3 September 2020

,

Bagaimana cara detox media sosial?



Ramai di antara kita yang paling tidak pun mempunyai satu akaun media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram.

Meskipun terdapat pelbagai manfaat yang boleh kita dapat daripadanya, namun hakikatnya ia juga boleh 'memusnahkan' seseorang dan mengganggu kesihatan mental jika tidak bijak menggunakannya.

Penting sebenarnya untuk kita lakukan detox media sosial atau 'berpuasa' daripada membuka sebarang media sosial agar membuatkan diri kita lebih fokus dan tenang.

Detox media sosial perlu dilakukan apabila seseorang itu terlalu bergantung kepadanya sehingga mengganggu aktiviti sehariannya. Ibaratnya, sehari tidak buka Instagram, boleh resah dibuatnya.

Jadi bagaimana hendak melakukan detox media sosial?

1. Tetapkan waktu

Perkara paling penting bukanlah meninggalkan terus media sosial sebaliknya mewujudkan jadual agar kita lebih berdisiplin dalam menggunakan internet.

Setiap orang mungkin berbeza tetapi diri kita sendiri boleh tentukan sama ada untuk menetapkan waktu menggunakan media sosial pada waktu siang, malam atau ketika waktu rehat.

Apabila tetapan telah dibuat, lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan yang pada akhirnya memberi manfaat kepada kesihatan mental kita.

2. Aktiviti luar

Gantikan kebiasaan terperap bertemankan telefon dengan aktiviti lebih menyihatkan seperti bersiar-siar, bersenam atau melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sebaik-baiknya, jika tiada keperluan, tinggalkan telefon di rumah atau matikan telefon agar anda tidak rasa terganggu. Ia mungkin membuatkan anda rengsa pada awalnya tetapi kesannya dapat dirasai selepas beberapa hari.

3. Matikan notifikasi

Antara penyebab tangan kita gatal untuk memegang telefon apabila muncul notifikasi dan kita merasakan ia wajib untuk dibuka! Ketika detox media sosial, matikan ciri itu dan ia dapat membantu anda tidak melihat kepada telefon.

4. Kemas kini senarai 'followers'

Rakan atau followers di media sosial juga boleh menjadi toksik dan penyebab anda ketagih kepada media sosial - melihat apa yang mereka muat naik, perasaan ingin tahu tentang apa mereka perkatakan dan sebagainya.

Jika mereka ini tidak penting dalam hidup anda - unfriend sahaja. Itu juga bukan bererti anda putuskan persahabatan tetapi itu sebenarnya cara menjaga ikatan yang terjalin.

Ada banyak manfaat sebenarnya melakukan detox media sosial ini terutamanya kepada mental seseorang. Tidak hanya mengangkat beban yang membuatkan kita tertekan, tetapi juga secara fizikal.

Menatap layar skrin telefon selama berjam-jam tidak memberi faedah sebaliknya akan menyebabkan kesihatan kita terjejas dalam jangka masa panjang.

Apabila kita sudah dapat mengawal ketagihan, percayalah kehidupan sudah kembali di tangan kita. Media sosial bukanlah segala-galanya.

Sumber : mSTAR

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90