29 September 2020

,

Dana pembiayaan Bumiputera masih banyak belum dipohon

dana pembiayaan penjana bumiputera

 

Dana pembiayaan usahawan Bumiputera yang disalurkan kerajaan menerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan MARA sebanyak RM500 juta masih banyak berbaki dan belum dipohon.

Dana berkenaan diumumkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun lalu, yang mana sebanyak RM200 juta ditawarkan melalui PUNB dan RM300 juta disalurkan menerusi MARA.

Daripada jumlah berkenaan hanya RM16.22 juta telah disalurkan oleh PUNB sehingga 18 September lalu, manakala jumlah yang sudah disalur menerusi MARA masih belum diperoleh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukkan dana berkenaan adalah bertujuan memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera dalam mendepani kesan COVID-19.

Katanya, dana menerusi PUNB, adalah bagi kelayakan tertumpu kepada kegunaan dana bagi modal kerja; perbelanjaan operasi; automasi sistem; serta peralatan dan perbelanjaan untuk melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) seperti amalan penjarakan fizikal dan kegunaan alat perlindungan diri.

"Kemudahan pembiayaan adalah dari RM100,000 sehingga RM1 juta bagi tempoh sehingga lima tahun pada kadar faedah 3.5 peratus setahun berserta moratorium sehingga enam bulan dari tarikh pengeluaran.

"Sehingga 18 September 2020, sebanyak RM16.22 juta telah disalurkan dan memanfaatkan 41 perniagaan Bumiputera," katanya ketika membentangkan Laporan LAKSANA Ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) secara maya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, yang kedua adalah melalui MARA yang berupa pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan Bumiputera yang terjejas.

"Ia termasuklah sektor pendidikan swasta dengan had maksimum jumlah pinjaman RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mara.gov.my," katanya.

Bagi Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) kata Tengku Zafrul, setakat 18 September lalu, sebanyak RM73.6 juta telah

disalurkan dan memanfaatkan 11,059 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro.

"Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menyalurkan RM55.31 juta dan memanfaatkan 1,480 PKS dan PKS Mikro setakat 18 September lalu.

"Bagi pembiayaan PKS PENJANA, kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion dan memberi keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

"Sehingga 18 September 2020, sebanyak 3,058 permohonan PKS telah diluluskan dengan nilai pinjaman sebanyak RM742.8juta," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90