31 Januari 2012

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan Januari 2012

by

Bapa risau anak hilang bersama BMW

by

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Sejak 10 hari lalu, seorang pesara bank, Ismail Yunus, 56, tidak dapat tidur lena kerana terlalu bimbang tentang keselamatan anak lelakinya yang menghilangkan diri dari rumah mereka di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini.

Pelbagai kemungkinan buruk terbayang di mata terutama apabila mengenangkan anaknya, Isyraq Ismail, 18, turut hilang bersama kereta jenis BMW miliknya.

Paling ditakuti jika kenderaan itu digunakan oleh anaknya bersama rakan-rakan untuk melakukan kegiatan jenayah.

Menurut Ismail, kali terakhir dia bertemu dengan Isyraq kira-kira pukul 11 malam pada 14 Januari lalu sebelum menyedari anaknya itu tiada di rumah pada pukul 1 pagi keesokannya.

"Isyraq merupakan anak keempat daripada lima beradik dan mempunyai seorang kembar seiras. Dia kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sementara menunggu keputusan peperiksaan, dia memaklumkan mahu mencari kerja bagi mengisi masa lapang dan saya tidak menghalang, malah tidak kisah jika dia tidak pulang ke rumah kerana menumpang tidur selama beberapa hari di rumah rakannya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju di sini hari ini.

Ismail berkata, sebelum ini, dia tidak bimbang tentang keselamatan Isyraq jika tidak pulang ke rumah kerana anaknya itu akan membawa telefon bimbit bagi memudahkan keluarga menghubunginya.

Namun, katanya, sejak menghilangkan diri, Isyraq gagal dihubungi kerana tidak membawa telefon bimbit dan langsung tidak memaklumkan ke mana dia pergi kepada keluarga sebelum meninggalkan rumah.

Menurut Ismail, mereka sekeluarga tidak tahu punca Isyraq menghilangkan diri tanpa khabar berita kerana anaknya itu langsung tidak menunjukkan perubahan sikap yang mencurigakan atau berselisih faham dengan keluarga.

"Saya mengesyaki kereta tersebut dilarikan Isyraq bersama tiga rakan yang menghantarnya pulang ke rumah menaiki sebuah Proton Wira pada malam, 14 Januari lalu," katanya.

Ismail berkata, disebabkan bimbang tentang keselamatan anak remajanya itu, isterinya, Noriyah Ahmad kini tertekan sehingga tidak mampu membuka perniagaan butiknya sejak Isyraq hilang.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis dan berusaha mencari Isyraq termasuk di rumah seorang temannya yang biasa dia bermalam di RPR Desa Rejang, Setapak di sini, namun gagal menemui anaknya di situ.

"Sehubungan itu, saya minta jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Isyraq atau kereta BMW saya yang berwarna perak bernombor pendaftaran WPG 5658 agar segera menghubungi saya di talian 012-6247474 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

- UTUSAN

Mengapa pelajar sains kurang?

by
Oleh JOHAN YUSUF
johanyusuf88@gmail.com

KITA maklum bahawa Malaysia sedang menggapai matlamat bergelar negara maju pada tahun 2020, yang cuma berbaki lapan tahun lagi.

Namun, realitinya pelajar-pelajar kita yang diharap memberi impak kepada matlamat ini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan wawasan tersebut.

Untuk menjadi negara maju, sains mesti ditekankan di kalangan rakyat, seiring dengan pemikiran kritikal, rasional dan analitikal. Persoalannya mengapa pelajar tidak mahu mengambil jurusan sains?

Dasar pendidikan oleh kerajaan selalunya berubah sebaik sahaja menteri pelajaran bertukar tangan dan hasilnya tiada kesinambungan.

Jadi adalah lebih baik sekiranya cadangan yang asal itu ditambah baik dari tahun ke tahun, berbanding menukar keseluruhan idea tanpa kajian menyeluruh.

Itu di peringkat sekolah, di peringkat tinggi, keadaan menjadi lebih teruk lagi. Pelajar-pelajar cemerlang ini, malah kami yang sedang belajar ini merasakan bahawa tiada guna mengambil jurusan yang lebih sukar ini, sedangkan tangga gaji dalam kerajaan dan swasta tidak banyak bezanya dengan pelajar aliran sastera yang lain.

Gaji permulaan dalam kerajaan, jika dibuat perbandingan antara golongan sains dan pentadbiran cuma lebih 100-200 bagi gaji permulaan dan gaji siling berbanding golongan sastera (Sila rujuk tangga gaji SPA dari T1 - T20 sebelum SBPA).

Ini amatlah tidak setimpal dengan pengorbanan dan perit jerih bergelar pelajar sains.

Untuk pengetahuan, tidak ramai pelajar sains yang mampu tamat diploma atau ijazah mengikut masa yang ditetapkan kerana terpaksa mengulang akibat gagal dalam subjek tertentu yang jauh lebih sukar daripada mereka yang mengambil subjek sastera.

Berbalik kepada soal di atas, kita akhirnya dapat menyimpulkan mengapa pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara di luar negara terutamanya bidang perubatan, ramai yang tidak pulang berkhidmat di Malaysia setelah tamat belajar, sebaliknya memilih untuk berkhidmat di luar negara. Mengapa?

Ini kerana gaji di luar negara selama 3-4 tahun saja sudah mampu membayar semula tajaan kerajaan kepada mereka, berbanding jika mereka terpaksa berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa tahun dengan gaji yang relatifnya sangat kecil.

Sistem biasiswa dan pinjaman pelajaran juga seolah-olah tidak adil kepada pelajar sains.

Jika kita perhatikan, kebanyakan daripadanya (ambil PTPTN sebagai contoh) hanya menukar pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama iaitu CGPA 3.50 dan ke atas bagi kebanyakan universiti. Dan hal ini sama kepada semua pelajar, tidak kira jurusan sains atau sastera.

Jika beginilah keadaannya, sudah tentu pelajar sastera yang akan beroleh banyak manfaat berbanding pelajar sains kerana tidak ramai pelajar sains yang memperoleh keputusan tersebut berbanding pelajar sastera.

Hal ini lebih adil sekiranya pelajar sains diberikan kayu ukur yang lebih rendah berbanding pelajar sastera dalam penentuan Ijazah Kelas Pertama.

Saya yakin, sebabnya lebih banyak. Mungkin ia berbunyi remeh, namun sekiranya hal ini tidak diberikan perhatian, maka kita bakal melihat lebih banyak brain drain dan kekurangan bijak pandai yang berlatarbelakangkan jurusan sains di Malaysia.

Mereka ialah orang yang bijak, jangan sia-siakan kebolehan mereka untuk menyumbang kepada negara ini.

- UTUSAN

Wanita bijak menyimpan?

by

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

KALAU lelaki ke kedai runcit, barang yang dibeli pasti yang memang sudah dirancang dari rumah. Kalau perempuan pula, pasti ada dua atau tiga barang 'ekstra' dari senarai barangan yang hendak dibeli pada asalnya."

Ini petikan yang selalu dituturkan dari satu generasi ke satu generasi. Persoalannya benarkah wanita sukar merancang kewangan?

Perunding kewangan bertauliah, dari Whitman Independent Advisor Sdn Bhd., Yap Ming Hui berkata, rata-rata wanita di negara ini bekerja dan memperoleh wang sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.

Begitupun, mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu wanita bekerja sudah berkahwin, belum berkahwin, sudah berkahwin dan mempunyai anak, bercerai dan ibu tunggal.

"Golongan wanita apabila sudah mendapat kerja, perkara pertama yang perlu ada dalam fikiran mereka bukanlah baju baru atau kereta baru. Tetapi paling utama memikirkan tentang simpanan.

"Antara cara terbaik untuk wanita terutama bumiputera ialah dengan melabur dalam Amanah Saham Bumiputera.

"Caranya mudah, jika gaji anda sudah ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jadikan rutin menyimpan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pendapatan bersih, jika bekerja sendiri dan tiada caruman maka cuba ambil lebih untuk simpanan dan kemudian barulah untuk urusan lain," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Ming Hui, wanita yang sudah bekerja mesti belajar menyimpan, membuat bajet dan catatan ke mana wang mereka dibelanjakan.

Ini memang menuntut disiplin, namun ia amat penting bagi memastikan seseorang wanita berkerjaya menguasai pendapatannya dan bukan menjadi 'mangsa' kepada pendapatan sendiri.

"Sebagai panduan, saya telah menyediakan satu jadual dalam bentuk soft copy yang boleh dimuat turun dari website saya www.yapminghui.com.

"Di situ saya sudah meletakkan jadual dan panduan pelan perbelanjaan asas dan praktikal yang boleh diikuti oleh semua yang mahu merancang kewangan mereka dengan baik," katanya.

Menurut Ming Hui lagi, pelaburan dan simpanan adalah dua perkara yang sama maksudnya. Cara menyimpan pula boleh sama ada melalui simpanan tunai atau menerusi pembelian aset seperti rumah.

"Perlu diingatkan membeli kereta bukanlah satu pelaburan. Ramai anak muda sekarang mula sahaja bekerja sudah beli kereta.

"Perancangan kewangan yang betul sepatutnya pembelian kereta itu ditangguhkan. Sebaliknya cari kediaman yang berdekatan dengan pengangkutan awam dan anda boleh berjimat di situ.

"Bukan tidak boleh beli kereta tapi perlu simpan dahulu sekurang-kurang untuk duit muka supaya ansuran bulanan tidak terbeban. Simpan dulu, nikmatinya kemudian," jelasnya.

- UTUSAN

Jatuh hati pada kawan baik

by
Jatuh hati pada kawan baik sendiri kadang kala sesuatu yang tidak dapat dielak. Mungkin kerana cara layanannya terhadap anda berbeza dan dia mempunyai ciri-ciri yang diidamkan serta sentiasa ada di samping di saat memerlukan perhatian.

Namun, untuk meluahkan rasa hati mungkin agak sukar kerana bimbang menjejaskan hubungan persahabatan sedia ada dan anda sendiri sarat dengan rasa malu.

Lebih teruk jika luahan hati tiada sambutan kerana dia hanya menganggap anda sebagai rakan biasa. Sedangkan hati anda sentiasa tertanya-tanya, sukakah dia pada anda?

Usah tertanya-tanya lagi, berikut beberapa panduan untuk mengenal pasti sama ada lelaki yang anda idamkan itu mempunyai perasaan yang sama.

* Si dia gelisah bila bersama anda.

Lelaki yang sukakan seseorang wanita akan berasa gelisah atau sering kali rasa tidak kena dan gelabah apabila berdepan dengan gadis yang dia sukai. Lihatlah ciri-ciri itu, mungkin anda perasan dengan ciri-ciri yang ada pada si dia.

* Perhatikan gerak-gerinya.

Adakah dia selalu cuba merenung anda? Senyum pada anda? Gemar memandang anda biarpun ketika jauh? Memuji anda atau sering memulakan perbualan dan selalu berdiri berdekatan anda biarpun dia berusaha untuk mengelakkan agar anda tidak terperasan dengan perbuatannya itu.

* Sentuhan

Si dia suka menyentuh anda (bukan gangguan seksual) namun perilaku yang sejujurnya. Dia mungkin menepuk lembut bahu anda atau geselan tidak sengaja yang boleh menyemarakkan perasaan anda dan sebagainya. Lelaki yang sukakan anda akan mencari peluang untuk menyentuh anda dengan niat yang baik.

* Si dia suka telefon anda

Ini memang terang-terang menunjukkan si dia menyukai anda apabila dia selalu menelefon anda biarpun bertanyakan soalan yang remeh. Kadang kala ketika dia berkata dia terlepas cakap sebenarnya dia suka bercakap dengan anda ataupun dia menipu 'tersalah dail' pada hal dia sebenarnya ingin berbicara dengan anda.

* Sanggup berkorban

Si dia berbuat apa sahaja demi anda. Pinjamkan duit, belikan sesuatu untuk anda atau apa sahaja tanpa perlu anda bersusah-payah memikirkan untuk meminta bantuan daripada rakan-rakan lain.

* Cemburu

Ini memang sah si dia sukakan anda apabila dia terasa cemburu ketika anda bercerita mengenai rakan lelaki lain. Ini bermakna dia tidak mahu ada orang lain selain dia dalam hati anda.

* Senang memperkenalkan anda kepada rakan atau keluarganya

Si dia tidak akan malu memperkenalkan anda kepada rakan-rakan dan keluarganya, biarpun ketika memperkenalkan itu dia akan menyebut anda sebagai hanya rakan tetapi cara dia memperkenalkan diri anda pasti berlainan dan anda akan tahu kelainan caranya itu.

* Suka ambil tahu

Dia sentiasa mengambil tahu mengenai diri anda, keluarga anda , kegemaran anda dan mungkin tarikh hari jadi anda. Itu maknanya dia berminat hendak mengetahui segalanya tentang anda.

- UTUSAN

Fatwa : Mempercepat kematian tanpa sah pakar haram

by
MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Eutanasia atau Mercy Killing.

Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut: Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah berpandangan bahawa menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.

Sehubungan itu, muzakarah memutuskan bahawa perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan eutanasia (sama ada Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ia juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.
Keputusan ini selaras firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja...” (Surah an-Nisa’, ayat 92).

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap reda Allah)."

Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing yang diharamkan.

Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh iaitu ‘dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan’, amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan dihadapi pesakit dapat dikawal dan pelaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.

Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian itu disahkan oleh pakar, maka akan sabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak.

Jadi, harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terbabit dalam urusan pendermaan organ.

Situasi dihadapi khususnya kepada keluarga pesakit yang berdepan dengan keadaan di mana mereka perlu membuat pilihan selepas mendapatkan nasihat pakar dan yang arif bidang hukum, ada kalanya memang menyukarkan. Perasaan sayang menyebabkan mereka masih mengharapkan keajaiban sementara hakikat realiti menuntut mereka membuat keputusan yang rasanya tidak adil kepada pesakit sendiri.

Memang sukar apabila berdepan keadaan begini kerana sebagai manusia kita tiada hak menentukan hidup mati orang lain tetapi jika diuji dengan permasalahan begini, bagaimana agaknya keputusan bakal kita buat. Sebab itu kefahaman perlu dan caranya, mendapatkan nasihat mereka yang benar-benar pakar mengenai hukum serta bidang perubatan.

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa penentuan hidup dan mati seseorang itu adalah kuasa Allah SWT seperti firmanNya dalam Surah Yunus, ayat 49, yang bermaksud: “dan apabila telah sampai ajalnya, maka tidak akan dilewat dan tidak akan dipercepatkan walau sesaat pun.”

Manakala firmanNya dalam Surah al-Kahf, ayat 84 pula menyeru supaya manusia melakukan ikhtiar dan kemudian bertawakal, seperti mana maksudnya: “dan Kami beri kepadanya jalan yang menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.”

Di sebalik permasalahan untuk membuat keputusan sukar ini, sebenarnya saya tertarik untuk membangkitkan perkara yang mungkin ada antara kita lupa lakukan kerana tertekan dengan kenyataan perlu dihadapi iaitu memberi nasihat serta dorongan kepada pesakit supaya terus mengingati Allah dan bertawakal kepadanya.

Selalunya, kita akan runsing memikirkan apa yang bakal berlaku hingga terlupa untuk membisikkan di telinga pesakit nasihat supaya terus mengucapkan syahadah serta berzikir kepada Allah kerana ingatan itu sedikit sebanyak boleh membantu pesakit yang berdepan dengan pelbagai kemungkinan, dengan izin Allah mereka kembali sembuh atau atas kehendak Allah, mereka kembali kepada Yang Maha Mencipta.

Secara tidak langsung, kita yang sedang membantu pesakit menghadapi keadaan kritikal turut membantu diri sendiri dengan menyerahkan keadaan kepada Yang Maha Kuasa, dan apa juga natijahnya nanti, kita dapat terima dengan reda kerana sedar semua itu ketentuan Allah.

Ketika kita sibuk berusaha menyelamatkan pesakit menggunakan peralatan canggih dan moden, perlu ada kakitangan hospital yang ditugaskan untuk menenangkan pesakit dengan memberi nasihat serta membantu mereka terus mengingat Allah dan bertawakal kepada-Nya.

Ini kerana selalunya kita terlupa bahawa peringatan seperti itu juga dapat membantu menenangkan pesakit.

Peringatan itu bukan kepada pesakit yang sedang nazak saja, juga perlu dititikberatkan kepada mereka yang bakal menjalani pembedahan atau ibu dalam proses melahirkan bayi. Mengingati Allah dengan zikir atau selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, boleh memberi ketenangan dan dalam banyak kes meningkatkan keyakinan serta kekuatan kepada pesakit.

Tindakan ini nampak remeh tetapi seperti dijelaskan kepada kita, apabila dekat dengan Allah, yakinlah Allah dekat dengan kita. Dan apabila kita yakin Allah amat dekat, maka hilang segala rasa resah gelisah dan hadirlah keyakinan Allah tidak akan menghampakan hamba-Nya. Allah tempat mengadu kita untuk meluahkan segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya." (Surah Al Qaf, ayat 16) Sama-samalah kita fikirkan.

- BERITA HARIAN

Garis panduan pelaburan emas perlu dikeluarkan

by

Kerajaan digesa mengeluarkan satu garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.

Garis panduan yang dikeluarkan itu juga perlu disusuli dengan penubuhan sebuah badan penyelia yang memantau perjalanan pelaburan tersebut seperti dilakukan Suruhanjaya Sekuriti terhadap institusi pasaran saham.

Pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, garis panduan tersebut penting memandangkan jumlah orang ramai yang terpancing dengan tarikan keuntungan lumayan pelaburan itu kian meningkat.

"Turut perlu ditekankan pada garis panduan tersebut adalah jenis kualiti emas yang sesuai dijadikan pelaburan berbanding emas bagi tujuan pengeluaran barang kemas dan kosmetik.

"Meskipun pelaburan sebegini dikatakan menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram, namun terdapat juga pihak yang akan menangguk di air keruh.

"Tabiat masyarakat kita yang hanya mahu keuntungan jangka masa pendek juga menjadi faktor," katanya.

Beliau mengulas rintihan seorang pengadu dikenali Tsuri di dalam ruangan forum Utusan Malaysia hari ini yang merasakan dirinya tertipu selepas cuba menjual semula ketulan emas miliknya di sebuah kedai, namun ia hanya bernilai RM15,400 untuk 100 gram berbanding harga pasaran semasa iaitu RM19,800.

Abdul Rahim menjelaskan, pelaburan jongkong emas bukan sebuah pelaburan jangka masa singkat dan pelabur perlu menunggu sehingga satu masa sesuai bagi menikmati keuntungannya.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, buat masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengawal pelaburan jongkong emas.

Katanya, kewujudan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan pengguna di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 sudah memadai untuk tujuan tersebut.

"Saya bersetuju pelaburan jenis ini terdedah dengan kes penipuan dan kekeliruan, namun tidak perlulah menubuhkan sebuah badan pemantau mahupun satu set garis panduan lain.

"Cuma pelabur emas perlu berusaha mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar pihak berpengalaman dan profesional dari dalam atau luar lingkaran sosial mereka bagi mengelakkan kesilapan atau kekeliruan," katanya.

- UTUSAN

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan

by
KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.

Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.

Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.

“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.

“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.

“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).

“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.

“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.

Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.

Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.

Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

- BERITA HARIAN

Kesihatan Gigi - Amalkan berkumur, gosok dan flos gigi

by

TATKALA mata bertemu mata, hanya sekuntum senyuman menjadi penghubung komunikasi pertama. Tetapi senyuman manis yang ditawarkan itu tidak sempurna jika ia tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih dan putih.

Bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata, kesihatan gigi sebenarnya merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia. Walaupun ia jarang diberi keutamaan terutama sekali di dunia yang terlalu obses dengan kecantikan berasaskan kosmetik.

Bagi selebriti, penyanyi dan ahli perniagaan yang mula membina nama melalui Akademi Fantasia 4, Farhan Azizan, 28, kebersihan dan kecantikan gigi adalah penjagaan wajib bagi beliau. Bukan disebabkan dia merupakan seorang selebriti tetapi, penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut sudah pun mula diberi perhatian sejak kecil lagi.

Lepas makan terus gosok gigi

"Terima kasih kepada ibu yang banyak membimbing kami lima beradik. Beliau sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Tiap kali selepas makan, adalah menjadi amalan wajib untuk membersih mulut. Ibu juga tidak menggalakkan kami makan coklat sejak kecil," ujar Farhan tentang rejim penjagaan gigi dan mulutnya sejak kacil.

Sudah membiasakan diri menggosok gigi acap kali makan, sekurang-kurangnya empat kali dalam sehari, rejim Farhan tidak terhenti di situ sahaja.

Bahkan, obses beliau menjaga kesihatan gigi menyebabkan dia akan berjumpa dengan doktor gigi setiap bulan untuk melakukan scaling. Untuk sesi scaling setiap bulan itu dia memperuntukkan RM50.

"Saya tidak pernah ada apa-apa masalah gigi saya mahupun mulut. Jadi saya tidak pernah berjumpa doktor untuk apa-apa masalah, cuma mendapatkan nasihat semasa membuat scaling," katanya yang mengakui akan membawa ubat gigi dan berus gigi bersama-sama setiap masa.

Dalam pada itu, Farhan juga peka terhadap ubat gigi yang digunakan. Oleh itu, beliau menggunakan ubat gigi organik yang menggunakan kandungan utama iaitu daun mambu.

"Saya tidak gunakan flos sebab takut ia memberi kesan kepada gusi dan boleh merenggang gigi. Ia bukan tidak baik, tetapi mungkin saya tidak mahir menggunakan flos," katanya lagi yang ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Menariknya, disebabkan rejim gigi sihat yang diamalkan Farhan sehingga kini dia masih memiliki dua gigi susu.

Sementara itu menurut seorang doktor gigi, Dr. Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen di Kajang, Selangor, selain memberus gigi yang menjadi amalan wajib, flos gigi adalah satu lagi elemen paling penting penjagaan gigi yang perlu dipratikkan.

"Walaupun kita berkumur atau memberus gigi selepas makan tetapi, tahukan anda bahawa akan terdapat makanan tersekat di celah-celah gigi?" tanya beliau.

Katanya, flos tidak perlu dilakukan kerap tetapi apabila perlu sahaja. Namun, kerisauan ia akan menyebabkan gigi renggang atau gusi berdarah tidak berasas sekiranya ia dilakukan secara betul.

"Flos dengan lembut dan jangan tekan dalam. Flos yang salah boleh memudaratkan gusi. Saya biasanya akan meminta pesakit menunjukkan cara mereka flos gigi supaya ia tidak dilakukan secara salah," katanya lagi sambil memberitahu scaling secara kerap tidak memudaratkan gigi kerana ia tidak membabitkan gigi sebaliknya hanya menggunakan getaran ultrasonic untuk memecahkan karang gigi.

Namun, memberus gigi dipandang satu amalan wajib dan mesti dilakukan beberapa kali sehari kerana ia berfungsi memecahkan sekumpulan bakteria dan sisa makanan yang membentuk biofilm dan seterusnya akan membentuk satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita.

Apabila memberus gigi, ia akan memecahkan biofilm sebelum ia mula merebak. Plak dan karang gigi di permukaan gigi juga menjadi penyebab utama mulut berbau.

Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah mereka. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah diberus dengan betul dan penggunaan ubat kumur.

Antara sebab lain mulut berbau ialah kekurangan air liur berpunca daripada penyakit atau pemakanan ubat.

Bagi mereka yang mempunyai masalah itu, mengunyah gula-gula getah atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah itu.

Selain flos dan memberus mahupun berkumur Mazleen atau lebih mesra dengan panggilan Leen juga menggesa, supaya pemeriksaan gigi tetap dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

Ditanya mengenai kepercayaan gigi terlalu putih tidak berapa kuat, ujarnya tiada fahaman seperti itu.

Bagaimanapun, ada kepercayaan gigi kuning sedikit agak kuat kerana mempunyai lapisan dalam yang tebal malah, sebenarnya gigi manusia sedikit kekuningan.

Jelas beliau, berkumur mulut bukanlah wajib tetapi digalakkan sebagai rejim tambahan. Sebaiknya, pilihlah ubat kumur mulut bebas alkohol kerana ia boleh mengeringkan mulut selain mempunyai florida, antiplak, gliserin, garam dan bebas gula.

Jumpa doktor walau tidak sakit

Katanya, sikap berjumpa dengan doktor hanya apabila sakit menjadi punca mengapa perjumpaan dengan doktor gigi seringkali dilabelkan 'menakutkan'.

Malah, satu tinjauan membuktikan 50 peratus rakyat Malaysia bertindak mengunjungi doktor gigi hanya ketika mereka berdepan dengan masalah gigi.

Pada kebanyakan masa, pesakit lebih rela makan ubat gigi atau tahan sakit selama berbulan-bulan mahupun bertahun-tahun semata-mata kerana enggan berjumpa doktor qiqi.

Rakyat Malaysia sukar menyenaraikan pemeriksaan gigi sebagai satu prosedur kesihatan yang wajib seperti mana pemeriksaan kesihatan lain.

Jangan takutkan anak

ebih menyedihkan apabila, ada pula ibu bapa yang suka menakut-nakutkan anak bahawa jika membuat nakal akan dibawa jumpa doktor gigi untuk mencabut gigi.

Ugutan seperti itu sejak kecil menimbulkan sejenis ketakutan kepada kanak-kanak sejak kecil apabila mendengar perkataan doktor gigi.

"Perkara seperti ini telah menjadikan seseorang itu tidak berani berhadapan dengan doktor gigi. Ibu bapa perlu menghindari kenyataan menakutkan berkenaan doktor gigi.

"Mereka perlu melatih dan menjadi contoh baik dari segi menjaga kesihatan mulut, gigi mahupun membuat temujanji untuk pemeriksaan," demikian tambah Leen.

Apabila ditanya tentang kedatangan pesakit ke klinik beliau, beliau mengakui 80 peratus pesakit datang selepas sakit dan lazimnya untuk mencabut gigi, manakala 20 peratus lagi datang dengan kesedaran melakukan pemeriksaan.

Bercakap lanjut mengenai kos dan caj rawatan, Leen memberitahu, rawatan gigi sememangnya mahal tetapi, masih terkawal.

Katanya rawatan gigi banyak menggunakan material mahal, perlu dibersihkan berkali-kali atau bahan pakai buang. Semua itu bagi memastikan keselamatan dan tiada infeksi kelak.

- KOSMO!

30 Januari 2012

Tips dan Panduan Soalan Peperiksaan Penguasa Kastam WK1-1

by
Peperiksaan ini bertujuan mengukur daya pemikiran serta kebolehan calon mengaplikasi maklumat yang diperolehi melalui latihan akademik, bacaan dan pengalaman. Calon-calon yang menduduki peperiksaan adalah dari pelbagai jurusan. Maka, soalan-soalan yang dikemukakan meliputi pelbagai bidang dan mempunyai skop yang luas. Matlamat peperiksaan ini adalah untuk mengukur kematangan pemikiran calon agar sesuai dengan kualiti serta potensi untuk dilantik sebagai Penguasa Kastam, Gred WK1-1.

Peperiksaan ini melibatkan empat kertas berasingan iaitu Seksyen A, Seksyen B, Seksyen C dan Seksyen D. 


Seksyen A - Pengetahuan Am
Seksyen B - Daya Menyelesaikan Masalah
Seksyen C - Esei Bahasa Melayu
Seksyen D - Esei Bahasa Inggeris


Setiap kertas adalah penting untuk prestasi mengukur calon. Calon-calon perlu menunjukkan prestasi yang baik bagi ke semua kertas.

Jika prestasi yang sangat baik dipamerkan pada satu atau dua kertas sahaja, maka prestasi keseluruhan calon kurang memuaskan. Namun, jika calon mendapat markah yang menggalakkan bagi setiap kertas, maka prestasi keseluruhan dianggap baik. Oleh itu, calon-calon dinasihatkan supaya tidak memfokus kepada kertas tertentu sahaja.  


Calon boleh mendapatkan Pakej Panduan Peperiksaan tersebut dalam bentuk e-book di: http://www.tipsptd.com/hop.php?ref=my
 




Semakan Penempatan Program Pensiswazahan Guru bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Ambilan Februari 2012

by
Semakan Penempatan Program Pensiswazahan Guru Ambilan Februari 2012 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) boleh dibuat di: http://apps.moe.gov.my/kdp/PPG_2012/PPGTAWAR

Sila beri maklumbalas, muatturun dan cetak surat-surat dan bahan yang disediakan bagi mereka yang berjaya ditawarkan. Sebarang pertanyaan berkenaan program sila hubungi pihak Bahagian Pendidikan Guru di 03-88841269/ 1270/ 1272/ 1053.

Rayuan Program Pensiswazahan Guru (PPG) 2012

Calon-calon Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang telah ditawarkan kemasukan pada Februari 2012 boleh membuat rayuan pertukaran bidang dan institusi latihan secara dalam talian melalui url http://apps.moe.gov.my/abpg/rayu_ppg2012/ mulai 4 - 7 Feb 2012.

Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my

Anugerah Juara Lagu ke-26, Lagu Awan Nano Nyanyian Hafiz Juara.

by

KUALA LUMPUR: Lagu Awan Nano dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-26 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Dengan kemenangan Awan Nano ciptaan komposer M.Nasir dan penulis lirik, Budi Hekayat, nyanyian oleh Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Hafiz turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Awan Nano telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor).

Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).

Sementara bagi naib juara dimenangi oleh lagu Beribu Sesalan ciptaan Kevin Chin serta lirik oleh Tinta yang dinyanyikan oleh 3 Suara (Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Ning Baizura) sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.

Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga berjaya dimenangi oleh lagu Karma ciptaan Faizal Tahir dan lirik oleh Audi Mok nyanyian Faizal Tahir yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.

Bagi pemenang persembahan terbaik diraih oleh Alyah menerusi lagu Kisah Hati dengan menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Persembahan 12 finalis AJL25 diadili seramai 30 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Johan Nawawi, Cat Farish, Ajai, Dimas (Hujan), Taja (Meet Uncle Hussein), Fauzi Marzuki dan Azmeer selaku ketua juri.

Penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Sementara itu, bagi kategori yang baru diperkenalkan, Anugerah 'Juara Mobile'bagi mengiktiraf lagu yang mendapat muat turun Nada Dering Pemanggil (Call-Me-Tones) terbanyak menerusi The Cube dimenangi oleh lagu Sedetik Lebih, ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.

Pertandingan bertemakan air yang menterjemahkan simbolik aliran dan prestasi industri muzik tempatan itu dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail dan Cheryl Samad.

Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor Awie, Datuk Shiela majid dan Jamal Abdillah untuk persembahan pembukaan, manakala nyanyian Black, Azlan & The Typewriter dan Hazama pula pada segmen interlud dengan iringan muzik orkestra bimbingan pemuzik hebat Datuk Ramli MS.

- MSTAR

70 peratus rayuan Bantuan BR1M layak. Pemohon yang tidak berjaya boleh buat rayuan.

by
Sebanyak 70 peratus rayuan permohonan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima seluruh negara bagi permohonan peringkat pertama layak menerima bantuan itu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, rayuan itu diluluskan dan mereka bakal menerima penyampaian bantuan RM500 itu sebelum tamat tempoh pada 15 Mac ini.

“Lebih separuh rayuan permohonan yang dibuat diterima dan mereka layak mendapat bantuan itu. Kini, penyenaraian sedang dibuat dan pengagihan akan dibuat secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN), Parlimen Tambun, di Chemor, dekat Ipoh, semalam.

Lebih 3,000 masyarakat berbilang kaum hadir pada majlis berkenaan yang diadakan bermula jam 11 pagi itu. Turut hadir, isterinya, Datin Seri Fauziah Kamarudin.

Selain hidangan kuih tradisi masyarakat Cina seperti pau dan koci, tetamu turut dihidangkan dengan Yee Sang serta dihiburkan dengan tarian singa serta naga.

Ahmad Husni berkata, kerajaan juga melanjutkan tempoh permohonan skim itu sehingga 10 Februari ini dan mereka yang layak perlu membuat permohonan sebelum tamat tempoh.

“Kini, kita sedang menjalankan pengurusan permohonan peringkat kedua serta ketiga dan proses penyampaian bantuan itu akan dijalankan sehingga 15 Mac ini.
“Jadi, bagi mereka yang layak masih belum terlambat untuk memohon atau mengemukakan rayuan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan bantuan skim itu pada tahun depan, katanya, ia bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

“Pada 2011 kedudukan kewangan lebih baik daripada yang disasarkan. Jadi kita akan melihat peningkatan dari segi defisit negara, hutang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Insya-Allah kita mengharapkan kewangan negara lebih kukuh pada 2012.

“Kita perlu melakukan pengurusan kewangan lebih berhemah disebabkan kedudukan ekonomi pada 2012 agak mencabar.

“Bagaimanapun, di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, peneraju negara itu akan sentiasa prihatin dengan kedudukan ekonomi rakyatnya,” katanya.

- BERITA HARIAN

Stres jejaskan produktiviti

by
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Menjalankan tugas harian di pejabat banyak memerlukan kesabaran kerana tidak semuanya akan berjalan lancar seperti yang dirancang. Adakalanya sesuatu yang di luar jangkaan berlaku dan di sinilah terserlahnya kemahiran anda mengendalikan situasi tersebut.

Ada yang berasa seronok menghadapi cabaran baru dan mencari langkah untuk menyelesaikan tugas tersebut. Namun tidak kurang juga yang akan melenting dan bersungut kerana terpaksa berfikir dan berusaha lebih sedikit. Apabila keadaan ini berlaku, segala perasaan tertekan atau stres ini akan berkumpul dan terperangkap di dalam tubuh. Itu belum lagi suasana sekeliling yang banyak mempengaruhi keadaan kita bekerja. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh menjejaskan cara kita berfikir dan mengakibatkan berbagai-bagai penyakit seperti darah tinggi, sakit dada, sengal-sengal badan dan macam-macam lagi. Masalahnya adakah anda sedar bahawa anda mengalami stres dan memerlukan penyelesaian?

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh, walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

"Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari ia juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menjangkakan, stres akan menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia menjelang 2020.

Berdasarkan pengalaman Dr. Nor Hamidah, kebanyakan kes stres berpunca daripada masalah di tempat kerja.

Ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporakperandakan perkahwinan itu sendiri.

Justeru, beliau berharap masyarakat akan sedar bahawa stres yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.

Bijak

Beliau menjelaskan, apabila seseorang mengambil berat tentang kesihatan mental, ia membantu untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara itu saling berkait.

"Seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti," katanya.

Dr. Nor Hamidah menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya mengambil masa untuk rehat dan berbincang dengan saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti menyedarinya.

"Jika anda mengalaminya di tempat kerja, anda boleh berkongsi dengan rakan sekerja. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi. Ini kerana ubat bukanlah penyelesaian bagi stres," katanya.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan.

Cuti sakit

Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

"Sebab itulah setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak mengganggu produktiviti pekerja.

"Kita lihat banyak kejayaan menerusi pelaksanaan pengurusan stres di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada 1995, Perkhidmatan Salah Tingkah Laku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja menurunkan 35 peratus masalah stres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.

Justeru tegasnya, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.

Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.

"Ini penting untuk mengurangkan berlakunya beberapa masalah penyakit seperti darah tinggi, lelah, masalah kulit yang teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema, serangan jantung, sinus atau resdung, hilang fungsi seksual dan pembiakan, strok, masalah berat badan, gangguan tidur, cirit-birit atau sembelit, migrain, gangguan kebimbangan, ulser perut, sakit kepala dan kemurungan," katanya.

Oleh itu, kenali diri anda dan pastikan stres tidak berada pada tahap yang tinggi. Jangan sombong atau malu sekiranya anda mengalami stres kerana ia proses kehidupan yang semula jadi.

Anda sendiri perlu bijak mengatasinya untuk mengelakkan masalah stres ini berlarutan.

- UTUSAN

150 Kenderaan Dicuri Setiap Hari

by
Kereta anda boleh dilarikan dalam tempoh tujuh minit kerana sindiket curi kereta menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk mencuri secara purata 150 kereta setiap hari di negara ini.

Kira-kira 112,503 kereta yang dicuri sejak 2010 terdiri daripada model lama dan baru dengan komponennya telah dileraikan.

Kebanyakan kenderaan baru yang dicuri seperti pacuan empat roda dieksport ke negara Timur Tengah.

Difahamkan kenderaan curi terbabit digunakan kumpulan pemberontak untuk membawa senjata api.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kebanyakan suspek bekerjasama dengan beberapa sindiket kereta curi.

Menurut beliau, polis berjaya menumpaskan enam sindiket tetapi terdapat beberapa kumpulan lain yang masih aktif menjalankan kegiatan itu.

Sejumlah 57,462 kereta curi dilaporkan pada 2010 manakala kira-kira 55,041 kes pada September 2011.

Katanya, terdapat permintaan tinggi untuk kereta curi di tapak pembinaan di kawasan terpencil.

Namun, beberapa kenderaan tersebut turut digunakan untuk kegiatan jenayah dan rompak manakala beberapa model dieksport ke luar negara.

"Kami percaya kenderaan seperti Toyota Hilux dicuri untuk memenuhi permintaan di Timur Tengah. Kami percaya kumpulan pemberontak menggunakan kenderaan itu untuk membawa senjata api," katanya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, permintaan bagi alat ganti kenderaan terpakai meningkat ekoran Polisi Automotif Kebangsaan yang melarang pengimportan kereta potong.

"Agak sukar unyuk mendapatkan alat ganti kenderaan untuk model lama seperti Proton Saga dan Nissan Sunny 130Y," katanya.

Beliau berkata, beberapa remaja turut terlibat dalam kegiatan itu tetapi bilangan kes terlalu kecil.

Katanya, polis menemui 2,765 kereta curi bernilai kira-kira RM137 juta pada 2010 dan 2,045 kereta bernilai RM103 juta sehingga September 2011.

Kenderaan tersebut dikesan menggunakan sistem penentu kedudukan global (GPS) dan alat kawalan keselamatan.

"Kami menyelesaikan enam sindiket utama dan menemui kira-kira 100 kenderaan termasuk model Toyota Hilux, Toyota Fortuner, Toyota Alphard dan Honda City menggunakan peralatan tersebut," katanya.

- MSTAR

28 Januari 2012

Jawatan Kosong di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) - Feb 2012

by
JAWATAN:
- Pegawai Peperiksaan DG1-1

A. SYARAT LANTIKAN:
http://www.scribd.com/doc/79873569/Iklan-Jawatan-Pegawai-Peperiksaan-Majlis-Peperiksaan-Malaysia-2012
ATAU
http://www.mpm.edu.my/documents/10156/01427708-e8b3-4423-95f3-afbd708bd185

(i) Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(Gaji permulaan ialah pada Gred DG1-1:T1); atau

(ii) Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(Gaji permulaan ialah pada Gred DG1-1:T2); atau

(iii) Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
(Gaji permulaan ialah pada Gred DG1-1:T2); atau

2. Pengkhususan yang diperlukan adalah dalam bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Ekonomi atau Pengajian Perniagaan.

3. Calon hendaklah memiliki Kepujian dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

B. CARA MEMOHON:

(i) Borang Permohonan MPM 1 :
http://www.scribd.com/doc/79874854/Borang-an-Jawatan-MPM
ATAU
http://www.mpm.edu.my/documents/10156/195695dd-2153-4a74-bd44-e72161557a4e

(ii) Semua permohonan hendaklah disertakan dengan sekeping gambar ukuran pasport, salinan sijil persekolahan, dan lain-lain sijil berkaitan serta salinan kad pengenalan.

(iii) Pegawai yang sedang berkhidmat dengan Kerajaan/Badan Berkanun/Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah mengemukakan permohonan melalui Ketua Jabatan masing-masing berserta dengan salinan Kenyataan Perkhidmatan dan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan yang terkini.

(iv) Nama jawatan yang dipohon hendaklah ditulis pada sudut atas sebelah kiri sampul surat.

(v) Borang permohonan yang telah lengkap hendaklah di hantar kepada:

Ketua Eksekutif
Majlis Peperiksaan Malaysia
Bangunan MPM, Persiaran 1
Bandar Baru Selayang
68100 Batu Caves
Selangor Darul Ehsan
(u.p: Bahagian Pengurusan Personel dan Pentadbiran)

C. CATATAN AM:

(i) Hanya pemohon yang layak selepas tapisan sahaja akan dipanggil untuk sesi temu duga.

(ii) Permohonan yang tidak menerima sebarang jawapan selepas enam (6) bulan dari tarikh iklan ditutup hendaklah menganggap permohonan mereka tidak berjaya. Tiada makluman secara bersurat akan dikeluarkan oleh pihak Majlis Peperiksaan Malaysia bagi permohonan yang tidak berjaya.

(iii) Sebarang permohonan yang lewat, tidak lengkap, dan tidak mematuhi syarat akan ditolak dan dianggap tidak berjaya.

TARIKH TUTUP PERMOHONAN: 3 FEBRUARI 2012

Jawatan Kosong di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - Jan 2012

by
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempelawa permohonan daripada WARGANEGARA MALAYSIA yang berkelayakan untuk memohon secara atas talian (on-line) bagi jawatan Pekerja Sambilan Harian (PSH) Ijazah Sarjana Muda dan STPM/Diploma. Tarikh tutup permohonan adalah pada 01 Februari 2012 (Rabu).

Syarat lantikan jawatan PSH Ijazah - kilik sini
Syarat lantikan jawatan PSH STPM/Diploma - klik sini
Sila klik di sini untuk memohon

Senarai nama calon yang berjaya untuk menghadiri sesi temuduga akan dipaparkan di laman web PTPTN mulai 8 Februari 2012 atau calon akan dihubungi melalui email/telefon.

http://www.ptptn.gov.my/web/guest/anjung/jawatan-kosong

Elaun Bertugas Rela Naik RM2.00 Sejam

by
Kerajaan bersetuju menaikkan elaun bertugas sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) sebanyak RM2.00 sejam buat anggota berpangkat pegawai dan lain-lain pangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa mementingkan kebajikan rakyat, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan semua pihak.

"Saya dah bincang dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri DalamNegeri), dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Mahmood Adam), dan permohonan Rela (untuk naikkan elaun) itu bolehlah diluluskan segera," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di perhimpunan Perdana Rela bersama Perdana Menteri di Dewan Maeps, Serdang, yang dihadiri kira-kira 30,000 anggota Rela dari seluruh negara.

Difahamkan elaun bertugas bagi pegawai dan lain-lain pangkat Rela masing-masing ketika ini ialah RM5.80 dan RM4, dan kadar elaun yang baru diumumkan itu akan mula berkuat kuasa tidak lama lagi.

- BERNAMA

Fahrin Dedah Rahsia Elak Wanita Diperdaya Lelaki

by

Pelakon Fahrin Ahmad ingin “membocorkan” rahsia mengenai lelaki untuk menyelamatkan para wanita agar tidak diperdaya oleh golongan itu.

Fahrin berkata, dia terdorong untuk melakukan perkara tersebut kerana mendapati sejak kebelakangan ini ramai wanita yang sering teraniaya dek kata-kata manis lelaki selain melihat gejala sosial yang semakin merebak.

“Saya merasakan perlu untuk berkongsi rahsia bagaimana seseorang lelaki itu menggunakan kata-kata manisnya untuk memperdayakan wanita. Dengan cara itu golongan berkenaan dapat mengelak daripada termasuk dalam perangkap lelaki yang ingin mengambil kesempatan kepada mereka,” katanya kepada mStar Online.

Jelas Fahrin, maklumat itu akan dikongsi dengan orang ramai menerusi kursus motivasi yang akan dianjurkan bersama rakannya.

Dalam kursus itu nanti selain Fahrin, beberapa pakar motivasi akan di undang untuk mengajar selok-belok 'permainan' lelaki yang cuba memikat dan merosakkan kehidupan seseorang wanita.

"Selepas membuat kajian mengenai pengisian dalam sesebuah kursus motivasi, didapati wanita kurang didedahkan mengenai taktik lelaki yang mempunyai niat jahat terutamanya yang mahu cuba memikat.

"Justeru itu, saya dan rakan kongsi menghasilkan modul berkenaan dan ternyata ia menerima respons positif selepas menganjurkan kursus di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Disember tahun lalu," katanya yang masih merancang untuk mengendalikan aktiviti itu pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui bahawa dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang motivasi, sebagai ganti cita-citanya yang mahu menjadi seorang guru sejak kecil lagi.

"Selain berlakon dan mengacara, saya mahu memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

"Dan pada tahun lalu, saya memulakan langkah demi langkah dengan mengambil ilmu daripada beberapa pakar motivasi yang antaranya seperti Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Dr. Tengku Ismadi.

"Kebetulan pula, saya juga mengacarakan program realiti terbitan Astro Ria berjudul Misi 12, di mana ia sebuah program yang mahu membimbing dan menyelamatkan golongan remaja bermasalah ," ujarnya.

Misi 12 akan disiarkan pada setiap Selasa, pukul 9 malam bermula 7 Februari menerusi saluran Astro Ria (104).

- MSTAR

Pekan sari buku setiap minggu

by
Ibu kota akan semakin rancak dengan kegiatan keilmuan dalam masa terdekat apabila pekan sari buku berlangsung pada setiap hujung minggu sama ada di Dataran Merdeka atau Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku (PKB), Tan Sri Dr Asiah Abu Samah, berkata pekan sari buku itu dibuka kepada penerbit dan penjual buku serta orang perseorangan yang ingin menjual buku baru atau lama.

“Pemilihan Dataran Merdeka berasaskan faktor kemudahan pengangkutan, selain berhampiran Perpustakaan Kuala Lumpur dan tapak Kota Buku di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Batu di Jalan Raja Laut,” katanya selepas Sesi Sumbang Saran Penggiat Industri Perbukuan Negara dan Perbadanan Kota Buku Bersama Penggerak Industri di Kuala Lumpur.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarahnya, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan; Pengurus Kanan PKB, Razin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Beliau berkata, cadangan pekan sari buku dikemukakan pada sesi sumbang saran bersama pemain industri perbukuan negara dan akan dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 9 Februari depan.

“ PKB juga mengenal pasti dua bidang keutamaan iaitu buku elektronik (e-buku) dan sastera kanak-kanak termasuk ilustrasi. PKB berharap Kota Buku menjadi pusat setempat yang menghimpunkan semua penggiat industri buku daripada penerbit, pengedar, penulis dan pembaca,” katanya.

- BERITA HARIAN

Keputusan SPM Tahun 2011 Dijangka Diumumkan pada 22 Mac 2012

by
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangka akan diumumkan pada 22 Mac 2012 ini.

"Tarikh berkenaan ada dalam kalendar pengurusan kementerian, namun Majlis Peperiksaan Malaysia akan putuskan tarikh rasminya nanti," kata pegawai Kementerian Pelajaran.

Sejumlah 468,808 calon menduduki peperiksaan SPM di 3,533 pusat seluruh negara antara 14 November hingga 14 Disember tahun lalu.

Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud sebelum ini berkata keputusan peperiksaan SPM 2010 merupakan yang terbaik dalam tempoh empat tahun.

Jangkaan itu dibuat berdasarkan sistem penggredan di mana 363 calon daripada sekolah kerajaan dan 40 lagi pelajar daripada sekolah swasta dan calon swasta mendapat A+ bagi kesemua subjek berbanding hanya 214 calon pada 2009.

- MSTAR

Pembayaran Gaji SBPA ditangguhkan sehingga diberitahu kelak selepas kajian SBPA selesai

by
Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh kajian opsyen SBPA. Kerajaan mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

Sebelum ini wujud dakwaan kononnya kakitangan kumpulan pengurusan tinggi dan kanan menerima kenaikan gaji sangat tinggi, sehingga mencecah 50 peratus.

SBPA memperkenalkan sistem gaji satu lapis berbanding tiga lapis di bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menurut sumber itu, kerajaan mahu kajian semula dijalankan ke atas keseluruhan komponen SBPA bagi memastikan tujuan pelaksanaan sistem gaji baru itu mencapai matlamat.

Mengenai tempoh penangguhan, sumber memberitahu, "ia kemungkinan besar akan mengambil masa beberapa bulan, supaya segala rasa tidak puas hati selesai dan diatasi secara menyeluruh."

Pada 18 Disember lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membuat pendirian tegas dengan meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA dan mengadakan perundingan dengan badan induk kesatuan awam itu.

Badan induk itu mendakwa pihaknya “amat kesal” kerana kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak mengadakan langsung perundingan dengan Cuepacs sebelum menggubal dan melaksanakan SBPA.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan seharusnya memastikan setiap anggota perkhidmatan awam, yang saiznya 1.4 juta orang, menerima maklumat yang tepat dan mendalam sebelum menerima opsyen pelaksanaan SBPA.

Omar berkata, perkara itu akan dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pertemuan itu telah diadakan akhir bulan Disember 2011.

Beberapa parti politik juga menggesa kerajaan menangguhkan SBPA atas alasan mengabaikan kepentingan kakitangan kumpulan rendah, yang merupakan dua pertiga saiz kakitangan awam.

Datuk Ismail Kamus tumpu kepada Perubatan Islam

by

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan menubuhkan syarikat perkhidmatan umrah dan haji, Datuk Ismail Kamus menumpukan sepenuh masa kepada rawatan Islam.

Beliau memberi perkhidmatan itu di Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia atau Darussalam yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Menurutnya, beliau mempelajari perubatan Islam daripada Prof. Datuk Dr. Haron Din sekitar tahun 1979 dan mula mengubat pada tahun 1986.

Katanya, pelbagai pengalaman dalam mengubat orang, sampai koyak baju pun ada.

"Penyakitnya pun banyak. Antaranya sihir, gangguan dan penyakit zahir, kedai-kedai yang disihir.

"Syarikat yang diganggu oleh makhluk halus dan ada juga kerja-kerja memasang cerucuk yang tidak boleh dilakukan kerana gangguan jin dan sebagainya," kata beliau.

Ismail berkata, ada juga sihir yang bertujuan memporak-perandakan rumah tangga sehingga suami isteri berpisah.

Katanya, Darussalam hanya menawarkan rawatan dan yang menyembuhkan adalah Allah.

Pengubatan Islam adalah suatu kaedah yang berasaskan wahyu Ilahi yang diturunkan melalui al-Quran dan sunnah.

Ia juga bertemakan amalan as- Salafussoleh, Ahlu Zikr dan pengalaman ahli pengubatan Islam yang muktabar.

"Sekarang sudah ramai anak murid yang boleh membantu. Saya hanya mengubat pada hari Selasa sahaja," ujarnya.

Menurut Ismail, mereka yang berminat mempelajari kaedah rawatan Islam perlu bersungguh-sungguh dan beramal dengan al-Quran dan zikir.

"Tetapi jangan pula berniat baca al-Quran dan berzikir supaya jin takut tetapi lakukan ibadat itu kerana Allah," jelasnya.

Menyedari betapa pentingnya kesinambungan ilmu perubatan Islam yang diamalkan selama ini, maka dihimpunkan semua golongan ilmu agama dan individu yang berminat menyertai kursus perubatan yang pertama kali diadakan oleh beliau pada Januari 2003.

Ia dihadiri 35 peserta bertempat di Taman Sri Gombak, Selangor. Kuliah kursus disampaikan sepenuhnya oleh Ismail.

Hasil kursus yang pertama itu lahirlah generasi pertama perawat Darusslam. Pada peringkat awal, seramai 13 perawat yang berjaya menerima Ijazah Perubatan Darussalam selepas menjalani latihan praktikal perubatan bersama Ismail pada 17 Julai 2003.

Kursus Darussalam kali kedua diadakan pada 27 dan 28 Februari 2005 di Taman Melawati, Selangor yang dihadiri oleh 83 peserta.

Daripada jumlah itu, 63 peserta berjaya memperolehi Ijazah Perubatan Darussalam.

Ismail berkata, kaedah pengubatan Islam adalah satu cabang usaha pesakit dalam mencari kesembuhan penyakit yang dialami.

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami turunkan daripada al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang zalim selain kerugian. (al-Israk: 82)

Walaubagaimanapun, ia bukanlah bertujuan mengambil alih peranan rawatan moden. Malah ia juga bukan untuk rawatan penyakit yang berpunca daripada makhluk halus semata-mata.

Pengubatan Islam tidak boleh dicampur-aduk antara yang halal dan haram. Ia juga menolak secara keseluruhan kaedah yang berunsur syirik.

"Tambahan pula ia merupakan satu ibadah bagi setiap Mukmin yang mencari keredaan Allah SWT.

"Setiap Mukmin disuruh untuk berusaha mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihidapi. Penyakit juga suatu penghapus dosa dan mati di dalamnya membawa hati yang sejahtera di sisi Allah SWT," katanya.

Ismail juga menunjukkan himpunan pelbagai keris, tangkal dan barang dalam rawatan perbomohan yang berunsur syirik.

"Barang-barang ini diserahkan untuk tujuan 'dibuang' oleh sebahagian besar pesakit yang mendapat rawatan di Darussalam," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau juga mengesyorkan umat Islam mengamalkan beberapa ayat dalam al-Quran sebagai pendinding daripada perbuatan syirik.

Katanya, sebelum tidur, amalkan membaca bismillah (21 kali), membaca tiga Qul (surah al-ikhlas, al-falaq dan an-nas) kemudian tiupkan pada tangan sehingga habis nafas dan sapukan pada seluruh badan (tiga kali).

"Disusuli dengan membaca ayat kursi, ayat 21 hingga 24 surah al-Hasyr dan empat ayat terakhir surah al-Mukminun," katanya.

- UTUSAN

Menjimatkan tenaga di dapur

by
PENING memikirkan bil elektrik atau gas yang melambung setiap bulan? Berikut beberapa tip mudah yang dapat menjimatkan tenaga ketika memasak di dapur.

1. Tutup periuk atau kuali ketika masak untuk mengelak kehilangan haba.

2. Pastikan kuali atau periuk yang digunakan cukup meliputi lingkaran tungku dapur. Jika anda masih nampak lingkaran tersebut terlebih daripada periuk atau kuali bermakna anda membazirkan tenaga dan memerlukan kuali yang lebih besar.

3. Cuba guna satu periuk saja. Stew, sup dan masakan lain hanya memerlukan satu tungku untuk memasak dan ia masih tetap enak dan memuaskan hati.

4. Sejurus sebelum masakan anda masak sepenuhnya, tutup suis api dan biarkan kepanasan pada kuali atau periuk meneruskan proses memasak.

5. Semakin kurang menggunakan cecair atau lemak untuk memasak semakin cepat tempoh memasak.

6. Cuba masak lebih daripada yang anda rancangkan dan bekukan dalam ruang penyejuk beku sebagai 'makanan segera' buatan anda sendiri.

7. Makanan berlebihan mengambil kurang tenaga untuk dipanaskan semula di dapur berbanding di dalam ketuhar.

8. Bagi yang gemar makan pasta, masak lebih kemudian tapis dan masukan minyak zaitun sebelum disimpan dalam peti sejuk. Jadi anda tidak perlulah merebus air semula.

9. Jika anda ada periuk tekanan itu sangat baik kerana ia sangat menjimatkan tenaga.

- UTUSAN

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1M) dilancarkan mulai 30 Januari 2012

by
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Penyertaan bagi Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) hanya boleh dibuat melalui pinjaman yang disediakan oleh kerajaan melalui empat institusi perbankan yang dilantik.

Bank-bank itu ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pengerusi Malaysia Development Holdings Sdn. Bhd. (MDH), Datuk Dr. Irwan Serigar Abdullah berkata, setiap individu perlu meminjam sebanyak RM5,000 seorang bagi setiap isi rumah tanpa dikenakan kadar faedah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan berkata, MDH yang berperanan sebagai syarikat khas bagi pelaksanaan skim itu memperuntukkan sebanyak RM100 juta sebagai subsidi membayar kadar faedah pinjaman pelabur yang layak.

Permohonan bagi penyertaan skim itu boleh dibuat mulai Isnin ini, di bank-bank terlibat dengan membawa kad pengenalan pemohon (dua salinan), kad pengenalan pasangan serta dokumen pengesahan gaji tiga bulan pemohon dan pasangan.

''Memandangkan skim ini terhad kepada 100,000 isi rumah yang berkelayakan, penyertaan dibuat berdasarkan siapa cepat, dia dapat, walaupun permohonan dibuka selama setahun.

''Namun, ia masih bergantung kepada syarat-syarat bank, pihak yang meluluskan permohonan setiap pemohon,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian tawaran pinjaman bank Sara 1Malaysia di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu diwakili oleh Timbalan Presiden Maybank, Lim Hong Tat, Pengarah Eksekutif CIMB Bank, Datuk Suleiman Mohd. Tahir, Pemangku Pengarah Runcit RHB, Au Yong See Wong dan Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Yunos Abd. Ghani.

Irwan berkata, setiap permohonan dijangka mengambil masa seminggu untuk diproses dan sebarang keputusan akan diberitahu oleh pihak bank.

Beliau menambah, sejak Sara 1Malaysia dilancarkan pada 12 Januari lalu, reaksi dan maklum balas yang diterima cukup hangat.

Permohonan terbuka kepada semua warga Malaysia berumur 18 tahun hingga 58 tahun dan memiliki pendapatan kasar kurang RM3,000 sebulan dan tidak muflis.

Tambahnya, pendekatan itu adalah selaras dengan tujuan skim tersebut untuk merangsang golongan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk melabur dan pada masa sama membantu mengurangkan beban.

Para peserta Sara 1Malaysia yang layak akan mendapat insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan RM5,000 yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Menurut beliau, agihan permohonan penyertaan skim itu melalui bank-bank berkenaan dibuat di seluruh negara secara sama rata.

''Kami akan menggunakan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam pelaksanaan agihan skim ini,'' ujarnya.

Ditanya adakah MDH bercadang untuk menambah penyertaan pelaburan skim itu jika sambutan baik, beliau berkata: "Setakat hari ini, kami tidak ada rancangan untuk menambahnya. Kita tunggu dan lihat dulu," katanya.

- UTUSAN

Surat pengikat cinta Kamarudin dan Noridah

by

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

BELIAU memang digeruni kerana perwatakannya yang serius dan tegas ketika bertugas tetapi secara tidak langsung membuatkan dirinya dihormati. Bak kata pepatah 'tak kenal maka tak cinta'. Di sebalik perwatakan serius itu, terselit sisi penyayang dan mesra. Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini bukan sahaja seorang ayah penyayang tetapi juga seorang datuk yang mengasihi cucunya.

Ternyata empunya diri Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin ada sebab untuk menyembunyikan ekspresi penyayangnya dalam melaksanakan tugasan seharian.

Ujarnya, menjadi peneraju sebuah IPTA tidaklah sama dengan menjadi nakhoda dalam melayari bahtera rumah tangga.

"Saya harus bijak untuk memainkan watak agar menjadi seorang pemimpin yang disegani tetapi dalam masa sama cuba untuk tidak menjadi pemimpin yang digeruni apabila berdepan dengan staf mahupun pelajar atas kapasiti Naib Canselor.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kediaman rasmi saya, segalanya dilontarkan ke tepi dan saya akan berusaha menjadi seorang suami, ayah dan datuk yang penyayang untuk ahli keluarga," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sena, Kangar, Perlis, baru-baru ini.

Memiliki empat cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Datin Noridah Yangman, kini kehidupan pasangan tersebut bertambah meriah dengan kehadiran cucu mereka, Myiesha.

Membuka lembaran cinta dan perjalanan hidup mereka berdua, Dr. Kamarudin nyata agak kekok untuk menceritakan saat manis yang dilaluinya bersama Noridah.

Siapa yang dapat menduga melalui pertemuan kali pertama bersama Noridah ketika mengendalikan kelas tambahan pelajar tingkatan empat di Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.

Begitupun, Dr. Kamarudin memberitahu, untuk berkenalan rapat dengan Noridah bukanlah satu perkara yang mudah. Beliau bukanlah calang-calang wanita yang mudah didampingi, apatah lagi beliau menjunjung tinggi adat dan berpegang teguh kepada ajaran Islam yang diterapkan oleh keluarga.

Oleh kerana hati telah terbuai dengan perasaan suka dan ingin mengenali lebih rapat gadis yang boleh dikategorikan pemalu ini, maka Dr. Kamarudin mencuba pelbagai cara untuk mengenali puteri bongsu yang juga anak emas keluarga dengan lebih lanjut. Langkah pertama yang dilakukan adalah dengan meminjamkan buku pelajaran kepada beliau.

Sebagai bekas pelajar sekolah yang sama dan dengan status seorang senior yang sedang menunggu keputusan peperiksaan, nyata usaha dan kaedah itu berjaya. Tanpa disangka, bermula daripada peristiwa itulah hubungan mereka terus terjalin dan berkembang mekar.

"Boleh dikatakan saya jatuh cinta pandang pertama apabila kali pertama terpandang datin yang begitu cantik dengan memiliki kulit yang putih melepak. Tambah pula dengan imejnya yang sopan dan pemalu.

"Sememangnya waktu itu, saya dah jatuh hati tapi pada dia (Noridah), dia tak ada apa-apa. Ya lah, dia orang cantik kalau nak bandingkan dengan saya yang gelap ini. Tapi saya tetap mencuba juga untuk meneruskan hubungan itu atas dasar abang angkat dan adik angkat,"katanya.

Perhubungan abang dan adik angkat ini berterusan sehinggalah beliau diterima melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Meneruskan hubungan pada zaman itu bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa facebook, tanpa telefon, tanpa Internet, justeru perhubungan yang dilalui hanya menggunakan surat.

Dan perhubungan suci mereka diuji lagi apabila, Noridah diterima melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan perlu mengikuti pengajian tahun pertamanya di Sabah.

Memandangkan jarak yang semakin jauh, dan masing-masing inginkan perhubungan berakhir dengan ikatan yang sah, maka kedua-duanya mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

Tanggal 4 Jun 1978, setelah usia pertunangan mencecah tiga tahun, pasangan bahagia ini terus mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Agak sukar sebenarnya apabila mempunyai tunang dan bertambah sukar apabila kami jarang dapat bertemu bagi mengelakkan fitnah dunia. Sehinggakan kami terpaksa membawa peneman setiap kali bertemu. Atas sebab itu akhirnya kami sepakat mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga sewaktu saya di tahun akhir pengajian di USM. Bagaimanapun, perkahwinan ini hanya mengambil kira hal-hal wajib sahaja atau dalam erti kata lain nikah gantung.

"Dua tahun selepas itu barulah kami diraikan dalam majlis perkahwinan yang meriah," katanya lagi.

Ujarnya, sikap hormat menghormati, saling percaya mempercayai antara satu sama lain, saling faham memahami serta setia merupakan antara rahsia kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

"Kami telah melalui fasa perhubungan yang agak sukar di awal perkenalan. Sukar bukan disebabkan tentangan keluarga, tetapi masalah jarak dan medium perhubungan.

"Alhamdulillah, semuanya berjaya diatasi. Sebab itu tiada alasan perhubungan di zaman teknologi yang semakin berkembang ini dapat menjadi penghalang kepada hubungan luhur kami ini," ujar Dr. Kamarudin lagi.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, Noridah memberitahu, sewaktu diajukan pertanyaan untuk berkahwin, beliau tidak terus menerima lamaran Dr. Kamarudin, malah melakukan sembahyang istikharah terlebih dahulu untuk mendapatkan petunjuk.

"Alhamdulillah, saya peroleh ketenangan dan jawapan dalam perhubungan ini. Atas sebab itu, saya tidak teragak-agak menerima lamaran Dr. Kamarudin," ujarnya sambil menjeling manja suami.

Ditanya soalan, tidakkah sukar untuk menjadi isteri kepada orang nombor satu UniMAP ini, Noridah menjelaskan, perhubungan yang terjalin antara mereka turut diuji dengan pelbagai dugaan, namun tidaklah sampai bergaduh besar.

"Nak dikatakan bergaduh besar itu... tak adalah tapi setakat merajuk itu adalah.

"Dalam setiap perkahwinan, selain hormat menghormati antara satu sama lain, sokongan pada pasangan masing-masing juga perlu. Insya-Allah, itu yang saya amalkan selama ini. Saya amat memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya sebagai Naib Canselor UniMAP," katanya lagi.

Sebagai pasangan yang sibuk dengan kerjaya masing-masing, mereka bagaimanapun tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Setiap tahun, pasti ada percutian keluarga yang dirancang.

Menurut Dr. Kamarudin sendiri, beliau berbangga mendapat isteri seperti Noridah yang amat mengutamakan pelajaran anak-anak.

Ini dapat dibuktikan apabila keempat-empat anak pasangan ini berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Lebih membanggakan apabila ada anak-anak mengikut jejak langkah Dr. Kamarudin menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah Doktor Falsafah.

Mengakhiri pertemuan, Dr. Kamarudin berkata, perkahwinan merupakan satu ikatan yang manis. Suami dan isteri sewajarnya memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dan dalam masa yang sama berusaha melengkapkan pasangan.

- UTUSAN

Banyak yang pertama di Taiping, Perak

by

Oleh BASIR ABU BAKAR

SEJURUS memasuki sempadan Kuala Kangsar - Changkat Jering melalui Lebuh Raya Utara-Selatan Plus, suasana sekeliling mula bertukar mendung dan dingin.

Pemanduan dari Kuala Lumpur sejauh 270 kilometer itu mengambil masa kira-kira 3 jam 5 minit ternyata memenatkan.

Namun, semua itu terus dilupakan sejurus memasuki tol Changkat Jering, Taiping yang menjadi susur keluar tol selatan melalui lebuh raya dari Kuala Lumpur.

Wartawan Horizon teruja untuk meneruskan perjalanan kembara bagi mengetahui lokasi menarik yang terdapat di Taiping.

Suasana aman dan damai yang segera menyapa setiap tetamunya, ternyata sesuai bagi mereka yang ingin lari sebentar daripada kesibukan hidup di kota.

Sesuai dengan nama Taiping yang bermaksud aman selamanya dalam bahasa Hakka.

Taiping terletak di atas permukaan muka bumi yang tinggi terutamanya di bahagian Bukit Larut.

Ia merupakan lokasi paling kerap menerima taburan hujan di negara ini iaitu sekitar 4,000 mm setahun. Lantaran itu juga keadaan muka buminya sentiasa lembap terutama di Taman Tasik Taiping. Namun begitu, keadaan tersebut tidak menyebabkan Taiping dilanda banjir kecuali kawasan paya bakau di sebelah barat.

Sesuatu yang paling menarik mengenai Bandar Warisan itu ialah landskapnya yang masih mengekalkan ciri-ciri peninggalan sejarah. Bangunannya bercirikan seni bina kolonial seperti utilitarian, neo-classical, palladian dan minnan.

Mengikut sejarah, Taiping dulunya dikenali sebagai Klian Pauh. Bandar itu menjadi tumpuan setelah penemuan bijih timah oleh Long Jaafar.

Kemakmuran dan kekayaan menerusi lombong bijih timah menyebabkan British telah membangunkan Taiping menjadi sebuah bandar pentadbiran yang serba lengkap. Namun pada 1937, kedudukannya sebagai ibu negeri telah berpindah ke Ipoh.

Rekod tertua Taiping

Hakikatnya, keistimewaan Taiping sebagai bandar warisan tidak boleh dipertikaikan lagi apabila Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyenaraikan rekod 31 perkara yang terdapat di sana merupakan yang tertua di Malaysia.

Daripada muzium, tasik zoo, landasan kereta api sehinggalah pejabat pos dan telegraf pertama di Malaysia.

Di sinilah bermulanya landasan kereta api tertua iaitu menghubungkan Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang).

Begitu juga dengan muzium tertua yang dibina ketika zaman penjajahan British, zoo tertua (Zoo Taiping), pusat pemetaan atau pejabat topografi pertama negara dan sebagainya.

Oleh kerana itu, Taiping antara lokasi tarikan di Perak sebagai destinasi pelancongan.

Ketua Bahagian Pelancongan, Pendidikan dan Seranta MPT, Hanim Ramly, memberitahu, Zoo Taiping dan Safari Malam merupakan tarikan utama pelancong dari luar dan dalam negara bertandang ke Taiping.

“Pengunjung yang singgah ke Taiping pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melawat Zoo Taiping dan Safari Malam yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah,” ujarnya.

Tambahnya, pengunjung yang mengunjungi zoo itu berpeluang mempelajari dan menyaksikan kira-kira 1,300 ekor haiwan daripada lebih 200 spesies burung, reptilia dan mamalia yang dipamerkan dalam suasana semula jadi dan kurungan terbuka.

“Di sini pengunjung diberi kebebasan untuk mengambil gambar dan melihat haiwan-haiwan yang jarang kita temui dengan lebih dekat dalam habitat semula jadi mereka.

“Selain itu, pihak zoo turut menyediakan pakej pendidikan dengan harga murah untuk murid sekolah dan mahasiswa yang datang secara berkumpulan melawat zoo ini,” katanya.

Zoo terbuka

Sementara itu tambah Hanim lagi, bagi kumpulan pelancong dewasa mereka diberi pilihan mengupah seorang renjer zoo sebagai pemandu pelancong untuk memberi penerangan lengkap mengenai haiwan yang ada di zoo.

Lokasinya yang terletak di kawasan Taman Tasik Taiping dan berhampiran kaki Bukit Larut, memberi ruang kepada para pengunjung untuk ’bermesra’ dengan alam.

“Kawasan seluas 13.7 hektar daripada 40.5 hektar kawasan tasik telah dipilih pihak MPT untuk dijadikan zoo yang satu-satunya terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia.

“Zoo Taiping telah memulakan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan dengan menggunakan konsep terbuka. Ia diperkenalkan dengan mengambil kira habitat asal haiwan tersebut,” katanya.

Tasik terindah

Pemandu pelancong bagi syarikat R2 Travel and Tours, Anis Sabhee berkata, lokasi yang paling menarik dan hampir dilupakan ialah kewujudan landasan kereta api pertama Malaysia antara Taiping dan Pelabuhan Kuala Sepetang (dulu Port Weld) yang dibina pada tahun 1885.

Ketika itu katanya, kerajaan British telah membina landasan tersebut untuk memudahkan mereka mengangkut bijih timah ke Pulau Pinang dari Taiping.

“Pengunjung dapat menyaksikan beberapa monumen binaan landasan dan batu tanda serta bangunan usang sebagai bukti kewujudan infrastruktur yang dibangunkan British di sini.

“Kesemua ini dapat disaksikan di celah-celah bangunan dan kawasan penempatan penduduk di Port Weld atau jeti Kuala Sepetang,” katanya.

Kunjungan ke Taiping tidak sah jika anda tidak ke Taman Tasik Taiping yang dibuka pada tahun 1880. Merupakan tasik bekas lombong ia dicatatkan sebagai taman riadah dan rekreasi pertama dibuka di negara ini.

- KOSMO!

Contohi penekanan sains sekolah Cina

by

Oleh NURUL ANUAR KARI

PERATUSAN pelajar mengambil jurusan Sains dikatakan turun mendadak sejak 2007 dan kini dianggap amat kritikal di samping memperlahankan sasaran untuk Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020.

Pelan hala tuju tersebut menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil aliran sains sementara selebihnya aliran sastera.

Namun, di setiap peringkat pilihan sama ada peperiksaan utama di sekolah, matrikulasi mahupun di universiti, rata-rata pelajar lebih cenderung memilih subjek yang 'lebih mudah' berbanding aliran sains.

Ditambah pula dengan klasifikasi pelajar aliran sains yang 'sama rata' dengan pelajar bidang lain, tidak menggambarkan mereka mengikuti subjek kritikal sedangkan mata pelajarannya jauh lebih sukar dan hanya boleh diikuti pelajar tertentu.

Akhirnya, pelajar yang mengambil 'subjek mudah' mencatatkan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi, menerima pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan.

Tidak cukup di situ, persimpangan selepas meninggalkan universiti juga kehilangan sebilangan graduan sains kepada kerjaya bidang lain akibat beberapa faktor termasuk kerja yang bahaya, waktu kerja, gaji dan birokrasi.

Hakikatnya, aliran sains bukan sahaja kelihatan lebih sukar, tidak menarik dan sudah hilang keistimewaan berbanding aliran lain, malahan kebanyakan kerjaya sains sedia ada tidak menawarkan kelebihan yang sepadan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Bermula dari dalam rumah, di sekolah, universiti dan akhirnya kerjaya sains, masyarakat negara ini secara umumnya tidak meletakkan aliran sains sebagai satu bidang menarik, mungkin kerana gambaran serong bahawa kerjaya lain seperti kewangan, perniagaan mahupun sebagai artis hiburan lebih berbaloi untuk anak-anak mereka.

Tanpa penerapan jiwa sains, motivasi serta galakan terhadap minat anak-anak kecil terhadap kepelbagaian ilmu sains, mereka juga akan membesar dengan perspektif bahawa kerjaya sains tidak berbaloi dengan kesukaran bertahun-tahun mempelajarinya.

Pihak berwajib kini bukan sahaja berhadapan dengan masalah minat murid untuk belajar dalam bidang sains malahan pilihan untuk menceburi kerjaya sains yang kritikal untuk negara.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom tidak dapat menjelaskan kenapa kemerosotan itu berlaku tetapi berharap satu kajian mendalam dapat dijalankan segera bagi mengenal pasti puncanya.

Namun, beliau menekankan langkah mengatasinya perlu digerakkan segera bagi memastikan aliran sains menjadi pilihan utama murid dalam jangka panjang.

"Penyelesaian masalah ini banyak bergantung kepada guru dan ibu bapa yang perlu memberi penekanan subjek sains menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak.

"Kaunselor sekolah juga perlu menunjukkan jalan ke arah peluang yang terbuka di universiti dalam pelbagai bidang sains di samping biasiswa dan bantuan yang khusus untuk subjek kritikal," katanya.

Jelas beliau, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang memenuhi syarat untuk kursus yang ditawarkan, maka semuanya bermula di sekolah dalam menekankan aliran sains jika murid mahukan masa depan dalam kursus berkaitan.

"Ada juga yang kata pelajar aliran lain juga boleh ambil kursus sains di universiti tetapi bilangannya kecil. Adalah lebih mudah jika murid aliran sains yang ditawarkan peluang itu.

"Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlu mainkan peranan dalam mendorong anak-anak memilih aliran sains seterusnya ke arah kerjaya kritikal dan profesional yang lebih diperlukan pasaran kelak," ujarnya.

Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat punca masalah tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut dan daripada peringkat permulaan lagi.

Menurut beliau, menjadi sifat manusia untuk memilih yang lebih mudah dan itu juga sering dilakukan murid serta pelajar dalam memilih aliran pelajaran di sekolah mahupun kursus di universiti.

"Murid Melayu terutamanya takut untuk mengambil aliran sains yang dilihat lebih susah menjelang peperiksaan utama di sekolah.

"Di peringkat matrikulasi juga begitu, mereka takut untuk meneruskan ke bidang sains sebaliknya bertukar ke bidang lain walaupun telah mengambil subjek sains ketika matrikulasi," katanya.

Tambahnya, keputusan peperiksaan ketika matrikulasi juga menjadi halangan kerana CGPA yang diperolehi menghalang atau menyukarkan pelajar meneruskan pendidikan sains kritikal dan terpaksa memilih bidang kurang kompetitif.

Menurutnya, rasa takut dan keputusan peperiksaan menjadi antara punca utama kurangnya pelajar Melayu di universiti-universiti yang menawarkan subjek kritikal dan profesional.

Namun, beliau merasakan guru yang menjadi faktor paling penting dalam menentukan arah tuju murid-murid mengambil aliran sains ke arah subjek kritikal di universiti kelak.

"Para guru menjadi tiang utama dalam membimbing, menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil aliran sains.

"Peranan guru cukup penting sebagai satu ibadah, tugas suci dalam melatih murid-murid mereka menjadi manusia yang berjaya dan berguna," tegasnya.

Tambahnya, walaupun ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam menggalakkan anak-anak ke arah sains, tetapi hakikatnya murid lebih mendengar kata-kata guru di sekolah.

"Tambahan pula, ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan kerja kini telah melepaskan sepenuhnya anak kepada sekolah terutamanya jika sekolah berasrama penuh.

"Maka murid lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan dengan itu lebih mendengar cakap guru mereka," jelasnya.

Malangnya, mengikut pengamatan beliau sejak bersara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), guru-guru di sekolah kebangsaan dilihat tidak begitu komited dalam membangunkan modal insan murid terutamanya anak-anak Melayu.

"Sedih saya katakan, kita tidak begitu komited berbanding guru di sekolah Cina yang pentingkan kualiti, disiplin dan kekitaan di kalangan murid mereka.

"Kebanyakan sekolah Cina tidak membuang masa hujung minggu sebaliknya mengadakan aktiviti sukan, tuisyen dan macam-macam lagi bersama murid-murid," ujarnya.

Jelasnya, guru besar dan guru-guru sekolah Cina begitu komited dan ikhlas kerana sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu bersama murid sekolah tanpa meminta apa-apa pampasan.

Ibrahim juga sedih membandingkan cara pendidikan bangsa lain dengan orang Melayu dalam menanam semangat rajin belajar dan bekerja keras untuk berjaya kelak.

"Lihat saja murid Melayu di hujung minggu, bebas nak buat apa pun. Masa di sekolah pula banyak dibazirkan guru dengan perkara lain seperti bercakap isu politik di dalam kelas.

"Sedih, kenapa tak sayang kepada bangsa dan agama kita seperti mana guru Cina dalam mendidik anak-anak bangsa mereka sedangkan guru kita telah diberikan gaji besar," soal beliau.

Oleh itu, beliau mencadangkan orang Melayu belajar daripada orang Cina, sama ada guru mahupun ibu bapa dalam aspek pendidikan anak-anak bangsa.

"Saya berharap dalam menangani isu ini, para guru jangan berkira sangat dan betul-betul ikhlas dalam membentuk anak bangsa yang berjaya.

"Kita bantu murid-murid dengan mengubah sikap, bantuan peruntukan dan sebagainya. Biarkan otak anak-anak ini bersih daripada perkara tidak berkaitan agar mereka boleh fokus kepada pelajaran," katanya.

Tegasnya, langkah ini menjadi satu revolusi pemikiran dan kognitif yang perlu disegerakan kerana jika terus gagal muhasabah diri dan memperbaiki apa yang perlu, semakin lama orang Melayu semakin ketinggalan.

- UTUSAN

Top Ad 728x90