18 September 2019

Monorel kini mampu bawa 70,000 penumpang sehari


 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui perkhidmatannya Monorel bersedia membawa 70,000 penumpang sehari apabila dua set tren empat gerabak mula beroperasi pada 16 Sep 2019.

Dengan penambahan dua tren tersebut, laluan Monorel kini mempunyak lima set tren empat gerabak dan empat set tren dua gerabak.

Syarikat konsesi pengangkutan awam itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, operasi kedua-dua jenis tren tersebut adalah lebih awal daripada jangkaan sepatutnya iaitu November tahun ini.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, kelulusan untuk menggunakan tren berkenaan merupakan hadiah istimewa sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan di seluruh negara semalam.

“Peningkatan ini sekali gus mampu memastikan perjalanan yang lebih selesa untuk para pengguna dengan masa menunggu untuk waktu puncak diturunkan daripada 10 minit kepada 5.5 minit.

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan, ini adalah kejayaan kolaborasi dan komitmen antara kerajaan, Prasarana dan Scomi Transit Project Sdn. Bhd. (STP). Projek ini merupakan keutamaan kementerian sebab Kuala Lumpur amat memerlukan perkhidmatan monorel,” katanya.

Tambahnya, peningkatan jumlah penumpang dapat dilihat selepas penggantungan kelima-lima tren empat gerabak itu pada Januari 2018 apabila perkhidmatan Monorel hanya mampu menampung 32,000 penumpang sehari.

“Mengikut kontrak baru yang ditandatangani antara Prasarana dan STP pada April lepas, kedua-dua pihak akan memantau prestasi kelima-lima set tren empat-gerabak selama enam bulan sebelum melaksanakan fasa kedua iaitu pembelian tujuh set tren empat-gerabak.

“Sekiranya berjalan lancar, tujuh tren baru itu perlu disediakan Prasarana untuk 18 bulan. Jika selesai sepenuhnya, akan datang laluan Monorel akan beroperasi dengan 12 set tren empat gerabak dan operasi tren dua gerabak akan dihentikan,” jelasnya.

Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel, Mohd. Ariffin Idris berkata, maklumbalas pengguna dan penggemblengan tenaga dengan Kementerian Pengangkutan adalah perlu untuk memastikan laluan Monorel lebih berdaya saing dan cekap.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.