Sumber Maklumat Terkini

24 Julai 2019

Zikir rukuk bukan amalan sesat


Amalan zikir sambil rukuk dan bangun berdiri secara berulang kali seperti dilakukan jemaah sebuah surau di Kampung Bantal Seberang di Jerantut didapati tidak bercanggah dengan akidah serta ajaran Islam.

Kadi Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa'ad, berkata, perkara tersebut diputuskan sedemikian selepas pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melengkapkan siasatan ke atas jemaah surau tersebut baru-baru ini.

"Ia adalah kaedah zikir yang menjadi amalan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah. Tarekat ini diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai tidak bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta hukum syarak.

"Saya harap, orang ramai tidak cepat menghukum sesuatu amalan sebagai sesat sehinggalah ia benar-benar melanggar batas akidah dan hukum syarak," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan siasatan berhubung penularan dua klip video berdurasi seminit 12 saat dan 22 saat di laman sosial Facebook pada 11 Julai lalu.

Penularan video yang memaparkan jemaah surau berkenaan melakukan zikir sambil rukuk dan bangun berdiri berulang kali itu juga pernah dilaporkan Kosmo! Online pada 14 Julai lalu.

Hasil siasatan terdahulu, JAIP mendapati amalan tersebut dibawa seorang lelaki dikenali sebagai Tok Aki yang berusia 70-an dan berasal dari Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pernah menyiasat Tok Aki sebelum ini, namun tidak mensabitkan lelaki itu dengan tuduhan menyebarkan ajaran sesat.

"Dia adalah pengamal tarekat yang dibawa masuk dari Mesir dan antara tujuan Tok Aki berjemaah di surau itu adalah atas dasar merapatkan hubungan silaturahim serta melakukan perubatan (tradisional)," katanya. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.