27 Disember 2012

Bantuan awal persekolahan 2013 diagih

by
Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan.

Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun bank.

Menurut kenyataan tersebut, mana-mana sekolah yang menerima kurang peruntukan, perlu membuat permohonan tambahan peruntukan beserta penyata bank sekolah dan jumlah yang diperlukan kepada Bahagian Kewangan kementerian secepat mungkin.

Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.

''Tarikh pemulangan lebihan peruntukan juga ditetapkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana sekolah yang menerima lebihan peruntukkan bantuan tersebut,'' kata kenyataan itu.

Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.

Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013.

Pada masa yang sama, kenyataan tersebut turut meminta setiap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Daerah memaklumkan kepada sekolah mengenai pelaksanaan bantuan antaranya termasuklah melalui surat siaran, garis panduan dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan pembayaran bantuan mengikut prosedur dan peraturan kewangan.

Pihak terlibat perlu melaporkan rumusan agihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada kementerian selewat-lewatnya pada 28 Februari depan mengikut format yang ditetapkan.

Selain JPN dan daerah, pihak sekolah juga tidak terkecuali berperanan dalam perkara itu antaranya termasuklah memastikan murid yang layak menerima bantuan, menyemak dan merekod peruntukan yang diterima ke dalam Buku Tunai KWK, dan mengeluarkan resit rasmi pejabat apabila peruntukan telah sah dimasukkan ke dalam akaun KWK.

Sekolah juga perlu mengeluarkan wang bantuan daripada bank dan mengagihkan secara tunai kepada ibu bapa atau penjaga murid dalam tempoh 14 hari bekerja daripada tarikh bantuan diterima.

Pihak sekolah juga perlu memastikan ibu bapa atau penjaga menurunkan tanda tangan ke atas Senarai Akuan Penerimaan atau Penolakan Bantuan dengan disaksikan dua guru sebagai saksi.

Sekolah yang telah membuat agihan bantuan ini kepada murid yang akan berpindah sekolah perlu meletakkan cop 'telah bayar' bantuan khas RM100 pada borang perpindahan sekolah murid bagi mengelakkan berlakunya pertindihan agihan bantuan berkenaan di sekolah baharu nanti.

Bagi memastikan tidak ada murid yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sekolah diminta mendahulukan peruntukkan sedia ada sekolah seperti wang SUWA atau lain-lain peruntukan sekiranya peruntukkan asal tidak mencukupi.

Pengetua atau guru besar dinasihatkan memohon secara rasmi perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis di negeri masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah RM10,000.

- UTUSAN

45,000 Kakitangan Kerajaan Disambung Kontrak

by
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mengumumkan kontrak 45,000 kakitangan awam yang berstatus perkhidmatan kontrak akan disambung enam bulan lagi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kontrak mereka akan diperbaharui mulai1 Januari sehingga hujung bulan Jun nanti.

"Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kebenaran ini, kesemua mereka akan mendapat surat penyambungan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kongres di sini, Khamis.

Beliau mendapat keputusan itu dalam minggu ini dan pengumuman itu akan memberi harapan baru kepada 45,000 kakitangan kerajaan yang bimbang dengan masa depan mereka ekoran kontrak bakal ditamatkan pada hujung tahun ini.

Omar juga meminta jasa baik kerajaan untuk membenarkan kakitangan kerajaan yang mempunyai rekod baik mengambil cuti tanpa rekod selama 10 hari.

Katanya selain itu cuti tanpa rekod juga perlu diberi kepada ibu-ibu yang terpaksa menjaga anak yang sakit.

"Setahun ada 25 hari, kalau anak kena kuarantin 10 hari, kaum ibu kena ambilcuti 10 hari dan tinggal 15 hari sahaja, kalau tidak cukup cuti, kena ambilcuti tanpa gaji," katanya.

Beliau juga meminta penjawat awam yang mahu menunaikan umrah dibenar mengeluarkan caruman daripada simpanan gratuiti perkhidmatan antara RM5,000 dan RM10,000.

Wang tersebut boleh diganti semula selepas mereka bersara nanti menggunakan duit pencen mereka, katanya.

"Cara ini lebih sesuai kerana kakitangan kerajaan tidak mempunyai KWSP tetapi mempunyai simpanan gratuiti perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan orang ramai mengeluarkan wang daripada akaun kedua mereka untuk menunaikan umrah.

Cuepacs juga hari ini sebulat suara mengusulkan kepada kerajaan menangguhkanpelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Kajian terperinci perlu dibuat kerana ada kamera yang dipasang di kawasan yang tidak mempunyai data kemalangan, kawasan yang kerap kemalangan pula tidak dipasang," katanya.

Omar turut melahirkan rasa simpati terhadap pemandu jabatan kerajaan yang dipaksa membayar sendiri saman sedangkan mereka disaman kerana mematuhi arahan ketua yang menaiki kenderaan berkenaan.

Beliau memohon supaya saman had laju termasuk daripada AES dalam kes-kesseumpama itu dibayar oleh jabatan masing-masing.

"Mulai sekarang, biarlah yang membayar saman ini terdiri daripada pihak jabatan. Pemandu dengan upah RM800 ke RM1,500 sebulan, mana nak mampu bayar saman 2-3 kali sebulan sedangkan mereka dipaksa (memandu) laju kerana mengikut arahan," katanya.

- BERNAMA

Gaji Minimum Di Stesen Minyak Akan Dilaksana Mulai 1 Januari 2013

by
Kira-kira 3,600 stesen minyak di seluruh negara akan menetapkan gaji minimum untuk pekerja mereka, mulai 1 Januari 2013.

Gaji di stesen minyak di Semenanjung akan dinaikkan sehingga RM900, manakala Sabah dan Sarawak pula sehingga RM800.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, langkah itu dijangka meningkatkan kos operasi sebanyak 30%.

"Kos operasi akan naik, bukan gaji sahaja, tetapi juga KWSP, Perkeso, kadar lebih masa lebih tinggi... keseluruhan struktur, segala-galanya akan meningkat," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata, hasilnya, premis akan perlu mengurangkan kos, termasuk menaik taraf semua stesen dengan kemudahan layan diri dan mengurangkan tenaga kerja.

Hashim berkata, beliau menjangkakan separuh daripada semua pekerja asing yang bekerja di premis itu tidak akan diperbaharui kontrak mereka.

Dianggarkan 70% daripada pekerja 50,000 stesen minyak Malaysia adalah warga asing.

- MSTAR

Murid naik bas sekolah dilindungi RM100,000

by
Kira-kira 1.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah akan diberi perlindungan skim insurans mulai Januari depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid berkata, skim itu dikenali sebagai perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian dengan had sebanyak RM100,000 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 September lepas di Parlimen.

Katanya, SPAD telah membuka tender kepada syarikat insurans yang berminat untuk menghantar kertas cadangan yang disertakan dengan sebut harga untuk perlindungan skim insurans itu.

"Kita akan memilih syarikat insurans yang mengemukakan kertas cadangan yang terbaik serta sebut harga yang munasabah bagi tujuan itu sebelum dilantik sebagai penyedia skim insurans.

"Kita sasarkan apabila sekolah dibuka tahun depan, semua pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan diinsuranskan sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat antara SPAD serta Pengusaha Bas Bentong dan Temerloh.

- KOSMO!

Uchop Juara Vokal 2

by


SHAH ALAM: Juara musim kedua program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal 2), Uchop, enggan menukar nama yang lebih komersial untuk memulakan kariernya sebagai penyanyi profesional.

Uchop atau nama sebenarnya Mohmad Yusof Ahmad, 28, berkata, walaupun ramai penyanyi sering mengubah nama asal mereka, dia menyifatkan namanya adalah 'jenama' yang mampu menarik perhatian masyarakat untuk dikenali ramai.

"Saya selesa menggunakan nama sendiri dan percaya 'Uchop' memiliki nilai komersial yang tersendiri.

"Lagipun saya dikenali menerusi Vokal 2 dengan nama ini dan rasanya para peminat terima saya seadanya.

"Ia juga merupakan aset dalam menjana rezeki saya sebagai penyanyi nanti," katanya.

Tambah Uchop, dia juga tidak sabar memulakan karier barunya sebagai penyanyi dan ingin menghasilkan album menggunakan wang kemenangannya sebanyak RM100,000 itu.

Pertandingan akhir Vokal 2 telah berlangsung pada malam Rabu lalu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, disini.

Sementara itu, bapa kepada dua orang anak iaitu Iskandar, 6, dan Zulaika, 2, berkata, dia akan mengasah bakatnya dengan memasuki kelas vokal untuk tampil lebih bertenaga di depan khalayak nanti.

"Sebenarnya banyak kelemahan yang perlu saya betulkan dan untuk menjadi penyanyi yang versatil dan memiliki tenaga nyanyian yang mantap, saya harus memasuki kelas vokal.

"Mungkin saya akan meminta beberapa komposer untuk membimbing saya mengenai hala tuju dalam bidang nyanyian ini.

"Saya faham, apabila menjadi penyanyi rock, orang sering kaitkan kita dengan mana-mana penyanyi yang sedia ada dan kerana itu saya ingin mengubah cara nyanyian saya kepada genre muzik rock yang lebih urban dan segar," ujarnya.

- MSTAR

MYNIC lahirkan 10,000 usahawan siswazah

by
MYNIC Berhad sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk melahirkan 10,000 usahawan dalam kalangan siswazah yang berniaga secara dalam talian melalui program baru syarikat itu, Ebiz1Malaysia.

Ebiz1Malaysia akan menyediakan platform percuma bagi peniaga untuk memasarkan produk jualan mereka di sebuah portal yang disediakan khas.

Ketua Pegawai Operasi Ebiz1Malaysia, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, "Inisiatif ini sebenarnya terbuka kepada semua golongan masyarakat untuk berniaga secara online. Namun, kami memberi penekanan khusus kepada golongan siswazah bagi melahirkan lebih ramai usahawan di masa depan."

Bagi merealisasikan impian itu, Mynic dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dijangka akan mengadakan siri jelajah bagi melantik dan melatih 2,000 siswazah yang akan dilantik sebagai Duta Ebiz1Malaysia.

Duta yang dilatih itu akan mendidik pula rakan-rakan mereka mengenai kelebihan menggunakan portal itu untuk menjana pendapatan secara sampingan.

"10,000 usahawan siswazah online ini juga akan dibekalkan 'kit usahawan' berupa modul pembelajaran, DVD teknik membuka kedai online serta t-shirt ebiz1Malaysia untuk mempromosikan portal ini," kata Shahabudeen Jalil lagi.

Program ini dijangka akan dilancarkan pada Januari ini dan akan bergerak sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Katanya, modul perniagaan seperti ini telah menempa kejayaan di negara-negara lain seperti di Eropah dan di China.

"Di negara kita, peratusan jual-beli dalam Internet masih lagi rendah walaupun kadar penembusan internet agak tinggi berbanding negara lain di dunia," katanya.

Melalui program ini Mynic mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia di kalangan peniaga kecil, suri rumah dan siswazah yang akan menceburkan diri dalam perniagaan penjualan barangan melalui Internet.

Selain itu, program Ebiz1Malaysia juga menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.

- UTUSAN

CMCF kawal kandungan siaran Malaysia

by
PADA usia 15 tahun, Shahrul (bukan nama sebenar) mengakui, dirinya ketagih untuk melayari laman web yang memaparkan kandungan pornografi seperti gambar-gambar lucah. Kecanggihan teknologi masa kini memudahkan lagi proses untuknya berbuat demikian. Apatah lagi memiliki telefon pintar yang dihadiahkan oleh ibu bapa, membolehkan Shahrul mengakses laman tersebut tanpa sebarang kekangan. Bukan itu sahaja, komputer riba yang diletakkan di dalam bilik turut memudahkan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di ibu kota itu melayan nafsu kotornya. “Pada mulanya saya sekadar suka-suka atas ajakan rakan sebaya. Lama-kelamaan saya terus ketagih hingga setiap hari saya pasti akan melayari laman lucah tersebut. Tambahan pula, laman yang dilayari tiada sebarang kawalan untuk menyekat pengguna daripada menontonnya,” ujar Shahrul tanpa sebarang rasa kesal atau malu. Situasi yang dihadapi Shahrul mungkin turut dialami oleh ramai remaja di negara ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau setiap anak mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat tersebut. Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan, 39, berkata, bagi mereka yang mementingkan nilai kesopanan dan adab menjaga kehormatan, kandungan lucah boleh menimbulkan rasa jijik lantaran gambaran memberahikan yang bertentangan dengan hukum agama serta norma masyarakat Timur. Pengaruh negatif Kandungan lucah sebenarnya mendatangkan pengaruh negatif dan merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda. “Teknologi kini berkembang pesat pada kadar yang terlalu pantas. Di sebalik kelangsungan proses ini, pasti ada bahaya yang menanti. Justeru, CMCF mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan mengamalkan kawalan kendiri dalam mengakses kandungan multimedia. “Pada waktu dahulu, kandungan disiarkan hanya melalui radio atau televisyen, tetapi sekarang terdapat pelbagai cara penyampaian pesanan dan kandungan. “Kami di CMCF menggesa semua pengguna multimedia supaya berwaspada apabila mengakses sesuatu kandungan multimedia,” ungkap Mustaffa dalam satu temu bual bersama Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini. Tambahnya, dengan pengenalan TV kabel dan internet (IPTV, Video on Demand dan lain-lain), khalayak kini terdedah kepada liputan kandungan yang lebih luas. Maka, pertimbangan yang sewajarnya perlu bagi memastikan masyarakat hanya mengakses kandungan yang positif dan sihat. “Saya amat berharap orang ramai akan memainkan peranan aktif dalam memastikan masyarakat kita khususnya generasi muda bebas daripada kandungan negatif, berbahaya dan merosakkan,” ujarnya. Badan pemantau Mula ditubuhkan secara rasmi pada 2001, CMCF adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Ia bertanggungjawab menggubal dan membangunkan satu Kod Kandungan negara yang bukan sahaja untuk pengamal industri malah buat pengguna awam. Tujuan utama Kod Kandungan adalah untuk mencadangkan garis panduan dan tatacara berhubung peruntukan kandungan melalui kawalan diri oleh industri dengan cara yang praktikal. Selain itu, ia boleh dilaksanakan secara komersial. Pada masa yang sama, ia merangsang, mempromosi dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan industri. “Pada tahun 2004, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) telah didaftar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan berkuat kuasa pada tahun yang sama. “Pembangunan Kod Kandungan mengambil masa selama tiga tahun hasil kerjasama semua pihak yang menggembleng tenaga. Secara am, mereka terdiri daripada pihak yang terlibat dalam industri elektronik dan khusus bagi pengamal, pembekal serta pengguna. “Kod Kandungan ini menggabungkan semua tatacara dan jenis panduan sedia ada dimasuk dan diolah semula. Ia membantu usaha industri komunikasi dan multimedia ke arah kawalan kendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA),” jelas beliau. Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kewujudan Kod Kandungan, CMCF telah melaksanakan pelbagai program. “Antaranya untuk menjadikan Kod Kandungan lebih mudah difahami, pihak kami telah menerbitkan buku dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil secara dalam talian. “Selain itu, sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu, CMCF telah mencapai beberapa sasaran penting yang membantu khalayak memahami dengan jelas mengenai Kod Kandungan terutamanya dari segi mengenal pasti kandungan yang tidak sesuai dan melanggar undang-undang,” katanya lagi. Tidak ketinggalan, CMCF juga telah berjaya mewujudkan Biro Aduan serta menganjurkan program kesedaran untuk pelbagai sektor sama ada awam mahupun swasta. Operasi Biro Aduan adalah untuk menerima dan menyelesaikan aduan yang diterima daripada orang awam. Secara purata setiap tahun terdapat lebih 100 aduan yang diterima merangkumi pelbagai medium utama seperti televisyen, internet dan radio. Program kesedaran CMCF turut mengadakan sesi jelajah program kesedaran di seluruh negara dengan kerjasama SKMM serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. “Di samping itu, pelaksanaan Program Kluster Sekolah pula bertujuan untuk mendidik pelajar tentang Kod Kandungan agar mereka lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika memuat turun atau menghantar sesuatu kandungan yang negatif. “Terdapat dua fasa dalam program ini iaitu Fasa I bagi pelajar sekolah menengah manakala Fasa II untuk pelajar sekolah rendah,” ujar Mustaffa lebih lanjut. Tegas beliau, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak kecil atau pelajar tidak patut disekat, tetapi mereka perlu dibimbing untuk menggunakannya ke arah kebaikan. “Oleh itu, kawalan kendiri sebenarnya bermula di rumah yang memerlukan pembabitan ibu bapa secara langsung dalam memantau aktiviti pelayaran internet anak-anak. “Sebagai contoh, ibu bapa perlu membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari internet sendirian. Walaupun sedikit kawalan kendiri dapat diamalkan, ia mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak,” tuturnya melahirkan harapan terhadap ibu bapa agar tidak memandang remeh tentang perkara ini. - KOSMO!

KWSP benar keluar RM3,000 untuk kos haji

by
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan 'Pengeluaran Haji' yang membolehkan ahli mengeluarkan simpanan mereka sehingga RM3,000 daripada Akaun 2 bagi membiayai kos ibadah haji, berkuat kuasa 1 Januari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Ibrahim Taib, berkata permohonan mudah tanpa perlu mengisi borang itu boleh dibuat ahli berumur kurang 55 tahun dengan syarat sudah menerima surat tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji.
Sekali seumur hidup

Bagaimanapun, katanya, ahli diingatkan pengeluaran ini hanya boleh dibuat sekali seumur sehidup dan hanya layak bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan yang cukup di Tabung Haji.

Untuk membuat permohonan pengeluaran haji itu, ahli yang layak boleh ke mana-mana cawangan KWSP dengan mengemukakan kad pengenalan, surat tawaran Tabung Haji dan buku akaun simpanan Tabung Haji yang sudah dikemaskini.

“Ahli juga diingatkan supaya mengemukakan permohonan haji selewat-lewatnya tiga hari bekerja sebelum tarikh akhir menjawab pengesahan menunaikan haji seperti ditetapkan Tabung Haji bagi memudahkan proses permohonan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, Ibrahim berkata ahli yang berminat boleh mengunjungi laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000.

Pelabur harus mengetahui perniagaan diceburi

by
"Gunakan sekurang-kurangnya separuh daripada wang bonus yang diterima untuk tujuan simpanan dan pelaburan," demikian nasihat Ketua Pegawai Pelaburan Allianz Malaysia Bhd., Esther Ong Chen Woon.

Menurut beliau, simpanan merupakan perkara penting bagi tujuan membeli rumah, menabung untuk pendidikan kanak-kanak, untuk kegunaan semasa kecemasan atau perancangan persaraan.

"Memang kita perlu memanjakan diri sendiri selepas berhempas pulas bekerja sepanjang tahun, namun seseorang itu perlu beringat semasa berbelanja bagi memastikan kewangan mereka sentiasa stabil sepanjang hayat.

"Semasa individu masih muda, mereka harus sentiasa bijak berbelanja dan mengumpul kekayaan dalam bentuk deposit," katanya.

Chen Woon menasihatkan orang muda untuk membeli rumah pada permulaan kerjaya terutama kediaman bertanah kerana nilainya akan meningkat dari semasa ke semasa dan bukannya menghabiskan wang untuk membeli kereta.

Katanya, anggapan bahawa pelaburan kereta adalah keperluan merupakan satu pendapat yang salah kerana ia tidak boleh dianggap sebagai aset ekoran nilainya yang menyusut.

Menyentuh mengenai bentuk pelaburan ideal, Chen Woon berpendapat bahawa campuran bon dan ekuiti adalah seimbang dari segi risiko dan pulangan.

Strategi tersebut disasarkan kepada individu bekerja yang tidak mempunyai masa untuk memantau pelaburan mereka.

Beliau turut menasihatkan pelabur supaya selalu mempersoalkan sifat asas bagaimana pulangan tinggi diperolehi.

Katanya, pelaburan yang memberi pulangan terlalu tinggi secara luar biasa seperti yang ditawarkan oleh 'Skim Cepat Kaya' bermakna risiko yang dihadapi juga adalah tinggi dan ia tidak dijamin.

Tambah beliau, pelabur perlu membina pelbagai portfolio dengan gabungan pelaburan yang betul, sesuai dengan keperluan pelaburan atau simpanan individu dan yang paling penting mengetahui asas-asas pelaburan.

"Jangan sekali-kali melabur dalam perniagaan yang anda tidak faham.

"Memahami sifat pelaburan dan berpegang kepada hanya apa yang anda tahu adalah langkah pertama untuk melabur secara betul dan pelabur perlu mengambil kira risiko dan menilai pelaburan sekurang-kurangnya setiap tiga bulan," katanya.

Menurut Chen Woon, terdapat banyak faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melabur terutama faktor jangka panjang seperti dasar fiskal dan kewangan, politik dan trend ekonomi.

Seseorang pelabur katanya, perlu memahami kedudukan kewangan negara, selain melihat data asas seperti pasaran kerja, kadar pengangguran, kenaikan gaji dan kos sara hidup.

"Berinteraksi dengan orang ramai dari pelbagai industri seperti peniaga, pemandu teksi, peruncit dan rakan-rakan juga boleh membantu dalam menentukan sentimen pasaran secara keseluruhan.

"Walau apa pun, sekali lagi saya ulangi, lebih banyak berjimat dan kurangkan berbelanja.

"Jangan biarkan keuntungan yang cepat dan pulangan yang tinggi menutupi mata anda, sentiasa melengkapkan diri anda dengan fakta dan pengetahuan. Dengan ini, anda akan pasti bahawa anda melakukan perkara yang betul dengan wang yang anda miliki," tegasnya.

- UTUSAN


Keajaiban bersedekah

by
Oleh Safarina Mohd Fathoni

Dewasa ini amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara memerlukan bantuan.
Hal ini kerana semua fahaman agama yang berbeza mempunyai prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran fahaman Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu.

    Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya" - Surah al-Anam (ayat 160)


Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan dihadapi saudara seagama di seluruh dunia. Apatah lagi apabila diuar-uarkan kisah penderitaan ditanggung saudara seagama sejak lebih 60 tahun lalu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin.

Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.

Hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda setiap anggota badan manusia bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, tidak pula dinafikan ada segelintir masyarakat kurang prihatin terhadap impak positif amalan sedekah terhadap dirinya dan juga masyarakat. Mereka berasa harta kurang apabila memberi selain berasa takut kehilangan barang kesayangan.
Mereka inilah yang kurang kefahaman dan keyakinan mengenai kelebihan bersedekah seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah.

Bagi yang kurang faham, bukalah hati dan minda untuk memahami betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan. Terdapat sifir mudah termaktub di dalam al-Quran di dalam Surah al-Anam, ayat 160, yang bermaksud, “Sesiapa yang membawa satu amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya.”

Dalam hal ini, Pengetua Pondok Pesantren Daarul Quran Bulak Santri, Indonesia, Yusuf Mansur mempunyai penjelasan mengenai keajaiban sedekah.

Katanya, berdasarkan dalil al-Quran di atas, setiap kali kita memberi satu, kita akan mendapat 10. Asalnya, sekiranya kita ada 10, kita berikan satu pada orang lain yang memerlukan, baki yang kita ada ialah sembilan (10 – 1 = 9).

Tetapi apabila kita amalkan formula sifir ini dalam konteks sedekah, nilaian satu yang kita berikan itu akan digandakan dengan 10. Oleh itu, baki yang kita miliki selepas memberi satu tadi bukan sembilan, tetapi 19.

Ini adalah jumlah yang kita miliki selepas memberi atau bersedekah (1 x 10 = 10). Natijahnya, baki yang kita ada apabila ditambah dengan gandaan 10 tadi ia menjadi 19 (9 + 10 = 19 ). Jika beri dua, maka hasilnya akan dapat 28, dan begitulah seterusnya.

Jika kita memberi, memang secara zahirnya apa yang kita miliki itu akan berkurang. Namun, ia bertambah di sisi Allah SWT, malahan ganjarannya boleh sampai sehingga 700 kali ganda.

Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Apabila memahami sifir sedekah di atas, maka yakinlah sedekah akan menjadikan kita kaya dengan sekelip mata. Masakan tidak kaya, apabila memberi satu, bukan berkurang, tetapi ditambah dengan gandaan 10. Malah boleh digandakan hingga 700 kali ganda.

Justeru, jadikan amalan sedekah bukan sebagai amalan kebetulan iaitu jika tidak ke masjid, tidak bersedekah. Jika bukan hari Jumaat, tiada yang mahu disumbangkan, tetapi jadikanlah ia sebagai amalan harian.

Kalau tiada yang meminta, kitalah yang mencarinya. Alangkah hebatnya seorang Muslim yang tidak akan tenang hatinya jika tidak dapat memberi dalam sehari.

- BERITA HARIAN

19 Disember 2012

Penguasa Kastam wajib ikuti Kursus Asas

by

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mewajibkan lantikan baharu penguasa kastam menghadiri kursus asas di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) sebelum ditempatkan di stesen masing-masing.
  
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata langkah itu bagi melahirkan pegawai berkemahiran, berkebolehan, profesional dan berpengetahuan asas tentang ilmu perkastaman sebelum mereka menjalankan tugas.
  
"Sebelum ini kursus asas hanya diberikan kepada pegawai baharu yang dilantik selepas satu atau dua tahun mereka ditempatkan di lapangan masing-masing.
  
"Kita ubah pendekatan ini supaya mereka menjadi pelapis yang benar-benar memahami dan mengetahui selok belok tugas JKDM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup tamat latihan kursus asas penguasa kastam Gred W41 2012 di Melaka.
  
Beliau berkata pendekatan yang bermula pada 18 Sept 2012 itu akan turut diperluaskan kepada lantikan baharu pegawai sokongan kastam bermula tahun depan.

Khazali berkata modul kursus asas tersebut dirangka bagi mendedahkan peserta mengenai struktur, fungsi, aktiviti dan strategi pengurusan JKDM selain memberi pendedahan tentang perintah, arahan dan pekeliling jabatan serta memupuk nilai etika kerja yang cemerlang.
  
Beliau berkata JKDM turut bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan aktiviti fizikal dalam kursus itu untuk meningkatkan semangat juang dan disiplin yang tinggi dalam kalangan bakal pegawai kastam.
  
Katanya sebanyak 219 penguasa kastam gred W41 berjaya menamatkan kursus latihan selama tiga bulan di Akmal bermula 18 Sept lepas dan kesemua mereka akan melapor diri di Jabatan Kastam di seluruh negara pada 24 Dis ini

- Bernama




 

18 Disember 2012

Gaji Minimum Bermula Tahun 2013

by
Syarikat-syarikat multinasional (MNC) sudah bersedia untuk melaksanakan pembayaran gaji minimum sebanyak AS$300 (RM900) sebulan kepada pekerja-pekerja Malaysia mulai awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun ada rungutan pada awalnya namun mereka akur dengan keputusan kerajaan.

Lagipun, keputusan itu tidak membabitkan para pekerja asing di negara ini, menurut beliau.

“Kami sudah menjelaskan perkara ini secara terperinci bahawa Malaysia bukan lagi sebuah negara berorientasikan buruh, sebaliknya menawarkan kemahiran dan pengetahuan tinggi kepada pelabur asing," katanya dalam taklimat dengan para peneraju syarikat Malaysia yang beroperasi di sini.

Jelas beliau, kerajaan mempertahankan keputusan itu kerana langkah itu selari dengan matlamat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi dengan peningkatan pendapatan perkapita kepada AS$15,000 (RM45,000) menjelang tahun 2020.

Menurut kajian di lima sektor utama negara ini, gaji pokok purata pekerja adalah RM626.76 sebulan, manakala, gaji kasar purata termasuk elaun-elaun tetap adalah RM762.20 sebulan.

“Jika dibandingkan Malaysia dengan Korea Selatan, kita sudah jauh ketinggalan walaupun 40 tahun lalu negara itu lebih mundur.

“Keputusan gaji minimum ini menunjukkan kerajaan serius untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan menjadi negara maju," jelas beliau.

Terdahulu ketika memberi taklimat dengan syarikat-syarikat India, Mustapa menjelaskan perlindungan yang diberikan kepada kerajaan kepada bumiputera tidak seharusnya dijadikan isu untuk melabur di Malaysia.

Sebaliknya, katanya, pelabur asing digalakkan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat bumiputera.

“Dasar (perlindungan kepada bumiputera) masih diperlukan tetapi kerajaan telah mengubah kaedahnya berdasarkan merit dan kompetitif.

“Jadi, pelabur asing sewajarnya menjadikan syarikat-syarikat bumiputera sebagai rakan kongsi," ujar beliau.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya berharap MNC dan majikan swasta dapat memahami kriteria pemberian gaji minimum kepada kakitangan masing-masing.

Beliau berkat, segala bentuk elaun mahu pun imbuhan-imbuhan lain perlu diasingkan daripada gaji pokok kakitangan.

“Gaji pokok RM900 ini dijangka memberi impak yang baik dalam konteks yang lebih besar termasuk menjana pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika dihubungi.

Katanya, perkara itu amat penting bagi pekerja untuk menyimpan, selain mewujudkan satu sistem pendapatan yang lebih terjamin kepada semua masyarakat.

- UTUSAN

Agama Jihad dalam perkahwinan

by
Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA

Objektif utama perkahwinan dalam Islam adalah ketenangan dan kebahagiaan. ini kerana dua insan berkenaan memenuhi fitrah kemanusiaan dengan menjalin hubungan biologi, fizikal dan rohani bersama pasangan menurut kehendak syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu adalah sunnahku, dan sesiapa yang membenci sunnahku bererti dia tidak termasuk dalam golonganku. (Hadis riwayat Muslim).

    Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”


Dalam al-Quran, jalinan perkahwinan disebut Allah sebagai mithaqan ghaliza yang bermaksud satu perjanjian yang sangat berat tanggungjawabnya dan sangat kuat. Jelas di sini bahawa Allah dan Rasul-Nya melarang umat Islam mempermain-mainkan persoalan nikah kahwin, apatah lagi untuk dijadikan isu atau modal dalam senda gurauan.

Malah, Islam juga melarang pernikahan yang bersifat kontrak atau sementara kerana ikatan pernikahan adalah suatu jalinan perhubungan di antara lelaki dan wanita yang berlangsung sepanjang hayat, bukannya untuk tempoh 15 minit, sebulan, empat bulan dan sebagainya.

Paling menarik ialah mereka yang sudah berkahwin akan diberkati Allah SWT dan diberikan kekayaan melalui limpah kurnia-Nya.

Allah SWT berfirman: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Nur, ayat 32).
Di samping itu, pasangan yang sudah berkahwin bermakna mereka menyempurnakan separuh daripada agamanya kerana memiliki tanggungjawab keluarga, bukan sekadar tanggungjawab dirinya sendiri seperti sebelumnya.

Rumah tangga dalam konteks ini adalah satu komuniti terkecil dalam sebuah masyarakat yang memiliki fungsi penting bagi kehidupan bersama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh imannya. Oleh kerana itu, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dalam separuh yang berbaki itu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali pernah berkata: “Sebenarnya perkahwinan itu mempunyai makna jihad dan di antara latihan jihad itu adalah mengawal dan mentadbir, menunaikan hak-hak keluarga, bersabar terhadap kerenah dan budi pekerti isterinya, memimpinnya ke jalan agama, berjuang mencari rezeki yang halal untuk mereka di samping berusaha mendidik anak-anak. Kesemua tugas itu adalah kerja dan tanggungjawab besar.”

Namun, mengapa kadangkala perkahwinan yang terjalin hanya mampu bertahan seumur jagung? Mengapa pula kebahagiaan perkahwinan hanya sebatas pada resepsi perkahwinan secara besar-besaran? Mengapa pula perbalahan dan pertengkaran kerap mewarnai kehidupan rumah tangga?

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita empat kriteria yang menjadi sebab dan kecenderungan terciptanya ikatan pernikahan serta memberi panduan kepada umatnya supaya mengutamakan satu daripada empat kriteria itu.

Rasulullah SAW bersabda: Perempuan dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang memiliki pengetahuan agama yang baik, yang akan memberi keuntungan kepadamu. (Hadis riwayat Muslim)"

Selanjutnya, campur tangan pihak lain, terutama pihak mentua adalah antara punca keretakan rumah tangga. Oleh itu, biarkanlah suami isteri yang melakukan penyesuaian dan penyelesaiannya serta mengatasi masalah dengan caranya sendiri, mengharungi suka dan duka, pahit dan manis nescaya mereka akan menemui penyelesaian baru dalam memecahkan permasalahan yang ada.

Setiap pasangan hendaklah berusaha untuk saling mencintai dan menyayangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji, serta sifat mulia lainnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan bahtera melayari ombak kehidupan yang membadai.

Demikianlah, matlamat perkahwinan yang seharusnya berfungsi melahirkan kebahagiaan demi kebahagiaan, bukannya kesedihan demi kesedihan kerana ia bererti berjalan di atas fitrah kemanusiaan dan menjunjung perintah Allah.

- BERITA HARIAN

16 Disember 2012

PDRM ambil 4,000 anggota baru

by
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil 4,000 pegawai dan anggota, tahun 2013 bagi menampung keperluan di seluruh negara.

Ia membabitkan 1,000 pegawai berpangkat inspektor dan 3,000 konstabel di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dimulakan sejak tiga tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata seramai 2,500 anggota polis menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di Port Dickson, hari ini.


“Ini kali kedua latihan sedemikian diadakan menerusi kerjasama strategik PDRM dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

“Strategi ini akan diteruskan dengan pengambilan 1,000 pegawai dan 3,000 konstabel,” katanya.

Katanya, menerusi strategi itu, kerajaan berjaya menjimatkan perbelanjaan negara untuk membina pusat latihan baru, selain peruntukan itu dapat digunakan untuk memantapkan pasukan keselamatan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat menghindari amalan politik kebencian yang kini dijaja pembangkang menerusi ceramah mereka terutama menjelang pilihan raya umum.

- BERITA HARIAN

12 Disember 2012

KEPUTUSAN KEMASUKAN KE DIPLOMA PERGURUAN LEPASAN IJAZAH j-QAF (DPLI j-QAF) AMBILAN 2013

by
Semakan Keputusan Kemasukan ke Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF Ambilan Tahun 2013 boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/abpg/tawarJQAF/

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)



11 Disember 2012

Dilema Graduan Mencari Kerja

by
KITA selalu mendengar keluhan dan rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun mempunyai segulung ijazah.

Ternyata segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan menawarkan pekerjaan.

Pandangan skeptikal majikan masih tidak berubah tebal dengan andaian mereka tidak kompetitif, kurang matang, tidak sabar dan ego.

Akibatnya, graduan baru seperti keterlaluan menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan.


Persoalannya, adilkah graduan dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja?


Bagaimana pula perasaan graduan baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa pertimbangan?

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat kecewa majikan membuat andaian salah kemampuan graduan baru.

Menurutnya, biar pun majikan memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan pekerja.

“Semua graduan selepas tamat pengajian mahukan pekerjaan, namun menghadapi kerenah segelintir majikan yang tidak memahami memang mengecewakan.

“Mereka (majikan) perlu memberi peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu graduan baru tidak pandai bekerja sebagai alasan.

“Persoalannya, benarkah graduan baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau mendengar cakap orang lain,” katanya.

Sebagai graduan baru, mereka bersemangat untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan mereka sebaliknya lebih suka mengkritik.

Ditanya tidak bolehkah mereka menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk kebaikan.

“Malangnya kebanyakan kritikan berbaur negatif dan seperti mahu meletak kesalahan pada kami seperti tidak boleh buat kerja, mahu gaji tinggi dan besar kepala.

“Mereka seharusnya melihat dulu keupayaan dan kebolehan kami sebelum membuat andaian itu.

“Sesiapa pun mahukan yang terbaik, malangnya penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila graduan baru tanpa pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah dengan ijazah dimiliki.

“Saya tidak fikir graduan baru sentiasa bermegah dengan ijazah yang ada sebaliknya hanya mahu penjelasan.

“Malangnya persepsi majikan pula sebaliknya dan menganggap kami besar kepala.

“Akhirnya, permohonan ditolak menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.

Isu majikan enggan ‘mempercayai’ kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan diri dan kemahiran semakin dipelbagaikan.

Pengenalan modul bagi membina pengukuhan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara pendekatan diperkenalkan bagi membantu graduan.

Bagaimanapun, isu tiada pengalaman, kursus tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap dijadikan alasan mengukur kemampuan graduan terbabit.

Akibatnya, mereka terpaksa menerima pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur terhormat.

Katanya, biar pun majikan mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan adil.

“Majikan belum lagi melihat kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu. Adilkah?

“Betul, majikan ada kuasa memilih tapi berilah peluang atau menilai kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak boleh, barulah ambil tindakan.

“Kalau semua majikan begitu, sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan. Sia-sialah segala ilmu dan penat kami belajar,” katanya.

Rakannya, Nor Hashimah Hashim, 23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru.

Menurutnya, kalangan majikan berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan dengan baik terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat.

“Ini juga satu masalah bagi graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa tenaga dan kebolehan graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu.

“Situasi ini menyebabkan permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada masalah.

“Jika graduan baru lelaki berdepan cabaran penolakan, kami (graduan wanita) juga berdepan dilema sama malah mungkin lebih hebat,” katanya.

Dia tidak menafikan ada majikan prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih sedikit.

“Setiap tahun, lambakan graduan baru bertambah. Jika hanya sebahagian kecil saja diterima, itu tidak mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui ada graduan baru ‘bermasalah’.

“Mungkin kerana yang bermasalah inilah kami dicop serupa dan menerima tempias negatif.

“Tapi, saya beri jaminan, bukan semua begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang dua yang bermasalah,” katanya.

Dia juga berpendapat graduan baru hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan.

“Dulu terpilih masuk universiti, masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku.

“Universiti bukan lagi jaminan anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya mengundang cabaran lebih hebat.

“Dengan sekeping ijazah, anda perlu bersaing dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu memperoleh satu pekerjaan,” katanya.

- UTUSAN

Ribuan askar Israel trauma dan bunuh diri

by
TRAUMA akibat perang yang sudah tercetus lebih enam dekad ini sebenarnya tidak dialami oleh penduduk Palestin sahaja. Sebaliknya, tentera bersekutu terutamanya tentera Zionis turut mengalami tekanan psikologi yang serius hinggakan ada yang terdorong untuk membunuh diri.

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan sekumpulan profesor Israel dari Pusat Trauma Israel bagi Mangsa Keganasan dan Perang, Universiti Tel Aviv dan Universiti Haifa yang diketuai Dr. Avi Bleich mendapati tentera Israel mengalami tekanan emosi, gangguan psikologi dan trauma selepas berperang dengan penduduk Palestin.

"Dalam kajian kami, askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan terhadap penduduk Palestin mengalami gangguan rasa bersalah, tidak senang hati, bencikan diri sendiri dan menyesal kerana tidak pasti apakah mereka berada pada pihak yang benar.

"Walaupun kajian ini memberikan tumpuan kepada veteran perang yang terlibat ketika Intifada kedua dan meninggalkan perkhidmatan sejak 10 tahun lalu, namun hasil temu bual yang dijalankan saya yakin tidak jauh bezanya dengan trauma yang dihadapi tentera hari ini.

"Selepas menemu bual hampir 230 anggota tentera lelaki dan wanita, kebanyakannya berasa berbelah bagi mengenai kebenaran moral tugas mereka.

"Dianggarkan separuh daripada tentera di sempadan menyesal kerana bersikap ganas terhadap orang awam, satu per tiga daripadanya mengaku melakukan jenayah manakala 17.4 peratus menyedari tingkah laku mereka memalukan.

"Paling mereka kesalkan, mereka terpaksa menyerang dan membunuh orang awam tanpa alasan yang kukuh.

"Pernah seorang bekas tentera menangis sambil memberitahu saya, dia diarah menangkap kanak-kanak kerana mahukan maklumat tentang keluarganya yang terlibat dengan Al-Qassam.

"Semasa dalam tahanan, kanak-kanak yang baru mencecah umur lapan tahun ini merayu supaya mengasihaninya, jangan meliwatnya dan jangan membunuhnya," kata Bleich.

Tambahnya lagi, walaupun telah lama meninggalkan Palestin, kebanyakan tentera masih trauma dan tidak mendapatkan bantuan psikologi.

"Tidak hairanlah mengapa sejak tahun 1980 hingga hari ini ribuan tentera Israel memilih untuk membunuh diri," katanya.

- KOSMO!

Tidak Wajib Tukar Kepada MyKad Baru

by
Rakyat tidak diwajibkan menukar kepada MyKad struktur baharu yang dilaksana sejak 3 Januari lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata pelaksanaannya juga adalah secara berterusan dan setakat ini menerima sambutan menggalakkan. "Respons bagus kerana sesetengah orang berpendapat kad baharu ini yang menampilkan kriteria baharu lebih baik dari segi keselamatan dan daya tahan. Namun tidak wajib menukar MyKad kerana versi lama masih diterima pakai," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak (JPNS), di Kuching.

Bagaimanapun katanya, bagi yang ingin menukar kepada versi baharu boleh memohon di Jabatan Pendaftaran Negara.

Pada lawatan itu Lee turut memuji JPNS yang mengambil beberapa langkah bagi memperbaiki mutu perkhidmatan seperti memperkenalkan MyKid Ekspress yang memendekkan tempoh permohonan daripada 45 hari kepada sejam.

Pada masa ini cetakan MyKid Ekspress hanya di ibu pejabat di Kuching, namun akan diperluas ke kawasan lain secara berperingkat, katanya.

"Selain itu, JPNS Kuching,turut memperkenalkan kaunter khas untuk mengurus pengambilan MyKadSiap yang dikenali Kaunter 3C (Call, Come and Collect Counter).

Pelanggan yang menggunakan khidmat kaunter berkenaan tidak perlu mengambil nombor giliran dan akan dilayan pada waktu temujanji ditetapkan," katanya.

- BERNAMA

Kesulitan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) diatasi

by
Kementerian Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Ketika ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem tersebut.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam usaha mengatasi tersebut pada masa ini.

Tindakan itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.

''Pihak kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai'', kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.

Kira-kira 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Melalui sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi terhadap topik tertentu.

Sebaliknya, pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.

Ia bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.

Ia merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.

PS dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Bagi PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.

Selain itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

- UTUSAN

Petua Panjang Usia

by
GAYA hidup masyarakat semakin berubah. Remaja hari ini lebih banyak menghabiskan masa bermain komputer dan berinternet berbanding di padang bersama rakan-rakan. Mereka lebih seronok menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Dari segi pemakanan pula, anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai makanan yang siap diproses berbanding makanan segar hinggakan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digemari oleh mereka. Mereka lebih suka makan makanan segera dan minuman berkarbonat.

Maka tidak hairanlah jika masalah obesiti atau lebihan berat badan banyak melibatkan remaja dan anak-anak moden terutamanya yang hidup di bandar-bandar besar. Bukan sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga kurang melakukan senaman rutin. Meskipun sudah hampir lewat malam atau sudah awal pagi masih berada di kedai makan lagi. Sedangkan esok perlu bangun awal dan bekerja. Akhirnya, produktiviti kerja menurun dan kualiti hidup terjejas.

Usia yang panjang itu boleh didoa dan diusahakan. Cuba fikirkan apakah penyebab kepada kematian? Memanglah jawapannya takdir dan ketentuan Allah. Tetapi dalam masa yang sama manusia boleh berdoa untuk meminta dipanjangkan usia. Kalau diperhatikan penyebab utama kepada kematian adalah kemalangan, pembunuhan (termasuk bunuh diri), penyakit kronik (termasuk jantung) dan usia tua. Ini bermakna mati itu pada kebiasaannya bersebab. Oleh itu jika kita meminta panjang umur tetapi dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan sengaja mendedahkan diri pada aktiviti berisiko seperti memandu laju dan cuai, maka kemungkinan doa kita untuk panjang umur tidak dimakbulkan oleh Allah. Kerana setiap doa itu perlu diiringi dengan usaha.

Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah kehidupan yang seimbang. Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.

Fikir sebelum makan

Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang sebab itu adalah rezeki. Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga adalah satu rezeki. Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan terlalu banyak. Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula kepada orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan sendiri.

Lakukan senaman secara rutin

Seharian bekerja memang meletihkan. Namun penat bekerja yang tidak mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam yang mengeluarkan peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan dalam keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak juga sudah tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai masalah penyakit kesan daripada lebihan kalori dan kolestrol.

Senaman yang berterusan juga menguatkan otot-otot serta sendi dan ini penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka yang mengalami masalah berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka menjadi kuat makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga membawa kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.

Sentiasa positif

Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak menyelesaikan masalah yang ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat masalah itu dan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri. Malah berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada kita untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya setiap yang berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu daripadanya. Dari segi hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa bersangka baik, berusaha memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.

Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah

Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa juga yang dilakukan diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan menambah ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan, pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam apa juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun musibah yang boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan dan tawakalnya terhadap qada' dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya tidak dalam keluh kesah, apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya hatinya dididik untuk sentiasa reda dan syukur dengan apa yang diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

- UTUSAN

Mualaf Tidak Wajib Tukar Kad Pengenalan, Digalak Daftar Dengan JPN

by
Tiada sebarang peruntukan undang-undang mewajibkan mualaf untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan maklumat baharu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau bagaimanapun berkata individu yang memeluk Islam akan diberi kad akuan masuk Islam sebagai dokumen pengesahan status agamanya.

"Mereka hanya dinasihat menukar status agama dan nama di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pada persidangan Dewan Negara pada Isnin.

Syed Ibrahim ingin tahu tindakan kerajaan untuk menggalakkan penukaran kad pengenalan golongan mualaf supaya tidak timbul masalah di kemudian hari.

Mashitah berkata terdapat segelintir mualaf yang mahu berbuat demikian tetapi terhalang oleh beberapa sebab tertentu seperti soal keselamatan atau tidak mahu diketahui keluarga.

Beliau bagaimanapun meminta golongan itu memaklumkan status agama mereka kepada saudara terdekat agar tidak berlaku pertikaian seperti perkahwinan atau perebutan jenazah apabila mereka meninggal dunia.

Terdahulu, menjawab soalan Senator Rohani Abdullah mengenai langkah kerajaan menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Mashitah berkata usaha itu dilakukan melalui dua cara iaitu pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang.

Tegasnya, pelaku LGBT beragama Islam boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama Islam negeri selain beberapa kementerian berkaitan bagi mencegah penularan kegiatan LGBT ke akar umbi.

Dalam perkembangan sama, Mashitah berkata jumlah sebenar individu yang terlibat dalam kegiatan LGBT tidak dapat dipastikan memandangkan tidak mudah untuk membuktikan berlakunya perbuatan songsang meskipun terdapat pertanda yang menjurus ke arah itu.

- BERNAMA

Khasiat ubi kentang

by
KALAU kanak-kanak mungkin mereka boleh makan kentang goreng tetapi saya mesti makan nasi setiap hari," kata seorang rakan apabila mendengar saranan menggantikan hidangan nasi kepada ubi kentang.

Sebenarnya, hidangan ubi kentang bukan hanya kentang goreng seperti yang terdapat di restoran-restoran segera yang menjadi sumber lemak, meningkatkan kolesterol, melonjakkan risiko darah tinggi dan penyebab obesiti.

Hakikatnya, bukanlah ubi kentang yang menentukan sama ada baik atau buruk untuk kesihatan. Yang penting bagaimana bahan ini disediakan untuk dimakan.

Umum mengetahui ubi kentang sumber nutrisi karbohidrat popular di seluruh dunia.

Bagi menikmati khasiat sebenar ubi kentang, anda boleh menghasilkan hidangan seperti kek coklat kentang atau sup berkrim kentang.

Tahukah anda selain membekalkan sumber karbohidrat, kentang mempunyai khasiat lain untuk kesihatan?

Kajian menunjukkan dengan mengambil kira-kira 150 gram kentang, kita dapat memenuhi keperluan vitamin C untuk satu hari. Kandungan kalium dalam kentang pula boleh melegakan hipertensi.

Pakar Kesihatan dan Kesejahteraan, Carina Lipold memberitahu, ubi kentang mengandungi banyak manfaat kesihatan sekiranya dijadikan sebahagian amalan diet.

Katanya, ubi kentang kaya dengan serat, vitamin, mineral, fitokimia, rendah kalori dan pada masa sama mempunyai indeks kekenyangan tinggi.

"Sebiji kentang bersaiz sederhana (kira-kira 150 gram) yang dikukus dan dimakan dengan kulitnya, memberi sehingga 48 peratus daripada pengambilan harian Vitamin C yang disyorkan untuk seseorang, lebih kalium atau potasium daripada pisang serta mineral penting lain.

"Secara kesimpulan, saya boleh katakan kentang adalah ubi yang banyak kebaikan dan sesuai untuk sebarang amalan diet," katanya pada majlis pengenalan menu dengan ramuan ubi kentang oleh Lembaga Kentang Amerika Syarikat di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

GlutenSelain itu, ubi kentang dikenali sebagai makanan yang bebas gluten.

Menurut Carina, gluten merupakan bahan protein yang terdapat pada bijirin seperti gandum, barli dan rai.

Para pesakit yang menghidap penyakit gangguan gastrousus akan mendapat manfaat besar daripada kentang kerana makanan ini dinyah hidrat amat sesuai sebagai pengganti tepung yang mengandungi gluten.

Jadi tidak hairanlah, makanan ini sesuai untuk semua peringkat umur dan budaya, kentang malah menjadi makanan bayi yang baru bercerai susu.

Dalam piramid makanan, dua biji kentang bersaiz kecil sama dengan satu mangkuk nasi, dua keping roti dan satu setengah mangkuk mi.

Ubi kentang juga mengandungi potasium tinggi yang mampu mengurangkan risiko hipertensi, strok, melindungi jantung dan menolong transmisi pusat saraf serta melawan dinyah hidrat.

- UTUSAN

Imbangi keperluan dunia dan akhirat

by
Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.” (Riwayat Bukhari)

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Konsep ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus (seperti sembahyang, puasa, haji) dan ibadah umum iaitu setiap gerak geri, tindakan dan pekerjaan diniatkan kerana Allah.
Syarat diterima sesuatu ibadah itu bergantung pada tiga perkara iaitu Islam, ikhlas dan ittiba' (dilakukan sesuai dengan perintah Allah SWT dan mencontohi Rasulullah SAW).

Sesuatu ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya. Malah apa yang dimaksudkan dalam hadis sebagai ‘dikalahkan oleh agama’ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencari nafkah menyara hidup ahli keluarga.

Bertentangan kehendak Islam

Perkara ini ternyata bertentangan dengan kehendak Islam kerana Islam juga menyuruh manusia berusaha gigih mencari penghidupan yang baik di dunia, bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata-mata hingga melupakan dunia sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat.

Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat supaya tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi.
Orang yang beriman hendaklah sentiasa bermuhasabah dan beramal seperti dituntut agama, kerana ganjaran pahala adalah berasaskan amalan yang dilaksanakan, bukan dengan angan-angan kosong.

Manusia yang bijak itu ialah orang yang memperjuangkan hidupnya untuk kebahagiaan di akhirat. Akal yang dianugerahkan oleh Allah hendaklah digunakan untuk memikirkan persediaan hidup di akhirat.

Sumber koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sektor hartanah kukuh 20 tahun

by
KUALA LUMPUR 9 Dis. 2012 - Sektor hartanah tempatan mempunyai prospek yang sangat kukuh bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang didorong antaranya oleh peningkatan populasi serta pertambahan golongan berpendapatan sederhana tinggi dan kaya.

Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama PropertyGuru, Steve Melhuish berkata, ekonomi Malaysia yang mengukuh serta pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut memberi impak positif yang signifikan.

"Ini merupakan pemacu utama kepada pengukuhan sektor hartanah Malaysia dalam tempoh jangka panjang, lebih ramai rakyat Malaysia yang akan membeli hartanah seiring dengan peningkatan gaya hidup dan sebagai pelaburan masa depan.

"Sejak beberapa tahun lalu, sektor hartanah Malaysia melalui fasa yang baik walaupun terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi global, ia hanya mencatat pertumbuhan mendatar dan ia sudah mencukupi di dalam situasi seperti ini," katanya Utusan Malaysia di sini.

Katanya, bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan terus mendapat perhatian pembeli dan pelabur kerana lokasinya yang strategik.

Tambah beliau, permintaan terhadap hartanah seperti kondominium dan ruang pejabat akan kekal tinggi di Kuala Lumpur manakala Pulau Pinang lebih diminati oleh golongan pesara.

Pembangunan bandar baharu seperti Iskandar Malaysia yang terletak di Johor Bharu katanya, amat diminati oleh rakyat Singapura dan ekspatriat yang bekerja di republik tersebut kerana faktor lokasi yang berhampiran.

Malah harga rumah yang tinggi di negara tersebut memberi kelebihan kepada Malaysia.

" Penduduk Singapura amat berminat dengan projek-projek di Iskandar Malaysia kerana mereka dapat memiliki rumah yang lebih luas pada harga yang kompetitif.

"Kecenderungan mereka adalah kediaman bertanah berbanding strata kerana ia lebih selesa dan berbeza dengan apa yang ditawarkan di Singapura, " ujar beliau.

Bagaimanapun, Melhuish realistik dengan unjuran pertumbuhan sektor hartanah jangka pendek tempatan, terutama pada suku pertama tahun depan yang terpaksa menerima kesan daripada kesuraman persekitaran ekonomi global.

Beliau meramalkan sektor hartanah tempatan mengalami kelembapan yang menyebabkan kadar sewaan kondominium serta pembukaan ruang pejabat baharu merosot.

Namun begitu, situasi tersebut katanya, adalah bersifat sementara dan dijangka pulih semula seiring dengan pemulihan ekonomi global.

- UTUSAN

7 Disember 2012

57,766 mangsa penipuan pelaburan

by
5 Dis. - Seramai 57,766 orang telah menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam Skim Kepentingan dan Skim Kutu bagi tempoh 2010 hingga Oktober 2012.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, dalam tempoh itu juga, sebanyak 66 kes yang ada kaitan dengan skim cepat kaya telah diambil tindakan undang-undang.

Jelas beliau, tindakan tersebut dibuat di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, Akta Syarikat Malaysia 1965 dan Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

"Di antara punca orang ramai mudah terlibat dalam skim cepat kaya ialah sikap tamak kerana dijanjikan pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.

"Selain itu, pengaruh daripada kawan-kawan, rakan sekerja dan saudara mara serta kemudahan mendapatkan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Boon Som Inong yang bertanyakan berapa banyak kes skim cepat kaya dikesan di dalam negara, bilangan mangsa terlibat serta langkah-langkah pencegahan bagi mewujudkan kesedaran masyarakat.

Menurut Rohani, selain mengadakan kempen kesedaran masyarakat, kementeriannya juga menubuhkan Jawatankuasa Bersama Bagi Menangani Jenayah Kolar Putih dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa bagi membendung aktiviti skim tersebut.

"Kementerian juga menjalankan program advokasi pematuhan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 kepada syarikat-syarikat jualan langsung dan pengedar-pengedar di seluruh negara," katanya.

Jelasnya, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, segala wang dan aset yang diperoleh daripada penganjur aktiviti haram tersebut dirampas dan dilucutkan.

- UTUSAN

Daftar PR1MA lebih mudah

by


Pendaftaran permohonan pemilikan rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilaksanakan secara online (dalam talian) mulai 8 Disember 2012, bagi proses pengundian.

Ia menggantikan sistem manual secara pos yang digunakan sebelum ini dan boleh diakses melalui laman web www.pr1ma.my selepas dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pulau Pinang, Sabtu ini.

Sistem pendaftaran yang bertujuan mengumpul data utama pemohon itu juga bertujuan mendapat maklumat mengenai permintaan rumah masa kini sesuai dengan kumpulan sasar yang ratarata mempunyai kemudahan internet.


Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata selain menjadi cara utama untuk memohon, sistem ini juga akan menentukan kelayakan seseorang pemohon di samping memperoleh data lain seperti permintaan rumah masa kini, jenis rumah dan kemampuan mengikut tangga gaji tertentu.

“Ini bukan saja akan memudahkan pelaksanaan pembinaan mengikut permintaan terkini, malah dapat memastikan proses cabutan dijalankan dengan telus kerana ia akan dipantau firma akauntan bertauliah dalam mengendalikan audit dengan semua pemohon yang mempunyai peluang sama rata,” katanya dalam taklimat kepada media, di sini, semalam.

Mereka yang berminat memohon perlu mengikuti kriteria seperti mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan, warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan tidak mempunyai rumah lebih dari satu.

Mutalib berkata, melalui peruntukan diberikan kerajaan, pihaknya akan memulakan pembinaan hampir 50,000 rumah PR1MA tahun depan khusus bagi individu bujang atau berkeluarga yang tinggal di kawasan bandar.
“Mereka yang layak diharap segera mendaftarkan diri dan pihaknya juga akan menjalankan beberapa proses cabutan undi dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang.

“Maklumat terkini mengenai pembukaan pembinaan baru di bawah projek PR1MA ini akan dimaklumkan kepada pemohon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel mengikut pilihan kawasan mereka yang pilih ketika proses pendaftaran,” katanya.

Katanya, nama bagi pemohon yang sudah berdaftar akan kekal dalam sistem sehingga terpilih dalam cabutan untuk memiliki rumah, sebarang penambahan maklumat seperti pertukaran status boleh dikemas kini dari semasa ke semasa.

- BERITA HARIAN

Posmen kerja 5 hari seminggu mulai 1 Janurai 2013

by
Seramai 8,500 posmen di seluruh negara bakal menikmati waktu bekerja lima hari seminggu mulai 1 Januari depan berbanding enam hari sekarang.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata mereka sebahagian daripada 16,500 kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang layak untuk menikmati waktu bekerja baru itu selain pekerja sektor perkeranian.
Rais berkata, bagi kakitangan di Sabah dan Sarawak, penyelarasan waktu bekerja baru itu hanya berkuat kuasa pada 1 Februari depan kerana Pos Malaysia memerlukan lebih masa bagi membuat penyelarasan termasuk dari segi pentadbiran.

“Kedua-dua negeri ini (Sabah dan Sarawak), Pos Malaysia perlu tempoh empat minggu lebih daripada di Semenanjung untuk membuat penyusunan operasi dan pentadbiran dengan mengambil kira keadaan geografi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama wakil Kesatuan-Kesatuan Sekerja Pos Malaysia di sini, semalam.

Rais berkata, bagi kakitangan yang perlu bekerja pada hujung minggu layak menikmati bayaran atau imbuhan lebih masa yang munasabah.

Katanya, penyelarasan waktu bekerja baru daripada enam hari kepada lima hari seminggu adalah satu daripada bukti pelbagai transformasi dilakukan kerajaan adalah bersifat kasih sayang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Penolong Eksekutif Pos Malaysa Berhad, Jamaluddin Kassim, warga Pos Malaysia terutama posmen kini mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga.

- BERNAMA

5 Disember 2012

Jawatan Kosong di Taman Botani Negara Shah Alam - Dis 2012

by
JAWATAN:
1) Juruteknik Komputer F17
2) Pengawal Keselamatan Gred KP11

TAMAN BOTANI NEGARA SHAH ALAM (TBNSA) BERCADANG UNTUK MEMBUAT PENGAMBILAN JAWATAN BARU LANTIKAN SECARA KONTRAK (CONTRACT OF SERVICE) SELAMA SATU (1) TAHUN. JAWATAN-JAWATAN TERSEBUT ADALAH SEPERTI BERIKUT:

a) Satu (1) Jawatan Juruteknik
Komputer Gred FT17

SYARAT LANTIKAN
(i) Sijil Pelajaran Malaysia serta lulus subjek elektrik atau elektronik atau teknologi maklumat pada peringkat peperiksaan tersebut atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan; atau

(ii) Sijil Pelajaran Malaysia serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau

(iii) Sijil Pelajaran Malaysia serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang berkaitan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau

(iv) Sijil dalam bidang teknologi maklumat atau prosesan data yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada politeknik-politeknik tempatan atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau

(v) Sijil dalam bidang kejuruteraan elektronik (komputer) yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada politeknik-politeknik tempatan atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.

b) Dua (2) Jawatan Pengawal Keselamatan Gred KP11

SYARAT LANTIKAN
(i) Penilaian Menengah Rendah/Sijil Rendah Pelajaran atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan; atau

(ii) Bekas Konstabel Polis Diraja Malaysia atau Prebet Angkatan Tentera Malaysia yang telah disahkan dalam jawatan tersebut serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan berkebolehan bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan.

Jawatan adalah bertaraf Contract of Service selama satu (1) tahun dan diperbaharui berdasarkan prestasi tahunan. Sila hantar resume dan sekeping gambar berukuran paspot sebelum atau pada 15 Januari 2013 ke norlin@moa.gov.my ataupun ke alamat di bawah.

PENGURUS
Taman Botani Negara Shah Alam
Bahagian Khidmat Sokongan dan Pembangunan Industri
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia
40000 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan

Tel: 03-5510 6922/23
Faks: 03-5510 0922

Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat' 21 Disember 2012

by

Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,230 meter di selatan Perancis dipercayai merupakan satu-satunya tempat di dunia yang akan selamat daripada 'hari kiamat' pada 21 Disember depan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.

Tarikh 21 Disember itu merupakan ramalan yang dibuat berdasarkan kalendar penduduk Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi.

Beberapa filem dokumentari dan laman web meramalkan bahawa berdasarkan kalendar penduduk Maya di Amerika Tengah itu, 'hari kiamat' akan berlaku pada 21 Disember depan.

Ramalan itu dibuat kerana kalendar Maya itu berakhir pada tarikh tersebut.

Menurut pihak yang percaya tentang 'hari kiamat' itu, sejumlah makhluk asing dan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) akan muncul.

Golongan itu percaya 'garaj kapal angkasa' terdapat di kawasan pergunungan itu dan menyelamatkan golongan yang mempercayainya.

Pekan Bugarach kini menjadi popular dalam kalangan orang yang mempercayai bahawa kiamat akan berlaku pada tarikh tersebut.

Datuk Bandar Bugarach, Jean Pierre Delord bimbang ramai orang akan tiba di bandar kecil itu.

Kawasan di sekitar Bugarach hanya didiami seramai 180 orang.

Polis dan tentera telah dimaklumkan untuk berdepan dengan bilangan orang yang ramai yang dijangka tiba di bandar berkenaan.

Menurut kalendar Maya itu, sebuah planet akan merempuh Bumi pada 21 Disember depan dan dipercayai akan menyebabkan 'hari kiamat' berlaku.

- Agensi

Nota : Ini hanyalah kepercayaan orang Barat. Orang Islam tidak boleh mempercayai dan terlalu taksub dengan kepercayaan tersebut.

Kardashian paling dicari di Yahoo!

by
Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan item yang paling dicari manakala selebriti Kim Kardashian dari AS ialah orang paling dicari di Yahoo! untuk tahun ini, kata enjin carian internet berkenaan semalam.

Perkataan pilihan raya mengungguli senarai pencarian di Yahoo! hasil liputan besar-besaran oleh pihak media di samping perbincangan meluas topik tersebut di platform-platform media sosial.

Perkataan 'pengundian politik' berada di tempat kelapan senarai 10 teratas pencarian Yahoo$21 sepanjang tahun ini.

"Pilihan raya 2012 mendominasi carian di internet dan ia menakjubkan kerana jika sesuatu itu menjadi tajuk berita, orang ramai tentu sudah maklum mengenainya tetapi topik tersebut terus menjadi perkataan utama yang ditaip di laman web Yahoo! sepanjang tahun ini," kata penganalisis trend Yahoo!, Vera Chan dalam satu persidangan video.

Menurutnya, hanya dua laporan berita lain pernah pengungguli senarai tersebut sejak sedekad lalu iaitu laporan kematian Michael Jackson pada 2009 dan tumpahan minyak BP pada 2010.

iPhone 5 berada di tempat kedua senarai berkenaan yang disifatkan oleh Chan sebagai satu keputusan menarik.

Katanya, walaupun iPhone sentiasa berada dalam kedudukan utama senarai carian Yahoo! sejak 2007, ia adalah kali pertama sesuatu model spesifik seperti iPhone 5 menduduki antara tempat teratas senarai itu.

Menurutnya, ia berlaku selepas kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs.

Berada di tempat ketiga senarai yang sama ialah Kardashian yang juga merupakan orang paling dicari di laman web Yahoo!.

Kardashian mengungguli enam wanita popular yang berada dalam 10 teratas senarai tersebut termasuk model Kate Upton, anggota keluarga diraja Britain, Kate Middleton, penyanyi Whitney Houston dan Lindsay Lohan.

Ujar Chan 'kenakalan' Kardashian yang antara lain melibatkan kisah perceraian dengan bekas suaminya, Kris Humphries dan hubungan cinta selebriti itu bersama bintang rap, Kanye West telah membantu mengekalkannya sebagai orang paling dicari menerusi Yahoo!

- Reuters


Sebanyak 241,740 individu diisytihar bangkrap

by
KUALA LUMPUR 3 Dis. 2012 - Seramai 169,218 individu lelaki di negara ini telah diisytiharkan bankrap sejak tahun 2005 hingga April tahun ini disebabkan sikap buruk mereka sendiri yang liat untuk membayar balik hutang.

Jumlah tersebut meliputi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan individu yang telah diisytiharkan bankrap dalam tempoh sama iaitu seramai 241,740 orang.

Ketua Jabatan Korporat dan Komunikasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohd. Khalil Jamaldin berkata, fakta tertersebut menunjukkan golongan lelaki di negara ini lebih suka berhutang berbanding golongan wanita.

Beliau berkata, jumlah golongan wanita yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh sama adalah seramai 72,522 orang.

Katanya, punca utama golongan Adam menjadi liat untuk membayar hutang adalah disebabkan sikap mereka yang gemar melangsaikan hutang sedia ada dengan membuat pinjaman baharu.

Beliau menegaskan, tindakan tidak berhemah golongan lelaki membuat hutang baharu itu ibarat menutup lubang hutang lama dan kemudian menggali lubang hutang yang baharu.

“Hutang yang baharu itu tidak akan selesai malah semakin bertambah.

“Apabila sudah tidak mampu bayar, tanggungjawab untuk membayar hutang itu turut hilang.

“Jadi akhirnya dia biarkan saja hutang itu macam orang malas nak bayar hutang,” katanya.

- KOSMO!

Genneva Malaysia rugi besar

by
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Hasil serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama beberapa agensi penguatkuasa terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas mendapati satu daripada syarikat itu iaitu Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia), merupakan syarikat yang bermasalah.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan BNM bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, laporan awal perakaunan menunjukkan operasi Genneva Malaysia mengalami kerugian besar tahun ini dan mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya.

Syarikat itu sebenarnya tidak akan dapat mengekalkan cara operasinya iaitu menjual emas pada kadar 20 hingga 25 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran, membayar pulangan dua hingga tiga peratus sebulan dan membeli balik emas pada harga asal belian, kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, aliran tunai untuk membolehkan syarikat itu meneruskan operasinya adalah bergantung daripada wang pelaburan pelanggan baharu.

"Dokumentasi yang disita menunjukkan lebih daripada 8,000 pelabur syarikat tersebut yang telah membuat pembayaran untuk pelaburan emas juga masih belum menerima emas mereka yang jumlahnya melebihi 4,000 kilogram.

"Selain itu, didapati terdapat pelabur yang telah menyerahkan emas mereka kepada syarikat tersebut tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai yang jumlahnya melebihi RM80 juta,'' kata kenyataan bersama tersebut.

Agensi-agensi penguatkuasaan itu juga menyatakan mereka menerima banyak rayuan daripada pihak yang terlibat dengan perniagaan Genneva Malaysia untuk melepaskan wang yang dibekukan dalam akaun bank sebanyak RM99.8 juta dan emas yang disita sebanyak 126 kilogram yang disimpan sebagai bukti bagi kesalahan yang disyaki.

Bagaimanapun, BNM dan agensi-agensi itu menyatakan, wang dan emas tersebut dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah dan usaha sedang dilakukan bagi mempercepatkan siasatan untuk mencapai penyelesaian awal.

Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada laman web BNM di www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

- UTUSAN

Akhlak usahawan berjaya

by
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

APABILA kita menyelusuri sirah Nabi SAW, kita akan dapati bahawa baginda pernah menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Kehebatan baginda dalam menguruskan perniagaannya menyebabkan Khadijah r.ha terpikat dan terpaut hati kepada baginda.

Rasulullah SAW dapat meningkatkan penghasilan dan keuntungan perniagaannya dek kerana akhlak baginda yang terpuji yang dapat meyakinkan pelangan-pelanggan ketika itu, di samping strategi perniagaan yang mantap.

Maka tidak hairanlah baginda SAW bukan sahaja dikagumi oleh orang Islam, tetapi juga orang bukan Islam. Michael Hart menulis dalam bukunya, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (100 orang paling berpengaruh dalam sejarah), beliau memilih Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah. Buku berkenaan telah terjual sebanyak 500,000 naskhah dan diterjemahkan dalam 15 bahasa.

Beliau memberikan ulasan: My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world's great religions, and became an immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.

Kejayaan hakiki sebagai ahli perniagaan adalah apabila mereka boleh menghasilkan sesuatu dalam bentuk better than best di mana mereka mampu menikmati 'senang' dan 'tenang' dalam pekerjaannya. Untuk memperoleh kedua-dua pencapaian ini, mereka perlu menjadi seorang "mukmin yang profesional" sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ...Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah. (al-Qasas: 26)

Contoh Mukmin yang profesional tidak lain tidak bukan adalah baginda SAW. Justeru, apabila kita menyelusuri peribadi Rasulullah SAW, terdapat sekurang-kurangnya empat akhlak utama yang perlu diamalkan oleh setiap ahli perniagaan.

Sifat siddiq

Pertama, seorang ahli perniagaan perlu mempunyai sifat siddiq (benar). Setiap transaksi yang dibuat dan bayaran yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Sekiranya terdapat caj-caj tambahan yang ingin diambil, syarikat perlu memaklumkannya kepada pelanggan-pelanggan sebelum mereka menandatangani sebarang kontrak.

Oleh sebab itu, sekiranya perniagaan tersebut dilaksanakan oleh syarikat, maka sebaik-baiknya syarikat tersebut perlu mempunyai anggota-anggota penasihat syariah yang diiktiraf.

Mereka perlu sentiasa berperanan dalam memastikan operasi syarikat tersebut menepati prinsip dan kehendak syariah, sekali gus mengelakkan daripada sebarang salah laku dalam pentadbiran dan untuk menjamin ketelusan dalam perniagaan mereka.

Mereka juga perlu peka dan sensitif terhadap segala perkembangan syarikat termasuklah pentadbiran, aktiviti, operasi dan produk-produk yang dikeluarkan.

Pihak pengurusan syarikat juga perlu telus dan jujur dalam memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Syariah supaya maklumat-maklumat yang penting tidak tercicir daripada pengetahuan mereka.

Ketika mempromosikan produk, syarikat perlu benar dalam menyatakan ciri-ciri yang ada pada produk-produk tersebut. Jangan berlebih-lebihan dalam berkata-kata sehingga sampai ke tahap berbohong demi menarik minat masyarakat terhadap produk berkenaan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Peniaga yang benar dan beramanah akan ditempatkan bersama-sama para nabi, golongan orang-orang yang benar dan para syuhada". (riwayat Tirmidzi)

Amanah

Akhlak kedua yang perlu dihayati oleh ahli atau syarikat perniagaan adalah amanah. Dalam hal ini, setiap warga kerja syarikat termasuklah ahli lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan perlu menyedari bahawa setiap tindakan yang dilakukan oleh pihak syarikat pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Jangan sekali-kali melakukan penipuan dan penyelewengan sehingga menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat.

Sifat amanah ini perlu dalam memastikan nilai integriti di kalangan pekerja dapat dipertingkatkan dan sekali gus ia tidak menganiaya para pelanggan.

Janganlah disebabkan ingin mengejar keuntungan yang disasarkan menyebabkan kita menzalimi para pelanggan.

Menyampaikan

Akhlak ketiga yang perlu disematkan adalah tabligh (menyampaikan). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "… Allah memberikan cahaya (menyinari) kepada seseorang yang mendengar percakapanku, maka dia menerimanya dan memeliharanya (menghafalnya) dan menyampaikannya…." (riwayat Tirmidzi)

Ahli atau syarikat perniagaan perlu menggunakan wadah perniagaannya tersebut untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Inilah masanya mereka dapat membuktikan kebaikan yang ada pada sistem kewangan Islam yang berteraskan al-Quran dan sunnah.

Inilah detiknya mereka ingin menyelamatkan manusia daripada elemen-elemen yang bercanggah dengan syariah Islam seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (perjudian) dan riba.

Dalam menyampaikan kebenaran ini, mereka perlu menggunakan kaedah yang paling berhikmah.

- UTUSAN

Carilah penerang hati ubati kesihatan mental

by
Oleh DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

TEKANAN atau stress yang sering kita dengar secara umumnya merupakan tekanan terhadap kehidupan yang mencabar dan pelbagai masalah yang perlu dihadapi setiap hari.

Masalah silih berganti dan cabaran datang tanpa henti. Setiap perkara perlu diselesaikan segera menyebabkan jiwa dan perasaan terganggu.

Kadang kala tekanan muncul apabila perlu ditentukan yang mana perlu diletakkan sebagai prioriti apabila semua tugasan datang serentak. Kerja di pejabat, keluarga di rumah dengan kos sara hidup yang tinggi semuanya perlu dihadapi dengan tenang dan mental yang sihat.

Tekanan perasaan boleh dihindari jika kita berupaya meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri untuk mengatasinya. Puncanya perlu dicari dan cara mengatasi perlu penawarnya. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk menghilangkan stress.

Walaupun kita tidak mungkin dapat menyelesaikan keseluruhan stress, namun dengan rehat seketika di antara waktu kerja boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.

Memendam rasa merupakan salah satu puncanya atau dikatakan makan hati berulam jantung sama ada tersurat dan tersirat yang melibatkan akal, pemikiran atau proses intelektual. Jika tekanan perasaan dijuruskan kepada perasaan dan fikiran yang negatif, ia berkemungkinan akan mengakibatkan mental menjadi tidak siuman, sakit otak atau gila.

Seseorang yang mengalami masalah apabila jiwanya senipis bawang, dan apabila jiwanya sekeras besi tetapi mentalnya tetap lemah dan jika tidak dikawal dengan betul maka pelbagai perkara akan terjadi.

Masyarakat yang mempunyai mental yang terganggu boleh merencatkan pembangunan jati diri dan negara. Jiwa kosong, hati menjadi kering tanpa pegangan agama yang kuat dan kurangnya kasih sayang adalah sebahagian daripada puncanya.

Dalam sebahagian kes jenayah sosial pula, adakala penjenayah dibebaskan jika dikatakan mempunyai rekod masalah kesihatan mental. Adilkah keputusan itu? Lantaran masalah mental dan perbuatan dilakukan tanpa sedar maka mereka tidak boleh dihukum.

Jenayah-jenayah sosial semuanya dilakukan oleh mereka yang imannya lemah, mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan akibatnya. Adakah penjenayah itu mempunyai masalah mental atau iman mereka terlalu rapuh sehingga terlibat dalam gejala negatif seperti pengambilan dadah, arak, pil khayal yang dikatakan dapat menyelesaikan segala kebuntuan. Akhirnya ia menjadi punca mereka melakukan jenayah sosial.

Hari ini, masyarakat Malaysia dikatakan menghadapi masalah sakit mental yang serius dengan 12 peratus rakyat negara ini atau 3.5 juta orang menghidap penyakit mental. Tinjauan Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.

Tinjauan juga menunjukkan wanita dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki. Adakah wanita lebih stress dengan memikul pelbagai tanggungjawab dan beban?

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental golongan remaja daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada 2011 kerana pengaruh Internet dan teknologi komunikasi dan kesibukan ibu bapa.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa pula ialah 11.2 peratus berbanding 10.6 peratus pada 1996. Bilangan pesakit mental di negara ini dijangka terus meningkat dalam masa 10 tahun akan datang.

Semua rakyat menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan mengadakan ujian kesihatan mental terhadap pelajar sekolah menengah tahun ini sebagai kaedah menangani tekanan perasaan atau isu disiplin. Projek mengesan kesihatan mental pelajar sekolah menunjukkan tahap keresahan, kemurungan dan stress mereka berada pada tahap yang disifatkan sebagai 'tinggi'.

Daripada 6,540 murid yang disaring dalam projek perintis dikenali 'Program Minda Sihat Menangani Stress Dalam Kalangan Murid Sekolah' itu, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus mengalami tanda kemurungan teruk dan 4.8 peratus mengalami stress teruk.

Pada November lalu, kita dikejutkan dengan berita seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat mengambil dadah menyembelih bayinya yang berusia 11 bulan di Felda Panching Selatan. Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing. Pengaruh dadah menyebabkan kesihatan mental terganggu dan mendorong melakukan perbuatan tanpa disedari. Apabila sedar semuanya telah terlambat.

Jika kita imbas kepada satu lagi kejadian, seorang pemuda bertindak menyimbah sebaldi cuka getah melalui tingkap terbuka kerana berang cintanya dihalang. Sikap yang terlalu mengikut perasaan kepada keluarga teman wanitanya boleh kita kaitkan dengan masalah jiwa yang rapuh atau kesihatan mental? Tergamak melakukan perbuatan yang sekejam ini menceroboh dan turut mencederakan seorang bayi yang berusia enam bulan sehingga maut manakala kakak dan ibu bayi parah.

Selain itu, berita seorang guru yang menggigit lengan muridnya hingga cedera hanya kerana tidak dapat menyebut perkataan "boy's" dengan betul menyebabkan murid berkenaan Farhan mengalami tekanan perasaan dan trauma. Kajian menunjukkan golongan guru ialah kumpulan keempat tertinggi dalam menghadapi tekanan dengan 45.8 peratus dan golongan tertinggi ialah kumpulan polis dengan 53.7 peratus.

Dalam menangani kes mental ini, institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain juga dilihat perlu mengambil peranan selain badan-badan sosial lain.

Tanggungjawab merawat pesakit mental ini tidak seharusnya diserahkan sahaja bulat-bulat kepada Kementerian Kesihatan. Institusi agama boleh memainkan peranan yang berkesan dalam membantu Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan demi menangani masalah yang serius ini. Carilah penerang hati bukan pil penenang dengan kuatkan jiwa dengan cahaya keimanan. Salam 1Hati.

- UTUSAN

3 Disember 2012

Lebih ramai anggota PDRM diperlukan 2013

by
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan memerlukan lebih ramai anggota menjelang 2013 selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan negara khususnya di tempat awam dan perumahan yang semakin pesat berkembang.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bilangan keanggotaan yang besar itu diperlukan bagi membuat rondaan di kawasan terlibat seterusnya mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

"Langkah itu juga mampu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah dan rasa selamat untuk menjalankan aktiviti seharian," katanya selepas perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki di Pulapal Air Hitam.

Dalam majlis tersebut, seramai 996 pelatih berjaya menamatkan latihan selama enam bulan yang bermula 9 Jun lalu dan akan berakhir 8 Disember ini.

Sementara itu, Konstabel Muhamad Aliff Mohd. Azhar 22, dari Selangor muncul sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki.

Muhamad Aliff yang meminati kerjaya sebagai polis sejak kecil lagi berkata, beliau terkejut apabila pihak pengurusan memanggilnya ke pejabat kerana bimbang ada melakukan sebarang kesalahan.

"Namun perasaan itu bertukar gembira apabila mereka memberitahu saya adalah peserta terbaik keseluruhan untuk siri ini," jelasnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Sementara itu Peserta Terbaik Akademik milik Konstabel Muhammad Farhan Rosli 22 manakala Peserta Terbaik Latihan Luar ialah Konstabel Ridzwan Abdul Rakman, 21.

- UTUSAN

Top Ad 728x90