27 Ogos 2020

Undang-undang baharu benarkan perbicaraan dalam talian



Dewan Rakyat meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kehakiman, mahkamah kehakiman dan rendah.

Tiga RUU itu adalah RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Semua RUU yang dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan itu diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Takiyuddin ketika menggulung perbahasan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, berkata ia akan membolehkan perbicaraan dilakukan secara dalam talian, tertakluk kepada pertimbangan hakim.

Pindaan itu akan membenarkan mahkamah menggunakan beberapa perisian berbayar iaitu Skype dan Zoom yang menawarkan jaringan keselamatan bagi mengelak cubaan penggodaman.

"Pindaan Ini bukan usaha tergesa-gesa. Ia digunakan di mahkamah di Sabah dan Sarawak, jadi saya menaruh kepercayaan ia boleh dilaksanakan di Semenanjung.

"Ia adalah satu pilihan dalam mahkamah dan kita akan teliti kes demi kes, bukan semua pendengaran secara dalam talian.

"Ada agensi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang memantau dari semasa ke semasa, bagi mengesan sebarang kegiatan menggodam. Setakat ini tiada berlaku (penggodaman).

"Kita juga ada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang membuat dasar mengenai keselamatan siber, selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity melaksanakan operasi daripada dasar dibuat NACSA dan MAMPU," katanya.

Pindaan sama turut terpakai bagi RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.