24 September 2020

,

Bidaan nombor siri DDV kutip RM1.98 juta

 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip sebanyak RM1.98 juta untuk bidaan nombor siri pendaftaran DDV hanya dalam tempoh seminggu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kutipan itu bermula 17 September dan berakhir Isnin lalu dan ia merupakan kutipan terbesar bidaan nombor siri DDV berbanding nombor siri pendaftaran lain.

Katanya, nombor pendaftaran DDV 1 mendapat bidaan tertinggi sebanyak RM 250,000 melibatkan 11 pembida dan merupakan harga bidaan JPJeBID tertinggi bagi seluruh negara untuk tahun 2020 setakat ini.

“Sebelum ini, kita menyasarkan jumlah kutipan hasil siri pendaftaran DDV sebanyak RM 1.5 juta, namun selepas siri JPJeBid ditutup pada 21 September lalu rekod kutipan hasil adalah sebanyak RM 1.98 juta.

“Pada tahun lalu, rekod tertinggi bidaan merupakan nombor ALL 1 adalah sebanyak RM 278,000.00 sejak sistem JPJeBID diperkenalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hanif Yusabra, sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DDU, jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan adalah sebanyak RM 8,467,787.

Katanya, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum seperti kategori Nombor Bernilai Utama RM20,000, Nombor Menarik bernilai antara RM2,000 hingga RM3,000, Nombor Popular RM500 manakala Nombor Semasa RM300.

“Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.

“Selain itu, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian,” katanya.

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90