13 Februari 2020

Keputusan Anugerah Juara Lagu AJL34



Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 yang mengangkat lagu Sumpah ciptaan dan nyanyian Naim Daniel sebagai juara, disaksikan enam juta penonton mengikut sumber Nielsen Malaysia.

Bagi segmen tontonan dari platform digital, acara anugerah berprestij yang disiarkan dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu, itu mencatat 442,000 tontonan melalui strim langsung HD tonton dan Xtra.

Selain itu, AJL34 yang bertemakan ‘Warna-Warna Suara’ merekodkan 1.5 Juta tontonan di YouTube TV3 Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, rekod enam juta penonton membuktikan AJL34 masih menjadi pilihan ramai.

“AJL34 memperoleh 55 peratus syer tontonan pada waktu siaran, menandingi program-program hebat lain.

“Saya percaya AJL34 berjaya kerana barisan finalis membawa warna-warni ke majlis berprestij itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada acara gilang-gemilang Ahad lalu, Naim, 22, yang kali pertama bersaing di pentas AJL, memukau penonton dengan lagu ciptaannya bersama Omar K, Sumpah.

AJL34 turut mengiktiraf naib juara, lagu Bangun ciptaan Navigator dan penyanyinya, Aman Ra. Tempat ketiga dimenangi lagu Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

Selain Ajai yang bertindak sebagai ketua juri, finalis AJL34 dinilai barisan komposer hebat iaitu Azmeer, Edrie Hashim, Datuk Wah Idris, Altimet, Helen Yap, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Aznul Haidi dan Cat Farish.

Johan berkata, Ajai turut bersetuju kepelbagaian genre, suara, konsep dan gimik persembahan menghidupkan tema ‘Warna-Warna Suara’.

“Kini carta Muzik Muzik 35 (MM35) sudah dibuka untuk kitaran pengundian baharu dalam menentukan calon separuh akhir pula,” katanya.

Johan berkata, TV3 berterima kasih dan bersyukur atas sokongan rakyat Malaysia yang sentiasa mengundi karya kegemaran mereka di www.xtra.com.my/muzikmuzik.

AJL34 mendapat sokongan McDonald's sebagai penaja utama manakala rakan penaja adalah Aplikasi Setel dan Celcom Xpax. Radio rasmi acara anugerah ini adalah Hot FM serta rakan digital iaitu Xtra, Oh Bulan! dan Senang Terhibur.

Bagi mereka yang belum dapat melupakan kehangatan AJL34, layari www.tonton.com.my untuk menonton kandungan menarik.

KEPUTUSAN AJL34

Juara Lagu

Tajuk Lagu: Sumpah

Penyanyi: Naim Daniel

Komposer: Naim Daniel dan Omar K

Penulis Lirik: Naim Daniel

Naib Juara

Tajuk Lagu: Bangun

Penyanyi: Aman Ra

Komposer: Navigator

Penulis Lirik: Aman Ra

Tempat Ketiga

Tajuk Lagu: Anta Permana

Penyanyi: Bob Yusof

Komposer: Hael Husaini dan Ezra Kong

Penulis Lirik: Hael Husaini dan Ezra Kong

Vokal Terbaik & Persembahan Terbaik

Tajuk Lagu: Kisah Cinta Kita

Penyanyi: Hafiz Suip

Komposer: Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali

Penulis Lirik: Datuk A Aida

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.