25 September 2019

Bahasa Melayu, bahasa kesepuluh berpengaruh di seluruh dunia


Bahasa Melayu menduduki tangga kesepuluh yang sangat berpengaruh daripada 6,000 bahasa yang dituturkan di seluruh dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Ghazali Abas berkata, hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi antara bahasa komunikasi utama di peringkat antarabangsa.

Katanya, globalisasi sejak awal abad ke-16 memberi kesan terhadap bahasa Melayu dari segi peristilahan tetapi tetap mengekalkan jati asalnya.

"Ini menunjukkan bahasa Melayu dinamik dan mudah dilentur sesuai dengan peredaran zaman.

" Oleh itu, rakyat yang cinta akan bahasa Melayu perlu mempertahankannya dalam apa jua medium komunikasi. Sektor awam dan swasta juga perlu memainkan peranan dengan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan perniagaan dan pengurusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam majlis Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2019 di Kuala Lumpur.

Tambah Mohd Ghazali, program tahunan anjuran Kementerian Pendidikan itu bertujuan mendidik masyarakat berbilang kaum agar dapat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Saya suka ingatkan segala usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan terhasil sekiranya semua pihak tidak mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menghormati bahasa itu terutamanya dalam kehidupan seharian.

"Justeru, saya berharap semua kementerian akan menyahut seruan kerajaan dengan melaksanakan program Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan di peringkat masing-masing sepanjang tahun ini," katanya.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.