30 Jun 2016

Cuti Khas Aidilfitri Pada 8 Julai 2016

by
Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai, demikian umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.

"Orang awam yang merancang untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan pada hari pelepasan khas tersebut digalakkan untuk mengunjungi jabatan dan agensi yang berkenaan sebelum cuti umum Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan.

Ali dalam pada itu merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersetuju dengan cadangan  daripada penjawat awam itu khususnya oleh Cuepacs.

"Semoga penjawat awam dapat memanfaatkan pemberian pelepasan khas daripada bertugas untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan produktif apabila kembali bertugas di jabatan dan agensi masing-masing," katanya.

- mSTAR

4 Julai 2016 Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal

by


Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa 2016 ditetapkan pada petang Isnin, 4 Julai 2016 bersamaan 29 Ramadan 1437 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (pengiraan secara matematik dan astronomi).

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, 29 lokasi untuk melihat anak bulan di seluruh negara ialah:


JOHOR: Pontian Kecil

MELAKA: Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu (Tanjung Bidara)

NEGERI SEMBILAN: Telok Kemang (Port Dickson)

SELANGOR: Bukit Melawati (Kuala Selangor), Bukit Jugra (Banting), Balai Cerap Selangor (Sabak Bernam)

PERAK: Pantai Pasir Panjang (Manjong)

PULAU PINANG: Pusat Falak Sheikh (Pantai Acheh)

KEDAH: Kampung Pulau Sayak (Kuala Muda), Pemandangan Indah (Pulau Langkawi), Menara Alor Setar

TERENGGANU: Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai Cerap KUSZA (Setiu)

KELANTAN: Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling (Kuala Krai), Menara Bangunan SEDC (Kota Baharu)

SARAWAK: Tanjong Lubang (Miri), Teluk Bandung  and  Tanjung Batu (Kuching)
SABAH: Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil (Putatan)

PAHANG: Bukit Tanjong Batu (Nenasi), Gunung Brinchang (Cameron Highlands), Bukit Pelindong (Kuantan)

LABUAN: Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah

KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur

PUTRAJAYA: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

PERLIS: Kuala Sungai Baru (Simpang Empat).

29 Jun 2016

Wabak Campak Meningkat

by


Sebanyak 873 kes wabak measles atau campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, sekaligus menunjukkan peningkatan 340 peratus berbanding 197 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes demam campak itu disebabkan kanak-kanak tidak mendapatkan imunisasi.

Beliau berkata majoriti wabak membabitkan rumah persendirian (63.6 peratus), diikuti institusi (28.8 peratus) dan komuniti (7.6 peratus)."

"Sepanjang tahun 2015, terdapat 1,318 kes wabak demam campak dengan dua kematian dan belum ada kematian pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya pada Ahad.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 66 kes wabak demam campak dilaporkan sehingga minggu pertama bulan ini, iaitu peningkatan hingga lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Pada 2014, hanya 11 wabak demam campak dilaporkan (bagi tempoh berkenaan) dan meningkat kepada 57 wabak pada 2015,” katanya.

Bagi wabak cacar air atau chicken pox, Dr Noor Hisham berkata, 109 kes dilapor pada tahun ini iaitu menurun 34.7 peratus berbanding 167 pada 2015 dan 125 pada 2014.

Katanya, tiada kematian akibat cacar air pernah dilaporkan dalam tempoh tiga tahun, serta majoriti kes bagi tahun ini melibatkan institusi (90 peratus) seperti taska, tadika, pusat jagaan harian dan pusat tahanan.

Beliau berkata, demam campak dan cacar air adalah penyakit cegahan vaksin yang sangat mudah berjangkit melalui udara dan sentuhan langsung kepada titisan cecair pesakit.

Katanya, imunisasi demam campak akan diberikan kepada kanak-kanak pada umur sembilan dan 12 bulan, manakala imunisasi cacar air tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Menurutnya, gerakan antivaksin turut memberi kesan kepada liputan imunisasi sehingga menyebabkan liputan itu boleh menurun sehingga kurang daripada 95 peratus.

Katanya data dari klinik kesihatan menunjukkan bilangan kes yang menolak vaksin dalam kalangan ibu bapa meningkat daripada 470 kes pada 2013 kepada 1,292 kes pada tahun 2014.

Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa campak dan cacar air adalah sejenis penyakit yang amat mudah merebak dan kanak-kanak yang dijangkitinya perlu diasingkan dan tidak dihantar ke pusat asuhan, taska, tadika atau sekolah.

Katanya, ibu bapa dinasihatkan bekerjasama dengan memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi, sama ada pada tarikh hari lahir pertama anak atau semasa kempen imunisasi campak dijalankan dalam komuniti.

“Tindakan bijak kita akan menurunkan risiko jangkitan campak dan mengurangkan keterukan penyakit serta mencegah kematian,” katanya.

- mSTAR

IKEA Malaysia Tarik Balik Dua Produk Coklat Gelap

by


IKEA Malaysia telah menarik balik dua jenis bar coklat gelap iaitu Choklad Mork 60 peratus dan Choklad Mork 70 peratus, selepas mendapati kandungan susu dan kacang hazelnya tidak diisytiharkan dengan jelas.

"IKEA amat mengutamakan keselamatan dan penarikan balik ini melibatkan semua Tarikh Terbaik Sebelum (BBD) bagi Choklad Mork 60 peratus 100g dan Choklad Mork 70 peratus 100g.

"Catatan BBD itu boleh ditemui di sebelah belakang pembungkusan bar coklat berkenaan (tahun/bulan/tarikh)," IKEA Malaysia berkata dalam satu kenyataan, Isnin.

"Individu yang alah kepada susu atau kacang hazel mungkin mengalami reaksi alahan jika memakan produk tersebut," katanya.

Menurut IKEA Malaysia, pelanggan yang alah kepada susu atau kacang hazel atau yang dinyatakan sebaliknya adalah dialu-alukan untuk memulangkan semula produk-produk yang terlibat di Pasar Makanan Sweden di gedung-gedung IKEA untuk bayaran balik sepenuhnya.

"Kami memohon maaf bagi sebarang ketidakselesaan yang timbul," katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan IKEA pada talian 03-7952 7575.

28 Jun 2016

Rombakan Kabinet 2016: Noh Omar Dilantik Menteri Di KPKT

by


Rombakan Kabinet pada Isnin, 27 Jun 2016 menyaksikan penyusunan semula 10 portfolio melibatkan empat menteri dan enam timbalan menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Jabatan Perdana Menteri.

Penyusunan semula itu menyaksikan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar dilantik semula dalam Kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pula memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan atas sebab peribadi, dan jawatan itu diganti oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

Najib berkata, rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri dan timbalan menteri Persekutuan.

"Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat iaitu pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan, terus berjalan dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.

"Saya juga ingin memaklumkan akan ada penyusunan semula tugas Menteri-Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri," jelasnya.

Dalam pengumuman itu Najib berkata, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi.

Kekosongan jawatan itu berikutan keputusan Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk tidak melanjutkan perkhidmatannya sebagai senator.

Abdul Rahman sebelum ini merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pula diisi oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Perlantikan beliau bagi menggantikan Ahli Parlimen Betong, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang melepaskan jawatan tersebut selepas dilantik menjadi timbalan ketua menteri Sarawak, susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Mei lalu.

Siew Keong sebelum ini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi jawatan timbalan menteri, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Seri Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah.

Ahli Parlimen Silam, Datuk Nasrun Mansur pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Nasrun menggantikan Tan Sri Noriah Kasnon yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak, Mei lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong masing-masing bertukar portfolio.

Tee Yong yang merupakan Ahli Parlimen Labis kini dilantik sebagai Timbalan Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Chee Leong yang juga Ahli Parlimen Kampar kini sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Selain Chee Leong, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K Devamany pula dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Rombakan Kabinet yang terakhir diadakan pada Ogos tahun lalu yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan dari Kabinet.

- mSTAR

Honda Sahkan Inflator Beg Udara Bahagian Pemandu Pecah Dalam Kemalangan

by


Honda Malaysia Sdn Bhd pada Isnin, 27 Jun 2016 mengesahkan inflator beg udara Takata Single Stage (SDI) bahagian pemandu pecah dalam kemalangan yang berlaku pada Ahad.

Dalam kenyataan, Honda berkata perkara ini disahkan semasa pemeriksaan oleh Polis Diraja Malaysia bahawa inflator beg udara SDI bahagian pemandu pecah dalam kemalangan melibatkan Honda City 2005 pada 26 Jun, 2016 di Selangor.

"Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini termasuk dalam Kemas Kini Produk Malaysia (dipanggil semula) diumumkan pada 21 Mei, 2015, yang memerlukan inflator beg udara Takata SDI bahagian hadapan pemandu diganti," katanya.

Sejak 2015, Honda berkata kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini termasuk dalam panggilan semula bagi inflator beg udara Takata bahagian pemandu dan inflator beg udara Takata bahagian penumpang.

"Tiga notis panggilan semula telah dihantar kepada pemilik. Rekod kami menunjukkan pembaikan bagi panggilan semula itu tidak pernah selesai," katanya.

- mSTAR

27 Jun 2016

Fenomena Awan Aneh 'Rolling Cloud' di Sabah

by


Para guru serta murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, Beaufort, kira-kira 97 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah, begitu takjub melihat fenomena awan aneh yang muncul secara tiba-tiba di kawasan mereka pagi Isnin, 27 Jun 2016 .

Fenomena yang dinamakan 'rolling cloud' yang jarang sekali berlaku itu muncul sejurus selesai perhimpunan pagi sekolah itu kira-kira pukul 7.35 pagi.

Para guru sekolah berkenaan tidak mensia-siakan kesempatan kehadiran fenomena itu lalu merakamkan gambar serta video kejadian tersebut sebelum dikongsi bersama rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp.

Satu daripada video yang dirakamkan seorang guru SK Klias Kecil, Normahani Yaakup, yang dihantar kepada Bernama jelas memperlihatkan fenomena awan luar biasa itu dengan pergerakannya begitu cepat sehingga bentuk awan turut berubah dengan pantas.

"Semasa perhimpunan, keadaan cuaca cerah dan ada matahari. Tetapi selepas perhimpunan dan pelajar masuk ke kelas masing-masing, tiba-tiba cuaca menjadi redup.

"Saya pun keluar dan menyaksikan sendiri awan tersebut yang kelihatan seperti tembok tebal di langit dan bergerak begitu cepat dari arah Kuala Penyu ke pekan Beaufort," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Normahani, sebaik sahaja hujan turun tidak lama kemudian, bentuk aneh awan berkenaan pun berubah menjadi bentuk awan biasa.

"Inilah kali pertama saya melihat fenomena awan seperti ini di Klias Kecil. Guru-guru lain di sini pun hairan mengapa awan boleh menjadi begitu. Selepas kejadian itu, barulah kami menerima laporan keadaan cuaca di kawasan kami yang diramal mengalami ribut petir, hujan lebat bersama angin kencang," katanya.

Sementara itu, berdasarkan gambar-gambar yang diviralkan, ada awan berbentuk silinder menegak dan melintang seakan-akan puting beliung dan ada pula berbentuk tembok besar.

- Bernama

26 Jun 2016

Adabi Lancar e-Mall Jual Produk Secara Online

by



Pengeluar produk makanan tempatan, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) memperkenalkan urus niaga atas talian, e-mall yang menawarkan lebih 100 produk keluaran syarikat itu.

Pusat beli-belah elektronik yang akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat ini akan lebih memudahkan orang ramai untuk mendapatkan produk Adabi.

Menurut Pengurus E-Commerce Adabi, Nurul Zuhaika Hairuddin, perkhidmatan online yang disediakan dapat memudahkan urusniaga jual beli dan menjimatkan masa.

"Ini adalah unit baharu dari Adabi dalam melaksanakan penjualan produk secara atas talian menggunakan laman sesawang.

"Produk Adabi sebenarnya terhad di pasaran jadi e-mall merupakan alternatif untuk memudahkan pengguna mendapatkan pelbagai jenis produk dengan lebih pantas, katanya.

Mempunyai 11 kategori produk, e-mall menawarkan pilihan kepada pengguna seperti kari, tepung, perencah dan pelbagai lagi.

Selain itu, terdapat empat menu utama disediakan iaitu beli, infomasi, tinjau dan ganjaran.

Pengguna bukan sahaja dapat membeli produk secara online, malah boleh mendapatkan info barangan, resepi masakan dan mengumpul mata pembelian untuk menikmati tawaran istimewa menerusi empat menu tersebut.

Selain itu, aplikasi e-mall juga bakal dilancarkan selepas Aidilfitri ini.

"Buat masa ini, sambutan dari pembeli online agak menggalakkan selepas ia diperkenalkan kepada media.

"Bagi aplikasi e-mall melalui telefon pintar pula akan dimaklumkan semasa majlis pelancaran rasminya," katanya.

Bagi anda yang ingin dapatkan produk Adabi secara online, boleh layari laman sesawang e-mall.adabi.com

Tunku Mahkota Johor Dikurnia Puteri Sulung

by

Gambar ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dikurniakan cahaya mata pertama pada pagi Sabtu.

Kerabat diraja Johor terbaharu ini, seorang puteri dilahirkan di wad diraja Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru.

"Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam dan puterinya kini dalam keadaan kesihatan yang baik," kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Puteri sulung pasangan diraja itu adalah cucu pertama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Tunku Ismail, 32 dan Khaleeda, 23 diijab kabulkan pada Oktober 2014.

- mSTARTunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dikurniakan cahaya mata pertama pada pagi Sabtu.

Kerabat diraja Johor terbaharu ini, seorang puteri dilahirkan di wad diraja Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru.

"Yang Mulia Che Puan Khaleeda Bustamam dan puterinya kini dalam keadaan kesihatan yang baik," kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Puteri sulung pasangan diraja itu adalah cucu pertama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Tunku Ismail, 32 dan Khaleeda, 23 diijab kabulkan pada Oktober 2014.

Puteri Sulung TMJ Diberi Nama Tunku Kalsom Aminah Sofiah
Anak sulung Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Che Puan Khaleeda Bustamam telah diberi nama Tunku Kalsom Aminah Sofiah Binti Tunku Ismail.

Perkara ini telah diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

"Che Puan Khaleeda dan puteri sulung baginda berdua yang diberi nama YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah binti Tunku Ismail berada di dalam keadaan sihat. Allah Peliharakan Sultan," katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers.

- mSTAR

25 Jun 2016

Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia

by


Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia

Profesor Madya Izzi Haji Ali yang terkenal dengan tazkirahnya di Hot FM meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Jumaat akibat strok.

Jenazah pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali atau lebih dikenali dengan Prof Izzi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, pagi Sabtu.

Jenazah Prof Izzi dikebumikan bersebelahan pusara ibu bapanya, Ali Ismail dan Maimon Abdul Rahman serta adik perempuannya, Zainon, pada 9 pagi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Kedah diiringi isteri, Roziah Shafie, 48, dan dibawa ke rumah kakak sulungnya, Zaleha, 55, di Taman Bestari, Gong Badak kira-kira 4.30 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Rusa pada 8 pagi.

Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke Hospital Jitra, pada 11 Jun lalu selepas rebah ketika berwirid selepas menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Al-A'la di Tanah Merah, Jitra.

Prof Izzi semasa hayatnya terkenal sebagai pakar motivasi yang popular dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal'.

Allahyarham juga adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis. 

- BERNAMA

24 Jun 2016

Ahli KWSP Boleh daftar Skim Simpanan Shariah pada 8 Ogos

by


Selaras kehendak pelanggan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) mengumumkan pilihan simpanan persaraan baharu berteraskan konsep syariah.

Dijangka dilancarkan pada 1 Januari 2017, skim yang dikenali sebagai Simpanan Shariah itu akan dibuka pendaftaran untuk ahli KWSP mulai 8 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata skim simpanan baharu itu terbuka kepada semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

"Susulan keputusan rundingan awam yang dijalankan KWSP tahun lalu, lebih 71 peratus responden bersetuju untuk mewujudkan opsyen supaya ahli boleh memilih sama ada simpanan mereka diuruskan berdasarkan prinsip syariah.

"Oleh itu, selaras dengan kehendak semasa ahli, KWSP dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah," katanya pada Majlis Penerangan Bersama Media mengenai skim baharu itu, di sini, sebentar tadi.

Shahril berkata, KWSP memperuntukkan dana permulaan RM100 bilion, iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP bernilai RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu.

Katanya, pembabitan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baharu kerana lebih 45 peratus atau RM295 bilion daripada jumlah aset pelaburan agensi itu adalah patuh syariah.

"Pada masa depan, kita menjangkakan perkembangan pelaburan aset syariah tidak kurang daripada RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset syariah.

"Proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama. Justeru, ahli yang ingin menukar skim daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari bermula dari 8 Ogos 2016.

"Peluang pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'. Oleh itu, ahli perlu mengemukakan permohonan sebelum 23 Disember ini dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion," katanya.

- KitaiKini

Tan Sri Abu Kassim - Personaliti pencegahan rasuah yang disegani

by


Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos ini, merupakan seorang personaliti yang disegani di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Menerajui kepimpinan SPRM pada 1 Jan 2010, Abu Kassim telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.

Abu Kassim, 55, memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu, meniti pelayaran kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Jan 2009.

Bermula sebagai seorang pegawai penyiasat, beliau kemudiannya menaiki tangga korporat agensi berkenaan sehingga memegang jawatan sekarang.

Pada tahun 1990, beliau dilantik sebagai Ketua Badan Pencegah Rasuah cawangan Sibu, Sarawak dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi dan Penyelarasan, BPR pada tahun 1999.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengarah BPR negeri Perak (2000) dan Pulau Pinang (2003) dan Pengarah Akademi Latihan Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2005.    

Abu Kassim kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Integriti di Amanah Raya Malaysia dan pada tahun 2007, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya 1 SPRM.

Nama Abu Kassim juga tidak asing di peringkat antarabangsa kerana beliau merupakan wakil Asia dalam Kumpulan Pakar-pakar Interpol mengenai Rasuah yang diadakan di Lyon, Perancis serta ahli dalam Interpol of Experts on Corruption  (IGEC) sejak 1997.

Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan Kod Etika bagi Penguatkuasaan Undang-undang-Panduan Amalan Terbaik bagi Anggota Interpol dan Piawaian Global bagi Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Polis.     

Abu Kassim juga adalah Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) dan pada 2012, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa, yang berpusat di Vienna.

Pada 30 November 2012, beliau dilantik sebagai Anggota Lembaga Gabenor Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi penggal selama enam tahun.

Pada Februari 2011, Abu Kassim dinamakan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan bagi 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York.

Beliau yang menduduki tempat keempat dalam senarai tokoh terkemuka itu, dihakimi daripada peranannya dalam kategori kerajaan dan amalan peraturan, termasuk kepimpinan pemikir, kepimpinan perniagaan, budaya korporat serta pelaburan dan penyelidikan.

Setelah tamat jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos, Abu Kassim akan meneruskan kariernya seabgai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020. 

- Bernama

Hukum suntikan vaksin adalah harus - Mufti Wilayah

by


Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan hukum suntikan vaksin sebagai harus sama ada untuk merawat penyakit ataupun bersifat pencegahan daripada dijangkiti penyakit.

Menurutnya, ia selaras dengan pendapat ramai tokoh ulama namun ia perlu menepati beberapa kriteria.

“Pertama, berlakunya keperluan yang mendesak dan kedua, testimoni telah mengatakan ia dapat memberikan kesan yang baik.

“Ketika, elakkan bahan yang bersifat najis kecuali jika dalam keadaan terpaksa dan keempat, sifat sebagai pengawalan daripada penyakit adalah telah terbukti.

“Akhir sekali, tiada kesan sampingan dan mudarat yang lebih besar berlaku kepada mereka yang disuntik dengan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia, seorang kritikal manakala lima lagi adik-beradiknya dikuarantin di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dipercayai akibat dijangkiti bakteria difteria.

Sebelumnya pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia akibat dijangkiti bakteria difteria di Melaka.

Dalam pada itu, Zulkifli mengajak orang ramai merujuk sesuatu isu itu dengan pakarnya.

“Marilah kita sama-sama menginsafi diri kita dengan merujuk setiap sesuatu itu kepada pakarnya.

“Jika ia berkaitan dengan soal kesihatan maka sudah tentulah yang paling berautoriti terhadapnya adalah Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar mereka,” katanya.

- Sinar Harian

23 Jun 2016

Kemunculan Imej Wajah Di Gunung Kinabalu

by


Kemunculan imej yang menyerupai 'wajah' pada permukaan puncak St John di Gunung Kinabalu mengejutkan pendaki dan pengguna media sosial.

Imej pemandangan unik berkenaan kini menjadi viral.

Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki berkata lakaran 'wajah' dapat dilihat dengan jelas dalam keadaan pencahayaan tertentu di atas gunung.

"Ia hanya dapat dilihat selepas matahari terbit. Pemandangan wajah tersebut akan menjadi ketara," katanya.

Sesetengah pendaki yang pernah melihat pembentukan 'wajah' itu berkata ia lengkap dengan mata, hidung dan mulut.

Yassin berkata pembentukan 'wajah' berkenaan adalah ketara sejak sebelum kejadian gempa bumi tahun lalu.

- mSTARKemunculan imej yang menyerupai 'wajah' pada permukaan puncak St John di Gunung Kinabalu mengejutkan pendaki dan pengguna media sosial.

Imej pemandangan unik berkenaan kini menjadi viral.

Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki berkata lakaran 'wajah' dapat dilihat dengan jelas dalam keadaan pencahayaan tertentu di atas gunung.

"Ia hanya dapat dilihat selepas matahari terbit. Pemandangan wajah tersebut akan menjadi ketara," katanya.

Sesetengah pendaki yang pernah melihat pembentukan 'wajah' itu berkata ia lengkap dengan mata, hidung dan mulut.

Yassin berkata pembentukan 'wajah' berkenaan adalah ketara sejak sebelum kejadian gempa bumi tahun lalu.

- mSTAR

10 Ijazah Senang Dapat Kerja Di Malaysia

by
1. Perubatan dan Pergigian (94.7% Kadar Penggajian)

Dengan kos pengajian termahal iaitu sekurang-kurangnya RM100,000 selama 4 tahun, bidang perubatan dan pergigian menjanjikan peluang pekerjaan hampir 95% selepas tamat tempoh pembelajaran.

Prospek kerjaya: Doktor, pakar bedah dan doktor gigi.

2. Sains Veterinar (85.3%)

Tempat kedua pula adalah bidang rawatan kesihatan haiwan. Walaupun sebelum ini bidang sains veterinar banyak mencetuskan debat dan kontroversi lebih-lebih lagi isu yang melibatkan doktor Muslim dan haiwan yang perlu disamak setelah disentuh, namun kesedaran yang semakin meningkat terhadap nilai kasih sayang kepada haiwan menaikkan populariti program pengajian ini.

Prospek kerjaya: Doktor haiwan, pakar biologi haiwan dan penyelidik syarikat farmaseutikal haiwan.

3. Subjek berkaitan perubatan (79.8%)

Pengajian yang merangkumi pengajian kesihatan fizikal secara holistik ini tertumpu kepada satu-satu cabang dalam bidang perubatan.

Prospek kerjaya: Pakar psikologi, ahli fisioterapi dan pakar anaestetik.

4. Seni bina, pembinaan dan perancangan (71.3%)

Kursus ini unik kerana menggabungkan kedua-dua bidang ilmu sains dan kemanusiaan. Malah bidang ini memberi sumbangan terus ke arah pembentukan persekitaran manusia seprti pembinaan bangunan dan perancangan sesebuah penempatan.

Prospek kerjaya: Arkitek, pelukis pelan dan perancang bandar.

5. Kejuruteraan dan teknologi (62.8%)

Secara umumnya, bidang ini ada banyak persamaan dengan kursus #4. Ini kerana, ahli teknologi kejuruteraan sering bertanggungjawab bagi reka bentuk dan pembangunan. Graduan teknologi kejuruteraan boleh bekerja di bidang besar seperti industri, termasuk pembuatan, pembinaan, perindustrian, penyelenggaraan, dan pengurusan.

Prospek kerjaya: Pereka bentuk produk, pembangunan sistem, jurutera, operasi teknikal dan kawalan kualiti.

6. Sains komputer (59.1%)

Sains komputer secara umumnya adalah pengkajian perhitungan dan pemprosesan maklumat, sama ada dari segi perkakasan mahupun perisian, sesuai dengan peredaran zaman yang semakin berteknologi tinggi.

Prospek kerjaya: Pengaturcara, eksekutif IT, perekabentuk grafik, multimedia dan animasi dan jurtera rangkaian.

7. Pendidikan (59.1%)

Ijazah ini sesuai untuk mereka yang berminat dalam bidang psikologi dan sosiologi pendidikan manusia. Selain itu, kursus ini turut mempertingkatkan kesedaran tentang peranan perkembangan kognitif, fizikal, emosi, kreativiti, bahasa dan estetika manusia.

Prospek kerjaya: Guru, pembantu penyelidik bagi badan bukan kerajaan, tutor peribadi.

8. Pengajian perniagaan (49%)

Kursus yang menyediakan penuntut dengan kemahiran pentadbiran, pengurusan sumber manusia, perakaunan, kewangan, pemasaran, insurans, perbankan dan juga keusahawanan.

Prospek kerjaya: Penolong pegawai pelaburan, penolong pegawai operasi, usahawan dan agen insurans.

9. Sains matematik (47.1%)

Bidang ini berkaitan dengan matematik dan statistik serta memupuk kebolehan untuk menggunakan teknik dan kaedah kuantitatif yang bersesuaian untuk menjalankan analisis, penyelidikan, ramalan dan perancangan dalam persekitaran industri.

Prospek kerjaya: Penyelidik statistik, eksekutif kawalan mutu, penganalisa perniagaan dan eksekutif bank.

10. Pengajian sosial (44.9%)

Satu bidang atau disiplin ilmu yang mengkaji struktur dan sifat-sifat kelompok manusia. Jangan tak tahu, bidang ini sebenarnya merangkumi cabang-cabang ilmu yang luas seperi geografi, ekonomi, sains politik dan sosiologi.

Prospek kerjaya: Pakar kriminologi, penjaga arkib sejarah, penganalisa pemasaran dan pensyarah.

Sumber : Mynewshub.cc

Kes Difteria Penyebab Kematian Kanak-Kanak

by


Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit termasuk jangkitan difteria. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenzae Type B.

"Ia diberikan pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan. Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini.

"Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung daripada komplikasi.

"Justeru, KKM ingin memberi penekanan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Menurut Dr Noor Hisham, difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan.

Bakteria itu menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

"Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian.
Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus," katanya.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang berasal dari Ujong Pasir, Melaka meninggal dunia di Hospital Melaka pada Sabtu lepas akibat dijangkiti bakteria difteria.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat dua kes kematian disyaki akibat jangkitan itu dengan masing-masing satu kematian di Melaka pada Sabtu lepas dan Kedah, pagi tadi.

Menurut beliau, kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

"Pesakit yang meninggal dunia di Hospital Melaka telah dirujuk oleh Klinik Kesihatan Ujong Pasir pada 16 Jun 2016 dengan sejarah demam selama lapan hari dan batuk, sakit tekak, sukar menelan, kurang selera makan serta leher bengkak selama tiga hari.

"Ujian sampel swab tekak disahkan positif difteria pada 20 Jun 2016 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur. Sementara pesakit kanak-kanak warga asing yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar belum diketahui keputusan ujian".

Jelas Dr Noor Hisham tindakan kawalan masih terus dijalankan di rumah pesakit, tadika, sekolah dan kawasan kejiranan bagi mengesan kontak rapat bagi kedua-dua negeri terlibat.

- mSTAR

20 Jun 2016

Fenomena Ayunan Madden-Julian Punca Hujan Berlebihan

by


Fenomena Ayunan Madden-Julian Punca Hujan Berlebihan

Keadaan hujan berlebihan yang dialami sejak kebelakangan ini khususnya di Lembah Klang adalah disebabkan oleh kesan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), kata pakar.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata negara kini berada dalam musim Monsun Barat Daya dan sepatutnya cuaca sepanjang bulan ini adalah panas dan kering.

"Fenomena MJO adalah sebahagian dari keragaman iklim antara musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam 20 hingga 60 hari yang berlaku dalam lapan fasa.

"MJO berlaku akibat interaksi lautan dan atmosfera menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera berskala besar di bahagian barat Lautan Hindi yang bergerak ke timur Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keadaan hujan berlebihan yang dialami kawasan sekitar Lembah Klang pada lewat petang termasuk fenomena ribut petir luar biasa.

Dalam pada itu, Fredolin berkata melalui kajian yang dilakukan, musim Monsun Barat Daya antara bulan Jun hingga Ogos akan meningkatkan curahan hujan di kawasan pantai barat Semenanjung berbanding di kawasan pantai timur.

Beliau berkata berdasarkan laporan Pusat Ramalan Iklim Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat, MJO muncul di Lautan Hindi dengan peningkatan perolakan atmosfera berskala besar pada minggu pertama bulan ini dan kini berada dalam Fasa 3.

"Keadaan ini menyebabkan curahan kadar hujan tinggi yang dialami ketika ini adalah menyamai keadaan pada April hingga Mei dengan kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia biasanya mengalami hujan pada sebelah petang hingga lewat malam.

"Bagaimanapun keadaan ini hanya akan bertahan dalam masa satu hingga dua minggu lagi apabila fenomena ini bergerak ke arah timur dan pusat perolakan melepasi kawasan kita," katanya.

Beliau menambah negara dijangka akan alami cuaca yang lebih panas dan kering apabila fenomena MJO beralih ke arah timur dan berada dalam fasa-fasa 4 hingga 7.

- mSTAR

19 Jun 2016

Nadir nikah balu pejuang Palestin, tanggung lima anak untuk mudah beramal

by

 


Bermula dengan pembabitan dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza tiga tahun lalu, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman kini menjadi 'bapa segera' kepada lima anak yatim negara itu.

Misi kemanusiaan yang disertai oleh Muhammad Nadir lebih kepada membela anak yatim yang bapa mereka mati syahid dalam peperangan menentang zionis.

Pemuda berusia 29 tahun itu kini adalah suami kepada seorang balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi, 35.

Mereka bernikah Mei lalu selepas berkenalan selama tiga tahun.

Tidak pernah menduga ketentuan jodohnya itu, Muhammad Nadir, yang dikenali sebagai Nadir al-Nuri berkata, beliau memilih untuk berkahwin dengan wanita itu sebagai satu cara untuk memudahkan perjuangannya.

"Saya mula berada di bumi Palestin sebagai pelajar jurusan Syariah di Universiti Islam Gaza dan nekad untuk membantu anak-anak yatim di situ dengan menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil Persatuan Cinta Gaza atau "From Gaza With Love".

"Perkenalan dengan Reem Al-Minawi bukanlah secara langsung sebaliknya menerusi anak sulungnya, Naeem Mushtaha yang ketika itu berusia 13 tahun.

"Naeem ketika itu banyak membantu menguruskan urusan kebajikan saya dan saya kemudian tergerak hati untuk mengenali keluarganya lalu bertemu dengan Reem. Tiga tahun saya ambil masa sebelum menikahinya," katanya kepada BH.

Bekas pelajar Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, perjalanannya untuk mengahwini seorang balu syuhada Gaza tidaklah semudah disangka kerana pelbagai rintangan terpaksa dilaluinya.

"Sukar untuk Reem dan keluarganya menerima saya apatah lagi saya adalah 'orang luar'. Menjadi budaya warga Palestin untuk sukar untuk menerima orang bukan daripada bangsa mereka.

"Malah keluarga saya di Malaysia pada awalnya tidak menyokong hasrat itu khususnya apabila saya perlu memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada lima anak.

"Alhamdullilah tiga tahun saya bersabar dan segala-galanya dipermudahkan oleh Allah dan saya dengan Reem akhirnya bersatu. Kami sekeluarga kini penggerak kepada  Persatuan Cinta Gaza," katanya.

Nadir Al-Nuri  mengakui kehidupannya bertambah berkat apabila keluarga baharunya hadir membahagiakannya.

"Benar janji Allah mengenai rezeki ketika kita membela nasib anak-anak yatim. Saya merasai keberkatan hidup dan rezeki yang datang untuk kami juga tidak putus," katanya.

Katanya Persatuan Cinta Gaza, sentiasa komited untuk membela nasib anak yatim Gaza dan mengatur pelbagai program khususnya mendapatkan dana bantuan untuk mereka.

Beliau kini berada di Malaysia bersama keluarga mentuanya untuk mempromosi persatuan dan menerangkan keadaan rakyat Palestin pada masa ini.

Sempena Ramadan, pihaknya melancarkan kutipan derma untuk membiayai satu projek khas untuk 300 anak yatim Gaza. Orang ramai boleh menderma menerusi akaun Maybank 564810507826.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

BN Menang Besar PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar

by


BN Menang Besar PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedua-dua kerusi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan majoriti lebih tinggi.

Berdasarkan keputusan rasmi di Sungar Besar, BN memperoleh 16,800 undi, PAS (6,902 undi) dan Amanah (7,609 undi).

BN memperoleh majoriti 9,191 undi.

Pada pilihan raya umum 2013, BN memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 399 undi.

BN turut mengekalkan kerusi di Kuala Kangsar dengan 12,653 undi, dengan PAS memperoleh 5,684 undi, Amanah (4,883) dan Bebas (54).

BN memperoleh majoriti 6,969 undi.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi (BN); Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Azhar Abdul Shukur dari Parti Amanah Negara (Amanah).

PRK Kuala Kangsar pula empat penjuru antara Datin Mastura Mohd Yazid (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

- mStar

8 Jun 2016

Bantuan Khas Aidilfitri RM500 Kepada Kakitangan Awam

by


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata bantuan khas RM250 akan turut dinikmati 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.

Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat pada 13 Jun 2016, katanya sambil menambah ia melibatkan anggaran peruntukan kewangan RM1 bilion.

Kerajaan berharap pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri 2016.

Najib menarik perhatian bahawa penjawat awam akan menikmati satu kenaikan gaji tahunan (KGT) pada Julai ini yang melibatkan anggaran implikasi kewangan RM1.1 bilion.

- BERNAMA

6 Jun 2016

Semakan Keputusan Kemasukan Perguruan Lepasan SPM Ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Ambilan Jun 2016

by


Calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah mengemukakan Permohonan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan JUN tahun 2016 di Institut Pendidikan Guru (IPG) boleh membuat semakan keputusan kemasukan di : https://pismp.moe.gov.my/

Tarikh semakan dibuka pada 6 Jun 2016 mulai jam 3.00 petang hingga 13 Jun 2016.

Calon berjaya dikehendaki mencetak surat tawaran. Calon-calon yang ditawarkan untuk mengikuti program perlu mendaftar di institusi yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 13 Jun 2016.

PRK Kuala Kangsar: Pertembungan Empat Penjuru

by

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan empat calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Jubli Perak di sini, pagi Ahad.

Pengurus Pilihan Raya, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata calon yang bertanding ialah Izad Bukhary Ismail yang merupakan calon bebas, Datin Mastura Yazid daripada Barisan Nasional (BN), Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah). Pengumuman itu dibuat pada pukul 10.40 pagi.

Seorang calon bebas yang hadir untuk penamaan iaitu Datuk Abu Backer Sidek  menarik diri selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan layanan kakitangan SPR.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

- mSTAR


Top Ad 728x90