28 Ogos 2020

,

Kebolehjangkitan COVID-19 meningkat


Nilai kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) yang meningkat sejak 4 Ogos lalu, adalah disebabkan kemunculan kluster baharu yang dilaporkan sejak awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kali terakhir Rt terendah iaitu pada tahap 0.58, dicatatkan pada 4 Ogos lalu.

Katanya, Rt tertinggi di negara ini pula dicatatkan pada tahap 1.37 pada 22 Julai lalu.

"Sebagaimana semua sedia maklum, nilai Rt adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes tersebut.

"Selepas 4 Ogos 2020, kluster-kluster baharu mula dilaporkan di negara ini termasuk Kluster Tawar. Pada 26 Ogos, nilai kebolehjangkitan atau Rt yang dilaporkan adalah 0.74," katanya pada sidang media COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk mengurangkan Rt pada tahan kurang daripada 1 secara berterusan sekali gus membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Justeru, katanya, masyarakat diminta terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut mengingatkan semua petugas kesihatan untuk mematuhi SOP dan memastikan pengurusan pesakit dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan kementerian.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90