6 Februari 2020

Pesakit Coronavirus yang pulih tidak terima rawatan spesifik



Kanak-kanak warga China yang disahkan pulih sepenuhnya selepas mendapat rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, kerana dijangkiti Coronavirus (2019-nCoV) akhir bulan lalu, tidak menerima kaedah rawatan istimewa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya hanya memberi rawatan kepada kanak-kanak berkenaan, yang dikesan positif jangkitan 2019-nCoV pada 29 Januari lalu, mengikut gejala yang dialami pesakit itu.

“Tidak ada secara khusus ubat-ubatan atau antiviral yang diberikan. Mengikut pakar, penyakit seperti ini mempunyai jangka hayat dan akan berakhir hanya dengan imuniti badan kita untuk mengatasinya,” katanya dalam sidang media harian 2019-nCoV di kementeriannya di sini, hari ini.

Berita Harian semalam melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan warga China di Langkawi yang sebelum ini positif 2019-nCoV, didapati pulih dan bebas sepenuhnya daripada jangkitan.

Ia adalah kes pertama membabitkan individu disahkan positif 2019-nCoV yang pulih daripada jangkitan itu di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, sampel klinikal terhadap kanak-kanak berusia empat tahun itu yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, kini didapati negatif daripada 2019-nCoV.

Sampel klinikal itu diambil sebanyak dua kali berturut-turut sejak kanak-kanak itu dikesan positif 2019-nCoV pada 29 Januari lalu, sebelum disahkan negatif.

Sehubungan itu, katanya, kanak-kanak itu yang kini sihat, sudah dibenarkan pulang.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.