Sumber Maklumat Terkini

9 Ogos 2019

Lemah urus kewangan punca peniaga Melayu gagal


 Kira-kira 80 peratus dalam kalangan peniaga Melayu yang gagal dalam perniagaan dikesan berpunca daripada kelemahan dalam pengurusan kewangan.

Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, akibatnya golongan ini dilihat berharap kepada bantuan daripada kerajaan sebagai ‘tongkat’.

Menurut beliau, ia antara kelamahan paling ketara yang menyebabkan usahawan Melayu gagal bertahan sehingga terpaksa gulung tikar disebabkan kegagalan pengurusan.

“Sebab itu antara faktor utama yang perlu diberi penekanan ialah soal pendidikan ilmu niaga kerana ia merangkumi soal pengurusan kewangan.

“Ini juga antara matlamat penubuhan DPMP untuk membantu serta membimbing para peniaga Melayu agar memiliki ilmu yang lengkap,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Online Digital Revolusi anjuran DPMP dengan kerjasama SST Network di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan di negeri ini tentang pentingnya menerokai dunia pemasaran digital online menerusi laman web Kimon.my yang dibangunkan oleh pihak SST Network.

Mengulas lanjut berhubung program tersebut, kata Zahar, ia salah satu inisiatif DPMP bagi membimbing peniaga Melayu terhadap ilmu e-Dagang yang kini menjadi trend dalam memacu perniagaan.

“Program ini berjaya menarik kira-kira 150 peserta yang terdiri dalam kalangan usahawan kecil bertujuan membantu mereka mempromosi produk masing-masing secara lebih berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SST Network, Khairul Rizal Zulkafli memberitahu, menerusi laman web Kimon.my ia dapat membantu urusniaga atas talian disamping meraih pendapatan lebih baik.

Katanya, laman web ini berperanan sebagai pusat sehenti yang menawarkan kemudahan kepada usahawan untuk memasar, menyimpan dan menyemak rekod jualan secara atas talian.

- UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.