5 Februari 2020

Unit narkotik di lapangan terbang untuk kesan keldai dadah



Seramai 101 individu ditahan pihak berkuasa sepanjang tahun lalu selepas dikesan dijadikan ‘keldai dadah’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader, berkata jumlah itu adalah angka yang besar dan perlu ditangani dengan serius.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha menangani masalah itu dengan mempertingkatkan kawalan di pintu masuk utama khususnya di lapangan terbang.

"Seramai 82 rakyat Malaysia terbabit sebagai ‘keldai dadah’ di luar negara dan ada antaranya ditahan di Colombia dan Chile,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Mohd Khalil berkata, JSJN sedia dijenamakan semula bagi memperkukuh fungsinya membabitkan tugasan di lapang terbang yang menjadi pintu masuk dan aktiviti penyeludupan dadah.

Menurutnya, penjenamaan itu juga dapat meningkat kualiti kerja PDRM disamping membantu pegawai yang bertugas memberi fokus terhadap tugasan mereka.

Katanya, PDRM akan memberi tumpuan di beberapa lapangan terbang yang sering dijadikan sebagai pintu masuk penyeludupan antaranya KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Sabah, Langkawi, Kedah, Kuching, Sarawak dan Subang, Selangor.

“Kami serius menangani sindiket dadah ini melalui kerjasama semua pihak dan anggota keselamatan Malaysia Airport," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil memaklumkan, PDRM dan pihak berkuasa Singapura sudah mengadakan perbincangan bagi menangani ‘keldai dadah’.

“PDRM juga berkongsi gambar suspek dengan pihak berkuasa Singapura supaya usaha menyekat mereka dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Sumber : BHarian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.