19 Jun 2016

,

Nadir nikah balu pejuang Palestin, tanggung lima anak untuk mudah beramal

Biodata Nadir Al Nuri di Gaza

 


Bermula dengan pembabitan dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza tiga tahun lalu, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman kini menjadi 'bapa segera' kepada lima anak yatim negara itu.

Misi kemanusiaan yang disertai oleh Muhammad Nadir lebih kepada membela anak yatim yang bapa mereka mati syahid dalam peperangan menentang zionis.

Pemuda berusia 29 tahun itu kini adalah suami kepada seorang balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi, 35.

Mereka bernikah Mei lalu selepas berkenalan selama tiga tahun.

Tidak pernah menduga ketentuan jodohnya itu, Muhammad Nadir, yang dikenali sebagai Nadir al-Nuri berkata, beliau memilih untuk berkahwin dengan wanita itu sebagai satu cara untuk memudahkan perjuangannya.

"Saya mula berada di bumi Palestin sebagai pelajar jurusan Syariah di Universiti Islam Gaza dan nekad untuk membantu anak-anak yatim di situ dengan menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipanggil Persatuan Cinta Gaza atau "From Gaza With Love".

"Perkenalan dengan Reem Al-Minawi bukanlah secara langsung sebaliknya menerusi anak sulungnya, Naeem Mushtaha yang ketika itu berusia 13 tahun.

"Naeem ketika itu banyak membantu menguruskan urusan kebajikan saya dan saya kemudian tergerak hati untuk mengenali keluarganya lalu bertemu dengan Reem. Tiga tahun saya ambil masa sebelum menikahinya," katanya kepada BH.

Bekas pelajar Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, perjalanannya untuk mengahwini seorang balu syuhada Gaza tidaklah semudah disangka kerana pelbagai rintangan terpaksa dilaluinya.

"Sukar untuk Reem dan keluarganya menerima saya apatah lagi saya adalah 'orang luar'. Menjadi budaya warga Palestin untuk sukar untuk menerima orang bukan daripada bangsa mereka.

"Malah keluarga saya di Malaysia pada awalnya tidak menyokong hasrat itu khususnya apabila saya perlu memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada lima anak.

"Alhamdullilah tiga tahun saya bersabar dan segala-galanya dipermudahkan oleh Allah dan saya dengan Reem akhirnya bersatu. Kami sekeluarga kini penggerak kepada  Persatuan Cinta Gaza," katanya.

Nadir Al-Nuri  mengakui kehidupannya bertambah berkat apabila keluarga baharunya hadir membahagiakannya.

"Benar janji Allah mengenai rezeki ketika kita membela nasib anak-anak yatim. Saya merasai keberkatan hidup dan rezeki yang datang untuk kami juga tidak putus," katanya.

Katanya Persatuan Cinta Gaza, sentiasa komited untuk membela nasib anak yatim Gaza dan mengatur pelbagai program khususnya mendapatkan dana bantuan untuk mereka.

Beliau kini berada di Malaysia bersama keluarga mentuanya untuk mempromosi persatuan dan menerangkan keadaan rakyat Palestin pada masa ini.

Sempena Ramadan, pihaknya melancarkan kutipan derma untuk membiayai satu projek khas untuk 300 anak yatim Gaza. Orang ramai boleh menderma menerusi akaun Maybank 564810507826.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90