28 Februari 2017

Malaysia Miliki Kepakaran Mengesan dan Menganalisis Agen Saraf VX

by

Malaysia mempunyai kepakaran dan teknologi untuk mengesan dan menganalisis Agen Saraf VX yang digunakan dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam biarpun negara tidak mempunyai pengalaman mengendalikan bahan kimia itu sebelum ini.

Profesor Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Dr Abdul Rahim Yacob berkata kepakaran ahli kimia negara diiktiraf seluruh dunia dan tidak sewajarnya ada pihak meragui analisis dan siasatan yang dibuat berkaitan kes itu.

Berpengalaman dalam bidang sains forensik lebih 20 tahun dan pernah berkhidmat sebagai ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia selama 10 tahun, Abdul Rahim yakin jabatan berkenaan mempunyai kebolehan menjalankan analisis senjata kimia itu.

"Ahli kimia kita wajib berdaftar setiap tahun dengan Institut Kimia Malaysia (IKM). Ini kerana, mereka terikat dengan Akta Ahli Kimia Malaysia iaitu tidak boleh mengesahkan atau mengeluarkan sebarang laporan seperti laporan bedah siasat sekiranya tidak berdaftar.

"Kita juga mempunyai kelengkapan teknologi canggih mengesan racun dan sisa-sisa kimia seperti mesin High-performance liquid chromatography (HPLC), UV Detector dan gas chromatography. Jadi, tidak perlu timbul keraguan," katanya.

Abdul Rahim berkata sehubungan itu tidak timbul keperluan untuk Malaysia menggunakan kepakaran negara luar berikutan memiliki kepakaran tempatan dan teknologi terkini bagi mengkaji penggunaan bahan toksik itu dalam kes berkenaan.

Senjata kimia yang tidak mempunyai rasa serta bau itu boleh melumpuhkan sistem saraf dan orang yang terkena VX boleh mati dalam masa setengah jam akibat tidak boleh bernafas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata bahan kimia 'Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate' atau Agen Saraf VX telah digunakan dalam pembunuhan Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan.

- BERNAMA

Lelaki India Nama Cina Pada MyKad

by

Seorang lelaki berusia 34 tahun yang secara tiba-tiba menarik perhatian ramai selepas MyKadnya menjadi tular di media sosial kerana dikatakan mempunyai penampilan yang tidak sepadan dengan namanya, sebenarnya adalah rakyat Malaysia.

Netizen mendakwa lelaki itu yang bernama Pang Chee Pin, merupakan warga Bangladesh disebabkan dia tidak kelihatan seperti orang Cina.

Kunjungan The Star ke alamat di Segamat Baru yang tertera pada MyKad itu mendedahkan bahawa Pang dibesarkan oleh keluarga angkat berketurunan Cina sejak dia dilahirkan. Bagaimanapun, dia tidak lagi menetap di sana.

Sepupunya yang hanya mahu dikenali sebagai Susan, 50, berkata, dia pernah tinggal bersama Chee Pin sejak sepupunya itu berusia setahun.

Katanya, Chee Pin dijadikan anak angkat dan dibesarkan oleh mendiang bapa saudaranya.

"Saya dan dia adalah sepupu. Tetapi bapa saudara saya meninggal dunia kira-kira 25 tahun lalu, ibu bapa saya mengambil alih menjaga dia. Dia meninggalkan rumah kami kira-kira enam tahun lalu.

"Kali terakhir kami berjumpa adalah kira-kira tiga tahun lalu di Kuala Lumpur semasa dia dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Segamat. Tambahnya, sejak itu mereka terputus hubungan.

Menurut Susan, bapa saudara memberi nama sepupunya dengan nama Cina selepas menjadikannya sebagai anak angkat dari keluarga kandung berketurunan India di Simpang Renggam.
Katanya, Chee Pin mempunyai nama India selepas dilahirkan.

Tambah Susan, bapa saudaranya meminta kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan nama anak angkatnya itu ditukarkan kepada nama Cina.

Chee Ping fasih berbahasa Mandarin, Hakka dan Kantonis dan bersekolah yang sama dengan Susan di sebuah sekolah rendah Cina.

"Menurut ibu, Chee Pin dijadikan anak angkat oleh bapa saudara saya dan isterinya bagi membantu mengurangkan beban keluarga kandung Chee Pin," katanya, sambil menambah bapa saudaranya turut mempunyai dua anak perempuan.

Susan berkata, dia menyedari mengenai MyKad milik sepupunya yang menjadi tular, sambil menambah pihak polis telah datang ke rumahnya pada Ahad bagi merekodkan keterangannya.

Menurut Susan, lelaki di dalam MyKad itu adalah rakyat Malaysia dan berharap orang ramai berhenti berkongsi paparan kad pengenalan milik sepupunya itu di media sosial.

- mSTAR

27 Februari 2017

RHB Islamic Salur Dana RM50 Juta Untuk Pembangunan Usahawan Teraju

by


RHB Islamic Bank Bhd menyasarkan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM50 juta tahun ini bagi pembiayaan pembangunan usahawan di bawah program Dana Teras oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Pada masa ini, ada sebanyak 1,014 syarikat di bawah program Teras yang dilancarkan pada 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusannya, Datuk Adissadikin Ali berkata  lebih RM200 juta daripada dana RM400 juta itu telah disalurkan pada 2016 menerusi kerjasama dengan Teraju yang bermula pada 2012.

"Dana asas program sebanyak RM80 juta itu diuruskan oleh kami (RHB Islamic). Bagaimanapun, kami berjaya meningkatkannya dengan memanfaatkan sumber sehingga mencecah RM400 juta iaitu lima kali lebih banyak daripada saiz dibenarkan pihak Teraju," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Adissadikin berkata demikian kepada pemberita pada majlis pemeteraian kolaboratif bank itu dengan Institut Keusahawan Negara (INSKEN) menerusi Program Latihan dan Pembangunan Keusahawanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

INSKEN merupakan penyelaras program latihan usahawan di negara ini di bawah Teraju yang berperanan sebagai sekretariat Majlis Ekonomi Bumiputera.

Di bawah kerjasama itu, RHB Islamic akan menyediakan khidmat nasihat kewangan berstruktur kepada usahawan PKS, termasuk aspek pengurusan simpan kira serta panduan kepada keperluan perbankan dan kewangan.

Program itu juga bertujuan melibatkan lebih 14,000 usahawan yang berdaftar di bawahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berharap kerjasama dengan bank itu akan dapat membantu kalangan usahawan mencapai potensi sepenuhnya.

"Ramai usahawan memiliki potensi besar tetapi kekurangan pengetahuan bagi pengurusan risiko seperti aspek aliran tunai syarikat, pegangan saham dan sebagainya.

"Mereka perlu mempelajari, memahami serta mempertingkat (pengetahuan mengenai) keperluan pihak bank bagi membolehkan mereka memantapkan kemahiran pembangunan kapasiti, penerapan teknologi dan akses pasaran," katanya.

Kerjasama itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen bank untuk menyokong agenda kerajaan bagi mempertingkatkan peranan PKS dalam negara, katanya.

26 Februari 2017

Jawatan Kosong Kolej Pengajian Islam Johor Februari 2017

by

Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dengan ini mempelawa calon-calon warganegara Malaysia yang berkelayakan dalam bidang-bidang yang berkaitan untuk mengisi Jawatan Kosong Kolej Pengajian Islam Johor Februari 2017 seperti berikut:

1. Pensyarah
Kekosongan : 6
Jabatan : Muamalat & Pendidikan dan Pengajian Umum
Gaji : RM2,290.00 – RM11,095.00
Kelayakan : Ijazah sarjana muda kepujian / Ijazah Sarjana

2. Kaunselor
Kekosongan : 1
Gaji : RM2,078.00 – RM9,544.00
Kelayakan : Ijazah sarjana muda kepujian / Ijazah sarjana / Ijazah doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi, psikologi klinikal atau kaunseling

3. Pegawai Teknologi Maklumat
Kekosongan : 1
Gaji : RM2,315.00 – RM9,618.00
Kelayakan : Ijazah Sarjana Muda kepujian / Ijazah sarjana / Ijazah doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat

4. Penjaga Jentera Elektrik (Lelaki Sahaja)
Kekosongan : 1
Gaji : RM1,377.00 – RM4,052.00
Kelayakan : SPM & Sijil Kekompetenan Kategori A0 (Sistem Voltan Rendah)

5. Pembantu Tadbir
Kekosongan : 2
Gaji : RM1,352.00 – RM4,003.00
Kelayakan : SPM / Sijil Kemahiran Malaysia

Permohon yang berminat mengisi jawatan kosong MARSAH, boleh membuat permohonan menggunakan Borang Permohonan Jawatan MARSAH. Semua maklumat yang diisi dalam borang hendaklah ditulis dalam HURUF BESAR dengan jelas dan terang. Sila hantarkan permohonan ke alamat seperti berikut:

BAHAGIAN PENTADBIRAN
KOLEJ PENGAJIAN ISLAM JOHOR (MARSAH)
JALAN GERTAK MERAH
80000 JOHOR BAHRU
JOHOR DARUL TA’ZIM

Tarikh Tutup Permohonan : 28 Februari 2017


Jawatan Kosong Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (WIPERS) Februari 2017

by

Warganegara Malaysia yang berkelayakan adalah dipelawa untuk memohon jawatan kosong Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (WIPERS) Februari 2017 seperti berikut :-

1. Penolong Akauntan Gred W29 (Tetap/Berpencen)
Gaji : RM 1,498.00 – RM 5,678.00
Kelayakan : Sijil/Diploma dalam bidang pengajian perniagaan atau penyimpan kira & Certified Accounting Technician (CAT)

2. Pegawai Belia Dan Sukan Gred S41 (Kontrak)
Gaji : RM 2,078.00 – RM 9,544.00
Kelayakan : Ijazah Sarjana Muda

3. Pemandu Kenderaan Gred H11 (Kontrak)
Gaji : Bermula dari RM 1,264.15
Kelayakan : Pentaksiran Tingkatan Tiga / Penilaian Menengah Rendah

4. Pembantu Awam Gred H11 (Kontrak)
Gaji : RM 1,218.00 – RM 2,939.00
Kelayaka : Pentaksiran Tingkatan Tiga / Penilaian Menengah Rendah

Maklumat Lanjut & Borang Permohonan:
http://sma.wipers.gov.my/pendaftaran/

Pengarah
Majlis Sukan Wilayah Persekutuan
Aras 2, Blok 1, Menara Seri Wilayah
Presint 2
62100 PUTRAJAYA

Tarikh Tutup Permohonan : 27 Februari 2017

Jawatan Kosong Majlis Bandaraya Ipoh Mac 2017

by

Permohonan adalah dipelawa kepada warganegara Malaysia bagi mengisi kekosongan jawatan kosong Majlis Bandaraya Ipoh Mac 2017 seperti berikut:

1. Jurutera Gred J41
Kekosongan : 1
Gaji : RM2,529.00 – RM9,643.00
Kelayakan : Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan

2. Pembantu Tadbir Kewangan
Kekosongan : 3
Gaji : RM1,353.00 – RM4,005.00
Kelayakan : SPM

Pemohon yang berminat mengisi jawatan kosong MBI perlu mengisi borang secara online: https://egerbang.perak.gov.my/vacancy

Tarikh Tutup Permohonan : 6 Mac 2017

22 Februari 2017

Skim Latihan 1Malaysia ( SL1M ) 2017

by


Anda Fresh Graduate? Lepasan PMR? SPM? SIJIL? DIPLOMA? Sudah ada pengalaman bekerja?

Jom datang ke Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia ( SL1M ) Peringkat Zon Tengah di PWTC pada 21 & 22 Februari 2017. Ada lebih 25,000 ribu peluang latihan dan pekerjaan untuk pelbagai tahap kelayakan. Jawatan untuk fresh grad ada, yang sudah ada pengalaman pun ada juga!!! Lebih 100 syarikat tersedia menanti anda... Antaranya:

1. MALAYSIAN RESOURCES CORPORATION BERHAD
2. MALAYSIA AIRPORTS HOLDINGS BERHAD
3. MALAYSIA AIRLINES BERHAD
4. LEMBAGA TABUNG AANGKATAN TENTERA
5. AFFIN HOLDINGS BERHAD
6. CHEMICAL COMPANY OF MALAYSIA BERHAD
7. BOUSTEAD HOLDINGS BERHAD
8. CIMB
9. TENAGA NASIONAL BERHAD (TNB)
10. MAYBANK
11. PETRONAS
12. KHAZANAH NASIONAL BERHAD
13. CELCOM AXIATA BERHAD
14. UEM GROUP BERHAD
15. TELEKOM MALAYSIA BERHAD
16. PERMODALAN NASIONAL BERHAD
17. SIME DARBY BERHAD
18. LEMBAGA TABUNG HAJI
19. TH PLANTATIONS BERHAD
20. UMW HOLDINGS BERHAD
21. BIMB HOLDINGS BERHAD
22. MBSB
23. KWSP
24. ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA
25. IRSHAD HR CONSULTING SDN BHD
26. PAKA VENTURES SDN BHD
27. TNT EXPRESS WORLDWIDE (M) SDN BHD
28. AHMAD ZAKI RESOURCES SDN BHD
29. PENGURUSAN AIR SELANGOR
30. PENGURUSAN AIR SELANGOR
31. KHAIR SYNERGY GROUP
32. SELANGOR FOODS INDUSTRIES SDN BHD
33. 99 SPEEDMART SDN BHD
34. PUNCAK NIAGA HOLDINGS BHD
35. TEXAS CHICKEN MALAYSIA
36. WORKSHIRE BY TALENT SUITES
37. KB KHALIFAH ASRI AGENCY
38. MARRYBROWN SDN BHD
39. MH INTEGRATED SUPPLY & SERVICES
40. INTELEK TALENT SOLUTIONS SDN BHD
41. FGV HOLDINGS BERHAD
42. STARBUCKS COFFEE COMPANY
43. RHB BANKING GROUP
44. 7-ELEVEN MALAYSIA SDN BHD
45. TOUCH 'N GO SDN BHD
46. AEON CO. (M) BHD
47. THE CHICKEN RICE SHOP
48. GOLDEN SCREEN CINEMAS SDN BHD (GSC)
49. BASKIN ROBBINS
50. SKF BEARING INDUSTRIES (M) SDN BHD
51. BRAINY BUNCH SDN BHD
52. PANASONIC
53. PARKSON
54. AEGIS BPO MALAYSIA
55. AEGIS BPO MALAYSIA
56. BOH PLANTATIONS SDN BHD
57. ALBUKHARY INTERNATIONAL UNIVERSITY
58. MALAYSIA STEEL WORKS KL BERHAD
59. MICHELIA EARLY CHILDHOOD DEVELOPMENT CENTRE
60. SALUD ASIA
61. 1MILLENNIUM INTERNATIONAL SDN BHD
62. SYMPHONY
63. ORATOR LLP
64. QSR BRANDS (KFC)
65. QSR BRANDS (PIZZA HUT)
66. KPJ HEALTHCARE BERHAD
67 KPJ HEALTHCARE BERHAD
68. JOHOR CORPORATION
69. JOHOR CORPORATION
70. AYAMAS SHOPPE SDN BHD
71. SKILLS JOHOR
72. JANA TANMIA RESOURCES SDN BHD
73. NANDO'S CHICKEN LAND MALAYSIA SDN BHD
74. POS LOGISTICS BERHAD
75. HFS FOOD SOLUTION SDN BHD
76. MDEC - EREZEKI GLOBAL HIGH INCOME
77. OLDTOWN WHITE COFFEE
78. SCICOM (MSC) BERHAD
79. PUSAT MAKLUMAT KESIHATAN
80. ALLOYMTD
81. BANK MUAMALAT
82. AL-IKHSAN SPORTS
83. KELLY SERVICES (MALAYSIA) SDN BHD
84. MEDIVEST SDN BHD
85. SHIN ETSU POLYMER (M) SDN BHD
86. AGENSI PEKERJAAN THE RECRUITER SDN BHD
87. LA JUICERIA SDN BHD
88. MY TALENT NATION
89. ECON MEDICARE CENTER & NURSING HOME SDN BHD
90. KUANTAN PORT CONSORTIUM SDN BHD
91. JAC RECRUITMENT
92. PERODUA SALES SDN BHD
93. FOCUS POINT & KOMUGI
94. PINNACLE FOODS SDN BHD
95. AEON INDEX LIVING
96. QUALITY HOTEL CITY CENTRE
97. THE COFFEE BEAN & TEA LEAF (M) SDN BHD
98. ADECCO
99. MATCHANDLEARN.COM
100. SUNGEI WANG PLAZA SDN BHD
101. CTIC CORPORATION SDN BHD
102. GREENPEACE
103. MEWAH GROUP
104. SERUNAI COMMERCE SDN BHD
105. AMANTRONIC SDN BHD
106. DANCOMAIR ENGINEERING SDN BHD
107. RIZQ REDZ CONSULTANCY
108. FLUOLUXUS SOLUTIONS SDN BHD
109. DEXON ELECTRICAL ENGINEERING SDN BHD
110. PTS MEDIA GROUP SDN BHD
111. PTS BOOKCAFE SDN BHD
112. PTS EDAR SDN BHD

Pendaftaran dibuka seawal jam 7.30 pagi.❗

Selain temu duga, pelbagai aktiviti seperti tips-tips untuk berjaya temu duga, sesi motivasi sambil berhibur bersama Kumpulan ZERO Maharaja Lawak Mega serta pelbagai hadiah menarik untuk aktiviti cabutan bertuah menanti para pengunjung yg hadir! Nombor cabutan bertuah adalah TERHAD kepada yang hadir. Iphone 7plus pun ada!!! Tak nak ke? ;)

Jangan lepaskan peluang ini dan sebarkan kepada rakan-rakan anda yang sedang mencari kerja di luar sana.







Pelajar Boleh Mohon Baucar Buku 1Malaysia (BB1M)

by


Seramai 1.3 juta pelajar pra-universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara boleh memohon Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM250 mulai sekarang.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata BB1M akan didebitkan ke dalam Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) yang diselaraskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui agensinya, Bank Rakyat.

"Kajian yang dilakukan mendapati Bank Rakyat menawarkan sistem yang terbaik dan sebab itulah ia dipilih untuk membekalkan kad tersebut kepada pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'Keeping In Touch' Menteri Pendidikan Tinggi bersama pemimpin pelajar universiti awam, IPT swasta, politeknik dan kolej komuniti serta simbolik penyerahan KADS1M kepada wakil pemimpin pelajar universiti di sini, Selasa.

Turut hadir, timbalannya Datuk Dr Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.

Idris berkata kerajaan memperuntukan RM300 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017 bagi menjayakan program BB1M itu.

Menurutnya melalui penggunaan kad debit itu, pelajar tidak lagi terhad untuk membeli buku sahaja sebaliknya mereka boleh menggunakannya untuk membeli perisian komputer dan peralatan pembelajaran.

BB1M yang diperkenalkan sejak 2012 bertujuan mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT awam dan swasta.

Terdahulu, Idris meluangkan masa lebih sejam dalam sesi dialog bersama kira-kira 1,600 pelajar pada majlis itu untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai sistem pendidikan tinggi negara.

Aplikasi Mudah Alih Semak BR1M Diperkenal

by


Lebih 8.2 juta pemohon Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) boleh menyemak status permohonan melalui 'Aplikasi Mudah Alih Semakan BR1M' yang diperkenalkan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aplikasi itu merupakan alternatif terbaik bagi membanteras penyebaran maklumat palsu berkaitan BR1M yang boleh mengelirukan pemohon.

Bercakap kepada pemberita di majlis pelancaran aplikasi itu, beliau berkata, jumlah pemohon BR1M meningkat lebih 15 peratus setakat 14 Februari berbanding 7.1 juta permohonan pada 2016.

"Pemohon yang berstatus bujang mencatatkan jumlah paling tinggi memohon BR1M kerana mereka yang baru masuk kerja dan bergaji sehingga RM3,000 pun layak," jelasnya.

Johari berkata, pembayaran BR1M secara baucar telah bermula pada 18 Februari dan akan dikreditkan ke akaun penerima mulai Rabu.

Pada 17 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih lima juta permohonan BR1M 2017 telah diluluskan kerajaan.

Selebihnya masih lagi dalam peringkat pemprosesan dan keputusan dijangka diumumkan bulan depan, katanya.

Aplikasi Mudah Alih Semakan BR1M boleh dimuat turun ke telefon bimbit android.

Aplikasi itu membolehkan pemohon membuat semakan penghantaran borang, status bayaran dan rayuan dengan cepat.

Ia hanya memerlukan nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi pemohon.

19 Februari 2017

Lelaki Korea Utara Yang Ditahan Adalah Pakar Kimia

by


Suspek keempat yang ditangkap atas kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-Un mempunyai kepakaran dalam bidang kimia.

Ri Jong-Chol, dari Pyongyang lulus dalam bidang sains dan perubatan dari sebuah universiti di Korea Utara pada tahun 2000.

Kira-kira 10 tahun kemudian dia telah terlibat dalam penyelidikan di Kolkata, India, sehingga 2011.

Sumber berkata, Jong-Chol kemudian kembali ke Pyongyang sebelum dia mendapat tawaran daripada sebuah syarikat IT yang berpangkalan di Malaysia.

"Ia masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa dia turut terlibat dengan penggunaan cecair beracun yang digunakan untuk membunuh Jong-nam, oleh itu siasatan masih dijalankan.

"Dia juga sedang disoal mengenai lokasi tiga lagi individu lain yang masih bebas," kata sumber berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.50 malam. Jumaat.

Berdasarkan penemuan kad pengenalan Korea Utara (i-Kad), suspek dikenal pasti sebagai Ri Jong Chol, dilahirkan pada 6 Mei 1970 dan merupakan warganegara Korea Utara.

Suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Lama pada Jumaat.

Dengan penahanan suspek itu, polis kini memburu tiga lagi individu dipercayai dalang utama kes pembunuhan Jong-nam.

Sebelum ini polis menahan dua suspek wanita masing-masing warga Vietnam dan Indonesia, selepas dipercayai terbabit dalam pembunuhan Jong-nam, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Isnin lalu.

- mSTAR

RUU355: Abdul Hadi Minta Izin Laksana Undang-Undang Islam

by


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka telah meminta izin untuk memastikan undang-undang Islam terus dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, undang-undang ciptaan manusia jelas tidak dapat memberi penyelesaian sepenuhnya kepada masalah jenayah sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa justeru undang-undang Islam perlu dilaksanakan.

"Dunia hari ini menyaksikan kegagalan undang-undang manusia, ia tak mampu membendung jenayah di peringkat nasional dan antarabangsa kerana undang-undang manusia tak ada roh dan iman.
"Izinkan untuk lihat undang-undang Islam dilaksanakan, daripada kamu mencemuh lebih baik kamu bincangkan tentang undang-undang yang sudah lapuk, masih guna tali gantung, tak mengira siapa saksi," katanya ketika berucap di Himpunan RUU355 di Padang Merbok, malam Sabtu.

Abdul Hadi berkata, undang-undang Islam sepatutnya dibincangkan dan bukan dipertikaikan dengan kejahilan dan tanpa ilmu.

Katanya, sejarah telah membuktikan perbincangan dan kerjasama tanpa mengira agama atau pegangan politik telah berlaku di dalam dan luar negara dalam menangani masalah yang timbul.

"Kepada yang masih bersikap negatif terhadap RUU355 mereka perlu melihat sejarah di mana Al Quran telah dirujuk untuk menggubal undang-undang di peringkat dunia," katanya.

Katanya, tiada sebab untuk orang bukan Islam menentang RUU 355.

Beliau turut mengulangi bahawa pindaan akta ini tidak ada kena mengena dengan hukum hudud dan tidak akan menjejaskan orang bukan Islam.

"Tak ada sebab untuk mereka membantah, ini sudah melanggar adat perpaduan agama.

"Orang Islam mesti hormati adab dan menghormati adat perpaduan agama," katanya.

Ucapan Abdul Hadi mengakhiri Himpunan RUU355 pukul 11.30 malam selepas ia bermula sejak pukul 2 petang.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menepati janjinya apabila hadir ke Himpunan RUU 355.

Jamil Khir dilihat di pentas utama di Padang Merbok pada pukul 7.45 petang ketika hujan renyai, bersama timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi.

Beliau yang memakai baju warna ungu sebagai tanda sokongan terhadap perhimpunan ini telah disambut baik oleh peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik.

Tidak lama kemudian beliau tampil di hadapan pentas untuk menyampaikan tazkirah khas.

Jamil Khir memulakan ucapannya dengan menyampaikan salam daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada semua peserta himpunan.

"Sebelum bertolak ke sini saya berjumpa perdana menteri walaupun pada Rabu lepas beliau sudah izinkan saya wakilkan semua untuk sama-sama mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

"Sebelum bertolak perdana menteri dan timbalan perdana menteri minta saya sampaikan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada tuan-tuan dan puan-puan," katanya kepada seluruh peserta himpunan.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata pindaan akta pada kali ini telah mencetuskan satu polemik yang panjang, berbeza dengan pindaan yang pernah dibuat pada tahun 1984.

"Jika tahun 1984 tak ada masalah di Parlimen, sesama masyarakat atau siapa-siapa kenapa pada 2016 untuk buat pindaan sampai terpaksa adakan perhimpunan macam ni.

"Kenapa terlalu sukar, orang Islam tak ambil mana-mana hal orang lain pun," katanya.


"Timbul pelbagai persoalan contohnya ini adalah pintu belakang hudud atau sebahagian daripada hudud sedangkan kita amat faham ini berkaitan hal bersabit qazaf, murtad, arak dan zina yang telah sedia ada," katanya.

- mSTAR

Lelaki Misteri Dalangi Dua Suspek Wanita Bunuh Jong-nam

by


Dua wanita yang disyaki membunuh Kim Jong-nam didakwa "direkrut" oleh seorang lelaki misteri untuk menjalankan tugas itu seawal tiga bulan lalu.

Menurut laporan China Press, Siti Aishah, 25, dan Doan Thi Huong, 29, bukan "ejen khas" Korea Utara, tetapi mungkin ditipu kumpulan perisik semata-mata untuk melakukan pembunuhan tersebut.
Siti Aishah yang merupakan warga Indonesia ditahan pada pukul 2 pagi Khamis, manakala Doan, memegang pasport Vietnam, ditangkap sehari sebelum itu.

China Press melaporkan lelaki misteri yang dipercayai seorang pengintip, mengenali Doan kira-kira tiga bulan lalu di Malaysia, yang kemudian menjadikannya sebagai pengiring.

Lelaki misteri itu membawa Doan dalam beberapa lawatan luar negara, termasuk ke Vietnam, bagi melawat kampung halamannya dan satu lagi ke Korea Selatan.

China Press melaporkan lelaki misteri kemudiannya memperkenalkan Doan kepada empat lelaki yang masih dikehendaki polis berkaitan dengan pembunuhan itu.

Dilaporkan lelaki misteri mengenali Siti Aishah kira-kira sebulan lalu, tetapi hanya memperkenalkan dua wanita tersebut antara satu sama lain baru-baru ini apabila memberitahu mereka mengenai penggambaraan "prank" (gurauan) yang dijalankan.

Kedua-dua wanita itu mendakwa mereka tidak menyedari ia akan membawa kepada masalah kerana berpendapat ia hanya menjadi penggambaran gurauan yang sedang dijalankan.

Laporan turut memberitahu bahawa Siti Aishah telah ditugaskan untuk menggunakan sapu tangan bagi menutup muka Jong-nam manakala Doan melakukan suntikan.

China Press melaporkan Siti Aishah mendakwa dia dibayar AS$100 (RM445) untuk melakukan "gurauan" itu.

Jong-nam, 45, dibunuh oleh dua wanita yang menyembur bahan kimia pada wajahnya di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada kira-kira pukul 9 pagi Isnin sebelum mahu berlepas ke Macau.

- mSTAR


18 Februari 2017

Suspek Sembur Cecair, Cuci Tangan Sebelum Larikan Diri

by


Mereka menyembur cecair beracun ke wajah mangsa sebelum pergi ke bilik air untuk mencuci tangan dan kemudian bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

Itulah tindakan yang digambarkan dua wanita yang ditahan dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lalu.

Insiden itu menjadi salah satu kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku dalam negara ini.
Dua suspek kes tersebut, Siti Aisyah yang juga warga Indonesia dan pemegang pasport Vietnam dengan nama Doan Thi Huong membawa sepasukan polis ke lapangan terbang tersebut kira-kira pukul 1 pagi Jumaat untuk melakonkan semula insiden serangan terhadap Jong-nam.

Difahamkan dua suspek itu membawa polis ke tingkat 3 balai berlepas dan memberitahu polis mengenai apa yang berlaku.

Kedua-dua suspek menyifatkan tindakan mereka menyembur cecair pada muka seorang lelaki yang didakwa tidak dikenali mereka.

"Mereka mendakwa meninggalkan lokasi kejadian sebaik sahaja selesai melakukan perbuatan itu," kata sumber sambil menambah wanita itu kemudiannya pergi ke bilik air berdekatan untuk mencuci cecair tersebut.

Namun tidak dipastikan sama ada wanita tersebut memakai sarung tangan atau menggunakan sehelai kain semasa melakukan serangan itu.

Siti Aisyah memberitahu polis bahawa dia ditawarkan wang tunai berjumlah AS$100 (RM445) oleh seorang lelaki untuk melakukan perbuatan itu yang disangka untuk tujuan prank (gurauan) ke atas seorang lelaki.

Lelaki yang membayarnya dan tiga lelaki lain - semua warga asing - dilihat dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang itu bersama dengan Siti Aisyah dan Thi Huong.
Difahamkan polis sedang memburu empat lelaki tersebut yang dipercayai dalang di sebalik insiden pembunuhan Jong-nam.

Dalam satu perkembangan berasingan, Tinjauan The Star mendapati kakitangan sebuah hotel di mana Siti Aisyah menginap tidak mengenali suspek.

"Saya tidak boleh cam individu bernama Siti Aisyah di sini, lebih-lebih lagi dari Indonesia," kata seorang pelayan restoran yang tidak mahu namanya didedahkan.

Katanya, tiada ruang menunggu di hotel tersebut sekali gus menafikan Siti Aisyah bekerja di sana.
Kakitangan di spa hotel itu juga tidak mengenali Siti Aisyah.

- mSTAR

17 Februari 2017

Pengasas Valet Doa Teruskan Operasi

by
Perkhidmatan kiriman 'doa berbayar' ke Makkah yang kini tular di media sosial akan diteruskan, tetapi dengan sedikit perubahan.

Pengasas Valet Doa, Mohd Nasrin Harin berkata, perubahan akan dibuat terhadap terma yang ditetapkan sebelum ini di mana terdapat jaminan pemulangan wang kepada pengirim  jika doa yang dikirim tidak dimakbulkan dalam masa 365 hari.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju membuat perubahan itu selepas mengambil kira teguran ulama yang menyifatkan tawaran pemulangan wang menunjukkan unsur perniagaan.

"Teguran itu datang daripada ahli agama, saya kena ikutlah, malah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pun menyatakan perkara hampir sama.

"Mungkin saya akan tukar 'refund' duit kepada ganti pakej," katanya kepada mStar Online, Khamis.
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai perubahan tersebut atau pakej mana yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah yang akan diambil selepas Jakim dan beberapa ulama mengeluarkan kenyataan meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan khidmat yang ditawarkan Valet Doa.

Jakim berkata, perkhidmatan itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam, selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta ia dihentikan.

Nasrin, 40, mendakwa perkhidmatan ini dikritik dan ditentang hebat disebabkan ia masih terlalu baharu dan orang ramai belum menyedari manfaat yang bakal diperolehi.

"Saya akan buat yang terbaik dengan pelanggan-pelanggan yang bagi amanah kepada saya.
"Diharap testimoni pelanggan yang puas hati, akan mengubah fikiran mereka (pengkritik) untuk menyokong usaha saya," katanya.

Bekas kontraktor binaan ini berkata, setakat ini, beliau belum dihubungi Jakim atau mana-mana pihak berkuasa agama berhubung isu ini.

Katanya, pada masa ini beliau juga tidak bercadang untuk menghentikan operasi Valet Doa dan halaman Facebooknya yang dibuka empat hari lalu  akan dikekalkan.

"Jakim tak ada hubungi saya, saya akan teruskan saja...Jakim memang tak sokong sebab dah keluar kenyataan," katanya.

Mengenai kritikan dan kecaman netizens yang ditujukan kepadanya, beliau menganggap ia dilakukan oleh kumpulan bukan sasarannya.

Malah, beliau berkata, di sebalik kritikan yang diterima, tidak kurang juga yang berminat, selain terdapat rakan-rakannya di kalangan ustaz yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang meminta perkhidmatan itu dihentikan.

"Permintaan masih ada, banyak. 'Pening' pun ada juga.

"Yang kritik itu saya anggap mereka bukan target market saya," katanya.

Valet Doa kecoh di media sosial apabila ia menawarkan peluang kepada orang ramai yang tidak mampu ke Makkah tetapi berhasrat untuk doa-doa mereka dilafazkan di lokasi tertentu di Tanah Suci mengirimkan doa kepada wakil dengan bayaran tertentu.

Mereka perlu membayar pada kadar antara RM500 hingga RM2,500, bergantung kepada jumlah doa dan lokasi ia dilafazkan.

- mSTAR

Keputusan STPM 2016 Diumum Pada 28 Februari 2017

by


Keputusan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 akan dikeluarkan pada 28 Februari 2017, kata Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, Mohd Fauzi Mohd Kassim.

Beliau berkata calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 12 tengah hari sementara calon persendirian individu akan memperolehnya melalui pos.

"Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui Sistem Mesej Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT<jarak><No Kad Pengenalan> dan menghantarnya ke 15888.

"Ia juga boleh disemak serta secara dalam talian dengan melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12.00 tengah hari pada tarikh berkenaan," kata dalam satu kenyataan.

Mohd Fauzi berkata seramai 43,325 calon menduduki peperiksaan di 738 buah pusat di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 42,845 orang (99.10 peratus) merupakan calon sekolah kerajaan, 264 orang (0.61 peratus) calon sekolah swasta, 114 orang (0.26 peratus) calon persendirian individu dan 12 orang (0.03 peratus) calon sekolah kerajaan negeri.

15 Februari 2017

Dego Ride Diarah Henti Operasi

by


Dego Ride mengarahkan kira-kira 6,000 penunggang motosikalnya supaya menghentikan operasi serta-merta susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya pihaknya berbuat demikian serta-merta.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, arahan tersebut dikeluarkan sehingga isu perkhidmatan perkongsian pengangkutan menggunakan motosikal itu diselesaikan dengan pihak berkuasa.

"Kita arahkan semua penunggang menghentikan operasi serta-merta kerana kita tidak mahu mereka melanggar undang-undang.

"Kita juga mahu bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya isu ini dapat ditangani secara baik," katanya kepada mStar Online pada lewat malam Isnin.

Pada Isnin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada Dego Ride supaya tidak mencabar undang-undang dan beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata, undang-undang menetapkan mengikut Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987, motosikal tidak boleh dijadikan sebagai kenderaan komersial manakala Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) 2010, tidak boleh membawa kenderaan komersial tanpa permit.

Nabil bagaimanapun memberitahu pihaknya terus komited untuk memastikan Dego Ride dapat beroperasi sebagai teksi motosikal secara sah.

Tambahnya, hasrat itu bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di samping menawarkan pilihan pengangkutan pada kos murah kepada pengguna.

"Oleh itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan dan SPAD secepat mungkin untuk menyelesaikan isu berbangkit," ujar Nabil.

Sebelum ini, Nabil telah mengadakan dua pertemuan secara berasingan dengan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berhubung isu Dego Ride.

Isu Dego Ride bermula pada 24 Januari lalu selepas Ab Aziz dalam sidang media mengumumkan bahawa teksi motosikal sebagai satu perkhidmatan tanpa lesen dan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan.

Menerusi arahannya pada Isnin, Tiong Lai berkata, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas tetapi dari segi keselamatan jalan raya, jenis perkhidmatan itu tidak akan membantu mengurangkan jumlah kemalangan motosikal yang tinggi setiap tahun.

Sabtu lalu, mStar Online melaporkan bahawa Dego Ride berkeras untuk meneruskan operasi walaupun tidak mempunyai lesen dan JPJ diarahkan untuk mengambil tindakan.

Perkhidmatan Dego Ride boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3 kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.
Sejak beroperasi pada November tahun lalu, lebih 15,000 penumpang telah menggunakan perkhidmatan Dego Ride di sekitar Lembah Klang.

- mSTAR

Jangan Rakam Gambar Ketika Memandu

by



Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Isma Suhaimi Sharif berkata pemandu kenderaan tidak boleh merakam gambar atau video mengenai kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya yang lain walaupun ia bertujuan untuk disalurkan kepada JPJ.

Beliau berkata pemandu berkenaan boleh diambil tindakan jika berbuat demikian kerana penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan kesalahan di bawah Kaedah 17 A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda sebanyak RM300.

"Memang kita galakkan orang ramai membantu salurkan maklumat melalui pelbagai aplikasi, tapi sepatutnya gambar atau video mestilah diambil oleh orang lain dalam kenderaan dan bukannya pemandu itu sendiri," katanya kepada pemberita.

Beliau melancarkan Ops Tahun Baharu Cina 2017 peringkat negeri Kedah pada Rabu malam.

Sebanyak 560 kenderaan diperiksa dalam operasi di sekitar Jalan Pegawai disini dan 75 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

-Bernama

11 Februari 2017

Pemancar dan Kawasan Liputan MYTV (TV Digital Malaysia)

by


Lokasi Stesen Pemancar dan Kawasan Liputan MYTV (TV Digital Malaysia)

1. Lokasi Pemancar TV Digital MYTV dan kawasan liputan Fasa 1 - Telah beroperasi.
- Gunung Ulu Kali (Selangor, Pahang Barat, Perak Selatan)
- Gunung Jerai (Kedah, Perlis, Penang)
- Gunung Kledang (Perak Tengah)
- Bukit Sungai Besi (Kuala Lumpur)
- Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur)
- Gunung Andrassy (Tawau, Sabah)
- Gunung Serapi (Kuching)
- Bukit Trig (Sandakan, Sabah)
- Bukit Pelindung (Kuantan, Kemaman)
- Gunung Pulai (Johor Selatan)
- Bukit Besar (Kuala Terengganu, Marang)
- Bukit Bakar (Kelantan Selatan)
- Bukit Karatong (Kota Kinabalu, Sabah)
- Gunung Serapi (Kuching, Sarawak)
- Gunung Ledang (Melaka, Utara Johor, Negeri Sembilan) - Disambar kilat dan belum dapat beroperasi semula lagi kerana tuntutan insurans.

2. Lokasi Pemancar dan Repeater MYTV Fasa 2 - Dijangka beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun 2017 untuk mengatasi masalah liputan yang terlindung di sesetengah tempat.
- Gunung Telapak Burok (Negeri Sembilan: Seremban, Port Dickson, Jempol, Kuala Pilah, Jelebu)
- Bukit Tampin (Tampin & Rembau)
- Bukit Larut (Perak Utara)
- Bukit Tinggi (Mersing, Johor Timur)
- Bukit Palong (Baling and Pengkalan Hulu)
- Bukit Penara (Georgetown)
- Seberang Jaya (Seberang Perai)
- Gunung Raya (Langkawi)
- Padang Pauh (Perlis)
- Bukit Senggora (Maran)
- Bukit Bauk (Dungun)
- Bukit Kemuning (Kemaman)
- Bukit Bintang (Besut)
- Telipot (Kota Bharu, Kelantan Utara)
- Bukit Lambir (Miri)
- TLDM Lumut (Pulau Pangkor)
- Bukit Sembilan (Bandar Muadzam Shah, Pahang Selatan)

3. Lokasi Pemancar dan Repeater MYTV Fasa 3 - Akan dipasang selepas Fasa 2 selesai.
- Changkat Rembian (Tapah)
- Bukit Istana (Jerantut)
- Gunung Brinchang (Cameron Highlands)

6 Februari 2017

Kad Pengenalan 'Bangsa Johor' Tak Wujud

by



Kerajaan Johor menafikan pihaknya mengeluarkan kad pengenalan 'Bangsa Johor' selepas gambar mengenai dokumen itu tersebar di media sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani berkata, sama ada kerajaan negeri, mana-mana agensi atau jabatan berkaitan tidak pernah memperkenalkan kad pengenalan itu.

"Penggunaan kad pengenalan Johor seumpama itu tanpa merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Kerajaan negeri dan agendi di bawahnya tidak pernah memperkenalkan kad pengenalan ini," katanya.

Difahamkan, laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam pada petang Khamis.
Beberapa posting di laman sosial yang menjadi viral menunjukkan kad pengenalan yang tertera "identiti Bangsa Johor" dan meminta orang ramai untuk memohon bagi mendapatkannya.

Kad itu juga mencatatkan nombor identiti "Bangsa Johor". Sebagai tambahan, dokumen pengenalan diri itu juga berfungsi sebagai kad debit.

Di belakang kad itu tertera alamat pemiliknya dan nama waris termasuk pengesahan sebagai Bangsa Johor.

- mSTAR

Puncak Kinabalu Paling Sejuk Di Malaysia

by


Tarikan pelancongan di Sabah, puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut merupakan tempat paling sejuk di Malaysia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata suhu Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara boleh turun sehingga dua darjah selsius.

"Secara amnya suhu akan turun dengan kadar 6.4 darjah selsius untuk setiap kilometer ketinggian. Justeru, tempat paling sejuk di Malaysia adalah puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari paras laut di mana suhunya boleh turun sehingga dua darjah selsius," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, katanya jabatan itu tidak mempunyai stesen meteorologi di kawasan puncak gunung, kecuali stesen di Laban Rata iaitu tempat persinggahan sebelum ke puncak gunung tersebut.

Selain puncak Gunung Kinabalu, Che Gayah berkata berdasarkan rekod daripada 44 stesen utama di seluruh negara, pusat peranginan terkemuka Cameron Highlands juga merupakan antara kawasan paling sejuk di Malaysia dengan suhu terendah 16 darjah selsius pada Januari lepas.

Beliau berkata suhu rendah yang direkodkan di Cameron Highlands disebabkan Stesen Cameron Highlands berada pada paras tinggi iaitu 1,471.6 meter dari aras laut.

"Cameron Highlands juga pernah melakar sejarah sebagai kawasan yang mencatat suhu paling rendah dalam negara iaitu 7.8 darjah selsius pada Februari 1978 berbanding 19 stesen utama lain yang ada pada ketika itu," katanya.

- mSTAR


Tiga Beradik Hias Kubur Ayah Dengan Rumput Karpet

by


Kisah tiga beradik menghiasi kubur ayah mereka dengan rumput karpet, yang tersebar sejak 2 Februari lalu, terus mendapat perhatian netizen.

Berdasarkan nukilan pemilik akaun Facebook bernama Faizul Ezmin, mereka bertiga berbuat demikian kerana tidak mampu membelikan rumah semasa arwah ayahnya masih hidup.

Malah Faizul yang menggelar dirinya sebagai Emen, mengakui mereka bertiga jarang melawat arwah ayahnya tetapi kini keadaan sudah berubah kerana mereka sering datang untuk membersihkan kubur.

Selain itu, Emen berkata, dia dan adik beradiknya tidak mampu menghiaskan kubur ayahnya dan mereka mengambil keputusan untuk meletakkan rumput karpet sebagai ganti.

Dia sempat memberi pesanan kepada netizen supaya menghargai orang tua selagi mereka masih hidup.

"Yang masih hidup, ade mak abah tu... Kalau emak abah call, msg tu maknanya diorang rindu, so amik jela cuti... Duit banyak2 pun bukan leh tabur atas kubur mak abah tu nanti...," katanya.

Status Emen itu mendapat 14,000 'like' dan dikongsi lebih 6,052 selain mendapat 1,700 komen setakat Sabtu.

Rata-rata netizen menggangap kisah tiga beradik tersebut sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk lebih menghargai ibu bapa masing-masing.

- mSTAR

Peti Aduan Disiplin Di Sekolah Bendung Salah Laku Pelajar

by


Pihak pengurusan sekolah menengah dan rendah di seluruh negara diarah menyediakan 'Peti Aduan Disiplin Murid' khusus untuk membendung salah laku pelajar terutama dalam jenayah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata dengan adanya peti aduan itu, pelajar boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak sekolah yang kemudiannya dipanjangkan kepada polis.

"Aduan yang dibuat pelajar ini adalah rahsia...pelajar tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelajar yang terbabit dalam salah laku ini.

"Ia di bawah seliaan guru disiplin dan semua maklumat berkenaan akan  disampaikan kepada anggota Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditugaskan di  setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Ke  Sekolah peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Ahmad di Kuala Nerang.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Kedah  Datuk Asri Yusoff dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan.

Mahdzir berkata tujuan utama program berkenaan adalah juga untuk mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang dikenal pasti kerana adanya pelajar yang terpaksa bekerja dan juga yang terbabit dalam jenayah.

"Ini merupakan punca ketidakhadiran pelajar yang menyebabkan ada sesetengah sekolah mencatatkan peratusan kehadiran yang rendah," katanya.

Beliau berkata purata peratus kehadiran pelajar di seluruh negara pada 2016  membabitkan pelajar sekolah rendah adalah 94.1 peratus manakala sekolah menengah 91.4 peratus.

"Peratus kehadiran di peringkat kebangsaan yang ditetapkan adalah 92.3 peratus dan ini yang menjadi tumpuan kementerian dan polis untuk mengatasinya," katanya.

Beliau merayu kepada ibu bapa dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru di  setiap sekolah agar dapat memainkan peranan untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kita khuatir ada pelajar yang ponteng ini terbabit jenayah yang berat dan  boleh dihukum sekiranya masalah ponteng sekolah ini tidak diatasi," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mahdzir yakin kerjasama pemuafakatan dengan Polis Diraja Malaysia, komuniti dan ibu bapa akhirnya akan menarik minat  pelajar untuk ke sekolah.

- BERNAMA

Top Ad 728x90