18 September 2019

Borneo Utara, Sarawak setuju sertai Malaysia



Laporan Suruhanjaya Cobbold mengenai pu­ngu­tan suara penduduk Borneo Utara dan Sarawak berhubung penubuhan Malaysia telah diserahkan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Me­layu dan British pada Jun 1962.

Menurut tokoh politik ve­teran, Tengku Razaleigh Hamzah, hasil laporan itu me­nunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Borneo Utara dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia.

“Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Cobbold juga me­laporkan bahawa sebahagian besar penduduk terutama di kawasan pedalaman tidak mempunyai penghayatan sebenar mengenai konsep Malaysia.

“Namun, sepertiga daripada mereka menyokong penubuhan dan konsep Malaysia dan berharap ia dapat dilakukan dengan secepat mungkin. Golongan ini tidak terlalu mengambil berat tentang syarat dan terma penubuhan.

“Sepertiga lagi pada dasar­nya menyokong penubuhan Malaysia tetapi menetapkan syarat dan perlindungan yang berbagai yang perlu ditepati. Yang selebihnya terbahagi kepada kelompok yang menginginkan kemerdekaan sebelum menubuhkan Malaysia dan kelompok yang ingin kekal di bawah pemerintahan Bri­tish” .

Suruhanjaya Cobbold juga memberi amaran yang inti patinya berbunyi: “Malaysia harus dianggap oleh semua pihak sebagai pertubuhan rakan kongsi, menggabungkan demi kepen­tingan bersama untuk mewujudkan sebuah negara baru tetapi mengekalkan keunikan (keperibadian) masing-masing.

“Jika terdapat sebarang idea atau pemikiran yang mengarah kepada Malaysia sebagai ‘pengambilalihan’ wilayah-wi­­layah Borneo oleh Persekutuan Tanah Melayu dan menghilangkan keunikan (individualities) Borneo Utara dan Sarawak, maka konsep Malaysia tidak akan diterima dan berjaya”.

Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) telah ditubuhkan atas syor Surahanjaya Cobbold untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia di samping melindungi hak dan kepentingan rakyat Borneo Utara dan Sarawak.

Pada mesyuarat pertama di Jesselton (Kota Kinabalu) pada 30 pada Ogos 1962, IGC mengemukakan memorandum yang antara lain memberikan hak kepada ke­dua-dua wilayah untuk me­ngawal urusan yang berkaitan dengan pendidikan dan kesihatan selama 10 tahun sebelum diserahkan kepada kerajaan Persekutuan.

“Memorandum ini dengan beberapa pengubahsuaian te­lah dimasukkan ke dalam Akta Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan ne­geri yang berkaitan.

“Perlindungan hak dan kepentingan inilah yang dikenali sebagai ‘Perjanjian 20 Perkara’ untuk Sabah dan ‘Perjanjian 18 Perkara’ untuk Sarawak” (Tengku Razaleigh Hamzah 2013).

Secara ringkas Perjanjian 20 Perkara untuk Borneo Utara adalah berkaitan dengan agama, bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa Inggeris. Perlembagaan yang merupakan suatu dokumen yang baharu, Ketua Persekutuan, Nama Persekutuan, Kawalan Imig­resen oleh negeri, Hak pemisahan, Borneonisasi (Perkhid­matan Awam), kedudukan pegawai British, Kerakyatan, Cukai dan Kewangan, kedudukan dan hak istimewa untuk Bumiputera, Kerajaan Nege­ri, Peraturan masa peralihan, Pendidikan, Perlindungan Perlembagaan, Perwakilan di Parlimen Persekutuan, Nama Ketua Negeri, Nama Negeri dan Tanah, hutan dan kerajaan tempatan dan lain-lain.

Dua perkara terakhir, me­ngenai nama negeri dan tanah, hutan dan kerajaan tempatan, dan lain-lain tidak ada dalam ‘Perjanjian 18 Perkara’ untuk Sarawak.

Perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Perjanjian 20/18 Perkara’ seharusnya di­semak semula selepas 10 tahun. Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah menubuhkan jawatankuasa pada 1973 yang dipengerusikan timbalannya Tun Dr. Ismail untuk mengkaji semula perjanjian IGC.

“Walau bagaimanapun ja­watankuasa tersebut tidak bersidang sama sekali dalam tahun itu kebetulan Rang Undang-Undang Draf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) sedang disediakan pada masa itu.

“Kebijaksanaan pada waktu itu adalah untuk mengutamakan penerimaan PDA oleh Sabah dan Sarawak. Apabila PDA mula dikuatkuasakan, saya ditugaskan oleh Tun Razak untuk memastikan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri yang berkaitan menanda tangani perjanjian seperti keperluan dalam PDA. Pada kesempatan ini Sabah dan Sarawak menzahirkan dengan tegas kedudukan mereka.

“Apa pun Tun Dr. Ismail meninggal dunia pada Ogos 1973 diikuti dengan kematian Tun Razak pada Januari 1976 menyebabkan urusan penye­makan perjanjian IGC dikete­pikan buat sementara.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa semakan semula itu tidak berlaku dan niat Tun Razak sebenarnya mencerminkan niat baik kerajaan persekutuan dalam menjaga hubungan dengan Sabah dan Sarawak.

“Niat ini dibelakangkan memandangkan keperluan kepada perkara penting seperti yang saya nyatakan sebentar tadi. Mungkin saja semakan semula ini kita pertimbangkan lagi sekarang sempena meraikan ulang tahun ke-50 Malaysia” (Tengku Razaleigh Hamzah 2013: 9).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.