11 April 2018

Sekolah cuti peristiwa khas pada 9 Mei - Mahdzir

by

Semua sekolah dalam negara diberi cuti  peristiwa khas pada 9 Mei yang merupakan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata 6,941 sekolah juga akan dijadikan pusat mengundi pada hari berkenaan.

“Cuti adalah kepada semua sekolah kecuali Jabatan Pendidikan Negeri dan Pusat Pendidikan Daerah, mereka bekerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah ke-57 pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan antara lain tarikh pengundian PRU14 ditetapkan pada 9 Mei manakala tarikh penamaan calon pada 28 April dan pengundian awal adalah pada 5 Mei.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari.

- Bernama

Wany Hasrita suka lelaki ‘tall, dark and handsome’

by
Penyanyi Wany Hasrita menegaskan dirinya masih solo walaupun namanya pernah dikaitkan dengan tiga jejaka iaitu Tajul Arif, Khai Bahar dan terbaharu bekas anggota kumpulan Q Face, Fairuz Selamat.

Wany, 27, berkata, masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal jodoh kerana karier seninya baharu sahaja bermula dan banyak perkara ingin dicapai sebelum berkahwin.

“Ingin saya tegaskan buat masa ini saya tidak mempunyai teman lelaki dan gosip terbaru mengatakan saya bercinta dengan Fairuz pun tidak benar.

“Kami bersahabat dan sudah mengenali antara satu sama lain sebelum saya bergelar artis lagi. Buat masa ini saya selesa fokus kepada kerjaya dan bidang perniagaan yang baru saya ceburi,” katanya.

Wany ditemui pada majlis pelancaran produk pertama keluarannya iaitu Jellyta by Wany Hasrita.

itanya mengenai kriteria lelaki yang disukainya, Wany secara bergurau memberitahu dia mencari calon yang ‘tall, dark and handsome’ (tinggi, sawo matang dan kacak).

“Kalau bercakap tentang kriteria yang saya cari sebagai teman hidup kalau boleh biarlah yang ‘tall, dark and handsome’... hahaha,” katanya.

Dalam pada itu, Wany memberitahu gosip yang melandanya telah memberi kesan kepada ibunya apabila ia sering menjadi cakap-cakap orang sekelling.

“Jujurnya ibu saya memang tertekan apabila saya sering digosipkan dengan beberapa artis lelaki sebelum ini sebab dia yang terkena tempiasnya.

“Saya kasihankan dia tambahan pula dia seorang ibu tunggal dan apabila orang bercakap-cakap tentang saya dia pasti terasa.

Sementara itu, Wany berharap namanya tidak lagi terpalit dengan cerita kontroversi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan peminat.

“Harap-harap tiada lagi gosip dengan mana-mana artis lelaki lagi selepas ini. Cukuplah saya dikaitkan dengan Tajul, Khai Bahar dan Fairuz sebelum ini dan saya sendiri akan lebih berhati-hati dalam pergaulan agar tidak timbul salah faham,” jelasnya.

ercakap mengenai produk keluarannya, Wany berkata idea itu terhasil apabila dia sering tiada masa untuk makan kerana jadual seninya yang sentiasa padat.

Atas dasar itu, timbul idea untuk menghasilkan produk berasaskan makanan Sunnah yang mengandungi kurma, delima dan madu.

“Saya penggemar kurma dan ia alternatif apabila saya tiada masa untuk makan kerana ia mengenyangkan selain memberi tenaga.

“Jadi dari situ timbul idea untuk menghasilkan produk ini menggunakan bahan semulajadi yang banyak manfaatnya,” katanya.

Malah kata Wany, dia mengambil masa hampir lima bulan membuat kajian dengan bantuan rakan-rakannya yang bergelar doktor dan pakar nutrisi sebelum tampil dengan produk tersebut selain mentornya dalam bidang perniagaan iaitu Puteri Zarith.

“Kebetulan saya juga graduan dalam bidang sains jadi ada juga manfaat daripada ilmu yang dipelajari dalam menghasilkan produk ini selain bantuan kawan-kawan.

“Alhamdulillah urusan saya dalam menghasilkan produk ini dipermudahkan Allah dan berharap ia diterima baik oleh pengguna serta mendapat manfaat daripadanya, jelas Wany yang turut mengeluarkan modal sendiri hasil simpanan sepanjang bergelar penyanyi untuk menghasilkan produk itu.

“Kak Puteri Zarith juga banyak bantu saya dalam melancarkan produk ini dengan memberi tip berguna untuk bergelar usahawan sehingga terlancarnya Jellyta by Wany Hasrita,” katanya.

= mSTAR

10 April 2018

PRU14 : 9 Mei 2018 Hari Mengundi

by

sa menetapkan bahawa PRU14 akan diadakan pada 9 Mei (Rabu).

Dalam sidang media khas yang diadakan selepas mesyuarat tersebut, SPR turut mengumumkan tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 28 April (Sabtu) dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei (Sabtu).

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang turut membincangkan daftar pemilih yang digunakan dalam PRU14 dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya.

"Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula dari tarikh penamaan calon sehingga 11.45 malam 8 Mei," katanya semasa mengumumkan tarikh-tarikh penting PRU14 pada sidang akhbar khas yang turut disiarkan secara langsung di beberapa stesen TV dan FB live dari ibu pejabat SPR di Putraya, Selasa.

Pada PRU13 lepas, tempoh berkempen yang ditetapkan ialah selama 15 hari.

Menurutnya lagi, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan 11 April.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada PRU14.

-mSTAR

9 April 2018

Khai Bahar, Neelofa sebagai artis paling meletop 2018

by




Penyanyi Khai Bahar membuat kejutan apabila muncul sebagai pemenang kategori utama Anugerah MeleTOP 2018 (AME2018) menerusi kategori Top Top MeleTOP (Lelaki).

Acara yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Ahad turut memperlihatkan Khai, 24, membolot dua lagi buah trofi menerusi kategori Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP (Bayang).

Menerusi kemenangan itu, Khai membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, Top Top MeleTOP (Wanita) milik pengacara dan pelakon Neelofa selain membawa pulang trofi menerusi dua kategori lain, Pelakon TV MeleTOP dan Fesyen MeleTOP.

Drama lakonannya, Red Velvet bersama Alif Satar turut memenangi menerusi kategori Drama MeleTOP.

Seperti Khai, Neelofa, 29, membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 berserta trofi.

Bagi kategori utama, pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala kategori lain RM5,000 berserta trofi sumbangan Astro.


Dalam pada itu, pelakon filem Abang Long Fadil 2, Zizan Razak mempertahankan trofi menerusi kategori Artis Lawak MeleTOP yang dimenanginya tahun lalu.

Manakala gandingan Neelofa dalam program MeleTOP Nabil Ahmad membuat kejutab apabila muncul memenangi kategori Hos MeleTOP menumpaskan empat calon kegemaran lain, Alif Satar, Datuk AC Mizal, Jihan Muse dan Siti Nordiana.

Bagi kategori filem, J Revolusi membawa pulang trofi Filem MeleTOP dan Bintang Filem MeleTOP menerusi Nur Fazura.

Pelakon Farah Nabilah pula menumpaskan empat calon lain iaitu As'ad Motawh, Fendy Bakry, Hannah Delisha, Wany Hasrita bagi membawa pulang trofi Artis Baharu Terbaik.

Kategori Si Cilik MeleTOP pula memperlihatkan anak kepada Asyraf Khalid iaitu Arif Jiwa Asyraf memenangi trofi tersebut.

Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir pula membawa pulang trofi Grup/Duo MeleTOP menerusi lagu Digarhayu.

Sementara itu, AME2018 memberikan Anugerah Khas kepada bekas pembaca berita Dunia Jam 10 di RTM, Datuk Harjit Singh Hullon bagi menghargai bakti beliau dalam bidang penyiaran selama 45 tahun sejak 1971.

Pada 2011, beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Penyampai Berita Televisyen Paling Lama Berkhidmat oleh Malaysia Book of Records.

Anugerah itu disampaikan oleh pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi.

Nabil Ahmad, Neelofa bertindak sebagai pengacara AME2018 bersama hos jemputan iaitu Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Jihan Muse dan Zul Ariffin.

Persembahan pembukaan AME2018 diserikan dengan nyanyian daripada Altimet, Ito Blues Gang, Francissca Peter, Kool dan Noh Hujan.

Manakala Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, UNIC dan Datuk Ramli Sarip.

Manakala penyanyi Indonesia, Virgoun turut tampil menghiburkan penonton selain persembahan istimewa daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Mas Idayu dan Ruffedge.

AME2018 turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124) pada pukul 9 malam.

Pemilihan pemenang dilakukan berdasarkan seratus peratus undian peminat menerusi laman web khas yang disediakan.

Berikut adalah senarai penuh pemenang AME2018

Artis Baharu MeleTOP - Farah Nabilah

Si Cilik MeleTOP - Arif Jiwa Asyraf

Couple MeleTOP - Jep Sepahtu & Sari Yanti

Program Radio MeleTOP - Johara Pagi Era

Penyampai Radio MeleTOP - Johan (Era)

Program MeleTOP - Sepahtu Reunion Live 2017

Hos MeleTOP - Nabil MeleTOP

Artis Lawak MeleTOP - Zizan Razak

Drama MeleTOP - Red Velvet

Pelakon MeleTOP - Neelofa

Grup/Duo MeleTOP - Datuk Seri Siti Nurhaliza & Faizal Tahir

Penyanyi MeleTOP - Khai Bahar

Lagu MeleTOP - Bayang (Khai Bahar)

Filem MeleTOP - J Revolusi

Bintang Filem MeleTOP - Nur Fazura (J Revolusi)

Top Top MeleTOP (Lelaki) - Khai Bahar

Top Top MeleTOP (Wanita) - Neelofa

- mSTAR

Apa yang berlaku selepas Parlimen bubar

by


Pembubaran Parlimen menandakan hari pengundian yang ditunggu-tunggu rakyat negara ini semakin hampir dan mereka bakal menentukan siapa yang akan mentadbir negara untuk tempoh mandat lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, apakah yang akan berlaku sebelum hari pengundian?

Berikut adalah proses yang bakal berlaku mulai hari ini sehingga hari pengundian dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

# SEBAIK PARLIMEN DIBUBARKAN

SPR akan mengeluarkan writ dan arahan kepada pegawai pilihan raya bahagian di seluruh negara untuk pilihan raya diadakan di kawasan masing-masing.

Pada masa yang sama, notis pilihan raya akan diletakkan di semua kawasan untuk tatapan orang ramai.

Notis itu mengandungi tarikh untuk penamaan calon dan tarikh pengundian awal serta pengundian biasa.

Tarikh penamaan calon ditetapkan bagi membolehkan calon yang ingin bertanding menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pilihan raya.

# HARI PENAMAAN CALON

Serahan borang perlu dilakukan antara jam 9 dan 10 pagi pada hari penamaan calon.

Semua calon perlu membayar deposit RM10,000 untuk kerusi Parlimen, manakala RM5,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Deposit yang dibayar, tidak akan dipulangkan sekiranya calon gagal mendapat 1/8 daripada jumlah undian di kawasan bertanding.

Pegawai pilihan raya perlu memastikan borang pencalonan diisi dengan lengkap bagi membolehkan calon bertanding.

Pencalonan boleh dibatalkan sekiranya calon didapati muflis, memiliki akal tidak sempurna atau bukan warga negara Malaysia.

Sekiranya ada bantahan terhadap calon yang bakal bertanding atas sebab gagal memenuhi kriteria pencalonan, ia perlu diutarakan ketika proses penamaan, sekiranya gagal, bantahan tidak akan diterima.

SPR juga melarang calon daripada menarik balik pencalonan mereka sebaik saja ia diterima.

Sebelum ini, calon dibenarkan untuk menarik balik pencalonan dalam tempoh tiga hari selepas penamaan calon.

Pegawai pilihan raya akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding selepas jam 10 pagi.

# KEMPEN PILIHAN RAYA

Kempen pilihan raya bermula sebaik saja proses penamaan calon selesai dan akan berakhir jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.

Calon yang bertanding kerusi Parlimen boleh mengeluarkan perbelanjaan maksimum RM200,000 untuk berkempen, manakala calon DUN dibenarkan berbelanja maksimum RM100,000

SPR akan menubuhkan pasukan petugas bagi memantau tingkah laku calon ketika berkempen dan memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Pasukan petugas  juga dibenarkan untuk menurunkan bahan kempen yang menyalahi undang-undang dan menghentikan forum tidak sah dengan bantuan polis.

# PENGUNDIAN AWAL

Pengundian awal akan diadakan beberapa hari sebelum tarikh sebenar mengundi bagi membolehkan pihak polis serta tentera membuang undi di balai serta kem masing-masing.

Kotak mengundi untuk pengundi awal, akan disimpan di lokasi selamat sehingga hari pengundian sebenar untuk dikira bersama kertas undian yang lain.

# PENGUNDI POS

Bagi individu yang dibenarkan untuk melakukan undian melalui pos, mereka akan menerima kertas undian lebih awal sebaik dicetak. Pengundi pos perlu memulangkan kertas undian yang sudah ditanda kepada Pejabat Pilihan Raya pada jam 5 petang ketika hari pengundian.

Pengundi luar negara akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu warga negara Malaysia yang tinggal di luar negara dan sudah berdaftar untuk mengundi secara pos atau mereka yang berada di luar negara tetapi tidak perlu mendapat kelulusan untuk undian pos.

# HARI PENGUNDIAN

Pada hari pengundian, proses akan dimulakan dengan pengagihan kertas undi oleh pegawai SPR. Pegawai terbabit akan memeriksa kad pengenalan pengundi berdasarkan senarai pengundi berdaftar di pusat dan memeriksa jari telunjuk kiri bagi memastikan tidak kesan dakwat kekal.

Pegawai bertugas kedua sekali lagi akan memeriksa jari telunjuk kiri, sebelum pegawai ketiga membuat tanda pada senarai nama pengundi dan menyerahkan kertas undian.

Satu kertas undian adalah untuk memilih Ahli Parlimen manakala sehelai lagi kertas undian adalah untuk mengundi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengundi kemudian akan bergerak menuju ke meja mengundi untuk memilih sebelum memasukkan kertas undian ke dalam kotak masing-masing. Kesemua proses itu akan dipantau oleh petugas pilihan raya dan ejen kepada calon bertanding.

Pusat mengundi akan ditutup pada jam 5 petang.

# PROSES PENGIRAAN UNDI

Sebaik undian ditutup, Pegawai Pengerusi akan membuat kiraan kertas undi. Pegawai terbabit akan memastikan jumlah kertas undian yang diterima di pusat masing-masing di awal pengundian adalah sama dengan kertas undian yang diberikan kepada pengundi serta yang tidak digunakan.

Kertas undian yang tidak jelas serta tidak ditanda dengan betul akan diketepikan. Selepas itu, pengiraan akan mula dilakukan dan pegawai pengerusi akan melihat semula kertas undian yang kurang jelas bagi menentukan sama ada ia boleh diterima atau sebaliknya.

Borang tertera jumlah undian akan dibawa ke pusat pengiraan undi, di mana, pegawai pilihan raya akan mengumumkan keputusan di pusat undian masing-masing.

- Berita Harian

6 April 2018

PM umum Parlimen bubar 7 April 2018 untuk PRU14

by





Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Sabtu bagi membuka laluan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Pengumuman itu dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, pagi Jumaat, yang mana pengumuman kali ini sedikit berbeza apabila pembubaran Parlimen akan berkuat kuasa sehari selepas pengumuman pembubaran dibuat.

“Saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018.

"Sehubungan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen ke-13 dibubarkan pada Sabtu,” katanya beliau dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan disiarkan secara langsung di televisyen dan Facebook rasmi Najib jam 12.02 tengah hari Jumaat.

Najib diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan anggota jemaah menteri.

Najib memulakan pengumuman khas itu dengan mengimbas cabaran dan kejayaan-kejayaan yang dicatatkan negara sepanjang tampuk pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinannya.

Susulan pembubaran, Najib menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sarawak terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan pada 7 Mei pada 2017.

Menurut Najib, pembubaran tersebut menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU14 diadakan.

"Saya amat berharap pilihan raya kali ini tidak kira apa juga fahaman dan lambang politik akan dapat kita sama-sama langsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar," tambahnya.

Mandat kerajaan BN akan tamat pada 24 Jun 2018. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, dari tarikh pembubaran Parlimen.

Semasa PRU13 yang diadakan pada 5 Mei 2013, BN telah memenangi 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, manakala pembangkang di bawah Pakatan Rakyat ketika itu, memenangi 89 kerusi.

Para pemerhati politik meramalkan pilihan raya itu akan diadakan akhir bulan atau awal bulan depan, sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa pada pertengahan Mei.

Sejumlah 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017 pada tarikh yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

- mSTAR

Top Ad 728x90