21 Mei 2018

UTC turunkan logo 1Malaysia

by

Logo 1Malaysia diturunkan di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pasar Sentral Labuan, 10 hari selepas pembentukan kerajaan Pakatan Harapan.

Dua unit logo gergasi itu yang berukuran lebih kurang 11.5 meter tinggi dan  5.7 meter  lebar mula diturunkan sejak awal pagi sehingga jam 2.02 petang.

Kerja menurunkan logo 1Malaysia ini adalah selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan bertarikh 14 Mei yang turut melibatkan gambar bekas perdana menteri, bekas menteri besar dan bekas ketua menteri di semua UTC di seluruh negara.

Logo 1Malaysia dilancarkan tidak lama selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  menerajui negara pada tahun 2009.

Jabatan Penerangan Malaysia Labuan turut membuka enam unit poster papan iklan  yang berkaitan dengan 1Malaysia di seluruh Labuan sejak minggu lepas. 

- Bernama



17 Mei 2018

Harga minyak petrol, diesel kekal

by
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan harga petrol dan diesel buat masa ini akan kekal dan tidak berubah mengikut harga semasa.Dr Mahathir berkata, sekiranya berlaku kenaikan pada harga minyak mentah dunia, kerajaan akan menanggung subsidi supaya ia kekal.

“Harga minyak tidak akan naik dan tidak akan turun. Kalau tidak cukup, kerajaan akan beri subsidi,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berkaitan harga minyak negara yang sebelum ini diumumkan naik atau turun pada setiap hari Rabu.

Berikutan pengumuman itu, petrol RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter, RON97 (RM2.47) dan diesel (RM2.18) yang kekal sejak lebih sebulan lalu.

Bermula 29 Mac 2017, harga petrol dan diesel negara ini ditentukan sistem apungan terurus, dan diumumkan secara mingguan pada setiap Rabu berbanding setiap bulan.Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.

Pakatan Harapan melalui manifesto mereka sebelum ini berjanji akan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

RoS lulus pendaftaran PH

by



Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan parti politik yang sah.

Sijil pendaftaran gabungan itu telah mula diedarkan menerusi media sosial pada Rabu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PH, Saifuddin Abdullah.

Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim membuat keputusan untuk meluluskan pendaftaran PH selepas seminggu gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Kemenangan PH ini sekali gus telah menafikan kuasa kerajaan pimpinan Barisan Nasional sejak 61 tahun lalu.

Menerusi PRU14, komponen parti PH merangkumi DAP, PKR, Bersatu dan Amanah telah bertanding menggunakan logo PKR selepas gagal mendaftarkan gabungan itu.

Top Ad 728x90