25 September 2020

,

Bantuan keseluruhan BPN 2.0 RM18 bilion

bantuan prihatin nasional

 

Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) di bawah Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas, Kita Prihatin menjadikan keseluruhan inisiatif BPN melebihi RM18 bilion kepada 10.6 juta penerima merangkumi golongan bujang dan isi rumah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh golongan B40 dan M40 dan BPN 2.0 yang berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada mereka yang layak bermula hujung Oktober depan.

Menurut beliau, kerajaan akan membuka ruang untuk rayuan bagi mereka yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan BPN atau Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini mulai 15 Oktober hingga 15 November 2020 melalui pautan https://bpn.hasil.gov.my atau dengan menghantar borang secara persendirian ke cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Borang permohonan boleh dimuat turun dari pautan https://bpn.hasil.gov.my. Pemohon tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan semasa permohonan.

“Kesemua permohonan akan disemak berdasarkan data agensi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zafrul berkata, kerajaan peka dengan pandangan peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro yang mengalami kesukaran tetapi tidak sempat memohon peruntukan asal Geran Khas Prihatin (GKP) atau tidak layak memohon kerana hanya mendaftarkan perniagaan selepas 31 Disember 2019.

Katanya, kerajaan membuka semula GKP untuk PKS mikro yang belum pernah menerima GKP sebelum ini dengan mengekalkan jumlah geran sebanyak RM3,000 setiap pemohon yang berdaftar dengan LHDN atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Ogos 2020.

“GKP (Pembukaan Semula) ini dijangka akan memanfaatkan 200,000 PKS mikro untuk membantu aliran tunai serta sebagai modal perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM600 juta,” katanya.

Sementara itu, mengenai Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0),katanya, ia merupakan kesinambungan daripada PSU di bawah Pakej Prihatin dan Penjana yang telah pun membantu 300,000 majikan menyelamatkan lebih 2.6 juta pekerja.
“PSU 2.0 bertujuan membantu mengekalkan pekerja bagi majikan yang masih terkesan oleh pandemik Covid-19. Peruntukan bagi inisiatif PSU 2.0 ini berjumlah RM2.4 bilion, dan ia dijangka akan memanfaatkan 160,000 majikan untuk mengekalkan 1.3 juta pekerja selama tiga ke enam bulan.

“Penambahan peruntukan PSU 2.0 melalui Pakej Kita Prihatin akan membawa keseluruhan PSU kepada lebih RM17 bilion,” katanya.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90