31 Oktober 2012

BR1M 2.0: Perlu Daftar Jika Bertukar Alamat atau Ketua Isirumah Meninggal

by
Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertukar alamat atau kematian ketua isi rumah perlu mendaftar semula untuk membolehkan mereka menerima bantuan pusingan kedua yang akan diagihkan awal tahun depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan di sini pada Selasa berkata mereka yang terlibat serta pemohon baru boleh mendaftar secara atas talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2.0 apabila pendaftaran dibuka 1 Nov nanti.

Bagaimanapun, penerima BR1M sedia ada yang lain tidak perlu mendaftar semula.

Menurut kenyataan itu, borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan atau dimuat turun melalui laman sesawang www.hasil.gov.my.

Kenyataan itu turut menerangkan kriteria penerima BR1M yang layak memohon bantuan RM500 iaitu ketua isi rumah (lelaki atau perempuan) berpendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah.

Ia merangkumi individu yang telah berkahwin, termasuk yang tinggal bersama ibu bapa; ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah serta individu bujang yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah di dalam rumah yang sama.

Warga emas sebatang kara berumur 60 tahun ke atas (lahir 1953 atau sebelumnya) dengan pendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah juga layak memohon.

Bantuan tunai RM250 pula layak dipohon individu bujang termasuk balu, janda atau duda berumur 21 tahun ke atas (lahir 1992 atau sebelumnya), tidak mempunyai tanggungan dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 ke bawah.

Pengumuman pusingan kedua BR1M dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lepas.

Ia dijangka memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

- BERNAMA

Pelaburan Emas Genneva: 35,000 pelabur terbabit, pelaburan cecah RM10 bilion

by
Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terbabit dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.

"Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

"(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

"Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).

Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini, pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu, katanya, kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.

- BERNAMA

Kelantan kuasai Anugerah Bolasepak 2012

by

Shah Alam: Keputusan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012, semalam dikuasai sepenuhnya pemain kebangsaan, sekali gus membuktikan skuad 35 pemain pilihan Datuk K Rajagobal untuk kempen Piala AFF Suzuki tahun ini dibarisi pemain terbaik negara.

Walaupun pemilihan pemenang untuk beberapa kategori menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir peminat, keseluruhannya anugerah hasil kerjasama 100Plus-Astro Arena-FAM ini mampu menyuntik semangat kepada pemain kebangsaan yang dicalonkan.

Mampu tersenyum

Juara treble musim ini, Kelantan mampu tersenyum puas apabila empat anugerah menjadi milik mereka dengan Norshahrul Idlan Talaha menggondol gelaran Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik, Khairul Fahmi Che Mat (Penjaga Gol Terbaik) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) (Persatuan Terbaik).

Juara Liga Perdana, Tentera yang hampir mengecewakan harapan treble Kelantan pada aksi final Piala Malaysia 20 Oktober lalu, turut pulang dengan empat anugerah - Adil Zafuan Abdul Radzak (Pertahanan Terbaik), Marlon Alex James (Pemain Asing Terbaik), B Sathianathan (Jurulatih Terbaik) dan Kelab Penyokong Terbaik.

Gandingan mantap

Bagi Sathianathan yang pernah menjulang anugerah sama ketika membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia dua tahun lalu, kemenangan kali ini adalah hasil gandingan mantap pemain dan pengurusan Tentera yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mengendali pasukan selepas meninggalkan Kelantan.

“Saya bangga dapat bersama dengan dua pasukan hebat - Kelantan dan Tentera,” kata pengendali 54 tahun itu yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengkritik Liga Malaysia (Liga M).

KEPUTUSAN
PENJAGA GOL TERBAIK: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
PEMAIN PERTAHANAN TERBAIK: Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Tentera)
PEMAIN TENGAH TERBAIK: Safiq Rahim (Selangor)
PENYERANG TERBAIK: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
PEMAIN HARAPAN: Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
PEMAIN PALING BERNILAI: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
PEMAIN ASING TERBAIK: Marlon Alex James (Tentera)
JURULATIH TERBAIK: B Sathianathan (Tentera)
PERSATUAN TERBAIK: KAFA
KELAB TERBAIK: Sime Darby
KELAB PENYOKONG TERBAIK: Tentera
PENGADIL TERBAIK: Nafeez Wahab

- BERITA HARIAN
 

Jam GPS

by

PERNAHKAH terfikir untuk merentas desa dengan jam di pergelangan tangan yang mempunyai kemudahan Sistem Kedudukan Global (GPS).

Seharusnya sesiapa saja yang memiliki jam Forerunner 610, anda boleh melakukan apa saja untuk memulakan dimensi baru ketika berlari dan berjoging.
Mudah saja. Dengan sentuhan, jentik dan leret, Forerunner 610 membantu anda memulakan larian sambil mengumpul pelbagai data dan kemudian menyimpannya.


Untuk rekod, jam canggih ini memberikan anda beberapa cara bagi mengemaskini data latihan. Fungsi leret dan turun naik menjadikan mudah untuk mengubah latar (setting), mengkaji semula arkib larian anda dan banyak lagi.

Hanya jentik dengan pantas di atas skrin untuk pergi ke halaman latihan berikutnya dan anda boleh melihat banyak lagi data.

Skrin sesentuh 610 yang licin ternyata lasak apabila ia berfungsi. Malah ia mempunyai ketahanan apabila digunakan dalam hujan, berpeluh dan percikan air serta boleh berfungsi walaupun menyentuh dengan sarung tangan.

Di sebalik cermin licin ternyata jam ini bersedia untuk bekerja sekeras mana yang pemiliknya inginkan.
Ini kerana 610 menyediakan jarak yang tepat, rentak, kedudukan GPS, degup jantung dan kalori.

Malah ia boleh memandu anda kembali ke tempat permulaan larian, memberikan anda kebebasan bagi meneroka laluan baru dan tekun mengemudi anda ke tempat permulaan.

Selain itu, perkakasan latihan terbaru iaitu Virtual Racer, pengguna boleh mengubah sebarang senaman dan larian kepada "virtual matchup".

Ciri ini membolehkan anda bersaing dengan catatan masa terbaik sebelum ini atau mencabar sebarang aktiviti yang dimuat turun kepada Garmin Connect.

Laporan Virtual Racer mencatat kepelbagaian kelajuan dan keadaan pada waktu itu, seolah-olah anda sedang bersaing dengan lawan anda.

Atau gunakan fungsi "Virtual Partner" dan lihat bagaimana pencapaian anda berbanding kelajuan yang anda catat.

Forerunner 610 turut menawarkan amaran getaran yang boleh diasingkan mengikut masa, jarak, kalori, degup jantung atau nada.

Jadi, apabila sampai di destinasi anda boleh rasakan getaran lembut.

Sampai masanya bagi jam sukan yang boleh membantu anda berlatih dengan lebih bijak dan 610 boleh melakukannya.

Ini adalah jam sukan pertama dengan keupayaan Training Effect daripada Firstbeat.

Training Effect mengukur kesan sebarang aktiviti anda sama ada kecergasan aerobik yang pada dasarnya membantu berlatih dengan lebih berkesan.

Training Effect juga menilai anda berdasarkan profil anda, degup jantung anda dan tahap kesukaran aktiviti yang dilalui.

610 juga mengasingkan zon degup jantung, amaran dan kadar jantung berdasarkan pengiraan kalori.

Apabila anda sudah menamatkan senaman dan larian, Forerunner tetap bekerja. Ia akan memuat data larian tanpa sambungan jalur lebar ke dalam Garmin Connect apabila diletakkan dekat komputer anda apabila sampai di rumah dan mengkaji semula larian pada bila-bila masa.

Ia berfungsi secara teknologi tanpa wayar ANT dan USB yang didatangkan bersama jam anda.

Tiada talian jalur lebar, tidak perlu muat turun secara manual dan tidak berpeluh.

Sementara itu, tidak ketinggalan anda juga boleh memantau berat badan, paras lemak, jumlah air dalam badan dan enam lagi ukuran apabila menggunakan Forerunner 610 dengan menggunakan Tanita BC-1000.

Kesemua bacaan direkod dalam Forerunner 610 dan kemudiannya secara automatik ke Garmin Connect apabila ia berada dekat dengan komputer.

Seandainya anda bercadang untuk menyertai perlumbaan maraton dalam masa terdekat, Forerunner 610 adalah pilihan yang tepat.

Jika berminat, hubungi Aeco Technologies (M) Sdn Bhd di talian 03- 92858062.


SPESIFIKASI

Dimensi Unit, WxHxD: 4.57 x 6.35 x 1.42 cm

Saiz paparan, WxH: 2.54 cm

Resolusi paparan, WxH: 128 x 128 piksel

Berat: 72 gram

Bateri: lithium-ion boleh caj semula

Jangka hayat bateri: 4 minggu dalam mod jimat; 8 jam dalam mod latihan

Kalis air: Ya (IPX7)

GPS: Ya

Peta dan memori: 1,000 pusingan

Ciri-ciri: Skrin kadar degup jantung

Tambahan: Garmin Connet dan Garmin Training Center adalah sesuai dengan Windows XP atau lebih baru dan Mac OS 10.4.11 atau lebih awal degan Safari

Harga: RM1,255

* Artikel ini salah satu kandungan dalam aplikasi Berita Harian (iBH)

Guru Prasekolah disaran Ikuti Diploma Pendidikan Awal

by
Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu menyarankan guru prasekolah Kemas dan Jabatan Perpaduan Nasional dan Integriti Negara (JPNIN) supaya mengikuti Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi meningkatkan standard dan kualiti pengajaran di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata saranan itu bagi membolehkan guru mempunyai pengetahuan dan kecekapan dalam bidang yang diceburi, seperti mana syarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran kepada guru prasekolah yang perlu mempunyai ijazah dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata untuk itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah antaranya membenarkan mereka membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Dengan ini, adalah diharapkan bahawa guru prasekolah Kemas dan JPNIN juga akan mencapai taraf seperti guru prasekolah dalam masa terdekat bagi memastikan standard dan kualiti guru adalah setara merentasi semua pusat asuhan dan prasekolah.

"Dalam hal ini, saya menyarankan para guru mengikuti sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Kanak-Kanak di mana kerajaan juga sentiasa mengkaji bagaimana dapat membantu merealisasikan aspirasi itu," katanya ketika berucap merasmikan Minggu Kebangsaan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di sini Rabu.

Hadir sama Presiden Majlis ECCE Datuk Dr Chiam Heng Keng.

Muhyiddin berkata bagi meningkatkan lagi kualiti asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, Kementerian Pelajaran dan Majlis ECCE sedang membangunkan standard kualiti untuk taska dan prasekolah.

Program pentaksiran kendiri itu bertujuan membantu pusat berkenaan mencapai tahap kualiti yang dikehendaki dalam memastikan minda kanak-kanak berkembang dan mencapai perkembangan holistik, katanya.

Beliau berkata penaksiran itu bukan bertujuan 'menghukum' mana-mana taska atau prasekolah, sebaliknya untuk membantu mengenal pasti aspek yang perlu dibaiki dan jurang perkhidmatan yang perlu dirapatkan.

Bagi meningkatkan kualiti guru prasekolah swasta yang dianggarkan hanya tiga peratus yang memiliki diploma atau ijazah dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak sekarang, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran telah mengambil inisiatif menyediakan kursus selama tiga minggu, secara percuma, bagi semua guru prasekolah daripada sektor swasta.

"Menjelang akhir tahun ini, Kemeterian Pelajaran menganggarkan seramai 20,000 guru prasekolah akan dilatih melalui kursus ini," katanya.

- BERNAMA

Peguam Syarie Menulis: Isu Nusyuz

by
Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Kebanyakan suami masih keliru atau kabur dan sebahagian besarnya tidak faham langsung maksud nusyuz. Ramai suami mentafsirkan sendiri istilah 'nusyuz' dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ulama muktabar.
Nusyuz dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Dan wanita-wanita (isteri-isteri) yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari untuk menyusahkan mereka sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.” (Surah Al-Nisa’, ayat 34)

    Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.


Isu isteri nusyuz ini dijadikan senjata ampuh bagi suami dan dibangkitkan mereka dalam semua kes termasuk tuntutan mutaah, hadanah, fasakh serta harta sepencarian. Walhal nusyuz hanya memberi kesan kepada nafkah isteri.

Suami juga keliru dalam membezakan antara berkelakuan buruk (fahisyah) dengan nusyuz. Sesetengah suami cukup mudah menghukum isteri yang meninggikan suara, tidak memasak atau tidak membasuh baju sebagai isteri nusyuz.

Sedangkan dari sudut undang-undang, nusyuz adalah kes yang sukar untuk dibuktikan dan memerlukan beban pembuktian yang berat. Bukan hak suami untuk mengatakan isterinya nusyuz, tetapi ia adalah kuasa Mahkamah Syariah.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, perkataan nusyuz disebutkan sebanyak tiga kali, dua kali disebutkan dalam Seksyen 60 dan sekali disebutkan dalam Seksyen 66.
Seksyen 60 menyebut hak isteri untuk mendapat nafkah daripada suaminya semasa dalam pernikahan, serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah itu. Manakala Seksyen 66 mengenai hak isteri mendapatkan nafkah ketika dalam edah serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah edah itu.

Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, seorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.

Antaranya, apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya atau enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah tanpa sebab sah mengikut hukum syarak.

Selepas isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz. Ringkasnya, sabitan nusyuz perlu kepada pengesahan dari Mahkamah Syariah.

Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.

Kebanyakan kes nusyuz yang dibangkitkan di mahkamah adalah berkaitan tindakan isteri meninggalkan rumah disediakan oleh suami. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak muncul kes nusyuz yang mana suami mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Kes nusyuz boleh didaftarkan melalui prosedur kes mal atau jenayah kerana tiada prosedur khusus.

Tuntutan nusyuz juga boleh dibuat semasa pembelaan dan tuntutan balas suami dalam kes tuntutan perceraian isteri.

Apabila suami mendapati isterinya nusyuz, suami perlu memulakan tindakan proaktif iaitu dengan membuat aduan di Pejabat Agama Islam untuk satu sesi kaunseling bagi menasihati pihak-pihak menyelesaikan krisis yang dihadapi.

Suami juga perlu mengambil tindakan memujuk isteri kembali ke pangkuannya dan kembali mentaatinya menurut hukum syarak. Jika suami tidak mengambil sebarang tindakan wajar, kemungkinan isteri tidak dapat disabitkan sebagai nusyuz.

Nusyuz juga biasanya akan dimulakan dengan tuntutan taat terlebih dulu yang dikemukakan suami. Jika selepas perintah isteri taat dikeluarkan, isteri masih lagi enggan, maka isteri boleh disabitkan nusyuz.

Isteri nusyuz juga boleh didakwa menggunakan prosedur jenayah dengan menggunakan peruntukan isteri tidak menurut perintah (Seksyen 129) dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Kesilapan suami ialah menimbulkan isu nusyuz sebagai pembelaan diri.

Kesilapan suami juga, masih ingin menimbulkan isu nusyuz dalam kes tuntutan selepas perceraian sedangkan pengisytiharan atau sabitan nusyuz tidak pernah dimohon suami sebelum berlaku perceraian.

- BERITA HARIAN

Kanser payudara ancam 700,000 wanita Malaysia

by
Seramai 700,000 wanita di Malaysia berisiko mendapat kanser payudara dalam hayat kehidupan mereka.

Maklumat berkenaan dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak, menerusi laman Facebook beliau semalam.

Menurut paparan maklumat bertajuk ‘Kanser Payudara di Malaysia’ itu, jumlah berkenaan bersamaan dengan seorang daripada setiap 20 wanita, malah penyakit berkenaan adalah ancaman utama kepada 14 juta penduduk wanita di negara ini.

Pemeriksaan mamogram penting

Justeru, pengesanan kanser payudara pada peringkat awal membolehkan penyakit itu dirawat dengan lebih berkesan, yang mana empat kaedah untuk tujuan itu ialah pemeriksaan sendiri, melaporkan perubahan payudara kepada doktor, pemeriksaan oleh doktor dan mamogram atau x-ray payudara.

Mamogram amat berguna bagi wanita berumur antara 50 dan 69 tahun, ia disyorkan dibuat sekali setiap dua tahun dengan kos sekitar RM180 hingga RM250 bagi setiap pemeriksaan.

Dalam Bajet 2013, kerajaan mengumumkan perkhidmatan pemeriksaan mamogram percuma bagi wanita berumur 40 tahun dan ke atas untuk meringankan beban kos rakyat membabitkan peruntukan RM25 juta.
Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada 100,000 wanita di negara ini.

- BERITA HARIAN

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'

by
Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminalngat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak.

Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan

"Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya.

"Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya.

Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, Petaling Jaya.

Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi.

"Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan.

"Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya.

Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim.

Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut.

"Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa.

"Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya.

Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'.

Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut.

OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

- MSTAR

30 Oktober 2012

PANDUAN SOALAN EXAM PENOLONG PENGUASA IMIGRESEN KP27

by
 


3 NOVEMBER 2012 ini akan diadakan Peperiksaan Penolong Penguasa IMIGRESEN Gred KP27. Anda boleh semak nama di : http://domino.spa.gov.my/sispek/jadual_am_PenImigresen.php?jawatan=Penolong%20Penguasa%20Imigresen%20Gred%20KP27&pemerolehan=SM20120024

Khas untuk peperiksaan ini, anda bernasib baik kerana ada rujukan khas untuk jawatan Penolong Penguasa IMIGRESEN Gred KP27.

Peluang tidak selalunya datang. Jadi jika anda dipanggil untuk peperiksaan Gred 27, jangan lepaskan peluang, terus sambar!

Cara nak lulus senang sahaja, 3 perkara!

1 - Buat persediaan
2 - Hadir peperiksaan
3 - Jawab soalan!

Tapi APA dan BAGAIMANA untuk buat persediaan?

Jawapannya ada di sini. Lengkap dengan NOTA, TIPS dan CONTOH SOALAN Peperiksaan. Terus ke: http://www.penolongimigresen.com/hop.php?ref=my



Bandar yang dipercayai tertua di Eropah ditemui

by

SOFIA - Beberapa pakar arkeologi menemui lokasi sebuah bandar kecil berhampiran bandar Provadia, timur Bulgaria yang dipercayai paling tua di Eropah.

Bandar tersebut wujud antara 4,700 hingga 4,200 Sebelum Masihi.

Ia terletak di sekitar sebuah kilang garam tertua di Eropah.

Rangka tulang milik seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak turut ditemui di lokasi tersebut.

Penemuan yang dibuat oleh kumpulan ahli arkeologi Bulgaria itu disahkan oleh saintis Jerman, Jepun dan Britain.

- Agensi

Telegram hanya tinggal kenangan

by
GETARAN dada seorang wanita yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumahnya semakin deras tatkala melihat seorang lelaki beruniform menaiki basikal memasuki pekarangan rumah. Desah nafasnya semakin kedengaran apabila lelaki tersebut menghulurkan sekeping sampul tertera perkataan telegram di hadapannya sambil berkata: “Telegram untuk puan.” Sebaik kiriman telegram yang tertulis, ‘Ayah meninggal dunia, balik segera!’ dibaca, mengalir manik-manik jernih daripada sepasang mata bundar wanita itu. Itu antara adegan drama yang masih segar dalam ingatan penulis berhubung fungsi telegram iaitu menyampaikan mesej kecemasan terutamanya berita buruk dan sedih. Jika ditebak soalan mengenai telegram kepada generasi muda kini yang medium komunikasinya berkiblatkan gajet-gajet canggih, pasti 90 peratus daripada mereka tidak tahu apa itu telegram. Pernah sekali penulis menguji seorang remaja berusia 18 tahun mengenai telegram dan remaja tersebut bertanya kembali kepada penulis: “Apa itu telegram? Sukatan timbang terbaharu ke?” Kenangan telegram Kalau ada yang tahu pun, mungkin mereka hanya mendengarnya melalui pembacaan novel, cerita dan drama lama tanpa merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut. Bagi seorang pesara kerajaan Rosly Mohamad, telegram punya nilai sentimental buat dirinya dan isteri, Zubaidah Omar, 58. Lelaki berusia 58 tahun hanya tersenyum sambil ketawa kecil apabila persoalan mengenai telegram diutarakan, lantas ayah kepada empat orang anak itu menyingkap kembali cerita lama. Ceritanya, apabila dia mahu menyunting anak dara orang, sudah menjadi adat ia dimulakan dengan merisik kemudian barulah bertunang, bernikah dan akhir sekali berkahwin. “Pada ketika itu, keluarga saya merancang untuk datang merisik bakal isteri saya di Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor. Tetapi saya tidak tahu bagi orang Jawa (keluarga sebelah isteri) merisik itu dikira bertunang. “Kelam-kabut saya dibuatnya kerana tidak menyediakan apa-apa persiapan untuk majlis pertunangan. Yang ada hanya sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda merisik,” katanya yang ketika itu tinggal di Tanjung Malim, Pera. Tanpa berfikir panjang, dia terus memecut ke pejabat pos Tanjung Malim untuk menghantar telegram menyampaikan pesanan kepada keluarga bakal isteri bahawa pertunangan ditangguhkan bagi membolehkan keluarganya membuat segala persiapan. “Mujur ada telegram, majlis pertunangan berlangsung seminggu kemudian. Kini, perkhidmatan telegram sudah ditamatkan dan segalanya hanya tinggal kenangan untuk diceritakan kepada anak dan cucu. “Sayangnya, telegram itu tidak tahu ke mana,” ujarnya. Guna Kod Morse Sejarah perkhidmatan telegram di Malaysia diperkenalkan di negara ini sejak tahun 1940-an. Perkhidmatan telegram digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia pada ketika itu bagi menghantar pesanan termasuklah pesanan-pesanan segera. Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia (TM), Datuk Rozalila Abdul Rahman, pada awal pengenalannya, perkhidmatan telegram telah diberikan melalui bantuan operator menggunakan Kod Morse. Pada waktu itu, perkhidmatan telegram ditawarkan oleh Jabatan Telekom Malaysia (JTM). Apabila jabatan tersebut diswastakan menjadi Syarikat Telekom Malaysia (STM) pada tahun 1987, perkhidmatan itu terus kekal di bawah seliaan STM hinggalah evolusinya kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) pada hari ini. “Perkhidmatan telegram yang ditawarkan sebelum ini oleh TM mengguna pakai sistem Automatic Message Switching dan menggunakan sebuah teleprinter bagi menghantar, menerima dan mencetak pesanan-pesanan pelanggan. Perkhidmatan ini hanya boleh diperoleh menerusi Pusat Khidmat Pelanggan TM di talian 100 dan juga di premis-premis TMpoint,” katanya. Tambahnya, Pos Malaysia bertanggungjawab memungut pesanan-pesanan yang dicetak dari Pusat Telegram TM di Kuala Pauh, Jalan Kuchai Lama, Selangor atau di premis TMpoint terpilih di seluruh negara untuk dihantar kepada penerima pesanan tersebut. Bagaimanapun, kemajuan teknologi menyebabkan perkhidmatan telegram sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya digunakan kebanyakannya oleh bank dan institusi kewangan, khususnya bagi tujuan pungutan pembayaran. “Akhirnya TM mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan ini atas beberapa faktor. Antaranya ketiadaan bantuan sokongan teknikal bagi peralatan yang dimiliki, selain wujudnya peranti-peranti serta saluran komunikasi baharu. Lebih banyak orang hari ini berkomunikasi menggunakan telefon talian tetap, telefon mudah alih, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan aplikasi pesanan segera,” ujarnya. Jelas Rozaliza lagi, berikutan peralatan yang digunakan untuk memberikan perkhidmatan telegram semakin usang dan alat gantian juga tidak lagi didapati, ia menjadi semakin sukar buat TM untuk terus menawarkan perkhidmatan itu. TM telahpun memaklumkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengenai hasrat untuk menamatkan perkhidmatan telegram pada tahun 2004 dan kementerian akhirnya meluluskan permohonan tersebut pada bulan Mei 2012. Tanggal 1 Julai lalu menjadi detik pernuh bersejarah apabila perkhidmatan telegram ditamatkan secara rasminya. “Kami percaya industri telekomunikasi masa kini menghidangkan pelbagai medium komunikasi yang lebih bersesuaian dengan kemampuan dan cara hidup rakyat Malaysia. “Kami juga memahami bahawa tidak semua golongan mampu untuk memiliki telefon bimbit atau komputer peribadi (PC) bagi menghantar e-mel, namun apabila Malaysia bergerak maju ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, negara kita dilengkapi dengan infrastruktur komunikasi yang berkembang dengan baik termasuklah telefon awam serta perkhidmatan pos,” katanya. Pada detik-detik terakhir perkhidmatannya, Pengurus Besar TM Kelantan, Ab. Rashid Che Othman memberitahu, kira-kira 1,000 telegram dihantar melalui TM Point Kota Bharu berbanding hanya sekitar 500 pada hari-hari biasa. Sejak tahun 2000 telegram dihantar melalui komputer dan tidak lagi menggunakan mesin teleks seperti zaman dahulu. Bagi mereka yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas dan melihat sendiri mesin teleks yang digunakan suatu ketika dahulu anda boleh berkunjung ke Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. - KOSMO!

Heliza Helmi lancar buku

by
Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi mengalu-alukan pembabitan lebih ramai rakan artis untuk menghadiri kelas bimbingan agama Islam iaitu Usrah Fitrah yang dikhususkan untuk seluruh penggiat seni tanah air. Heliza, 26, berkata, sambutan daripada lebih 30 penggiat seni termasuk golongan artis setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik terhadap projek cetusan Rusydi Ramli Al Jauhari itu. “Alhamdulillah, projek Usrah Fitrah ini mendapat sambutan yang baik daripada warga seni sejak beberapa bulan lalu namun saya mengalu-alukan lebih ramai penggiat khususnya rakan artis turut serta dalam kelas tersebut. “Kelas agama itu meliputi pembelajaran segenap aspek iaitu al-Quran dan tajwid, fiqah, aqidah, hadis dan motivasi diri. Ia memang bagus dan istimewa kerana bukan sahaja memberikan ilmu tetapi dicetuskan khusus untuk membimbing warga seni tanah air,” katanya ketika ditemui mStar Online. Finalis Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikian selepas pelancaran bukunya yang berjudul Diari Heliza Helmi dan pengumuman sebagai duta minuman ice blended Coolblog, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin. Usrah Fitrah yang dianjurkan oleh Fine Academy Sdn Bhd dan Must Read Sdn Bhd itu terbuka kepada warga industri hiburan termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik. Seramai tujuh ustaz bertauliah iaitu Rusydi Ramli Al Jauhari, Shahrizan Daud At Turabi, Ghazali Ibrahim, Syed Norhisham Tuan Padang Al Idurs, Amin Idris, Tuan Fazrul, Zul Ramli dan Halim Hafiz akan bertanggungjawab membimbing para peserta pada setiap minggu. Antara rakan artis yang aktif adalah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Diana Amir, Noryn Aziz, Farah Asyikin, Siti Nordiana, Iqram Dinzly, Zoey Rahman, Salima AF, Enot dan personaliti TV3, Teh Syuhada. Heliza yang semakin aktif bergelar penceramah motivasi berkata, pembabitan dalam kelas tersebut sejak setahun lalu membuatkan dia semakin seronok untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang baru. “Saya anggap pembabitan dalam Usrah Fitrah ini bukan hanya menambahkan ilmu agama, malah memberikan saya input berguna yang boleh digunakan ketika saya memberikan ceramah dan taklimat motivasi. “Kebetulan pula, pada waktu ini saya semakin aktif memenuhi undangan untuk memberikan ceramah motivasi di merata tempat, ia menjadikan saya semakin teruja untuk terus belajar pelbagai ilmu dan perkara,” katanya. Mengenai buku Diari Heliza Helmi, Heliza berkata, dia dilamar oleh syarikat penerbitan buku Yamani Angle Sdn Bhd pada awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerja yang padat. “Buku ini adalah himpunan jurnal harian saya selama ini. Sebenarnya, pihak penerbit sudah menyuarakan hasrat untuk menerbitkan jurnal saya itu ke dalam bentuk buku sejak awal tahun lagi tetapi ia sering tertangguh kerana kesibukan saya. “Selain buku, saya juga ambil kesempatan pada majlis ini untuk mengumumkan pelantikan saya sebagai duta minuman Coolblog yang berkuat kuasa pada Ogos lalu bagi tempoh setahun. “Mereka memilih saya kerana kebetulan saya memang menggemari minuman itu sebelum ini,” katanya. Majlis perasmian buku tersebut disempurnakan oleh pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah. - MSTAR

Keselamatan siber

by
BERTEMAKAN Cyber Security Risk & Compliance for Economic Transformation, satu persidangan berkaitan keselamatan siber akan dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia bulan depan.

Objektif penganjuran Anugerah Keselamatan Siber, Pameran dan Persidangan 2012 (CSM-ACE 2012) tersebut adalah untuk menyediakan platform khas kepada kerajaan dan agensi yang terlibat dengan usaha menjaga keselamatan siber untuk mendapatkan maklumat berkenaan isu berkenaan.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Zahri Yunos, isu keselamatan siber kini bukan lagi sesuatu yang asing, malah sentiasa dipandang serius terutamanya pihak kerajaan.

"Justeru, penganjuran persidangan CSM-ACE 2012 dilihat mampu memberikan penerangan yang lebih jelas berkenaan situasi serta permasalahan keselamatan siber.

"Malah, isu keselamatan siber ini juga turut melibatkan penguna teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam sektor Maklumat Kritikal dan Infrastruktur Kebangsaan (CNII)," katanya.

Jelas Zahri, serangan dan ancaman di alam siber kini bukan lagi seperti dulu malah lebih hebat sekali gus pihak yang terlibat perlu meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi menghalang segala perkara yang buruk berlaku.

Sebagai contoh serangan DDoS (Distributed Denial of Service) dan APT (Advance Persistent Threats) memiliki potensi untuk menghasilkan kesan buruk terhadap sistem informasi dan jaringan merentasi global.

Serangan APT tidak mudah dikesan menggunakan sistem keselamatan tradisional, kerajaan, perusahaan kecil sehingga kepada pengguna komputer.

Oleh yang demikian, pemain utama dalam bidang keselamatan siber perlu mengorak langkah serta meningkatkan kemahiran serta informasi berkenaan keselamatan pada tahap yang lebih tinggi.

Terdapat 10 sektor CNII di bawah Polisi Kebangsaan Cyber Security iaitu Keselamatan dan Pertahanan Kebangsaan, Pinjaman dan Perbankan dan Informasi dan Komunikasi.

Seterusnya, Tenaga, Pengangkutan, Air, Perkhidmatan Perubatan, Kerajaan, Perkhidmatan Kecemasan serta Makanan dan Agrikultur.

Dalam pada itu, penyampaian anugerah CyberSecurity Malaysia adalah bertujuan untuk menghargai bakat ahli profesional dalam sektor keselamatan informasi, SME tempatan dan organisasi luar negara.

Pada persidangan CSM-ACE 2012 akan datang itu juga turut diadakan pameran solusi dan produk ICT yang dihasilkan oleh usahawan tempatan juga luar negara.

Untuk maklumat lanjut berkenaan persidangan anda boleh menghubungi ahli jawatan kuasa CSM-ACE 2012 di talian 603-8946 0999 atau layari laman web di www.csm-ace.my/register.html

Pelaksanaan PBS tidak bebankan guru

by
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran menjelaskan guru tidak akan berasa terbeban sekiranya memahami konsep perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Kenyataan Lembaga Peperiksaan menyebut, daripada kajian soal selidik yang dijalankan mengenai kesediaan guru melaksanakan PBS secara dalam talian (online) pada September lalu mendapati 84.2 peratus daripada 46,929 guru Tingkatan 1 sekolah menengah seluruh negara memahami konsep PBS.

Kira-kira 90.7 peratus daripada 89,618 guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah juga didapati memahami konsep dan cara melaksanakan PBS.

''Kira-kira 9,006 atau 10 peratus guru Tahun 1, 2 dan 3 sekolah rendah dan 7,979 atau 17 peratus guru Tingkatan 1 di sekolah menengah jelas tentang konsep Pentaksiran Sekolah iaitu komponen akademik PBS," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, guru juga kurang memahami mengenai cara melaksanakan pentaksiran seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (pentaksiran formatif).

Hal ini demikian kerana, kesukaran guru membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk kerana masih terikat dengan fahaman dan kebiasaan menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel.

"Pengurusan evidens murid dalam PBS yang dikatakan memakan masa yang banyak dan ruang yang besar adalah perlu bagi memastikan penguasaan murid dalam pembelajaran direkod untuk melihat pertumbuhan dan perkembangan murid sepanjang tempoh persekolahan'', kata kenyataan itu.

Bagi mengatasi permasalahan itu, Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Fail Showcase (FS) diperkenalkan.

Pendekatan itu membolehkan seorang murid memiliki sebuah FPM sahaja untuk menyimpan evidens bagi semua mata pelajaran yang dipelajarinya.

FS merupakan fail menyimpan evidens terbaik bagi semua deskriptor untuk setiap mata pelajaran dan digunakan sebagai rujukan piawai evidens serta disediakan mengikut tahun atau tingkatan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa PBS sekolah.

Pada masa yang sama, kesukaran guru mengakses Sistem Pengurusan PBS telah dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah yang dihadapi guru.

Langkah interim (bersifat sementara) yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah tersebut adalah dengan menyediakan hosting khas yang berasingan bagi Sistem Pengurusan PBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

"Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada akhir September lalu dan didapati sistem tersebut setakat ini stabil serta boleh diakses," jelasnya.

Sementara itu, bagi memastikan guru Tahun 1, 2 dan 3 dan Tingkatan 1 dan 2 memahami dan boleh melaksanakan PBS sebelum 31 Disember ini, Lembaga Peperiksaan telah merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.

Antara perancangan tersebut termasuklah menyediakan Latihan Hands-on PBS secara in-situ kepada pejabat pendidikan daerah dan guru contoh PBS di seluruh negara.

Latihan ini dijalankan mulai pertengahan Oktober hingga pertengahan Disember ini.

Lembaga Peperiksaan juga akan menyediakan bahan sokongan dan khidmat pementoran PBS dalam talian bertujuan membantu guru memahami dan boleh melaksanakan PBS seperti yang dihasratkan sekali gus mengurus perubahan yang berlaku dengan baik setelah memahami konsep agar mudah melaksanakan PBS nanti.

- UTUSAN

27 Oktober 2012

Kes bunuh Sosilawati: Dibaring sebelum tengkuk ditikam

by
Shah Alam: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dibaringkan sebelum tengkuknya ditikam tertuduh kedua, T Thilaiyalagan dengan disaksikan peguam yang juga tertuduh pertama, N Pathmanabhan.

Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu, Pathmanabhan juga mengarahkan Thilaiyalagan membunuh Sosilawati di hadapannya kerana dia mahu menyaksikannya sendiri, selain turut arahkan pembunuhan tiga lelaki yang datang bersamanya.
Sosilawati menjerit kuat meminta tolong, manakala tiga lelaki itu juga dibunuh menggunakan cara sama iaitu menelentangkan mereka, menutup muka dengan tuala dan menikam tengkuk mereka.

Selepas membunuh semua mangsa, Thilaiyalagan mengarahkan tertuduh ketiga, R Matan dan saksi pendakwa, K Sarawanan, mengambil minyak diesel dari rumah ladang.

Mereka kemudian mengangkat mayat semua mangsa dan meletakkannya di atas kayu yang sudah disusun serta meletakkan kayu di atas mayat, manakala zink digunakan untuk melapik mangsa ketika pembakaran.

Thilaiyalagan dan Matan mencurahkan minyak ke atas mangsa dan bersama Saravanan, mereka membakar mayat semua mangsa. Pada 31 Ogos 2010, Thilaiyalagan bersama Matan memungut abu mayat dan dimasukkan ke dalam tong sebelum dibuang ke laut.

Perbuatan itu disaksikan seorang lagi saksi pendakwa, U Suresh. Apabila dia menyoal mengenainya, Thilaiyalagan menjawab ia abu mayat mangsa.
Demikian antara persoalan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dalam soal balas terhadap Thilaiyalagan.

Bagaimanapun, Thilaiyalagan menafikannya dan tidak setuju dengan Ishak.

Thilaiyalagan tidak setuju Pathmanabhan berada di tempat kejadian di Ladang Gadong ketika pembunuhan itu dikatakan berlaku antara jam 8.30 dan 9.30 malam, 30 Ogos 2010.

Ishak: Setuju Pathmanabhan tiada di ladang kerana dia sudah meninggalkan ladang itu?

Thilaiyalagan: Pada hari itu Pathmanabhan tidak datang ke ladang.
Ishak: Pada sebelah malam 30 Ogos 2010, Pathmanabhan berada di Subang Jaya?
Thilaiyalagan: Saya tidak tahu di mana dia berada.

Thilaiyalagan turut menafikan dia bersama Pathmanabhan, Matan dan K Kathavarayan atau dikenali sebagai Ravi, merancang membunuh semua mangsa sejak 29 Oktober 2010.

Disoal Ishak, Thilaiyalagan mengakui ada duduk bersama dengan Pathmanabhan, Matan dan Ravi sepanjang perbicaraan kes itu berjalan, namun dia menafikan pernah berbincang keterangan pembelaannya bersama tiga lagi tertuduh itu.

Sarawanan, 20, yang juga pekerja bengkel dan Suresh, 27, pekerja ladang, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas tuduhan melupuskan bukti dengan membakar mayat dan membuang abu mayat semua mangsa.

Pathmanabhan, 42, bersama pekerja ladangnya, Thilaiyalagan, 20; Matan, 21 dan Kathavarayan, 31, dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32 dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 6 November ini.

- BERITA HARIAN

Ramai kurang faham tujuan Aidiladha

by
Segelintir masyarakat Islam di Malaysia masih kurang faham mengenai tujuan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha yang sepatutnya diraikan dengan rasa kesyukuran serta kegembiraan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, dalam satu kenyataan semalam, berkata Aidilfitri disambut meriah bagi meraikan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa sepanjang Ramadan.

Aidiladha pula disambut lebih meriah bagi mereka yang menyempurnakan ibadah haji di Makkah dan berwukuf di Arafah.

Hakikatnya, hikmah pensyariatan hari raya korban ini bagi golongan yang berkemampuan adalah dituntut untuk melaksanakan ibadah korban seba-gai satu tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Bagi yang kurang berkemampuan pula, akan menerima pemberian hasil korban. Kegiatan penyembelihan dan pengagihan yang dilaksana secara bergotong-royong ini perlu dibudayakan sebagai satu terjemahan sambutan hari raya ini.

Kesannya, ia bukan saja dapat memupuk semangat kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat setempat, malah turut menggalakkan budaya kunjung mengunjung dan bersedekah, katanya.

Selain itu, jelas beliau, umat Islam juga disyariatkan bertakbir pada empat hari yang mulia ini iaitu pada hari wukuf dan hari Tasyrik pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu secara berjemaah.

- BERITA HARIAN

Persepsi salah terhadap Sistem Penguatkuasaan Automatik AES

by

PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.

Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu kemalangan jalan raya itu sendiri.

Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.

Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan, tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.

Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan.

Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.

Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.

Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian kerana kemalangan jalan raya.

Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun 2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.

Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu kelainan upaya.

Kesulitan hidup

Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula dengan kesulitan hidup yang lain.

Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.

Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.

Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.

Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya sebab kemalangan di jalan raya.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.

Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita terhadap budaya selamat di jalan raya.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan penguatkuasaan.

Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan lampu isyarat di tengah bandar.

Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.

Menegur pengguna

Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.

Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.

Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.

Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara laju dan membahayakan.

Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.

Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah mematuhi peraturan jalan raya.

- KOSMO!

Lakukan Korban Di Premis Penyembelihan Sah - JPV

by
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)menasihatkan umat Islam di negara ini melakukan penyembelihan ternakan korban di premis penyembelihan yang diluluskan jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata langkah itu bagi memastikan pematuhan tatacara dalam Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dilancarkan JPV baru-baru ini.

"Bila adakan operasi penyembelihan (di rumah sembelih) segala perkakasan lengkap dan dapat jamin keselamatan kakitangan yang laksanakan penyembelihan serta ternakan," katanya pada sidang media di Kompleks Abatoir Shah Alam, di sini Jumaat.

Garis panduan yang dilancar pada 18 Oktober lepas itu merangkumi undang-undang dan peraturan mengenai pemantauan ternakan korban, operasi serta premis penyembelihan, aspek kebajikan haiwan dan juga pengurusan sisa ternakan.

Katanya selepas pelancaran garis panduan itu, terdapat peningkatan permohonan daripada orang ramai untuk melakukan penyembelihan di rumah sembelih.

"Kita akan kumpulkan 'feedback' dan kita akan bantu selaraskan penyembelihan di rumah sembelih selain meningkatkan keupayaan rumah sembelih dari segi operasi serta perkakasan supaya kita mampu kendali operasi penyembelihan dengan lebih baik," katanya.

Mengenai ibadah korban yang dilakukan di masjid atau surau, beliau berkata JPV telah menempatkan anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk pemantauan bagi memastikan aktiviti itu dilakukan mengikut garis panduan berkenaan.

Ditanya mengenai pelaksanaan sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengeksport (ESCAS) oleh Australia berhubung pengeksportan lembu dari negara itu, Abdul Aziz berkata perkara tersebut tidak memberi kesan langsung ke atas ibadah korban tahun ini.

"Haiwan diimport dari Australia termasuk kambing perlu melalui piawaian penyembelihan yang diluluskan oleh kerajaan negara itu. Untuk tahun ini kita gunakan lembu tempatan dan diimport dari Thailand, bagaimanapun kita sendiri ada piawai tinggi untuk pastikan kesihatan dan kebajikan haiwan.

"Kita sudah bersedia untuk tahun depan dan jika kita didapati tidak menepati (piawaian ditetapkan Australia) dan tidak diberi permit untuk import lembu dari sana kita terpaksa lihat negara lain yang tidak terlalu ketat peraturannya," katanya.

Abdul Aziz berkata JPV juga dalam proses menggubal Akta Kebajikan Haiwan yang dijangka dibentang di Parlimen tahun depan.

Terdahulu beliau menyaksikan ibadah korban sebahagian 900 ekor lembu dan kambing anjuran syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd dan TPL Fresh Meats Sdn Bhd untuk diserah kepada fakir miskin.

- BERNAMA

Abil Fikri: Walau wajahnya berubah, saya tetap sayang Fauziah

by

SEREMBAN –  “Saya bukan cari publisiti.” Demikian kata Abil Fikri Ahmad, 43, yang kesal dengan tanggapan sesetengah pihak yang menuduhnya cuba mengambil kesempatan atas penderitaan isterinya, Fauziah Muhamad. Perkara ini timbul apabila dia mula melakarkan perjalanan hidupnya menjaga Fauziah, 38, yang menderita akibat kerosakan saraf pada otak, menerusi blog sejak April lalu.

Abil menjadikan laman blog yang didaftarkan atas nama ‘abil4fauziah’ sebagai diari.

Abil berkata, satu kiriman pesanan ringkas diterimanya sebelum ini cukup meruntun hatinya apabila ada pihak menuduhnya mencari publisiti atas kesengsaraan dialami isterinya.

“Saya kecewa. Saya tak sangka ada pihak sanggup menuduh saya sedemikian rupa,” katanya yang tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas keadaan isterinya.

Dia berkata, SMS yang diterima lebih kurang berbunyi, “Encik Abil saja reka cerita nak cari publisiti ke? Buat blog untuk ‘promote’ diri? Nak tunggu dapat anugerah suami mithali? Supaya dapat gelaran Datuk?”

“Saya terkilan apabila ada pihak yang menuduh saya sebegitu,” katanya dengan nada penuh kesal sambil beristighfar panjang.

Ceritanya, SMS itu diterima Jun lalu daripada insan yang tidak dikenali dan dia cuba menerangkan dengan cara baik, namun gagal.

“Saya buat blog ini atas nasihat kawan, selain saya mahu apabila dia sihat nanti, blog ini dapat menjadi tukang cerita kerana memorinya hilang sepanjang dia sakit,” katanya.

“Melalui blog yang saya kemas kini tiga hari seminggu ini juga saya dapat mengumpulkan dana untuk isteri saya. Apabila mereka membaca, sebahagian besar mereka menyumbang.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih dengan kemurahan hati mereka. Dana yang saya kumpulkan untuk isteri saya tidak pernah saya salah gunakan. Semua untuk dia,” jelasnya.

Abil menambah, baju raya mahu pun kasut raya tidak dibeli sejak tahun lalu.

Katanya, Baju Melayu yang digunakan pada hari pernikahan mereka sekitar tiga tahun lalu menjadi baju Aidilfitri tahun ini.

“Saya langsung tidak membeli apa-apa keperluan untuk diri saya kecuali makan dan minum,” ujarnya.

Menurutnya, hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas semua bantuan dan pertolongan yang diberikan bagi meringankan bebannya menjaga isteri tercinta

"Alhamdulillah, Tuhan bukakan pintu hati orang ramai kerana sudi membantu saya sehingga ke hari ini.

“Saya yakin, setiap kesusahan ada jalan keluar. Jika Tuhan memberi saya dugaan sebesar ini, Dia pasti akan membantu saya juga," katanya.

Kata Abil, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Tuhan sentiasa memberi kekuatan kepadanya agar dapat terus menjaga isteri dengan mudah tanpa sebarang kesulitan.

Bercakap soal raya, Abil begitu teruja menceritakan kemeriahan Aidilfitri tahun ini.

“Meskipun keadaan isteri saya begini, namun saya sangat gembira.

“Ahli keluarga semuanya pulang ke Seremban dan memasak makanan hari raya bersama-sama. Sangat berbeza dengan tahun lalu,” katanya.

Menurut Abil, tahun lalu merupakan sejarah di mana bulan Syawal ‘diiringi’ kemurungan dan kesedihan. Namun dia percaya ALLAH akan menggantikan kesedihan dengan kebahagiaan tahun ini.

Beralih kepada topik kahwin, Abil ketawa kecil apabila soalan berkaitan diajukan.

“Kahwin lain? Kalau saya suka kahwin-kahwin, dah lama saya kahwin. Tidak perlu tunggu berumur 40 tahun baru nak kahwin,” katanya.


Cinta pandang pertama

Menurut Abil, ramai rakan-rakan terdekat yang mencadangkan agar dia berkahwin lain, namun dia menolak.

“Perempuan berkahwin supaya ada seseorang menjaga dia, jadi saya menjalankan apa yang diamanahkan.

“Saya tak rasa saya mampu memberi fokus kepada dia sepenuh masa jika saya berkahwin lain,” katanya.

Tambah Abil, sebelum ini Fauziah pernah bertanya, “kalau saya sakit tak boleh bangun, awak kahwin lain tak?”

Ketika itu Abil tidak mampu menjawab kerana dia tidak boleh memberi jawapan.

“Kini, saya boleh jawab. Selagi dia isteri saya, walaupun rupa dia berubah, saya tetap sayangkan dia. Kalau saya tak sayang dia, boleh saja saya hantar dia ke kampung dan setiap bulan saya kirim duit.

"Apapun, susah senang biarlah bersama. Jika ini bahagian yang perlu saya tempuh bersama isteri, saya redha. Semuanya sudah tertulis, segala perjalanan hidup saya telah pun disusun oleh ALLAH SWT. Kini, saya hanya
mengikut rentak yang telah ditentukan coraknya oleh Tuhan untuk saya dan isteri,” katanya.


Penat itu normal

Sementara itu, Abil menolak apabila rutin hariannya itu dikaitkan dengan rasa bosan, penat dan tertekan.

“Tak ada kerja di dunia ini yang tak penat. Tak kerja pun penat. Penat itu normal.

“Saya dah tahu saya akan rasa penat, muak, bosan dan tertekan, jadi saya sudah ubah perasaan itu jadi penghibur hati sejak awal. Saya kawal hati saya,” jelasnya.

Menerima pelbagai bentuk sokongan daripada orang ramai membuatkan dirinya lebih bersemangat menjalankan rutin hariannya.

“Saya semakin bersemangat setiap hari. Ada yang SMS ada yang telefon ada yang tinggal pesanan di laman sosial. Terima kasih untuk keprihatinan anda semua,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan bantuan kepada Fauziah melalui akaun Maybank  1551-7109-4087  atas nama Abil, atau menghubungi Abil ditalian 016–2634258.

- SINAR HARIAN
 

26 Oktober 2012

JAWATAN PENOLONG PENGUASA IMIGRESEN GRED KP27

by

JAWATAN PENOLONG PENGUASA IMIGRESEN GRED KP27

Gred: KP27   
         
Kumpulan: Sokongan / Pengurusan dan Profesional (Skim Perkhidmatan Bersepadu)    
         
Kem/Jab: Jabatan Imigresen Malaysia

Gaji:

P1 : RM1,361.14 - RM3,454.53
P2 : RM1,439.77 - RM3,659.75
P3 : RM1,521.80 - RM3,871.59

Kadar Kenaikan Tahunan : RM145.00

Syarat Lantikan:
    Calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut :
   
    LANTIKAN KE JAWATAN PENOLONG PENGUASA IMIGRESEN GRED KP27
    (a)     (i)     Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
GRED KP27 [ Gaji Permulaan P1 : RM1,361.14 ]
               
          (ii)     Sijil Tinggi Agama Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
GRED KP27 [ Gaji Permulaan P1 : RM1,361.14 ]
               
          (iii)     diploma dalam bidang pentadbiran awam yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
GRED KP27 [ Gaji Permulaan P1 : RM1,661.95 ]

     Deskripsi Tugas :    
       
    Penolong Penguasa Imigresen Gred KP27
Bertanggungjawab dalam aspek operasi, penguatkuasaan, pencegahan dan keselamatan negara.

Penguasa Imigresen Gred KP41
Bertanggungjawab dalam aspek operasi, penguatkuasaan, pencegahan dan keselamatan negara, latihan, penyelidikan, perancangan dan pembangunan.



Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar

by
Jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.

Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.

Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.

Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.

Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil.

Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.

Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak bertepi.

Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan amalan semasa hayat.

Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.

"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.

"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.

Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.

"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang berdasarkan darjat dan kedudukan.

"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.

Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.

Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.

"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. (riwayat at Tirmizi)

Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Selain Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya."

Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.

Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; "Hambaku datang dari segenap pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya Aku hapuskan semuanya. Allah SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu minta ampun utk mereka". (riwayat al-Bazzar)

Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.

Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai selain hari Arafah." Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman: "Apa yang mereka mahu". (riwayat Muslim)

- UTUSAN

25 Oktober 2012

Apek bernikah dengan Leuniey Disember 2012

by

Penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, 23, akan menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihan yang juga pemilik butik pengantin, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau lebih dikenali sebagai Leuniey pada Disember ini.

Berita gembira itu disahkan oleh bapa Apek, Che Mat Hussain ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Che Mat berkata, pihaknya kini sibuk membuat persiapan perkahwinan tersebut dengan tarikh yang masih dalam perkiraan adalah antara 28 Disember hingga awal Januari tahun depan.

“Tarikh sebenar akan diputuskan oleh anak saya selepas beliau pulang daripada latihan dengan skuad kebangsaan.

“Harapan kami perkahwinan ini akan menutup semua kontroversi yang melibatkan anak saya,” jelasnya.

Menurut Che Mat, majlis pertunangan dan akad nikah akan dilakukan secara ringkas pada hari yang sama.

Che Mat juga tidak mahu mengulas bila ditanya jumlah hantaran serta lokasi majlis perkahwinan itu akan dilangsungkan.

- KOSMO!

Kanser usus punca sembelit kronik?

by
ADAKAH anda kerap menghadapi masalah sembelit sehingga ke tahap yang serius? Tahukah anda kanser usus merupakan salah satu faktor punca berlakunya masalah sembelit kronik?

Kanser usus merupakan kanser ketiga tertinggi di Malaysia dan statistik daripada Kementerian Kesihatan turut mencatatkan 90 peratus daripada pesakit kanser ini adalah mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Namun, kanser ini turut menyerang golongan muda atas faktor pemakanan dan cara hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam dan merokok.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Seenivasagam Theruvenkidan, kanser usus sukar dikesan di peringkat awal kerana kebanyakan pesakit hanya akan mengetahuinya setelah menunjukkan petanda apabila penyakit ini berada di peringkat serius.

"Antara tanda kanser usus sudah kronik ialah apabila pesakit mengalami masalah membuang air besar akibat daripada pembentukan sel kanser di dalam usus besar yang menghalang laluan najis," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Dr. Seenivasagam, sembelit yang kronik merupakan salah satu simptom kepada masalah kanser usus atau kolon apabila sel kanser yang semakin membesar menyebabkan bukan sahaja najis tidak dapat melalui usus dengan sempurna malah terdapat juga masalah lain seperti tidak dapat mengeluarkan angin daripada badan.

Beliau berkata, kesedaran mengenai kanser usus masih lagi kurang dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana ramai pesakit datang berjumpa doktor hanya ketika kanser telah berada di peringkat ketiga dan keempat iaitu peringkat yang serius di mana sel kanser telah merebak ke bahagian usus dan organ badan yang lain.

"Beberapa simptom yang boleh mengesan kanser usus antaranya adalah najis yang bercampur darah, sembelit kronik diselang-seli dengan najis yang berair dan beberapa simptom lain," katanya.

Namun kebanyakan pesakit gagal mengesan kanser ini di peringkat awal dan menurut Dr. Seenivasagam beberapa ujian akan dijalankan untuk mendiagnos penyakit ini.

Antara ujian yang akan dilakukan ialah kolonoskopi yang mana tiub akan dimasukkan ke dalam badan untuk melihat keadaan di dalam kolon.

"Jika terdapat ketumbuhan biasa, ia akan dibuang dengan menggunakan peralatan tersebut dan jika kanser usus dikesan, pembedahan akan dijalankan bagi membuang usus yang dijangkiti sel kanser," katanya.

Setelah pembedahan dilakukan sistem pencernaan akan kembali berfungsi dengan baik dan masalah sembelit akan hilang.

- UTUSAN

Badal haji dan korban untuk arwah

by
BOLEHKAH kita melakukan badal haji dan ibadah korban untuk orang yang telah meninggal dunia? Jika boleh, saya ingin lakukan untuk arwah ibu saya.

Jawapan

Sebelum menjawab soalan ini, kita harus membincangkan satu perkara penting terlebih dahulu. Iaitu apakah orang yang telah meninggal dunia boleh mendapatkan pahala amalan ibadah yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup?

Mengikut kesepakatan (ijmak) ulama daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah, orang yang sudah meninggal dunia masih boleh menerima pahala ibadat yang dilakukan oleh ahli keluarganya yang masih hidup. Demikian dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn al-Qayyim (w. 751H) dalam kitab al-Ruh.

Dalilnya sangat banyak, salah satunya hadis Nabi SAW yang bermaksud: Apabila seorang manusia meninggal dunia, maka amalannya telah terputus melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang selalu berdoa untuknya. (riwayat Muslim)

Setelah mengumpulkan pelbagai dalil dalam perkara ini, Imam al-Syafii merumuskan: "Akan sampai kepada mayat daripada amalan orang lain tiga perkara, haji yang dilakukan untuknya, harta yang disedekahkan atau dibayarkan (hutang) untuknya dan doa. Aku mengatakan ini kerana berdalil dengan sunnah dalam perkara haji. Dan umrah serupa dengannya secara qiyas."

Badal haji

Daripada ucapan Imam Al-Syafii di atas, badal haji yang dilakukan untuk arwah, insya-Allah pahalanya akan sampai kepada arwah. Namun, apa hukum membuatkan badal haji itu?

Menurut ulama mazhab Syafii, hukum membuat badal haji terbahagi dua. Wajib jika arwah memang telah wajib melaksanakan ibadah haji semasa hidupnya, namun meninggal dunia sebelum sempat melakukannya. Dalam kes seperti ini, ahli waris wajib mengeluarkan sebahagian daripada harta pusaka peninggalan si mati untuk digunakan membiayai badal haji untuknya.

Berkata Imam al-Nawawi dalam kitab Al-Idah fi al-Manasik: "Wajib menggantikan (badal) haji bagi si mati jika ia (si mati) berkemampuan untuk haji ketika hidupnya namun tidak sempat melakukannya. Itu pun jika ia meninggalkan harta warisan. Jika tidak, maka bukan kewajipan waris untuk melakukan haji badal baginya."

Jika si arwah sememangnya tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah haji semasa hidupnya, maka ahli waris tidak wajib membuatkan badal haji baginya. Jika mereka ingin membuatkan untuknya juga, maka hukumnya harus. Namun dalam kes ini, waris tidak boleh menggunakan harta pusaka peninggalan arwah untuk membiayai badal haji itu kecuali dengan keizinan seluruh ahli waris.

Siapa yang berminat melakukan badal haji untuk arwah boleh melakukannya sendiri atau menyewa orang lain untuk membuatkan badal haji untuk orang yang dikehendaki. Seseorang yang melakukan badal haji mestilah orang yang pernah melakukan ibadah haji untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.

Korban untuk arwah

Bagi korban untuk arwah pula telah menimbulkan perselisihan di kalangan para ulama. Mazhab Syafii mengatakan bahawa korban adalah ibadah perseorangan. Oleh itu tidak sah dilakukan oleh orang lain tanpa keizinan daripada empunya diri. Jika orang itu telah meninggal dunia, maka ibadah korban tidak sah tanpa wasiat daripadanya.

Jika arwah pernah berwasiat agar dibuatkan ibadah korban selepas kematiannya, maka ahli waris boleh melakukan korban tersebut. Namun daging korban itu wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin.

Demikian kesimpulan hukum korban untuk arwah dalam mazhab Syafii. Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan adanya pandangan berbeza yang berasal daripada ulama mazhab lain.

Mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali, ibadah korban boleh dilakukan untuk arwah biarpun tanpa wasiat daripada si mati. Pahalanya insya-Allah akan sampai kepadanya.

Saya sangat berharap perbezaan pendapat ini tidak menyebabkan perbalahan di antara kita. Sebaliknya, kita mesti ingat bahawa matlamat utama ibadah korban adalah untuk menaati perintah Allah SWT, menzahirkan kesyukuran dan menghidupkan syiar agama di negeri kita.

Kita juga patut sedar bahawa keikhlasan dan ketakwaan yang menentukan nilai ibadah kita. Mana-mana ibadah korban yang benar-benar mengharapkan reda Allah, maka itulah yang lebih bernilai di sisi Allah SWT.

Allah berfirman: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamu lah yang dapat mencapainya. (al-Hajj: 37)

- UTUSAN

200,000 dapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

by
Sebanyak 198,870 orang telah mendapatkan khidmat pengurusan kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak ia mula ditubuhkan pada 2006 hingga bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian berkata, daripada jumlah itu, seramai 81,596 orang telah dibantu oleh agensi berkenaan menerusi Program Pengurusan Kredit.

“Berdasarkan statistik yang dikumpul, masalah penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi masih menjadi faktor utama kegagalan individu membayar balik pinjaman.

“Justeru, Program Pengurusan Kredit ini membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar dan berlakunya rampasan rumah," katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru.

Yang turut hadir Ketua AKPK Cawangan Johor, Mohd. Fairuz Mohamed.

Swee Lian berkata, antara faktor kegagalan peminjam membayar balik pinjaman termasuk disebabkan perancangan kewangan yang lemah, berbelanja melampaui kemampuan, kegagalan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan masalah kesihatan.

Menurutnya, agensi berkenaan turut menawarkan Program Pendidikan Kewangan bertujuan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan pada masa sama menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten dan teratur.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat AKPK boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2575 atau melayari laman web www.akpk.org.my

Rakyat Kelantan paling ramai mohon kerja melalui SPA

by
Rakyat Kelantan merupakan yang tertinggi memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak tiga tahun lalu, kata Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata sejak 2009 hingga 2011, seramai 495,000 rakyat negeri itu telah memohon kerja bagi Gred 1 hingga Gred 41.

"Sejak lima tahun lalu pula, seramai 12,831 daripada permohonan itu telah diterima bekerja di sektor kerajaan.

"Saya setuju mungkin faktor kenapa begitu ramai rakyat Kelantan memohon kerja ini disebabkan peluang kerja yang ada di Kelantan adalah sangat kurang dan faktor lain SPA akan buat kajian terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi interaksi Pengerusi SPA dengan ketua-ketua jabatan persekutuan, badan-badan berkanun, persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan zon Timur di Kota Bharu.

Mahmood berkata sejak tiga tahun lalu jumlah pencari kerja di seluruh negara yang memohon melalui SPA seramai 1.2 juta.

Menurutnya jumlah yang memohon pekerjaan itu tidak termasuk melalui suruhanjaya pekerjaan yang lain seperti pelajaran, polis dan tentera.

Beliau menafikan dakwaan kononnya SPA meminggir kaum-kaum tertentu sebaliknya mereka yang layak akan diberikan keutamaan.

- BERNAMA

27 syarikat disiasat Bank Negara Malaysia (BNM)

by


KUALA LUMPUR 23 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyiasat 27 individu dan syarikat yang menjalankan skim kewangan haram yang menggunakan emas.

BNM dalam kenyataannya menyatakan, tujuan serbuan dan siasatan ke atas individu dan syarikat berkenaan adalah bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada melabur lebih banyak wang dalam skim yang berisiko dan untuk melindungi kepentingan orang ramai.

Syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

“Syarikat-syarikat tersebut dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama selain menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang lumayan dan jaminan belian balik emas.

“Skim tersebut bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang yang baharu dilaburkan dalam skim ini," menurut kenyataan berkenaan.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat berkenaan biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang dikumpulkan daripada para pelabur.

Menurut BNM, serbuan perlu dibuat segera untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti serta menghalang aset daripada lesap.

Aset yang dirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.

Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah selepas prosiding perbicaraan selesai.

BNM dalam kenyataannya juga menasihatkan orang ramai agar mengambil perhatian terhadap perkara-perkara tersebut sebelum melabur:

* Sekiranya skim itu kelihatan ‘terlalu indah’, kemungkinan besar ia skim palsu.

* Waspada dengan skim Ponzi, iaitu pengendali akan mengambil wang pelaburan pelabur baharu untuk membayar ‘dividen’ kepada pelabur awal.

* Berurusan hanya dengan skim kewangan berlesen.

* Rujuk kepada pihak berkuasa.

* Jangan terburu-buru melabur.

* Berhati-hati dengan pelaburan di Internet.

* Waspada dengan apa-apa peluang pelaburan tidak bertulis.

* Simpan segala dokumen pelaburan (jika pelaburan telah dibuat).

* Rujuk laman web BNM mengenai amaran penipuan (www.bnm.gov.my)

- UTUSAN


Isu pelaburan emas: Penjelasan Bank Negara

by
Susulan pertanyaan mengenai serbuan ke atas syarikat terbabit

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam membuat penjelasan berhubung serbuan pihak berkuasa terhadap beberapa syarikat disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas.

Penjelasan itu dibuat berikutan banyak pertanyaan diterima mengenai tindakan yang diambil terhadap syarikat terbabit.

Skim kewangan haram

Susulan serbuan pihak berkuasa ke atas syarikat menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, baru-baru ini, banyak pertanyaan dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia.

Berikut adalah soalan lazim diterima dan jawapan agensi terbabit.

S: Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat itu?
J: Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim berisiko selain melindungi kepentingan orang ramai. 
Syarikat terbabit sedang disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat terbabit?
J: Kebimbangan timbul berikutan syarikat terbabit dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Mereka menjanjikan pelabur pulangan bulanan lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim itu bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang baru dilaburkan dalam skim berkenaan.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat itu biasanya tidak sepadan dengan jumlah dikumpulkan daripada pelabur.

S: Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang?
J: Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas ada sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan sudah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan sah.

S: Apakah status tindakan diambil pihak berkuasa?
J: Siasatan masih berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada kenyaataan rasmi dikeluarkan agensi penguat kuasa undang-undang saja untuk sebarang maklumat terkini.

S: Berapa lamakah tempoh siasatan?
J: Tempoh siasatan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti meningkat disebabkan dimensi antarabangsa kes itu.

Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber perlu digembleng oleh agensi penguat kuasa untuk mempercepat siasatan.

S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?
J: Bagi skim kewangan haram disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.

Agensi penguatkuasaan diberikan kuasa mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), untuk membekukan aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram dilakukan.

S: Apakah akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?
J: Aset yang dirampas akan didokumenkan dengan teliti dan diambilkira serta disimpan di tempat selamat. Sekiranya ada prosiding jenayah, aset itu hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

S: Bolehkah pelabur menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?
J: Aset yang dirampas ketika siasatan hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah. Pelabur boleh memfailkan kepada mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat mengenai sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur?
J: Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihatkan merujuk kepada agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

  • Sekiranya skim itu indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar ia skim palsu.

  • Berwaspada dengan skim Ponzi, ia adalah skim pelaburan berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baru untuk membayar kepada pelabur awal. Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baru tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan.

  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah

  • Rujuk kepada pihak berkuasa sebelum melabur/mendeposit wang

  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur

  • Berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet

  • Berwaspada dengan peluang pelaburan yang tidak bertulis

  • Jika pelaburan sudah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan

  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:
    http://www.bnm.gov.my/microsites/fraudalert/index.htm

Apple perkenal iPad mini

by

SAN JOSE – Syarikat Apple Inc. yakin kehadiran iPad mini yang diperkenalkan kelmarin mampu mengatasi pasaran komputer tablet daripada beberapa pesaing terdekatnya seperti Amazon, Google dan Samsung.

“Komputer ini bukan versi mini bagi iPad, tetapi satu gajet rekaan baharu secara keseluruhannya,” kata Timbalan Presiden Pemasaran Apple, Phil Schillernya pada majlis perasmian iPad mini di sini.

Paparan skrin sentuh iPad mini lebih kecil iaitu 20 sentimeter (sm) berbanding 24 sm untuk iPad.

Sebuah iPad mini 16 gigabit (GB) dengan sambungan wi-fi dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$329 (RM1,003), manakala versi dilengkapi WiFi dan keupayaan selular pula berharga AS$459 (RM1,400).

Bagi iPad mini 64GB dengan wi-fii dan keupayaan selular pula berharga AS$659 (RM2010).

IPad mini turut dilengkapi kamera hadapan dan belakang sama seperti iPad.

Tempahan iPad mini boleh dibuat bermula esok di AS.

Proses penghantaran iPad mini versi Wi-Fi akan bermula pada 2 November depan ke beberapa buah negara di rantau Asia, Eropah dan Amerika.

Pada masa yang sama Apple turut memperkenalkan komputer tablet iPad generasi keempat pada harga bermula daripada AS$499 (RM1,522) bagi model 16GB dengan sambungan wi-fi.

Apple menjual lebih 100 juta iPad sejak dua setengah tahun lalu.

Lebih 35 bilion pengguna juga telah memuat turun sebahagian daripada 275,000 aplikasi sedia ada bagi pengguna iPad.

Apple mencetuskan fenomena pasaran komputer tablet dengan mememperkenalkan iPad pertamanya pada awal 2010.

Walaupun iPad mini paling murah ditawarkan pada harga AS$329, tetapi gajet tersebut masih lagi lebih mahal daripada komputer tablet keluaran Amazon, Google dan Samsung yang dijual pada harga bermula harga AS$199 (RM607).

Mengulas berhubung produk terbaharu Apple itu, seorang penganalisis teknologi, Jeff Kagan berkata, iPad mini boleh menyebabkan iPad biasa menjadi kurang popular.

“Namun, kehadiran gajet baharu itu mampu meningkatkan lagi dari segi jumlah pelanggan yang membeli produk Apple,” katanya.

– AFP
 

Kuala Lumpur Di Tempat Ke-18 Senarai "CitiesOf Opportunity"

by
Kuala Lumpur berada dalam kedudukan lima teratas dua kategori penting perkembangan ekonomi dalam edisi kelima "Cities of Opportunity", yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Partnership Bandar Raya New York.

Merupakan pendatang baharu untuk kajian 2012 berkenaan, Kuala Lumpur, secara keseluruhan, berada di tangga ke-18, di tengah-tengah ranking antara Shanghai dan Beijing.

Dalam ranking 2012, "Cities of Opportunity" melaporkan yang Kuala Lumpur berada di tempat ketiga di dunia untuk kos rendah dan ke-10 untuk kelegaan menjalankan perniagaan.

Dari segi menjadi bandaraya yang berkos rendah, Kuala Lumpur berada di belakang Seoul dan Berlin, tetapi mendahului Istanbul dan Mexico City.

Langkah-langkah petunjuk kos mengukur kos untuk ahli perniagaan yang tinggal di bandar raya termasuk kos transnasional, cara hidup kelas pertengahan.

Pengarah Eksekutif PwC Advisory Services Malaysia, Andrew Chan Yik Hong berkata kos rendah Kuala Lumpur dan kelegaan menjalankan perniagaan mewakili poin permulaan transformasi bandar menjadi hab dunia untuk bakat dan daya saing.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kita, kita berada di landasan yang baik," kata beliau.

Antara yang memberikan pemarkahan yang baik untuk Kuala Lumpur ialah kos penginapan perniagaan, kos sewa, indeks harga pengguna dan kadar cukai yang rendah.

Dari segi kelegaan menjalankan perniagaan, Kuala Lumpur terikat dengan San Francisco di nombor 10 dalam petunjuk, di belakang Tokyo dan mendahului bandar raya mesra-perniagaan seperti Sydney dan Seoul.

Kedudukan kukuh Kuala Lumpur dari sudut ini, secara asasnya disokong daripada perlindungan pemegang saham, peraturan pekerja dan dasar visa yang agak fleksibel.

Bandar ini juga berada di tempat keenam dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan kelima dalam aktiviti pembinaan utama.

Chan berkata Kuala Lumpur dipilih untuk laporan "Cities of Opportunity" 2012 kerana ia adalah antara ibu negara Asia paling dinamik dan pesat berkembang sebagai bandar global utama.

Kaji selidik 27 pusat kewangan, perdagangan dan kebudayaan turut mengunjurkan Kuala Lumpur untuk meneruskan pertumbuhannya ke tahun 2025.

- BERNAMA

Top Ad 728x90