26 Ogos 2019

Kegagalan rangkaian punca gangguan sistem di KLIA

by


Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sejak malam Rabu lalu adalah berpunca daripada kegagalan rangkaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, sebahagian besar sistem-sistem penting di Terminal Utama KLIA kini pulih dan kembali beroperasi.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan berjaga-jaga dan akan terus mengawasi keadaan semasa berikutan masih berdepan beberapa isu.

"Sejak penggantian peralatan rangkaian, kita melihat perkembangan positif terhadap kestabilan rangkaian.

"Terminal Utama KLIA masih mengalami beberapa masalah kelewatan tetapi keadaannya bertambah baik menerusi langkah-langkah yang telah dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Tambah Raja Azmi, sistem di terminal KLIA2 secara umumnya tidak terjejas pada masa ini dan tumpuan diberikan kepada kesinambungan sistem serta memperluaskan capaian bantuan terhadap syarikat-syarikat penerbangan dan penumpang.

"Terdapat kelewatan dan pembatalan penerbangan tetapi kita menguruskannya dengan menggunakan kesemua 38 'remote bay' pesawat selain menyediakan bas-bas tambahan serta perkhidmatan pengendalian lapangan untuk syarikat-syarikat penerbangan bagi melicinkan pergerakan penumpang ke remote bay berkenaan.

"Tempoh operasi di semua lapangan terbang di seluruh negara juga dilanjutkan dalam usaha menampung penerbangan-penerbangan yang lewat dari Kuala Lumpur," jelasnya.

Sementara itu, Raja Azmi berkata, pihaknya menyediakan 1,000 kakitangan tambahan untuk membantu penumpang dan pengasingan bagasi secara manual.

"Kami juga bekerja sangat rapat dengan syarikat-syarikat penerbangan untuk memastikan beg dihantar kepada pemilik yang betul. Tenaga tambahan ini akan ada sehingga keadaan kembali normal," katanya.

Dalam pada itu, kata Raja Azmi, penumpang digalakkan untuk menggunakan aplikasi mobile atau laman web penerbangan masing-masing untuk mendaftar masuk bagi mengelak daripad beratur panjang di kaunter.

"Mereka juga diminta mendapatkan bantuan kakitangan lapangan terbang berhubung penerbangan yang tergendala," katanya.

- Kosmo!

BSH Fasa Ketiga 2019 dibayar 28 Ogos

by

Kerajaan akan membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa ketiga mulai Rabu ini, 28 Ogos 2019 kepada hampir 3.6 juta penerima di seluruh negara membabitkan peruntukan sebanyak RM1.23 bilion.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, pembayaran fasa ketiga itu akan dikreditkan terus ke akaun bank dengan menggunakan maklumat akaun yang digunakan semasa pembayaran fasa kedua.

"Sejumlah RM2.85 bilion juga telah disalurkan kepada isi rumah yang diluluskan bagi bayaran fasa pertama dan kedua yang masing-masing dibuat pada Januari dan Mei lalu.

"Ini termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat orang. Anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah dan juga anak OKU tanpa had umur," katanya di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, secara keseluruhan, keluarga pendapatan isi rumah bawah RM2,000 menerima RM1,000 meliputi tiga fasa termasuk RM400 bagi fasa ketiga yang akan dibuat bulan ini dan RM600 untuk fasa pertama dan kedua yang telah dibayar pada Januari dan Mei lalu.

Penerima berpendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima jumlah keseluruhan RM750 bagi ketiga-tiga fasa berkenaan membabitkan bayaran RM300 (fasa pertama), RM150 (fasa kedua) dan RM300 (fasa ketiga).

Sementara itu, keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 menerima RM500 meliputi tiga fasa tersebut membabitkan bayaran RM300 (fasa pertama), RM100 (fasa kedua) dan RM100 (fasa ketiga).

Kementerian Kewangan berkata, jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my. 

Tempahan Axia 2019 dibuka

by


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) terus agresif menawarkan model-model baharu bersifat mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia memiliki kenderaan sendiri dan terbaharu, syarikat kereta nasional itu telah mula membuka tempahan untuk model Axia 2019.

Axia 2019 merupakan ken­deraan hatchback segmen-A yang telah diperbaharui dan didatangkan dalam enam varian iaitu E, G, GXtra, SE, dan AV selain varian baharu iaitu STYLE.

Dikuasakan dengan enjin 1 liter 1KR-VE yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau transmisi automatik empat kelajuan, model tersebut ditawarkan pada harga tentatif antara RM24,090 hingga RM43,190 (atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sejak mula-mula dilancarkan pada 2014, Axia sentiasa mendapat sambutan baik pengguna dan kini lebih 380,000 unit Axia telah pun diserahkan kepada pemiliknya.

“Axia adalah inti pati kepada matlamat Perodua, iaitu untuk menawarkan mobiliti mampu milik dan mudah buat semua.

“Ia merupakan model terlaris kami dari 2015 hingga 2017.

“Kini dengan peningkatan dalam aspek keselamatan dan ciri-ciri tambahan, Axia menawarkan lebih banyak nilai berbanding sebelumnya,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Axia menjadi kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2014.

Axia 2019 kekal menjadi antara kenderaan paling cekap bahan api di negara ini iaitu pada kadar 22.5 kilometer per liter (km/l) untuk transmisi manual, 21.6km/l untuk transmisi automatik dan 20.8km/l untuk varian STYLE.

Ia disertakan dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0) yang mula-mula diper­kenalkan pada model Aruz pada Januari lalu, Kawalan Ke­stabilan Kenderaan (VSC), kawalan cengkaman dan sistem brek antikunci (ABS), bergantung kepada varian.

Kesemua model Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun atau 150,000km perjalanan (yang mana terdahulu).

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi mana-mana cawangan jualan Perodua di seluruh negara.
 

Jawatan Kosong Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) - 31 Ogos 2019

by



Jawatan Kosong Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Warganegara Malaysia yang cukup syarat kelayakan dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan adalah dipelawa untuk memohon bagi mengisi kekosongan jawatan tetap atau kontrak yang diiklankan.

Jawatan kosong terkini yang diiklankan adalah seperti berikut:

- Eksekutif Hasil (Penaksiran)
- Eksekutif Hasil (Perundangan)
- Eksekutif Hasil (Perakaunan)
-  Eksekutif Hasil (Teknologi Maklumat)

Iklan Jawatan:
http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=2&bt_skum=7&bt_posi=1&bt_unit=1&bt_sequ=1

Tarikh Tutup : 31 Ogos 2019

25 Ogos 2019

Jawatan Kosong di Institut Kemajuan & Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) - 28 Ogos 2019

by

Jawatan Kosong di Institut Kemajuan & Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)

Warganegara Malaysia yang cukup syarat kelayakan dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan adalah dipelawa untuk memohon bagi mengisi kekosongan jawatan tetap atau kontrak yang diiklankan.

Jawatan kosong terkini yang diiklankan adalah seperti berikut:

1. Pegawai Penyelidik Gred Q41
2. Penolong Pegawai Operasi N29
3. Penolong Pegawai Penyelidik Gred Q29
4. Pembantu Operasi

IKLAN JAWATAN
https://drive.google.com/open?id=1JGb51rq1fKxaaoEwywr4BIMgiLE4guYr

Tarikh Tutup : 28 Ogos 2019

 

21 Ogos 2019

Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan, tidak henti operasi

by


Syarikat akhbar berbahasa Melayu berusia 80 tahun, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar dibawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir berkata, langkah itu diteruskan sekalipun syarikat akhbar itu berada dalam situasi sukar terutama peralihan dunia pemberitaan dalam bentuk media sosial.

Beliau mengakui Kumpulan Utusan sebelum ini banyak dibantu UMNO, namun selepas kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) syarikat penerbitan akhbar itu kembali kepada realiti model perniagaan media.

"Tidak benar kita hendak tutup (henti operasi). Betul kita hadapi masalah. Tetapi kita ada pelan untuk meningkatkan perniagaan," katanya selepas Taklimat Khas oleh Pengerusi Eksekutif di Dewan Besar Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Perkembangan itu sekali gus memadamkan spekulasi liar kononnya Kumpulan Utusan akan menghentikan operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi.

Abd. Aziz berkata, syarikat turut mengambil keputusan untuk menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 senaskhah kepada RM2.00 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1.00 kepada RM1.50 senaskhah mulai Jumaat ini.

Beliau mengharapkan rakyat Malaysia membantu Kumpulan Utusan dengan membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! walaupun dengan kenaikan harga.

- UTUSAN

9 Ogos 2019

Peluang sumbang idea untuk Belanjawan 2020

by


Rakyat Malaysia kini berpeluang untuk menyumbangkan idea dan cadangan dalam penyediaan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran untuk berkongsi input atau cadangan termasuk melalui laman web khas belanjawan2020.treasury.gov.my.

“Orang ramai juga boleh menggunakan tanda pagar (hashtag) #belanjawan2020 di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter. Cadangan boleh dikemukakan mulai 9 Ogos hingga 11 September ini.

“Laman web khas itu membolehkan semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan selaras dengan usaha kerajaan untuk membina negara dan menyejahterakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Guan Eng, kerajaan juga menganjurkan Majlis Konsultasi Belanjawan bagi membolehkan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi menyumbang idea dan juga cadangan untuk dipertimbangkan.

Di samping itu katanya, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus juga akan diadakan bersama kerajaan negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta kementerian-kementerian bermula 9 Ogos 2019 (Jumaat).

Lemah urus kewangan punca peniaga Melayu gagal

by

 Kira-kira 80 peratus dalam kalangan peniaga Melayu yang gagal dalam perniagaan dikesan berpunca daripada kelemahan dalam pengurusan kewangan.

Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, akibatnya golongan ini dilihat berharap kepada bantuan daripada kerajaan sebagai ‘tongkat’.

Menurut beliau, ia antara kelamahan paling ketara yang menyebabkan usahawan Melayu gagal bertahan sehingga terpaksa gulung tikar disebabkan kegagalan pengurusan.

“Sebab itu antara faktor utama yang perlu diberi penekanan ialah soal pendidikan ilmu niaga kerana ia merangkumi soal pengurusan kewangan.

“Ini juga antara matlamat penubuhan DPMP untuk membantu serta membimbing para peniaga Melayu agar memiliki ilmu yang lengkap,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Online Digital Revolusi anjuran DPMP dengan kerjasama SST Network di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan di negeri ini tentang pentingnya menerokai dunia pemasaran digital online menerusi laman web Kimon.my yang dibangunkan oleh pihak SST Network.

Mengulas lanjut berhubung program tersebut, kata Zahar, ia salah satu inisiatif DPMP bagi membimbing peniaga Melayu terhadap ilmu e-Dagang yang kini menjadi trend dalam memacu perniagaan.

“Program ini berjaya menarik kira-kira 150 peserta yang terdiri dalam kalangan usahawan kecil bertujuan membantu mereka mempromosi produk masing-masing secara lebih berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SST Network, Khairul Rizal Zulkafli memberitahu, menerusi laman web Kimon.my ia dapat membantu urusniaga atas talian disamping meraih pendapatan lebih baik.

Katanya, laman web ini berperanan sebagai pusat sehenti yang menawarkan kemudahan kepada usahawan untuk memasar, menyimpan dan menyemak rekod jualan secara atas talian.

- UTUSAN

Samsung lancar Galaxy Note10

by

 Samsung Electronics Co Ltd melancarkan telefon pintar premiumnya yang terbaharu, Galaxy Note 10, yang menggabungkan reka bentuk elegan dengan prestasi berkuasa tinggi dan alat produktiviti.

Pra-pesanan di Malaysia boleh dibuat mulai pukul 5 petang 8 sehingga 18 Ogos 2019 dan telefon pintar itu akan memberikan kebebasan kepada pengguna untuk bekerja dengan cara yang mereka mahu dan mempamerkan semangat kreatif mereka, semuanya secara mudah alih, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Mudah Alihnya, DJ Koh.

“Selama bertahun-tahun, siri Galaxy Note telah membantu jutaan pengguna setia di seluruh dunia meneruskan impian mereka dan mencapai matlamat mereka, dan dengan Galaxy Note10, Samsung membantu pengguna melakukan banyak perkara yang mereka sukai.

“Sejak dari dulu lagi, Galaxy Note telah menyediakan teknologi dan ciri terbaik terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara ciri-ciri menarik telefon pintar itu termasuk pengecasan pantas, PowerShare tanpa wayar, sistem penyejukan wap paling nipis di dunia yang menyediakan prestasi optimum bagi permainan dan pada kelajuan paling tinggi.

Galaxy Note10 dan Galaxy Note10 + (256GB) masing-masing berharga RM3,699 dan RM4,199, manakala Galaxy Note10 + (512GB), bagi mereka yang mahukan kapasiti yang lebih besar, berharga RM4,799.

- BERNAMA

8 Ogos 2019

Malaysia alami cuaca panas hingga Oktober

by

Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata selain Malaysia, negara jiran Singapura dan Sumatera, Indonesia dijangka turut mengalami cuaca yang sama.

"Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering...tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober," katanya ketika ditanya mengenai intipati Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan beliau berkata kelima-lima negara yang terlibat telah membentangkan tindakan yang telah diambil untuk menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

"Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiap-siagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran," katanya.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan empat negara Asean lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

Inisiatif untuk menangani masalah jerebu di peringkat Asean telah dimulakan selepas episod pencemaran yang serius pada 1997 yang telah membawa kepada termeterainya penjanjian Asean Mengenai Jerebu merentasi sempadan yang ditandatangani oleh 10 negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.

- BERNAMA

Top Ad 728x90