25 April 2019

Jawatan Kosong di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP - April 2019

by


Jawatan Kosong di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP

Tawaran adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon bagi mengisi jawatan kosong di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP sebagaimana berikut:

1. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19
2. Pembantu Pengurusan Murid Gred N19
3. Penyelia Asrama Gred N19
4. Pembantu Operasi Gred N11
5. Pemandu Kenderaan Gred H11

IKLAN PENGAMBILAN
https://www.jobsmalaysia.gov.my/

PERMOHONAN

Semua permohonan jawatan hendaklah dibuat melalui laman https://www.jobsmalaysia.gov.my/. Sila lakukan carian "Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran SPP" di laman JobsMalaysia. Bagi permohonan kali pertama, pemohon perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum membuat pengisian maklumat yang diperlukan dalam sistem.

Pemohon disarankan untuk mengemaskini maklumat-maklumat terkini yang diperlukan di dalam sistem ini. Calon yang disenarai pendek sahaja akan dipanggil temuduga.

Lokasi : SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA
Tarikh Tutup : 31 MEI 2019




21 April 2019

Fenomena luar biasa Avengers: Endgame

by


Bermula dengan filem Iron Man lakonan hebat Robert Downey Jr pada tahun 2008, sejak daripada itu peminat watak adiwira seluruh dunia sentiasa menunggu-nunggu filem-filem adiwira Marvel yang hebat.

Setelah menerbitkan 21 filem dalam tempoh masa 11 tahun, kini Marvel Studios sekali lagi akan menggegarkan dunia menerusi tayangan filem ke-22 dalam ‘Marvel Cinematic Universe’ (MCU) iaitu filem Avengers: Endgame.

Berbanding peminat di Amerika Syarikat (AS), peminat di Malaysia sangat bertuah kerana filem ini bakal ditayangkan dua hari lebih awal. Di AS tayangan filem ini hanya akan bermula pada 26 April ini.


Lebih menghangatkan suasana menjelang tayangan filem ini di seluruh negara pada 24 April ini, pawagam tempatan seperti GSC dan TGV bakal menayangkan filem ini seawal pukul 7 pagi. Paling mencetuskan fenomena tiket awal untuk tayangan filem ini dikatakan semuanya sudah habis dijual.

Tidak kurang hebatnya penangan filem ini apabila di negara jiran, Indonesia tiket yang dijual bukan sahaja laris bak pisang goreng panas tetapi ada beberapa pawagam di negara itu akan mula menayangkan filem ini seawal pukul 5 pagi pada hari pertama tayangannya.

Cetus fenomena
Keterujaan peminat untuk menyaksikan filem terbaharu Avengers ini bermula sejak Disember tahun lalu apabila Marvel menayangkan trailer pertama filem tersebut dengan memaparkan bagaimana kehidupan ahli Avengers yang masih hidup dalam menghentikan kejahatan Thanos.

Kemudian, sebulan sebelum tayangan filem ini di seluruh dunia, Marvel sekali lagi membuatkan peminat filem adiwira ini tidak senang duduk apabila melancarkan trailer kedua pada bulan lalu. Salah satu highlight dan menarik dalam trailer ini ialah kemunculan watak adiwira wanita MCU, Captain Marvel. Lebih mengagumkan apabila trailer ini telah mencatatkan lebih 90 juta tontonan dan lebih 200,000 komen dalam laman YouTube.

Trailer yang berdurasi selama 2 minit 26 saat ini dimulakan dengan paparan imbasan oleh watak Iron Man, Captain America, Hawkeye/Ronin, Black Widow, Thor, Ant-Man dan Hulk mengenai kehilangan orang-orang yang disayangi mereka dalam usaha membalas dendam terhadap kejahatan yang dilakukan oleh Thanos.

Boleh dikatakan filem Avengers:Endgame ini merupakan sambungan jawapan terhadap apa yang berlaku dalam filem Avengers: Infinity War yang mana hampir separuh watak adiwira hilang seperti debu.

Disebabkan faktor sambutan luar biasa, tiket-tiket yang dijual untuk tayangan awal filem ini yang baru dibuka awal minggu lalu telah habis dijual di AS dan paling mengejutkan terdapat individu yang menjual semula tiket ini dengan harga berkali-kali ganda. Menerusi laman web Ebay, harga untuk hari tayangan awal ditawarkan bermula pada harga AS$50 (RM204) hingga AS$2,500 (RM10,000)!

Selain itu menurut laman web jualan tiket di AS iaitu Fandago dan Atom, jualan minggu pertama tiket Avengers: Endgame mencecah dua kali ganda berbanding jualan tiket filem Aquaman, Star Wars: The Last Jedi, Avengers: Infinity War dan Captain Marvel jika digabungkan.

#DontSpoilTheEndgame
Namun begitu, di sebalik keghairahan untuk menjadi yang terawal menonton filem adiwira ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan rakaman secara haram dan membocorkannya melalui media sosial.

Biar pun berjaya disekat daripada terus ditonton, kebocoran klip video ini yang muncul beberapa hari sebelum tayangan filem ini menimbulkan persoalan banyak pihak kerana dipercayai dirakam ketika sesi tayangan oleh pihak yang telah mendapat kebenaran untuk menonton visual filem ini terlebih dahulu.

Situasi tidak dijangka ini terus mendapat kecaman daripada pengarah filem ini, Joe dan Anthony Russo yang meluahkan kekecewaan mereka melalui laman sosial Twitter pada Selasa lalu.

Menerusi perkongsian di Twitter dengan tanda pagar #DontSpoilTheEndgame, pengarah dua bersaudara ini meminta supaya orang ramai tidak terus menyebarkan klip video ini.

“Kami berdua bersama mereka yang terlibat dalam menjayakan Endgame, telah bekerja keras selama tiga tahun bagi memberikan kejutan dan penutup penuh beremosi untuk infiniti saga ini. Disebabkan banyak pihak yang telah mengorbankan waktu, jiwa dan raga kepada cerita ini, kami sekali lagi memohon bantuan kepada semua pihak.

“Apabila ada yang menonton Endgame dalam minggu ini, tolong jangan ‘spoil’ (rosakkan) penantian peminat lain, seperti yang kamu tidak suka orang lain membuat kerosakan yang sama pada kamu,” kata mereka.

- UTUSAN


ECRL lebih untungkan kargo

by


Pengumuman kerajaan baru-baru ini berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dibina semula dengan kos RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion dengan melalui jajaran dari Pelabuhan Klang ke Kota Bharu telah menimbulkan pelbagai perdebatan banyak pihak. Ini berikutan projek tersebut turut menyaksikan perubahan apabila stesen Gombak digugurkan dan diperkenalkan jajaran Jelebu.

Terdapat pihak yang menyokong dan mengkritik langkah baharu kerajaan ini dengan mengutarakan pelbagai hujahan. Bagi mendapatkan pandangan pakar mengenai kepentingan dan keperluan pembinaan ECRL ini, wartawan Mingguan Malaysia, menemubual Pensyarah Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), PROF. MADYA DR. SYAHRIAH BACHOK dan Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), PROF. MADYA DR. YUSOF SAARI.

MINGGUAN: Adakah pembinaan stesen di Jelebu dan Kuala Klawang relevan?

SYAHRIAH: Secara prinsip untuk mendapatkan kos pengangkutan yang murah ialah dengan membuat laluan secara terus dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur Sentral tetapi atas beberapa faktor yang kita tidak mampu lakukannya, kerajaan sebelum ini telah memilih stesen di Gombak atas faktor jarak dan masa yang lebih pendek selain mempunyai infrastruktur yang lengkap untuk penumpang menggunakannya.

Jadi timbul persoalan adakah dengan memindahkan stesen di Gombak ke Jelebu dan Kuala Klawang dapat menjimatkan masa, wang, warisan, budaya dan memelihara alam sekitar? Pada saya pemindahan ini lebih kepada penyelesaian masalah kargo jadi bagi penumpang jangan terlalu teruja sangat kerana kemungkinan ECRL dibina bukan untuk mereka.

Ini kerana jajaran baharu yang dipilih ini bukan saja mengurangkan kos tetapi juga jarak. Selain itu, laluan ECRL tidak terus sampai ke Kuala Lumpur kerana tujuan ia dibina ialah untuk menghubungkan ke Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan. Jadi tidak penting sangat sama ada untuk memilih laluan di Jelebu atau Kuala Klawang kerana yang paling penting bagaimana kargo boleh diuruskan.

Adakah ini bermaksud ECRL lebih ditumpukan kepada kargo berbanding penumpang?


SYAHRIAH: ECRL dibina berdasarkan permintaan kepada penghantaran kargo. Saya melihat berdasarkan objektif dan laluan yang dipilih dengan melibatkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan. Bagi negeri yang terlibat seperti Kelantan dan Terengganu ini merupakan satu bonus buat mereka.

Selain itu, kita juga perlu melihat siapakah pemaju projek ini. Projek ini juga diuruskan oleh syarikat dari China jadi terdapat elemen China di sini, maksudnya kos pengangkutan kita dari China ke India menjadi mahal disebabkan perlu melalui Selat Melaka kerana mereka tidak boleh ikut jalan pintas melalui Segenting Kra tetapi dengan ECRL mereka boleh jimatkan masa dengan merentasi Semenanjung.

Jika kerajaan tetap mahu membina stesen di Jelebu dan Kuala Klawang, apakah yang perlu dilakukan pihak berkepentingan di sana?

SYAHRIAH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri kena bersedia dari sekarang, mereka kena ubah perancangan bandar, daerah dan negeri sebab impak ECRL sangat cepat dan meluas. Apabila saya melihat peta di sekitar kawasan Titi Serting, Simpang Pertang dan Simpang Durian, di sini terdapat kawasan tadahan air minum, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), UPM (Kajian Perhutanan), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan hutan simpan. Kalau boleh stesen yang bakal dibina tidak perlulah mengganggu kawasan ini, sebaiknya dibina di kawasan berhampiran perumahan.

Selain itu, pihak berkuasa di kawasan itu juga perlu memastikan setiap garis panduan dan perundangan diikuti contohnya tanah jenis apa yang boleh dan tidak boleh dipindah milik. Berapa populasi penduduk yang dijangka meningkat dan soal penyediaan rumah untuk rakyat. Kebimbangan paling besar ialah apabila orang luar datang dan orang tempatan tiada peluang. Jadi perkara ini perlu diambil perhatian serius.

Bagaimana pula situasi di Mentakab?

SYAHRIAH: Kawasan ini juga mempunyai elemen yang sama dengan Jelebu tetapi penduduk di sini sudah ramai, jika dilihat gabungan tiga daerah iaitu Jempol, Kuala Pilah dan Kuala Klawang penduduk mereka hanya sekitar 200,000 orang tetapi jumlah penduduk di Mentakab, Bentong, Temerloh dan Maran hampir 400,000 hingga 500,000 orang

Selain itu, untuk membina stesen perlu ada pembangunan ekonomi di kawasan tersebut seperti pertanian bersama pengilangan dan perkhidmatan. Jika tiada kepelbagaian ekonomi agak sukar untuk membangunkan sesebuah kawasan itu, sebab itu saya mempersoalkan mengapa Jelebu dipilih sedangkan mereka tiada semua ini.

Berbeza pula dengan Mentakab mereka ada kawasan pertanian dan pelancongan seperti ikan patin dan sebagainya. Pada masa sama, jajaran di Mentakab dan Bentong juga sudah mempunyai perancangan struktur dan fizikal untuk mereka bangkit menjadi kawasan agro dan pelancongan. Selain itu, kawasan ini juga mempunyai rangkaian hubungan jalan raya seperti lebuh raya Karak berbanding kawasan di Kuala Klawang dan Jelebu jika hendak ke Kuala Lumpur perlu melalui Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dan masih perlu memandu kira-kira satu jam dari laluan keluar Semenyih.

Bagi saya, sebarang akses ke stesen jika melibatkan jarak masa lebih sejam ia dilihat tidak menarik untuk jaringan pengangkutan awam melainkan ada syarikat yang hendak melabur dalam light rail dari Kajang atau Semenyih ke Jelebu dan Kuala Klawang. Jika tidak ia agak tidak bersesuaian dan merugikan.

Namun begitu, difahamkan kesan ekonomi di kawasan ini akan meningkat.

SYAHRIAH: Benar, pembangunan ekonomi akan berlipat berkali ganda, jika dibina satu sahaja stesen daripada 10,000 penduduk di kawasan itu boleh meningkat kepada satu juta orang. Berikutan itu, PBT perlu bersiap sedia untuk merancang guna tanah mengikut prinsip pembangunan berorientasikan pengangkutan awam (TOD). Tetapi persoalannya bersediakah pekan itu untuk menerima satu juta orang dan adakah PBT di sana sudah bersedia? Pakar-pakar di universiti boleh berkhidmat dalam menasihati agar keputusan dibuat dengan lebih telus dan penuh tanggungjawab berasaskan analisis data empirikal.

MINGGUAN: Bagaimana pula kadar tambang ECRL?

SYAHRIAH: Masalah kita sekarang ialah dari segi operasi untuk menentukan kadar tambang. Jika ECRL dibina untuk penumpang maka keperluan penumpang perlu dijaga. Untuk projek ini saya ada buat perbandingan harga untuk perjalanan satu hala dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru dengan menggunakan data-data yang didedahkan dalam projek ini dan contoh-contoh melalui kaji selidik di luar negara.

Untuk projek ini kita sudah buat sasaran terhadap empat jenis penumpang iaitu pelancong, peniaga, melancong bersama keluarga dan pelajar. Berdasarkan kiraan yang dibuat mungkin pasaran untuk melancong bersama keluarga tidak praktikal kerana kos yang tinggi.

Saya mengambil contoh dengan menggunakan kiraan berdasarkan 83 peratus daripada harga kapal terbang, kaedah ini merupakan salah satu kiraan yang sering diguna pakai untuk mengira harga tambang kereta api. Berdasarkan kadar anggaran untuk jarak sejauh 600 kilometer (km) kadar paling murah ialah RM1.10 per km dan paling tinggi ialah RM2.60 per km atau RM166 hingga RM500 seorang.

Jadi apabila saya cuba bandingkan dengan kos satu keluarga sebanyak tujuh orang yang menaiki kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) dari Kuala Lumpur ke Kelantan dengan melalui lebuh raya Karak dalam jarak yang sama iaitu 600 km, kos minyak petrol adalah antara RM53 hingga RM78 satu hala manakala kadar tol kira-kira 13 sen per km, jadi perbelanjaan yang ditanggung oleh seorang pemandu ialah sekitar RM131 hingga RM165 tetapi dengan ECRL jika membawa jumlah ahli keluarga yang sama banyak sudah boleh mencecah RM1,000.

Mengapa harga tambang ECRL dijangkakan lebih mahal daripada Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS)?

SYAHRIAH: ETS tidak perlu sebarang pelaburan baharu seperti ECRL sebab laluan sudah ada itu dibina sejak zaman British, mereka cuma tambah satu lagi landasan sahaja di laluan sama.

Bagaimana pula caj untuk pengangkutan kargo?

SYAHRIAH: Mereka tiada masalah untuk bayar. Mereka merupakan syarikat multinasional. Sekarang untuk membawa muatan barang mereka perlu melalui Singapura dan perlu menanggung kos yang sangat mahal dari segi penyimpanan barang di Pelabuhan Singapura, duti import dan duti eksport. Selepas ini kos mereka akan menjadi lebih murah untuk membawa barang dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuantan atau sebaliknya.

Berbanding laluan sebelum ini, kerajaan memilih stesen Bangi/Kajang-Putrajaya, adakah langkah ini tepat?

SYAHRIAH: Stesen ini bukan di Kuala Lumpur, apabila sampai di stesen ini penumpang masih perlu mencari pengangkutan awam untuk ke pusat bandar. Itu sahaja sudah mengambil masa selama satu jam biar pun terdapat perdebatan bahawa laluan baharu ini mengurangkan masa. Sebenarnya kita masih perlu menambah masa dan wang untuk masuk ke Kuala Lumpur. Sebenarnya kos hanya dikurangkan kepada kontraktor, kos kepada penumpang bagaimana pula?

Bagi saya penumpang perlu diberikan maklumat yang tepat. Sekarang mereka tidak diberikan maklumat lengkap untuk membuat keputusan. Proses perancangan ini perlu dibuat dengan rakyat kalau tidak ia hanya menguntungkan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) sahaja.

TEMUBUAL bersama Penganalisis ekonomi UPM,Prof.Madya Dr. Mohd Yusof Saari di Institut Kajian Dasar P
TEMUBUAL bersama Penganalisis ekonomi UPM,Prof.Madya Dr. Mohd Yusof Saari di Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Adakah pengumuman terbaharu kerajaan untuk meneruskan pembinaan ECRL memberikan manfaat?

YUSOF: Sepatutnya projek ECRL dibina sejak 15 tahun lalu kerana pengangkutan sebegini dapat membantu pertumbuhan ekonomi di negeri-negeri yang mempunyai jajaran kereta api. Apabila situasi ini tidak berlaku pembangunan di bahagian Pantai Timur tidak seimbang dengan bahagian Pantai Barat.

Saya jangkakan selepas tiga tahun projek ini siap dibina kawasan-kawasan yang ketinggalan sebelum ini akan seimbang semula dan akan berlaku banyak perkembangan positif antaranya dapat membawa barang kargo dengan murah dan kuantiti lebih banyak, memudahkan pergerakan tenaga buruh dan manusia serta dapat mempromosikan sektor pelancongan di kawasan terlibat.

Apakah kesan jangka pendek selepas ECRL siap?

YUSOF: Kesannya memang cepat dalam tempoh tiga tahun kita sudah boleh nampak kesannya terutamanya melibatkan penghijrahan penduduk dari Pantai Barat ke Pantai Timur.

Sebelum ini sudah ada jajaran kereta api lama namun mengapa impak yang sama tidak berlaku?

YUSOF: Jajaran kereta api lama tidak mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan kerana pergerakannya yang sangat perlahan dan tidak menghubungkan ke kawasan strategik seperti pelabuhan-pelabuhan utama dalam negara, berbeza dengan ECRL, kereta api ini lebih moden dan mampu bergerak dengan laju.

Jika dibandingkan dengan jajaran kereta api lama, ia dibina ketika zaman British lagi dan dibina untuk kepentingan ekonomi waktu itu. Berlainan pula dengan ECRL jajarannya lebih luas termasuk meliputi kawasan seperti Jelebu, Kuala Klawang, Mentakab, Kuantan, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimana pula dengan cadangan kerajaan negeri Kelantan yang minta laluan ECRL disambung terus ke Tumpat, adakah terdapat keperluan?

YUSOF: Disebabkan kos pembinaan ECRL sekarang mencecah RM68.7 juta untuk per km, bagi saya untuk fasa permulaan pembinaan sehingga ke Kota Bharu pun sudah memadai. Untuk masa hadapan apabila pendapatan kerajaan sudah meningkat bolehlah sambung terus ke Tumpat.

Bagaimana pula impak yang diharapkan di laluan baharu seperti Jelebu dan Kuala Klawang?

YUSOF: Dari segi ekonomi kawasan ini akan membangun dengan cepat terutamanya melibatkan eko pelancongan. Kuala Klawang misalnya sangat terkenal dengan tempat perkelahan dan air terjun selain terkenal dengan pelbagai musim buah-buahan jadi jika ECRL disambungkan ke kawasan di sini sudah pasti ia dapat menjana ekonomi setempat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

Kerajaan mengumumkan kos pembinaan turun, bagaimana boleh berlaku?

YUSOF: Salah satu penurunan besar disebabkan perjanjian semula margin keuntungan, dahulu margin tinggi dan banyak vendor terlibat, sekarang telah dikurangkan.

Bagaimana pula penetapan 40 peratus skop kerja tempatan?

YUSOF: 40 peratus bagi saya agak rendah kerana masa kita lancarkan zon industri bebas di Pulau Pinang, Johor dan lain-lain kita juga meletakkan sasaran yang sama tetapi capai atau tidak tiada sebarang penguatkuasaan dibuat. Sepatutnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu lakukan penguatkuasaan ini.

Sebelum ini saya pernah buat kajian untuk buktikan kejayaan 40 peratus ini, masalahnya kerajaan tidak pantau dengan dekat dan hanya menyerahkan kepada PBT. Lebih memburukkan keadaan apabila PBT tidak merekod data terbabit. Oleh itu pemantauan perlu jelas untuk projek ECRL ini sebab melibatkan jumlah yang tinggi iaitu RM44 bilion.

Apakah pentingnya jumlah hutang berjaya dikurangkan dalam perjanjian baharu ini?

YUSOF: Dengan kurangnya pinjaman maka kuranglah bunga yang perlu dibayar semula, sebenarnya ini perkara yang kita perlu berhati-hati sebab untuk membuat urusan dengan China bukan mudah terutamanya melibatkan kewangan.

Perjanjian baharu ini yang diketuai oleh Tun Daim Zainuddin bagi saya boleh dipercayai, perjanjian dahulu agak longgar berbanding sekarang yang mana kita berjaya mengurangkan kos dan merunding semula perjanjian ini.

Adakah rancangan untuk membina stesen di Bangi/Kajang-Putrajaya bersesuaian?

YUSOF: Perkara ini melibatkan kos, kalau masuk Kuala Lumpur kosnya agak mahal sebab perlu bina landasan baharu jadi untuk kurangkan kos kena bina stesen di pinggir Kuala Lumpur.

ECRL dikaitkan dengan inisiatif One Belt One Road (OBOR), sejauh mana pentingnya peranan negara?

YUSOF: Memang ada kepentingan sebab bermula dengan Kuala Lumpur dan boleh dihubungkan terus dengan Kuantan dan sambung ke selatan Thailand dan China. Sekarang pengangkutan barang dari China perlu melalui Singapura melalui jalan laut, dengan adanya ECRL mungkin inisiatif Segenting Kra timbul semula. Thailand mungkin membuat laluan untuk membolehkan kapal melalui kawasan ini dengan cepat dan akhirnya kawasan di sebelah bawah (Singapura) menjadi lemah dan Thailand dan kawasan sekitarnya mungkin akan menjadi hab baharu.

- UTUSAN

Kos sara hidup punca jenayah meningkat

by

Desakan hidup dan faktor kewangan dikatakan antara punca penglibatan segelintir rakyat Malaysia dalam gejala jenayah seperti keldai dadah, meragut dan merompak.

Memang tidak dinafikan ada penjenayah tersebut melakukannya atas desakan hidup seperti kelaparan, ketiadaan wang atau masalah hutang.

Namun, terdapat juga segelintir individu yang melakukan perbuatan itu untuk mengaut keuntungan dengan cara yang mudah dan cepat.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, kajian empirikal menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif dan negatif antara jurang pendapatan serta kadar jenayah.

“Sebab itulah isu berkaitan kos sara hidup dan jurang pendapatan hari ini perlu diberi perhatian berikutan hubung kaitnya dengan kadar jenayah.

“Kebanyakan yang melakukan jenayah bawahan adalah disebabkan mahu meneruskan hidup secara selesa dan tindakan yang diambil dianggap jalan cepat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo! pada 14 Februari lalu melaporkan, desakan hidup dan faktor kewangan antara faktor yang menyebabkan penglibatan segelintir rakyat Malaysia sebagai keldai dadah menunjukkan peningkatan pada tahun lalu.

Ia didedahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali yang menyatakan trend tersebut semakin membimbangkan.

Berdasarkan rekod, seramai 425 orang rakyat Malaysia ditahan di 19 buah negara atas kesalahan menjadi keldai dadah sejak 2013 hingga Oktober tahun lalu.

Inflasi

Sebelum itu, Kosmo! pada 17 Januari lalu turut melaporkan, dua kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia adalah antara lapan individu yang ditahan di Australia atas dakwaan menyeludup dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai AS$20 juta (RM59 juta).

Dalam pada itu, Afzanizam menambah, faktor inflasi juga memainkan peranan penting dalam peningkatan dan pengurangan kadar jenayah.

“Oleh itu, langkah pencegahan sememangnya langkah yang perlu sentiasa diperkasa dan diberi perhatian.

“Antaranya adalah pendidikan kewangan supaya setiap individu mampu untuk mentadbir kewangan peribadi mereka dengan baik.

Ujarnya lagi, ia termasuklah menggalakkan individu untuk membuat tabungan serta melabur dalam instrumen pelaburan yang sesuai dengan tahap toleransi risiko mereka.

Menurut Afazanizam, simpanan bagi setiap individu adalah amat penting berikutan faktor inflasi yang sentiasa akan menghakis simpanan yang tidak dilaburkan.

Sementara itu, Pakar sosiologi, Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi berkata, kekurangan didikan agama juga mendorong seseorang itu melakukan jenayah akibat desakan kewangan.

“Jika kawalan agama dalam diri lemah, ia akan mempengaruhi seseorang melakukan kegiatan jenayah, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai peluang.

“Sebenarnya nilai moral dalam diri merupakan penentu untuk melakukan jenayah. Pengetahuan sahaja tidak mencukupi tapi ia mesti selaras dengan keimanan,” tuturnya.

= KOSMO!

Qariah Muda Juara Tilawah Antarabangsa 2019

by



Johan qariah tilawah serta antara peserta termuda Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-61, Nur Farhatul Fairuzah Panut, 19, malam tadi diajukan satu soalan peribadi iaitu mengenai calon jodohnya.

Namun, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan ini dengan nada malu menjawab, dia belum mahu memikirkan soal tersebut sebaliknya mahu memberi tumpuan pada pelajarannya sehingga ke peringkat tertinggi.

Gadis dari Sepang, Selangor ini berkata, dia meletakkan kriteria yang ‘biasa-biasa’ sahaja untuk mana-mana lelaki yang ingin menjadi pasangan hidupnya suatu hari nanti.

“Alah…(sambal tertawa), belum terfikir lagi, tapi tak taulah… kalau boleh yang ‘biasa-biasa’ sahaja. Tak kisah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis penutupan dan pengurniaan hadiah pada majlis itu, malam tadi.

Nur Farhatul Fairuzah juga merancang untuk meyambung pengajian dalam bidang al-Quran dan syariah.

“Saya bersyukur atas kemenangan ini. Ini semua berkat doa daripada ibu, kawan-kawan, guru-guru dan semua pihak,” ujarnya.

Dia yang merupakan anak bongsu dari lima beradik dan berasal dari Sepang, Selangor juga berazam untuk membawa ibunya ke luar negara dan menunaikan umrah buat sekian kalinya.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam tilawah al-Quran, dia memberitahu, dia bermula pada usia lima tahun dan cita-citanya untuk menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran.

“Ibu bapa, ahli keluarga saya semuanya pandai taranum, Alhamdulillah,” ujarnya.

Sementara itu, johan qari tilawah, Abdul Khair Jalil, 40, ketika ditemui pemberita bercadang untuk menunaikan haji bersama-sama isteri, Halimatun Samsuri dengan wang kemenangan yang diperoleh.

Katanya yang juga pensyarah bahasa Arab di Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), perancangan-perancangan lain akan difikirkan kemudian.

“Persediaan untuk tilawah a-Quran peringkat antarabangsa ini selama setahun juga. Rujukan saya dua orang, Ustaz Abdul Rahim dan Ustaz Yahya Daud serta kawan-kawan jugalah banyak membantu,” ujarnya.

Nur Farhatul Fairuzah dan Abdul Khair membawa pulang hadiah berupa kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), piala iringan dan wang tunai RM40,000.

- UTUSAN



20 April 2019

ECRL: Datang jumpa saya jika malu - Daim

by


Projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah dirunding semula menawarkan banyak peluang kepada kontraktor tempatan termasuk bumiputera terutama dalam kerja-kerja awam seperti pembekalan dan aspek teknikal, kata Tun Daim Zainuddin.

Wakil Khas Perdana Menteri dalam kejayaan rundingan semula projek ECRL bersama kerajaan China pada 12 April lepas itu berkata, peluang ini perlu direbut kontraktor tempatan kerana terlalu banyak pakej menarik yang ditawarkan dalam projek yang akan mengubah landskap ekonomi negara, dan menjadi kerugian jika ia dilepaskan begitu sahaja.

"Jika tiada keupayaan, kena kerjasama erat dengan pakar asing kerana terlalu banyak pakej ditawarkan. Malah tidak mustahil, penglibatan mereka akan lebih daripada 40 peratus jika kolaborasi itu berjaya. Saya nampak, mungkin dari sudut pembekalan dan teknikal. Jadi mereka ini perlu bersedia.


"Mereka perlu pergi berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tunjuk kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Ini tender antarabangsa, kena produktif, jangan tunggu peluang datang bergolek, jangan tunggu orang panggil, jangan kritik tanpa fakta, orang meniaga kena bergerak.

"Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Jangan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda, anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Pada 12 April, MRL dengan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. Ia akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Pada 15 April, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian SA itu.

Mengulas lanjut, Daim berkata, projek mega untuk limpahan pelbagai pihak khasnya warga pantai timur itu, bukanlah projek gajah putih kerana melibatkan 70 peratus muatan kargo dan 30 peratus penumpang sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

"Pastinya ini antara projek terbesar untuk warga Pantai Timur dan paling mahal pernah dibuat untuk membawa persamaan (kemajuan) antara barat dengan timur kerana selama ini mereka ketinggalan. Pantai Timur akan berubah berbanding sebelum ini, kita ada peluang dengan adanya ECRL.

"Malah saya sendiri telah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu (mengenai prospek ECRL). Dan saya akan ke Kelantan nanti. Kita harap negeri-negeri terlibat ambil kesempatan dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik pelabur.

"Ini peluang untuk ambil kesempatan dengan bijak kerana ia projek terbesar pernah diadakan di jajaran Pantai Timur yang kaya dengan budaya dan adat, makanan sedap, peluang pelaburan dan perniagaan. Kerana itu kena ambil kesempatan untuk kebaikan bersama-sama," katanya.

Tegasnya, antara bidang yang akan menerima manfaat dengan kewujudan ECRL ini adalah sektor ekonomi dan pelancongan yang pastinya akan melibatkan banyak peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di setiap stesen dan perhentian.

"Kalau sebelum ini boleh berjaya di Pantai Barat, kenapa tidak lakukan perkara yang sama di Pantai Timur. Ini bakal mewujudkan kemajuan yang seimbang di Semenanjung Malaysia," katanya.

Jajaran baharu itu menyaksikan panjang landasan dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer, melalui lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan selain Putrajaya berbanding hanya empat negeri sebelum ini.

- BERNAMA

16 April 2019

Akaun Al-Awfar Bank Islam tawar ciri, tawaran menarik

by

 

Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam), menyasarkan saiz dana pelaburan meningkat sebanyak RM800 juta tahun ini, dipacu oleh pelancaran produk Al-Awfar yang dipertingkatkan, termasuk penambahan ciri-ciri baharu dan tawaran menarik untuk pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed, berkata Bank Islam menyasarkan untuk menarik 230,000 pelanggan baharu tahun ini menerusi produk berkenaan, memandangkan Al-Awfar berjaya berbuat demikian sejak bermula pada 2009.

Beliau berkata, sejak 10 tahun produk ini diperkenalkan, Al-Awfar telah melahirkan 23 jutawan dan terus mendapat sambutan menggalakkan sehingga kini.

“Kami mencapai rekod prestasi baik dengan saiz dana berjumlah RM2.45 bilion iaitu membabitkan sebanyak 771,496 akaun. Kami juga memperbaharui struktur hadiah cabutan dan meningkatkan nilai hadiah daripada RM10 juta kepada RM14 juta sempena pengenalan Al-Awfar baharu ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Al-Awfar Baharu di sini, hari ini.

Al-Awfar adalah akaun pelaburan berisiko rendah berdasarkan konsep Mudarabah, yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Ia terbuka kepada individu, entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan.

Hadiah cabutan istimewa setengah tahun berupa kereta Mercedes C200 Vantgarde, Honda Civic, pakej percutian atau umrah dan telefon pintar.

Manakala, cabutan suku tahunan pula terbahagi kepada dua kategori iaitu Jutawan dan Al-Awfar Junior, yang mana pemenang berpeluang memenangi wang tunai RM1 juta dan bagi Al-Awfar Junior pula berpeluang memenangi iMac, Macbook Pro, iPhone dan wang saguhati.

Pada masa sama, Bank Islam masih meneruskan cabutan bulanan kempen Jom Pindah Gaji sehingga Disember 2019.

Pelanggan hanya perlu memindahkan gaji ke Bank Islam untuk layak menyertai cabutan ini yang terbuka kepada kakitangan kerajaan dan semua agensi di bawahnya.

Sumber : Berita Harian

 

15 April 2019

DUN Rantau kekal milik BN

by





Datuk Seri Mohamad Hasan secara rasmi mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas menang kerusi DUN Rantau, hari ini.

Mohamad, 62, yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.

Kemenangan Mohamad atau sinonim dengan panggilan Tok Mat menidakkan hasrat dua calon bebas iaitu Mohd Nor Yassin, 67, dan R Malarvizhi, 51.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Dr Streram 5,887 undi.

Manakala Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing hanya mendapat 79 dan 83 undi.

Keputusan rasmi dipaparkan di skrin layar Pusat Penjumlahan Undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau Mohd Nizam Tajul Arus mengumumkan keputusan rasmi.

PRK DUN Rantau membabitkan 20,793 pengundi dengan 14 pusat pengundian menerusi 53 saluran.

Penguasaan BN di Rantau sekali gus mencipta 'hatrik' selepas memenangi PRK Parlimen Cameron Highland dan DUN Semenyih baru-baru ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamad yang juga Pemangku Presiden UMNO menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 5 Mei 2018.

Dr Streram merangkap Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhajaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 29 November 2018, Mohamad memfailkan rayuan terhadap keputusan kemenangannya itu yang dibatalkan.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menolak petisyen difailkan Tok Mat untuk mengetepikan keputusan sebelum itu dan mengisytiharkan kemenangan pemangku Presiden UMNO terbatal dan tidak sah.

- METRO

13 April 2019

"Human calculator" Yaashwin Sarawanan naib juara Asia's Got Talent musim ke-3

by


Subjek matematik pastinya merupakan salah satu mata pelajaran yang paling sukar buat kebanyakan pelajar.

Namun, subjek yang melibatkan nombor ini bukanlah masalah buat Yaashwin Sarawanan.

Lebih mengujakan lagi apabila "human calculator" yang berusia 15 tahun ini menduduki tangga naib juara dalam pertandingan Asia's Got Talent (AGT) musim ketiga.

Juara AGT musim ketiga ini menjadi milik ahli silap mata dari Taiwan, Eric Chien, yang banyak memukau penonton dengan muslihat mengagumkan dari jarak dekat. Beliau antara lain membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$100,000.

Sementara itu, satu lagi penyertaan Malaysia ke peringkat akhir iaitu kumpulan Nama, kandas dalam kelompok awal finalis bersembilan.

Kuartet nyanyian harmoni dengan imej gadis berhijab itu mencuri perhatian sejak pusingan saringan hinggalah ke pentas akhir yang diadakan di Singapura itu.

AGT musim pertama menampilkan empat juri tetap profesional dalam industri seni bagi mengadili para peserta ialah penerbit muzik terkenal David Foster, penyanyi tersohor Indonesia, Anggun Cipta Sasmi, dan bintang rap popular Amerika-Korea Selatan, Jay Park.


Majalah dan buku DBP berevolusi ke dunia digital

by




Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal berevolusi apabila kesemua majalah dan buku terbitannya akan dipasarkan secara digital mulai Julai 2019 ini.

Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, senario semasa yang sedang menyaksikan kemajuan drastik teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang melibatkan gabungan teknologi digital dan pengkomputeran dapat dimanfaatkan oleh para penerbit selari dengan trend industri terkini.

“Transformasi ini adalah untuk mewujudkan penerbitan digital majalah dan buku terbitan DBP di samping mengekalkan penerbitan bercetak dalam kuantiti yang terhad merujuk pada beberapa majalah tertentu,” jelas beliau ketika ditemui di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur sempena dengan Sidang Eksekutif ke-58 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Jelas Sallehuddin lagi, industri penerbitan majalah dan buku pada ketika ini amat terkesan dengan senario ekonomi semasa apabila kos sara hidup meningkat sehingga menyebabkan kuasa beli pengguna semakin mengecil.

Menerusi transformasi penerbitan 11 majalah dan buku digital itu kelak, masyarakat boleh membeli kesemua majalah dan buku digital pada harga yang lebih murah.

"Capaian majalah dan buku juga lebih mudah dan pantas tanpa batasan masa dan tempat,” tambah beliau.

Difahamkan, majlis pelancaran rasmi pelaksanaan ini akan berlangsung Jun ini.

Sementara itu, di antara pelaksanaan kerja yang bakal berlaku termasuk pembinaan aplikasi dan laman web DBP yang baharu, bagi menyokong pembelian dan langganan.

Pembaca akan mempunyai pilihan membeli atau melanggan sama ada kandungan majalah yang dimuatkan dalam laman web, atau pun yang dimuat naik dalam aplikasi yang boleh didapati melalui platform AppleStore atau GooglePlaystore.

Sallehuddin turut berkata, pada masa yang sama DBP akan menggunakan semua saluran media sosial dan medium yang lain untuk mempromosikan majalah dan buku digital, antaranya termasuklah menggunakan pengaruh media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube, serta media tradisional.

“Penerbitan majalah digital juga diyakini dapat membantu penyebaran bahasa Melayu dengan lebih meluas,” tegas Sallehuddin.

Peralihan dari media cetak ke dunia digital ini adalah seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan bahan digital dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kewujudan lebih banyak buku digital terutamanya dalam bahasa kebangsaan juga dapat memberikan pelbagai pilihan sumber kepada guru dan pelajar dalam menyokong hasrat ini.

- UTUSAN



Hina raja: Kumpulan 'Sabah-Sarawak Merdeka' langgar undang-undang negara

by


Tindakan kumpulan dalam laman Facebook yang menyunting gambar Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah perbuatan menghina raja yang melanggar undang-undang negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Sabah-Sarawak Merdeka' itu adalah perbuatan melampau yang tidak melambangkan tatasusila rakyat serta bercanggah dengan prinsip Rukunegara.

Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menyiasat kes ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dengan niat untuk mencetuskan keadaan yang tidak harmoni dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

- BERNAMA

ECRL diteruskan, kurang 40km

by

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang di­sambung semula pembinaannya akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer, kata Tun Daim Zainuddin.

Daim yang merupakan Wakil Khas Perdana Menteri berkata, landasan baharu yang bakal dibina itu adalah sepanjang 648 kilometer berbanding ranca­ngan awal 688 kilometer.

Bercakap kepada media Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini, hari ini, beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, ciri lain se­perti landasan berkembar walau bagaimanapun masih dikekalkan seperti mana perjanjian asal.

“Beberapa stesen akan turut digugurkan pembinaannya se­perti Gombak manakala jajaran baharu yang diperkenalkan adalah di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Berikutan itu, jajaran baharu sekarang ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” katanya.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Terdahulu, Malaysia-China menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL di sini pada 11 pagi waktu tempatan, membabitkan wakil Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Con­­struction Company Ltd. (CCCC).

Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Mengulas lanjut mengenai rundingan perjanjian yang telah diusahakan sejak Julai tahun lepas itu, Daim berkata projek pembinaan ECRL itu akan turut dimulakan semula secepat mungkin.

Ditanya mengenai pengura­ngan faedah pinjaman terbabit, beliau berkata perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar Isnin depan.

“Perkara itu akan diperincikan oleh Perdana Menteri. Tetapi secara amnya, jumlah itu akan berkurangan seiring pe­ngurangan jumlah pinjaman baharu,” katanya.

Selain itu, Daim juga yakin pemeteraian perjanjian tambahan baharu ini akan meng­eratkan lagi hubungan Malaysia-China.

“Kita percaya ini juga merupakan satu kepercayaan baharu kepada pelabur-pelabur China untuk terus melabur di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

12 April 2019

Fara Umira si manis pandu monorel

by


Setiap hari seawal jam 4.30 pagi, Fara Umira Abd Halim, 26, sudah berada di depoh tren monorel KL Sentral bagi memeriksa keadaan tren seterusnya memandu monorel di sepanjang landasan bermula di KL Sentral sehingga ke Titiwangsa bagi memastikan laluan berada dalam keadaan baik. Kemudian dia akan berpatah balik ke KL Sentral bagi memulakan tugasan mengambil penumpang pertama pada jam 6 pagi.

Beginilah rutin harian wanita ini yang bertindak sebagai Kapten Tren Monorel sejak 23 November 2017 lalu. Melihat susuk tubuhnya yang kurus dan tinggi, ramai kurang percaya kebolehannya sebagai pemandu tren. Apatah lagi apabila terpaksa bersaing dengan pemandu lelaki yang lebih menyerlah dan terbukti kemampuan mereka.

Menurut Fara Umira yang mesra disapa Fara, pada mulanya dia tidak pernah terfikir untuk bergelar pemandu tren monorel. Dia yang ketika itu bertugas sebagai juruteknik makmal terbaca iklan di akhbar mengenai peluang kerjaya yang ditawarkan dalam Prasarana.

“Mulanya langsung tidak menyangka ditawarkan kerjaya ini memandangkan susuk tubuh saya sendiri kecil dan kurus. Selepas menjalani temu duga pihak syarikat menyatakan saya ditempatkan sebagai pemandu tren, saya terkejut kerana sebelum ini tidak menyangka ada pemandu wanita untuk monorel.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi peluang ini sedangkan ramai yang ingin mencuba,” katanya teruja.

Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, kereta api, sistem transit aliran ringan dan monorel sering menjadi kenderaannya untuk ke mana saja kerana dia sendiri tidak suka kesesakan lalu lintas.

“Sebagai anak yang dibesarkan nenek di Kuala Lumpur sudah tentu saya melihat perkembangan pesat industri rel. Memang saya teruja dan sering bertanya bagaimana ia beroperasi, ada pemandu atau tidak serta sistem apa digunakan setiap kali menaikinya. Sekarang selepas diberikan peluang bekerja dalam bidang ini barulah saya faham perjalanannya tidak semudah yang disangka,” jelasnya.

Namun Fara mengakui dia banyak mencari maklumat di YouTube dan membaca mengenai pemanduan tren. Daripada situ dia rasa tercabar untuk melakukan yang terbaik sama ada ketika latihan dan kala melaksanakan kerjaya sebenar.

Dia yang perlu menjalani latihan selama tiga bulan di bawah Akademi Prasarana menjelaskan, apa yang dipelajari secara teori sebenarnya tidak sama ketika memandu secara manual. Ini kerana monorel menggunakan 100 peratus khidmat pemandu dari segi kawalan.

“Ketika kali pertama, saya bersama penyelia membuat pemanduan dari KL Sentral ke Titiwangsa. Memang ia sangat menyeronokkan namun agak mencabar disebabkan perlu berurusan dengan penumpang dan masa. Namun semuanya dapat diatasi berpandukan operasi standard yang sudah ditetapkan,” katanya yang memiliki Diploma Setiausaha Pejabat daripada Kolej Islam Antarabangsa.

Cabaran untuk kapten 

Sama seperti pengangkutan awam yang lain, cabaran terbesar sebagai kapten monorel apabila perlu berhadapan pelbagai ragam penumpang. Ada di antara mereka tidak sabar memasuki gerabak terutama pada waktu puncak dan di stesen popular seperti Bukit Bintang serta KL Sentral. Ada juga berdiri melebihi garisan dihadkan.

“Keadaan ini sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Ini kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, antaranya tertolak atau secara tidak sengaja terjatuh ke landasan. Oleh itu mata saya perlu tajam dan fokus dengan setiap situasi,” katanya.

Selain itu sekiranya berlaku kecemasan, tren terpaksa diberhentikan. Mungkin ada penumpang kurang faham sehingga perlu dijelaskan. Dalam keadaan ini Fara perlu berhubung dengan pusat kawalan bagi menyampaikan maklumat mengenai keadaan yang berlaku. Selain itu juga dalam keadaan cuaca yang panas dan hujan turut memberi cabaran kepadanya.


KESIHATAN adalah sangat penting bagi setiap pemandu. Ini kerana mereka perlu berada dalam keadaan baik sepanjang pemanduan - Fara.
Namun faktor cuaca setakat ini tidak mendatangkan masalah besar yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.

“Sebab itu pentingnya latihan selama dua bulan bagi membiasakan pemandu berdepan situasi sebenar. Paling penting adalah fokus dan tumpuan ketika memandu. Ia sama seperti memandu di jalan raya, tidak boleh leka agar sebarang rintangan atau masalah dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Menurut Fara, sebagai kapten tren monorel segala keputusan dan tindakan yang dilakukan adalah di atas risiko sendiri, apatah lagi dia bertanggungjawab membawa ratusan penumpang setiap hari. Oleh itu kawalan seperti mengemudi, had kelajuan, pengumuman stesen, mengawal sistem pintu dan penumpang turut menjadi tanggungjawab seorang kapten.

“Saya masih baharu di sini dan banyak yang perlu dipelajari. Walaupun setakat ini tidak pernah melalui situasi cemas atau mendebarkan, saya sentiasa berwaspada agar tiada perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Dapat sokongan keluarga 

Kesungguhan dan minat Fara menceburi bidang dikuasai lelaki itu mendapat sokongan keluarga terutama nenek dan ibu bapanya. Pada mulanya dia merahsiakan daripada keluarga kerana tidak mahu hasratnya dihalang namun selepas enam bulan bekerja barulah dia berani bercerita mengenai kerjayanya.

“Mulanya memang ibu terkejut kerana tidak sangka saya berupaya memandu monorel. Tetapi lama-kelamaan selepas dijelaskan bidang tugas saya barulah mereka memahami dan memberikan sokongan. Begitu juga nenek yang sentiasa menasihati saya agar berhati-hati dan menjaga diri ketika bertugas,” katanya.

Jadual kerja Fara mengikut syif harian. Ia bermula seawal jam 4.30 pagi sehingga 2.30 petang manakala syif petang bermula jam 2.30 petang sehingga 12.30 malam.

Laluan perjalanannya pula dari stesen KL Sentral ke Titiwangsa kemudian akan berpatah semula ke KL Sentral bergantung kepada jadual tugasan yang disediakan.

Jadual waktu juga bergantung kepada kesihatan pemandu, sekiranya kesihatan mereka berada dalam keadaan tidak baik ia akan diganti dengan kapten monorel yang lain.

“Kesihatan adalah sangat penting bagi setiap pemandu. Ini kerana mereka perlu berada dalam keadaan baik sepanjang pemanduan. Tidak boleh tidak, pemandu harus memberitahu seandainya mereka tidak sihat atau perlu diganti dengan pemandu lain,” katanya.

Perancangan masa depan

Menurut Fara, dia merancang memberikan khidmat terbaik sebagai kapten tren monorel untuk jangka masa dua atau tiga tahun sebelum menjadi penyelia. Sebagai pekerja dia melihat kerjaya dalam industri rel semakin berkembang pesat. Jika dulu ia hanya dimonopoli lelaki tetapi kini semakin ramai wanita diberikan peluang menjadi kapten dan pelbagai bidang yang lain.

Selain itu peluang pekerjaan juga sangat terbuka luas, malah tiada diskriminasi jantina sebaliknya kedua-dua saling memerlukan bagi meningkatkan potensi diri.

“Saya akui ketika mula-mula menceburi kerjaya ini, ada juga rasa takut dan kurang yakin. Namun saya dikelilingi rakan setugas yang sangat memahami dan memberikan tunjuk ajar sekiranya ada perkara yang perlu diselesaikan. Walaupun hanya dua pemandu wanita monorel, kami diberikan peluang belajar sama rata selain kenaikan pangkat asalkan bersesuaian dengan pengalaman dan pendidikan seseorang,” katanya.

- Harian Metro

10 April 2019

Menteri Besar Johor Osman Sapian Letak Jawatan

by


Peletakan jawatan Datuk Osman Sapian menghangatkan spekulasi siapa bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kempas itu seperti mana diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan semalam kepada Perdana Menteri dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengunduran Osman yang menurut Dr. Mahathir tidak memberi sebarang alasan sememangnya sudah diduga apabila beliau tidak menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Si­nga­pura di Putrajaya, hari ini.

Tempat beliau diganti oleh Dr. Sahruddin Jamal yang dikatakan antara calon yang disenaraikan untuk mengambil alih kepe­mimpinan negeri Johor jika Osman meletakkan jawatan.


Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri itu sekali gus mengesahkan pertemuan antara Osman dengan Dr. Mahathir semalam bukan berkaitan Pemukiman Pemim­pin Malaysia-Singapura sebalik­nya berhubung kedudukan ADUN Kempas itu dalam me­nerajui Johor.

Osman yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadi Menteri Besar pertama meletakkan jawatan selepas 11 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu dan negara.

Selain itu, beliau yang menjadi Menteri Besar Johor Ke-16 selepas namanya dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar oleh Bersatu mencatatkan sejarah sebagai individu yang meme­gang jawatan berkenaan paling singkat di negeri tersebut iaitu tidak sampai setahun.

Dalam sejarah kepemimpinan negeri Johor, sebelum ini individu yang memegang jawatan menteri besar paling singkat ialah Datuk Mohamed Datuk Mahbob bagi tempoh Julai 1922 hingga September 1923.

Bagaimanapun peletakan jawatan Osman bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana menurut sumber, Sultan Johor beberapa bulan lalu dikatakan sudah menitahkan penggantian menteri besar dilakukan.

“Keadaan itu disebabkan kakitangan kerajaan negeri dan rakyat sudah tidak tahan lagi dengan ketidakcekapan Osman dalam mentadbir Johor,” kata sumber berkenaan.

Titah Sultan Johor untuk me­nukar Osman disahkan oleh Tengku Mahkota Johor dalam ciapan dalam laman Twitter hari ini.

Dalam ciapan itu baginda bertitah:

“Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mi­leage (ke­lebihan) kononnya dia arahkan.

“Ke Bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar menteri besar sejak berbulan lalu. Ja­ngan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup cukuplah politiking.’’

Penggantian Osman juga se­kali gus akan membuktikan be­liau bukanlah pilihan is­ta­na se­perti mana digembar-gem­bur­kan oleh banyak pihak.

“Kalau pilihan Istana sudah tentu beliau akan dikekalkan dalam apa keadaan sekali pun, senario politik di beberapa nege­ri sebelum ini sudah membuktikan perkara itu, tetapi apabila Tuanku Sultan sendiri mahu menteri besar ditukar di­sebabkan prestasi, maknanya Osman bukan individu kesaya­ngan istana seperti dituduh banyak pihak, lagipun sebelum ini bukan Istana yang mencadangkan nama Osman untuk menduduki jawatan tersebut tetapi Bersatu,’’ kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, tuduhan mengatakan Sultan Johor memilih nama menteri besar secara bersendirian adalah tidak benar kerana nama Osman dicadangkan oleh Bersatu selepas tiada lagi calon yang lebih layak.

“Ia memandangkan selain Presiden Bersatu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin akan memegang jawatan di peringkat Pusat, Osman adalah orang nombor dua dalam kepemimpinan parti ber­kenaan di Johor. Selepas mendapat nama itu barulah Tuan­ku Sultan melantik Osman,’’ kata sumber berkenaan.

Mengenai pengganti Osman, sumber itu berkata, selain Dr. Sahruddin yang merupakan ADUN Bukit Kepong daripada Bersatu, turut disebut-sebut ialah seorang lagi pemimpin Bersatu Johor iaitu ADUN Pu­teri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri.

“Selain beliau, Pengerusi Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri, Khuzzan Abu Bakar (ADUN Seme­rah-PKR) dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri, Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani-Ama­nah) turut berada senarai calon.

“Tuanku Sultan hanya ber­kenan dicadangkan empat nama ini daripada kepemimpinan Pakatan Harapan. Ia memandangkan pengalaman mereka selama hampir setahun sebagai exco boleh membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri,’’ katanya.

Sumber itu turut menegaskan, jika selain daripada nama itu dicadangkan Tuanku Sultan berhak menolak dan tidak mustahil DUN boleh dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

“Perlu diingat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Sultan Johor sebagai Raja Peme­rintah mempunyai kuasa mutlak untuk memilih atau melantik sesiapa sebagai menteri besar ne­geri itu,’’ kata sumber itu lagi.

- UTUSAN

5 April 2019

Gagal kebumi bayi akibat kesempitan wang

by


Seorang pembantu warung tidak dapat menyempurnakan pengebumian bayi lelakinya yang meninggal dunia sejurus dilahirkan di sebuah hospital malam tadi hanya kerana tiada wang untuk membayar kos pengebumian sebanyak RM300 dipinta pengurusan jenazah sebuah surau.

Isteri kepada lelaki berkenaan dipercayai terjatuh di tandas dan menyebabkan bayi berusia lima bulan yang dikandungnya gugur.

Kisah menyayat hati itu dikongsi seorang aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Zulhairi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, dia menerima panggilan daripada wakil sebuah hospital hari ini menyatakan ada sepasang suami isteri menghadapi masalah tidak cukup wang untuk mengebumikan mayat bayi lelakinya.

“Selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital, saya bertemu dengan bapanya yang memberitahu dia cuba mengebumikan jenazah bayi lelakinya di tempat asalnya namun pihak pengurusan meminta bayaran RM300 sedangkan dia hanya mempunyai RM150 pada masa itu.

“Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan,” katanya.

Mohd Zulhairi berkata, dia kemudian mengambil jenazah bayi itu sebelum memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya di sebuah tanah perkuburan.

“Sepanjang itu, hanya RM20 sahaja yang saya keluarkan bagi proses menggali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Saya tersentuh melihat keadaan pasangan berkenaan yang tidak mampu mengebumikan jenazah anak mereka dan sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk membantu,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu operasi gerakan Amal Team boleh melayari akaun FB, Mohd Zulhairi Zainol.

- Kosmo!

Ramai tak tahu ada kamera terpasang di belakang kerusi penumpang

by


Syarikat penerbangan terbesar di dunia mengakui beberapa pesawat mereka mempunyai kamera yang dipasang di belakang kerusi penumpang.

American Airlines, United Airlines dan Singapore Airlines mempunyai sistem hiburan di tempat duduk belakang yang mempunyai kamera.

Bagaimanapun kamera juga boleh mungkin terdapat pada tempat duduk penumpang untuk pesawat lain.

Syarikat-syarikat yang menghasilkan sistem hiburan dalam pesawat telah memasang kamera pada kerusi untuk menawarkan pilihan kepada penumpang seperti membuat persidangan video, menurut jurucakap American Airlines.


Tetapi ketiga-tiga sayarikat penerbangan ini menyatakan mereka tidak pernah mengaktifkan kamera tersebut dan tidak mempunyai rancangan untuk menggunakannya.

Seorang penumpang penerbangan Singapura memuat naik gambar di Twiter baru-baru ini menunjukkan bahagian belakang kerusi penumpang yang mempunyai kamera, menyebabkan para penumpang udara lain menyuarakan kebimbangan mengenai privasi mereka ketika berada pada ketinggian 30,000 kaki di udara.

Vitaly Kamluk, yang merakam foto kamera itu semasa penerbangannya, mencadangkan syarikat tersebut menutup kamera itu dengan sticker.

”Kamera mungkin tidak digunakan sekarang," katanya.

”Tetapi jika ia berwayar, beroperasi, dibekalkan dengan mikrofon, ia adalah satu masalah melibatkan godaman pintar untuk ia digunakan pada pada lebih 84 pesawat dan mengintip penumpang.”

Jurucakap American Airlines Ross Feinstein berkata kamera-kamera itu berada di kerusi ‘ekonomi premium’ pada 82 pesawat Boeing 777 dan Airbus A330-200.

”Kamera merupakan ciri standard pada kebanyakan sistem hiburan dalam penerbangan yang digunakan oleh beberapa syarikat penerbangan," katanya.

Jurucakap syarikat Singapura James Boyd berkata kamera terdapat di 84 pesawat Airbus A350s, Airbus A380s dan Boeing 777s dan 787s.

British Airways memberitahu Independent bahawa tidak ada pesawatnya yang mempunyai kamera di belakang kerusi.

Tetapi jurucakap United berulang kali memberitahu wartawan Associated Press bahawa tidak ada sistem hiburannya mempunyai kamera, sebelum meminta maaf dan menyatakan bahawa sesetengahnya ada.

Delta tidak menjawab soalan mengenai beberapa sistem hiburannya, yang nampaknya sama dengan American dan United.

Syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa mereka tidak menambah kamera, mengatakan pengeluar yang telah memasukkannya dalam sistem hiburan.

Sistem pada American dibuat oleh Panasonic, manakala Singapura menggunakan Panasonic dan Thales, menurut wakil syarikat penerbangan.

Panasonic atau Thales tidak langsung memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen.

-Independent

Top Ad 728x90