganu 2-1 dalam pentas akhir di Stadium Shah Alam, semalam.

Di hadapan 70,000 penonton, penyerang veteran, Hairuddin Omar atau 'Hai-O' membuktikan dia membawa tuah kepada Negeri Sembilan apabila jaringannya pada minit ke-86 memastikan Terengganu pulang hampa, walaupun skuad Penyu berkelebihan satu gol menerusi Mohd Ashaari Samsudin (minit ke-59).

Jaringan kemenangan Negeri Sembilan berpunca melalui hantaran silang Shukor Adan dari sebelah kanan yang bertukar hantaran dengan Shahurain Abu Samah, Hairuddin melepaskan sepakan sepakan gunting yang cantik tepat ke penjuru kanan gawang tanpa dapat dijangkau oleh Sharbinee.

Sebelum itu, N. Sembilan menyamakan kedudukan hasil jaringan S.Kunalan (minit ke-81).

Bertambah manis, pemain yang berasal dari Setiu, Terengganu itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.

Ini merupakan gol ketiga berturut-turut buat pemain berusia 32 tahun dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia.

Ia juga merupakan kejayaan kali ketiga peribadinya menjulang trofi itu, selepas juga bergelar juara ketika bersama Kelantan musim lalu dan Negeri Sembilan pada 2009.

Kejayaan semalam juga merupakan kali ketiga buat Negeri Sembilan bergelar juara Piala Malaysia.

Sebelum ini mereka memenanginya pada tahun 1948 dan dua musim lalu iaitu pada 2009.

Sementara itu, Hairuddin berkata, walaupun Negeri Sembilan ketinggalan satu gol, pemain tetap tidak berputus asa dalam memburu gol.

Menurutnya, sejak awal perlawanan lagi Negeri Sembilan sebenarnya memiliki banyak peluang gol namun agak malang ia gagal menemui penyudah.

"Ketika kedudukan terikat 1-1, saya tengok jam masih ada 15 minit lagi perlawanan.

"Jadi saya rasa saya perlu buat sesuatu untuk pasukan.

" Lalu saya tekad jika ada peluang gol selepas ini, saya tidak akan mempersia-siakan.

"Akhirnya peluang gol yang saya harapkan menjelma pada minit ke-86 dan saya gembira kerana berjaya menyempurnakannya, sekali gus menjadi gol kemenangan perlawanan akhir musim ini," katanya.

Menyedari ramai yang kecewa dengan jaringan kemenangannya, Hairuddin turut memohon maaf kepada semua penyokong Terengganu yang menyaksikan perlawanan semalam juga yang berada di Terengganu.

Ini kerana jaringannya semalam mengecewakan negeri kelahirannya untuk bergelar juara.

"Saya meminta maaf kepada mereka (penyokong Terengganu). Saya faham mereka tentu kecewa dengan kekalahan ini. Saya juga harap mereka tidak membenci saya," katanya.

"Saya harap penyokong Terengganu, faham saya adalah pemain Negeri Sembilan dan komited dengan pasukan yang saya wakili," katanya.

TERENGGANU: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mazlizam Mohamad, Mohd Zubir MohdAzmi (Helmi Remeli), Mohd Mazuki Yusof, Mohd Faizal Mohamad, Reeshafiq Alwi,Mohd Ashaari Shamsudin, Josep Kalang Tie, Ahmad Nordin Alias, Abdul Manaf Mamat,Abdul Hadi Yahaya.

N. SEMBILAN: Mohd Farizal Marlias, Mohd Aidil Zafuan, Norhafiz ZamaniMisbah, Irwan Fadli Idrus, Qhairul Anwar Roslani, Idris Abd Karim, MuhamadShukor Adan, S.Kunalan, Abdul Halim Zainal, Shahurain Abdul Samah, HairuddinOmar.

Pengadil: Shokri Nor

- UTUSAN

Kelebihan 10 Hari Pertama bulan Zulhijjah (1 - 10 Zulhijjah)

by
Oleh Ustaz Halim

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai dikalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

http://inijalanku.wordpress.com

Lebih 20,000 pelajar KAFA Terengganu khatam Al-Quran serentak

by

KUALA TERENGGANU: Terengganu pada Sabtu mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 20,133 pelajar Kelas Fardu Ain (Kafa) negeri ini khatam Al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun lepas seramai 16,929 orang.

"Untuk majlis kali ini, kita mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran & Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian(UPKK) pelajar kelas Al-Quran & Fardu Ain (Kafa)negeri Terengganu 2011.

Khazan berkata Melaka merupakan negeri kedua paling ramai pelajar Kafa membuat khatam al-Quran iaitu 15,033 orang.

Beliau berkata majlis khatam Al-Quran di Terengganu hari ini dibuat serentak di seluruh negeri iaitu Kuala Terengganu seramai 6,325, Besut (3,149), Setiu (2,311), Marang (2,744), Hulu Terengganu (1,910), Dungun (2,024) dan Kemaman (1,670).

Sebahagian besar daripada pelajar berkenaan menggunakan Al-Quran digital menerusi e-book yang diagihkan kerajaan, katanya.

Khazan berkata pada masa akan datang kerajaan negeri mensasarkan seramai 30,000 pelajar khatam Al-Quran setiap tahun.

Beliau berkata adalah menjadi harapan kerajaan semua pelajar sekolah menengah di Terengganu pada masa akan datang mempunyai asas pembacaan Al-Quran dengan baik.

"Kita juga mengharapkan pelajar-pelajar itu mewakili negeri dalam pertandingan tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pejabat Majlis Agama Islam daerah Marang yang baru siap dibina dengan nilai hampir RM3 juta akan digunakan awal tahun depan.

- BERNAMA

Berjemaah syarat utama tingkat kualiti ummah

by
BUDAYA hidup dengan sifat saling tolong-menolong serta muafakat adalah anugerah nikmat Allah SWT yang sangat besar dan tinggi ganjarannya. Pepatah Melayu juga sangat menekankan gaya hidup ini dengan kata-kata, bersatu teguh, bercerai roboh dan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Justeru, amalan gaya hidup ini perlu sentiasa disuburkan supaya terus terpelihara dan dijadikan prinsip pegangan walaupun dalam kesenangan serta pemodenan dikecapi kini. Allah SWT mengingatkan dalam firman yang bermaksud: Berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah dan ingatlah akan nikmat Allah yang diberikan-Nya kepada kamu, ketika kamu bermusuh-musuhan, dipersatukan-Nya hati kamu, sehingga kamu menjadi saudara dengan nikmat-Nya dan kamu dulu telah berada pada jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kamu akan ayat keterangan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu, kita perlu memelihara nikmat ini supaya tidak luntur dan terhakis khususnya dalam gaya hidup hari ini yang cenderung ke arah kehidupan secara individualistik atau keakuan berbanding semangat kekitaan.

Keutuhan sebenar masyarakat bergantung kepada kerjasama dan keharmonian hidup bermuafakat. Hal ini telahpun diterjemah dan disuburkan dalam kelompok kecil masyarakat iaitu komuniti organisasi melalui kerja berpasukan.

Cara bekerja secara berpasukan atau amal jamaie dilihat sebagai strategi berkesan ke arah pencapaian matlamat, jalinan interaksi, pengembangan pengetahuan dan pengalaman serta semangat setia kawan yang efektif.

Mewujudkan sistem kerja berteraskan amal jamaie penting dalam organisasi sebagai strategi peningkatan produktiviti dan interaksi interaktif. Sistem kerja ini akan memberi kesan langsung dalam meningkatkan keupayaan individu dan keberkesanan sesuatu kerja serta meningkatkan kepuasan.
Sistem ini sudah diterapkan dalam ajaran Islam lebih 1,400 tahun lalu melalui kekuatan berjemaah. Konsep ini bukan sekadar bermaksud kerja secara beramai-ramai tetapi bersama-sama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang pada jalan-Nya, dengan berbaris-baris (tersusun rapi) seolah-olah mereka seperti bangunan yang sangat kukuh. (Surah al-Saff, ayat 4)

Konsep berjemaah sudah disebatikan melalui himpunan amalan termasuklah solat berjemaah, ibadat haji dan semangat kejiranan. Bukan sekadar satu strategi, ia adalah galakan bersifat nilai tambah di sisi syarak iaitu apabila dilaksanakan menjadi suatu ibadah dan beroleh ganjaran pahala.

Jika mengusahakan kerja halal itu suatu ibadah, bekerja secara berpasukan adalah sunnah yang menambah ganjaran pahala dalam satu masa. Ini menjadikan amal jama`ie sebagai sistem amalan yang efektif bagi umat Islam.

Contohnya, ibadat solat jika dilakukan secara berpasukan atau berjemaah mendapat imbuhan berganda sebanyak 27. Begitulah juga amal jama`ie dalam bekerja, akan membolehkan organisasi menambah produktiviti tanpa menambah sumbernya.

Antara kelebihan dan kekuatan amal jamaie ialah penggemblengan idea, usaha, tenaga, pengetahuan dan teknologi untuk mencapai sesuatu matlamat. Amal jama`ie juga membantu meningkatkan moral kakitangan dan kepuasan bekerja kerana semua terbabit menyampaikan hasrat dan pandangan dalam urusan organisasi.

Prinsip amal jamaie yang perlu diberikan penekanan dan perhatian oleh komuniti organisasi ialah pertama, penentuan matlamat yang khusus serta benar-benar difahami setiap ahli pasukan; kedua, menghormati pandangan ketua; ketiga, keterbukaan untuk mendengar setiap pandangan dan menerima persetujuan diputuskan majoriti.

Keempat, memberi pandangan secara berhikmah; kelima, mengutamakan kepentingan dan menghindarkan kemudaratan pelanggan daripada kepentingan diri; keenam, setiap ahli pasukan memberikan komitmen dan pembabitan secara aktif; ketujuh, mengutamakan nilai saling menghormati, membantu supaya kejayaan saling dikecapi dan kekurangan dihadapi bersama.

Pantang larang dalam operasi amal jamaie hendaklah dihindarkan seperti sifat mementingkan diri, tidak jujur, menikam dari belakang kerana ahli pasukan sebegini akan melemahkan semangat, menggagalkan pencapaian matlamat, merugikan organisasi serta melenyapkan pahala dan keberkatan bekerja.

- BERITA HARIAN

Anak Kecil Hadapi Risiko Jangkitan Bila Lawat Pesakit Hospital

by
Di semua hospital dan pusat perubatan sama ada swasta atau awam, terdapat papan kenyataan: "Kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilarang masuk" di pintu masuk utama dan wad.

Penulis yang kerap mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di sini telah bertanya seorang pegawai keselamatan sama ada ibu bapa dibenarkan membawa bersama anak kecil ketika melawat keluarga atau rakan yang dimasukkan ke hospital.

"Sudah tentu hospital mengamalkan konsep mesra pelawat. Kanak-kanak memang dibenarkan masuk jika mereka ditemani orang dewasa setiap masa. Tetapi untuk kesejahteraan pesakit, anak kecil yang tidak sihat memang tidak digalakkan melawat pesakit di hospital," kata beliau.

Pegawai itu (yang enggan namanya disiarkan) menjelaskan bahawa hospital tetap memberi keutamaan kepada pesakit dan sebab itulah anak-anak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.

Bagaimanapun jururawat boleh menggunakan budibicara mereka bergantung pada situasi, kata beliau.

Had Bilangan Pelawat

Terdapatkah had bagi bilangan pelawat pada satu-satu masa?

Pegawai keselamatan itu berkata, peraturan yang sedia ada hanya membenarkan dua pelawat pada satu-satu masa dan ini hanya boleh dilakukan ketika waktu melawat. "Bagaimanapun kakitangan keselamatan boleh mengguna budibicara mereka tetapi membenarkan terlalu ramai pelawat boleh menyebabkan pesakit cepat letih.

"Kami (hospital) tidak mahu situasi di mana pesakit akan menjadi cepat letih kerana terpaksa melayan ramai pelawat," tambah beliau.

Ada kalanya kakitangan yang bertugas terpaksa meminta pelawat untuk beredar.

Ini kerana doktor dan jururawat mahu memastikan privasi dan keselesaan pesakit dan membenarkan mereka meneliti serta membuat laporan kesihatan pesakit dengan tepat, kata pegawai itu lagi.

Kenapa Wujudnya Peraturan Sebegini?

Seorang pegawai kejururawatan, Wan Norida (bukan nama penuh) berkata, anak bawah 12 tahun biasanya nakal dan ibu bapa mungkin sukar untuk mengawal gelagat mereka bila berada dalam wad. Lagipun wad di hospital bukan sama dengan taman permainan.

"Anak kecil biasanya tidak boleh duduk diam dan mungkin lari ke sana sini. Mereka juga mungkin menarik tiub atau mengganggu saluran intavena atau kelengkapan yang lain.

"Anak kecil juga mudah menangis. Jika ini berlaku, tangisan kuat mereka boleh mengganggu pesakit lain. Kehadiran anak kecil juga boleh mengganggu jururawat daripada menjalankan tugas," kata Wan Norida.

Beliau juga menasihati individu yang mempunyai penyakit mudah berjangkit seperti selesema menghindari daripada melawat pesakit di hospital.

"Jika keadaan anda mudah berjangkit adalah tidak digalakkan melawat pesakit di wad. Jika ada selesema atau simptom yang menyamai selesema, rujuk dulu kepada jururawat bertugas," tambah beliau. Wan Norida menasihati ibu bapa seboleh-bolehnya tidak membawa anak kecil ketika memasuki wad untuk melawat, melainkan jika tiada pilihan lain. "Kalau boleh rujuk dulu dengan petugas. Hospital punya peraturan tertentu berhubung pelawat bersama kanak-kanak," jelas beliau lagi.

Risiko jangkitan

Pegawai perubatan, Dr Junie Sng berkata: "Bukannya kami sengaja mengenakan peraturan ketat berhubung isu anak kecil.

Ada kalanya jururawat membenarkan ibu bapa membawa bersama anak kecil mereka bila melawat keluarga yang sakit dalam wad. "Tapi apa yang kami takutkan adalah dari segi risiko jangkitan. Anak kecil termasuk bayi mempunyai imuniti badan yang lebih rendah berbanding orang dewasa. Ibu bapa tidak sedar tindakan mereka membawa anak kecil akan mendedahkan kepada risiko dijangkiti.

"Dalam wad sebenarnya terdapat pelbagai kuman dan jika seorang pesakit menyentuh anak yang kecil, beliau dengan tidak sengaja memindahkan jangkitan kepada anak kecil itu.

"Ketika berada dalam wad, anak kecil juga boleh menerima jangkitan daripada pesakit lain dan tidak semestinya daripada pesakit yang mereka lawati. Sungguh menyedihkan jika ibu bapa membiarkan anak mereka menghadapi risiko jangkitan sedangkan situasi ini boleh dielakkan," kata beliau.

Beliau menasihati para pelawat mematuhi peraturan membasuh tangan serta peraturan keselamatan hospital yang lain.

Menurut Dr Sng lagi, pelawat mungkin membawa masalah kepada pesakit di wad.

Antaranya kecederaan berbentuk fizikal selain mental dan emosi. NASIHAT Doktor itu juga menasihati agar pelawat tidak mengambil masa yang lama untuk melawat pesakit.

"Meluangkan masa melawat pesakit adalah sesuatu yang baik tetapi tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama. Lebih baik kerap melawat dengan mengambil masa singkat berbanding mengambil masa yang terlalu panjang. Sebaiknya janganlah melebihi satu jam pada setiap masa.

"Segeralah beredar jika doktor atau jururawat datang dan mahu memeriksa pesakit.

"Juga penting agar tidak melawat jika mempunyai sesuatu yang mudah berjangkit. Pesakit dan kakitangan hospital tidak perlu terkena jangkitan yang dibawa dari luar. "Kalau (anda) ada batuk, selesema, ruam atau cirit-birit, simpanlah dulu niat anda untuk melawat keluarga di hospital. "Juga tidak digalakkan melawat jika kehadiran anda hanya akan mendatangkan keresahan, stres serta kurang selesa kepada pesakit. Jangan anggap pesakit perlu melayan anda.

"Mereka berada di hospital kerana perlukan rawatan untuk sihat semula. Daripada membuatkan mereka keletihan melayan pelawat ada baiknya biarkan mereka berehat sahaja," kata beliau.

- BERNAMA

Mansuh PPSMI untuk aspirasi nasional

by
Oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM

KEPUTUSAN untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dilakukan semata-mata atas sebab pencapaian lemah pelajar, khususnya di luar bandar. Sesungguhnya ada banyak sebab lain yang lebih asas dan penting untuk tindakan begitu diambil.

Sebenarnya pelaksanaan PPSMI berlaku dalam keadaan yang luar biasa. Kewibawaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya sebagai bahasa ilmu, disambar untuk diberikan secara tergesa-gesa kepada bahasa Inggeris. Ia dikatakan sedemikian kerana tiada sebarang perbincangan dan rundingan diadakan sebelum dilaksanakan pada 2003.

Ini berlainan sekali apabila PPSMI dimansuhkan. Ia didebatkan oleh pelbagai pihak melalui beberapa siri rundingan meja bulat pada 2008 dan 2009. Sehubungan ini, pemansuhannya dilakukan dengan penuh tertib, lalu keputusannya perlu dihormati.

Pemansuhan yang diumumkan pada Julai 2009, sesungguhnya adalah keputusan yang memperlihat pertimbangan bijak. Ia mengambil kira beberapa hala tuju negara yang penting agar pembentukan negara bangsa Malaysia, selain pembangunan negara Malaysia itu sendiri, berlaku dalam acuan kita sendiri, seperti yang diuar-uarkan dalam Wawasan 2020.

Pemansuhan PPSMI sebenarnya berasaskan kedua-dua pertimbangan pendidikan dan aspirasi nasional. Sehubungan ini, keputusan untuk kembali kepada keadaan asal, yakni menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk pendidikan dua mata pelajaran ini, dilakukan untuk kebaikan negara.

Ia merangkumi kedua-dua nasionalisme dan nasionisme. Dalam konteks nasionalisme, pemansuhan PPSMI antaranya adalah untuk memupuk perasaan megah dan cinta yang sasa sifatnya kepada negara. Ini dilakukan melalui perlambangan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Manakala bagi nasionisme, kemakmuran rakyat dan kemajuan negara dijanakan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ini bermaksud ia menjana pembangunan sosial yang tinggi dan maju tahapnya, selain menjadikan Malaysia negara moden.
Pihak yang cuba meraihkan sokongan sehingga ke luar negara agar PPSMI diteruskan kerana ramai pelajar di Lembah Klang dan juga di banyak bandar dan pekan lain di seluruh negara, yang tidak mempunyai masalah dengannya, menegaskan bahawa pelajar ini tidak boleh diketepikan hak linguistik mereka untuk memperoleh ilmu dalam bahasa Inggeris. Bagi pelajar di luar bandar yang rata-ratanya tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik melalui PPSMI, pihak ini mencadangkan mereka telah diberikan hak linguistik mereka melalui pemansuhan ini, untuk terus memperoleh ilmu dalam bahasa ibunda masing-masing, termasuklah bahasa Melayu bagi pelajar Melayu.

Di Malaysia, bahasa Mandarin dan Tamil adalah bahasa sukuan. Bahasa Melayu, walaupun bahasa ibunda kaum Melayu, selepas dinobatkan sebagai bahasa negara, tidak boleh sekali-kali disamakan tarafnya dengan bahasa sukuan, walaupun dalam konteks PPSMI, apatah lagi konteks nasional. Sehubungan ini, di Malaysia, bahasa Melayu adalah pertama-tamanya bahasa negara, dan itulah syiarnya!

Sebagai bahasa kebangsaan, ia adalah bahasa semua kaum di Malaysia. Ia mewakili seluruh pelosok negara dan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang budaya, dan tidak hanya untuk kaum Melayu. Sebagai bahasa untuk entiti politik, sosial dan budaya yang namanya Malaysia, bahasa Melayu adalah lambang negara yang perlu disanjungi oleh semua rakyat pada setiap masa.

Lebih penting lagi sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah bahasa pribumi Malaysia. Oleh itu, ia sesuai digunakan untuk membangkitkan perasaan kekitaan sesama rakyat. Dengan ini, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan, adalah wahana pemersatuan di Malaysia. Dalam konteks ini, ia boleh dipanggil bahasa Malaysia.

Atas landasan ini saja pun, bahasa Melayu adalah lebih daripada layak, malah sahih sekali sebagai pilihan tepat lagi pragmatik untuk dijadikan bahasa pengantar utama, dan satu-satunya dalam sistem pendidikan kebangsaan untuk semua peringkat pengajian, termasuklah di universiti. Sehubungan ini, pemilihan bahasa Melayu sebagai wahana penting dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan Malaysia, juga adalah keputusan tepat dalam usaha kita membina jati diri linguistik kebangsaan. Melaluinya, jati diri ini bukan saja amat jitu sifatnya. Tetapi yang lebih penting ia bersifat budaya pula, iaitu ia memperlihat keperibadian negara ini yang penduduk asal dan majoritinya adalah Melayu.

Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah dan perlu diyakini sebagai alat yang mampu memajukan rakyat dan negara Malaysia, sama ada dalam bentuk kebendaan, kesohoran atau status sosial. Sebenarnya, ia adalah bahasa yang mendukung fungsi penting, untuk memartabatkan rakyat dan negara kita di rantau ini, dan juga di persada antarabangsa, melalui kejayaan yang tinggi lagi canggih sifatnya.

Mendidik anak bangsa dalam bahasa negara sendiri adalah perkara lumrah, walaupun pada zaman moden ini. Ramai tokoh dunia muncul daripada negara yang menggunakan bahasa sendiri dalam sistem pendidikannya. Sehubungan ini, bahasa Inggeris tidak dicipta Tuhan sebagai satu-satunya alat yang hanya boleh memajukan umat di dunia ini.

Meskipun begitu, bahasa adalah hanya wahana dalam keseluruhan ketamadunan manusia. Sungguhpun penting, ada banyak lagi pertimbangan yang sama tinggi nilainya. Antaranya adalah aspirasi nasional untuk berjaya dalam acuan sendiri.

- BERITA HARIAN

Top Ad 728x90