1Murid 1Sukan


PELAKSANAAN dasar 1Murid 1Sukan berjaya mencungkil bakat baru dalam pelbagai aktiviti selain mengenali pasti tahap keupayaan murid untuk bimbingan secara sistematik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong, berkata dasar berkenaan lebih berkesan menerusi program pembangunan khas secara bersepadu antara kementerian dan pihak pengurusan sekolah.

Sebaik dasar itu diperkenalkan, beliau berkata, kementerian menyaksikan peningkatan jumlah pelajar dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, penambahan itu adalah sesuatu yang positif dan penting dalam usaha membentuk sahsiah bagi melahirkan insan cemerlang akademik dan pembangunan jati diri.

“Apa yang perlu dilakukan kini ialah merangka kaedah dan menjalankan usaha berterusan bagi memastikan potensi setiap pelajar dikenal pasti,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Sukan KPM di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Majlis dihadiri Pengarah Bahagian Sukan KPM, Ee Hong; Pengurus Pemasaran Nestle, Ng Ping Loong; Penasihat Sukan KPM, Datuk Mazlan Ahmad; Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Zainal Abu Zarin.
Wee berkata, jumlah pelajar pelbagai peringkat di seluruh negara kini mencecah 5.4 juta dan peluang memang ada bagi menghasilkan atlit cemerlang bertaraf dunia.

Katanya, kementerian melalui Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sudah mengenalpasti 24 jenis sukan yang boleh dijadikan landasan menguji kemampuan atlit muda.

“Sejak 54 tahun lalu, MSSM mempertingkatkan pembabitan pelajar sekolah dalam sukan. Ini membuktikan komitmen kementerian dalam melahirkan atlit pada masa depan.

“Selain meneruskan tradisi menjadi penganjur semata, MSSM digesa menilai semula aspek berkaitan penganjuran termasuklah berkaitan sukan dan acara sesuai dengan pertumbuhan pelajar,” katanya.

Pada majlis itu, sejumlah 12 anugerah disampaikan kepada penerimanya, didahului Anugerah Emas KPM yang diterima ratu terjun negara, Pandalela Rinong.

Anugerah Tunas Harapan (Puteri) diterima Yus Syazlin Nabila Yusri (Tenis); Anugerah Tunas Harapan (Putera) diterima Mohd Farez Izwan Mohd Mukhtar (Skuasy); Anugerah Pendidikan Khas (Puteri), Norsuhana Ramlan (Olahraga) dan Anugerah Pendidikan Khas (Putera), Mohamad Saifuddin Ishak (Olahraga).

Sementara itu, Anugerah Khas (Puteri) diterima Phoon Eyin (Wushu); Anugerah Khas (Putera), Yeap Wai Kin (Wushu); Anugerah Puteri Sukan diterima Elaine Koon (Gimrama).

Anugerah Sukan Putera diterima pasangan beregu badminton Teo Ee Yi dan Nelson Heg Wei Kiat.

Selain atlit, majlis turut mengiktiraf jasa guru dengan menyampaikan Anugerah Guru Berjasa (Lelaki) yang diterima Md Noor Nek Elias (jurulatih sukan ragbi) dan Anugerah Guru Berjasa (Wanita) diterima Yeo May Lin (jurulatih gimrama).

Bagi menghargai usaha berterusan dan komitmen jurulatih yang menerajui MSSM negeri, KPM menganugerahkan Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan) kepada bekas ketua unit, Unit Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Allahyarham Mohamed Latifi Abu Bakar.

- BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.