23 September 2020

, ,

Bank jamin peminjam tidak dimasukkan CCRIS

Peminjam tidak dimasukkan CCRIS

 

Institusi perbankan memberi jaminan peminjam yang layak menerima moratorium pinjaman bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam sepanjang tempoh bantuan kewangan yang dinikmati mereka itu.

Justeru, peminjam individu dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan masalah dan terjejas akibat COVID-19 perlu segera menghubungi dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mendapatkan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik yang diperlukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata institusi perbankan telah memberi komitmen dan berusaha keras untuk menghubungi peminjam yang mungkin memerlukan bantuan.

Beliau berkata, setakat 11 September 2020, lebih dua juta peminjam dihubungi institusi perbankan di negara ini untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik.

Katanya, daripada jumlah itu, institusi perbankan telah berbincang dengan 1.4 juta peminjam, dan lebih 380,000 peminjam sudah mengesahkan mereka memerlukan bantuan pembayaran balik, manakala masih ramai lagi sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

"Daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, 98 peratus telah diluluskan," katanya pada sidang meja bulat bersama media dengan pengurusan tertinggi bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai proses permohonan, Abdul Rahman berkata, bagi pelanggan individu, proses permohonan dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari.

Bagi PKS pula, beliau berkata, proses permohonan dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank.

"Justeru, kami menggesa peminjam yang berdepan masalah untuk segera berjumpa dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mengelakkan mereka berdepan kegagalan membayar hutang mereka apabila tempoh moratorium automatik tamat 31 September ini," katanya.

Bank Negara Malaysia, persatuan perbankan, bank dan AKPK telah mengadakan lebih 150 sesi libat urus dengan persatuan pengguna, persatuan dan dewan perniagaan termasuk menganjurkan Kempen Pembayaran Balik Pinjaman serta telah berbincang dan berinteraksi dengan lebih 30,000 individu dan perniagaan di seluruh negara.

Mengulas mengenai kualiti aset institusi perbankan susulan pelaksanaan moratorium automatik, Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul, berkata sememangnya institusi perbankan akan berdepan penyusutan aset susulan pelaksanaan moratorium automatik itu.

Namun, beliau berkata, kualiti aset bank akan kembali ke paras pra-COVID-19 dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas moratorium automatik tamat pada 30 September 2020.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90