17 Disember 2015

Kelantan haramkan jualan vape

by
Kerajaan negeri Kelantan memberi tempoh selama 14 hari terhadap peniaga untuk menghentikan segala akti­viti penjualan vape sebelum tindakan tegas diambil pada 1 Januari 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri semalam mengekalkan keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen penjualan vape yang dibuat pada Majlis Me­syuarat Kerajaan Negeri awal bulan ini.

Berikutan keputusan itu, kerajaan negeri akan mengeluarkan notis selama 14 hari kepada peniaga terlibat untuk mengosongkan premis mereka bermula 16 Disember 2015.

Kerajaan negeri akan ambil tindakan termasuk menyita peralatan menghisap vape jika masih ada peniaga yang ingkar dan terus menjual vape selepas 1 Januari 2016.

- Kosmo!

10 Disember 2015

Jawatan Kosong Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) (300 Kekosongan) – 13 Disember 2015

by

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mempelawa kepada semua warganegara Malaysia yang berminat untuk memohon 300 jawatan kosong sebagai :

- Pegawai Tadbir dan Diplomatik M41 (300 Kekosongan)

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarat permohonan yang telah ditetapkan untuk jawatan kosong di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA): http://www.spa.gov.my/web/guest/deskripsi-tugas/ijazah/1609

Permohonan boleh dibuat di: http://www.spa.gov.my/

Tarikh Tutup: 13 Disember 2015

Pendaftaran & Kemaskini BR1M 2016 Bermula 5 Hingga 31 Disember 2015

by
Pendaftaran & kemaskini BR1M 2016 boleh dibuat secara online atau penghantaran permohonan ke LHDN yang terdekat bermula hari ini, 5 sehingga 31 Disember 2015.

Sistem dan cara pendaftaran baru untuk BR1M 2016 masih sama dengan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebelum ini, sama ada mengunakan kaedah dalam talian (online) atau menggunakan borang yang boleh didapati di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

9 Disember 2015

Kadar tarif elektrik kekal

by

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan berkuat kuasa pada 1 Januari hingga Jun 2016.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, dengan keputusan itu, pengguna di Semenanjung akan terus menikmati rebat sebanyak 1.54 sen per kilowatt-jam (kWj) manakala di Sabah dan Labuan pula sebanyak 1.20 sen/kWj.

Menurut beliau, pengekalan rebat di Semenanjung dibuat susulan terdapatnya penjimatan kos bahan api dan penjanaan (ICPT) sebanyak RM762.03 juta bagi tempoh Julai hingga Disember 2015 ekoran penurunan harga gas cecair asli (LNG) di pasaran dunia selain peningkatan­ kecekapan loji-loji jana kuasa gas dan arang batu.

Sabah dan Labuan yang tidak menggunakan mekanisme ICPT, keputusan untuk mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik dibuat berdasarkan penurunan harga minyak mentah dunia. Penjimatan dalam pemberian subsidi bahan api Medium Fuel Oil (MFO) dan diesel telah membolehkan kerajaan mengekalkan penurunan purata sebanyak 1.20 sen/kWj. Subsidi keseluruhan di Sabah dan Labuan dianggarkan sebanyak RM468 juta.

- Kosmo!

3 Disember 2015

Wanita Malaysia tidak minat berkahwin

by
Trend wanita Malaysia tidak minat berkahwin awal menyebabkan kadar kesuburan di negara ini berada di tahap membimbangkan dengan purata kelahiran yang dicatatkan turut menurun sehingga 1.9 orang bagi sebuah keluarga pada tahun lalu.

Jika pada tahun 1980-an, setiap pasangan di Malaysia mempunyai empat orang anak tetapi angka tersebut menurun kepada tiga orang pada tahun 2000. Lebih teruk pada tahun 2014, kadar kelahiran bagi setiap pasangan berkahwin di Malaysia terus merosot sehingga ke paras 1.9 orang anak sahaja.

Secara umum, angka terbaharu kadar ke­lahiran di Malaysia itu berada di bawah tahap penggantian normal da­­lam sesebuah keluarga iaitu 2.0 orang anak.

Paras kelahiran atau penggantian normal bermakna dua orang anak yang dilahirkan setiap pasangan hanya bersifat menggantikan kedua ibu bapa dalam sesebuah keluarga. Seandainya, Malaysia tidak memberi fokus dengan trend kadar kesu­buran dalam kalangan rakyatnya, negara ini dijangka mengikut jejak negara maju seperti Jepun yang mencatatkan kadar kelahiran 1.4 orang anak manakala Singapura 0.8.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr. Siti Norlasiah Ismail berkata, kemerosotan kadar kelahiran mempunyai kaitan langsung dengan sikap wanita masa kini yang memilih untuk berkahwin lambat, mementingkan kerjaya dan beranggapan kos menyara anak tinggi.

- Kosmo!

Tambang ERL naik RM55 mulai 1 Januari 2016

by


Mulai 1 Januari 2016, penumpang Express Rail Link (ERL) perlu membayar jumlah tambahan sebanyak RM20 kepada harga asal bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menerusi kenyataan pada Isnin, Express Rail Link Sdn Bhd berkata tambang baharu bagi perjalanan sehala laluan berkenaan akan meningkat menjadi RM55 sehala.

Kenyataan itu menyebut semakan tambang terkini tersebut telah diluluskan kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berdasarkan Seksyen 120 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Ini adalah harga diskaun selepas ERL diberi kuasa untuk menyemak semula tambang kepada RM64 berdasarkan syarat-syarat perjanjian konsesi.

"Bagaimanapun kami lakukan penstrukturan tambang baharu dengan mengutamakan pelanggan. Kami sedar bahawa kos sara hidup yang meningkat adalah satu cabaran," demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif ERL Sdn Bhd, Noormah Mohd Noor.

Selain itu Noormah memberitahu bahawa ERL juga sedang bekerjasama dengan rakan pernigaannya untuk menawarkan diskaun kepada pengguna.

"Kami sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kami seperti MasterCard untuk menawarkan diskaun yang menarik. Sebagai contoh, penumpang yang hendak ke lapangan terbang menggunakan KLIA Ekspres boleh membayar serendah RM40 setiap perjalanan, iaitu hanya RM5 lebih daripada tambang lama RM35.

"Kami akan terus mencari jalan untuk mengurangkan kesan tanpa menjejaskan standard perkhidmatan dan keselamatan," tambah beliau.

Penumpang juga digalakkan untuk membeli tiket secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih dan dari kiosk ERL kerana mereka dapat menikmati potongan 10 peratus.

Pengguna Touch 'n Go akan dapat menikmati potongan 10 peratus dalam tempoh promosi manakala pelancong boleh berjimat sebanyak RM10 dengan membeli tiket pergi balik antara KL Sentral dan lapangan terbang.

Warga emas dan orang kurang upaya akan terus menerima diskaun 30% untuk tambang sehala menggunakan KLIA Transit, katanya.

Ini adalah semakan pertama harga tiket ERL sejak ia mula beroperasi hampir 14 tahun yang lalu.

Tambang LRT & Monorel Naik Mulai 2 Disember 2015

by

Tambang Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorail akan dinaikkan mengikut jarak perjalanan mulai 2 Disember 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata syarikat perkhidmatan rel itu akan mengenakan tambang kepada penumpang mengikut jarak perjalanan mereka.

Dalam sidang media pada Isnin, Azmi mengumumkan tambang baru tiket yang bermula dengan tambang 70 sen mengikut blok jarak perjalanan yang berbeza.

Katanya, tambang ini tidak semestinya dilihat sebagai satu peningkatan berbanding dengan yang telah berkuat kuasa pada Isnin.

Untuk empat kilometer pertama, penumpang LRT akan dikenakan 30 sen perkilometer perjalanan.

Tambah Azmi, lagi jauh penumpang itu pergi, tambang yang dikenakan untuk setiap blok jarak perjalanan akan dikurangkan.

Jarak 4.1 kilometer hingga 9 kilometer, penumpang akan dikenakan tambang 26.4 sen perkilometer. Untuk 9.1 kilometer hingga 14 kilometer, tambang 21.5 sen perkilometer.

Bagi 14.1 kilometer hingga 19 kilometer, tambang menjadi 18 sen perkilometer dan 19.1 kilometer hingga 24 kilometer, 14.4 sen perkilometer.

Untuk perjalanan melebihi 24 kilometer, tambang akan dikenakan sebanyak 10.8 sen perkilometer.

Perjalanan Monorail juga akan menggunakan blok jarak perjalanan dengan penumpang dikenakan 58.8 sen perkilometer untuk empat kilometer pertama dan 37.2 sen perkilometer untuk 4.1 kilometer hingga 9 kilometer blok.

Azmi menambah perjalanan yang akan dikenakan tambang istimewa Sistem. Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menunjukkan tanda-tanda bahawa tambang LRT dan Monorail akan dinaikkan.

Syed Hamid berkata SPAD telah mendapat kelulusan Kabinet untuk menaikkan tambang.

Pada Julai, Prasarana berkata tambang LRT tidak berubah sejak 2002.

Pagi Isnin, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan tambang Komuter juga akan dinaikkan dari 11 sen per kilometer hingga 15 sen per kilometer mulai 2 Disember.

1 Disember 2015

Air Asia berpindah ke Terminal 1 Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA)

by


Terminal 2 Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) akan ditutup mulai tengah malam Isnin, 1 Disember 2015. Pesawat penerbangan tambang murah Airasia akan berpindah operasi ke Terminal 1.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Berhad (MAB) Datuk Abd Hamid Mohd Ali walau bagaimanapun berkata pesawat pertama Air Asia yang akan menggunakan Terminal 1 itu adalah dari Sandakan pada pukul 8.40 malam, Tawau (10.30 malam), Hong Kong ( 11.10 malam), Hangzhou (12.40 tengah malam) dan Guangzhou (3.20 pagi).

Katanya, pesawat Air Asia akan berlepas dari Terminal 1 ke Hong Kong pada pukul 6.40 pagi, Sandakan (6.40 pagi), Kuala Lumpur dan Taipei (7.10 pagi), Kota Bharu (8.20 pagi) dan Tawau (8.50 pagi).

Hamid berkata mereka menjangkakan perpindahan Air Asia ke Terminal 1 akan berjalan lancar seperti mana syarikat penerbangan itu dan pihak berkuasa lain telah bersiap sedia sejak Oktober.

- mSTAR

30 November 2015

Yus Jambu Meninggal Dunia Sakit Jantung

by


Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi Isnin, 30 November 2015.

Pelawak Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, memberitahu berita tersebut menerusi laman sosial Facebooknya.

Sementara itu, Afdlin yang dihubungi memberitahu berita tersebut disampaikan oleh salah seorang rakannya iaitu pelakon Angeline Tan.

"Saya tidak tahu terperinci tentang itu, namun berita itu disampaikan oleh salah seorang rakan iaitu pelakon Angeline Tan.

"Katanya, mereka baru pulang dari Konsert Raja Band di Dataran Merdeka dan dalam perjalanan pulang arwah sesak nafas. Jenazahnya masih berada di Hospital Selayang," ujarnya.

Allahyarham dilahirkan pada 15 Mac 1976 dan dibesarkan di Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

Kerjaya seni beliau bermula bila menyertaSinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 2001 anjuran TV3.

Pada tahun 2007 Yus mencuba nasib di program Raja Lawak terbitan Astro yang pertama kali diadakan dan berjaya menjadi Juara program tersebut pada 11 Mac 2007.

Menerusi pertandingan itu yang diundi peminat secara khidmat pesanan ringkas (SMS), Yus menerima hadiah berupa kereta antik iaitu TD 2000 dan wang tunai RM20,000.

Bagaimanapun tidak lama kemudian Yus menjual kereta kemenangan itu kepada seorang taukeh Cina di Ipoh kerana kesempitan wang akibat tiada tawaran selepas menjuarai pertandingan berkenaan.

Yus juga dalam sebuah artikel turut memberitahu dia terkejut apabila dalam satu pemeriksaan kesihatan, doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung selain tahap kolestrol dalam badan terlalu tinggi.

Pada tahun 2011 pula, Allahyarham bergandingan dengan Tauke dan menyertai Maharaja Lawak 2011 dengan membentuk kumpulan Jambu dan mendapat tempat ke-4 keseluruhan program tersebut.

Perkembangan terbaharu yang diterima mStar Online kira-kira pukul 7.30 pagi Isnin, jenazah telah dibawa pulang ke kampungnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

- mSTAR

29 November 2015

Sultan Johor Haram Vape di Johor Mulai 1 Januari 2016

by


Sultan Johor mengharamkan penggunaan vape di seluruh negeri itu dan memberi tempoh sebulan kepada pengusaha premis peranti berkenaan untuk menamatkan operasi.

"Saya mahu premis vap ditutup pada 1 Januari 2016 dan saya tidak mahu dengar sebarang alasan.

"Ia ada kaitan dengan isu kesihatan dan kesannya kepada golongan muda, bukan melibatkan perniagaan atau perkauman.

"Saya benar-benar kecewa apabila ada pihak menimbulkan isu ancaman perkauman dan politik melibatkan vape," titah baginda menerusi temubual khas baru-baru ini.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskkandar bertitah, negeri mempunyai hak untuk menguatkuasa undang-undang mengikut peruntukan kerajaan tempatan bagi menutup perniagaan pengusaha vape.

Baginda juga mengarahkan supaya kerajaan negeri bersidang minggu depan untuk merangka perancangan untuk memudahkan proses itu.

Titah baginda lagi, ahli politik juga seharusnya berhenti memenuhi kehendak ahli perniagaan yang terlibat dalam industri vape ini.

"Kenapa ada ahli politik yang mengalah terhadap ancaman ini? Saya mahu tahu jika ahli perniagaan ini membenarkan anak-anak mereka untuk menggunakan vape jika ia benar-benar selamat dan tidak mengganggu kesihatan seperti yang didakwa.

"Apakah kamu mahu melihat anak-anak terus menggunakannya.

"Ia perniagaan baharu tetapi apa pula bentuk perniagaan yang mereka lakukan sebelum ini? Berpatah balik kepada pekerjaan anda sebelum ini," katanya.

Awal bulan ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Industri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Kementerian Kesihatan menguatkuasakan penjualan vape yang perisannya mengandungi nikotin boleh membunuh industri yang dikuasai peniaga Melayu.

Menteri berkenaan juga memberi maklumbalas berkenaan susulan laporan polis yang dibuat sekumpulan peniaga Bumiputera mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap industri vape boleh mengakibatkan sokongan terhadap Barisan Nasional menurun pada pilihan raya umum akan datang.

Sultan Johor bertitah, kesan jangka panjang kesihatan kerana penggunaan vape di mana pembayar cukai perlu menanggung untuk membiayai rawatan.

Beliau bertitah lagi, pengharaman vape di negeri itu meliputi penjualan produk berkaitan peranti itu.

"Adalah jelas mengikut undang-undang, premis vape tidak boleh menjual nikotin, jadi kenapa perlu menutup sebelah mata dan mengetepikan undang-undang?

"Jika kita biarkan ia berlaku, akan ada golongan muda yang ketagih untuk menggunakannya," titah baginda.

Sultan Johor juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang pada 1 Januari depan akan dikenakan tindakan.

- mSTAR

26 November 2015

Aswara kini dikenali Universiti P. Ramlee

by

Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee diangkat sebagai Tokoh Wa­risan Negara manakala Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan dinaik taraf sebagai Universiti P. Ramlee.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

“Saya menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, P.Ramlee memang ahli seni yang terkenal, bukan sahaja negara kita malah juga serantau.

“Seiring itu, kementerian akan menaik taraf Aswara sebagai Universiti P. Ramlee bagi mengiktirafnya sebagai seniman unggul, juga mengangkat beliau sebagai Tokoh Warisan Negara,” kata Mohamed Nazri disambut tepukan semua anggota dewan.

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh semasa hayatnya telah menghasilkan 66 buah filem dan 401 lagu selain pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Ke-4, Tokyo, Jepun.

Aswara yang terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pula yang ditubuhkan pada 1994 di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ketika itu asalnya dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan.

Ia merupakan satu-satunya universiti awam dalam bidang persembahan yang didokongi sepenuhnya oleh kerajaan.

- Kosmo!

17 November 2015

Anak Panda Gergasi di Zoo Negara

by

Zoo Negara akan mempamerkan anak panda betina kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang mulai 17 November 2015.

Timbalan Presidennya Rosly @ Rahmat Ahmad Lana berkata tontonan umum itu akan berlangsung dari 2.30 hingga 3.30 petang setiap hari.

Sekiranya anak panda itu tidak meragam, pada Disember ini kami mungkin buat dua sesi tontonan iaitu pagi dan petang.

Beliau berkata segala persiapan telah dibuat bagi penontonan anak panda itu kepada khalayak awam, yang memang ditunggu-tunggu.

Anak panda yang dilahirkan pada 18 Ogos, kini mampu merangkak dan berjalan namun masih tidak bergerak aktif.Anak panda yang belum dinamakan itu seberat 5.6 kilogram.

Anak panda itu akan dihantar pulang ke China selepas dua tahun berada di Malaysia. Mengikut perjanjian antara kerajaan Malaysia dan China, Xing Xing dan Liang Liang akan menetap di sini selama 10 tahun.

Pasangan panda gergasi yang dipinjamkan China tiba di negara ini pada 21 Mei tahun lepas sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Sumber : Bernama

UPSR 2015 - 38,344 Calon Dapat Semua A

by

Pencapaian keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 meningkat dan murid yang mendapat keputusan cemerlang semua Gred A juga meningkat kepada 38,344 orang berbanding pencapaian pada tahun 2014. Tahun 2014, 36,304 pelajar daripada 460,407 calon mendapat semua Gred A.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata sejumlah 443,407 murid menduduki UPSR pada tahun 2015 dan murid yang mendapat semua Gred A meningkat 0.76 peratus, iaitu daripada 7.89 peratus pada tahun 2014 kepada 8.65 peratus pada tahun 2015.

Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) UPSR meningkat sebanyak 0.02 mata, iaitu daripada GPN 2.29 pada 2014 kepada 2.27 tahun ini. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik katanya semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR 2015 di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.


Kerani Sekolah Agama Di Muar Mati Dibunuh

by


Seorang kerani sekolah agama di Bukit Pasir, Muar, Johor dipercayai telah dirogol dan dibunuh di rumahnya di Sungai Terap pada Isnin, 16 November 2015.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.00 petang di rumahnya di Taman Setia Kasih.

Azman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, ditemui mati terbaring dekat bilik tidurnya di rumahnya.

Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dan terdapat juga kesan darah dan kunci rumah berhampiran mayatnya.

Barang-barang kepunyaan mangsa seperti beg tangan, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri juga telah hilang.

Sumber : mStar

Taman Mimaland Gombak berpuaka?

by


Mimaland mula dibina dalam tahun 1971. Nama Mimaland itu sebenarnya adalah merupakan singkatan daripada gabungan perkataan Malaysia In Miniature Land. Mimaland dibina di sebuah kawasan berbukit seluas 300 ekar di Hulu Gombak. Ia dimiliki oleh syarikat Magnum Corporation Berhad.

Pembinaan Mimaland dilakukan dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat. Fasa pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang.

Antara tarikan utama Mimaland pada peringkat awalnya ialah Taman Haiwan Prasejarah yang mengandungi binaan replika dinosaur bersaiz besar yang begitu mengagumkan dan menjadi tumpuan bagi beberapa penggambaran filem tempatan, seperti Filem Mekanik (1983). Selain itu filem Gila-Gila Remaja (1986), Filem Tempo 88 (1987), filem Dendang Perantau (1979) dan filem Suara Kekasih (1986) juga membuat penggambarannya di situ.

Dalam filem Gila-Gila Remaja antara dialog popular adalah "Esok jangan lupa, Mimaland!" yang diucapkan oleh pelakon Faizal Hussein. Juga terdapat adegan Azroy dan Suzana singgah minum di restoran tepi tasik. Dalam filem Dendang Perantau, logo lama Mimaland kelihatan pada pintu gerbangnya, yang berbeza dari logo tahun 1980-an. Dalam filem tu Latiff Ibrahim menumpangkan saudaranya dari Indonesia untuk menginap di chalet terapung di Mimaland. Dalam filem Suara Kekasih pula, Ogy & Azmil Mustapha dating di restoran tepi tasik di Mimaland.

Pada tahun 1984 satu kolam renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara telah dilancarkan sebagai satu lagi tarikan terbaru Mimaland. Ia turut menawarkan papan luncur air gergasi yang tinggi dan menjadi kegemaran para pengunjung. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan memancing, kawasan 'giant maze', serta kawasan untuk merentas rimba.

Setelah bertahun-tahun Mimaland beroperasi, seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun maut dalam satu kemalangan di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993. Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai dan memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya.

Selepas kerja-kerja penambahbaikan dilakukan Mimaland kembali dibuka kepada orang ramai. Bagaimanapun, satu kejadian kecil tanah runtuh telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada dinding kolam renang yang sama pada Mei 1994. Kejadian ini menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut menyebabkan kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.

Beberapa pihak termasuk agensi kerajaan kemudiannya telah menyeret pihak pengurusan Mimaland ke mahkamah di atas beberapa dakwaan kesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah. Sepanjang perbicaraan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994.

Penduduk sekitar melaporkan yang tinggalan Taman Mimaland di Gombak ini keras dan berpuaka. Kisahnya difilemkan di dalam filem terbitan Metrowealth yang bertajuk 'Ia Wujud'. Taman Mimaland ini tersenarai di antara 10 tempat berhantu di Malaysia.

15 November 2015

153 Maut Serangan di Paris

by

Sekurang-kurangnya 153 orang maut dalam beberapa siri tembakan serentak di bandaraya Paris pada Jumaat, termasuk letupan di luar Stadium Nasional di mana satu perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

Polis berkata kebanyakannya menjadi korban di Dewan Konsert Bataclan di tengah Paris, kira-kira 200 meter dari bangunan bekas ibu pejabat Charlie Hebdo di mana serangan anggota kumpulan jihad berlaku pada Januari lalu.

Polis turut memberitahu terdapat tebusan ditahan di lokasi itu yang terkenal sebagai pusat hiburan pada waktu malam.

Tiga maut berhampiran Stadium Stade de France yang terletak di utara bandaraya berkenaan, di mana sedang berlangsungnya satu perlawanan bola sepak antarabangsa.

Wartawan AFP melaporkan dua letupan kedengaran di stadium itu. Presiden Perancis, Francois Hollande telah dibawa keluar dari stadium berkenaan sebelum perlawanan tamat. Penonton dibawa keluar melalui tiga pintu utama.

Satu lagi serangan dilaporkan di sebuah restoran makanan Kemboja, Petit Cambodge, tidak jauh dari Bataclan.

Sumber : Astro Awani

11 November 2015

Prinsip 'patuh syariah' Rayani Air

by

Belum pun memulakan operasinya, syarikat penerbangan terbaharu negara, Rayani Air sudah pun menerima pujian dari banyak pihak. Orang ramai menyokong aspirasi syarikat penerbangan tersebut yang mempraktikkan prinsip patuh syariah dalam operasinya. Ini termasuklah tidak menghidangkan alkohol di dalam pesawat, selain pramugari beragama Islam diwajibkan bertudung sementara krew bukan beragama Islam pula dimestikan berpakaian sopan.

Langkah yang diambil Rayani Air disifatkan permulaan kepada pelaksanaan peraturan patuh syariah yang lebih menyeluruh di masa hadapan. Berpangkalan di Langkawi, Rayani Air dijangka bakal memulakan operasinya hujung bulan ini dengan menjadikan empat lokasi sebagai destinasi iaitu Kota Bharu, Kuching, KLIA2 dan Kota Kinabalu.

Keputusan UPSR 2015 diumum 17 Nov 2015

by

Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 akan dikeluarkan pada 17 November 2015 (Selasa).

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi 17 November.

Calon juga boleh menggunakan semakan keputusan UPSR 2015 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10.00 pagi, 17 November ini dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, pada 23 November 2015.

Seramai 455,929 calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,134 pusat peperiksaan di seluruh negara. Peperiksaan UPSR berlangsung pada 8 hingga 10 September 2015 lalu.

3 November 2015

Siaran TV Digital Percuma (MYTV) Bermula Sepenuhnya 2016

by


Rakyat Malaysia bakal menikmati siaran televisyen digital sepenuhnya secara percuma bermula awal tahun depan dengan adanya perkhidmatan siaran Televisyen Terestrial Digital yang akan dikendalikan oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV).

Ketua Pegawai Operasi MYTV, Mohamed Redzwan Yahya bagaimanapun berkata untuk menikmati perkhidmatan tersebut, pengguna perlu terlebih dahulu memiliki set dekoder atau Set Top Box atau televisyen yang mampu menerima siaran digital secara langsung yang dikenali sebagai iDTV.

Katanya untuk itu, set-set dekoder dan televisyen berkenaan perlu mempunyai label khas bagi penerimaan siaran DTTB yang diperkenal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikenali sebagai 'Label Pengguna Alat Penerima DTTB atau ringkasnya 'DTTB Malaysia' yang akan mula diguna pakai awal tahun hadapan.

"Dengan adanya label khas ini, pengguna dapat memastikan mereka hanya membeli alat penerima siaran DTTB seperti dekoder dan televisyen yang disahkan untuk menikmati siaran digital dengan kualiti gambar serta audio terbaik, katanya kepada pemberita selepas seminar Label Pengguna Alat Penerimaan DTTB di sini baru-baru ini.

MYTV selaku pelaksana dan pengendali infrastruktur DTTB di Malaysia juga memegang hak ekslusif penjualan serta pengedaran dekoder DTTB di negara ini dan semua dekoder dilengkapi label DTTV Malaysia.

Label DTTB Malaysia diperkenalkan oleh SKMM dan pengeluarannya dikawal selia oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Menjelas lanjut mengenai DTTB Mohamed Redzwan berkata fasa pertama siaran yang dijadual awal 2016 akan meliputi kira-kira 85 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara sebelum dipertingkat kepada 98 peratus menjelang akhir 2016.

"Liputan kita adalah berdasarkan kepada populasi penduduk di sesuatu kawasan kerana pihak MYTV mahu memastikan setiap rakyat yang layak dapat menikmati perkhidmatan DTTB ini," katanya.

Beliau berkata menerusi perkhidmatan DTTB, penonton di negara ini akan menikmati banyak manfaat seperti kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, pilihan saluran siaran percuma lebih banyak selain akses perkhidmatan televisyen interaktif termasuk membeli belah dari rumah serta menonton video atas pemintaan.

Menurut Mohamed Redzwan sebanyak dua juta set dekoder akan diedar dan diberi secara percuma kepada isi rumah yang yang layak iaitu mereka yang tergolong dalam kelompok pendapatan 40 peratus ke bawah (B40).

Beliau berkata pengguna hanya perlu menyambungkan alat dekoder kepada antena dalaman yang termasuk dalam pakej dekoder itu, ataupun kepada antena terestrial luaran yang sedia ada untuk menikmati siaran DTTB kelak.

Mengenai kos pelaksanaan Mohamed Redzwan memberitahu projek DTTB itu merupakan inisiatif pembiayaan swasta dan pihak MYTV memperuntukkan pelaburan sebanyak RM4.5 bilion bagi tempoh 15 tahun.

MYTV merupakan syarikat yang diberi lesen oleh kerajaan untuk membangun dan menguruskan infrastruktur serta kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan DTTB di Malaysia sebagai usaha melaksanakan penghijrahan system penyiaran nasional daripada analog kepada digital menjelang 2017.

Sumber : mStar

31 Oktober 2015

Pesawat Rusia Terhempas Di Mesir

by


Sebuah pesawat Rusia yang membawa 224 penumpang dan anak kapal terhempas di semenanjung Sinai, Mesir pada Jumaat, jelas  pejabat Kementerian Perdana Menteri Mesir.

Airbus A- 321, yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia Kogalymavia dengan nombor pendaftaran KGL- 9268 , dilaporkan berlepas dari lokasi peranginan di  Sharm el -Sheikh ke St Petersburg sebelum terhempas di kawasan pergunungan terpencil di tengah Sinai.

Sumber keselamatan Mesir berkata tidak ada petunjuk bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh oleh kumpulan militan di Sinai.

Jurucakap pihak berkuasa penerbangan Rusian Rosaviatia, Sergei Isvolsky berkata, pesawat itu berlepas dari Sharm el -Sheikh pada 06:51 (0351 GMT) dan hilang perhubungan kira-kiri 25 minit kemudian.

Pegawai keselamatan di tempat kejadian memberitahu Reuters melalui telefon, bahawa pasukan mencari dan menyelamat turut mendengar suara-suara di dalam badan pesawat.

"Saya melihat adegan tragis. Mayat-mayat bergelimpangan di tanah dan ada sebahagiannya  meninggal dunia di tempat duduk sendiri di dalam pesawat," jelas salah seorang pegawai yang berada di tempat kejadian.

"Pesawat itu terbelah dua, sebahagian kecil di hujung ekor yang dibakar dan bahagian besar terhempas ke batu. Kami telah mengeluarkan lebih kurang 100  mayat dan selebihnya masih berada di dalam badan pesawat."

Sinai merupakan lokasi kejadian pemberontakan oleh militan yang menyokong Negara Islam. Para pemberontak telah membunuh beratus-ratus tentera Mesir serta polis dan juga telah menyerang sasaran Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Manakala Rusia telah melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pembangkang Syria termasuk Negara Islam pada 30 September lalu.

Namun sumber keselamatan Mesir berkata, tidak ada petunjuk bahawa jet Airbus itu telah ditembak jatuh atau diletupkan.

Pesawat A321 yang  mempunyai 185 tempat duduk merupakan jet jarak sederhana telah digunakan dalam 1,100 operasi di seluruh dunia sejak tahun 1994.

Ia merupakan sebuah pesawat  automatik bergantung kepada komputer untuk membantu juruterbang kekal dalam had yang selamat ketika terbang.

Menurut data daripada Yayasan Keselamatan Penerbangan insiden tersebut merupakan kemalangan maut kedua melibatkan pesawat dari keluarga A320 ini.

Dalam pada itu, dilaporkan Perdana Menteri Mesir Sherif Ismail menuju ke lokasi kemalangan dengan beberapa menteri kabinet lain dengan menaiki  jet peribadi.

Menurut Kementerian Penerbangan Awam Mesir, pesawat Airbus A 321 berlepas pada 05:51 masa Kaherah (0451 BST) dan hilang daripada radar 23 minit kemudian ketika berada dalam ketinggian 31,000 kaki (9,400 meter).

Misi mencari dan menyelamat lewat tiba di lokasi kejadian di kawasan Hassana disebabkan faktor cuaca yang kurang baik.

Sumber : Reuters

Pencen Terbitan

by


Panduan ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai peruntukan faedah-faedah persaraan terbitan dan urusan permohonannya yang terdapat di bawah Undang-undang Pencen Sektor Awam Malaysia serta menjelaskan peranan dan tanggugjawab pihak-pihak yang terlibat dengan urusan berkaitan.  Ianya juga bertujuan untuk menjelaskan syarat serta tatacara bagi memperolehinya.  Ganjaran Terbitan, Pencen Terbitan dan Pencen Tanggungan diberi kepada orang-orang tanggungan anggota yang mati dalam perkhidmatan dan yang mati dalam persaraan.

KEDUDUKAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG PENCEN

SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA ?


Ganjaran Terbitan dan Pencen Terbitan
Ganjaran Terbitan Sahaja
Pencen Tanggungan


TAFSIRAN ORANG-ORANG TANGGUNGAN
Anak


Tindakan oleh Ketua Jabatan


Faedah Persaraan Terbitan di peruntukan dalam semua undang-undang pencen di Malaysia.  Kedudukan peruntukan tersebut dalam dua undang-undang pencen utama sektor awam adalah seperti berikut:
  • Ganjaran Terbitan diperuntukan di bawah Seksyen 14 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 15 Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)
  • Pencen Terbitan diperuntukan di bawah Seksyen 14 & 15 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 15 & 16 Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)
  • Pencen Tanggungan di peruntukan di bawah Seksyen 18 Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Seksyen 20 Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239)
  • Balu atau duda kepada anggota Perkhidmatan Awam dan anggota Bdan-badan Berkanun dan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (BBKT) yang mati dalam perkhidmatan/selepas bersara
  • Duda kepada anggota Perkhidmatan Awam dan BBKT yang telah berkhidmat pada dan selepas 1.7.1980 dan mati dalam perkhidmatan/selepas bersara
  • Anak-anak gemulah yang masih dibawah umur 21 tahun dan belum berkahwin termasuk anak angkat, anak tiri dan anak tak sah taraf.  Anak-anak yang telah mencapai umur 21 tahun tetapi masih menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi bagi mendapat diploma / ijazah pertama; dan
  • Anak-anak cacat otak atau anggota secara kekal dan tidak berupaya untuk menanggung nafkah sendiri..

  • Ibu kepada anggota bujang atau bapa (jika ibu meninggal dunia)
  • Wakil yang sah di sisi undang-undang
  • Balu
  • Duda dalam tanggungan yang mengalami cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal dan tiada upaya menanggung diri sendiri;
  • Anak, terhad kepada enam orang sahaja;
  • Ibu atau bapa (jika tiada ibu) -   Ibu atau bapa yang bergantung sepenuhnya atau sebahagian besar nafkah kepada gemulah.

Balu / Duda
  • Mengikut peraturan 2, Peraturan-peraturan Pencen 1980,  balu atau duda ertinya isteri atau suaminya yang masih hidup kepada seseorang pegawai yang mati yang mana perkahwinannya diiktiraf di Malaysia sebagai satu perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis, agama, adat atau kelaziman.
  • Bagi orang yang bukan beragama Islam, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian 1976, menghendaki perkahwinan selepas 1.3.1982 di daftarkan di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian Jabatan Pendaftaran Negara.

Anak ertinya anak seorang pegawai atau pesara yang mati dan berumur dibawah 21 tahun dan masih belum berkahwin, iaitu:
  • Anak kandung
  • Anak tiri tanggungan - Anak tiri gemulah lelaki
  • Anak tak sah taraf - anak yang lahir sebelum atau tanpa perkahwinan yang sah.
  • Anak angkat – anak yang di ambil sebagai anak angkat oleh pegawai itu di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubung dengan pengangkatan atau di bawah mana-mana adat atau kelaziman, dengan bukti memuaskan mengenai pengangkatan itu; dan
  • Anak cacat – iaitu seorang anak yang tidak kira apa jua umurnya dan yang cacat otak atau kehilangan upaya dari segi jasmani dan secara kekal sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun.

BAGAIMANA MEMOHON APABILA BERLAKU KEMATIAN DALAM PERKHIDMATAN

Tindakan Oleh Balu / Duda / Waris

Jika berlaku kematian anggota Kerajaan dalam perkhidmatan, balu /duda / waris hendaklah mengambil tindakan berikut:
  • Laporkan segera kepada Ketua Jabatan di mana anggota berkhidmat, dan
  •  Kemukakan salinan dokumen-dokumen berikut:
    • salinan sijil kematian
    • salinan sijil perkahwinan / sijil pendaftaran perkahwinan.  Walau bagaimanapun Surat Akuan Balu / Duda Yang Sah boleh diterima jika sijil berkenaan tidak diperolehi salinannya dari pihak-pihak berkenaan.
    • salinan sijil kelahiran / salinan kad pengenalan anak-anak yang berumur di bawah 21 tahun
    • salinan surat pengambilan dan pengesahan anak angkat, (jika berkenaan)
    • dokumen-dokumen mengenai anak cacat dari Pakar Perubatan Kerajaan [Borang JPA.BP.UMUM.B04] dan Laporan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat serta gambar penuh anak cacat, (jika berkenaan)
    • sekeping gambar balu / duda (mana yang berkenaan)
    • Surat Akuan Pengesahan Penjaga [Borang JPA.BP.SPT.B02] (jika terdapat anak di bawah umur yang tidak di jaga oleh balu / duda).
Borang-borang yang perlu diisi dan dokumen yang kemukakan oleh Ketua Jabatan
  • Permohonan Pencen Tanggungan akibat kemalangan dalam perjalanan dan bencana
  • Permohonan Pencen Terbitan dan / Ganjaran Terbitan - Borang JPA.BP.SPT.B01a
  • Sijil Akuan Berhutang / Tidak Berhutang - Borang JPA.BP.UMUM.B01
  • Gambar berukuran pasport, tandatangan serta cop jari kedua-dua ibu jari penerima pencen.
  • Maklumat mengenai alamat, cara pembayaran yang di kehendaki, anak di bawah umur 21 tahun, pengakuan serta tandatangan dan cop ibu jari pemohon.
  • Maklumat mengenai opsyen yang di buat di bawah  Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencen 1980.
  • Salinan kenyataan perkhidmatan dan kenyataan cuti gemulah yang kemas kini.
  • Surat penyelesaian cukai pendapatan
  • Laporan siasatan polis dan / keputusan ‘Inquest’ oleh mahkamah bagi kes kemalangan maut
  • Laporan sosio – ekonomi ibu /bapa/ (jika tiada ibu) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  • Penyata KWSP 1036


Gaji Minimum RM900 Pembantu Rumah Indonesia

by


Indonesia menetapkan gaji bulanan minimum untuk pembantu rumah di Malaysia pada RM900 dan merancang untuk menaikkan ia kepada sekurang-kurangnya RM1,000.

Timbalan Duta Besar Indonesia Ke Malaysia, Hermono berkata gaji minimum RM900 akan berkuatkuasa pada 20 Oktober ini dan melibatkan semua pembantu rumah Indonesia yang baharu datang ke Malaysia selepas tarikh itu.

"Ia mungkin naik lagi berdasarkan gaji minimum di Malaysia yang ditetapkan pada RM1,000," katanya kepada The Star.

Beliau tidak menyatakan tempoh untuk kenaikan tersebut tetapi mengesahkan sebuah agensi kerajaan Indonesia telah menulis surat kepada kedutaan meminta gaji dinaikkan kepada RM1,000.

Surat daripada Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia Di Luar Negeri - salinan yang turut dilihat The Star - meminta agar kedutaan melaksanakan gaji minimum RM1,000.

Surat bertarikh 15 Oktober itu turut meminta kedutaan untuk tidak membenarkan majikan membuat potongan dari gaji pembantu rumah mereka.

Buat masa ini, majikan dibenarkan membuat potongan RM1,800 daripada gaji pembantu rumah dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Jumlah tersebut adalah wang pendahuluan yang dibayar oleh majikan untuk menampung sebahagian kos yang perlu ditanggung pembantu rumah mereka termasuk latihan.

Ketika ditanya mengenai surat tersebut, Hermono berkata perkara itu dan beberapa butiran lain sedang diperingkat perbincangan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot berkata pegawai kanan dari kedua-dua negara masih belum membuat keputusan mengenai gaji minimum pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) kali ke-11 di Jakarta pada 15 Oktober lalu.

"Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat JWG kali ke-12 yang akan diadakan di Putrajaya dalam masa terdekat," katanya.

Pada minggu lalu, Richard berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menaikkan sedikit gaji pembantu rumah dan beliau akan membuat pengumuman mengenai kadar baharu itu apabila keputusan dicapai.

Pada Mei lalu, Indonesia menghantar satu memorandum kepada kerajaan meminta agar gaji minimum pembantu rumah dari negara itu dinaikkan kepada RM1,200.

Walaupun mendapat bantahan di kalangan rakyat Malaysia, cadangan itu juga dikritik pakar ekonomi tempatan yang berkata Malaysia sudah berdepan aliran keluar tahunan sebanyak RM5 bilion ke Indonesia berdasarkan gaji minimum itu.

Daripada 320,000 pembantu rumah warga asing di negara ini, seramai 230,000 merupakan warga Indonesia.

Memorandum Persefahaman mengenai pengambilan rumah warga Indonesia yang ditandatangani pada Mei 2011 meliputi tempoh lima tahun dan membenarkan gaji minimum ditentukan kuasa pasaran.

Pada masa lalu, majikan di Malaysia biasanya membayar gaji sebanyak RM800.

Sumber : mStar

Beg Disyaki Ada Bom Di Suria KLCC

by


Pengunjung ke Menara 2 di Suria KLCC pada Sabtu digemparkan dengan penemuan empat beg yang dikhuatiri mengandungi bom. Beg berkenaan ditemui di bahagian tepi bangunan di antara pintu masuk utama Suria KLCC dan Menara 2 oleh polis bantuan KLCC pada kira-kira 10.30 pagi.

Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari IPD Dang Wangi lengkap berpakaian kalis letupan bergegas ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan. Anggota UPB melakukan prosedur meletupkan beg berkenaan pada kira-kira 1.45 petang di luar menara itu.

Namun tiada letupan berlaku. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Bernama kemudian mengesahkan beg itu hanya mengandungi pakaian lelaki. Beliau berkata selepas prosedur letupan, beg itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis bantuan pada pukul 12.35 tengah hari. Sepasukan bomba dan penyelamat dari balai Keramat dan Unit Hazmat dikejarkanke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan," katanya.



Zizan Razak Juara Super Spontan All Stars 2015

by


Pelawak dan pelakon Zizan Razak muncul sebagai juara Super Spontan All Stars dan telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Keputusan tersebut sekaligus meletakkan pesaing terdekatnya, Johan di tempat kedua dan memenangi wang tunai RM75,000 serta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik Achey yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000 diikuti Pak Yus dan  Rahim yang masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000 serta trofi. Tauke berada di tempat keenam yang telah membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi.

Hadiah telah disampaikan oleh Ketua Saluran & Kandungan Komedi Astro Warna, Bob Azrai.

Pusingan akhir Super Spontan All Starz menyaksikan para peserta berentap secara individu dan bukan berkumpulan seperti minggu-minggu sebelum ini.

Pusingan akhir Super Spontan All Starz diadakan di Dewan Raja Muda, Shah Alam, pada 30 Oktober 2015 dan disiarkan di saluran Astro Warna dan Astro Ria HD 134.

8,700 pegawai kontrak Kemas diserap

by


Sejumlah 8,700 daripada 10,000 pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang diserap sebagai lantikan tetap adalah petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak  yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam akan dilantik secara tetap berkuat kuasa 1 Julai 2016.
 
Ini merupakan berita yang ditunggu-tunggu oleh pekerja Kemas. Sebenarnya pihak kerajaan memberi perhatian kepada warga Kemas.
 
Kerajaan juga memberi elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan kepada pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang berkhidmat lebih 15 tahun yang
telah berhenti.
 
Pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang telah berhenti sebelum ini tidak menerima sebarang elaun. Dia berhenti sebagai pekerja kontrak namun kerajaan memberi mereka elaun sara hidup RM300 sebulan, katanya.
 
Ketika membentangkan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pegawai lantikan Perkhidmatan Kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam akan dilantik secara tetap.


30 Oktober 2015

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS BANDARAYA KUALA TERENGGANU (MBKT) - 9 NOV 2015

by

Jawatan Kosong Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)

Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan bagi mengisi jawatan kosong di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) seperti berikut :
1. Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U29
2. Penolong Jurutera JA29
3. Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa JA29
4. Penolong Pegawai Penilaian W27
5. Penolong Akauntan W27
6. Penolong Pegawai Tadbir N27
7. Penolong Pegawai Undang-Undang L29
8. Pembantu Kesihatan Awam U17
9. Pembantu Kemahiran H17
10. Pembantu Tadbir Kewangan W17
11. Penghantar Notis N11
12. Pembantu Operasi N11

Cara Memohon:
Permohonan hendaklah dibuat secara online melalui Portal e-Recruitment : http://btm.mbkt.gov.my/kerjaya/

Tarikh Tutup Permohonan : 9 November 2015

Sumber

Kemunculan dua matahari di Amerika Utara?

by


"Itu hanya ilusi optik," demikian penjelasan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Noordin Ahmad ketika ditanya mengenai kesahihan beberapa keping gambar yang viral di media sosial berkenaan penampakan dua matahari yang kononya berlaku di Amerika Utara.

Beberapa hari lalu, tersebar di WhatsApp, beberapa keping gambar yang menunjukkan seoalah-olah terdapat dua matahari timbul, yang mana ada sesetengah pihak berkata fenomena itu berlaku di Kanada dan ada juga yang mengatakan bahawa ia berlaku di Manhattan dan New York.

Noordin berkata dalam isu ini, ramai pihak yang cuba mengaitkan ia dengan fenomena angkasa dengan aspek fantasi dan misteri, namun ujarnya sebagai manusia yang diberi akal fikiran,  kita perlu mendapatkan bukti yang sahih, dengan cara merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang pakar.

Ada juga yang ingin meletakkan fenomena sebegini seiring dengan hadith dan tanda kiamat. Ilmu Islam itu menyokong sains jadi fenomena yang berlaku perlu dikaji dengan fakta dan secara menyeluruh dan bukan sekadar agakan pemikiran.

Dalam pada itu, telah ada banyak fenomena angkasa pelik yang tersebar sebelum ini seperti bumi bergelap, cuaca angkasa yang ganggu telefon bimbit dan matahari makin dekat dengan bumi. Elok masyarakat menghubungi Angkasa agar tidak mudah menyebarkan berita palsu yang boleh membuat negara gelisah.

Sumber

28 Oktober 2015

Rebat Kad Prabayar Untuk Warganegara Malaysia

by

Rebat bagi pengguna telefon kad prabayar yang diumumkan dalam Bajet 2016 hanya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan tidak melibatkan warga asing.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata, kerajaan tidak memberi subsidi bagi caj telefon bimbit kepada bukan warganegara. Keputusan untuk memberikan rebat kepada pengguna kad prabayar menunjukkan kerajaan mendengar kebimbangan dan permintaan rakyat.

Rebat ini merupakan satu tanggungjawab bersama yang dibayar oleh kerajaan dan syarikat telekomunikasi, untuk rakyat Malaysia. Warga asing tidak akan mendapat rebat ini.

Antara isu yang ditangani termasuk mekanisme bagi memastikan bahawa pengguna warga asing tidak akan diberikan rebat berkenaan, tempoh masa untuk mengkreditkan rebat dan jumlah yang dikongsikan oleh kementerian dan syarikat telekomunikasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan bahawa pengguna kad prabayar akan mendapatkan rebat berdasarkan jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dibayar, dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2016.

Terdapat seramai 33 juta pengguna perkhidmatan kad telefon prabayar di negara ini, menjadikannya sehingga 80 peratus daripada jumlah pengguna telefon bimbit. Daripada jumlah itu, dianggarkan lima juta dipercayai adalah pengguna warga asing.

Menteri berkata, kad prabayar masih tertakluk kepada GST tetapi pengguna akan mendapat rebat dan dapat menggunakan masa bercakap bersamaan dengan jumlah yang dibayar. Sebagai contoh, katanya, sekiranya pengguna membayar RM10, masa bercakap bernilai 60 sen akan dikreditkan ke dalam akaun.

Bagaimanapun, pengguna warga asing tidak akan menikmati faedah ini. Jika mereka membeli kad prabayar RM10, tambah nilai mereka hanya bernilai RM9.40 selepas dikenakan GST.

23 Oktober 2015

TEKS UCAPAN PENUH BAJET 2016

by



Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2016
di Dewan Rakyat hari ini bertemakan:
“MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT”
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
MUKADIMAH
Tuan Yang Dipertua,
Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n.
Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta’ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi,… juga,… yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.
Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul Pilihan,… Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.
Tuan Yang Dipertua,
Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.
Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11, seterusnya Bajet 2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.
InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya,… Amin.
Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,… merupakan bagian daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-11. Bajet ini adalah yang pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah.
Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah An-Nisa’ ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaporkan dalam media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kononnya, negara ini diambang muflis, berada dalam krisis ekonomi, nilai ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah.
Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana, supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat.
Tuan Yang Dipertua,
Semenjak tahun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad domestik.
Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan.
Tuan Yang Dipertua,
Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu.
Tuan Yang Dipertua,
Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.
Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, there is no comparison whatsoever, berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus.
Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari daripada menghadapi kelembapan ekonomi global, termasuklah dari segi penurunan harga komoditi terutamanya minyak, kelapa sawit dan getah, penyusutan nilai ringgit, pertumbuhan perlahan di negara-negara kuasa besar ekonomi dunia.
Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.
Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.
Tuan Yang Dipertua,
Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan.
Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.
Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus.
Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurusan ekonomi negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan.
Tuan Yang Dipertua,
Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih.
Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.
Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek.
Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil,… masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya saing.
Tuan Yang Dipertua,
Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya sejak awal tahun ini.
Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.
Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.
Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia.
Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.
Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015.
Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bilion ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. Ini adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung.
Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.
Tuan Yang Dipertua,
Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit.
Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit.
Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.
Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat.
Tuan Yang Dipertua,
Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST… sekalipun,…sekalipun… keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular.
Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.
Ini jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.
Tuan Yang Dipertua,
Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima tidak bersifat populis, demi,… mendahulukan rakyat dan kepentingan negara.
Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,
Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.
Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.
Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.
Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:
Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat.
Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut :
• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
• Dhal, atau kata orang utara kacang ‘parpu’, berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
• Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;
• Biji sawi;
• Gula merah; dan
• Untuk orang Sarawak,…mee kolok kering
Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;
Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.
Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;
Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran;
Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung; serta
Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.
Tuan Yang Dipertua,
Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau prepaid card.
Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.
Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
PERUNTUKAN BAJET 2016
Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
Di bawah peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.
Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat.
Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.6 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit.
Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.
Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.
Tuan Yang Dipertua,
Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu.
Tuan Yang Dipertua,
Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”, bertunjangkan 5 Keutamaan.
Tuan Yang Dipertua,
KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.
Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. Ini akan dipacu oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion ringgit serta disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion ringgit.
74. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:
Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah dibentangkan pada RMK-11, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion ringgit pada tahun 2016;
Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;
Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion ringgit;
Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad, dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur komunikasi;
Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal pelancongan sebanyak 50 juta ringgit;
Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 18 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;
Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan
Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia, Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan kepada dana-dana di bawah MIDA; dan
Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance, insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan.
Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.
Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41 peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan diambil:
Pertama:Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;
Kedua: 107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS;
Keempat: Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus; dan
Kelima: 18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM.
Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke–25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014.
Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.
Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.
Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.
Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.
Tuan Yang Dipertua,
Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.
Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.
Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.
Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:
Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;
Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan
Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,. National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut.
Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV serta transaksi data interaktif.
Tuan Yang Dipertua,
Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air.
Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut:
Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA;
Kedua: 878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak;
Keempat: Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business Challenge dan Program Desa Lestari; serta
Kelima: 67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar bandar.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016, Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.
Tuan Yang Dipertua,
Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada.
Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang pertengahan 2016.
Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran 2016 sehingga tahun taksiran 2018.
Tuan Yang Dipertua,
Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan.
Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan:
Pertama: 450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar;
Kedua: 180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu;
Ketiga: 190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M, adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya, dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan
Keempat: 90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan, penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung.
Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut:
Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat;
Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; dan
Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.
Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan seperti ubi keledek dan ubi kayu.
Tuan Yang Dipertua,
Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.
Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport.
MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara.
Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.
Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai tambah iaitu 30 peratus kepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40 peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran ini akan diberikan bagi tahun taksiran 2016 hingga 2018.
Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.
Tuan Yang Dipertua,
Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7 secara dua hala.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP. Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad akan dibuat di Parlimen kelak.
Tuan Yang Dipertua,
KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI HIJAU.
Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut membantu melestarikan sumber-sumber asli negara.
Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui:
Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama: PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga 50 ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran 2016 sehingga 2018;
Kedua: 100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;
Ketiga: 200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd;
Keempat: 35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;
Kelima: 30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan
Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun 2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private Research Network.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS.
Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.
Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877 juta ringgit. 515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah.
115. Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:
Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit;
Kedua: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan penggunaan solar photovoltaic; dan
Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN.
Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:
Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.
Antara lain, Kerajaan akan membina:
• 30 sekolah rendah;
• 27 sekolah menengah;
• 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan
• 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.
Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, 135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.
Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis.
Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit.
Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan ditambah baik.
Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500 juta ringgit.
Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut:
• 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
• 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
• 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
• 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.
Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun.
Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja, kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.
Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak industri.
Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut:
Pertama: 585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional;
Kedua: 350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan
Ketiga: 80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian Serian, Sarawak.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO. Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut:
Pertama: 280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara;
Kedua: 50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan;
Ketiga: 145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur;
Keempat: 75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit;
Kelima: 22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan
Keenam: 360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.
Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang telah diberhentikan; dan
Kedua: Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC.
Tuan Yang Dipertua,
Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77 juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program seperti Train & Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti, perkapalan dan pengangkutan.
Tuan Yang Dipertua,
Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar ini.
Tuan Yang Dipertua,
KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA.
Perlu saya tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi
150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam.
Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit, termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi.
Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut:
Pertama: 400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;
Kedua: 250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;
Ketiga: 150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan
Keempat: 100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur.
Tuan Yang Dipertua,
Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit.
Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8 bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;
Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;
Ketiga: Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang;
Keempat: 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah;
Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara;
Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan
Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.
Tuan Yang Dipertua,
KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT.
Hal ini, adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif akan dilakukan melalui:
Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:
Pertama: TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil India;
Kedua: Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia, bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;
Ketiga: 100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan Kemahiran Swasta;
Keempat: Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta ringgit untuk KOJADI.
Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah;
Kelima: 50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah; dan
Keenam: Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan.
Tuan Yang Dipertua,
Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan:
Pertama: Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput, Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit;
Kedua: Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan
Ketiga: Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan, menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit.
Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti.
Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Untuk ini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi getah SMR20 Freight On Board. Bagi getah skrap atau cuplumps di peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2 ringgit 20 sen sekilogram.
Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu meraih pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit sekilogram.
Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat kepada 1,100 ringgit sebulan.
Dengan penambahbaikan IPG ini juga Tuan Yang Dipertua, jikalau senario tadi hanya merujuk kepada seorang pemilik kebun, secara keseluruhannya pula, melalui Bajet ini seramai 300 ribu pekebun getah akan menerima manfaat tambahan daripada Kerajaan. Jumlah peruntukan yang dianggarkan adalah sebanyak 200 juta ringgit.
Selanjutnya, bagi menggalakkan petani meningkatkan mutu padi dan hasil tuaian mereka, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Pemutuan Sebenar Padi dan menambahbaik Skim Subsidi Harga Padi, mulai 1 Januari 2016.
Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga padi pada paras 1,200 ringgit setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, Kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari 248 ringgit 10 sen, kepada 300 ringgit bagi setiap tan metrik.
Maksudnya, sekiranya seseorang petani itu menghasilkan 6 tan metrik padi, yang menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, beliau layak mendapat bayaran hasil jualan sebanyak 5,760 ringgit.
Bukan itu sahaja, petani tersebut juga akan menerima penambahan menerusi peningkatan kadar SSHP, menjadikan jumlah pendapatannya meningkat daripada 1,190 ringgit kepada 1,440 ringgit.
Maka, secara keseluruhannya, setelah ini, petani tersebut akan mendapat 7,200 ringgit, pada setiap kali penuaian. Suka saya menyatakan di sini, seramai 155 ribu pesawah akan menikmati penambahbaikan skim ini.
Langkah Dua: Seperti kita tahu, isu pemilikan rumah adalah isu yang sering dibangkitkan semenjak beberapa tahun ini. Pelaksanaannya memerlukan penglibatan pelbagai agensi.
Tuan Yang Dipertua,
Bajet 2016, meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan pendapatan seperti berikut:
Pertama: Membina 175 ribu unit rumah oleh PR1MA, yang dijual 20 peratus di bawah harga pasaran, dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit. Sebanyak 10 ribu unit dijangka siap tahun hadapan;
Kedua: Membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, dengan pemberian subsidi 20 ribu ringgit bagi seunit rumah dengan peruntukan 200 juta ringgit;
Ketiga: Membina 100 ribu unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M, menjelang tahun 2018, dengan harga di antara 90 hingga 300 ribu ringgit. Bantuan Dana Mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos pembangunan disediakan;
Keempat: Membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di bawah Program Perumahan Rakyat oleh KPKT dengan peruntukan 863 juta ringgit;
Kelima: Menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah KPKT, sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik bagi tujuan bayaran deposit. Untuk ini, 200 juta ringgit diperuntukan;
Keenam: Membina 5 ribu unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar stesen dan koridor LRT serta monorel, antaranya di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa;
Ketujuh: Memperuntukkan 60 juta ringgit kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk pembinaan rumah masyarakat Orang Asli;
Kelapan: Membina rumah untuk generasi kedua peneroka, iaitu 20 ribu unit rumah oleh FELDA, 2 ribu unit rumah oleh FELCRA dan 2 ribu unit rumah oleh RISDA.
Bagi rumah FELDA, harga maksima kini diturunkan kepada 70 ribu ringgit berbanding 90 ribu ringgit sebelum ini;
Kesembilan: Membina 800 unit rumah mampu milik oleh GLC berhampiran stesen MRT dalam Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land milik KWSP, dan 4,600 unit rumah mampu milik oleh Sime Darby Property; dan
Kesepuluh: Memperuntukkan 40 juta ringgit di bawah KPKT, bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.
Selain itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara pembiayaan pinjaman kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya, bagi menyediakan persekitaran penduduk yang selesa, langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: 150 juta ringgit bagi membina dan membaik pulih 11 ribu rumah daif di kawasan luar bandar oleh KKLW; dan
Kedua: 155 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia oleh KPKT. Antara lain, tabung ini membolehkan pembiayaan 100 peratus untuk pembaikan lif, railing, serta pendawaian semula.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah:
Pertama: Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di Cyberjaya;
Kedua: Memulakan operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta ringgit pada Oktober 2016;
Ketiga: Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang;
Keempat: 260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh negara;
Kelima: 52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33 klinik 1Malaysia baharu;
Keenam: 72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis, yang memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan
Ketujuh: 4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada semua hospital dan klinik Kerajaan.
Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada pesakit bukan warganegara Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan perlindungan sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu golongan OKU, warga emas dan keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara program yang akan dilaksanakan adalah:
Pertama: 445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan kepada OKU bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja serta untuk penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan. Kesemuanya ini, akan memanfaatkan hampir 150 ribu OKU;
Kedua: 100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti; dan
Ketiga: Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin berjumlah 100 hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan.
Tuan Yang Dipertua,
Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang besar, iaitu banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau, Sabah. Musibah dan tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang proaktif, boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan lebih penting lagi, kehilangan nyawa dan anggota.
Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit disediakan termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM.
Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah.
Tuan Yang Dipertua,
Ahli-Ahli Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian,
Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini, sedang lakukan dan laksanakan, dengan sehabis baik ini,…Sebetulnya, merupakan tali-temali, sambung menyambung dasar serta perancangan pimpinan negara, sejak dekad-berdekad.
Lantas,… ingin saya ulangi,.. Bajet ini,…satu antara langkah dalam rantaian langkah-langkah besar terakhir,…yang hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya.
Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat, sedemikian apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara, seperti tercatat dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta sebuah tamadun pun akan gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan kebersatuan negara tidak diperkekalkan.
Tuan Yang Dipertua,
Oleh sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman tanahair, tiada kalimah sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang dapat menunjukkan betapa kita berterima kasih dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan, mahupun para perajurit dalam menjamin keamanan pertiwi.
Oleh yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara berperingkat.
Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M.
Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance.
Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem tentera darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah.
Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita, sebanyak, 160 juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang merancang untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik, kepada anggotanya bermula tahun hadapan.
Di samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan antaranya, perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.
Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri, untuk terus mengurangkan kadar jenayah,… sejumlah 13.1 bilion ringgit disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan:
Pertama: 155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, serta 10 buah IPD dan 5 buah balai polis yang masih dalam pembinaan;
Kedua: Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi anggota Polis Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan kawasan-kawasan yang sedang dikenalpasti;
Ketiga: 36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan imigresen;
Keempat: 50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan
Kelima: 20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan tersebut.
Sukacita saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM lagi, dan 500 unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 35 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Bagi menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan serta rasuah, SPRM akan terus dimantapkan dengan program-program serta latihan yang relevan. Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut ditambah mengikut keperluan.
Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan Yang Dipertua, sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi, tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini,… perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan.
Sepertimana ramai makrufi,… Malaysia kontemporari ini, sudah pun dikenali sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, sehingga disegani di seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan,… Kerajaan sedang menuju maksud dalam usaha menepati kerangka Maqasid Syariah dan pengertian wasatiyyah.
Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di negara ini.
Sememangnya pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita telah mengamalkan objektif tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang begitu tersendiri.
Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur, aman dan sentosa.
Di sudut ini,… tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran negara adalah para kakitangan awam.
Oleh itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka yang berjasa ini.
Pucuk dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara, Kerajaan bersetuju:
Pertama : Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion ringgit;
Kedua: Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam;
Ketiga: Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam;
Keempat: Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan, yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan
Kelima: Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu pegawai kontrak.
Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Bagi merealisasikan harapan, seperti yang dijanjikan, dalam ikhtiar meringankan kos sara hidup rakyat pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M akan diteruskan.
Saya tahu benar,… ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan. Namun, melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan ini, kerana terbukti, Bantuan Rakyat 1Malaysia tersebut telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup mereka.
Sehubungan yang demikian,… selaras dengan Aku Janji Kerajaan Barisan Nasional juga, sukacita saya umumkan, jumlah BR1M untuk tahun 2016 akan dinaikkan seperti berikut:
Pertama: Satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah 1,000 ringgit, akan menerima BR1M sebanyak 1,050 ringgit;
Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan 3 ribu ringgit ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada 950 ringgit kepada seribu ringgit;
Ketiga: Bagi isi rumah berpendapatan antara 3,001 hingga 4 ribu ringgit, pemberian BR1M ditingkatkan daripada 750 ringgit kepada 800 ringgit;
Keempat: Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak seribu ringgit akan diteruskan; dan
Kelima: Bagi kategori individu bujang pula, yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada 350 ringgit kepada 400 ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Keseluruhannya, kesemua bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, dengan peruntukan 5.9 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Jika, dalam RMK-11, saya telah menyebut tentang kelompok B40, dan tafsiran kumpulan yang terlibat, maka dalam Bajet ini, satu lagi kumpulan besar yang Kerajaan kini akan turut memberi tumpuan bergelar M40.
Secara statistiknya, tafsiran awal M40 adalah, kelompok isirumah yang berpendapatan antara 3,860 ringgit hingga 8,320 ringgit. Namun, definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa.
Dalam hal ini, sukacita saya umumkan:
Pertama: Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu ringgit;
Kedua: Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan, dinaikkan daripada 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit;
Ketiga: Jika buat masa ini, pembayar cukai individu diberi pelepasan sehingga 5 ribu ringgit setahun bagi tujuan perubatan dan penjagaan terhad hanya kepada ibubapa mereka yang sakit.
Dalam Bajet ini, Kerajaan memandang positif sikap anak yang mengambil berat terhadap kebajikan ibubapa mereka dan mengalu-alukan pengukuhan institusi kekeluargaan.
Sehubungan itu, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibubapa mereka, meskipun tidak tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak 1,500 ringgit untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk bapa.
Tapi,…dengan syaratnya, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas; dan
Keempat: Sempena Bajet ini juga, Kerajaan memutuskan, untuk menaikkan had pelepasan cukai daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, bagi setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara, mulai tahun taksiran 2016; dan
Kelima: Bagi ibubapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya-nya, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara, had pelepasan cukai dinaikkan daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, mulai tahun taksiran 2016.
Ingin saya tambah di sini, had pelepasan cukai sedia ada bagi ibubapa yang mempunyai anak OKU adalah 6 ribu ringgit. Ini bermakna, sekiranya anak OKU ini melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya, adalah sebanyak 14 ribu ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya, untuk membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah PERKESO, kelayakan caruman wajib dinaikkan daripada gaji 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit sebulan. Pengubahsuaian ini, memanfaatkan kepada 500 ribu pekerja, di mana jika si pencarum meninggal dunia dalam tempoh kerja, waris akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir beliau.
Tuan Yang Dipertua,
Secara kesimpulannya, selama puluhan tahun, Kerajaan Barisan Nasional telah memikul mandat dan menggalas kepercayaan rakyat. Kerajaan ini juga telah secara berterusan melunaskan serta melangsaikan janji-janji yang dilafaz dan dicatat. Ini bererti, Kerajaan yang mentadbir sekian waktu ini jua, terserlah mempunyai visi dan halatuju yang jelas.
Apa yang mustahak, untuk dinyata dan dipertegaskan sekali lagi, kita terus mendapat pengiktirafan-pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi di dunia, antaranya agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s dan Standard & Poor’s, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi Malaysia.
Malah,… pelbagai pencapaian telah kita raih, antaranya yang terkini, kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh World Economic Forum, melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi di dunia.
Kepada rakyat sekalian,… usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah. Jelas sekali,… dengan rekod pencapaian yang cemerlang,… antaranya yang telah saya tuturkan di awal ucapan tadi, maka letakkanlah keyakinan,… taruhlah harapan, bahawa,… inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita.
Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perancangan ekonomi negara, dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
Pokoknya,… bagi Kerajaan ini,… rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920 ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.
Tuan Yang Dipertua,
Tidak cukup sekadar itu,… bagi meringankan beban kos sara hidup kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.
Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.
Tuan Yang Dipertua,
Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu, kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.
Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia tercinta ini,… kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.
Pada kita,… perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.
Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam,…menjadi gunting dalam lipatan.
Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,…
Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,… benarlah saya ini seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini.
Sayugia,… sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf, bahawa,… Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,… Tuhan juga tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,… dan apatah lagi sesungguhnya,… Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya yang berislah dan beriltizam, bahawa,… kejayaan pasti menjelma jua.
Sebab itu,… Tuan yang Dipertua,… sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun,… biar pun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita,…kita tidak akan sesekali berputus harapan.
Kini,…Tuan Yang Dipertua, saya,… bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,… berserta anggota pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,… sehati sejiwa,… akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.
Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.
Akhir kalam,… bak kata para hukama’,… yang indah-indah itu dari Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber : Ismaweb

Top Ad 728x90