30 September 2020

Google kenakan caj 30% untuk aplikasi

by

 

Google Alphabet Inc. (Google) akan mengenakan caj sebanyak 30 peratus untuk bayaran dalam aplikasi serta urus niaga digital sebanyak tiga peratus berkuat kuasa tahun depan, 2021.

Google memaklumkan, peraturan itu mewajibkan pembangun aplikasi bagi perisian Android di Google Play Store untuk menggunakan sistem pembayaran dalam aplikasinya.

Langkah itu bermaksud pembangun aplikasi yang mempunyai pelanggan membayar secara langsung dengan kad kredit untuk kandungan digital akan beralih menggunakan sistem pembayaran Google selepas 30 September 2021, yang mengenakan caj 30 peratus daripada pembayaran.

Pembangun aplikasi diwajibkan menggunakan sistem pembayaran Google pada pembelian dalam aplikasi yang akan dilaksanakan di Google Play Store, namun belum dikuatkuasakan buat masa ini.

Epic Games, pencipta permainan Fortnite, mengemas kini perisian Android miliknya pada Ogos lalu untuk membolehkan pelanggan membayar secara langsung permainan itu untuk pembelian barang digital dalam aplikasi bagi mengelak pembayaran di Google Play Store.

Google berkata, walaupun Fortnite tetap tersedia di Android, pihaknya bertindak mengeluarkan Fortnite daripada Play Store berikutan ia melanggar peraturan dan menambah, permainan itu dikatakan menggugat Google.

Apple juga mengeluarkan Fortnite daripada App Store susulan Epic Games ‘berperang’ dengan Apple kerana melanggar garis panduan App Store.

Dalam pada itu, Google tidak menyatakan aplikasi lain yang telah melanggar peraturan pembayaran dan pihaknya mendapati 97 peratus pembangun aplikasi yang menjual barang digital sudah mematuhi peraturan yang akan dikuatkuasakan.

Netflix dan Spotify meminta pelanggannya di aplikasi Android untuk menggunakan kad kredit bagi membuat pembayaran secara langsung. 

Sumber : AGENSI

Public Mutual umum agihan 11 dana untuk 2020

by

 

Public Mutual Bhd, anak syarikat milik penuh Public Bank mengumumkan pengagihan melebihi RM119 juta bagi 11 dana untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2020.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata mendahului pengagihan kasar itu adalah Public Enterprises Bond Fund pada 4.75 sen seunit, diikuti Public Islamic Global Equity Fund (tiga sen seunit), Public e-Flexi Allocation Fund (dua sen seunit), Public Singapore Equity Fund (1.5 sen seunit) dan Public Advantage Growth Equity Fund (satu sen seunit).

Dana lain adalah Public Islamic Enterprises Equity Fund (0.75 sen seunit), Public Islamic Advantage Growth Equity Fund (0.75 sen seunit), Public US Equity Fund (0.75 sen seunit), Public Strategic Balanced Fund (0.75 sen seunit), PB Global Equity Fund (dua sen seunit) and PB SmallCap Growth Fund (satu sen seunit).

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia, menguruskan lebih 160 dana unit amanah dan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana di bawah skim itu.

Sehingga akhir Ogos 2020, saiz dana yang diuruskan syarikat itu bernilai RM95.6 bilion.

Sumber : Berita Harian

Emir Kuwait meninggal dunia

by

 

Pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Saint Mary, Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menurut pihak istana, jenazah almarhum akan tiba dari AS hari ini selepas baginda menerima rawatan di hospital itu sejak Julai lalu.

Menteri Hal Ehwal Diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah berkata, seluruh rakyat Kuwait berdukacita atas pemergian baginda itu.

“Dengan penuh rasa sedih dan dukacita, kami berkabung atas pemergian Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah, Emir kerajaan Kuwait,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Sementara itu, stesen televisyen menyiarkan bacaan ayat suci al-Quran sebelum pengumuman tersebut dibuat. 

Sumber : AFP

Pengecas tanpa wayar nanoteknologi pertama Malaysia akan dikomersial

by

 

Enhance Track Sdn Bhd dan NanoMalaysia Bhd akan mengkomersialkan pengecas tanpa wayar nanoteknologi pertama Malaysia, Malaysia Energy Transmission Technology (METT), dengan sasaran jualan bernilai RM1.9 bilion dalam tempoh lima tahun.

METT berasaskan kuasa 5V berkeupayaan mengecas tanpa sentuhan pada jarak beberapa meter untuk peranti mudah alih selain boleh digunakan untuk semua jenis telefon mudah alih dan tablet.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad, berkata METT berpotensi digunakan dalam sektor ekonomi digital dan diharap dapat menggalakkan pembangunan penyelesaian nanoteknologi lain yang berkaitan.

"Ini selaras dengan aspirasi Industri 4.0 Malaysia. Pengecas tanpa wayar adalah inovasi berimpak tinggi yang mampu meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam amalan teknologi hijau pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada pelancaran METT yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

METT dijangka memasuki pasaran menjelang pertengahan 2021.

Rezal Khairi berkata, METT akan dikilangkan di Malaysia dengan kerjasama rakan yang akan dikenal pasti.

Operasi pembuatan METT dijangka mewujudkan 2,800 peluang pekerjaan khususnya untuk mereka yang memiliki pengetahuan dan kemahiran teknikal Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

METT yang berfungsi pada julat gelombang frekuensi radio, terdiri daripada komponen penghantar dan penerima.

Komponen penerima dijangka dijual pada harga di antara RM300 dengan RM500 manakala komponen penghantar pada harga RM1,000 hingga RM2,000.

Sementara itu, Khairy dalam ucapannya berkata krisis COVID-19 mendedahkan jurang dalam pemacu teknologi negara dan menunjukkan pelaburan amat diperlukan dalam bidang yang tepat.

"Sekiranya wujud keraguan mengenainya, saya rasa krisis pandemik COVID-19 ini telah membuktikan betapa pentingnya penerimagunaan bukan hanya teknologi malah jenis teknologi yang tepat," katanya.

Beliau berkata, menerusi NanoMalaysia, MOSTI komited menyediakan sokongan kepada syarikat teknologi tinggi tempatan seperti Enhancr Track untuk memiliki teknologi inovatif daripada peringkat pembangunan produk hingga fasa pengkomersialan.

"Kita sepatutnya teruja menyaksikan sejumlah inovasi baharu yang akan dibangunkan dan dikomersialkan oleh NanoMalaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan MOSTi mahu merancakkan kembali industri Malaysia dalam usaha menjadi negara yang sentiasa menyasarkan kedudukan sebagai peneraju teknologi," katanya.

Sumber : BERNAMA

 

29 September 2020

Santan dijangka buka lebih 100 cawangan menjelang tahun 2022

by

 


Syarikat makanan dan minuman (F&B), Santan, bakal mengembangkan rangkaian restorannya ke pasaran global bermula dengan Shenzhen, China dan United Kingdom pada suku pertama tahun depan.

Jenama bawah AirAsia Group itu turut menyasarkan pasaran Filipina dan Indonesia, namun masih meneliti lokasi sesuai dan situasi pandemik Covid-19 yang telah melambatkan proses pengembangan tersebut.

Pengurus Besar Santan, ­Ca­therine Goh berkata, pihaknya menyasarkan pembukaan lebih 100 cawangan di seluruh negara pada tahun 2022 berbanding 15 cawangan buat masa ini.

“Santan akan membuka lima lagi cawangan baharu tahun ini, malah kami telah menerima le­bih 1,000 pertanyaan untuk be­kerjasama membuka cawangan baharu.

“Memandangkan Santan sudah mendapat sijil pendaftaran francais rasmi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), maka kami komited untuk meluaskan lagi rangkaian melalui platform francais dengan fi serendah RM50,000.

“Selain membantu usahawan muda untuk menceburi industri F&B, pembukaan 20 restoran tahun ini membuka ratusan peluang pekerjaan seperti kakita­ngan kaunter hadapan dan pe­ngurusan restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan bersempena penyampaian sijil francais Santan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Timbalannya, Datuk Rosol Wahid; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Presiden ­AirAsia Digital, Aireen Omar turut hadir.

Menurut Catherine, pihaknya turut menyasarkan pembukaan cawangan pertama di Sabah dan Sarawak menjelang suku pertama 2021.

Sementara itu, Tony berkata, operasi Santan dijangka ­me­n­yumbang sekitar 15 peratus kepada perolehan Kumpulan dalam tempoh tiga tahun.

Sumber : Kosmo!

Hajiji dan tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah angkat sumpah

by

 

Ketua Badan Pimpinan Bersatu (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri di sini sebentar tadi.

Hajiji, 65, mengangkat sumpah jawatan itu pada pukul 10.37 pagi di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Upacara angkat sumpah turut dihadiri isteri Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Turut mengangkat sumpah ialah tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Solidariti Tanah Air (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah hari ini ialah dua menteri kanan iaitu Datuk Seri Masidi Manjun ( Menteri Kerja Raya Sabah) dan Datuk Jahid Jahim sebagai (Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada PN, BN dan PBS berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi 38 dari 73 kerusi yang dipertandingkan.

 Sumber : Kosmo!

Dana pembiayaan Bumiputera masih banyak belum dipohon

by

 

Dana pembiayaan usahawan Bumiputera yang disalurkan kerajaan menerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan MARA sebanyak RM500 juta masih banyak berbaki dan belum dipohon.

Dana berkenaan diumumkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun lalu, yang mana sebanyak RM200 juta ditawarkan melalui PUNB dan RM300 juta disalurkan menerusi MARA.

Daripada jumlah berkenaan hanya RM16.22 juta telah disalurkan oleh PUNB sehingga 18 September lalu, manakala jumlah yang sudah disalur menerusi MARA masih belum diperoleh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukkan dana berkenaan adalah bertujuan memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera dalam mendepani kesan COVID-19.

Katanya, dana menerusi PUNB, adalah bagi kelayakan tertumpu kepada kegunaan dana bagi modal kerja; perbelanjaan operasi; automasi sistem; serta peralatan dan perbelanjaan untuk melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) seperti amalan penjarakan fizikal dan kegunaan alat perlindungan diri.

"Kemudahan pembiayaan adalah dari RM100,000 sehingga RM1 juta bagi tempoh sehingga lima tahun pada kadar faedah 3.5 peratus setahun berserta moratorium sehingga enam bulan dari tarikh pengeluaran.

"Sehingga 18 September 2020, sebanyak RM16.22 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 41 perniagaan Bumiputera," katanya ketika membentangkan Laporan LAKSANA Ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) secara maya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, yang kedua adalah melalui MARA yang berupa pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan Bumiputera yang terjejas.

"Ia termasuklah sektor pendidikan swasta dengan had maksimum jumlah pinjaman RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mara.gov.my," katanya.

Bagi Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) kata Tengku Zafrul, setakat 18 September lalu, sebanyak RM73.6 juta telah

disalurkan dan memanfaatkan 11,059 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro.

"Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menyalurkan RM55.31 juta dan memanfaatkan 1,480 PKS dan PKS Mikro setakat 18 September lalu.

"Bagi pembiayaan PKS PENJANA, kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion dan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

"Sehingga 18 September 2020, sebanyak 3,058 permohonan PKS telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM742.8juta," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Cari tutor pilihan kini lebih mudah dengan MyClaaz

by

 

MyClaaz antara salah satu aplikasi terbaharu yang dibangunkan dan ia menjadi platform bagi membolehkan orang ramai mencari sendiri tutor ataupun tenaga pengajar.

Pengasas MyClaaz, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, aplikasi itu adalah satu platform digital pendidikan dan pembelajaran yang mesra pengguna.

Menurutnya, melalui platform itu orang ramai boleh mencari dan memilih tutor, tenaga pengajar ataupun profesional dalam sesuatu bidang yang mereka mahukan perkhidmatan mereka.

“MyClaaz adalah satu pemudah cara untuk kita semua mendapatkan pendidikan dan pembelajaran seiring dengan perkembangan teknologi.

“Aplikasi ini dibangunkan oleh sepasukan jurutera program tempatan.

“Menerusinya, mereka yang mahir dalam sesuatu bidang boleh menggunakan aplikasi ini untuk memasarkan diri dan produk masing-masing, sekali gus mampu untuk menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.

Melalui aplikasi ini juga dapat memudahkan individu untuk mempelajari sesuatu bidang ilmu profesional seperti pelaburan, perakaunan dan sebagainya.

Di samping itu, ibu bapa kini pula lebih mudah untuk mencari tutor peribadi buat anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia.

Bercerita lanjut, Zaharuddin menjelaskan, idea untuk membina aplikasi itu hadir setelah dia menghadapi masalah mencari tutor terbaik untuk anak-anaknya.

“Jadi, saya cuba menyelesaikan masalah ini dengan membina satu aplikasi berasaskan pendidikan yang dapat memberi manfaat kepada semua orang di negara ini.

“Aplikasi ini bukan hanya melibatkan sistem untuk pendidikan semata-mata. Sebaliknya, jika mereka mempunyai kepakaran tertentu dalam sesuatu bidang boleh juga menggunakannya bagi menyebarkan ilmu yang dimiliki kepada orang lain,” ujarnya.

Selain itu, mereka yang mempunyai kelayakan boleh menggunakan aplikasi itu untuk menawarkan diri menjadi tutor ataupun tenaga pengajar, di samping boleh menjana pendapatan tambahan melalui penjualan buku elektronik (e-buku) masing-masing.

Selain itu, mereka turut boleh mencipta kompilasi soalan-soalan ramalan untuk dijual kepada para pelajar.

Sebagai contoh, graduan dalam bidang pendidikan yang masih menganggur boleh menggunakan aplikasi ini untuk mencari pelanggan yang memerlukan khidmat tutor.

Dalam perkembangan sama, mereka yang mahir dalam bidang analisis pelaburan saham misalnya, boleh menggunakan aplikasi tersebut bagi menganjurkan kelas atau bengkel dengan mudah, kerana aplikasi ini lengkap dengan payment gateway bagi pembayaran melalui akaun bank atau kad kredit.

MyClaaz menawarkan sistem pendidikan unik dan memenuhi keperluan pelajar dan tutor.

Melalui aplikasi ini, pelajar boleh berhubung terus dengan tutor atau tenaga pengajar dengan beberapa langkah mudah.

Pembelajaran di MyClazz juga mempunyai banyak pilihan, selain cara bersemuka juga boleh dilakukan melalui video webinar atas persetujuan kedua-dua pihak.

Selain itu, tenaga pendidik, tutor atau pensyarah boleh mengiklankan nota, buku atau rakaman video pengajaran sendiri.

Di aplikasi tersebut, mereka juga boleh menyediakan soalan peperiksaan secara dalam talian dan menjualnya kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Dalam pada itu, MyClaaz turut menyediakan platform bagi sektor perniagaan, universiti dan badan profesional lain.

Mereka boleh memanfaatkan platform yang berinovatif ini secara dalam talian dengan pelbagai fungsi bagi interaksi institusi dan kumpulan sasar.

Menerusi aplikasi tersebut, pelajar boleh mendapat akses secara langsung bagi mengetahui latar belakang, kelayakan dan pengalaman seseorang tutor.

Mereka yang berminat dengan aplikasi itu boleh melayari laman web myclaaz.com atau memuat turun melalui platform Google Play dan App Store.

 

Zara Zya bertudung

by

 

Pelakon, Zara Zya, 35, sekian lama memendam hasrat berhijrah akhirnya membulatkan tekad bertudung sejak beberapa hari lalu. 

Sebelum ini, bintang drama Seadanya Aku dan Korban Kasih itu dilihat memuat naik gambar bertudung hingga menarik perhatian pengikut, baru-baru ini. Kebanyakan peminat menyukai imej bertudung yang digayakan.

Menerusi kapsyen gambar yang dimuat naik, Zara menyentuh soal doa yang cepat atau lambat dimakbulkan Allah. Ia seperti memberi satu bayangan wanita kelahiran Lenggong, Perak itu sudah mula berhijrah.

Mengukuhkan tanda tanya apabila Zara dilihat menjual pakaian lama menerusi laman Instagram (IG) Story, Rabu lalu.

"Secara jujur, saya masih dalam proses membiasakan diri dalam penghijrahan ini.

Saya mengharapkan doa yang baik-baik.

"Semuanya berlaku atas gerakan hati. Keputusan ini tidak perlu dilengahkan. Saya juga tak mahu hati berbolak-balik dalam melakukan tuntutan wajib ini.

"Saya sempat menghabiskan penggambaran drama Beri Sedikit Waktu pada Jumaat lalu, sebelum bertekad mengenakan tudung sepenuhnya," katanya.

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia memutuskan untuk menolak beberapa tawaran drama yang kurang sesuai dengan imej bertudung.

Baginya, hatinya kuat mahu berubah termasuk menutup aurat.

"Saya selalu dengar soal istiqamah ini bukan mudah. Saya harap Allah tetapkan hati dan jiwa saya. Insya-Allah, saya mahu masa depan menjadi lebih baik daripada semalam yang ditinggalkan.

"Tiada langsung rasa sayang menjual pakaian lama. Saya akui, sudah tidak sabar mahu menutup aurat selama ini. Moga ia menjadi permulaan yang baik," katanya.

Katanya, dia tidak gentar sekiranya keputusan menutup aurat mungkin menjejaskan tawaran lakonan.

"Saya tak terfikir soal ada tawaran kerja atau sebaliknya. Saya percaya pada rezeki yang tertulis.

"Saya banyak membeli tudung dan pakaian baru," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Perlu berani untuk tambah pendapatan

by

 

Oleh Zubaidah Ibrahim

Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, setiap individu perlu melakukan lebih daripada satu pekerjaan atau mempunyai pendapatan sampingan.

Pendapatan sampingan ini bukan sahaja membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat musim Covid-19, malah ia memberi keuntungan berganda berbanding pekerjaan tetap.

Menurut Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia Profesor Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali, untuk bebas daripada masalah kewangan, seseorang itu perlu mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada perbelanjaan.

“Sehubungan itu, pilihan di tangan kita sama ada mahu me­ngurangkan perbelanjaan atau menambahkan pendapatan.

“Mungkin agak sukar untuk mengurangkan perbelanjaan maka, mencari pendapatan sampingan adalah cara terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terangnya, terdapat tiga jenis pendapatan iaitu aktif, pasif dan portfolio.

Pendapatan aktif ialah pekerjaan yang melibatkan kita mendapat upah atau gaji, manakala pasif pula seperti dijana daripada rumah sewa, royalti buku atau muzik.

Bagi pendapatan portfolio, ia berbentuk keuntungan modal dan dividen seperti pelaburan saham atau unit teras.

Ujar Nuradli Ridzwan Shah, jualan online sangat bagus kerana ia juga boleh menjadi pendapatan pasif.

“Menulis e-book dan penjualan naskhah boleh memberi sumbangan kepada pendapatan pasif,” tuturnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Keusahawanan dan Kreativiti, Fakulti Ekonomi dan Pe­ngurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Noor Azuan Hashim berkata, bagi memulakan perniagaan, ia memerlukan minat dan keberanian untuk berniaga.

“Jangan lengahkan masa ke­rana peluang berniaga tidak datang berkali-kali.

“Pemilihan perniagaan hendaklah mengikut minat terma­suk menceburkan diri dalam jualan kosmetik, pakaian, aksesori atau perkhidmatan tatarias,” katanya.

Katanya, produk baharu dan viral juga dapat membantu seseorang memilih perniagaan sesuai dengan dirinya.

Beliau berpendapat, perniagaan online sangat sesuai untuk dijadikan pendapatan sampingan kerana ia fleksible dan tidak terikat.

“Sesorang itu boleh menjana pendapatan mengikut kese­suaian masa dengan memastikan telefon pintar sentiasa di tangan untuk menjawab pertanyaan atau tempahan pelanggan.

“Perniagaan ini adalah salah satu ciri ekonomi gig yang mana seseorang individu itu bekerja mengikut kesesuaian dan masa yang diset sendiri,” tambahnya.

Noor Azuan menyarankan agar memulakan perniagaan online dengan menjadi dropship sesuatu produk terlebih dahulu untuk mendapat ‘roh’ berniaga.

Selain itu, perlu juga untuk menimba ilmu berniaga secara formal atau tidak formal.

Dalam pada itu, Ketua Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Nor Akmar Yaakub berkata, adalah penting untuk membuat bajet kewangan setiap kali mendapat gaji supaya tidak berbelanja berlebihan.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji tersebut.

“Selepas itu tentukan per­belanjaan yang terdiri daripada perbelanjaan tetap, berubah dan budi bicara,” tuturnya.

Sumber : Kosmo!

Virus COVID-19 wujud secara semula jadi - WHO

by

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi pengesahan bahawa COVID-19 adalah virus yang wujud secara semula jadi dan bukannya buatan manusia.

Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menekankan perkara itu ketika taklimat media mengenai COVID-19 dan meminta semua pihak berhenti menuding jari menuduh satu sama lain.

"WHO mempercayai kaedah sains dan bukti, sebab itulah kami mengutamakan sains, penyelesaian dan solidariti, terutama dalam isu COVID-19 ini," katanya.

Tegas beliau, banyak kajian mengenai asal-usul virus menunjukkan COVID-19 atau SARS-CoV-2, wujud secara semula jadi dan bukannya dari mana-mana institusi.

Tedros mengeluarkan kenyataan itu sejurus selepas seorang saintis berjanji untuk menerbitkan bukti yang menyokong dakwaannya mengatakan virus itu bukan dari alam semula jadi, sebaliknya dicipta di sebuah makmal di Wuhan, China.

Difahamkan, Tedros mungkin merujuk kepada pakar virologi dari Hong Kong, Dr Li-Meng Yan, yang membuat dakwaan terbabit baru-baru ini dalam satu temu bual dengan Fox News, selepas berjaya melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Ahli virologi itu, yang kini dalam buangan, turut mendakwa kerajaan China dan WHO mengetahui lebih awal mengenai jangkitan daripada manusia manusia tetapi tidak mengumumkannya.

Katanya, semua laporan hasil kajiannya tidak diendahkan oleh pegawai atasannya, yang juga antara pakar terkemuka bidang virologi dan imunologi global serta mempunyai hubungan rapat dengan WHO.

Beliau juga mendakwa China dan WHO menyedari lebih awal mengenai betapa seriusnya kesan COVID-19 itu jika tidak dibendung segera. 

Sumber : AGENSI

28 September 2020

Hajiji Ketua Menteri Sabah Baharu

by

 

Hajiji Ketua Menteri Sabah Baharu

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan mengangkat jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu pada pukul 10.00 pagi Selasa, 29 September 2020.

Majlis itu diadakan selepas beliau menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu daripada Istana Negeri.

“Alhamdulillah. Yang di-Pertua Negeri ( Tun Juhar Mahiruddin) menjemput untuk memaklumkan saya bakal dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Pihak istana turut memaklumkan saya akan mengangkat sumpah pukul 10 pagi esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menemui Tun Juhar petang ini.

Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara menamakan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lepas.

Sumber : Utusan

Kenanga Money, e-dompet broker saham pertama

by

 

Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga) menjalin kerjasama dengan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade) dalam memperkenalkan Kenanga Money, e-dompet broker saham yang pertama di Malaysia dengan sokongan ciri kad prabayar visa.

Pengenalan Kenanga Money tersebut adalah menandakan kemasukan bank pelaburan ini dalam ruangan sistem pembayaran tanpa tunai, yang memberi kebebasan kepada pelanggannya untuk memindahkan dana dari akaun dagangan saham ke e-dompet dan kad prabayar dengan mudah bagi pembayaran runcit, pengiriman serta pengeluaran wang di seluruh dunia.

Pengguna juga akan menikmati kemudahan fungsi pelbagai mata wang yang inovatif yang membolehkan mereka membeli, menjual dan menyimpan sehingga 20 mata wang asing pada satu-satu masa, dengan kadar pertukaran yang kompetitif di Merchantrade.

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, berkongsi visi yang sama untuk menginovasikan penyelesaian kewangan, kolaborasi strategik bersama Merchantrade itu memberi peluang kepada pihaknya membentuk semula pengalaman dalam pembrokeran saham buat pelanggan.

“Selain menikmati pendapatan faedah daripada baki kredit, pelanggan juga dapat mengakses dana mereka dengan mudah melalui e-dompet dan kad untuk pembelian harian, pengeluaran tunai, transaksi pelbagai mata wang di dalam dan luar negara, sekali gus meningkatkan kemudahan serta fleksibiliti dalam kehidupan seharian mereka.

“Dengan hampir 300,000 pemegang akaun Kenanga, usaha digitalisasi kami memfokuskan pada peningkatan ekosistem untuk menghasilkan nilai tambah baharu buat pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, selari dengan itu, Kenanga Money bakal melengkapkan perancangan rangkaian penyelesaian digital yang semakin membangun dengan menyasarkan pada penyediaan sebuah persekitaran bersepadu, lancar dan merangkumi pelbagai aspek untuk menampung capaian pelanggan yang kian meningkat.

Kenanga Money akan dilancarkan secara berperingkat dalam beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Merchantrade Ramasamy K. Veeran berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang baharu dengan rakan kongsi yang terbaik untuk bekerjasama dalam memperluaskan jangkauan Merchantrade bagi memenuhi keperluan pasaran lebih besar menerusi teknologi dan penyelesaian yang unik.

“Justeru, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kenanga bagi melancarkan e-dompet broker saham yang pertama di Malaysia. Apatah lagi, Kenanga dan Merchantrade merupakan jenama tempatan yang telah lama bertahan dan kini berkembang maju melalui inovasi digital,” katanya.

Ujarnya, Merchantrade yakin Kenanga Money akan membawa arus perubahan dalam industri pembrokeran saham dan diterima dengan penuh keterujaan oleh pedagang saham yang celik digital pada masa kini. 

Sumber : Utusam

Fakta Pilihanraya Negeri Sabah 2020

by

 

• 66.6 peratus daripada 1.12 juta keluar mengundi.

• GRS kuasai 9 daripada 13 kerusi DUN baharu iaitu BN 5, manakala PN (3) dan PBS 1 kerusi.

• ‎Antara nama besar yang tewas :
° Bekas Ketua Menteri, Chong Kah Kiat (DUN Inanam).
° Presiden UPKO merangkap Mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (DUN Kiulu).
° Ketua Umum USNO merangkap Mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (DUN Pintasan).
° Presiden PCS merangkap Mantan Menteri Luar, Anifah Aman (DUN Bongawan).

• ‎BN-MCA tewas semua empat kerusi yang ditandingi iaitu di Kapayan, Elopura, Karamunting dan Likas

• ‎BN-PBRS yang bertanding Mattunggong, Tandek, Kadamaian, Tulid dan Sook juga gagal memenangi sebarang kerusi

• ‎Parti-parti lain yang gagal memenangi sebarang kerusi termasuk PCS (tanding 73), USNO (tanding 47), LDP (tanding 46), PPRS (tanding 24) dan PAN (tanding 1).

• ‎Tiga calon Bebas menang termasuk Masiung Banah pertahan kerusi DUN Kuamut.

• ‎Terdapat lapan calon bebas yang tewas, namun tidak kehilangan wang deposit termasuk DUN Inanam, Kenny Chua Teck Ho (2,346 undi); Labuk, Abdul Rahman Kongkawang (1,441 undi), Gum-Gum, Yunus Nurdin (1,690 undi) dan Sukau, Saddi Abdul Rahman dengan 1,228 undi.

• ‎43 calon bebas pula tewas dan hilang wang deposit, termasuk penyanyi Jimmy Palikat yang hanya meraih dengan 60 undi di DUN Tambunan

 
 

27 September 2020

Individu balik dari Sabah kena kuarantin

by

 

Individu baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) serta dipakai gelang kuarantin mulai hari ini sehingga 10 Oktober depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira peningkatan 11 lagi kes positif Covid-19 yang dikesan di Semenanjung setelah kembali dari Sabah.

Menurut beliau, semalam sebanyak 10 kes serupa dikesan melibatkan mereka yang tiba dari Sabah antara 20 hingga 25 September.

Katanya, selain perintah HSO yang suratnya akan diberikan di pintu masuk, mereka juga diwajibkan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan Covid-19.

“Tarikh HSO bermula dari tarikh ketibaan di pintu masuk sehingga keputusan makmal diperoleh dan pelepasan diberi jika ujian makmal menunjukkan negatif Covif-19,” katanya dalam laporan harian Covid-19, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari tersebut.

Katanya, jika mereka mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, individu tersebut perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

“Saringan ke atas individu warganegara dan bukan warganegara yang pulang dari Sabah dikecualikan daripada caj ujian Covid-19.

“Tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa, berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut dan maklumat mengenai sebarang perubahan berkaitan yang akan dimaklumkan kepada umum,” katanya.

Sementara itu, perkembangan kes positif Covid-19 mencatatkan 82 kes baharu semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 10,769 kes dengan kebolehjangkitan 851 tetapi tiada kematian direkodkan.

Katanya, daripada kes baharu itu, tiga membabitkan kes import manakala daripada 79 kes penularan dalam negara, 53 kes membabitkan warganegara dan 26 kes adalah bukan warganegara.

Menurut beliau, Sabah terus mencatat kes tertinggi dengan 64 kes iaitu 33 kes daripada Kluster Benteng LD dan 25 kes daripada Kluster Bangau-Bangau.

“Terdapat tiga kes dicatatkan di Negeri Sembilan iaitu melibatkan dua kes saringan pulang dari Sabah melibatkan warganegara termasuk tiga kes yang sama di Kuala Lumpur

“Selain itu, terdapat dua kes di Terengganu dan masing-masing satu kes di Selangor, Pahang, Melaka dan Johor melibatkan saringan pulang juga dari Sabah. Di Sarawak dan Labuan pula adalah melibatkan saringan petugas kesihatan,” katanya. 

Sumber : UTUSAN

GRS menang PRN Sabah 2020

by

 

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan baharu dengan majoriti tipis apabila memperoleh 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Berdasarkan laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiga parti utama yang membentuk GRS iaitu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menewaskan gabungan Parti Warisan Sabah (WARISAN) Plus yang memperoleh 32 kerusi DUN.

PN memperoleh 17 kerusi DUN, manakala BN menang 14 dan PBS pula meraih kemenangan di tujuh kerusi yang ditandingi, menjadikan keseluruhan 38 kerusi DUN.

Gabungan WARISAN Plus pula, iaitu WARISAN menang 29 kerusi DUN, manakala PKR menang dua kerusi dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pula meraih satu kerusi, dengan keseluruhan 32 kerusi.

Tiga lagi kerusi DUN dimenangi oleh calon Bebas.

Parti yang bertanding perlu memperoleh sekurang-kurangnya 37 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah dalam PRN Sabah.

Kemenangan GRS kali ini menyaksikan mereka berjaya merampas tampuk pemerintahan negeri itu daripada WARISAN yang mentadbir Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber : Bernama

 

26 September 2020

Tun M tidak bertanding PRU-15

by

 

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berhasrat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, namun akan terus memerangi rasuah melalui Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

"Saya mahu sedikit masa lagi, tetapi saya fikir saya akan berkhidmat dalam jangka masa yang singkat.

"Tetapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya ke-15," katanya kepada Kyodo News dalam wawancara di pejabatnya, di Putrajaya seperti yang dilaporkan Nikkei Asian Review semalam.

Dr Mahathir yang kini berusia 95 tahun memegang rekod sebagai Perdana Menteri tertua di dunia ketika beliau memegang jawatan itu untuk kali kedua selepas memimpin Pakatan Harapan (PH) dengan kemenangan yang tidak dijangka pada pilihan raya Mei 2018.

Beliau juga Perdana Menteri paling lama berkhidmat pada giliran pertamanya iaitu bermula tahun 1981 hingga 2003.

Bagaimanapun kali ini, Dr Mahathir memegang jawatan berkenaan dalam tempoh singkat iaitu kurang dua tahun sebelum meletakkan jawatan pada 24 Februari lalu.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan kaedah pentadbiran lama kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya mengamalkan rasuah.

"Selama tiga bulan selepas PN menjadi kerajaan, saya tidak membuat sebarang komen kerana ingin melihat prestasi mereka.

"Sayangnya, ia berubah menjadi rasuah, membeli sokongan untuk kerajaan tetapi masih mempunyai majoriti dua Ahli Parlimen," katanya.

Ketika ini Muhyiddin mendapat sokongan 113 anggota Dewan Rakyat daripada 222 Ahli Parlimen. Beliau bagaimanapun digugat pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang awal minggu ini mendakwa mempunyai cukup penyokong untuk mengambil alih kerajaan.

Anwar turut mendakwa hanya memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membentuk kerajaan baharu.

Dr Mahathir sebaliknya berpendapat Anwar mesti mengemukakan jumlah itu di Parlimen untuk mengesahkan beliau benar-benar mempunyai sokongan.

"Sama ada beliau mempunyai majoriti, mesti dibuktikan terlebih dahulu dan untuk membuktikannya, beliau mesti pergi ke Parlimen," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyokong musuh lamanya Anwar, Dr Mahathir berkata anggota partinya, PEJUANG sudah menghubungi Anwar sebelum ini tetapi ditolak.

"Kami sudah banyak kali mengusulkan untuk bekerja dengannya tetapi ditolak. Oleh itu, kami harus memikirkan dengan teliti sama ada harus menyokongnya atau tidak.

"PEJUANG mempunyai prinsip yang sangat kuat, di antaranya adalah untuk menghapuskan rasuah di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir maklum beliau tidak mempunyai banyak waktu lagi dan mengharapkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz akan meneruskan warisannya.

"Terserah kepadanya. Saya tidak akan menghalang. Ini tidak adil baginya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

25 September 2020

Bantuan keseluruhan BPN 2.0 RM18 bilion

by

 

Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) di bawah Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas, Kita Prihatin menjadikan keseluruhan inisiatif BPN melebihi RM18 bilion kepada 10.6 juta penerima merangkumi golongan bujang dan isi rumah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh golongan B40 dan M40 dan BPN 2.0 yang berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula hujung Oktober depan.

Menurut beliau, kerajaan akan membuka ruang untuk rayuan bagi mereka yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan BPN atau Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini mulai 15 Oktober hingga 15 November 2020 melalui pautan https://bpn.hasil.gov.my atau dengan menghantar borang secara persendirian ke cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Borang permohonan boleh dimuat turun dari pautan https://bpn.hasil.gov.my. Pemohon tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan semasa permohonan.

“Kesemua permohonan akan disemak berdasarkan data agensi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul berkata, kerajaan peka dengan pandangan peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang mengalami kesukaran tetapi tidak sempat memohon peruntukan asal Geran Khas Prihatin (GKP) atau tidak layak memohon kerana hanya mendaftarkan perniagaan selepas 31 Disember 2019.

Katanya, kerajaan membuka semula GKP untuk PKS mikro yang belum pernah menerima GKP sebelum ini dengan mengekalkan jumlah geran sebanyak RM3,000 setiap pemohon yang berdaftar dengan LHDN atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020.

“GKP (Pembukaan Semula) ini dijangka akan memanfaatkan 200,000 PKS mikro untuk membantu aliran tunai serta sebagai modal perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM600 juta,” katanya.

Sementara itu, mengenai Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0),katanya, ia merupakan kesinambungan daripada PSU di bawah Pakej Prihatin dan Penjana yang telah pun membantu 300,000 majikan menyelamatkan lebih 2.6 juta pekerja.
“PSU 2.0 bertujuan membantu mengekalkan pekerja bagi majikan yang masih terkesan oleh pandemik Covid-19. Peruntukan bagi inisiatif PSU 2.0 ini berjumlah RM2.4 bilion, dan ia dijangka akan memanfaatkan 160,000 majikan untuk mengekalkan 1.3 juta pekerja selama tiga ke enam bulan.

“Penambahan peruntukan PSU 2.0 melalui Pakej Kita Prihatin akan membawa keseluruhan PSU kepada lebih RM17 bilion,” katanya.

24 September 2020

Hak keistimewaan orang Melayu

by

 

Hak keistimewaan orang Melayu di negara ini sering kali dibincangkan baik dalam forum mahupun wacana.

Apa yang menarik tentangnya adalah kebimbangan orang Melayu dan Bumiputera terhadap yang dikatakan semakin terhakis walaupun ia telah dijamin oleh Perlembagaan. Hakikatnya bukan mudah untuk menghapuskan atau meminda hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Ini kerana persetujuan daripada orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Ikuti kupasan lanjut isu ini bersama Penulis Kanan Sinar Harian.

Isu dan persoalan hak istimewa orang Melayu sering menjadi tajuk perbincangan, debat dan polemik politik. Boleh saudara ulas?

Malaysia sekarang lebih terbuka membicarakan isu-isu negara yang melibatkan hak-hak rakyat. Ini sejajar dengan perkembangan dunia luar yang berkembang pesat di dalam perkongsian ilmu dan pengetahuan.

Maka tidak hairanlah jika masyarakat Malaysia ikut terpanggil untuk berbincang dan berbicara tentang isu-isu yang relevan kepada kehidupan harian mereka. Termasuklah isu hak istimewa orang Melayu.

Dalam keadaan semasa negara dan dengan realiti hari ini, kita perlu perakui bahawa hak rakyat untuk berbincang dan berbicara isu-isu tersebut tidak boleh dikekang atau dikongkong lagi.

Namun, apa yang perlu ditekankan di sini ialah perbincangan dan perbicaraan isu-isu tersebut perlulah diadakan dengan penuh bertanggungjawab agar hak yang diberi tidak mengundang kemudaratan kepada negara.

Boleh saudara perjelaskan serba sedikit tentang sejarah dan salasilah hak ini di dalam sistem politik negara?

Hak istimewa orang Melayu boleh dijadikan tajuk perbincangan di mana-mana sahaja ataupun oleh sesiapa saja. Namun, ia tidak harus dipertikaikan oleh sesiapa kerana kedudukan mereka sudah ditetapkan pada zaman dahulu lagi.

Sebelum British mula bertapak di Tanah Melayu, sudah wujud sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini. Malah, ia wujud sejak 1895 lagi. Mahu tak mahu, British terpaksa mengiktiraf kerajaan-kerajaan tersebut.

Ketika itu rakyat yang bernaung di bawah kerajaan-kerajaan tersebut adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu yang datang menetap di Tanah Melayu ketika itu bukan rakyat raja dan bukan ditakrif sebagai warga negara.

Oleh yang demikian, orang Melayu diiktiraf oleh British mempunyai hak-hak yang khusus berbanding dengan orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Suruhanjaya Reid telah menggubal Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan perkara-perkara yang sudah wujud sebelumnya.

Antara perkara tersebut ialah hak istimewa orang Melayu yang menjadi salah satu perkara asas dan dasar kepada Perlembagaan. Hak ini dikekalkan sebagai hak asasi orang Melayu dan juga sebagai ‘a trade-off’ di atas kesanggupan dan pengorbanan orang Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai warga negara.

Orang bukan Melayu ketika itu amat sedar dan akur dengan hakikat ini. Mereka menerima susunan hak orang Melayu dan bukan Melayu dengan hati yang terbuka dan penuh sukarela.

Malah mereka amat mensyukuri hak baharu yang mereka peroleh. Ia disebut atau dikenali sebagai kontrak sosial atau ‘Social Contract’. Diterima oleh semua pihak sebagai asas kepada penggubalan Perlembagaan Negara.

Bagaimana kedudukan hak istimewa orang Melayu di dalam sistem undang-undang negara?

Adalah penting bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, Melayu dan bukan Melayu memahami apakah hak istimewa orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan tersebut.

Menurut Perkara 3 Perlembagaan, Islam adalah agama Persekutuan. Namun, Perkara 3(1) membenarkan agama atau kepercayaan lain diamalkan secara aman di seluruh negara.

Kedudukan agama Islam diperkukuhkan lagi dengan Perkara 11(4). Menurut Perkara tersebut, jabatan-jabatan penguatkuasa agama di peringkat negeri diberi kuasa untuk mengawal dan menyekat penyebaran kepercayaan atau agama lain dalam kalangan umat Islam, khususnya orang Melayu.

Perkara 8(4)(f) menjelaskan Rejimen Askar Melayu Tentera Diraja Malaysia hanya untuk orang Melayu. Jika kita menyorot kembali sejarah, Rejimen Askar Melayu ini ditubuhkan pada tahun 1933.

Pasukan tentera yang hanya terdiri daripada kaum Melayu itu memerangi tentera Jepun dan komunis pada zaman 40-an. Oleh itu, sebagai mengenang jasa mereka, Rejimen Askar Melayu dikekalkan hanya untuk kaum Melayu.

Begitu juga Perkara 89 memperuntukkan hak Melayu ke atas Tanah Rizab Melayu dan Perkara 152 pula memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Apakah isu ini membawa apa-apa impak di dalam PRU14?

Umno dan Pas nampak banyak menyuarakan tentang hak istimewa orang Melayu semasa dan sebelum PRU14. Mereka seolah-olah mengguna isu ini sebagai alat dan senjata untuk menakutkan orang Melayu dengan membawa mesej bahawa hak tersebut terjamin jika Umno dan BN terus memerintah dan sebaliknya akan terhakis jika Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan.

Sementara itu kepada masyarakat bukan Melayu, Umno dan BN membawa mesej dan mendendangkan lagu yang berlainan pula kepada mereka untuk menjamin hak dan memberi keselesaan kepada mereka.

Strategi ini dikira berhasil semasa PRU terdahulu. Tetapi semasa PRU14, ia tidak berhasil kerana masyarakat sudah bosan dgn taktik ini.

Bagaimanakah cara yang terbaik untuk rakyat Malaysia menangani isu ini?

Pihak kerajaan dan rakyat jelata perlulah menangani setiap hal dan isu yang berkaitan dengan negara dengan penuh rasa tanggungjawab. Pemikiran dan persepsi rakyat juga bisa berubah.

Bagaimana hala tuju dan masa depan negara?

Masa depan negara akan banyak bergantung kepada realiti politik semasa negara. Antaranya kesanggupan kerajaan untuk mentadbir urus negara dengan tegas dan adil.

Serta kesanggupan rakyat untuk mendisiplinkan diri di dalam mengguna hak-hak mereka. Tidak dapat dinafikan lagi realiti hari ini dan trend untuk masa depan ialah peranan rakyat sebagai kuasa dan suara yang dominan sebagai penentu dalam mencorakkan kerajaan, politik dan hala tuju negara.

Jika kita sama-sama mahukan negara terus aman damai, berdaya maju dengan perpaduan yang kukuh di antara kaum, maka antara syarat-syarat utama yang perlu dihormati adalah  rakyat perlu lebih bertanggungjawab di dalam mengguna hak mereka agar ia diimbangi oleh undang-undang dan kepentingan utama negara.

Sumber : Sinar Harian

Bekas wartawan atasi Jack Ma sebagai lelaki terkaya China

by

 

Ahli perniagaan yang meraih kekayaan hasil daripada minuman botol dan vaksin mengatasi Jack Ma sebagai lelaki terkaya China, lapor Bloomberg Billionaires Index hari ini.

Nilai kekayaan pengasas Nongfu Spring, Zhong Shanshan, mencecah AS$58.7 bilion (RM244.6 bilion) selepas syarikat minuman botol miliknya disenaraikan di Hong Kong awal bulan ini.

Ia menjadikan nilai beliau meningkat AS$2 bilion (RM8.3 bilion) lebih kaya berbanding pengasas Alibaba, Jack Ma.

Nongfu Spring, didakwa jenama minuman botol pertama di China, didapati dengan meluas di seluruh negara yang menyaksikan kebanyakan penduduk menghentikan penggunaan air paip atas faktor kesihatan.

Syarikat terbabit meraih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion) ketika tawaran awam permulaan sahamnya.

Zhong juga adalah pengerusi Beijing Wantai Biological Pharmacy Co Ltd, sebuah pengeluar vaksin yang disenaraikan di tanah besar pada April lalu.

Syarikat itu membangunkan semburan hidung vaksin COVID-19, dengan kerjasama sebuah universiti terkemuka.

Zhong, bekas wartawan berusia 66 tahun yang pernah bertugas di akhbar Zhejiang milik kerajaan negeri, sering diberi jolokan 'lone wolf' kerana jarang membuat penampilan di khalayak ramai dan enggan ditemuramah.

Beliau menubuhkan Nongfu pada 1996, ketika perniagaan minuman botol baru mula berkembang di China. 

Sumber : AFP

Deliver2Me dalam Setel mudahkan pelanggan berbelanja di Kedai Mesra Petronas

by

 


Setel, platform e-pembayaran pertama di Malaysia memperkenalkan, Deliver2Me perkhidmatan pembe­lian dalam kereta pertama di Malaysia dengan pengenalan Setel Wallet, pembayaran tanpa tunai di Kedai Mesra Petronas.

Menyasarkan mereka yang sen­tiasa sibuk, Deliver2Me menawarkan pilihan yang mudah untuk berbelanja tanpa perlu meninggalkan kenderaan ma­sing-masing.

Bagi pengguna yang lebih gemar berbelanja di dalam kedai, mereka boleh menggunakan Se­tel Wallet, sistem tanpa tunai untuk membayar barangan dengan mudah di 800 rangkaian Kedai Mesra.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Iskandar Ezzahuddin berkata, Setel kini berjaya mencapai mat­lamatnya untuk menembusi pasaran peruncitan mudah alih di Malaysia.

Menurut beliau, dengan pe­ngenalan Deliver2Me dan Setel Wallet yang menampilkan ciri-ciri baharu serta inovatif, telah memberi kemudahan yang le­bih baik di samping membantu
memaksimumkan keselamatan peng­­guna Setel di stesen minyak Petronas di seluruh negara.

“Ciri yang menerima permintaan tinggi ini membolehkan pembayaran barangan di Kedai Mesra dilakukan dengan sentuhan fizikal yang minimum sebagai ciri keselamatan tambahan menerusi Setel.

“Pengguna juga bukan sahaja dapat memperoleh mata ganjaran Mesra, malah menebus mata ganjaran terus daripada aplikasi tersebut,” katanya.

Iskandar menerangkan, pe­nam­bahan dua ciri ini merupakan batu loncatan dalam usaha syarikat membawakan lebih ba­nyak lagi ciri intuitif yang disesuaikan untuk setiap pelanggan, sejajar dengan kepelbagaian tawaran yang semakin meningkat.

Deliver2Me kini boleh digunakan di enam stesen Petronas yang mengambil bahagian di Lembah Klang dan akan diper­luaskan secara berperingkat ke semua stesen yang menggunakan Setel di seluruh negara bermula suku pertama 2021.

Setel juga boleh digunakan di lebih 900 stesen Petronas di seluruh negara dan percuma buat pengguna iOS serta Android me­lalui muat turun di Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

 

 

Calon politik perlu kuasai elemen komunikasi retorik

by

 

 

Calon parti-parti politik yang nekad bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) sewajarnya menguasai elemen komunikasi retorik.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, tindakan berkempen melalui kenyataan yang boleh ditafsirkan amat tidak bertanggungjawab mampu menggugat imej, reputasi dan identiti calon di kerusi yang sedang ditandingi.

Menurutnya, disebalik aura kepimpinan mahupun karisma untuk menjadi bakal pemimpin yang diperlukan, mereka sepatutnya mempelajari dan menguasai teknik komunikasi tersebut agar tidak menjadi liabiliti kepada parti ketika menghadapi pilihan raya.

“Ini masalah calon apabila mereka ghairah dalam agenda berkempen, mereka lupa sensitiviti agensi dan pengorbanan pihak lain, jika anda bijak jangan sesekali sentuh isu yang membabitkan peranan pihak berkuasa mahupun jentera kerajaan.

“Kuasailah kaedah Lagos, Pathos dan Ethos dalam komunikasi retorik yang diperkasakan oleh Aristotle, bercakap, berhujah dan dalil melalui fakta, peratusan dan data serta bijak mengalunkan nada suara serta intonasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, satu klip video tular di laman sosial memaparkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mempersenda pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Muhammad Anwar Fahmi yang juga penganalisis politik menambah, beliau yakin isu membabitkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) itu bukan sahaja telah menyebabkan keyakinan pengundi dan rakyat merudum tetapi agensi keselamatan juga mungkin tidak selesa dengan kenyataan itu.

“Bagi saya peluang untuk Warisan menang adalah 60 peratus, namun jika sikap kempen sebegini diketengahkan mereka bakal tewas dan kemungkinan sokongan untuk mengekalkan kuasa mereka hanyalah tinggal 50 peratus.

“Memang video dan ucapan calon tersebut sudah terang lagi jelas dan semua pihak mampu mendengar dan meneliti setiap perkataan yang disyarahkan oleh calon berkaitan, malah kelemahan calon Warisan ini akan dijadikan modal oleh pihak lawan untuk menggugat sokongan pengundi terhadap parti itu secara keseluruhan. 

“Apatah lagi hubungan Warisan dan DAP tidak akan banyak membantu kemenangan Warisan pada PRN Sabah,” katanya.

Sumber : Utusan

Keracunan Karbon Monoksida

by

 

Oleh PROF. MADYA DR. MOHD. HASNI JA’AfAR

Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

 Punca Keracunan karbon Monoksida

Karbon monoksida adalah gas yang tiada bau dan warna hasil dari pembakaran tidak sempurna.

Ia berpunca daripada pelbagai sumber seperti dapur masak atau ketuhar yang menggunakan gas, generator petrol atau diesel, asap rokok serta enjin kenderaan.

Keracunan berpotensi berlaku terutamanya dalam ruangan yang tertutup rapat tanpa pengudaraan luar yang mencukupi seperti kabin kenderaan meliputi bot, bas, lori, kereta serta dapur rumah.

Namun jarang berlaku keracunan di ruang dapur yang luas berbanding kabin kenderaan yang kecil.

Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negara ini meletakkan paras 10 bahagian per juta (ppm) sebagai had pendedahan seseorang terhadap karbon monoksida dalam ruang tertutup pada setiap masa.

Tindak balas Keracunan

Pencemaran perlahan akan berlaku menyebabkan peningkatan kepekatan karbon monoksida ke paras yang bahaya dan membunuh.

Pendedahan utama adalah melalui sistem pernafasan yang didapati mampu menyerang kestabilan sistem oksigen hemoglobin dalam sel darah merah seseorang.

Keracunan mula berlaku apabila gas karbon monoksida mengambil alih tapak gas oksigen dalam hemoglobin yang menghasilkan karboksihemoglobin.

Ini secara langsung menyebabkan jumlah molekul oksigen dalam setiap hemoglobin dalam sistem darah menjadi kurang lantas menyebabkan jumlah bekalan oksigen secara keseluruhannya tidak mencukupi.

Tindak balas kedua karbon monoksida akan menyebabkan sisa oksigen yang sedikit itu menjadi lebih sukar untuk dilepaskan daripada hemoglobin itu.

Tindak balas lanjut akan menyebabkan keafinan oksigen lemah menyebabkan molekul itu menjadi lebih sukar untuk dilepaskan daripada hemoglobin.

Ini menyebabkan bekalan oksigen kepada tisu utama sistem saraf dan otak terjejas teruk. Akhirnya menyebabkan kegagalan otak dan kematian.

Pada kepekatan 400 ppm atau 0.04 peratus dalam udara, kebanyakan orang tiada mengalami sebarang tanda atau gejala.

Gejala sering berlaku apabila kepekatan karbon monoksida di udara melebihi 600 ppm dengan penghasilan 10 peratus karboksihemoglobin. Paras serendah dua peratus karboksihemoglobin boleh dikesan menggunakan alat khas.

Kesan gejala utama yang berlaku akibat peningkatan kepekatan udara karbon monoksida ini adalah lebih mengganggu kecerdasan otak.

Orang yang terdedah kepada gas ini selalu tidak menyedarinya dan ia seakan letih mengantuk seperti telah memandu jauh.

Sering disalah ertikan antara letih memandu dan keracunan.

Hilang kesedaran diri atau koma berlaku pada paras karboksihemoglobin antara 30 peratus hingga 50 peratus  bergantung kepada sistem badan seseorang.

Kematian berlaku apabila paras karboksihemoglobin mencapai antara 60 peratus hingga  70 peratus.

Kaedah Menangani Keracunan Karbon Monoksida

Kajian mendapati paras karbon monoksida dalam udara kabin kereta yang bagus hanya pada kepekatan 12 ppm.

Ini kerana penggunaan penukar bermangkin pada sistem ekzos kenderaan yang mengurangkan pencemaran karbon termasuk bahan toksik ini dan kesempurnaan kenderaan tanpa sebarang lubang kebocoran.

Oleh itu, amat penting memastikan alat penukar bermangkin kereta yang digunakan itu berfungsi dengan baik atau ditukar sekiranya perlu.

Pemilihan minyak pelincir, aditif dan penyelengaraan enjin kenderaan yang betul juga amat penting bagi memastikan tiada penghasilan karbon monoksida yang berlebihan.

Elakkan mengubah suai sistem ekzos kenderaan kerana risiko pencemaran sekiranya ia tidak dilakukan mengikut spesifikasi yang betul.

Ubah suai sistem ampaian yang merendahkan sistem ekzos yang terlalu rendah ke permukaan jalan atau bonggolan akan boleh merosakkan sistem dan alat penukar bermangkin.

Bonggol jalan untuk mengurangkan kelajuan juga perlu suatu tatacara yang betul mengikut undang-undang tanpa sewenangnya dipasang.

Ia boleh secara langsung menyumbang kepada kejadian keracunan ini.

Pihak berkuasa telah mewajibkan kenderaan terpakai menjalani ujian karbon monoksida pada sistem ekzos.

Mungkin ini boleh dilanjutkan kepada ujian tahap karbon monoksida dalam kabin kenderaan untuk menguji sebarang kebocoran.

Kenderaan sewaan perlu menjalani ujian tersebut secara berkala supaya penyewa tidak mengalami nasib yang malang.

Banyak alat amaran karbon monoksida yang ada dalam pasaran dengan harga yang berpatutan serendah RM200 seunit.

Alat ini boleh dipasang dalam kabin kenderaan untuk memberi amaran sekiranya tahap karbon monoksida adalah tinggi.

Jika ini berlaku, segera buka tingkap dan hentikan kenderaan di tempat yang selamat. Pergi ke bengkel ekzos untuk pemeriksaan rapi.

Golongan Berisiko

Kajian mendapati setiap orang ada menghasilkan karboksihemoglobin secara semulajadi di dalam badan yang selalunya kurang daripada lima peratus.

Penghasilan dikaitkan dengan pemusnahan sel darah merah yang mempunyai jangka hayat normal selama 120 hari.

Antara jantina, wanita dalam peringkat usia reproduktif, mempunyai paras karboksihemoglobin yang naik turun dalam putaran haid mereka.

Mereka yang mengalami putaran sel darah yang lebih pendek seperti kanak–kanak juga mempunyai paras yang sedikit tinggi daripada orang biasa, pesakit talasemia, hemofilia dan sebagainya.

Dengan keadaan sedia ada itu, mereka adalah golongan yang berisiko. Dalam aspek pekerjaan, mereka yang bekerja dalam ruang sempit seperti bilik enjin kapal juga mempunyai risiko tinggi.

 

Tips Berehat Dalam Kenderaan

Cari kawasan yang sesuai untuk berehat atau berhenti seketika.

Kawasan dengan aliran angin yang agak tinggi seperti pantai dan lorong sempit antara bangunan, perlu diberi perhatian kepada risiko olakan asap ekzos yang boleh memasuki dan mencemari kabin kenderaan.

Pastikan kenderaan berkeadaan melintang pada arah angin agar sebarang kebocoran asap enjin atau ekzos dibawa angin jauh daripada memasuki kabin.

Buka sedikit tingkap kenderaan supaya ada aliran pengudaraan yang baik. Gas karbon monoksida adalah ringan, mudah keluar masuk memenuhi ruangan. Kajian ada mendapati aras kepekatan yang hampir sama, sama ada dalam dan luar kenderaan sekiranya ada pengudaraan atau bukaan.

Boleh juga dipastikan butang pilihan aliran luar dipilih daripada aliran tertutup dalaman jika hendak berehat. Namun pastikan depan kenderaan tidak menghala atau rapat kepada ekzos kenderaan lain.

Kematian akibat karbon monoksida adalah suatu keadaan yang mudah dicegah namun dipandang remeh oleh kebanyakan kita.

Sikap prihatin terhadap penyelenggaraan kenderaan terutama kereta kecil amat perlu ditanam dalam setiap pemandu di negara ini agar tiada kes sebegini tidak berulang.

Sumber : Utusan

Bidaan nombor siri DDV kutip RM1.98 juta

by

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip sebanyak RM1.98 juta untuk bidaan nombor siri pendaftaran DDV hanya dalam tempoh seminggu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kutipan itu bermula 17 September dan berakhir Isnin lalu dan ia merupakan kutipan terbesar bidaan nombor siri DDV berbanding nombor siri pendaftaran lain.

Katanya, nombor pendaftaran DDV 1 mendapat bidaan tertinggi sebanyak RM 250,000 melibatkan 11 pembida dan merupakan harga bidaan JPJeBID tertinggi bagi seluruh negara untuk tahun 2020 setakat ini.

“Sebelum ini, kita menyasarkan jumlah kutipan hasil siri pendaftaran DDV sebanyak RM 1.5 juta, namun selepas siri JPJeBid ditutup pada 21 September lalu rekod kutipan hasil adalah sebanyak RM 1.98 juta.

“Pada tahun lalu, rekod tertinggi bidaan merupakan nombor ALL 1 adalah sebanyak RM 278,000.00 sejak sistem JPJeBID diperkenalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hanif Yusabra, sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DDU, jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan adalah sebanyak RM 8,467,787.

Katanya, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum seperti kategori Nombor Bernilai Utama RM20,000, Nombor Menarik bernilai antara RM2,000 hingga RM3,000, Nombor Popular RM500 manakala Nombor Semasa RM300.

“Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.

“Selain itu, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian,” katanya.

 

23 September 2020

Anwar Ibrahim dakwa dapat sokongan majoriti

by

 

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau telah memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan itu, beliau yang juga pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang.

“Alhamdulillah saya sudah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk makluman semua, saya telah diperkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin, Selasa pada pukul 11 pagi, tetapi terpaksa ditangguh kerana Yang di-Pertuan Agong menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya pada satu sidang akhbar tergempar di sini hari ini.

Anwar berkata, makluman dan langkah selanjutnya berhubung pembentukan kerajaan baharu akan beliau umumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh terdekat.

 

Bank jamin peminjam tidak dimasukkan CCRIS

by

 

Institusi perbankan memberi jaminan peminjam yang layak menerima moratorium pinjaman bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam sepanjang tempoh bantuan kewangan yang dinikmati mereka itu.

Justeru, peminjam individu dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan masalah dan terjejas akibat COVID-19 perlu segera menghubungi dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mendapatkan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik yang diperlukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata institusi perbankan telah memberi komitmen dan berusaha keras untuk menghubungi peminjam yang mungkin memerlukan bantuan.

Beliau berkata, setakat 11 September 2020, lebih dua juta peminjam dihubungi institusi perbankan di negara ini untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik.

Katanya, daripada jumlah itu, institusi perbankan telah berbincang dengan 1.4 juta peminjam, dan lebih 380,000 peminjam sudah mengesahkan mereka memerlukan bantuan pembayaran balik, manakala masih ramai lagi sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

"Daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, 98 peratus telah diluluskan," katanya pada sidang meja bulat bersama media dengan pengurusan tertinggi bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai proses permohonan, Abdul Rahman berkata, bagi pelanggan individu, proses permohonan dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari.

Bagi PKS pula, beliau berkata, proses permohonan dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank.

"Justeru, kami menggesa peminjam yang berdepan masalah untuk segera berjumpa dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mengelakkan mereka berdepan kegagalan membayar hutang mereka apabila tempoh moratorium automatik tamat 31 September ini," katanya.

Bank Negara Malaysia, persatuan perbankan, bank dan AKPK telah mengadakan lebih 150 sesi libat urus dengan persatuan pengguna, persatuan dan dewan perniagaan termasuk menganjurkan Kempen Pembayaran Balik Pinjaman serta telah berbincang dan berinteraksi dengan lebih 30,000 individu dan perniagaan di seluruh negara.

Mengulas mengenai kualiti aset institusi perbankan susulan pelaksanaan moratorium automatik, Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul, berkata sememangnya institusi perbankan akan berdepan penyusutan aset susulan pelaksanaan moratorium automatik itu.

Namun, beliau berkata, kualiti aset bank akan kembali ke paras pra-COVID-19 dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas moratorium automatik tamat pada 30 September 2020.

Sumber : Berita Harian

Bantuan tambahan Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0)

by

 

Kerajaan menyediakan bantuan tambahan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (Kita Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM10 bilion meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0, Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas Prihatin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM7 bilion diperuntukan di bawah BPN 2.0 yang akan memanfaatkan 10.6 juta penerima daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bujang dan bekeluarga serta kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) bujang dan bekeluarga.

Beliau berkata, kira-kira 3.7 juta isi rumah B40 akan menerima bantuan sebanyak RM1,000, manakala 3.8 juta individu bujang dalam kumpulan sama akan menerima bantuan RM500.

“Kumpulan B40 akan menerima bayaran secara ansuran dengan bayaran pertama sebanyak RM700 akan dibuat Oktober depan dan baki sebanyak RM300 dibayar Januari tahun depan,” katanya ketika mengumumkan pakej Kita Prihatin di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kira-kira 3.1 juta isi rumah M40 tidak terkecuali dan mereka akan mendapat bayaran RM600 bagi yang bekeluarga, manakala RM300 untuk individu bujang.

Menurutnya, kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.

“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Bagi mereka yang layak, tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

22 September 2020

Jawatan Kosong Guru Tabika Perpaduan

by

Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon jawatan:

  • Guru Tabika Perpaduan Gred S29
  • Penolong Guru Tabika Perpaduan Gred N11

 Iklan Jawatan Kosong

 https://www.jpnin.gov.my/sites/default/files/brg%20pemhonan%20jawatan%20kontrak%20JPNIN.pdf

Tarikh Tutup : 30 September 2020 (Rabu)

 

 

Jawatan Kosong Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak

by

 

 

Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak mempelawa warganegara Malaysia yang berumur tidak kurang daripada 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan dan memenuhi syarat kelayakan seperti ditetapkan dalam skim perkhidmatan Sistem Saraan Malaysia (SSM). Butiran kekosongan jawatan adalah seperti berikut:

1. Akauntan, Gred WA41
2. Penolong Akauntan, Gred W29

Permohonan Jawatan Kosong Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) hendaklah dibuat secara on-line dan atas talian sahaja melalui sistem e-Recruitment : http://erecruitment.sarawak.gov.my/

Tarikh Tutup : 26 September 2020

Jawatan Kosong Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

by

 

UTM memerlukan individu yang dinamik, kreatif, inovatif dan bercita-cita tinggi untuk bersama-sama merealisasikan wawasan universiti dan negara.  Calon-calon yang berkelayakan adalah dipelawa untuk mengisi kekosongan jawatan di UTM seperti berikut:-

1. PENGAWAL KESELAMATAN KP11
2. PEMBANTU HAL EHWAL ISLAM SA19

Maklumat lanjut dan Borang Permohonan:

https://sumbermanusiautm.utm.my/perjawatan/portalIklan/portaliklan.do?event=mtdAdvertisementList

Tarikh Tutup : 28 September 2020

 

21 September 2020

Taman Negeri Endau Rompin dibuka semula

by

 

Selepas ditutup selama empat tahun bagi memberi laluan kepada pembinaan Rainforest Discovery Centre (RDC), kini Taman Negeri Rompin, Pahang dibuka kembali kepada pengunjung, bermula 15 September baru-baru ini.

RDC merupakan sebuah projek pembangunan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi mengukuhkan lagi kedudukan taman negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan mampan.

RDC menempatkan kompleks pengunjung, dewan serbaguna, ruang pameran, pusat penyelidikan dan jambatan gantung yang membolehkan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti outdoor di samping menambahkan ilmu pengetahuan.

Di samping itu, terdapat juga menara tinjau berketinggian 15 meter yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan hutan hujan yang menakjubkan.

Pengunjung juga dapat berjalan melintasi Sungai Endau melalui jambatan gantung berketinggian 80 meter, menikmati Air Terjun Mahkota, Ulu Kemampan, Padang Tujuh dan juga dapat memerhati burung-burung, haiwan serta tumbuh-tumbuhan dan bunga tropika. Menarik, bukan?

Untuk pengunjung yang ingin membeli sesuatu sebagai tanda, pusat tersebut juga mempunyai kedai cenderamata yang akan memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjual kraf tangan tradisional setelah ia dibuka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat, di samping mengukuhkan Taman Negeri Rompin sebagai sebuah destinasi utama bagi ekopelancongan, RDC akan menjadi platform untuk kajian pemuliharaan dan pemeliharaan jangka panjang.

"Pelancong dari serata dunia dapat menikmati dan mempelajari mengenai hutan hujan tropika di negara kita. Pusat ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk rakyat, terutama sekali komuniti Orang Asli.

"Mereka boleh menjual kraf tempatan dan menjadi pemandu pelancong, juga memperkenalkan budaya mereka kepada pengunjung semasa perjalanan dan lawatan di sekitar Taman Negeri Rompin," katanya.

Taman Negeri Rompin terletak kira-kira 35 kilometer (km) daripada Rompin, sebuah bandar yang terkenal dengan jolokan bandar udang galah.

Taman negeri ini merupakan komponen utama dalam konsep pembangunan ekopelancongan 'Hutan Hujan ke Terumbu Karang' (R2R) ECERDC.

Ia merupakan salah satu daripada hutan hujan yang tertua di Malaysia dengan ciri geologi unik yang berusia 200 juta tahun dan dikenal pasti sebagai hab biodiversiti dan destinasi ekopelancongan antarabangsa.

Jadi apa kata rehatkan minda seketikan dengan meinkmati salah satu khazanah alam paling berharga di negara kita. Ayuh, tunggu apa lagi!

Sumber : mSTAR

 

Gambar Mykad pakai tanjak belum dibenarkan

by

 

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengkaji kewajaran pemakaian tanjak untuk gambar kad pengenalan (MyKad).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata JPN belum membenarkan pemakaian tanjak yang dikatakan sebahagian daripada pakaian tradisional seperti songkok dan kopiah yang dibolehkan dalam gambar MyKad ketika ini.

"Kita perlu tengok dulu daripada segi arahan semasa yang kita keluarkan, sama ada boleh atau tidak untuk dilaksanakan. Bagi masa untuk kita lihat.

"Ini berbeza dengan pemakaian songkok dan kopiah yang sudah lama kita laksanakan. Terdapat kes pelanggan kita datang sendiri ke pejabat kita dengan bersongkok, Itu amalan lama yang kita laksanakan.

"Tetapi tanjak masih belum ada kajian atau perkara yang membuatkan kita nak laksanakan. Kita akan tengok dulu macam mana," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Ibu Pejabat JPN Terengganu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.

Sebelum ini, Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) mencadangkan kerajaan mempertimbang pemakaian tanjak untuk gambar dalam MyKad.

Presidennya, Shahrul Fadzly Mohd Zainal, berkata tanjak sebahagian daripada pakaian tradisional yang sama taraf dengan songkok dan kopiah.

Sumber : Berita Harian

JPN dalam proses selaraskan pendaftaran anak tak sah taraf

by

 

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses menyelaraskan penggunaan bin atau binti bagi pendaftaran anak tidak sah taraf.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh, berkata ketika ini terdapat dua pilihan bagi pendaftaran anak tidak sah taraf iaitu bin/binti Abdullah atau menggunakan nama Asmaul Husna.

Katanya, JPN sudah melaksanakan beberapa perbincangan di peringkat negeri khususnya dengan pejabat Mufti di seluruh negara pada tahun ini bagi tujuan berkenaan.

"Ada negeri yang tidak begitu jelas menetapkan sama ada menggunakan Abdullah atau Asmaul Husna, sebab itu kita mahu selaraskan.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberikan tanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai pelaksanaan itu.

"Insya Allah, kita tunggu hasil daripada pihak JAKIM dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Sesi Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat hampir 300,000 anak tak sah taraf yang didaftarkan di bawah JPN namun itu bukan jumlah sebenar.

Dalam pada itu, Ruslin turut menasihatkan ibu bapa supaya mempercepatkan pendaftaran kelahiran anak dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dilahirkan bagi mengelak isu berbangkit.

Katanya, pasangan yang berkahwin di luar negara juga perlu mendaftarkan kelahiran selagi anak itu dilahirkan di dalam negara.

"Bagi yang berkahwin di luar negara, mereka perlu membuat pengesahan perkahwinan terlebih dahulu di pejabat agama masing-masing.

"Sekiranya pengesahan itu tidak dibuat, ia akan menimbulkan masalah kepada mereka antaranya proses pendaftaran sekolah," katanya.

Ruslin berkata, di Terengganu sahaja sebanyak 264 kes pendaftaran lewat dikesan tahun lalu.

Sumber : Berita Harian

Penggunaan ePayment di JPN seluruh negara pada 2021

by

 

Penggunaan ePayment akan diperluaskan ke setiap daerah dan cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara menjelang 2021.

Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh, berkata ia bagi mengurangkan risiko pengurusan tunai di kaunter sekali gus mengelak isu ketirisan, rasuah dan kehilangan wang di kaunter-kaunter kerajaan.

Katanya, ketika ini penggunaan ePayment sudah dilaksanakan di JPN negeri serta cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pihaknya menyasarkan pelaksanaan sepenuhnya kaedah itu pada akhir tahun depan.

"Itu adalah perancangan kita selepas melaksanakannya di peringkat ibu negeri, ia akan dibuat di daerah sebelum dibawa ke cawangan-cawangan kecil.

"Untuk makluman, kita ada 225 pejabat di seluruh negara, jadi prosesnya akan mengambil masa selain mengambil kira kekangan yang dihadapi penduduk yang berada di kawasan kampung dan pedalaman, kemungkinan mereka ini tiada lagi mempunyai kad bank dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas

Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Sesi Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.

Ruslin berkata, pelaksanaan kemudahan ePayment di JPN adalah usaha kerajaan untuk menyediakan tambahan kaedah bayaran melalui penggunaan kad debit dan kad kredit dalam urusan pembayaran di kaunter-kaunter JPN.

Katanya, projek rintis yang mula dilaksanakan di JPN cawangan UTC Terengganu pada Mei 2018 itu sangat digalakkan terutamanya dalam amalan norma baharu.

Sumber : Berita Harian

Versi Mandarin portal SPRM diaktif semula

by

 

website sprm mandarin

Versi bahasa Mandarin dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan baharu diwujudkan tetapi diaktifkan semula dengan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hari ini menjelaskan versi berkenaan sudah wujud sejak 2015 dan ditutup sementara pada 2018, sebelum diaktifkan semula dengan penambahbaikan baru-baru ini bagi memastikan mesej antirasuah disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat di negara ini.

"Versi bahasa Mandarin sebelum ini tidak dikemas kini dan ditutup pada 2018. Sekarang kami aktifkan semua sebab ada pegawai yang boleh mengendalikannya… mungkin versi bahasa Tamil akan dibuat juga jika ada peruntukan yang cukup," katanya kepada Bernama berhubung reaksi pelbagai pihak mengenai versi bahasa Mandarin di portal SPRM itu.

Hari ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menerusi Ketua Pergerakan Wiranya, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif menghantar surat kepada SPRM bagi membantah penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasmi suruhanjaya itu.

Shamshun Baharin menegaskan SPRM meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam portal rasminya walaupun terdapat lain-lain bahasa sebagai pilihan.

Beliau juga menegaskan SPRM tidak pernah membelakangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Tidak timbul isu SPRM tidak mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana versi bahasa Melayu masih diguna pakai sebagai bahasa utama di portal rasmi SPRM," katanya.

Shamsun Baharin berkata, kepelbagaian bahasa yang digunakan adalah bertujuan untuk memastikan matlamat menyebarluaskan mesej antirasuah serta memberi kefahaman mengenai kepentingan pencegahan rasuah tercapai.

Menurutnya, risalah pencegahan rasuah juga dibuat dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil khusus untuk memberi pemahaman yang lebih kepada masyarakat.

"Selagi kami meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan lain-lain bahasa sebagai pilihan, ia tidak menjadi kesalahan," katanya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya SPRM menawarkan kemudahan bahasa Mandarin di portal rasmi suruhanjaya itu dengan tujuan untuk memberi pemahaman yang lebih jelas tentang isu rasuah.

Beliau berkata, sistem keadilan di negara ini sama ada di mahkamah, balai polis atau penjara juga menawarkan kemudahan penterjemahan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

"Kesedaran mengenai gejala rasuah adalah sangat penting untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan tidak boleh dihentikan," katanya.

SPRM baru-baru ini memaklumkan portal dalam bahasa Mandarin diaktifkan semula bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya tersebut. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Top Ad 728x90