29 Oktober 2016

Anggota SPRM Dipercayai Pukul Isteri Ditahan

by



Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai mendera isterinya, ditahan polis di Batu Berendam, Melaka pada Jumaat malam.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berusia 37 tahun yang ditahan kira-kira 8 malam itu, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat pada Sabtu untuk permohonan reman.

Suspek yang berkhidmat di SPRM Segamat itu juga didapati tidak hadir bertugas dan mempunyai kes narkotik di Muar pada tahun lepas, kata beliau dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau berkata dua laporan polis dibuat dan dua kertas siasatan dibuka, dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Wan Ahmad Najmuddin berkata kes itu turut disiasat mengikut Seskyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Dua laporan polis itu berhubung kes tersebut yang diviralkan dalam laman sosial Facebook milik seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

- mSTAR

27 Oktober 2016

Latar belakang Parlimen Malaysia

by


Selepas 52 tahun merdeka, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan institusi-institusi demokrasinya kekal agung.

Badan perundangan yang berasaskan kepada Westminster di Britain diterima oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957 dan merupakan institusi penting bagi Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berpelembagaan sebagai pemimpin tertinggi.

Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia kekal sebagai negara demokratik sejak merdeka sedangkan banyak daripada negara telah beralih kepada pemerintahan tentera atau diktator.

Walaupun prinsip demokrasi negara pernah tercabar tetapi secara keseluruhannya demokrasi serta institusi-institusinya masih berperanan penting di Malaysia.

Antara institusi yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia ialah Parlimen, yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Parlimen merupakan tempat di mana undang-undang negara dirumus, dibahas dan diluluskan demi manfaat negara dan rakyatnya. Parlimen mewakili suara rakyat, intipati penting demokrasi.

SEJARAH BANGUNAN PARLIMEN

Pada bulan Disember 1959, satu kawasan berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur dipilih sebagai tapak kompleks bangunan Parlimen.

Menurut laman web rasmi Parlimen, ilham untuk membina kompleks bangunan Parlimen datangnya daripada Ketua Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang menjadi simbol demokrasi di negara ini melibatkan kos RM18 juta.

Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan melakukan peletakan batu asas.

BANGUNAN UTAMA

Kompleks bangunan parlimen ini terbahagi kepada bangunan utama tiga tingkat dan menara yang mempunyai 17 tingkat.

Ia dirasmikan oleh Tuanku Syed Putra pada 21 Nov 1963.

Bangunan utama tiga tingkat itu menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Di tingkat pertama terdapat kantin, bilik wartawan dan bilik jamuan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Reka bentuk Dewan Negara hampir serupa dengan Dewan Rakyat tetapi ruangnya kecil sedikit. Bagaimanapun Dewan Negara mempunyai keistimewaan tersendiri. Jendela-jendelanya lutsinar dengan corak Islam asli daripada mozek merah dan biru.

Di tingkat bawah bangunan ini pula terletak bilik rehat diraja, sebuah surau bulat yang boleh memuatkan 100 jemaah dan sebuah dewan jamuan besar yang boleh memuatkan 500 orang.

Di tingkat kedua terbahagi kepada dua anjung. Anjung kiri terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar (boleh memuatkan 30 orang), empat bilik kecil (muat 12 orang), pejabat dan tempat rehat bagi para pegawai kerajaan serta bilik Persatuan Parlimen Komanwel.

Di anjung kanan pula terdapat dua bilik makan, satu bilik khusus untuk ahli Parlimen dan yang lainnya untuk tetamu serta pegawai kerajaan. Ruang dapur terletak di antara dua bilik makan ini. Dapur ini mampu menyediakan makanan bagi 1,000 orang tetamu dalam satu masa. Bahagian tengah tingkat kedua ini dipayungi oleh bumbung Dewan Rakyat. Ia dijadikan Taman Sari iaitu tempat anggota Parlimen berehat semasa persidangan.

MENARA

Menara setinggi 17 tingkat ini terletak di hadapan bangunan utama. Ia bersambung ke bangunan utama melalui sebuah jambatan dan di dalamnya ditempatkan pejabat para menteri dan anggota Parlimen yang lengkap dengan segala kemudahan seperti kerusi meja dan pembesar suara.

Di tingkat dua menara ini terdapat ruang tempat duduk dengan pemandangannya ke arah padang perbarisan di mana acara sambutan rasmi Parlimen diadakan.

Di tingkat 16 pula terdapat ruang lapang untuk menikmati keindahan pemandangan sekeliling kawasan Parlimen. Di menara inilah majlis-majlis tidak rasmi diadakan.

KEISTIMEWAAN

Tahukah anda berapa banyak batu-bata yang digunakan untuk membina kompleks Parlimen?

Menurut laman web rasmi Parlimen, lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3,000 tan kaca telah digunakan untuk pembinaannya.

Keseluruhan bangunan Parlimen ditutup dengan kaca yang boleh menyerap haba dan cahaya.

Bagi menghalang sinaran cahaya matahari itu, seluruh bangunan ditutup dengan terawang berukir diperbuat daripada konkrit. Terawang berbentuk sarang lebah itu dipasang bahagian demi bahagian dan ini menyerlahkan lagi kehebatan bangunan ini.

Sementara itu, sistem pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen yang mana air akan mengalir melalui dua sistem yang berangkai.

Air berwarna biru, yang berfungsi untuk menghindarkan lumut dan lumpur, bermula di bahagian bumbung bangunan membawa ke seluruh kompleks.

Selain daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.

Antara pokok yang ditanam sekitar kawasan Parlimen ialah pokok berlian, mata kucing, berangan, nam-nam, selarat dan tamar, yang diimport khas dari Arab Saudi.

Bersebelahan kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa.

Parlimen sekarang ini sudah masuk penggal ke-12. 

- BERNAMA

26 Oktober 2016

Minyak Masak Dalam Botol Ikut Harga Pasaran Mulai 1 Nov 2016

by


Harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50, manakala harga minyak masak dalam botol akan mengikut harga pasaran berkuatkuasa 1 Nov 2016.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

Tanpa penstrukturan semula minyak masak, kerajaan terpaksa membelanjakan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak untuk bulan Nov dan Disember, katanya pada sidang media di Putrajaya.

- Bernama

Puluhan Bangkai Kapal Karam Empayar Uthmaniyyah Ditemui Di Dasar Laut Hitam

by


Kajian pemetaan di Laut Hitam menggunakan teknik rakaman tiga dimensi di dasar laut berjaya mengesan puluhan bangkai kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine.

Penemuan itu berlaku ketika sepasukan pengkaji antarabangsa menjalankan kajian berkenaan menerusi  Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam.

Ekspedisi itu diketuai Pusat Arkeologi Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut meneroka sehingga 1,800 meter di dasar Laut Hitam menggunakan kapal selam kawalan jauh yang dilengkapi peralatan laut dalam paling canggih di dunia.Kajian pemetaan di Laut Hitam menggunakan teknik rakaman tiga dimensi di dasar laut berjaya mengesan puluhan bangkai kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine.

Penemuan itu berlaku ketika sepasukan pengkaji antarabangsa menjalankan kajian berkenaan menerusi  Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam.

Ekspedisi itu diketuai Pusat Arkeologi Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut meneroka sehingga 1,800 meter di dasar Laut Hitam menggunakan kapal selam kawalan jauh yang dilengkapi peralatan laut dalam paling canggih di dunia.

“Dengan menggunakan teknik rakaman tiga dimensi untuk struktur laut dalam, kami mampu mengambil imej-imej artifak tanpa mengganggu lantai laut,” kata Ketua Projek, Prof. Jon Adams.

Menerusi penemuan tersebut, pengkaji berharap dapat mendalami aktiviti-aktiviti di perairan di Laut Hitam yang menjadi tumpuan empayar besar lain pada zaman dahulu termasuk Greece dan Rom.

Menurut sejarah, kerajaan Uthmaniyyah yang menakluk Constantinople (Istanbul) menutup Laut Hitam kepada kapal dagang pada 1453 dan dibuka semula 400 tahun kemudian iaitu pada 1856. 

Gary Kang Sah Tinggalkan Running Man

by


Penyanyi Gary Kang bakal meninggalkan Running Man selepas enam tahun bersama program berkenaan.

Perkara itu turut disahkan oleh pihak produksi rancangan popular itu dan memberitahu Gary ingin kembali memberi fokus kepada bidang muzik sebagai punca utama dia mengambil keputusan meninggalkan Running Man.

"Kami berterima kasih kepada Gary kerana komitmen ditunjukkan sepanjang enam tahun terlibat dalam Running Man.

"Gary ingin kembali memberi fokus kepada karier muziknya dan kami berharap dia akan terus cemerlang," kata kenyataan tersebut seperti dilaporkan Soompi.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Gary sudah merancang meninggalkan Running Man sejak awal tahun ini namun dia menangguhkan hasrat itu selepas dipujuk oleh pihak produksi.

"Pihak produksi cuba memujuknya malah rakan-rakannya yang turut terlibat dalam program itu juga memintanya agar mengubah fikiran.

"Tetapi dia ingin memberi tumpuan kepada bidang muzik kerana telah terlalu lama tidak merakamkan lagu baharu," kata sumber.

Gary menyertai keluarga Running Man sejak 2010 dan akan merakamkan episod terakhirnya pada 31 Oktober 2016.

- mSTAR

Isu Negara Muflis Akibat Hutang Wajar Diperbetulkan - Pakar Ekonomi

by


Isu membabitkan tahap keberhutangan negara yang tinggi yang sering dimomokkan sebagai petanda bahawa negara akan muflis hanyalah salah faham ekonomi dan perlu diperbetulkan.

Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata ini kerana antara indikator dilihat ketika hendak membuat pinjaman ialah sama ada pinjaman tersebut bersifat produktif atau sebaliknya dan keupayaan membayar balik.

"Pinjaman kerajaan misalnya sebanyak RM582 bilion pada 2014, tetapi itu adalah stok pinjaman, namun bayaran hutang pada tahun tersebut hanya sekitar RM20 bilion sahaja, itu bayaran, bukan stok. Malah ia bukannya perlu dibayar dengan segera kerana mempunyai tempoh kematangan hutang," katanya.

Noor Azlan berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia di sini, Ahad.

Malah jelasnya Malaysia menyaksikan pembangunan pesat dicapai dengan sebahagian besarnya dalam tahun-tahun ketika ekonomi negara berada dalam keadaan defisit.

"Pertama sekali isu persepsi, istilah atau perkataaan hutang dalam nahu bahasa kita dianggap konotasi negatif tetapi hakikatnya dalam kehidupan seharian malah di peringkat individu pun semua mempunyai hutang.

"Tidak ada salahnya dengan defisit. Dalam bahasa ekonomi lebihan dan defisit tidak boleh diterjemah secara terus, kononnya defisit bermakna masalah, lebihan bermakna baik. Sama juga dengan hutang, cuma istilah hutang dalam literasi Bahasa Melayu kita nampak takut," katanya.

Beliau menegaskan tahap pinjaman kepada pendapatan negara semata-mata belum cukup untuk menterjemahkan bahawa sesuatu negara itu diurus dengan baik ataupun tidak.

"Semakin tinggi pendapatan negara, semakin tinggi hutang, United Kingdom misalnya pula berhutang 91 peratus dan Singapura sebanyak 105 peratus," katanya.

Noor Azlan berkata menurut pengamatannya, defisit negara selalunya akan melebar apabila berhadapan krisis ekonomi seperti pada tahun 1997 dan 2009 yang menyebabkan ekonomi negara menguncup.

"Apabila ekonomi menguncup maka sektor swasta dan pengguna tidak berbelanja, jadi memang wajarlah kerajaan berbelanja dan dalam keadaan itu defisit kita melebar dan ia bertepatan dengan keperluan.

"Yang penting ialah adakah defisit itu dikawal dan tahun demi tahun kita lihat defisit fiskal kita semakin menurun, walaupun keadaan getir beberapa tahun yang lalu, sasaran kita tetap dipertahankan dan tahun hadapan sasaran kita 3 peratus daripada KDNK," katanya. 

- BERNAMA

25 Oktober 2016

Wad ICU Hospital Sultanah Aminah terbakar

by


Enam pesakit yang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mati rentung atas katil masing-masing apabila wad yang terletak di tingkat dua bangunan hospital itu terbakar semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, tiga mangsa yang cedera melibatkan dua daripada lapan jururawat yang bertugas di wad tersebut dan seorang pelatih fisioterapi.

Pesakit-pesakit yang terkorban ialah K. Logeswaran, 20, Choo Lin Fong, 37, Toh Ah Wah, 60, Yusof Hassan, 53, M. Kaliama, 23, dan C. Neeramaladevi, 24. Dua jururawat yang cedera dikenali sebagai Nurul Ain dan Suhaili manakala pelatih fisioterapi yang dikenali sebagai Shafiqah turut cedera.

Kebakaran yang memusnahkan wad ICU di hospital berusia 134 tahun itu amat mencemaskan apabila ratusan pesakit, jururawat, doktor, petugas pentadbiran dan tukang cuci berpusu-pusu menuruni tangga meninggalkan bangunan tersebut.

- Kosmo!

24 Oktober 2016

10 Produk Kosmetik Mengandungi Racun

by


Orang ramai dinasihati supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 10 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk-produk kosmetik itu antaranya Melan: Off Intensive Mask, Melan: Off Cream, Afrina Night Cream, Afrina Daily Cream, Krim Herba Kemboja, Debella Nadien Glow Night Cream, Mekar Semilu Scrub Muka Mutiara BeautyvCollection dan Mekar Semilu Cream Mekarsutra.

Produk-produk kosmetik itu mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin dan logam berat merkuri dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi asid azelaik, hidrokuinon atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Kebiasaannya hidrokuinon digunakan bagi merawat kulit yang mengalami masalah hiperpigmentasi, manakala tretinoin dan asid azelaik pula digunakan untuk mengurangkan kesan inflamasi bagi merawat masalah jerawat.

"Penggunaan hidrokuinon, asid azelaik dan/atau tretinoin tanpa mendapat nasihat kepakaran daripada profesional kesihatan dikhuatiri boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf," katanya.

Dr Noor Hisham berkata notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk kosmetik berkenaan diarah untuk memberhentikan penjualan/pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik kesemua stok fizikal produk kosmetik tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Katanya sesiapa yang mempunyai stok produk kosmetik tersebut dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Beliau mengingatkan penjual bahawa pemilikan produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Orang ramai diminta menghubungi Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78018496/78835537/78835532 jika mengalami kesan sampingan atau kesan buruk penggunaan produk kosmetik.

21 Oktober 2016

Intipati Bajet 2017

by


Intipati Bajet 2017
Jumaat, 21 Okt 2016 @ 4:31 PM

Berikut ialah intipati Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat.

Bajet 2017 bertemakan "Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh".

* Bajet 2016 memperuntukkan RM260.8 bilion, peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

* RM214.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan

* RM77.4 bilion untuk emolumen, RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan

* Sektor ekonomi terima agihan tertinggi RM25.9 bilion, diikuti sektor sosial RM12.2 bilion, keselamatan RM5.3 bilion, pentadbiran RM2.5 bilion

* Hasil kerajaan Persekutuan 2017 dijangka berkembang tiga peratus kepada RM219.7 bilion

* Sasaran kerajaan untuk defisit fiskal tiga peratus daripada KDNK pada 2017

* GST hampir RM30 bilion dikutip setakat 19 Okt 2016

* KDNK PPP per kapita rakyat Malaysia meningkat daripada US$23,100 pada 2012 kepada US$26,891 pada 2015

* Jumlah pelaburan asing yang diluluskan bagi separuh pertama tahun 2016, adalah lebih RM28 bilion, peningkatan 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

* Cuti Belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa dipanjangkan kepada Kumpulan Pelaksana

* Cuti Kuarantin lima hari tanpa rekod kepada penjawat awam yang anaknya sakit dan perlu dikuaratin

* Menaikkan had kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam kepada RM200,000 hingga RM750,000

* Gred 56 diwujudkan bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar

* RM1.2 bilion bagi membina dan menaik taraf 616 km jalan kampung dan jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan bandar

* RM4.6 bilion bagi menyelenggara jalan negeri, di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS)

* RM350 juta bagi membina dan membaik pulih 17,000 unit rumah usang dan daif di kampung terpencil dan penempatan Orang Asli

* RM800 juta untuk Projek Mesra Rakyat seperti menaik taraf dan membina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil

* RM495 juta untuk meneruskan 69 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara

* RM200 juta untuk bina 5,000 unit MyBeautiful New Home menerusi NBOS bagi B40 pada harga RM40,000-RM50,000 seunit, dengan kerajaan biayai RM20,000

* RM275 juta bagi membantu meningkatkan peluang pendapatan rakyat, terutamanya kelompok B40

* Peruntukan subsidi hampir RM10 bilion merangkumi subsidi bahan api, gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.

* BR1M - isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan kepada RM1,200

* BR1M - isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 dinaikkan kepada RM900

* BR1M - individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 dinaikkan kepada RM450

* RM4.6 bilion bagi memperkasakan program TVET untuk menghasilkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan industri

* Kerajaan sediakan tanah di lokasi strategik kepada GLC dan PR1MA untuk membina lebih 30,000 unit rumah berharga antara RM150,000 hingga RM300,000

* Membina 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda pada kadar lebih rendah dari kadar pasaran

* Skim pembayaran akhir khas jenis "step-up" untuk program PR1MA, bagi pembiayaan 1ebih mudah, dengan jum1ah pinjaman mencecah 90 hingga 100 peratus

* RM100 juta untuk bina UTC di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, dan RTC di Selangor, Sabah dan Sarawak

* Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 setiap tahun mulai tahun taksiran 2017 bagi pembelian bahan bacaan, komputer, peralatan, surat khabar bercetak, smartphone dan tablet, langganan internet dan bayaran keahlian gimnasium

* RM40 juta bagi inisiatif NBOS Bahasa Inggeris 1Malaysia, Coding di sekolah, Volunteering for International Professional dan Global Entrepreneurship Community 2

* RM450 juta untuk penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada tahun 2017

* RM25 bilion bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan

* RM20 juta bagi usaha mengurangkan kesesakan hospital awam menerusi kerjasama swasta dan NGO dengan menyediakan pinjaman mudah bagi pembelian peralatan untuk "non-profit charitable" hospital

* RM1.3 bilion untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dengan harga yang kompetitif

* Geran RM5,000 bagi membeli kenderaan baharu dan menawarkan permit teksi individu, memanfaatkan 12,000 pemandu teksi

* Menggalakkan B40 (penerima BR1M) menjana pendapatan sebagai pemandu "ride sharing" seperti Uber

* Meluaskan eVisa ke negara di rantau Balkan dan Asia Selatan bagi mencapai sasaran 32 juta pelancong pada tahun hadapan

* RM1 bilion bagi meluaskan liputan dan kualiti jalur lebar seluruh negara sehingga 20 megabit sesaat

* RM570 juta bagi membangunkan semula 120 buah sekolah daif, 60 di Semenanjung, 30 di Sabah dan 30 lagi di Sarawak menggunakan IBS serta menaik taraf 1,800 makmal sains

* RM478 juta bagi menyiapkan pembinaan 227 buah sekolah, termasuk 8 buah sekolah baharu

* Diskaun 10 hingga 15 peratus bagi menggalakkan peminjam PTPTN buat bayaran balik bermula 22 Okt 2016 hingga Disember 2017

* RM55 bilion untuk pelaksanaan projek rel baharu East Coast Rail Line sepanjang 600 km menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur

* Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM15.1 bilion termasuk RM1.8 bilion untuk menyelenggara aset-aset utama

* KDN diperuntukkan RM12.8 bilion termasuk RM8.7 bilion kepada PDRM

* RM2 bilion untuk ehwal wanita dan mengarusperdanakan peranan mereka dalam pembangunan negara dengan program seperti I-KIT, I-KeuNita, program Women Career Comeback

* Pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan ibu mulai tahun taksiran 2017 dan dituntut setiap dua tahun

* RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara

* RM85 juta bagi program Permata termasuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Top STEM Talents di Akademi Sains Malaysia

* Akta Kebangkrapan 1967 akan dipinda bagi mereka yang diisytiharkan bangkrap terutama "penjamin sosial" seperti penjamin biasiswa

* Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan dilancarkan bagi memeta hala tuju negara di atas sebuah kanvas yang baharu

* Bayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan

- BERNAMA

Astro Lancar Saluran TARA HD

by


Astro telah melancarkan sebuah saluran Hiburan Hindi Umum yang berdefinisi tinggi (HD) baharu iaitu TARA HD (Saluran 108). Semua pelanggan yang memiliki dekoder Astro B.yond akan menikmati akses pra-tonton percuma ke saluran ini sehingga 20 November 2016.

Para penggemar hiburan Bollywood pasti akan teruja untuk menyaksikan pelbagai rancangan yang disajikan menerusi saluran ini termasuklah hiburan terkini dari dunia Bollywood seperti filem-filem klasik, rancangan siri televisyen, program realiti, rancangan bual bicara dan drama televisyen menerusi dua saluran jenama Hindi terkini, iaitu TARA HD dan BollyOne HD (Saluran 251).

Sejurus tempoh pra-tonton percuma di saluran ini tamat, TARA HD boleh dinikmati oleh pelanggan Astro menerusi pakej Astro Family HD dan boleh turut disaksikan menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG), selain turut terkandung di dalam pakej pra-bayar bagi pelanggan NJOI.
TARA HD turut menawarkan drama bersiri terbaik, selain rancangan aneka ragam, dan program muzik yang dibawakan khas dari India dan Pakistan.

Antara program menarik yang pasti menarik perhatian penonton adalah beberapa judul drama seperti ‘Chakravarthi Ashok Samrat’, ‘Nagin’, ‘Yeh Hai Mohobattein’, ‘Ishqbaaaz’ dan ‘CID’; selain drama bersiri seperti ‘Yudh’ yang dibintangi Amitabh Bachchan.

Selain itu juga antara program menarik lain yang boleh disaksikan menerusi saluran baharu ini adalah rancangan bual bicara popular seperti ‘Koffee with Karan’ dan ‘The Kapil Sharma Show’ selain beberapa rancangan variasi yang lain seperti ‘Bolly Stars’, ‘Bolly Dance’, dan ‘Comedy Nights Bachaq’.

Pelanggan NJOI juga boleh menikmati pra-tonton percuma saluran TARA HD ini sehingga 20 November 2016.

Namun setelah tamat tempoh pra-tonton tersebut, saluran ini boleh dinikmati dengan melanggan pada harga RM 7.00 untuk tempoh masa 3 hari, RM 10.00 untuk tempoh masa 7 hari dan RM 25.00 bagi tempoh masa 30 hari.

Selain itu, TARA HD juga boleh disaksikan oleh pelanggan Astro menerusi aplikasi Astro on the Go (AOTG) dengan saluran berdefinisi tinggi (HD). Langganan AOTG ini adalah termasuk di dalam pakej Super Pack Plus, Super Pack, Multi room, Sports Pack dan Value Pack tanpa sebarang caj tambahan dikenakan.

Manakala bagi pelanggan Astro dengan pakej yang lain, ianya boleh dibeli pada harga RM 10.60/sebulan.

Kesemua program yang disiarkan di saluran TARA HD juga turut disertakan dengan sarikata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Untuk keterangan lanjut mengenai TARA HD, sila layari http://www.bollyonehd.com/bollywoodnews. Untuk melanggan sebarang pakej di Astro dan NJOI, sila layari www.astro.com.my atau hubungi 03 -9543 3838.

17 Oktober 2016

Maut ditikam bakal adik ipar depan Pejabat Agama Terengganu

by


Hanya kerana tem­belang status perkahwinannya terbongkar, seorang tukang rumah berusia 29 tahun sanggup menikam bakal abang iparnya hingga mati di pekarangan Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, suspek bertindak kejam menikam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher dengan sebilah pisau berukuran kira-kira 15.24 sentimeter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, Muhamad Shukri bersama tujuh ahli keluarganya dari Kampung Sungai Renyut, Jeli, Kelantan berkunjung ke Pejabat Agama Islam di Kuala Terengganu yang terletak di dalam Kompleks Seri Iman untuk memeriksa status perkahwinan suspek.

“Pemeriksaan itu mendapati bakal adik ipar mang­sa masih dalam status perkahwinan namun suspek mendakwa dia telah bercerai sehingga tercetus perbalahan di tempat letak kereta kompleks berkenaan.

“Suspek secara tiba-tiba telah mengeluarkan sebilah pisau yang disimpan di dalam kereta Honda Civic yang dinaikinya sebelum menikam mangsa bertubi-tubi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

- Kosmo!

16 Oktober 2016

Nasi Lemak Anak Dara

by


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah sye dapat order 100 bungkus nasi lemak anak dara untuk pagi nie. Tapi hamba Allah nie bagi amanah kepada sye untuk sedekah kepada sesiapa yg singgah gerai sye pagi tadi. Terima kasih tuan. Moga makin murah rezeki tuan. Hanya 50 minit licin semua jualan. Alhamdulillah rezeki Allah.

Mesti ramai yg nak tau kisah hidup sye dan macam mana sye boleh buka gerai nasi lemak anak dara kan?

Okay sebelum tu sye cerita latar blkng sye dulu. Nama penuh sye Siti Hajjar Binti Ahmad. Umur dah 24 tahun. Anak ketiga dari lima adik beradik. Tinggal kat sungai petani, kedah. Sye degree fresh graduate electronic engineering (medical electronic) dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan insyaAllah Oktober nie sye akan konvo dengan beralaskan cgpa 3.33.

Sye sebenarnya baru merantau dan stay kat shah alam dah hampir tiga minggu. Alasan sye nak stay kat sini sebab selalu dapat interview dan bg sye better sye dok kat sini terus. Alhamdulillah lepas sye buat keputusan stay kat sini, sye terus dapat offer keje sebagai cost&design engineer kat subang jaya. Tapi akan start September nanti.

Saya sebenarnya lgsg tak rancang nak niaga. Tetiba ilham datang untuk buka gerai nasi lemak. Lagipun hobi sye memasak so better sye guna kelebihan sye tu dari sye membazir masa dgn benda tak faedah kan. Bagi sye berniaga nie sgt enjoy dan salah satu sunnah Nabi. Dan 70% pintu rezeki tu adalah daripada perniagaan.

Sye dtg shah alam nie memang zero tak bawa apa-apa dari kedah. Tapi kain baju tu bawa la. hehe.. Berbekalkan semangat yg ada, sye try berdikari untuk cari rezeki sendiri. Bagi sye, sye dah mampu untuk uruskan soal diri sendiri tanpa menyusahkan mak sye ataupun family sye. Dan sye akan bangga kalau dapat tunaikan permintaan arwah abah sye untuk tengok sye berjaya. Pasal mak sye memang la dia risau sye dtg sini sebab anak perempuan kan so macam-macam boleh jadi. Tapi insyaAllah atas berkat doa sorang mak, sye akan berjaya juga suatu hari nanti. Terima kasih mak.

Okay mesti korang pelik kan mcm mana sye dapat modal sebab td sye cakap sye dtg shah alam zero. Sye memang ada business brand shawl sye sendiri, Qaseh Stalista. Nanti jgn lupa like ye. hehe.. Tapi sye nak simpan duit dari business shawl sye tu untuk design yg baru. Sye dapat modal buka gerai nasi lemak anak dara pun dari teman rapat sye. Nasib baik dia boleh tlg sye bg modal. hehe..

Sye pun mula la start beli brg semua. Mesti nak tau kan sapa yg masak. Fully 100% sye buat semuanya sendiri. Berbekalkan ilmu masak yg belajar dari mak, sye masak semuanya sendiri. Terima kasih lg sekali mak. Sye sebenarnya berniaga tepi simpang pun sorang cuma ada juga kadang-kadang kawan teman. Terima kasih. Masuk harinie dah 4 hari sye berniaga. Almost sepanjang sye berniaga sye memang tak cukup tido sebab nak siapkan semua mknn. Tapi disebabkan customer kesayangan sye semua, sye sanggup korban untuk puaskan hati customer. Sye paling suka bila org suka makan masakan sye. InsyaAllah sye akan sentiasa perbaiki skill sye.

Selesai je berniaga nasi lemak tu, sye terus kemas brg dan angkat semua brg tu naik atas. Rumah sye tingkat paling atas tau kat flat pkns tu. Tapi jgn risau insyaAllah sye kuat dari mental dan fizikal. Nampak sye kecik dan lembut tak semestinya sye tak boleh buat keje cmtu. Sye rasa semua org boleh buat cuma nak taknak je kan. Nasihat sye sapa-sapa nak berjaya kena usaha. Hiraukan apa org cakap pasal kita asalkan benda tu memang di bawah keredhaan Allah.

Korang mesti tertanya kan yg nasi lemak anak dara nie sekejap je ke atau berterusan? InsyaAllah akan berterusan sampai bila-bila sebab sye ada plan nak buka kedai sendiri. So lepas nie korang boleh la rasa dan terus makan kat kedai nasi lemak anak dara tu terus. hehehe.. Tapi insyaAllah bila sye dah cukup modal dan still dalam tempoh penyimpanan. Bila dah cukup modal, sye akan buka ye dan akan inform kat korang.

Abes tu macam mana dgn offer keje kat subang? InsyaAllah sye dalam proses buat solat istikharah untuk minta petunjuk yg mana sesuai. Tapi jangan risau nasi lemak anak dara sentiasa ada setiap hari cuma akan tutup bila cuti je. Kalau gerai sye tutup, sye akan inform kat facebook sye ye.

Saya rasa setakat nie je jalan kisah hidup sye sebagai si gadis penjual nasi lemak anak dara. Hopefully jalan cerita sye mampu jadi sumber inspirasi untuk korang semua untuk terus berjaya. Takda dalam dunia nie semua keje senang asalkan kita usaha dan terus berusaha sampai berjaya. Yang penting doa. Doa senjata umat Islam sebab Allah yg beri kita rezeki dan kawal semua yg kita buat.

Sumber : Siti Hajjar Ahmad (princess avril 562)

14 Oktober 2016

Sultan Muhammad V Dipilih YDP Agong Ke-15

by


Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, pelantikan itu berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

- Bernama

Tarikh Peperiksaan SPM, STPM, STAM, PT3 dan UPSR 20162016

by


Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Lisan
20 Jun - 1 Julai 2016

Bertulis
7 November - 6 Disember 2016

Peperiksaan STPM 2016

Penggal 1 (2015) : 17, 19, 23, 24 November 2015
Penggal 2 (2016) : 18, 19, 23, 24 Mei 2016
Penggal 3 (2016) : 8, 9, 10, 14, 15 November 2016

STPM (Ulangan)

Penggal 1 (2016) : 16, 17, 21, 22 November 2016
Penggal 2 (2016) : 23, 24, 29, 30 November 2016

Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

Lisan
25 - 28 Julai 2016 dan
1 - 4 Ogos 2015

Bertulis
17 - 19 Oktober 2016 dan
25 - 26 Oktober 2016

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)

Geografi: 17 - 29 Julai 2016
Sejarah: 19 Jun - 1 Julai 2016
Mendengar (BI): 10 Ogos 2016
Tilawah & Hafazan 21 - 26 Ogos 2016

Bertulis
10, 11, 12 & 13 Oktober 2016

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
1 & 5 - 8 September 2016




1.5 juta rakyat Johor gemuk

by


Seramai 1.5 juta iaitu hampir separuh daripada keseluruhan tiga juta rakyat Johor dilaporkan mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti yang serius.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, rekod itu berdasarkan tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan pada tahun lalu.

Menurut beliau, pe­rangkaan tersebut meliputi 49.1 peratus penduduk di negeri ini yang mengalami masalah kegemukan dan jumlah berkenaan dijangka meningkat saban tahun.

Katanya, Johor berada pada kedudukan kelima penduduk yang obes di negara ini selepas Putrajaya yang menduduki tangga pertama dengan 62.8 peratus, diikuti Melaka (53.7), Perlis (52.5) dan Negeri Sembilan (51.2).

“Laporan ini sangat membimbangkan apabila nisbah daripada statistik tersebut juga menyatakan seorang daripada tiga orang dewasa di negara kita mengalami masalah kegemukan,” katanya selepas merasmikan program gaya hidup sihat FIT@HSAJB di Bangunan Induk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

- Kosmo!

Aplikasi Jual Beli Hartanah Gowu

by


Platform perniagaan hartanah dalam talian, Gowu Portal Sdn Bhd, melancarkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai 'Gowu', untuk memudahkan penjualan dan pembelian hartanah di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kenneth Gan berkata 'Gowu', merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, menghimpunkan pembeli, pelabur, ejen, agensi dan pemaju hartanah di bawah satu bumbung.

"Aplikasi itu bukan hanya dapat menjimatkan masa pihak berkenaan malah menjamin persekitaran selamat untuk semua pembayaran dilakukan melalui aplikasi ini.

"Justeru itu, kami bekerjasama dengan rakan kongsi yang pakar meliputi bidang perundangan, kewangan dan industri hartanah untuk mencapai sinergi serta keberkesanan optimum sepanjang proses penjualan dan pembelian," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Gowu' di sini, Khamis.

Bagi melangkah maju, syarikat itu merancang untuk meningkatkan rangkaian perkhidmatan termasuk pengurusan aset, penyedia penyelenggaraan dan perkhidmatan ubah suai kediaman, kata Gan.

'Gowu' boleh dimuat turun secara percuma melalui Apple Apps Store dan Google Play.

- Bernama

Jadual Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia STAM 2016

by


Berikut adalah jadual waktu peperiksaan bertulis STAM 2016 yang mengandungi maklumat penting seperti tarikh, waktu, kod kertas, nama kertas dan masa peperiksaan dijalankan. 

Untuk download jadual lengkap peperiksaan beserta arahan dan panduan kepada calon di sini : STAM 2016

Jadual Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM 2016

by


Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia SPM 2016 akan diadakan bermula 7 November hingga 6 Disember 2016. 

Berikut adalah jadual waktu peperiksaan bertulis SPM 2016 mengandungi maklumat penting seperti tarikh, waktu, kod kertas, nama kertas dan masa peperiksaan dijalankan yang diperolehi dari Portal Rasmi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Amaran Peperiksaan Kepada Calon

Calon yang menduduki peperiksaan di bilik / dewan peperiksaan dilarang:
1. membawa  masuk  sebarang  catatan  sama  ada  pada  pakaian  atau  anggota  badan,  nota,  dokumen  seperti  buku,  lukisan,  grafik, akhbar,  kamus,  kertas,  Jadual  Waktu  Peperiksaan  serta  telefon  bimbit,  alat-alat  komunikasi  atau  peranti  elektronik,  bekas  alat tulis dan beg ke dalam dewan/bilik peperiksaan kecuali alat tambahan yang dibenarkan semasa peperiksaan.
2. menulis nota pada pakaian, anggota badan, dinding atau meja tulis di dewan/bilik peperiksaan.
3. mendedahkan kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan sehingga boleh dibaca oleh calon lain.
4. memberikan pertolongan, mendapatkan pertolongan, berhubung dengan orang lain di dalam atau di luar dewan/bilik peperiksaan walau dengan apa cara sekalipun yang boleh disabitkan dengan perbuatan salah laku dalam peperiksaan.
5. menukar kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan dengan calon lain.
6. menukar tempat duduk yang telah ditetapkan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengawas Peperiksaan.
7. menyamar atau membenarkan orang lain menyamar bagi pihak calon.
8. membuat rujukan di luar dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan.
9. membawa kertas/skrip jawapan peperiksaan keluar dari dewan/bilik peperiksaan.

Muat Turun (Download) Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016

* Untuk download Jadual Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 dalam PDF, sila klik di sini : http://lp.moe.gov.my/images/bahan/spm/2016/spm.pdf

Raja Thailand Mangkat

by


Raja Thailand iaitu Raja Bhumibol Adulyadej, mangkat di Hospital Siriraj di Bangkok kira-kira pukul 3.52 petang Khamis, seperti disahkan pihak istana.

Bhumibol, raja yang paling lama berkhidmat di dunia meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Baginda mengalami masalah berkaitan buah pinggang dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

"Walaupun pasukan doktor berusaha merawat baginda dan memberi rawatan terbaik, keadaan baginda semakin teruk,” kata jurucakap istana dalam satu kenyataan.

Semua stesen televisyen Thailand mula menyiarkan gambar-gambar hitam dan putih raja mereka sebelum penyampai berita secara rasmi membacakan kenyataan istana.

Kemangkatan Bhumipol itu membawa kepada tempoh berkabung selama setahun, mengakhiri tujuh dekad pemerintahan.

Kebanyakan rakyat Thailand meletakkan Bhumibol  sebagai cahaya yang membimbing ketika melalui waktu kegawatan politik, rampasan kuasa dan rusuhan ganas.

Anak lelaki baginda berusia 64 tahun, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, dinamakan sebagai pengganti. 

- AFP

13 Oktober 2016

Datuk Vida Berdepan 32 Tuduhan Akta GST

by


Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Vida tiba di kompleks mahkamah Ipoh kira-kira pukul 9 pagi, manakala prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 2 petang. Sebutan semula kes pada 15 November ini. 

- Bernama

12 Oktober 2016

Permohonan Ke Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik Ambilan Jan 2017

by


Pelajar Tingkatan 3 atau lepasan Program Pendidikan Asas Vokasional (PAV), PT3, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tahun 2016 boleh membuat permohonan kemasukan ke program Kolej Vokasional (KV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) ambilan Januari tahun 2017

Tarikh Rasmi Permohonan Online KV Dan SMT 2017 Dibuka : 11 Oktober 2016 - 20 Disember 2016

Sistem Aplikasi Permohonan Online Kemasukan Ke Kolej Vokasional Dan Sekolah Menengah Teknik : https://sptv.moe.gov.my/mohon_kvsmt/index.cfm




Penutupan Cawangan Bank Tingkat Keberkesanan Operasi

by


Penutupan cawangan-cawangan bank merupakan satu usaha yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan operasi institusi kewangan itu, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (ABIM).

Persatuan terbabit dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, berkata kemajuan dan perkembangan dalam teknologi serta pembayaran elektronik membolehkan  kemudahan menjalankan transaksi perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank fizikal.

"Transaksi sudah menjadi semakin automatik bagi menggalakkan kecekapan yang lebih baik. Dalam persekitaran ini, bank-bank mula memberi tumpuan kepada platform digital, berbanding dengan cawangan fizikal bagi menyampaikan perkhidmatan mereka kepada pengguna dan perniagaan," kata kenyataan tersebut.

Walaupun terdapat peralihan kepada platform elektronik, usaha menyampaikan khidmat perbankan yang berkualiti tidak akan diabaikan.

"Institusi perbankan akan terus berusaha bagi menyediakan pembiayaan untuk menyokong semua sektor ekonomi. Bank juga akan memastikan bahawa semua lapisan rakyat termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan."

Dalam landskap kewangan baharu ini, sektor perbankan agak optimistik dengan  prospek pekerjaan dalam industri, kata persatuan-persatuan itu.

"Untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, kakitangan bank mungkin perlu dipindahkan dan diberi latihan semula bagi memenuhi tuntutan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Industri perbankan akan meningkatkan fokus dalam bidang-bidang seperti pengurusan risiko, pemantauan penipuan, laporan pengawalseliaan, pematuhan pencegahan pengubahan wang haram, keselamatan siber dan teknologi maklumat.

"Anggota kami mempunyai set strategi dan rancangan mereka sendiri dengan mengambil kira urusan keperluan tenaga kerja berdasarkan matlamat perniagaan masing-masing," kata persatuan itu.

Sektor perbankan adalah salah satu sektor berasaskan pengetahuan dan  memiliki produktiviti yang tinggi dalam ekonomi ini, ia merangkumi 72 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi berbanding sektor kewangan yang lain. 

- BERNAMA

Aplikasi Telefon Pintar Najib Razak Dilancar

by


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan aplikasi mudah alih rasmi yang membolehkan orang ramai untuk berinteraksi dan berkongsi idea dan cadangan dengannya.

Menurut keterangan di Google Play Store dan Apple Appstore, aplikasi ini adalah "direka khusus untuk kemudahan pengguna dan untuk membolehkan interaksi dengan Perdana Menteri Malaysia".

Pengguna boleh menggunakan aplikasi ini untuk mendapatkan maklumat terkini dan pengumuman dari Najib serta kekal berhubung dengan semua laman media sosial rasminya.

Permohonan interaktif juga membolehkan pengguna untuk mengambil bahagian dalam kempen dan pemilihan bagi berkongsi pendapat dan komen mereka dengan Najib dan mengetahui tentang sejarah beliau dalam politik.

Dibangunkan oleh Resonate Digital Sdn Bhd, aplikasi ini boleh didapati dalam bahasa Inggeris, Catalan, Perancis, Jerman, Itali, Portugis dan Sepanyol.

Ia boleh dimuat turun bagi kedua-dua sistem operasi iOS dan Android.

Aplikasi ini telah dilancarkan pada 9 Oktober untuk peranti iOS dan 11 Oktober bagi Android.

- mSTAR

11 Oktober 2016

Hentikan Penggunaan Samsung Galaxy Note 7

by

Syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, Samsung meminta semua pengguna produk Galaxy Note 7 untuk memadamkan telefon pintar itu dan menghentikan penjualan gajet tersebut serta-merta.

Samsung menerusi kenyataannya pada Selasa berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan terhadap kes gajet tersebut terbakar.

Selain itu, Samsung meminta semua syarikat telekomunikasi di seluruh dunia untuk menghentikan penjualan Galaxy Note 7 dan tidak melakukan pertukaran peranti memandangan masalah yang sama masih berulang.

"Pengguna yang memiliki Galaxy Note 7 yang asal atau yang telah diganti perlu memadamkan peralatan tersebut dan tidak menggunakannya lagi," jelas Samsung.

Keputusan syarikat tersebut menarik semula penjualan Galaxy Note 7 buat kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan bukan sahaja menimbulkan keraguan terhadap kualiti produk Samsung tetapi memberi kesan terhadap kewangan dan reputasi firma berkenaan.

Pegawai Kanan Polis Turun Berat Badan 38kg

by


Pada tahun lalu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mempunyai berat badan kira-kira 135 kilogram (kg).

Tapi berat badannya kini hanya 97kg selepas berjaya melakukan penurunan sebanyak 38kg.

Namun kejayaan menurunkan berat badan itu bukan datang dengan sendiri atau melalui jalan pintas.

Ia dilakukan hasil diet yang seimbang, senaman yang kerap dan memerlukan penjagaan disiplin diri serta keazaman yang kuat.

Mior Faridalathrash yang mempunyai ketinggian 1.78 meter mensasarkan untuk mencapai berat badan 90kg pada hujung tahun ini.

Ia bermula awal tahun ini apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan program Trim N Fit yang bertujuan untuk menangani masalah obesiti.

Beliau mula mengamalkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengentikan makanan yang tidak sihat.

"Ia memerlukan tahap disiplin yang tinggi dan juga pengorbanan. Saya seorang yang gemar makan, dan nasi lemak merupakan hidangan sarapan pagi kegemaran saya.

"Tetapi saya telah kurangkan pengambilan makanan yang berminyak dan tinggi karbohidrat serta minuman manis," katanya.

Kini, lelaki berusia 54 tahun ini hanya menikmati makan tengahari dengan mengambil makanan tinggi kandungan protein, sayur-sayuran dan buah-buahan pada sebelah malam.

"Diet ini membantu saya mengurangkan berat badan dengan berkesan dan saya harap dapat mencapai berat badan yang ideal," katanya ketika bertemu di Taman Botani Pulau Pinang baru-baru ini.

Ayah kepada lapan orang anak ini turut melakukan larian atas treadmill setiap hari dan berbasikal bersama rakan di hujung minggu meliputi jarak 30 kilometer bagi setiap perjalanan.

Beliau turut menyertai aktiviti senam robik setiap minggu di ibu pejabat daerah di Jalan Patani.

"Lebih kurang 150 anggota polis dan pegawai akan menyertai saya setiap masa.

"Kami mempunyai pengajar dan sesi itu amat menyeronokkan," katanya.

Tema pada program tahun ini adalah Get Fit, Live Great bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup yang sihat.

FirForLife Pulau Pinang 2016 dianjurkan Star Media Group dengan kerjasama Great Eastern Life.

Penaja lain termasuk Nestle Omega Plus (tajaan kesihatan) dan Guardian (pembekal produk penjaga kesihatan).

- mSTAR

Da’i Niezal Juara Pendakwah Nusantara Musim Keempat (2016)

by

Peserta Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat, Mohd. Sufwan Niezal Sabri atau Da’i Niezal menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara pada pentas akhir Da’i musim keempat selepas 12 minggu bertanding.

Kejayaan Niezal sekali gus menewaskan dua lagi finalis iaitu Mohamad Saiful Marzuki, 18, (Da’i Saiful) dan Muhammad Nasrul Nizam Zamry, 20, (Da’i Nasrul) dalam pertandingan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam tersebut.

Terkejut dan sama sekali tidak menyangka kemenangan akan berpihak pada dirinya, Niezal berkata, kejuaraan berkenaan adalah rezeki kurniaan Allah buatnya dan berdoa agar masyarakat di luar sana akan menerima kehadirannya sebagai pendakwah muda dengan hati terbuka.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang untuk merasai nikmat menjadi juara dalam pertandingan Da’i musim keempat. Saya harap ini bukanlah penghujung buat saya tetapi lebih kepada permulaan kepada sebuah perjuangan baharu.

“Pada usia 19 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari, namun saya berjanji akan cuba berkongsi sebanyak mana ilmu yang ada dengan mereka yang sudi mendengarnya,” ujar anak yatim piatu kelahiran Terengganu itu ceria.

Pelajar semester satu Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang itu masih belum membuat sebarang perancangan dengan wang hadiah kemenangan dan lebih fokus untuk kembali menyambung pengajian yang tergendala pada Disember depan.

Ketika pentas akhir, Niezal diberikan tajuk Wahai Anakku untuk pusingan tazkirah selama empat minit yang membolehkan dia menarik perhatian juri dengan pengisian mantap dan juga menunjukkan kecekapan menjawab soalan spontan daripada penonton berkenaan soal perkahwinan.

Juara membawa pulang wang tunai RM50,000 sebuah iPad, pakej tajaan umrah untuk dua orang, sebuah trofi penyertaan dan produk penjagaan kesihatan Almas Beauty & Health tajaan sepenuhnya oleh Almas yang bertindak selaku penaja utama program berkenaan.

Dua lagi finalis menerima wang saguhati RM5,000, sebuah iPad serta produk Almas Beauty & Health.

Sementara itu, penerbit program Da’i, Shukri Ibrahim berkata, penglibatan peserta-peserta muda untuk musim kali ini dilihat menjadi daya penarik utama kepada penonton.

Ia juga sebagai satu permulaan positif bagi melahirkan lebih ramai pendakwah berpotensi daripada generasi Gen Y yang menjadikan program Da’i sebagai pencetus inspirasi.

“Meskipun lingkungan usia mereka bermula seawal 18 hingga awal 20-an tetapi impak yang diberikan dalam setiap persembahan mingguan sangat besar dan berkesan di hati masyarakat yang menonton.

“Jumlah penonton bagi setiap mingguan mencecah 1.5 juta meskipun pada masa sama berlangsung acara-acara hiburan lain.

“Catatan tersebut memberi gambaran bahawa masih ada khalayak yang mahukan rancangan intelektual serta islamik seperti ini,” kata Shukri lagi.

Ditanya adakah pemilihan peserta untuk musim akan datang masih mengekalkan konsep sama iaitu mencari anak-anak muda, Shukri tidak menolak kemungkinan tersebut kerana melihat golongan muda lebih senang dibentuk jika dilatih seawal usia belasan tahun.

Menurutnya lagi, masyarakat semakin terbuka untuk menerima pendakwah muda yang hadir dengan idea segar dan semangat yang berkobar-kobar.

“Pentas Da’i hanyalah platform bagi mereka yang sudah mempunyai bakat dan menjadi lebih baik dengan bimbingan tenaga pengajar profesional.

“Jika diberikan peluang dan saluran yang betul, mereka akan menyerlah dan masyarakat akan dapat menikmati manfaat ilmu yang ingin disampaikan,” tutup Shukri.

- Kosmo!

Debat Calon Presiden Amerika Pusingan Kedua - 10 Oktober 2016

by


Kempen Hillary Clinton dan Donald Trump untuk menjadi presiden Amerika Syarikat ke-45  semakin hangat dan diteruskan dengan debat presiden pusingan kedua pada 10 Oktober 2016.

Bagi kem Demokrat, mereka mahu Clinton meneruskan persembahan baik yang ditunjukkan dalam debat pusingan pertama.

Trump pula berhadapan tugas mencabar selepas kontroversi terbaharu yang mendedahkan videonya pada tahun 2005 yang menggunakan kata-kata lucah dalam menceritakan tindakan seksualnya ke atas wanita.

Namun bagaimana debat ini berbeza dengan pusingan pertama yang berlangsung 29 September lalu?





1- Format town hall lebih terbuka

Format ini membolehkan orang awam mengemukakan soalan kepada calon sama ada melalui wakil di pentas mahupun di laman sosial seperti Facebook atau agensi tinjauan seperti Gallup.

Calon juga bebas bergerak di pentas ketika berdebat dan tidak perlu berdiri statik di belakang rostrum. Ruang ini menjadikan calon lebih terdedah dan bahasa badan mereka lebih mudah dibaca.

Clinton tampak lebih berkarisma di pentas terbuka dan duduk di kerusi yang disediakan dengan tenang apabila tiba giliran Trump berucap.

Trump sebaliknya lebih banyak mundar-mandir di sekitar pentas ketika Clinton berucap bahkan beberapa kali berdiri dan seolah-olah mengintai di belakang pihak lawannya.

2- Trump lebih tenang

Pusingan kedua menampilkan Donald yang lebih tenang dan berdisiplin. Tiada lagi amukan rambang dan kekerapan mencelah yang melampau.

Malang bagi kem Demokrat, Clinton seperti terikut-ikut dengan rentak tersebut dan tidak tampil agresif untuk menyerang kempen Trump yang semakin lemah selepas dikritik hebat pemimpin parti sendiri seperti John McCain, Mitch McConnell, dan Paul Ryan.

3- Lebih banyak serangan peribadi

Apabila Trump dan Clinton memecah tradisi debat presiden dengan tidak bersalaman sebelum mula berdebat, para penonton sudah dapat menjangka bahawa debat kali ini lebih bersifat peribadi.

“Selepas debat pertama, kita lihat dia (Trump) menghina bekas Miss Universe dengan kata-kata dahsyat selama seminggu. Jadi benarlah ini Donald Trump yang sebenar,” jawab Clinton ketika ditanya mengenai cara Trump melayan wanita.

Malah, serangan Clinton masih membara sehingga ke hujung debat apabila salah seorang penonton meminta calon menyatakan ciri positif yang disukai pada pihak lawan.

Clinton tidak memuji Trump, sebaliknya menzahirkan rasa hormatnya kepada anak-anak Trump yang berjaya dan ‘ini membuktikan sesuatu tentang Trump’.

Trump tidak ketinggalan menyentuh isu peribadi dengan membangkitkan semula tuduhan serangan seksual ke atas suami calon Demokrat yang juga bekas Presiden, Bill Clinton.

Malah, Trump turut membawa bersama empat orang wanita yang mendakwa pernah dirogol atau dicabul oleh Clinton untuk duduk bersama-sama dengan keluarga dan penyokong Trump di hadapan pentas.

4- Moderator lebih tegas, berkesan

Tindakan penganjur memilih Anderson Cooper dari CNN dan Martha Raddatz (ABC News) sememangnya tepat.

Berbanding Lester Holt yang nyata lemah dan tidak mampu mengawal calon dan penonton, kedua-dua moderator ini tegas dan cekap mengawal perdebatan.
Mereka tidak membiarkan mana-mana calon melebihi masa yang ditetapkan untuk menjawab soalan malah turut mendesak calon menjawab soalan dengan tepat jika jawapan yang diberi tersasar.

5- Polisi alam sekitar, DAISH diberi perhatian

Isu polisi tenaga dan alam sekitar yang tidak disentuh dalam debat pusingan pertama (dan debat naib presiden) akhirnya diberi perhatian.

Clinton jelas mahu membangunkan sektor tenaga alternatif, namun jawapan Trump untuk mengurangkan peraturan ketat berkenaan alam sekitar bagi membangunkan semula industri arang batu mampu membujuk pengundi terutamanya golongan pekerja dalam industri tersebut

Isu Syria turut diberi tumpuan. Clinton mengecam tindakan Russia di bawah telunjuk Putin yang membantu kerajaan Basyar al-Assad menyerang pemberontak namun mengorbankan orang awam, serta mahu kedua-dua pemimpin disiasat atau tuduhan jenayah perang.

Trump bagaimanapun mengingatkan penonton bahawa kerajaan Syria dengan bantuan Russia juga menyerang kubu DAISH yang juga merupakan musuh AS.

Debat presiden AS pusingan ketiga akan berlangsung pada 19 Oktober 2016.



NSTP tutup Kilang Percetakan Ajil dan Senai

by


The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) akan menghentikan operasi percetakan di kilang yang terletak di Ajil, Terengganu dan Senai, Johor.

Menurut sumber, NSTP menjelaskan keputusan itu sebahagian daripada pelan konsolidasi operasi percetakan bagi memastikan syarikat tersebut terus kukuh dalam persekitaran operasi yang mencabar dan pengguna yang memilih kandungan atas talian.

Kakitangan NSTP yang terlibat dalam pelan konsolidasi ini akan menerima pakej pampasan yang saksama malah melebihi had yang diperuntukkan di bawah undang-undang buruh negara.

Kemudahan program penempatan semula ‘outplacement service’ juga disediakan bagi membantu proses peralihan untuk semua yang terlibat.

Pihak berkuasa yang berkaitan dan pihak berkepentingan serta kesatuan telah dimaklumkan mengenai inisiatif ini.

Industri media cetak masa kini semakin mencabar berikutan kecenderungan pengguna memilih media elektronik atas sosial. Kesannya, jumlah pengedaran menurun dan ini menyebabkan perbelanjaan pengiklanan merosot.

Menurut Biro Audit Pengedaran (ABC) Malaysia, pengedaran akhbar negara mencatatkan penurunan sebanyak 12 peratus bagi tempoh Julai hingga Disember 2015 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2014.

- Astro Awani

9 Oktober 2016

Hashim Jasin Dilantik Mursyidul Am PAS Baru

by


Hashim Jasin dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Allahyarham Haron Din kembali ke rahmatullah pada 16 September lalu di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pelantikan baharu itu dibuat menerusi satu mesyuarat yang sebulat suara memilih dan melantik Hashim dan Datuk Ahmad Yakob dipersetujui kekal sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas.

Menurutnya, faktor yang Ahmad dikekalkan sebagai Timbalan Murysidul Am, walaupun beliau layak untuk memegang jawatan itu disebabkan beliau sentiasa sibuk dengan tugas-tugasnya yang lain sebagai Menteri Besar Kelantan.

Katanya, menerusi mesyuarat tersebut, Ahmad sendiri merayu kepada Majlis Syura supaya memilih dan melantik orang lain yang berkelayakan sebagai Mursyidul Am Pas.

"Kita pilih dan lantik Tuan Guru Hashim Jasin kerana dia yang paling tua dalam Majlis Syura. Selain itu, beliau mempunyai ilmu yang mantap, di samping pandangan politiknya yang jauh dan mantap," katanya dipetik Harakahdaily.

- mSTAR

7 Oktober 2016

Uber Sabah Perlu Mohon Permit

by


Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah mengingatkan semua pengusaha perkhidmatan Uber di negeri itu tampil memohon permit sebelum menjalankan operasi.

Pengerusinya Datuk Raime Unggi berkata permohonan permit itu penting kerana operasi perkhidmatan Uber adalah sama seperti 'kereta sapu' dan selagi tiada permit, pengusaha perkhidmatan tersebut tetap dianggap beroperasi secara haram.

"Seksyen 33 Akta LPKP jelas menetapkan larangan ke atas penggunaan kenderaan perkhidmatan awam yang tidak berlesen.

"Seperti kereta sapu lain, membawa penumpang tanpa permit akan sentiasa dipantau polis termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tindakan boleh diambil ke atas pemandu termasuk menyita dan melucut hak ke atas kenderaan seperti diperuntukan dalam Seksyen 51 Akta LPKP," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Raime yang juga anggota Parlimen Tenom berkata LPKP hanya mahu pengusaha Uber dan Grabcar mematuhi undang-undang demi memastikan keselamatan dan kepentingan penumpang sentiasa diberi keutamaan.

"LPKP Sabah bersama JPJ dan polis akan terus memantau operasi perkhidmatan kenderaan pengangkutan haram termasuk Uber," katanya sambil menambah adalah penting bagi pengguna mendapatkan perkhidmatan teksi berlesen.


Azizan Osman Dapat 'Doktor' Luar Negara

by


Syarikat Richworks International Sdn Bhd mendakwa penceramah popular, Azizan Osman menjadi mangsa pihak tertentu berhubung kontroversi anugerah ijazah doktor kehormat (PhD) membabitkan tiga universiti di negara ini.

Sebaliknya menurut kenyataan Richworks yang diasaskan Azizan, beliau merupakan pemegang PhD dari sebuah universiti di Amerika Syarikat dan bakal menerima satu lagi anugerah kedoktoran dari universiti di United Kingdom.

"Dr Azizan Osman memegang kelulusan Doktor Sains (Metafizik) dari Gordon University, Bradenton, Florida, Amerika Syarikat sejak 2009.

"Sepanjang empat tahun yang lalu, Dr Azizan telah memenuhi semua syarat-syarat untuk Doktor Falsafah (Psikologi) dari Universiti Hertfordshire, United Kingdom. Konvokesyen beliau di Universiti Hertfordshire dijangka berlangsung dalam masa yang terdekat," kata syarikat itu pada Khamis.

Untuk rekod, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) masing-masing menafikan pernah memberi pengiktirafan peringkat PhD kepada Azizan.

Menjelaskan mengenai dakwaan kononnya Azizan menjadi mangsa keadaan, Richwoks berkata: "Dr Azizan Osman telah malangnya disasarkan dan diperdayakan oleh pihak-pihak yang bukan wakil universiti tersebut (UM)."

Menurut Richworks, laporan polis mengenainya sudah dibuat.

"Semasa proses siasatan dalaman yang kami telah jalankan baru-baru ini, kami menjumpai beberapa kelemahan serius berkenaan prosedur-prosedur operasi kami.

"Malangnya, kelemahan ini telah menyebabkan penggunaan ijazah kedoktoran dari IUKL dan UKM sebagai rujukan kepada Dr Azizan Osman yang tidak pernah beliau akui," katanya.

Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat penganjuran seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.

- mSTAR

6 Oktober 2016

Pengarah Dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah Di Tahan SPRM

by


Akhirnya tembelang Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag. Mohd. Tahir B. Mohd. Talib (foto) sejak 2010 terburai jua. Begitu juga Teo Chee Kong yang dulu Jurutera Bekalan Air Sabah yang kini Timbalan Pengarah JANS.

Sejak 2011 dikatakan laporan telah dibuat kepada SPRM namun tiada dakwaan sehinggalah hari ini pegawai kanan itu ditahan menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan tersebut kepada sanak saudara mereka.

Kedua-duanya yang berusia 54 dan 51 itu ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Turut dirampas wang tunai bernilai lebih kurang RM3 juta yang disimpan dalam peti besi di pejabat salah seorang pegawai kanan tersebut.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai kanan yang berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaaan yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak tahun 2010 itu telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Untuk rekod JANS telah memulakan Perkhidmatan Pengurusan Loji Rawatan Air (LRA) secara khidmat luar di Loji Rawatan Air Segaliud, Sandakan sehingga seluruh negeri Sabah.

Laporan Audit Negara 2014 Siri 2, pernah melaporkan terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaannya termasuk peralatan yang rosak dan tidak dibaiki.

Pelupusan peralatan, bahan kimia dan enapcemar juga tidak dibuat, serta pegawai kimia tidak mencukupi untuk memantau LRA yang dikendalikan kontraktor, kata Laporan itu.

Hasil penyalahgunaan kuasa ini yang dipercayai bermula sejak tahun 2010 hingga kini, siasatan awal mempercayai mereka telah mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta.

Tambah sumber, peruntukan RM3.3 bilion ini hanya merupakan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan tidak termasuk peruntukan kerajaan negeri.

Beberapa siri serbuan telah dibuat SPRM di beberapa tempat termasuk agensi terbabit dan syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat.

Mereka disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Ag. Mohd. Tahir B. Mohd. Talib Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah sekarang berasal dari Daerah Bongawan Sabah.

- Pahang Daily

Top Ad 728x90